Category: Mahkamah

  • Kakitangan kerajaan direman empat hari kes rasuah RM20,000

    Kakitangan kerajaan direman empat hari kes rasuah RM20,000

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG pembantu pegawai di sebuah agensi kerajaan yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM20,000 direman selama empat hari sehingga Isnin depan.

    Perintah reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah Johor Bahru, Melody Woon Sze Moon.

    Lelaki berusia 32 tahun itu yang memakai baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba di mahkamah itu sambil dikawal pegawai SPRM dan tangan bergari pada pukul 8.40 pagi.

    Semalam, kakitangan kerajaan itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Johor pada pukul 12.30 tengah hari selepas hadir memberikan keterangan berkaitan kes terbabit.

    Menurut sumber, lelaki tersebut yang sebelum ini bertugas sebagai pegawai tadbir di sebuah jabatan kerajaan telah meminta dan menerima rasuah daripada dua perunding projek bermula pada tahun 2020 sehingga tahun lalu.

    Lelaki itu berbuat demikian sebagai balasan membantu membocorkan maklumat berkaitan projek yang hendak dipohon oleh kedua-dua individu tersebut.

    Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

  • Kes cuai khatan: Pemuda peroleh ganti rugi RM3.1 juta

    Kes cuai khatan: Pemuda peroleh ganti rugi RM3.1 juta

    SEORANG pemuda berumur 22 tahun yang terpotong kepala alat sulitnya ketika berkhatan 12 tahun lepas, memperoleh ganti rugi berjumlah RM3.1 juta selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan tuntutan samannya terhadap kerajaan Malaysia dan empat lagi.

    Turut turut dinamakan sebagai defendan dalam saman itu ialah pegawai perubatan dan pengarah Hospital Kuala Lipis di Pahang serta doktor pakar dan pengarah Hospital Selayang di Selangor.

    Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas memutuskan bahawa kesemua defendan telah melakukan kecuaian terhadap keadaan yang dialami oleh pemuda itu selaku plaintif.

    Beliau berkata, mahkamah membenarkan ganti rugi khas seperti yang dinyatakan dalam pliding iaitu RM108,356, ganti rugi am RM2 juta, ganti rugi teruk RM500,000, ganti rugi teladan RM500,000 dan kos RM100,000 dibayar kepada plaintif oleh kesemua defendan.

    Akhtar membuat keputusan itu menerusi prosiding dalam talian menerusi aplikasi Zoom yang turut disertai peguam, Mohamad Zainuddin Abu Bakar bagi pihak plaintif dan Peguam Persekutuan, Saravanan Kuppusamy yang mewakili defendan.

    Seramai tiga saksi plaintif dan lima saksi defendan memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula 22 September 2020.

    Mohamad Zainuddin dan Saravanan ketika dihubungi pemberita mengesahkan keputusan hari ini.

    Saravanan bagaimanapun berkata, pihaknya akan mendapatkan arahan lanjut sama ada mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

    Pada 20 Februari 2019, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan defendan untuk membatalkan saman itu.

    Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 20 Februari 2020 mengarahkan kes itu dibicarakan selepas membenarkan rayuan plaintif untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.

    Pada 19 Julai 2018, plaintif memfailkan saman menerusinya ibunya dan mendakwa proses berkhatan pada 13 Disember 2010 adalah tidak mengikut prosedur ditetapkan apabila keseluruhan kepala alat sulitnya dipotong menyebabkan beliau mengalami kecacatan kekal apabila kemaluannya tidak dapat disambung semula.

    Akibat kecacatan kekal itu, plaintif yang ketika kejadian berusia 10 tahun telah berubah sikap menjadi amat pendiam dan tidak suka berkawan dengan rakan sebaya. – Bernama

  • Dipenjara pukul isteri enggan lakukan hubungan seks

    Dipenjara pukul isteri enggan lakukan hubungan seks

    SEORANG lelaki menerima padah kerana mencederakan isteri yang enggan melakukan hubungan seks apbila dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan enam bulan oleh Mahkamah Sesyen berasingan di Melaka hari ini.

    Tertuduh V. Murugan, 30, dijatuhkan hukuman itu di mahkamah berasingan oleh Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin dan Hakim Nariman Badruddin atas empat pertuduhan, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan pertama Murugan didapati dengan sengaja mencederakan isterinya, A. M. Saraswathi, 24, dengan cara memukul kepala mangsa menggunakan topi keledar.

    Terturuh turut mencederakan anak lelakinya, M. Sivaneswaran berusia enam tahun dengan memukul bahu kanan mangsa menggunakan wayar USB telefon.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

    Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didapati telah menakutkan isteri secara jenayah berbentuk ugutan dengan cara meletakkan sebilah parang di leher mangsa dan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

    Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Ketiga-tiga tindakan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 6 petang di sebuah rumah di Ujong Pasir, Melaka pada 9 Oktober 2021.

    Dalam pertuduhan keempat, tertuduh yang bekerja di kedai besi buruk didapati sekali lagi telah mencederakan isterinya dengan cara menendang mangsa di bahagian dada sehingga wanita itu terjatuh pada pukul 10 pagi, keesokkan harinya.

    Bagi perbuatan itu dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

    Kedua-dua mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara lima tahun dan enam bulan dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 10 Oktober tahun lalu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin dan N. Sivashangari.

    Mengikut fakta kes, kejadian berlaku ketika mangsa dalam keadaan mabuk dan bertindak mengugut serta memukul isteri selepas berang mangsa enggan melakukan hubungan seks.

    Anak tertuduh yang melihat kejadian itu menjerit sebelum turut dipukul menggunakan wayar USB telefon.

  • RM2.28 bilion milik 1MDB dipindah ke akaun Najib: Saksi

    RM2.28 bilion milik 1MDB dipindah ke akaun Najib: Saksi

    BEKAS Pengarah Bukan Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Ismee Ismail hari ini mendedahkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bahawa wang RM2.28 bilion milik syarikat 1MDB dipindahkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.

    Menurut saksi ke-13 dalam prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri itu, mengesahkan perkara berkenaan ketika dirujuk carta aliran jejak wang daripada 1MDB.

    Ia didakwa melalui beberapa syarikat dan individu sebelum berakhir dalam akaun peribadi Najib dengan nombor akaun berakhir 694 dan 880.

    Ismee turut dirujuk carta jejak aliran wang AS$700 juta daripada dana projek usaha sama 1MDB dan Petrosaudi International Ltd (PSI) berpangkalan di Abu Dhabi, lapor Sinar Harian, hari ini.

    Aliran wang menunjukkan wang berkenaan dipindahkan ke akaun syarikat Good Star Limited yang dikaitkan dengan ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low.

    Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram turut menunjukkan transaksi aliran wang berkaitan Putera Turki, Abdullah dari Arab Saudi berjumlah RM30 juta.

    Jumlah itu didakwa dimasukkan ke akaun peribadi AmIslamic Bank milik Najib pada 24 Februari dan 14 Jun 2011.

    Sri Ram: Sila rujuk transaksi wang berjumlah AS$45 juta yang dipindah ke akaun dengan nombor terakhir 880 milik Najib, antara 17 Oktober 2014 dan 10 Disember 2014.

    Ismee: Saya sahkan.

    Sri Ram: Setuju dengan cadangan saya, dirumuskan bahawa RM2.28 bilion dana dipindah masuk ke dalam akaun Najib antara 2011 dan 2014.

    Ismee: Saya setuju.

    Dalam pada itu, Ismee berkata, beliau boleh berada dalam kedudukan bercanggah dengan Najib namun tidak dilakukannya.

    Berhubung projek usaha sama dengan Arab Saudi, Ismee berkata, pada awal pelantikannya pada tahun 2009, beliau mempunyai tahap kepercayaan yang tinggi terhadap Najib.

    Berhubung pembabitan dalam Tabung Haji pula katanya, projek itu boleh mendatangkan faedah kepada syarikat.

    “Saya percaya ia inisiatif yang baik untuk terus menjalin hubungan dengan Arab Saudi, jadi, saya ada kepercayaan yang tinggi terhadap kepimpinan, apa yang saya maksudkan ialah Perdana Menteri, Najib ketika itu,” katanya.

    Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini.

  • Inspektor polis mengaku tidak bersalah rogol, seks luar tabii tahanan wanita

    Inspektor polis mengaku tidak bersalah rogol, seks luar tabii tahanan wanita

    SEORANG pegawai penyiasat polis berpangkat Inspektor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan merogol, persetubuhan luar tabii dan mencabul kehormatan seorang tahanan wanita di pejabatnya tahun lalu.

    Tertuduh, A. Teevagar Gabrialnayagam, 30, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 29 tahun dengan kerelaannya yang diperoleh oleh tertuduh menggunakan kedudukan kuasa terhadap mangsa di bilik pegawai penyiasat, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Kota Bharu, pada pukul 3 petang hingga 5.30 petang, 5 Jun 2021.

    Bagi tuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(f) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 tahun hingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap wanita sama tanpa kemahuannya pada masa, tarikh dan di lokasi masa.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman memperuntukkan hukuman penjara 15 tahun hingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

    Berdasarkan pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah ke atas wanita sama dengan niat untuk melakukan pencabulan terhadap kehormatannya pada masa, tarikh dan di lokasi yang sama.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

    Sementara pada pertuduhan keempat, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap wanita sama tanpa kemahuannya pada pukul 2 petang hingga 4.30 petang pada 7 Jun 2021 di lokasi yang sama.

    Pertuduhan terhadapnya dibuat didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 15 tahun hingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili peguam, Tengku Shazuan Tengku Sharifudin.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM11,000 bagi kesemua pertuduhan.

    Kes ditetapkan pada 17 Mei depan untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.

    Tertuduh kemudian membayar ikat jamin berkenaan.

    Media sebelum ini melaporkan seorang pegawai polis ditahan selepas dipercayai merogol seorang tahanan wanita yang juga seorang ibu tunggal di pejabatnya di IPD Kota Bharu di sini.

    Wanita tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) akta sama bersama bekas suaminya kerana dipercayai memiliki pil kuda dan syabu pada 4 Jun lalu.

  • Didakwa edar 1.6 kg kanabis: Lelaki terlepas tali gantung

    Didakwa edar 1.6 kg kanabis: Lelaki terlepas tali gantung

    SEORANG lelaki hari ini terlepas daripada hukuman gantung apabila Mahkamah Rayuan di Putrajaya mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadapnya kerana mengedar dadah jenis kanabis seberat 1.6 kilogram, empat tahun lepas.

    Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said memerintahkan bekas pekerja bengkel membaiki sofa, Ahmad Kamil Anuar, 37, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu selepas mendapati terdapat kekhilafan dari segi fakta dan undang-undang oleh hakim Mahkamah Tinggi ketika mensabitkannya dengan kesalahan mengedar dadah.

    “Kami berpuas hati sabitan terhadap perayu adalah tidak selamat untuk dikekalkan. Oleh itu, sabitan diketepikan dan perayu dilepas dan dibebaskan,” kata Kamaludin yang bersidang bersama-sama Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Hashim Hamzah.

    Kelihatan isteri kepada perayu, yang hadir pada prosiding hari ini menangis teresak-esak semasa panel hakim memberi keputusan dan sebaik sahaja mahkamah berhenti bersidang, bapa Ahmad Kamil yang turut dilihat menangis mendekati anaknya sambil menggosok kepala lelaki itu dengan lembut sebelum pergi ke arah menantunya dan menenangkan wanita tersebut.

    Ahmad Kamil merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Sept 2020 yang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadapnya kerana didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 1.6 kilogram di sebuah pangsapuri di Wangsa Maju pada 3.45 petang, 7 Okt 2018.

    Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim @ Husaini manakala peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar dan Bisyri Abdul Razak, mewakili Ahmad Kamil.

    — BERNAMA

  • Rasuah: Bekas pengarah  ICU JPM P.Pinang dipenjara 15 bulan

    Rasuah: Bekas pengarah ICU JPM P.Pinang dipenjara 15 bulan

    BEKAS Pengarah di Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Pulau Pinang kekal dipenjara dan didenda selepas Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuannya dan mengekalkan sabitan bersalah atas dua pertuduhan rasuah membabitkan nilai keseluruhan RM50,818.50, sembilan tahun lepas.

    Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said bagaimanapun mengurangkan hukuman penjara daripada tiga tahun kepada 15 bulan terhadap Mohd Noor Rejab selepas mempertimbangkan beberapa faktor terutamanya umur perayu yang kini berusia 60 tahun.

    Dalam keputusan sebulat suara, Kamaludin berkata mahkamah berpandangan tiada alasan kukuh untuk campur tangan dapatan mahkamah-mahkamah sebelum ini yang mendapati perayu bersalah atas kedua-dua pertuduhan dihadapinya.

    “Kami telah melihat penghakiman Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi dan kami dapati kedua-dua mahkamah itu membuat dapatan yang konsisten. Dapatan yang dibuat adalah berdasarkan fakta dan kita tidak boleh ganggu fakta tanpa alasan. Kami minta maaf Encik Mohd Noor, kami tidak boleh buat apa-apa.

    “Namun, peguam perayu (Mohd Noor) telah merayu terhadap hukuman dan setelah mempertimbangkan latar belakang, umur dan faktor lain dalam kes ini, mahkamah mengurangkan hukuman penjara tiga tahun kepada 15 bulan serta denda RM130,812.50 dikekalkan bagi pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan hukuman penjara satu tahun dikurangkan kepada enam bulan untuk kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

    “Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan secara serentak bermula hari ini,” kata Kamaludin yang bersidang bersama-sama Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Hashim Hamzah.

    Bekas penjawat awam itu telah membayar denda tersebut.

    Sebaik sahaja mahkamah berhenti bersidang, Mohd Noor dilihat berpelukan dengan seorang wanita dipercayai anaknya dan cuba menenangkan ahli keluarganya itu.

    Mohd Noor merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 11 Julai 2019 yang mengekalkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM130,812.50 terhadapnya yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Georgetown pada 18 Mei 2018.

    Mohd Noor sebagai Ketua Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan di Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang didakwa telah menggunakan jawatannya itu bagi mendapatkan suapan iaitu dengan memperakukan baucar bayaran bertarikh 17 Okt 2013 bagi pembayaran membekalkan ‘Lab Coat’ untuk pembantu makmal di seluruh sekolah Pulau Pinang bernilai RM26,162.50 kepada Syarikat Nur Ehsan Maju Enterprise, yang mempunyai kepentingan terhadap dirinya.

    Kesalahan didakwa dilakukan di pejabat Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang pada 17 Okt 2013, mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

    Mohd Noor juga didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM24,656 melalui cek Maybank daripada seorang individu yang mempunyai hubungan kerja rasmi dengan dirinya di Maybank Cawangan Penang Road, Pulau Pinang pada 24 Okt 2013, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

    Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zain Ibrahim dan Mohd Fairuz Johari manakala perayu diwakili peguam Ashok Athimulan.

    — BERNAMA

  • Pengurus kedai makan didakwa pandu mabuk, sebabkan kematian

    Pengurus kedai makan didakwa pandu mabuk, sebabkan kematian

    SEORANG pengurus kedai makan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, bulan lalu.

    Mohamad Nazrin Ramli, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

    Dia dituduh memandu kenderaan Myvi di bawah pengaruh alkohol sebanyak 71 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah, melebihi 21 mg alkohol daripada had yang ditetapkan, tidak berdaya mengawal kenderaan itu dan menyebabkan kematian Ramli Abdul Ajit, 40.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Kuching menghala pusat bandar Kuala Lumpur pada 12.10 malam, 12 Mac lalu.

    Mohamad Nazrin dituduh mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda sehingga RM100,000 serta hilang kelayakan memandu untuk tempoh tidak kurang 10 tahun dari tarikh disabitkan kesalahan, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Siti Nursyuhada Abd Rauf memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin manakala peguam J.Thilagavathy yang mewakili Mohamad Nazrin memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya yang belum berkahwin menanggung ibu yang uzur.

    Majistret Amanina Mohamad Anuar membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan lesennya digantung sementara menunggu kes selesai serta menetapkan 2 Jun untuk sebutan kes. – Bernama

  • Anggota JPJ minta rasuah dipenjara 14 hari, didenda RM17,500

    Anggota JPJ minta rasuah dipenjara 14 hari, didenda RM17,500

    SEORANG anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan didenda RM17,500 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen di Seremban hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan meminta rasuah.

    Hakim Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Najmi Zakaria, 38, yang mengaku bersalah atas pertuduhan itu. Hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh ditangkap pada 28 Mac lepas.

    Mohd Najmi yang bertugas sebagai Pegawai Pemeriksa Kereta Motor Gred AB29, didakwa meminta wang berjumlah RM3,500 daripada pemilik sebuah syarikat bagi memastikan tiada tindakan penguatkuasaan diambil berkaitan lapan kenderaan yang tidak mematuhi notis di bawah Seksyen 61(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Kesalahan mengikut Seksyen 16(a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 itu didakwa dilakukan di sekitar Seremban antara 13 Feb 2018 hingga 31 Mei 2019

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala Mohd Najmi diwakili peguam Asmawi Ismail.

    Mahkamah bagaimanapun melepaskan dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan lain selepas mengambil kira pengakuan bersalahnya dan persetujuan pihak pendakwaan.

    — BERNAMA

  • Dakwaan minta campur tangan kes mahkamah, Zahid saman Muhyiddin

    Dakwaan minta campur tangan kes mahkamah, Zahid saman Muhyiddin

    BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memfailkan saman fitnah terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan beliau ada meminta bantuan untuk menyelesaikan atau menangguhkan perbicaraan kes jenayah yang masih berjalan di mahkamah.

    Ahmad Zahid, 69, selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq di Mahkamah Tinggi di sini, semalam (4 April) dengan menamakan Muhyiddin, 74, sebagai defendan.

    Berdasarkan pernyataan tuntutan yang diperoleh menerusi carian sistem mahkamah, Ahmad Zahid berkata, pada 19 Okt 2018, beliau telah dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, bagi 12 pertuduhan melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dan kesemua pertuduhan tersebut telah dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

    Ahmad Zahid mendakwa defendan (Muhyiddin) telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan fitnah dengan niat jahat terhadapnya pada majlis Pentas Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Mersing sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di perkarangan Learning Centre Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3 di Mersing pada 16 Feb lepas.

    “Pada hari yang sama, rakaman video mengenai kenyataan fitnah pada majlis tersebut telah diterbitkan semula secara langsung di akaun YouTube Astro AWANI yang dikendalikan oleh portal berita dalam talian popular iaitu Astro AWANI berdurasi dua jam 35 minit dan lapan saat (2:35:08) yang boleh diakses melalui internet,” dakwa Ahmad Zahid dalam pernyataan tuntutan saman itu.

    Dakwa plaintif, setakat tarikh writ saman dan pernyataan tuntutan itu difailkan, rakaman video majlis tersebut telah mendapat jumlah tontonan sebanyak 29,752 tontonan dan akaun Youtube Astro AWANI mempunyai 1.44 juta pelanggan selain rakaman video itu telah dilaporkan secara meluas melalui pelbagai medium media sosial iaitu KiniTV, Facebook Page ‘Perikatan Nasional’, portal Malaysiakini dan Utusan Malaysia pada 16 dan 17 Feb lepas.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa, kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau telah menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan, meminta pertolongan Muhyiddin untuk mencampuri urusan perbicaraan kes berkenaan, mencampuri sistem kehakiman, mengarahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor dan bukan seorang pemimpin yang patut dihormati, diteladani serta disegani.

    Ahmad Zahid menegaskan, kenyataan-kenyataan fitnah itu adalah palsu bertujuan untuk menjatuhkan reputasi dan nama baiknya selain mendakwa kenyataan fitnah berkenaan dikeluarkan oleh defendan selepas pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan PRN Johor.

    “Oleh yang demikian, kenyataan-kenyataan fitnah itu adalah jelas dikeluarkan dengan niat jahat sebagai alat untuk mempengaruhi dan memberikan reputasi buruk serta negatif kepada plaintif selaku pemimpin tertinggi parti Barisan Nasional yang secara tidak langsung memberikan imej buruk kepada parti berkenaan yang bertanding di dalam PRN Johor,” dakwa plaintif.

    Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan, faedah, serta perintah mengarahkan defendan menerbitkan permohonan maaf yang tidak bersyarat secara bertulis di surat khabar yang akan ditentukan oleh plaintif selain menuntut kos dan lain-lain perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

    Sementara itu, Ahmad Zahid turut memfailkan notis permohonan ex-parte (sebelah pihak) supaya defendan atau wakilnya menarik balik kenyataan-kenyataan fitnah tersebut atau kenyataan fitnah serupa terhadapnya.

    Plaintif juga memohon perintah injunksi interim untuk menghalang defendan, pegawai dan pembantunya serta ejen dan wakilnya daripada mengeluarkan, menerbitkan, mengedarkan atau menyebarkan kenyataan fitnah berkenaan atau kenyataan fitnah serupa di mana-mana platfom media sosial termasuk Facebook, Instagram, Twitter dan WhatsApp.

    Turut dipohon perintah injunksi interim bagi mengarahkan defendan memadam, menyunting dan menghentikan penerbitan sebahagian rakaman video majlis itu yang mengandungi kenyataan memfitnah di dalam portal-portal berita dalam talian dan sosial media antaranya di Facebook profil ‘Perikatan Nasional’, YouTube Astro AWANI dan KiniTV.

    Selain itu, plaintif juga memohon perintah injunksi interim mengarahkan defendan menulis kepada mana-mana penerbit, penyunting, pengendali dan pemilik portal-portal berita dalam talian atau platform media sosial yang menerbitkan kenyataan fitnah itu supaya memadamkan dan menghentikan penerbitan kenyataan fitnah berkenaan.

    Pendengaran permohonan ex-parte itu akan didengar esok di hadapan Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff melalui sidang video. – BERNAMA