Category: Mahkamah

  • Zuraida diperintah bayar RM10 juta kepada PKR

    Zuraida diperintah bayar RM10 juta kepada PKR

    MAHkAMAH Tinggi  Kuala Lumpur hari ini membenarkan saman oleh PKR untuk menuntut RM10 juta daripada bekas Naib Presidennya, Datuk Zuraida Kamaruddin, kerana melanggar syarat bon yang mengikat kepada parti.

    Hakim, Datuk Akhtar Tahir, membuat keputusan itu berhubung saman difailkan PKR menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pada 28 September 2020, lapor Berita Harian.

    Menerusi saman itu, PKR mendakwa Zuraida bersetuju membayar parti sejumlah RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya seperti meletak jawatan dalam parti atau bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

    Pada 24 Februari 2020, Zuraida dalam satu kenyataan bersama 10 Ahli Parlimen PKR yang lain mengumumkan peletakan jawatan, namun beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Ampang iaitu kerusi yang dimenanginya atas tiket PKR dan seterusnya membentuk blok baharu dikenali Perikatan Nasional (PN).

    PKR turut menuntut Zuraida membayar RM12,049,459.20 mengikut Seksyen 71 Akta Kontrak, faedah lima peratus setahun, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

  • 936 gambar tangkap layar sejarah layari sesawang lucah dalam telefon bimbit Ebit Lew 

    936 gambar tangkap layar sejarah layari sesawang lucah dalam telefon bimbit Ebit Lew 

     

    SEORANG saksi dalam perbicaraan kes pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew memberitahu Mahkamah Majistret di sini hari ini bahawa sebanyak 936 gambar tangkap layar mengenai sejarah melayari laman sesawang berunsur lucah diperoleh hasil analisisnya daripada sebuah telefon bimbit.

    Juruanalisis Kanan Audio Video Polis Diraja Malaysia (PDRM) Latifah Abdul Aziz, 43, berkata daripada jumlah itu 146 gambar tangkap layar adalah berunsur lucah.

    “Saya mohon untuk merujuk gambar tangkap layar yang pertama dan terakhir, tempoh sejarah yang berjaya dikenal pasti bermula pada 14 Jun 2020 hingga 19 Ogos 2021,” kata saksi ketujuh pendakwaan itu.

    Latifah turut memaklumkan beliau juga diarahkan untuk menjalankan analisis bagi sebuah lagi telefon bimbit dan menemui lapan imej berunsur lucah.

    Beliau berkata imej-imej itu adalah daripada aplikasi WhatsApp dan mendapati hanya satu imej sahaja yang mempunyai penambahan pelekat aplikasi WhatsApp.

    Semalam, saksi itu memberitahu mahkamah bahawa laman sesawang itu diakses daripada aplikasi Google.

    Pada prosiding hari ini, peguam Ebit Lew Ram Singh membantah soalan daripada pihak pendakwaan kepada saksi mengenai sejarah carian menerusi Google. 

    Peguam itu berkata beliau berpendapat tiada bukti dalam sejarah carian melalui Google bahawa sesebuah laman sesawang sebenarnya dilawati sebagaimana dikatakan saksi. 

    Ram Singh berkata terlalu banyak carian dibuat di dalam telefon bimbit itu yang dianalisis saksi dan tidak relevan kepada pertuduhan. 

    Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria berkata pihak pendakwaan ingin mengemukakan keterangan yang relevan dengan pertuduhan merujuk kepada carian Google berunsur lucah pada tarikh-tarikh pertuduhan.

    Zahida berkata keterangan itu penting untuk menunjukkan perbuatan dan keadaan tertuduh pada tarikh-tarikh tersebut yang melayari laman sesawang berkenaan sebelum menghantar mesej berunsur lucah kepada pengadu.

    Lew, 37, berdepan 11 pertuduhan, antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan bersambung esok.

    — BERNAMA

  • Kes tipu menyamar ‘Datuk’ tak diiktiraf, mahkamah tolak reman pendakwah

    Kes tipu menyamar ‘Datuk’ tak diiktiraf, mahkamah tolak reman pendakwah

    MAHKAMAH Majistret Kangar menolak permohonan reman pendakwah bebas, Ahmad Husam Ahmad Baderudin, bagi membantu siasatan kes tipu dengan menyamar menggunakan gelaran ‘Datuk’ tidak diiktiraf.

    Permohonan perintah reman terhadap ustaz berusia 33 tahun itu ditolak Majistret Siti Hasliza Md. Ali selepas mengambil maklum alasan dikemukakan peguam mewakilinya.

    Husam diwakili peguam Nur Iman Nor Azmi, Siti Hajar Ahmad, Zuhair Ahmad Zakuan, dan Nurul Hanani Che Nor.

    Nur Iman yang mengetuai barisan peguam berkata, pihaknya membantah permohonan reman daripada polis kerana “tiada keperluan bagi menahan anak guam mereka untuk satu tempoh yang lama”.

    “Ustaz Ahmad Husam sudah bebas dengan jaminan polis, namun kami sudah beri aku janji untuk beri kerjasama kepada polis sekiranya dipanggil selepas ini.

    “Untuk ke hadapan, kita akan berbincang dengan pihak anak guam kami untuk tindakan selanjutnya,” katanya menurut Harian Metro ketika bercakap di pekarangan Kompleks Mahkamah Kangar.

    Terdahulu, suspek tiba di pekarangan mahkamah sekitar 9.30 pagi diiringi anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar.

    Sementara itu, Ketua Polis Kangar, Yusharifuddin Mohd. Yusop, mengesahkan suspek dibebaskan dengan jaminan polis.

    Beliau berkata, suspek ditahan semalam selepas dipanggil untuk memberikan keterangan di Balai Polis Kangar sekitar 1 tengah hari berhubung kes berkenaan.

    “Suspek ditahan berhubung satu laporan polis yang dibuat pada 2 Mei lalu apabila seorang pelanggan sebuah kedai makan di Jalan Kaki Bukit, Kangar terbaca satu hantaran dimuat naik oleh suspek.

    “Hantaran berkenaan dimuat naik sekitar 10 malam hari sebelumnya oleh suspek pada Facebooknya serta mempunyai seramai 306,000 pengikut.

    “Berdasarkan pada hantaran berkenaan, suspek menggunakan gelaran dan anugerah ‘Datuk’ pada profil akaun Facebook dan pada paparan poster tertera nama beliau yang menggunakan gelaran berkenaan,” kata laporan itu.

    Katanya, sehubungan itu tiga kertas siasatan dibuka polis antaranya mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia.

    “Selain itu, kita turut membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 3(2) Akta Kesalahan yang berhubungan dengan Anugerah 2017,” katanya.

  • Sita akaun Bersatu: Hakim Ahmad Kamal akan dengar kes

    Sita akaun Bersatu: Hakim Ahmad Kamal akan dengar kes

    HAKIM Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Ahmad Kamal Md Shahid, dijadualkan untuk mendengar kes cabaran undang-undang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terhadap penyitaan dua akaun banknya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Ahmad Kamal juga merupakan hakim yang memberikan kelulusan kepada Bersatu pada bulan lalu supaya meneruskan cabaran undang-undang berasingan untuk membatalkan pembekuan akaun bank oleh SPRM.

    Permohonan mahkamah untuk semakan kehakiman Bersatu berkaitan dengan penyitaan akaun itu dijadualkan akan didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Wan Ahmad Farid Wan Salleh, hari ini.

    Bagaimanapun, semasa prosiding dalam talian hari ini, pasukan peguam parti pembangkang itu memohon agar kes tersebut dipindahkan ke mahkamah sivil di bawah presidennya, iaitu Ahmad Kamal. Permohonan pemindahan itu dibenarkan oleh Wan Ahmad Farid.

    Apabila dihubungi, peguam Bersatu, Rosli Dahlan mengesahkan keputusan itu, berkata pasukan guaman yang mewakili Peguam Persekutuan SPRM daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak membangkitkan bantahan terhadap permohonan pemindahan.

    Peguam tersebut berkata permohonan pemindahan tersebut kerana isu penyitaan akaun berkait rapat dengan isu pembekuan akaun yang menjadi subjek tindakan undang-undang yang lain.

    Dengan pemindahan kes hari ini, Ahmad Kamal akan mendengar kedua-dua kes berkaitan Bersatu itu, lapor Malaysiakini.

    Hakim tersebut kemudiannya akan menetapkan tarikh mendengar kes Bersatu memohon diberikan kebenaran meneruskan kes semakan kehakiman berkaitan dengan penyitaan akaun parti itu.

    Sekiranya Ahmad Kamal memberikan kebenaran, beliau kemudiannya akan menetapkan tarikh berasingan untuk mendengar hujah tindakan undang-undang.

    Pada 20 April, akaun parti Bersatu yang sebelum ini dibekukan oleh SPRM telah disita.

    SPRM dalam satu kenyataan menjelaskan akaun tersebut disita pada 11 April selepas mengemukakan perintah mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

    Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada laporan The Edge bertajuk ‘Bersatu asks MACC why two accounts still frozen after 90 days’ (Bersatu minta penjelasan SPRM mengapa dua akaun masih dibekukan selepas 90 hari).

    “Sebelum ini, akaun-akaun terbabit dibekukan pada 12 dan 13 Januari 2023 mengikut Seksyen 44 AMLATFPUAA 2001 bagi membantu siasatan terhadap wang yang disyaki daripada hasil haram.

    “Susulan itu, SPRM telah melaksanakan tindakan sitaan tersebut pada 11 April 2023 berhubung siasatan dan pertuduhan terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Md Yasin di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan AMLATFPUAA 2001,” kata agensi itu.

    Pada 20 Mac lalu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan dua pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan RM232.5 juta.

    Empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa dibuat di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, di mana Muhyiddin didakwa menggunakan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu ketika itu bagi mendapatkan rasuah sebanyak RM232.5 juta daripada tiga syarikat dan seorang individu, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

    Tiga syarikat tersebut ialah Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, dan Mamfor Sdn Bhd, manakala individu terbabit adalah Azman Yusoff.

    Dua pertuduhan pengubahan wang haram dinyatakan di bawah Seksyen 4(1)(b) Amlatfpuaa 2001 yang dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta yang sama.

    Individu berusia 76 tahun itu didakwa menerima RM120 juta hasil daripada aktiviti haram daripada Bukhary Equity Sdn Bhd antara 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022.

  • Yasin masih di Hospital Bahagia, laporan psikiatri belum tersedia

    Yasin masih di Hospital Bahagia, laporan psikiatri belum tersedia

    MAHKAMAH Sesyen Petaling Jaya hari ini diberitahu bahawa laporan psikiatri penyanyi dan komposer lagu, Yasin Sulaiman masih belum tersedia.

    Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin pada sebutan laporan psikiatri di hadapan Hakim Nik Nasimah Nik Mohamad, pagi ini.

    “Saya dimaklumkan bahawa laporan psikiatri masih belum sedia.

    “Justeru, pihak pendakwaan memohon satu lagi tarikh sebutan bagi laporan psikiatri tersebut,” katanya.

    Beliau turut memaklumkan bahawa pelantun lagu ‘Mimpi Laila’ itu tidak dapat menghadiri ke mahkamah pada hari ini ekoran masih berada di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi pemerhatian kesihatan mentalnya.

    Sementara itu, peguam yang mewakili Yasin, Ariff Azami Hussein mengesahkan perkara itu dan tidak membantah permohonan pihak pendakwaan bagi tarikh sebutan baharu.

    “Kami percaya mengikut undang-undang, pihak hospital mempunyai masa sehingga dua bulan untuk menyiapkan laporan psikiatri tertuduh,” ujar peguam itu.

    Mahkamah kemudian menetapkan 6 Julai depan bagi sebutan semula kes itu dan laporan psikiatri oleh pihak hospital.

    Pada prosiding sebelum ini mahkamah sama memerintahkan Yasin agar dirujuk ke hospital bahagia berkenaan untuk pemerhatian kesihatan mentalnya.

    Nik Nasimah memerintahkan demikian selepas membenarkan permohonan peguam Ariff Azami yang mewakili Yasin mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

    Ariff Azami membuat permohonan itu apabila memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan mempunyai asas yang kuat agar kesihatan mental Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 48, diperiksa oleh pakar psikiatri.

    Katanya, pemerhatian juga perlu dibuat untuk memastikan sama ada Yasin layak dibicarakan atas pertuduhan yang dihadapinya.

    Pihak pembelaan turut mengemukakan lima laporan perubatan yang antara lainnya mengesahkan sejarah kesihatan mental Yasin yang menghidap penyakit Bipolar Disorder Jenis 1 sejak 2007.

    “Laporan terkini yang dikeluarkan oleh University Malaya Specialist Centre (UMSC) mengesahkan keadaan mental dan kesihatan Yasin semakin merosot sehingga boleh membahayakan nyawa,” katanya pada prosiding itu, lapor Utusan TV.

    Pada 6 Julai tahun lalu, Yasin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan didapati dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di kondominium di Persiaran Surian Damansara, Kota Damansara, Petaling Jaya pada 5.30 petang, 24 Mac 2022.

  • Tembak kucing jiran, bekas tentera didenda RM20,000

    Tembak kucing jiran, bekas tentera didenda RM20,000

    SEORANG bekas tentera didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh selepas mengaku bersalah menembak seekor kucing jirannya dengan senapang angin tahun lalu.

    Aziz Tambi, 63, didakwa melakukan penganiayaan terhadap haiwan dengan menyebabkan penderitaan tidak sepatutnya terhadap kucing milik Amran Majid, 45, dengan cara menembaknya.

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Lorong Mat Lajis, Bukit Rambai di Melaka Tengah kira-kira 2.30 petang 18 Jun 2022.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang membawa denda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

    Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin memohon hukuman setimpal ke atas tertuduh bagi memberi pengajaran kepada masyarakat supaya tidak bertindak terburu-buru.

    Peguam Ishak Mohd Kari yang mewakili Aziz bagaimanapun merayu hukuman ringan atas alasan tertuduh pernah berjasa kepada negara dan menerima pingat penghargaan, selain tindakan itu diambil kerana lama bersabar dengan jirannya.

    Hakim Darmafikri Abu Adam memutuskan denda RM20,000 atau penjara enam bulan, jika gagal bayar denda.

  • Youtuber ‘Noel Faizal’ didenda RM2,500 miliki dadah

    Youtuber ‘Noel Faizal’ didenda RM2,500 miliki dadah

    YOUTUBER Noel Faizal didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di Petaling Jaya hari ini selepas mengaku bersalah memiliki dadah jenis methamphetamine di kawasan tempat letak kereta sebuah kondominium, Mac lepas.

    Majistret Muhammad Iskandar Zainol turut memerintahkan Noel Faizal atau nama sebenarnya Noel Faizal Firdaus Muhamad, 40, dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

    Mengikut pertuduhan pindaan, Noel Faizal didakwa ada dalam kawalannya 0.68 gram dadah jenis methamphetamine di kawasan tempat letak kereta sebuah kondominium, Damansara Perdana di Petaling Jaya pada 2.15 pagi, 21 Mac lepas.

    Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 1980) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

    Timbalan Pendakwa Raya Loh Xian Yee memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh, mengambil kira faktor kepentingan awam serta kekerapan kes dadah yang berlaku manakala Noel Faizal yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.

  • Mahkamah tolak rayuan Rosmah cabar kes rasuah solar

    Mahkamah tolak rayuan Rosmah cabar kes rasuah solar

    MAHKAMAH Rayuan menolak permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan cabaran undang-undang untuk membatalkan kes rasuah terhadapnya yang dikaitkan dengan projek tenaga hibrid solar bernilai RM1.25 bilion, lapor Malaysiakini.

    Panel tiga hakim yang bersidang, dipengerusikan oleh Hakim Hanipah Farikullah sebulat suara menolak permohonan supaya isteri kepada bekas perdana menteri yang dipenjarakan Datuk Seri Najib Razak meneruskan semakan kehakimannya yang mencabar kesahihan pelantikan ketua pendakwa raya kes solar, mendiang Gopal Sri Ram.

    Prosiding hari ini ditetapkan buat panel hakim yang turut diketuai oleh Hakim Che Mohd. Ruzima Ghazali dan See Mee Chun untuk menyampaikan keputusannya berhubung rayuan Rosmah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi (bidang kuasa sivil) Kuala Lumpur pada 30 Ogos tahun lepas.

    Pada 1 September tahun lepas, Mahkamah Tinggi (bidang kuasa jenayah) Kuala Lumpur mensabitkan Rosmah bersalah dalam kes rasuah dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta.

    Bagaimanapun, beliau memperoleh penangguhan pelaksanaan terhadap hukuman itu, dan rayuan jenayahnya yang berasingan terhadap keputusan bersalah berkenaan ditetapkan untuk dibicarakan di hadapan Mahkamah Rayuan pada 11 Julai (perbicaraan pada mulanya ditetapkan untuk pendengaran pada bulan Jun sebelum tarikh itu dikosongkan).

    Mahkamah Rayuan juga memerintahkan Rosmah membayar kos RM10,000 kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

  • Tangkap layar perbualan Ebit-pengadu didedah di mahkamah

    Tangkap layar perbualan Ebit-pengadu didedah di mahkamah

    MAHKAMAH diberitahu tangkap layar perbualan antara pendakwah, Ebit Lew dan pengadu bermula sejak 2021.

    Ia didedahkan menerusi analisis telefon bimbit milik pengadu yang dilakukan Juruanalisis Kanan Audio/Video Makmal Forensik Polis Cheras, Latifah Abdul Aziz di Mahkamah Majistret Tenom.

    Latifah, saksi ketujuh pendakwaan memberitahu tangkap layar diperoleh daripada telefon bimbit bertanda NA-1 menunjukkan perbualan menerusi WhatsApp bermula 4 Mac 2021.

    Itu antara perkara dijelaskan saksi berdasarkan 219 gambar tangkap layar diperoleh daripada telefon bimbit pengadu yang disimpan dalam sebuah cakera padat DVD-R, salah satu bahan bukti kes gangguan seksual melibatkan Ebit atau nama sebenarnya sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew.

    Dalam perbicaraan lalu, telefon bimbit bertanda NA-1 iaitu Samsung Galaxy A31 diserahkan kepada pegawai penyiasat oleh pengadu ketika membuat laporan polis di Bukit Aman pada 7 Ogos 2021.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, yang mengetuai pemeriksaan utama turut meminta penjelasan saksi mengenai tangkap layar memaparkan nombor 02:28 am dalam gambar tangkap layar pertama.

    Saksi menjelaskan nombor yang tertera merujuk kepada masa mesej berkenaan dihantar kepada penerima (pengadu), menurut Utusan Malaysia.

    Gambar tangkap layar dipaparkan juga menunjukkan terdapat panggilan suara tidak dijawab pada dua tarikh berbeza yang dilakukan oleh pengirim mesej (Ebit) kepada penerima (pengadu).

    Perbicaraan kali ini berlangsung tanpa kehadiran Ebit kerana peguamnya memaklumkan pendakwah itu menunaikan haji di Makkah.

    Ebit berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui WhatsApp yang didakwa berlaku di Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

    Perbicaraan berlangsung di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad serta Zahida Zakaria.

    Ebit diwakili peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Mohd. Syarulnizam Salleh Keruak.

  • Bekas anggota tentera perdaya 5 mangsa dipenjara 6 bulan

    Bekas anggota tentera perdaya 5 mangsa dipenjara 6 bulan

    BEKAS anggota tentera dihadapkan di Mahkamah Majistret Seremban, hari ini atas lima pertuduhan memperdayakan lima mangsa dengan membuat pembayaran dalam talian tidak wujud bagi pembelian pelbagai barangan dengan jumlah keseluruhan hampir RM20,000, bulan lalu.

    Tertuduh, Mohammad Norikhwan Adha Mohamad, 26, mengaku bersalah di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosni selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh memperdayakan lima mangsa berbeza dengan membuat transaksi bayaran yang tidak wujud ke akaun mangsa bagi pembelian sebuah motosikal, pelbagai pakaian, tiga telefon bimbit jenama iPhone dan pelbagai aksesori telefon serta peranti dengan nilai keseluruhan RM19,916.

    Dengan itu tertuduh dengan curangnya mendorong semua mangsa untuk menyerahkan semua barang berkenaan kepada tertuduh yang mana mangsa tidak akan melakukan sedemikian sekiranya tidak diperdayakan.

    Kesalahan dilakukan di lima lokasi di daerah Nilai, pada dari pukul 5.02 petang 17 Mei hingga pukul 7.36 malam 18 Mei lalu, lapor Harian Metro.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama yang membawa hukuman penjara selama tempoh maksimum lima tahun, atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Syed Fadil Syed Othman dan M. Parameswari yang mewakili tertuduh memohon hukuman penjara minimum memandang tertuduh kini tidak bekerja dan menanggung isteri, seorang anak serta ibu bapa yang uzur.

    Pendakwaan yang dikendali Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi dan Nurul Muhaimin Mohd Azman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

    Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman enam bulan penjara bermula dari tarikh sabitan.

    Dalam kamar sama, tertuduh bersama Muhammad Asyraf Zaini, 27 dan Abdul Rahman Zaini, 30, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki dadah berbahaya jenis syabu anggaran berat 6.30 gram di sebuah rumah beralamat di Taman Desa Palma, dekat Nilai, pukul 10 pagi, 16 Jun lalu.

    Justeru, ketiga-tiga tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(1) akta yang sama.

    Ketiga-tiga tertuduh diberi jaminan sebanyak RM3,000 seorang dan sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Ogos depan.