Category: Mahkamah

  • Tiga penguat kuasa JPJ mengaku salah terima suapan

    Tiga penguat kuasa JPJ mengaku salah terima suapan

    TIGA pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) masing-masing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menerima suapan berjumlah RM20,000 pada 2021.

    Tertuduh, Mohamad Fadzli Robaini, 32; Sazali Rani, 53, dan Mohd. Khairumin Sahdan, 35, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

    Sinar Harian melaporkan, ketiga-tiga mereka yang bertugas di Unit Peronda Lebuhraya Jelapang itu juga berdepan hukuman penjara satu bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

    Kesemua tertuduh didakwa telah menerima wang tunai berjumlah RM20,000 daripada Lee Kok Wong, 29, agar tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas Cheong Chee Wei, 41 atas kesalahan membawa barang muatan arak tanpa surat kebenaran semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Perbuatan itu dilakukan di tepi Lebuh Raya Utara-Selatan dalam daerah Kinta antara pukul 10 pagi hingga 1.10 petang pada 6 Jun 2021.

    Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

    Mahkamah kemudiannya memerintahkan wang rasuah berjumlah RM18,65011 daripada ketiga-tiga tertuduh dilucuthakkan di bawah seksyen 40(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kepada kerajaan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Muhaimin Ari

  • Lelaki edar ganja berhadapan hukuman mati di Marang

    Lelaki edar ganja berhadapan hukuman mati di Marang

    SEORANG  lelaki berhadapan hukuman mati selepas didakwa atas dua pertuduhan mengedar dadah dengan berat keseluruhan kira-kira 13.75 kilogram, di Mahkamah Majistret Marang di Marang.

    Tertuduh Aziz Said, 55, juga hari ini didakwa atas tuduhan mengambil dadah di mahkamah yang sama dan ketiga-tiga pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

    Bagi pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine masing-masing seberat 13,199.52 gram (g) dan 555.2g pada 18 April, lebih kurang 12.50 tengah malam di Kampung Surau Haji Yaakob di Marang.

    Pertuduhan di bawah Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 itu, boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan juga sebatan tidak kurang 15 sebatan jika tidak dihukum mati.

    Bagi pertuduhan ketiga pula, lelaki yang bekerja sendiri itu didakwa telah memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam badannya sendiri pada tarikh yang sama, jam lebih kurang 4 pagi di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Marang.

    Aziz melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 15(1) (a) ADB 1952 (Pindaan 2002) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) (a) akta sama, yang boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, dan diikuti dengan perintah pengawasan di bawah Seksyen 38B ADB (Pindaan 2002) antara dua hingga tiga tahun.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Rabiatul Adawiyah Nik Soupy manakala tertuduh tidak diwakili peguam, dan mahkamah menetapkan 28 Julai ini sebagai sebutan semula kes.

     — BERNAMA

  • Lelaki didenda RM1,700 kerana ponteng puasa

    Lelaki didenda RM1,700 kerana ponteng puasa

    SEORANG lelaki didenda sebanyak RM1,700 oleh Mahkamah Rendah Syariah Tumpat hari ini selepas mengaku bersalah kerana tidak berpuasa.

    Tertuduh berusia 35 tahun yang bekerja sebagai buruh mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Tumpat, Mazlan Abdullah semasa pertuduhan dibacakan ke atasnya.

    Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasan Undang-Udang Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik), Mohd. Fadzuli Mohd. Zin berkata, lelaki berkenaan ditangkap semasa sedang makan nasi di sebuah kedai runcit di Kampung Sedar, Tumpat pada 14 April lalu.

    “Kesalahan itu dilakukan lelaki berkenaan semasa serbuan dilakukan oleh pihak kami pada pukul 9.20 pagi.

    “Kesalahan itu dilakukan bawah Seksyen 10 (b) Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata, mengikut seksyen tersebut pesalah boleh dijatuhkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

    Bagaimanapun, tertuduh telah membayar denda tersebut sebagaimana ditetapkan oleh pihak mahkamah.

    “Jika gagal berbuat demikian tertuduh boleh dijatuhkan hukuman penjara selama tujuh bulan,” katanya.

  • Pembantu Perawatan Kesihatan mengaku tidak bersalah tuduhan menipu

    Pembantu Perawatan Kesihatan mengaku tidak bersalah tuduhan menipu

    SEORANG Pembantu Perawatan Kesihatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini, atas 16 pertuduhan menipu dan memperdaya seorang wanita melalui tawaran pelaburan emas tidak wujud membabitkan kerugian berjumlah RM61,050 antara 25 November hingga 21 Disember tahun lalu.

    Nurfatin Natasha Abdullah, 28, membaut pengakuan itu selepas semua pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu rakan sekerjanya, Aida Masirah Mohd Salleh, 51, dengan cara memperdayakan mangsa melalui tawaran pelaburan emas yang tidak wujud dan dengan curang mendorong mangsa membuat transaksi pindahan wang antara RM500 hingga RM20,000 ke dua akaun bank.

    Memetik laporan Harian Metro, perbuatan itu dilakukan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian antara 25 November 2021 sehingga 21 Disember 2021.

    Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, Nurul Hanini tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh kerana kes berkenaan serius dan membabitkan penipuan.

    Tertuduh memohon supaya dibenarkan diikat jamin dengan kadar minimum.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM16,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.

    Mahkamah juga menetapkan 18 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Tertuduh membayar jumlah jaminan berkenaan.

  • Bekas kontraktor wanita mengaku tidak bersalah 33 tuduhan menipu

    Bekas kontraktor wanita mengaku tidak bersalah 33 tuduhan menipu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG bekas kontraktor didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini pada Rabu atas 33 pertuduhan memalsukan dokumen bagi mendapatkan tender kepada empat syarikat miliknya, pada 2017 hingga 2019.

    Tertuduh Azlinda Abd Aziz, 45, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail, secara berasingan.

    Mengikut kertas pendakwaan, bagi 30 pertuduhan, tertuduh didakwa memalsukan dokumen Sijil Akuan Pendaftaran Syarikat Kementerian Kewangan Malaysia (KKM) dan Sijil Akuan Pendaftaran Syarikat Bumiputera KKM atas nama tiga syarikat dengan niat supaya dokumen-dokumen palsu tersebut digunakan bagi tujuan hendak menipu.

    Sementara baki tiga pertuduhan lagi, tertuduh didakwa memalsukan dokumen Sijil Perakuan Pendaftaran CIDB Malaysia, Sijil Perolehan Kerja Kerajaan CIDB Malaysia dan Sijil Kontraktor Kerja Taraf Bumiputera Pusat Khidmat Kontraktor Kementerian Kerja Raya Malaysia.

    Ketiga-tiga sijil berkenaan sebenarnya tidak wujud dan tidak diiktiraf oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK).

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara November 2017 hingga Oktober 2019 di Unit Perolehan Jabatan Khidmat Pengurusan, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Iskandar Puteri, dekat sini.

    Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun, dan juga denda.

    Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dayang Masneh Deh manakala tertuduh diwakili peguam, Matthews Jud dan Omar Kutty Maiadr.

    Hakim menetapkan tertuduh diikat jamin RM23,000 dengan seorang penjamkn warga tempatan dan pasport diserahkan kepada pihak Mahkamah sehingga perbicaraan selesai.

    Mahkamah menetapkan 30 Mei depan sebagai tarikh penghantaran dokumen.

  • Kes penemuan mayat wanita, rangka budak: Tertuduh tukar pengakuan

    Kes penemuan mayat wanita, rangka budak: Tertuduh tukar pengakuan

    SEORANG tertuduh untuk kes penemuan mayat wanita di Bukit Putus dan penemuan rangka kanak-kanak berusia lima tahun di Jalan Bukit Zamrud, Seremban menukar pengakuan tidak bersalah bagi pertuduhan menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang wanita, Siti Syarifah Aibiddin.

    Harian Metro melaporkan, tertuduh, Khalid Redza Shuib, 41, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd. Firdaus Saleh di Mahkamah Majistret Seremban selepas pertuduhan dibacakan kali kedua pada prosiding sebutan semula, hari ini.

    Mengikut fakta kes, pada 23 Mac lalu, doktor di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) yang melakukan pemeriksaan terhadap mangsa mendapati dia mengalami luka melecur baru dan lama di seluruh badan seperti ditekap objek panas selain patah tulang femur sebelah kanan dan luka kecil di muka.

    Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun dan denda.

    Khalid pada 13 Mei lalu dilaporkan mengaku bersalah menyebabkan kecederaan parah ke atas Siti Syarifah, 35, yang dilakukan di sebuah rumah di Taman Nee Yan, Seremban antara 1 Disember 2021 hingga 23 Mac 2022.

    Terdahulu, Siti Syarifah dilihat hadir ke mahkamah kira-kira jam 10 pagi dengan berkerusi roda sambil diiringi bapanya dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

    Siti Syarifah sepatutnya memberikan kenyataan impak dan mahkamah seterusnya menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, namun tidak dapat berbuat demikian selepas tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah.

    Tertuduh tidak diwakili peguam manakala peguam Datuk Hanif Hassan mewakili keluarga Siti Syarifah.

    Hanif berkata, sepatutnya mangsa hadir ke mahkamah hari ini untuk mengemukakan kenyataan impak dengan kerelaannya sendiri.

    “Nampak semangat mangsa yang tinggi (untuk hadir) dan kini dia dijaga oleh keluarga,” katanya ketika ditemui di luar kamar mahkamah, hari ini.

    Mahkamah menetapkan sebutan semula pada 17 Mei depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam serta tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

    Media pada 13 April lalu melaporkan Khalid dan anaknya yang berusia 18 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.

    Menurut pertuduhan, mereka secara bersama-sama pada 3 Mac 2022 kira-kira 7 malam di sebuah rumah di Taman Nee Yan menyebabkan kematian Hanan Hasrul Izwan, 5.

    Khalid Redza turut didakwa membunuh Meriammah Abdullah Basam, 29, pada tarikh antara 15 hingga 17 Mac 2022 di lokasi sama namun tiada pengakuan direkodkan bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan.

    Media sebelum ini melaporkan polis menemukan rangka milik kanak-kanak perempuan di Jalan Bukit Zamrud, 7 April lalu selepas operasi pencarian dilakukan sejak 28 Mac lalu.

  • Nagaentran jalani hukuman mati di Penjara Changi

    Nagaentran jalani hukuman mati di Penjara Changi

    RAKYAT Malaysia Nagaentran Dharmalingam menjalani hukuman mati di Penjara Changi di Singapura , pagi ini dan mayatnya akan dihantar pulang ke Ipoh hari ini.

    Perkara itu telah disahkan adiknya Navin Kumar kepada Bernama.

    Ketika dihubungi, Navin masih berada di Penjara Changi untuk menuntut mayat abangnya.  Nagaentran, 34, anak kedua daripada empat beradik.

    Pada Selasa (26 April), Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan terakhir yang difailkan ibu Nagaethran untuk mencabar keputusan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadap anaknya.

    Panchalai Supermaniam memfailkan permohonan itu dengan bantuan rakan-rakan dan aktivis tanpa diwakili mana-mana peguam.

    Perbicaraan didengar di hadapan tiga Hakim iaitu Andrew Phang; Judith Prakash; dan Belinda Ang

    Asas kepada cabaran undang-undang itu ialah Hakim Sundaresh Menon yang mengetuai dan menolak rayuan Nagaenthran sebelum ini merupakan Peguam Negara yang telah mendakwa Nagaenthran dan memastikan sabitannya.

    Selepas permohonan ibunya ditolak, mahkamah membenarkan Nagaentran berpegangan tangan dengan tujuh ahli keluarganya yang hadir di kamar mahkamah.

    Berasal dari Perak, Nagaenthran dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72g heroin pada 2009 ke Singapura, yang diketahui antara negara yang mempunyai undang-undang narkotik paling tegas di dunia.

    Dia sepatutnya dihukum gantung pada 10 Nov 2021, tetapi memperoleh penangguhan sementara pada 9 Nov selepas mahkamah diberitahu dia positif COVID-19 ketika hadir untuk percubaan rayuan terakhir terhadap hukuman matinya.

    Pada 7 Nov 2021, dilaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menulis surat kepada rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong memohon kelonggaran dalam kes itu.

    Sementara itu, pada 3 Dis, Presiden Singapura Halimah Yacob berkata Nagaenthran telah diberikan proses undang-undang yang sewajarnya.

    — BERNAMA

  • Rayuan ditolak, Nagaenthran jalani hukuman gantung esok

    Rayuan ditolak, Nagaenthran jalani hukuman gantung esok

    MAHKAMAH  Rayuan Singapura menolak rayuan terakhir difailkan ibu Nagaenthran K Dharmalingam untuk mencabar keputusan bagi mengenepikan sabitan dan hukuman mati terhadap anaknya.

    Dengan keputusan itu, ia menamatkan ikhtiar saat akhir warga Malaysia berusia 34 tahun itu yang dijadualkan dihukum gantung esok selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman mati ke atasnya bulan lalu.

    Ibu Nagaenthran, Panchalai Supermaniam memfailkan permohonan itu dengan bantuan rakan dan aktivis tanpa diwakili peguam.

    Terdahulu, semasa perbicaraan, Panchalai berkata melalui jurubahasa: “Saya ibunya. Saya membuat petisyen. Kami mahu dia hidup. Kami perlu mendapatkan peguam untuk kes ini.”

    Dia ditemani anak saudaranya, Thenmoli Sunniah.

    Asas kepada cabaran undang-undang itu ialah Hakim Sundaresh Menon yang mengetuai dan menolak rayuan Nagaenthran sebelum ini merupakan peguam negara yang telah mendakwa Nagaenthran dan memastikan sabitannya.

    Perbicaraan didengar di hadapan tiga hakim iaitu Andrew Phang, Judith Prakash dan Belinda Ang bermula 2.30 petang dan ditangguhkan kira-kira 30 minit kemudian sebelum disambung semula pada 4.30 petang untuk mendengar keputusan.

    Selepas permohonan ibunya ditolak, mahkamah membenarkan Nagaenthran berpegangan tangan dengan tujuh ahli keluarganya yang hadir di kamar mahkamah.

    Mengenakan pakaian seragam penjara berwarna ungu, Nagaenthran kelihatan tenang semasa bercakap dengan ibu dan ahli keluarganya.

    Berasal dari Perak, Nagaenthran dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72g heroin pada 2009 ke Singapura, yang diketahui antara negara mempunyai undang-undang narkotik paling tegas di dunia.

    Kes Nagaenthran menarik perhatian antarabangsa.

    Pada 7 Nov 2021, dilaporkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menulis surat kepada rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong memohon kelonggaran dalam kes itu.

    Sementara itu pada 3 Dis, Presiden Singapura Halimah Yacob berkata, Nagaenthran telah diberikan proses undang-undang yang sewajarnya.

    Peguam Nagaenthran mendakwa anak guamnya kurang upaya dari segi intelek.

    Dia sepatutnya dihukum gantung pada 10 Nov 2021, tetapi mendapat penangguhan sementara pada 9 Nov selepas mahkamah diberitahu dia positif Covid-19 apabila hadir untuk percubaan rayuan terakhir terhadap hukuman matinya.

  • Kes bunuh: Bekas finalis MasterChef Malaysia dibenar ikat jamin

    Kes bunuh: Bekas finalis MasterChef Malaysia dibenar ikat jamin

    BEKAS finalis program MasterChef Malaysia 2012, Etiqah Siti Noorashikeen Mohd Sulong yang menghadapi pertuduhan membunuh, dibenar diikat jamin oleh Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini sementara menunggu kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

    Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Lee Swee Seng, Datuk Supang Lian dan Datuk M. Gunalan dalam keputusan sebulat suara, membenarkan Etiqah diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.

    Mahkamah juga memerintahkannya menyerahkan pasport kepada Mahkamah Majistret Kota Kinabalu dan melapor diri di Balai Polis Penampang pada hari Isnin setiap minggu.

    Peguam Etiqah, Datuk Seri K. Rakhbir Singh memberitahu pemberita bahawa Hakim Lee yang menyampaikan keputusan, memutuskan bahawa terdapat merit dalam permohonan ikat jamin Etiqah dan mahkamah berpuas hati terdapat keadaan khas untuk memberikan ikat jamin.

    Bekas finalis MasterChef Malaysia berusia 34 tahun itu yang juga jurutera Petronas didakwa bersama suaminya, Mohammad Ambree Yunos @Unos, 41, seorang kontraktor, di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pada 29 Dis tahun lepas kerana membunuh pembantu rumah mereka.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada Etiqah dan Mohammad Ambree.

    Pasangan itu didakwa membunuh Nur Afiah Daeng Damin, 28, di sebuah rumah di Amber Tower, Lido Avenue, Jalan Lintas, Penampang antara 10 dan 13 Dis tahun lepas.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

    Pada prosiding mahkamah yang dijalankan secara maya hari ini, Rakhbir Singh memohon anak guamnya (Etiqah) dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan dengan mengatakan bahawa Etiqah sakit dan mempunyai anak kembar yang kedua-duanya autistik.

    Beliau memohon Etiqah diberi ikat jamin di bawah Seksyen 388(1) Kanun Prosedur Jenayah yang menyatakan bahawa mahkamah boleh mengarahkan mana-mana orang di bawah umur 16 tahun atau mana-mana wanita atau mana-mana orang sakit yang dituduh melakukan kesalahan itu dibebaskan dengan ikat jamin.

    Rakhbir Singh berkata sebelum ini Mahkamah Majistret dan Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan anak guamnya.

    Menurut Rakhbir Singh kes itu masih belum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

    Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar mewakili pendakwaan. – BERNAMA

  • Lelaki Kanada didenda RM100 tunjuk isyarat lucah, RM700 tak pakai pelitup muka

    Lelaki Kanada didenda RM100 tunjuk isyarat lucah, RM700 tak pakai pelitup muka

    SEORANG lelaki warga Kanada didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini kerana menunjukkan isyarat lucah kepada pengawal keselamatan sebuah pasar raya dan tidak memakai pelitup muka, dua minggu lepas.

    Majistret S. Mageswary menjatuhkan hukuman itu terhadap Theberge Travis Lee, 44, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan itu dan memerintahkan tertuduh dipenjara 15 hari jika gagal membayar denda.

    Tertuduh didenda RM100 atau sehari penjara untuk pertuduhan pertama manakala pertuduhan kedua dia didenda RM700 atau dua minggu penjara dan lelaki itu membayar denda berkenaan.

    Bagi pertuduhan pertama, Travis Lee didakwa melakukan perbuatan kurang sopan dengan menunjukkan isyarat jari tengah kepada Padam Giri dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan di sebuah pasar raya di Jalan Ampang di sini, pada 9.30 malam, 16 April lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100, jika sabit kesalahan.

    Lelaki itu juga didakwa tidak memakai pelitup muka di pasar raya berkenaan yang merupakan tempat dalam kawasan tempatan jangkitan yang bukan bertujuan untuk melakukan mana-mana perkara yang diperuntukkan di bawah Peraturan 17 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2022.

    Kesalahan itu yang didakwa dilakukan pada masa dan tarikh yang sama boleh dihukum di bawah Peraturan 18(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2022, yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

    Terdahulu, Peguam Jayananda Rao memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya yang bekerja di sebuah syarikat minyak dan gas baru sahaja bekerja di negara ini dan perlu menanggung tiga kakaknya yang berada di Kanada.

    “Anak guam saya memohon maaf dan kesal atas tindakannya yang melulu itu serta berjanji tidak akan mengulanginya lagi,” katanya menambah ini merupakan kesalahan pertama tertuduh.

    Timbalan Pendakwa Raya Wardah Nasuha Safian memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.

    Pada 17 April lepas, tular sebuah video berdurasi 18 saat dimuat naik dua pemilik akaun TikTok memaparkan tindakan agresif lelaki itu terhadap pengawal keselamatan di pasar raya berkenaan. – BERNAMA