Category: Mahkamah

  • Siasatan lanjut penyerang Kamal Adli, Mahkamah Singapura tangguh ke 10 Julai

    Siasatan lanjut penyerang Kamal Adli, Mahkamah Singapura tangguh ke 10 Julai

    MAHKAMAH Singapura membenarkan penangguhan dua minggu lagi untuk pendakwa raya menjalankan siasatan lanjut ke atas seorang lelaki yang didakwa menyerang pelakon Kamal Adli.

    Hakim Daerah Ong Hian Sun juga mengekalkan tiada jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 10 Julai untuk sebutan kes.

    “Pendakwaan kes polis belum lagi bersedia. Kami memohon penangguhan selama dua minggu. AGC (Jabatan Peguam Negara) telah berunding dan IO (pegawai penyiasat) telah dibimbing untuk menjalankan siasatan lanjut,” kata pendakwa raya.

    Wee tidak mempunyai bantahan terhadap penangguhan itu dan juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya telah mengarahkannya untuk membuat permohonan ikat jamin.

    Wee juga bertanya kepada pihak pendakwaan sama ada siasatan lanjut pihak berkuasa berkaitan dengan pertuduhan baharu atau yang sedia ada.

    Pendakwa raya dalam reaksinya berkata: “Ia adalah atas pertuduhan sedia ada. Pertuduhan baharu masih belum ditawarkan.”

    Lelaki berusia 33 tahun itu didakwa di Mahkamah Negeri pada 14 Mac kerana “disyaki terlibat dalam kes menyebabkan kecederaan dengan senjata berbahaya secara sukarela”.

    Jika sabit kesalahan menyebabkan kecederaan secara sukarela dengan senjata berbahaya di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, rotan, atau mana-mana kombinasi hukuman.

    Pada 12 Mac, polis telah dimaklumkan mengenai kes di 1 Expo Drive, suspek didakwa menyerang pelakon berusia 36 tahun itu dengan baton yang kemudian dirampas oleh polis sebagai bukti.

    Kamal yang cedera terpaksa menjalani pembedahan di sebuah hospital di Singapura.

    Kamal dan isterinya, Uqasha Senrose berada di Singapura untuk acara Jualan Mega Hari Raya 2023 selama tiga hari bermula 10 Mac, di Dewan 5A Ekspo Singapura apabila insiden itu berlaku pada penghujung acara.

  • Kuasa, hak, keistimewaan ‘Inspektor Sheila’ digantung

    Kuasa, hak, keistimewaan ‘Inspektor Sheila’ digantung

    SEGALA kuasa-kuasa, hak dan keistimewaan seorang pegawai polis percubaan dikenali sebagai Inspektor Sheila digantung sehingga diputuskan pihak berkuasa tatatertib (PBT) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, Inspektor Sheila atau nama penuhnya Sheila Sharon Steven Kumar, 35, telah diperintah tahan kerja.

    Katanya, perintah tahan kerja itu mengikut Seksyen 78 Akta Polis 1967.

    “Pada 26 Jun 2023, Inspektor Percubaan Sheila Sharon Steven Kumar telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang dengan tiga pertuduhan jenayah iaitu dua di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan satu di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

    “Perintah tahan kerja di bawah Seksyen 78 Akta Polis 1967 telah pun disempurnakan ke atas subjek.

    “Sehubungan itu, segala kuasa-kuasa, hak dan keistimewaan subjek sebagai seorang pegawai polis adalah tergantung sehingga diputuskan oleh PBT,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

    Pagi tadi, Inspektor Sheila didakwa di Mahkamah Majistret Selayang atas pertuduhan mengaibkan kehormatan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal.

    Tertuduh bagaimanapun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Nor Hafizah Rajuni.

    Mengikut kertas pertuduhan, Sheila didakwa telah didapati menyebut berkenaan pangkat dengan cara tidak wajar kepada Lans Koperal Abdul Arif Farhan Abdul Razak dengan maksud mengaibkan kehormatan anggota itu.

    Sementara itu, dalam mahkamah berasingan di hadapan Majistret Chai Guan Hock, Sheila turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan niat menghina kesopanan seorang lelaki berbangsa India berusia 41 tahun.

    Mengikut pertuduhan itu , Sheila telah berkata “kamu tengok badan kamu, gemuk, botak dan badak sumbu” terhadap pengadu tersebut.

    Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Sheila didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sehingga lima tahun atau denda, atau keduanya, jika sabit kesalahan.

    Pada prosiding sama, pegawai polis yang berkhidmat selama tujuh tahun itu juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita berbangsa India berusia 69 tahun.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada pengadu tersebut.

    Bagi kesalahan itu, pendakwaan adalah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau keduanya, jika sabit kesalahan.

  • Masalah jantung, rayuan Isa Samad ditangguh 16 Okt ini

    Masalah jantung, rayuan Isa Samad ditangguh 16 Okt ini

    PENDENGARAN rayuan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad terhadap sabitan dan hukuman penjara enam tahun serta denda bagi kesalahan rasuah berkaitan pembelian sebuah hotel di Sarawak, ditangguhkan sekali lagi berikutan bekas Pengerusi Felda itu dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Seremban kerana masalah jantung.

    Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin membenarkan penangguhan itu selepas peguam Datuk Salehuddin Saidin, yang mewakili Mohd Isa memaklumkan bahawa anak guamnya dimasukkan ke hospital malam tadi dan laporan perubatan telah diterima daripada pihak hospital pagi ini.

    “Isteri kepada Mohd Isa selaku penjamin juga tidak dapat hadir pada prosiding hari ini kerana semalam beliau mendapatkan suntikan pada lututnya yang sakit dan beliau tidak boleh berjalan hari ini akibat suntikan itu.

    “Kami baru dimaklumkan mengenai perkara itu dan pihak keluarga memohon maaf atas kesulitan tersebut,” kata peguam itu.

    Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz tidak membantah penangguhan rayuan berkenaan.

    Hakim Hadhariah, yang kemudiannya menetapkan 16 Okt depan untuk pendengaran rayuan berkata pihak mahkamah berharap agar Mohd Isa sihat pada tarikh pendengaran baharu itu.

    “Jika ada masalah sakit, tidak ada sesiapa boleh buat apa-apa,“ kata hakim itu.

    Sebelum ini, rayuan berkenaan ditetapkan pada 7 Mac lepas, namun pada tarikh itu, rayuan berkenaan dijadual semula hari ini (26 Jun) berikutan pihak pembelaan memerlukan masa untuk membalas hujahan pendakwaan.

    Pada 3 Feb 2021, Mahkamah Tinggi mensabitkan Mohd Isa, 73, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak, oleh Felda.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.

    Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

  • Rogol anak sepupu, warga emas dipenjara 36 tahun, 3 sebatan

    Rogol anak sepupu, warga emas dipenjara 36 tahun, 3 sebatan

    SEORANG warga emas dijatuhi hukuman penjara 36 tahun dan tiga sebatan di Mahkamah Sesyen Besut kerana merogol anak sepupunya empat tahun lepas.

    Hukuman itu diputuskan Hakim Ahmad Fadhli selepas mendapati tertuduh berusia 70 tahun itu didapati bersalah atas tuduhan dikenakan.

    Tertuduh didakwa merogol mangsa, yang ketika kejadian berusia 15 tahun lapan bulan, di sebuah rumah di Besut, pada pertengahan Mac 2019.

    Menurut Harian Metro, dia didakwa melakukan kesalahan sama terhadap mangsa di alamat sama pada akhir Mac dan Jun 2019.

    Bagi setiap kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan, dan dia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan satu sebatan bagi setiap tuduhan.

    Mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan secara berasingan bermula hari ini.

    Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan hukuman dengan jaminan RM15,000.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Rabiatul Adawiah Soupy, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Tetuan Wan Haron Syukri & Nordin.

  • Saman ditolak, syarikat teknologi diarah bayar RM14.39 juta kepada SSM

    Saman ditolak, syarikat teknologi diarah bayar RM14.39 juta kepada SSM

    SEBUAH syarikat teknologi dikehendaki membayar RM14.39 juta kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) selepas tuntutan samannya terhadap suruhanjaya itu ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    Dalam kenyataan hari ini, SSM menjelaskan saman tersebut difailkan Liberty Technology Resources Sdn Bhd (LTRSB) berikutan pihaknya menamatkan kontrak pembangunan sistem ‘Enterprise Resource Planning’ (ERP) pada 19 Dis 2019.

    Menurutnya, kontrak ditamatkan kerana LTRSB gagal membangun dan menyiapkan projek tersebut dalam tempoh ditetapkan walaupun dengan lanjutan masa.

    Perjanjian bagi pembangunan projek itu ditandatangani antara SSM dan LTRSB pada 13 Sept 2017.

    Menurut kenyataan itu, Hakim Ong Chee Kwan turut membenarkan tuntutan balas SSM, dengan LTRSB diarah memulangkan semula RM12,228,365.80 juta yang telah dibayar SSM, selain membayar RM1,966,812.94 juta sebagai ganti rugi tertentu dan ditetapkan kepada suruhanjaya itu.

    Hakim juga mengarahkan LTRSB membayar faedah sebanyak 5% atas jumlah tuntutan SSM yang dikira dari 26 Nov 2020 sehingga pembayaran penuh tuntutan SSM serta kos sebanyak RM200,000 kepada SSM.

  • Wang tunai lebih RM44 juta ditemui di pejabat dan rumah bekas Pengarah Jabatan Air Sabah – Saksi

    Wang tunai lebih RM44 juta ditemui di pejabat dan rumah bekas Pengarah Jabatan Air Sabah – Saksi

    *Wang tunai RM9 juta dan RM4 juta  dalam kereta Mazda dan Mercedes-Benz*

    MAHKAMAH Sesyen Kota Kinabalu, diberitahu bahawa wang tunai lebih RM44 juta ditemui di pejabat dan rumah bekas pengarah Jabatan Air Sabah (JANS), Ag Mohd Tahir Mohd Talib.

    Perkara itu dimaklumkan ketua pasukan serbuan nombor lapan, Hishammudin Mohammed Esa, 49, semasa pemeriksaan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Mahadi Abdul Jumaat.

    Hishammudin memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-40 di hadapan Hakim Abu Bakar Manat dalam perbicaraan skandal rasuah terbesar di Sabah itu.

    Beliau berkata, lebih RM23 juta ditemui semasa serbuan di pejabat Ag Tahir pada 4 Oktober 2016 di Wisma Muis.

    “RM62,500 ditemui dalam beg bertanda ‘Tahir’ di meja Ag Tahir. Wang tunai selebihnya ditemui di tiga lokasi lain di dalam bilik pantri – di sofa dengan tiga tempat duduk, kabinet TV serta kabinet kayu,” katanya sambil menambah bilik pantri itu berada di belakang meja Ag Tahir, lapor Berita Harian

    Beliau turut memberi keterangan bahawa setiap bungkusan wang antara RM50,000 dan RM100,000 dan hanya Ag Tahir yang mempunyai akses ke bilik pantri di pejabatnya.

    Bilik pantri itu adalah bilik dengan papan tanda “Go Away” di pintunya di mana timbunan wang tunai ditemui dan dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Hishammudin turut memberitahu pada hari sama, lebih RM21 juta ditemui ketika pasukannya menyerbu rumah Ag Tahir di Sembulan.

    Menjawab soalan, beliau berkata lebih RM8 juta ditemui dalam sebuah bilik di tingkat tiga rumah itu.

    Beliau turut berkata, 86 jam tangan berjenama dan mewah serta 921 barang kemas turut ditemui di rumah berkenaan.

    Saksi selanjutnya memberi keterangan bahawa pasukannya selanjutnya menemui wang tunai RM9 juta dan RM4 juta masing-masing di dalam kereta Mazda dan Mercedes-Benz.

    “Kira-kira RM9 juta ditemui dalam sebuah kereta Mazda. Wang itu dimasukkan ke dalam beberapa beg yang disimpan di dalam bonet kereta. Ketika itu kereta diparkir tidak jauh dari pagar rumah yang diletakkan di luar pagar rumah.

    “Sebanyak RM4 juta lagi ditemui di dalam sebuah Mercedes Benz. Wang itu dimasukkan ke dalam beg dan dimasukkan ke dalam bonet kereta,” katanya.

  • Kumpulan WhatsApp mengandungi gambar,video berunsur lucah ditemukan dalam telefon bimbit -saksi

    Kumpulan WhatsApp mengandungi gambar,video berunsur lucah ditemukan dalam telefon bimbit -saksi

    SEORANG saksi dalam perbicaraan kes pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew memberitahu Mahkamah Majistret Tenom hari ini satu Kumpulan WhatsApp  mengandungi gambar dan video berunsur lucah ditemukan dalam telefon bimbit yang diterimanya pada 8 Okt 2021.

    Juruanalisis Kanan Audio Video Polis Diraja Malaysia (PDRM) ASP Latifah Abdul Aziz, 43, berkata telefon bimbit itu dihantar ke makmal forensik PDRM kira-kira pukul 12.02 tengah hari oleh pegawai penyiasat.

    Saksi pendakwaan ketujuh itu berkata telefon bimbit itu disimpan dalam keadaan selamat, sebelum dikeluarkan pada 22 Okt 2021 untuk proses analisis namun telefon bimbit itu mempunyai kata laluan.

    “Saya menghubungi pegawai penyiasat untuk mendapatkan kata laluan bagi membolehkan akses oleh sistem analisis dan telah diberikan pada hari yang sama…saya kemudian jalankan analisis terhadap telefon bimbit itu sebelum menemukan Kumpulan WhatsApp itu,” katanya.

    Latifah berkata demikian semasa pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad yang bertanya hasil analisis saksi terhadap telefon bimbit yang diterimanya itu.

    Lew, 37, berdepan 11 pertuduhan, antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Majistret Nur Asyraf Zolhani menetapkan perbicaraan disambung dari 16 hingga 18 Ogos depan.

    — BERNAMA

  • Calon BN DUN Jelapang PRU-15 didakwa atas 77 pertuduhan menipu

    Calon BN DUN Jelapang PRU-15 didakwa atas 77 pertuduhan menipu

    SEORANG  calon wanita Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelapang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Taiping hari ini atas 77 pertuduhan menipu berhubung tawaran pembelian tanah dan rumah yang tidak wujud melibatkan kerugian RM350,000.

    Hamidah Muhamad, 47, membuat pengakuan itu di dua mahkamah iaitu 38 pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R. Prabakaran manakala 39 pertuduhan didengar di hadapan Majistret Nur Atiqah Sapari. 

    Suri rumah itu didakwa memperdaya empat mangsa antara 2021 dan 2022 dengan menawarkan mangsa membeli sebidang tanah di mukim Pokok Assam dan sebuah rumah dengan niat curang mendorong mangsa supaya memasukkan wang ke dalam akaunnya yang mangsa tidak akan memasukkan wang itu jika tidak diperdaya oleh tertuduh.

    Hamidah didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Insp Khoo Kian Peng dan Timbalan Pendakwa Raya Nur Amalina Harun manakala Hamidah diwakili peguam S. Singaradivel, lapor BERNAMA.

    Khoo berkata tertuduh tidak dicadang ditawarkan sebarang jaminan kerana kerugian bagi kesemua 38 kes itu mencecah kira-kira RM200,000 manakala bagi 39 pertuduhan lagi yang dikendalikan Nur Amalina, beliau juga tidak mencadangkan Hamidah ditawarkan sebarang jaminan kerana melibatkan kerugian RM150,000.

    Singaradivel bagaimanapun memohon anak guamnya diikat jamin atas alasan masalah kesihatan termasuk menghidap kanser otak dan tulang belakang serta perlu menelan 32 biji pil sehari bagi rawatan penyakitnya. 

    Bagaimanapun Prabakaran menetapkan jaminan RM12,000 secara kolektif dengan dua penjamin bagi 38 pertuduhan manakala Nur Atiqah juga menetapkan jumlah yang sama dengan syarat tambahan iaitu pasport tertuduh mesti diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai. 

    Kedua-dua mahkamah menetapkan 31 Julai bagi sebutan semula kes berkenaan. 

    Pada PRU15, Hamidah dari parti Makkal Sakti ketika itu mewakili BN menentang Cheah Pou Hian dari Pakatan Harapan (DAP) dan S. Navinten dari Perikatan Nasional (PAS) dalam pertembungan tiga penjuru di DUN Jelapang. 

    Cheah menang dengan 21,554 undi manakala Hamidah hanya meraih 1,443 undi. 

    — BERNAMA

  • Kes Wang Kelian : 4 warga Thailand didakwa seludup imigran

    Kes Wang Kelian : 4 warga Thailand didakwa seludup imigran

    EMPAT warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar hari ini atas pertuduhan menjalankan penyeludupan migran terhadap dua warga Myanmar di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Padang Besar antara 2013 dan 2015.

    Keempat-empat lelaki itu, Jehpa Lapi-E, 56; Somphon A-Dam, 51; Arun Kaeofainok, 30; dan Amree Nesalaeh, 58; masing-masing menghadapi satu pertuduhan yang dibacakan secara berasingan dalam bahasa Thai oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Musyiri Peet.

    Kesemua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan, namun tiada pengakuan direkodkan berikutan pertuduhan dibuat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mengikut pertuduhan, tiga tertuduh iaitu Jehpa Lapi-E, Somphon A-Dam dan Arun Kaeofainok didakwa menjalankan penyeludupan migran terhadap seorang lelaki warga Myanmar iaitu Mohd Belal di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Padang Besar pada Februari 2013 sehingga April 2013.

    Sementara seorang lagi tertuduh, Amree Nesalaeh didakwa menjalankan penyeludupan migran seorang lelaki warga Myanmar iaitu Zedul Islam di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Padang Besar lebih kurang 5.30 pagi pada Ogos 2014 sehingga Mac 2015.

    Keempat-empat tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan boleh dikenakan denda, atau kedua-duanya.

    Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 25 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asyraf Md Kamal, VV Suloshini dan Lee Jun Keong manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

    Pada Mei 2015, Malaysia dikejutkan dengan penemuan kem dan kubur di Wang Kelian yang menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat dari dalam dan luar negara.

    Susulan hasil siasatan dijalankan, kerajaan Malaysia mengemukakan permintaan ekstradisi kepada kerajaan Thailand terhadap 10 individu warga Thailand pada 6 Jan 2017, dan kedua-dua negara telah berusaha untuk mengesan kesemua individu berkenaan bagi melaksanakan proses ekstradisi.

    Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata empat warga Thailand yang disyaki terlibat dalam kes penemuan kem pemerdagangan manusia dan kubur di Wang Kelian, Perlis pada 2015 diekstradisi ke Malaysia semalam, bagi menghadapi pertuduhan di mahkamah di Malaysia.

    Saifuddin Nasution berkata hasil daripada kerjasama baik antara kedua-dua negara, empat daripada 10 individu berjaya dikesan dan dihadapkan ke mahkamah Thailand bagi tujuan ekstradisi.

    — BERNAMA

  • Lokman Adam bebas tuduhan sebar berita palsu mengenai vaksin,Covid-19

    Lokman Adam bebas tuduhan sebar berita palsu mengenai vaksin,Covid-19

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Lokman Noor Adam daripada dua pertuduhan menyebarkan berita palsu di laman Facebook miliknya berhubung kemasukan warga India menyebar virus COVID-19 dan kematian seorang pegawai polis akibat vaksin, pada April dan Mei 2021.

    Bernama melaporkan, Hakim Nor Hasniah Ab Razak membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes yang dihadapi Lokman, 50, di bawah Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021, di akhir kes pendakwaan.

    “Pihak pendakwaan gagal mengasaskan satu kes prima facie terhadap tertuduh. Mahkamah dengan ini memerintahkan agar tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri terhadap pertuduhan yang dihadapinya. Wang jaminan (RM20,000) dikembalikan,” katanya.

    Pada 1 Okt 2021, Lokman mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menyebarkan berita tidak benar melalui rakaman audio visual tentang kemasukan warga India ke Malaysia yang menjadi penyebab penyebaran virus COVID-19 dan kematian seorang pegawai polis yang dikaitkan dengan vaksin.

    Penyebaran itu melalui aplikasi media sosial Facebook atas nama profil “Lokman Adam” itu dengan niat untuk menyebabkan kebimbangan kepada orang awam yang didakwa dilakukan pada 10.55 malam, 3 Mei dan 10.38 malam, 9 April 2021.

    Dua rakaman itu kemudian dilihat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, di sini pada 4.40 petang, 9 Mei dan 8.55 malam, 11 April 2021. 

    Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datin Kalmizah Salleh manakala Lokman diwakili peguam Logen Eskander.

    Ketika ditemui media di luar mahkamah selepas prosiding, Lokman yang hadir ke mahkamah berbaju Melayu biru mengucapkan terima kasih kepada hakim dan mahkamah yang mendengar kesnya serta peguam yang mewakili beliau.

    “Dengan pembebasan saya daripada pertuduhan ini, maknanya seperti yang dihujahkan peguam saya, tidak ada keterangan saya yang menyalahi fakta ataupun bak kata orang, tidak benar,” kata Lokman.