Category: Mahkamah

  • Pengarah syarikat sarung tangan dituduh pengubahan wang haram lebih RM1 juta

    Pengarah syarikat sarung tangan dituduh pengubahan wang haram lebih RM1 juta

    SEORANG pengarah syarikat jual beli sarung tangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas 14 pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM1 juta, dua tahun lepas.

    Mazne Che Mohd Amin, 32, didakwa telah memindahkan RM1.33 juta daripada akaun bank syarikatnya, NMOQ Trade Sdn Bhd, menerusi 14 transaksi yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, kepada sembilan akaun bank milik syarikat lain serta lima akaun perseorangan termasuk dua miliknya.

    Wanita itu dituduh melakukan semua perbuatan tersebut di cawangan sebuah bank di Sungai Besi antara 9 Sept hingga 17 Okt 2020.

    Pertuduhan mengikut perenggan 4(1)(b)Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan dibaca bersama subseksyen 87 (1), yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4 (1) akta sama dan dibaca bersama perenggan 87 (1) (a) akta serupa.

    Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.

    Timbalan Pendakwa Raya Noor Zalizan Lazarous menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

    Beliau turut memohon kesemua pertuduhan itu dibicarakan bersama dengan satu kes menipu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen 11 di sini.

    Peguam Luqman Mazlan yang mewakili Mazne memohon jaminan dikurangkan kepada RM20,000 dan anak guamnya akan akur dengan syarat-syarat jaminan lain.

    Hakim Helina Sulaiman menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada mahkamah dan mengarahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis setiap bulan.

    Helina membenarkan kes pengubahan wang haram itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen 11 dan menetapkan 13 Jun untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Pengasuh Taska mengaku tidak bersalah cakar, pukul bayi 11 bulan

    Pengasuh Taska mengaku tidak bersalah cakar, pukul bayi 11 bulan

    SEORANG pengasuh Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan menganiaya seorang bayi perempuan berusia 11 bulan dengan cara mencakar pipi dan memukul tubuh mangsa, minggu lalu.

    Tertuduh, Nabilah Md Johan, 27, dari Kampung Tedong, Merlimau, Melaka, mengangguk faham sejurus dibacakan pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin, namun tidak mengaku tidak bersalah serta meminta dibicarakan.

    Harian Metro melaporkan, berdasarkan pertuduhan, dia sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan iaitu guru atau pengasuh didapati menganiaya bayi terbabit berusia 11 bulan ketika kejadian dengan cara mencakar pipi sebelah kiri dan memukul badan mangsa dengan tangan.

    Kesalahan itu didakwa dilakukannya di Taska Ummi Ana, No 43, Jalan Sri Emas 25, Taman Seri Telok Emas pada 18 Mei lalu, kira-kira 5.30 petang hingga pukul 5.45 petang.

    Bagi kesalahan itu dia dituduh mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari yang menjalankan pendakwaan mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa.

    Peguam bela, Ab. Kadir Ismail yang mewakili tertuduh bagaimanapun membantah jumlah jaminan ditawarkan.

    “Jumlah jaminan yang ditawarkan terlalu tinggi, mohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan yang munasabah. Penjamin adalah ibu tertuduh sendiri,” katanya.

    Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Nariman menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan dalam apa juga keadaan sehingga perbicaraan selesai.

    Mahkamah kemudian menetapkan 23 Jun depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa dean serahan dokumen.

  • Jurulatih wushu hadapi 10 tuduhan lakukan amang seksual terhadap pelatih remaja

    Jurulatih wushu hadapi 10 tuduhan lakukan amang seksual terhadap pelatih remaja

    SEORANG jurulatih wushu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Putrajaya hari ini atas 10 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun.

    Gjeblehim Bong Teck Fuu, 31, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Wan Aima Naziha Wan Sulaiman.

    Bekas atlet negara itu sebagai orang yang mempunyai hubungan amanah iaitu jurulatih didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa yang merupakan pelatihnya.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu sekitar Februari lepas di sebuah rumah di Taman Kajang Mewah, Kajang, Selangor.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017  yang dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Julai depan untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Shazwani Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Michelle Liu dan Vam Shir Mooi.

    Bong ditahan polis pada 11 Mei lepas, sehari selepas pengadu membuat laporan polis.

    Semalam Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Habibi Majinji pada sidang medianya berkata mangsa mungkin berdiam diri ketika kejadian dan membiarkan tindak-tanduk suspek kerana menganggapnya jurulatih mereka.

    Katanya akibat ketakutan, mangsa telah memaklumkan kepada ibu bapa dan laporan polis telah dibuat.

    — BERNAMA

  • 4 pemilik syarikat didakwa palsukan dokumen tender kantin

    4 pemilik syarikat didakwa palsukan dokumen tender kantin

    EMPAT pemilik syarikat dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah di Tawau hari ini, atas pertuduhan memalsukan dokumen untuk mendapatkan tender menyewa dan menguruskan kantin sekolah rendah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) empat tahun lalu.

    Tertuduh, Rogayah Ab Binang@ Abdul Binang, 42; Salamah Mohd, 30, serta Bahrin Ambo Eri @ Erek, 56, dan anak perempuannya Hasmizah Bahrin, 29, masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan terhadap mereka di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

    Mereka didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen untuk mendapatkan tender berkenaan bagi tempoh 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2019 di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Semporna antara 24 Oktober dan 1 November 2017, lapor Harian Metro.

    Kesemua tertuduh masing-masing berdepan dengan empat pertuduhan kecuali Salamah Mohd, yang dituduh dengan tiga pertuduhan.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai tuntutan palsu, jika sabit kesalahan.

    Hakim bagaimanapun membenarkan kesemua tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan namun perlu membayar deposit RM5,000 kecuali Bahrin Ambo Eri yang diperintahkan membayar deposit RM6,000.

    Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali setiap dua bulan serta dilarang mengganggu saksi.

    Mahkamah juga menetapkan 7 Julai depan depan untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Norsham Saharom bersama Nordinansah Kasim manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Lebih 1,000 kekosongan jemaah haji tolak tawaran sudah penuh – Idris

    Lebih 1,000 kekosongan jemaah haji tolak tawaran sudah penuh – Idris

    LEBIH 1,000 kekosongan tempat untuk jemaah haji yang menolak tawaran disebabkan pelbagai faktor, termasuk masalah kesihatan sudah dipenuhkan setakat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

    Beliau berkata, kekosongan itu telah diberikan keutamaan kepada mereka yang telah disenaraikan untuk mengerjakan ibadah haji pada 2020 dan 2021.

    “Ia (kemas kini senarai jemaah haji) berjalan setiap hari, kalau ada yang kosong maknanya kita akan ikut senarai menunggu dan masukkan nama-nama jemaah mengikut urutan.

    “Bagi peringkat pertama ini 1,000 orang telah menolak, maka kita masukkanlah dan sekarang ini sudah penuh,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Pra-Pelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1443H/2022M di Pusat Islam Iskandar Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

    Seramai 14,306 jemaah haji Malaysia akan menunaikan rukun Islam kelima pada tahun ini dan penerbangan pertama jemaah haji Malaysia akan berlepas melalui penerbangan pertamanya pada 4 Jun ini.

    Jemaah haji yang dibenarkan pula adalah berusia 65 tahun ke bawah, tiada penyakit kronik, mempunyai sijil vaksinasi COVID-19 dan perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan (PCR) dalam tempoh 72 jam daripada masa berlepas.

    Berhubung MTHQK yang akan berlangsung di Pusat Islam Iskandar Johor bermula 9 hingga 18 Jun ini, Idris berkata, program itu akan disertai seramai 42 peserta lelaki dan 42 peserta perempuan dari 14 negeri.

    Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual merasmikan majlis pembukaan pada 12 Jun, manakala majlis penutup dan pengurniaan hadiah pada 17 Jun akan disempurnakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

    MTHQK merupakan program tahunan yang dianjurkan kerajaan Persekutuan dan diuruskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak 1979 bertujuan meninggikan syiar Islam di Malaysia. – Bernama

  • Penganggur dipenjara, didenda pandu melulu hingga menyebabkan kematian

    Penganggur dipenjara, didenda pandu melulu hingga menyebabkan kematian

    SEORANG penganggur dijatuhkan hukuman dua tahun penjara dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Tawau hari ini kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, dua tahun lalu.

    Tertuduh Mohd. Ali Tammalun, 26, mengaku salah atas pertuduhan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1957 (Akta 333/87) dihadapan Majistret Amir Shah Amir Hassan, lapor Utusan Borneo.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 7 Februari 2020 pukul 3.35 petang di KM 55 Jalan Tawau- Semporna.

    Mohd. Ali didakwa memandu secara cuai dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian Surtrisno, 25, dan Gyatri Usman, 21.

    Dalam fakta kes, tertuduh yang memandu kenderaan pacuan empat roda dari arah Semporna menuju ke Tawau bersama tiga penumpang.

    Kemalangan berlaku apabila tertuduh cuba memotong sebuah kenderaan dengan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kenderaan dinaiki dua mangsa.

    Pegawai pendakwa, Asisten Superintenden Joan Lee dalam hujahannya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal selepas mengambil kira kepentingan awam serta pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.

    Amir Shah kemudiannya menjatuhkan hukuman dua tahun penjara dan denda RM5,000 terhadap tertuduh.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara enam bulan jika gagal membayar denda dan lesen memandunya digantung dua tahun.

  • ‘’Kesilapan saya jatuh cinta dengan ahli politik’’ – kata wanita dakwa dirogol

    ‘’Kesilapan saya jatuh cinta dengan ahli politik’’ – kata wanita dakwa dirogol

    SEORANG wanita yang mendakwa dirogol pembantu Hilman Idham, memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, bahawa dia melakukan kesilapan apabila jatuh cinta dengan ADUN Gombak Setia itu.

    Wanita itu berkata, dia terpikat dengan perwatakan menarik Hilman dan menyifatkan ADUN itu sebagai kekasih “budiman” yang meminta “kebenaran” apabila menidurinya.

    “Satu-satunya kesilapan saya kerana jatuh cinta dengan ahli politik. Saya tertarik dengan daya penariknya dan kepintarannya. Beliau sangat mengambil berat. Dia mengambil berat terhadap diri saya dan membuatkan diri saya rasa istimewa. Saya tidak menjangka beliau menganjurkan sambutan hari jadi saya sebanyak dua kali. Saya jatuh cinta dengannya, tiada kepentingan politik,” katanya ketika memberi keterangan.

    Memetik laporan portal FMT, wanita itu berkata demikian dalam pemeriksaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas, sama ada dia membawa kes dakwaan rogol terhadapnya kerana kepentingan politik.

    Wanita berusia 33 tahun itu mendakwa dia dibawa ke sebuah bilik di Dorsett Hartamas ketika mabuk dan mendakwa dirogol pembantu Hilman, Mohd Zulfahimin Mahdzir, selepas parti hari jadi pada 5 Dis 2020.

    Wanita itu menegaskan kejadian berlaku pada malam itu antaranya dengan Zulfahimin bukan sukarela dan menyatakan ia berbeza dengan Hilman.

    “Setiap kali sebelum saya tidur bersama Hilman, beliau akan pastikan saya sedar kami tidur bersama. Beliau budiman dan akan mendapatkan kebenaran saya dulu.

    “Namun ketika itu (pada malam kejadian), saya melihat Zul (Zulfahimin) sebagai pembantu Hilman dan Hilman sendiri tidak menyebut apa-apa berhubung tempahan bilik. Apabila saya terjaga (pada malam kejadian), saya tahu saya diambil kesempatan,” katanya.

    Katanya, dia kemudian mengetahui rakannya yang hanya dikenali sebagai “Mai” meninggalkannya dengan Hilman, pada malam berkenaan.

    Wanita itu membuat laporan polis pada 5 Dis 2020, namun menarik semula laporan terbabit tiga hari kemudian selepas mendakwa dia menerima “ugutan” daripada “orang” Hilman.

    Susulan itu, dia membuat satu lagi laporan polis pada Jan 2021 selepas mendapat semula kekuatan dan berjumpa dengan kaunselor daripada Pertubuhan Pertolongan Wanita.

    Ditanya bagaimana dia bertemu Hilman, wanita itu mendakwa rakan Hilman yang dikenali sebagai Zaki memperkenalkannya dengan ADUN itu di “cigar lounge” yang dipanggil Cohiba Atmosphere. Kedua-dua mereka kemudian saling bertukar nombor telefon menerusi Instagram.

    Perkenalan itu berlaku pada 2020, kata wanita itu.

    Perbicaraan di depan hakim Norhasniah Abdul Razak bersambung pada 21 dan 22 Jul, dan 10 hingga 12 Ogos.

  • RM6 juta sumbangan politik, bukan rasuah – Zahid

    RM6 juta sumbangan politik, bukan rasuah – Zahid

    DATUK Seri Dr Ahmad Zahidi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa dua cek berjumlah RM6 juta yang diterimanya daripada Syarikat Sarana Kencana Sdn Bhd adalah sumbangan politik ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan bukannya rasuah.

    Ahmad Zahid, 69, berkata tuduhan bahawa cek itu yang diterima melalui bekas Timbalan Pengarah Urusan Datasonic Group Berhad Chew Ben Ben sebagai balasan untuk melantik Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) melaksanakan perolehan pembekalan cip pasport selama lima tahun adalah tidak benar dan fitnah.

    “Saya menegaskan bahawa keputusan untuk melantik DTSB bukan keputusan daripada saya. Saya tiada kuasa membuat keputusan akhir kerana ia di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.

    “Proses yang dijalankan oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Jabatan Imigresen berhubung penganugerahan projek kontrak polikarbonat  kepada DTSB adalah teratur dan mengikut prosedur yang ditetapkan. Semua prosedur sudah dijalankan dengan sempurna oleh pegawai-pegawai saya di KDN dan diakui oleh Kementerian Kewangan sebelum kontrak tersebut dianugerahkan kepada DTSB,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika disoal peguamnya, Datuk Ahmad Zaidi Zainal semasa membela diri atas 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik YAB.

    Ahmad Zahid berkata ketika beliau menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri, Jeneral (B) Tan Sri Mohamed Hashim Mohd Ali (bekas Pengarah DTSB) mengemukakan surat “Permohonan Untuk Membekalkan Cip Pasport Selama 5 Tahun Atau 12.5 Juta Cip yang akan Dimasukkan Ke Dalam Halaman Biodata Polycarbonate Pasport Malaysia Kepada Kerajaan Secara Rundingan Terus.”

    “Apabila melibatkan rundingan terus, ia melibatkan arahan perbendaharaan dan juga perolehan dalaman Kementerian Dalam Negeri. Seterusnya, saya menyatakan bahawa Kementerian Kewangan yang akan menentukan rundingan terus telah dianugerahkan kepada mana-mana syarikat yang telah membuat permohonan bukan di peringkat Perolehan Kementerian Dalam Negeri,” jelasnya.

    Kepada soalan Ahmad Zaidi, bagaimana beliau mengenali Mohamed Hashim, Ahmad Zahid berkata beliau yang ketika itu memegang jawatan sebagai setiausaha politik menteri pertahanan mengenali Mohamed Hashim yang ketika itu Panglima Tentera Darat.

    “Beliau (Mohamed Hashim) seterusnya menjadi pengarah beberapa syarikat tersenarai termasuk pengarah DTSB. Saya mengenali beliau lebih 20 tahun sejak berada di Kementerian Pertahanan bukan kerana penglibatannya dalam perniagaan tetapi sebagai pegawai Angkatan Tentera Malaysia,” katanya.

    Beliau berkata syarikat Sarana Kencana adalah milik Mohamed Hashim dan Datuk Abu Hanifah Noordin (bekas Pengarah Urusan Datasonic Group Berhad).

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berkata Abu Hanifah yang merupakan saksi pendakwaan ke-32 telah memberitahu mahkamah bahawa cek tersebut diberikan kepadanya sebagai dana politik, sebahagian daripada amal jariah.

    “Chew Ben Ben (saksi pendakwaan ke-34) juga ada memberi keterangan semasa pemeriksaan semula oleh pihak pendakwaan yang mana beliau menyatakan berdasarkan kefahaman beliau, wang politik juga termasuk sebagai amal jariah.

    “Datuk Abu Hanifah dan Chew Ben Ben juga menyatakan pemberian kedua-dua cek ini tiada kena mengena dengan lantikan DTSB untuk melaksanakan kontrak polikarbonat, malah cek tersebut yang dimasukkan ke dalam akaun pelanggan Tetuan Lewis & Co adalah sumbangan politik kepada saya,” katanya.

    Berdasarkan pertuduhan ke-14 dan ke-15, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan berjumlah RM6 juta daripada Chew sebagai upah melantik DTSB untuk melaksanakan projek cip pasport bagi tempoh lima tahun atau untuk jumlah 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polikarbonat pasport antarabangsa Malaysia daripada Jabatan Imigresen menerusi rundingan terus di bawah Kementerian Dalam Negeri.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung.

    — BERNAMA

  • Tuntutan palsu:Penyelia Rela dipenjara 14 hari, denda RM10,000

    Tuntutan palsu:Penyelia Rela dipenjara 14 hari, denda RM10,000

    MAHKAMAH Sesyen Seremban hari ini menjatuhkan hukuman penjara 14 hari dan denda RM10,000 terhadap seorang penyelia Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) atas pertuduhan membuat tuntutan penugasan palsu daripada jabatan berkenaan, tahun lalu.

    Hakim Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, S. Vijaiyan, 56, selepas dia membuat pengakuan bersalah, lapor Sinar Harian.

    Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara lima bulan jika gagal membayar denda terbabit.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai penyelia Rela Seremban telah mengemukakan Borang Tuntutan Elaun Penugasan Rela bagi penugasan di sebuah pusat kuarantin Covid-19 atas nama seorang wanita bagi bulan November 2021 berjumlah RM960, walhal wanita itu tidak hadir bertugas pada masa dan tarikh yang dicatatkan.

    Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Rela Daerah Seremban pada Disember 2021.

    Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta yang sama.

    Selain itu, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh bagi enam pertuduhan lain di bawah Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah, selepas mengambil kira pengakuan bersalah serta persetujuan pihak pendakwaan dan tertuduh untuk mengguna pakai TIC (Take Into Consideration).

    Sebelum itu, peguam R. Subash memohon hukuman paling minimum untuk anak guamnya yang perlu menanggung seorang isteri dan 12 anak.

    Katanya, pengakuan salah tertuduh juga dapat menjimatkan masa mahkamah dan sepanjang proses siasatan dilakukan, tertuduh memberikan kerjasama.

    “Tertuduh sudah berkhidmat dengan jabatan Rela selama 16 tahun dan mempunyai rekod yang cemerlang. Ini kesalahan pertamanya jadi pihak pembelaan merayu satu hukuman penjara paling minimum,” katanya.

    Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali.

  • Penunggang motosikal mengaku tidak bersalah pukul warga emas

    Penunggang motosikal mengaku tidak bersalah pukul warga emas

    SEORANG penunggang motosikal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas pertuduhan mencederakan warga emas, Ahad lalu.

    Tertuduh, Muhammad Zulkifli Che Su, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja menyebabkan kecederaan kepada Zainol Din Hussain di Padang Jawa, Shah Alam pada pukul 12 tengah hari, lapor Harian Metro.

    Ia adalah kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

    Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Erneetha Kaur mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa atau saksi berkaitan kes berkenaan.

    Tertuduh yang diwakili peguam Abi Mursyidin Awal memohon agar anak guamnya dikenakan ikat jamin pada kadar rendah kerana dia hanya bekerja sebagai mekanik serta perlu menanggung ibu bapanya di kampung.

    Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM2,000 dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa atau saksi berkaitan.

    Ahad lalu, seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas memukul warga emas di tengah jalan raya berhampiran jejantas di Padang Jawa.

    Kejadian itu tular di media sosial.

    Mahkamah menetapkan 13 Julai depan untuk sebutan semula kes.