Category: Mahkamah

  • Lelaki OKU rogol adik dipenjara 14 tahun, 8 sebatan

    Lelaki OKU rogol adik dipenjara 14 tahun, 8 sebatan

    SEORANG lelaki orang kurang upaya (OKU) kudung kaki kanan dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan lapan sebatan di Mahkamah Sesyen di Kota Bharu, Kelantan, hari ini selepas mengaku bersalah merogol adik kandungnya, November tahun lalu.

    Tertuduh, penganggur berusia 21 tahun yang bertongkat membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

    Menurut laporan Berita Harian, mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan dengan mangsa berusia 13 tahun ketika kejadian dan perhubungan itu adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama dan adat untuk berkahwin dengan remaja itu.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Ketereh, Kelantan, antara jam 10 hingga 11 malam pada 1 hingga 7 November 2021.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun serta sebat jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, Wan Nurul Hanini memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana tertuduh sudah mengaku perbuatan keji yang dilakukan terhadap adik kandung sendiri.

    “Ketika kejadian, mangsa berusia 13 tahun dan masih tidak dapat membezakan baik atau buruk sesuatu perbuatan.

    Perbuatan itu meninggalkan kesan trauma kepada mangsa dan sepatutnya tertuduh memberi teladan yang baik dan menjaga maruah adiknya,” katanya.

    Mengikut fakta kes, tertuduh merogol adiknya November tahun lalu dan mengugut akan memukul mangsa sekiranya memaklumkan kejadian kepada orang lain.

    Pada 28 April lalu, mangsa pergi ke Klinik Kesihatan Lundang Paku kerana tidak sihat dan pada masa sama, ibunya berusia 46 tahun menyuruh mangsa supaya memeriksa di bahagian perut yang dijalankan oleh pegawai perubatan.

    Mangsa kemudian dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Hospital Raja Perempuan Zainab II, sebelum pemeriksaan di Hospital Kajang, Selangor mengesahkan mangsa mengandung.

    Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun terhadap tertuduh bermula daripada tarikh ditangkap iaitu pada 3 Jun lalu dan lapan sebatan.

  • Kes SRC: Hakim tarik diri dengar permohonan QC ketuai rayuan akhir Najib

    Kes SRC: Hakim tarik diri dengar permohonan QC ketuai rayuan akhir Najib

    HAKIM Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menarik diri daripada mendengar permohonan Jonathan Laidlaw, Peguam Diraja (QC) United Kingdom untuk mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak dalam rayuan terakhirnya bagi kes melibatkan penyelewengan RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

    Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam keputusan ringkasnya berkata, beliau memutuskan untuk menarik diri daripada mendengar permohonan itu kerana salah seorang ahli keluarga terdekatnya adalah ahli politik yang sangat aktif dan ketua bahagian dalam parti politik yang sama dengan Najib, yang merupakan perayu.

    Wan Ahmad Farid, yang pernah menjadi ahli politik aktif dalam UMNO berkata, walaupun beliau telah meletak jawatan daripada parti politik yang pernah dianggotainya, pendiriannya adalah persepsi awam terhadap kebebasan badan kehakiman tidak boleh berada dalam situasi meragukan.

    “Umum mengetahui bahawa sebelum dilantik sebagai hakim, saya adalah ahli politik yang aktif dan pada satu ketika, menjadi ahli pentadbiran dan ahli Dewan Negara.

    “Saya mesti menambah bahawa, selepas mengangkat sumpah saya sebagai anggota badan kehakiman, tanggungjawab saya adalah memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan tanpa rasa takut atau pilih kasih,” kata hakim itu.

    Sebutan untuk permohonan Laidlaw untuk diterima secara ad hoc pada mulanya ditetapkan pada hari ini.

    Dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan, Najib memohon untuk membatalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atas satu pertuduhan salah guna kedudukan, tiga pertuduhan pecah amanah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan dana SRC International.

    Terdahulu, hakim itu telah menyoal pihak-pihak yang terlibat sama ada mereka selesa beliau mendengar permohonan Laidlaw itu dan peguam Tan Sri Muhmmad Shafee Abdullah, yang mewakili Laidlaw menjelaskan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang keraguan kerana hakim tiada kaitan dalam SRC International atau 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Pendakwa raya ad-hoc Datuk V. Sithambaram yang mengetuai pendakwaan dalam kes SRC International berkata beliau akan mendapatkan arahan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

    Peguam dari Badan Peguam Malaysia Bastian Vendargon dan Pengerusi Jawatankuasa Majlis Peguam Kuala Lumpur Vivekananda Sukumaran, yang membantah permohonan QC itu, memaklumkan mahkamah bahawa mereka perlu mendapatkan arahan lanjut daripada kedua-dua badan yang mereka wakili.

    Susulan keputusan hakim itu, permohonan Laidlaw kini ditetapkan untuk didengar pada 6 Julai di hadapan seorang lagi hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

    Pada 31 Mei, Najib memfailkan permohonan untuk membenarkan QC mewakilinya dalam rayuan SRC atas beberapa alasan, antaranya Laidlaw memiliki kelayakan, pengalaman dan kepakaran khas yang tidak terdapat dalam kalangan peguam di Malaysia.

    Dalam usul pemula, Laidlaw memohon supaya diterima masuk dan didaftarkan untuk menjalankan amalan di Mahkamah Tinggi di Semenanjung Malaysia untuk bertindak sebagai peguam utama Najib dalam rayuan SRC di Mahkamah Persekutuan dan semua sebab atau perkara lain yang berkaitan dengannya. – BERNAMA

  • Pembantu jualan kedai mengaku salah lakukan amang seksual terhadap remaja

    Pembantu jualan kedai mengaku salah lakukan amang seksual terhadap remaja

    SEORANG pembantu jualan kedai serbaneka dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, selepas mengaku salah atas dua pertuduhan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan dua tahun lalu.

    Shukri Md. Yasin, 36, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datin Surita Budin selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa.

    Harian Metro melaporkan, mengikut pertuduhan, dia didapati melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa yang pada ketika itu berusia 13 tahun.

    Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Kuala Klawang, Jelebu, pada pukul 2 pagi 19 Jun 2020 dan pukul 3 pagi 20 Jun 2020.

    Sehubungan itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Ishak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah supaya menjatuhkan hukuman penjara serentak bermula dari tarikh ditangkap dan mengaku sudah insaf atas perbuatan itu.

    Mahkamah menetapkan hukuman penjara enam tahun dan tiga sebatan bagi setiap pertuduhan bagaimanapun hukuman diarahkan berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 20 Jun 2020.

  • Mahkamah tolak permohonan MAIPs tukar perintah hak penjagaan anak Loh

    Mahkamah tolak permohonan MAIPs tukar perintah hak penjagaan anak Loh

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk mendapatkan kebenaran menukar perintah hak penjagaan tiga anak yang diperoleh ibu tunggal Loh Siew Hong.

    Bekas suami Loh, Muhammad Nagahswaran Muniandy telah menukarkan agama ketiga-tiga anak mereka kepada Islam di Perlis.

    Hakim Evrol Mariette Peters membuat keputusan itu selepas mendapati MAIPs gagal menunjukkan mereka adalah pihak berkepentingan dalam hidup kanak-kanak terbabit dan memerintahkan MAIPs agar membayar kos RM8,000 kepada Loh.

    “Mereka bukan yatim piatu. Mereka juga bukan milik komuniti di Perlis. Mereka menetap di Selangor dan hanya ke Perlis untuk menukar agama,” katanya.

    Beliau berkata, MAIPs juga gagal mendapatkan pandangan bekas suami Loh berhubung permohonan yang difailkan pada 7 Mac lalu untuk mencelah dalam petisyen perceraian pasangan itu bagi membolehkan ia memiliki locus standi bagi memohon kebenaran menukar perintah hak penjagaan yang diperoleh wanita itu. – Bernama

  • Ibu tunggal mengaku salah buat laporan palsu disamun

    Ibu tunggal mengaku salah buat laporan palsu disamun

    SEORANG ibu tunggal didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini selepas mengaku salah membuat laporan palsu kononnya disamun di sebuah stesen minyak di Petaling Jaya.

    Pekerja kedai makan, Lim Zhi Yin, 25, dikenakan hukuman berkenaan selepas membuat pengakuan tersebut yang dibaca di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

    Sinar Harian melaporkan, mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara selama sebulan jika gagal membayar denda tersebut.

    Mengikut pertuduhan, ibu kepada tiga anak itu didakwa memberikan maklumat secara bertulis yang diketahui palsu kepada seorang anggota polis berpangkat Konstabel, di Balai Polis Serdang pada pukul 11.45 pagi, 10 Jun lalu.

    Tertuduh menyedari bahawa ia akan menyebabkan siasatan dijalankan, di mana penjawat awam tersebut tidak perlu melakukan siasatan sekiranya keadaan sebenar diketahui.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Mengikut fakta kes, tertuduh membuat laporan polis menyatakan telah disamun oleh dua lelaki menggunakan pisau, di tandas sebuah stesen minyak di sini.

    Setelah disiasat, pihak polis mendapati tiada kejadian samun berlaku dan tertuduh kemudiannya mengakui membuat laporan palsu.

    Semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan dengan alasan perlu menjaga tiga anak.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Maryam Jamilah Md. Kamal mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

  • Padah 3 lelaki memandu dalam keadaan mabuk dipenjara, didenda RM15,000

    Padah 3 lelaki memandu dalam keadaan mabuk dipenjara, didenda RM15,000

    TIGA lelaki dihukum penjara sehari dan denda antara RM10,000 hingga RM15,000 di Mahkamah Majistret Tawau hari ini selepas mengaku salah memandu dalam keadaan mabuk pada 30 Mei lalu.

    Tertuduh Mohd. Azlan Mohd. Suriansyah, 24, dan Yasor Yakob, 34, didenda RM10,000, manakala Chong Weoi Lin, 42, (RM15,000) selepas mereka membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.

    Mahkamah turut memerintahkan Mohd. Azlan dan Yasor menjalani hukuman tambahan penjara lima bulan, manakala Chong enam bulan sekiranya gagal membayar denda, lapor Astro Awani.

    Mengikut pertuduhan, Mohd. Azlan dan Yasor didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Chong Thein Vun, pada pukul 1.10 pagi, 30 Mei lalu.

    Chong pula melakukan kesalahan itu di Jalan Chong Thien Vun, pukul 11.20 malam pada 13 Mei lalu.

    Hasil ujian saringan pernafasan mendapati kandungan alkohol dalam darah ketiga-tiga tertuduh melebihi had yang dibenarkan iaitu 50 miligram etil dalam 100 mililiter darah.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 45A (1) APJ 1987, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda sehingga RM30,000.

    Dzul Elmy turut memerintahkan lesen memandu semua mereka digantung selama dua tahun.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Surian, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, Suhaimi dalam hujahnya menegaskan kes pemandu mabuk semakin menjadi-jadi bukan sahaja di Tawau malah di seluruh negara.

    Oleh itu, beliau memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran dan peringatan kepada pemandu lain supaya tidak memandu dalam keadaan mabuk.

  • Kerajaan tanggung AS$3 bilion hutang 1MDB – Siti Zauyah

    Kerajaan tanggung AS$3 bilion hutang 1MDB – Siti Zauyah

    KERAJAAN Malaysia terpaksa menanggung hutang berjumlah AS$3 bilion yang dipinjam syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2013 yang diluluskan melalui surat sokongan ditandatangani Datuk Seri Najib Razak selaku menteri kewangan ketika itu.

    Setiausaha Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari (BPKA) Kementerian Kewangan ketika itu, Datuk Siti Zauyah Mohd Desa berkata, pihaknya tidak pernah menerima laporan daripada 1MDB berhubung ke mana wang itu dibelanjakan dan digunakan.

    Memetik Berita Harian, saksi ke-26 pendakwaan itu berkata, 1MDB gagal membuat bayaran seperti terma ditetapkan, menyebabkan kerajaan pada masa ini terpaksa menanggung bayaran balik hutang terbabit.

    “Pinjaman AS$3 bilion itu adalah wang yang diperoleh daripada bon diterbitkan oleh anak syarikat 1MDB iaitu 1MDB Global Investment Ltd (1MDB GIL), untuk usaha sama 50:50 antara 1MDB dan Aabar Investment PJS (Aabar).

    “BPKA bertanggungjawab untuk mendapatkan laporan daripada 1MDB, tetapi sepanjang bertugas di BPKA, saya tidak ada menerima apa-apa laporan daripada pihak pengurusan syarikat mengenai penggunaan dana berkenaan.

    “Pihak 1MDB bertanggungjawab mengemukakan laporan pelaburan berdasarkan tujuan permohonan surat sokongan yang dikemukakan kepada MOF, namun 1MDB tidak ada mengemukakan apa-apa laporan,” katanya.

    Siti Zauyah yang membacakan pernyataan saksinya berkata, beliau tidak pernah melihat dokumen perjanjian antara 1MDB dan Aabar seperti yang dimaklumkan dalam permohonan syarikat kerana laporan mengenai usaha sama tidak pernah dikemukakan kepada bahagiannya.

    Beliau berkata, selain itu antara dokumen diminta pihaknya secara konsisten adalah laporan kewangan beraudit, tetapi 1MDB turut gagal mengemukakan dokumen berkenaan.

    “Saya tidak dapat pastikan sama ada 1MDB mendapat kelulusan khas daripada YAB Menteri Kewangan (Najib) berhubung perjanjian usaha sama yang hendak mereka jalankan ini,” katanya

    “Selepas pengeluaran surat sokongan kepada 1MDB pada 2013, Kementerian Kewangan tidak ada lagi mengeluarkan apa-apa jaminan kepada syarikat itu,” katanya.

    Siti Zauyah memberikan keterangan terhadap Najib, 68, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama

  • Najib lantik diri sendiri sebagai Pengerusi BOA 1MDB

    Najib lantik diri sendiri sebagai Pengerusi BOA 1MDB

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu oleh bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Siti Zauyah Mohd. Desa, bahawa Datuk Seri Najib Razak melantik dirinya menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat (BOA) 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Siti Zauyah yang memberikan keterangan sebagai saksi ke-26 pendakwaan berkata, dalam syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) selain 1MDB, menteri kewangan tidak terbabit secara langsung.

    “Saya sahkan, dalam syarikat MKD yang lain, hal seperti ini tidak berlaku,” katanya ketika membacakan penyataan saksinya, lapor Harian Metro.

    Menurut saksi itu, tiada mana-mana pegawai Kementerian Kewangan atau daripada bahagian MKD dilantik untuk menjadi Ahli Lembaga Pengarah dalam 1MDB.

    Sementara itu, Siti Zauyah berkata bidang kuasa MKD secara jelas dinyatakan di dalam Undang-Undang Malaysia, Akta 375, Akta Menteri Kewangan (Diperbadankan) 1957.

    Beliau berkata seksyen 3 (1) akta itu menyatakan, menteri kewangan bertanggungjawab dalam hal kewangan atas nama badan korporat dibawah MKD, oleh itu mengikut seksyen 3(2) akta sama, ia boleh menyaman dan disaman.

    Katanya, apabila terdapat satu dokumen atau apa-apa resolusi, persetujuan atau arahan yang dibuat oleh seseorang Menteri Kewangan (Diperbadankan) kepada sesebuah syarikat MKD, ia dianggap sah dan adalah satu bentuk kelulusan.

    “Selain itu, MKD sebagai pemegang saham tunggal kepada sebuah syarikat milik Kerajaan adalah tertakluk kepada Akta 125, Akta Syarikat 1965. Oleh demikian, kuasa MKD sebagai pemegang saham tertakluk juga kepada perincian di dalam akta syarikat berkenaan,” katanya.

    Siti Zauyah memberikan keterangan terhadap Najib, 68, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

  • Buruh dituduh cuba bunuh rakan sekampung

    Buruh dituduh cuba bunuh rakan sekampung

    SEORANG buruh didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan cuba membunuh rakan sekampungnya pada 15 Mei lalu.

    Bagaimanapun, tertuduh, Amri Faisa Sauti, 39, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan cubaan bunuh hingga menyebabkan kecederaan kepada Mohd. Zailuddin Hart, 50.

    Memetik laporan Harian Metro, perbuatan itu dilakukan di hadapan Masjid Kampung Bukit Temalong, Gunong dekat Bachok, pukul 8.45 malam, pada 15 Mei 2022.

    Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, Wan Nurul Hanini tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh melakukan kesalahan serius dan pertuduhan itu juga tidak boleh dijamin.

    Tertuduh memaklumkan bahawa dia tidak akan melantik peguam dan akan menjalani prosiding perbicaraan sendiri.

    Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 14 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • Lelaki mengaku tidak bersalah jual gambar lucah

    Lelaki mengaku tidak bersalah jual gambar lucah

    SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sepang, hari ini terhadap pertuduhan menjual gambar lucah menerrusi Twitter pada Mei 2019.

    Tertuduh, Mohammad Hafizzul Anas Kamaruzaman, 30, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dan minta dibicarakan, lapor Harian Metro.

    Mengikut kertas pertuduhan, Mohammad Hafizzul selaku Orang Kena Saman (OKS) melakukan kegiatan berkenaan dalam keadaan sedar memberikan komunikasi lucah bagi maksud komersil.

    Bagi hantaran yang dilihat pada 17 Mei 2019, 10.50 pagi di Menara MCMC 1 di Cyberjaya, OKS didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 233(2)(a) Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 [Akta 588].

    Mahkamah menetapkan 19 Julai bagi sebutan semula kes.

    Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Nazrul Nizam Mohd Zameri manakala OKS tidak diwakili peguam.