Category: Mahkamah

  • Curi tabung surau, wanita dipenjara 4 bulan

    Curi tabung surau, wanita dipenjara 4 bulan

    SEORANG wanita sarat mengandung dan adik angkatnya didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, atas tuduhan mencuri duit tabung derma surau berjumlah RM300 pada April lalu.

    Selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman, tertuduh Puteri Norazila Paimen @ Mohamed Inson, 32, minta dibicarakan manakala Nur Hidayah Abdullah, 24, mengaku bersalah.

    Menurut laporan Harian Metro, kedua-dua wanita itu didakwa mencuri wang RM300 dari tabung derma milik di Surau Al-Hidayah, Taman Pertam Jaya pada 7 April lalu, jam 1.50 petang.

    Mereka yang tidak bekerja didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Peguam Ng Fun Boon yang mewakili Nur Hidayah memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya mempunyai empat anak dan seorang daripadanya sedang menerima rawatan di hospital.

    Beliau juga memohon Puteri Norazila yang sarat mengandung lapan bulan dibebaskan dengan ikat jamin yang rendah.

    Sharda kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara empat bulan bermula dari tarikh tangkapan iaitu 17 Jun lalu dan denda RM1,000 atau satu bulan penjara jika gagal menjelaskan denda.

    Mahkamah juga membenarkan Puteri Norazila dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan untuk serahan dokumen pada 31 Julai depan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri.

  • UMNO Terengganu rancang kemuka rayuan penolakan petisyen Parlimen Marang

    UMNO Terengganu rancang kemuka rayuan penolakan petisyen Parlimen Marang

    UMNO Terengganu akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang menolak petisyen pilihan raya Barisan Nasional (BN) negeri itu bagi kawasan Parlimen Marang.

    BN Terengganu sebelum ini mengemukakan petisyen bagi membatalkan kemenangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di kawasan Parlimen itu.

    Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hassan Abdul Ghani, yang bertindak sebagai Hakim Pilihan Raya, menolak petisyen berkenaan selepas mendapati pihak pempetisyen, Jasmira Othman, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah.

    Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Said, hari ini mengarahkan rayuan itu segera difailkan ke Mahkamah Persekutuan.

    Katanya, walaupun puas hati dengan keputusan penolakan petisyen itu, terdapat beberapa hujah dikemukakan peguam Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd. Hafarizam Harun yang ditolak.

    “Saya berpendapat, semua hujah pasukan peguam kami bagi kes Parlimen Marang ditolak sedangkan kita berpendapat kes atau bukti bagi kerusi itu lebih kukuh berbanding Parlimen Kuala Terengganu,” katanya ketika dihubungi, lapor Berita Harian.

    Pada PRU15, Abdul Hadi mempertahankan kerusi Parlimen Marang selepas menewaskan tiga calon lain, termasuk Jasmira dengan majoriti 41,729 undi.

    Abdul Hadi memperolehi 73,115 undi, Jasmira (31,386 undi), Azhar Ab. Shukur daripada Pakatan Harapan (PH) memperolehi undi sebanyak 4,410 manakala Zarawi Sulong daripada parti Gerakan Tanah Air (GTA) sebanyak 427 undi.

    Semalam juga, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan calon Pas, Datuk Ahmad Amzad Hashim bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada PRU15 selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15.

  • Bapa dipenjara, denda kerana cederakan anak lelaki dengan rotan

    Bapa dipenjara, denda kerana cederakan anak lelaki dengan rotan

    SEORANG bapa dihukum penjara sehari dan didenda RM1,400 oleh Mahkamah Majistret di Muar hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan anak lelakinya dengan rotan, tahun lepas.

    Majistret Analia Kamaruddin menjatuhi hukuman itu terhadap Goh Chiaw Hoe, 36, seorang penganggur, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah, sewaktu sebutan kes hari ini.

    Mahkamah memerintahkan bapa lima anak itu menjalani hukuman penjara tersebut hari ini dan mengarahkan dia dipenjara dua bulan, sekiranya gagal membayar denda tersebut.

    Mengikut pertuduhan, Goh didakwa telah menyebabkan kecederaan ke atas kanak-kanak berusia tujuh tahun ketika kejadian, di Taman Beting di Muar, pada 6 petang, 7 Ogos tahun lepas.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Berdasarkan fakta kes, pada 12.30 tengah hari, 8 Ogos 2022, seorang pegawai perubatan telah menerima seorang pesakit, dibawa oleh gurunya kerana terdapat kecederaan di tangan kiri dan kaki kiri akibat dirotan oleh bapanya, sebelum pegawai perubatan itu membuat laporan di Balai Polis Muar dan menyatakan mangsa telah dipukul.

    Mangsa yang mengalami kecederaan lebam di tangan kiri serta kaki kiri telah dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar dan bapa kanak-kanak itu telah ditangkap untuk siasatan lanjut pada 10 malam, 9 Ogos 2022.

    Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nabihah Mohd Noor manakala peguam Tay Chee Fu mewakili tertuduh.

  • Kerajaan mungkin akur saman pencen oleh bekas hakim

    Kerajaan mungkin akur saman pencen oleh bekas hakim

    KERAJAAN berkemungkinan akur dengan dua saman dikemukakan hakim bersara dan tanggungan mereka berhubung kekurangan dalam pencen yang dibayar, berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang memihak kepada penjawat awam bersara.

    Menurut sumber, prinsip undang-undang dibangkitkan oleh panel lima hakim mahkamah tertinggi itu mungkin terpakai dalam kedua-dua saman itu.

    “Tinggi kebarangkalian pihak peguam negara tidak mencabar saman yang kini belum selesai di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan itu,” kata sumber itu, yang enggan namanya disiarkan, lapor FMT.

    Dalam keputusan itu, Hakim Besar Malaya Zabidin Diah berkata, pindaan kepada Seksyen 3(2) Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) yang diluluskan pada 2013 meletakkan bekas penjawat awam dalam ‘kedudukan yang kurang baik’ berhubung hak mereka dalam kenaikan pencen.

    Menolak rayuan ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kerajaan, panel hakim mengisytiharkan pindaan yang berkuat kuasa pada 1 Jan 2013 itu terbatal dan tidak sah kerana melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.

    Mahkamah Persekutuan kemudiannya memerintahkan Seksyen 3 Akta Pelarasan Pencen 1980 yang asal dikembalikan.

    Pesara Aminah Ahmad dan 56 individu lain memulakan saman pada 2017 tetapi kalah di Mahkamah Tinggi. Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu.

    Mengikut skim lama, pencen pesara kerajaan disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred itu.

    Bagaimanapun, pada 2013, satu skim baharu diperkenalkan berdasarkan kenaikan tahunan pada kadar rata 2%.

    Awal tahun ini, kerajaan menghadap Mahkamah Rayuan dalam usaha membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan seorang hakim bersara menuntut kekurangan dalam pembayaran pencen yang dibuat kepadanya antara 2015 dan 2022.

    Ian Chin, yang memulakan saman itu di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Februari tahun lepas, memohon beberapa deklarasi, yang dibenarkan.

    Pada 9 Disember 2022, Hakim Leonard David Shim mengisytiharkan Akta Saraan Hakim 2014 yang dipinda tidak sah dan tidak konsisten dengan Perkara 125(7) Perlembagaan.

    Beliau memerintahkan agar Chin diberi pampasan RM301,768.60, iaitu jumlah yang kurang bagi pencen yang dibayar kepadanya antara Julai 2016 dan Februari 2022. Jumlah ini termasuk faedah 5%.

    Sementara itu, kira-kira 30 hakim bersara dan lapan tanggungan memfailkan saman awal tahun lepas, terhadap perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Jemaah Menteri, JPA dan kerajaan kerana gagal memberikan pelarasan sewajarnya bagi pencen mereka.

    Masalah timbul apabila kerajaan membuat semakan gaji pada 2015 untuk hakim, memberikan pencen yang lebih tinggi ditambah kenaikan tahunan 2% bagi mereka yang bersara selepas pindaan akta itu dibuat.

    Bagaimanapun, mereka yang bersara sebelum 2015 terus menerima pencen berdasarkan gaji lama mereka dengan tambahan kenaikan tahunan 2%.

    Plaintif mahukan deklarasi bahawa pindaan itu melanggar peruntukan perlembagaan bahawa saraan hakim dan terma jawatan lain, termasuk hak pencen, tidak boleh diubah kepada sesuatu yang merugikan mereka selepas pelantikan.

    Kes itu kini sedang dibicarakan di hadapan Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

  • Dua anggota polis antara empat individu didakwa rompak libatkan jutaan ringgit

    Dua anggota polis antara empat individu didakwa rompak libatkan jutaan ringgit

    DUA anggota polis yang bertugas di Bukit Aman antara empat individu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan merompak seorang lelaki membabitkan nilai jutaan ringgit di sebuah kondominium.

    Dua sarjan iaitu Ahmad Shahrizan Ab Rahman, 42, dari Bahagian Risikan, Operasi, Rekod Jenayah (D4) dan Mohamad Shawal Chekman, 40, dari E9 Cawangan Khas serta Khairul Anwar Ahmad, 40, dan Muhammad Firdaus Zainal, 27, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

    Empat lelaki itu didakwa bersama-sama melakukan rompak berkumpulan ke atas Mohammad Syafiq Hazane Dzulfikri, 25, di Irama Wangsa Kondominium, Seksyen 10, Wangsa Maju, pada 8.30 malam, 25 Mei lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip berkata pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

    “Sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, saya mencadangkan setiap tertuduh dijamin RM50,000 dengan seorang penjamin kerana ia membabitkan nilai rompakan jutaan ringgit,” kata Nidzuwan.

    Peguam Mohamed Yazzer Azzad Zainudin, yang mewakili dua anggota polis itu memohon agar mahkamah membenarkan kedua-dua anak guamnya diikat jamin dengan jumlah yang rendah.

    “Tertuduh pertama, iaitu Ahmad Shahrizan adalah anggota polis D4 yang bertugas di Bukit Aman. Dia yang telah bercerai dan kini menanggung empat anak telah berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia selama 16 tahun dan berpendapatan RM3,000 sebulan.

    “Anak guam saya juga pernah menerima anugerah perkhidmatan cemerlang pada 2009 dan 2018,” katanya.

    Mohamed Yazzer berkata Mohammad Shawal pula yang merupakan anggota polis bertugas di E9 Cawangan Khas menanggung empat anak dan pernah menerima anugerah perkhidmatan cemerlang pada 2021.

    Sementara itu, peguam Mohamad Rohan Mohamad Razi mewakili dua lagi tertuduh memohon kedua-dua anak guamnya diikat jamin RM3,000.

    Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 31 Julai ini.

  • Mahkamah kekal satu sabitan tuduhan pengarah syarikat tidak hadir pemeriksaan SC

    Mahkamah kekal satu sabitan tuduhan pengarah syarikat tidak hadir pemeriksaan SC

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan sabitan bagi pertuduhan pertama yang dihadapi oleh seorang pengarah syarikat di bawah Seksyen 32(8)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasaan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

    Sabitan bagi dua lagi pertuduhan yang dihadapi oleh Pengarah CTB Solutions Sdn. Bhd., Amirruddin Nin diketepikan.

    Amirruddin sebelum ini mengemukakan rayuan berhubung sabitan salah dan hukuman denda yang dikenakan terhadapnya selepas gagal hadir pemeriksaan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

    Keputusan yang dibuat oleh Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin, hari ini selepas mendapati kes prima facie ke atas pertuduhan pertama berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan.

    “Elemen pertama dibuktikan menerusi keterangan pegawai penyiasat SC yang mengeluarkan notis mengarahkan perayu hadir di hadapannya bagi pemriksaan pada 14 Jun 2017.

    “Dalam kes ini, notis berkenaan dihantar serah kepada pengurus kewangan CTB Solution Sdn Bhd.

    “Tidak timbul isu samada perayu dimaklumkan atau tidak dimaklumkan berkenaan notis berkenaan. Apa yang penting ialah notis telah disampaikan kepada perayu melalui salah satu cara yang dinyatakan di dalam akta,” kata hakim itu.

    Muhammad Jamil tidak mempertahankan sabitan terhadap pertuduhan kedua dan ketiga oleh Mahkamah Sesyen setelah mendapati bahawa pengeluaran notis menghadirkan diri yang baharu adalah tidak wajar.

    “Perayu telah dibebankan dengan lebih daripada satu perintah yang mana kegagalan untuk mematuhinya akan menyebabkan dia dituduh dengan lebih daripada satu pertuduhan sedangkan perintah sebelumnya dan perintah baharu adalah berkaitan satu siasatan sama.

    “Saya telah memutuskan bahawa pertuduhan kedua dan ketiga tidak boleh dipertahankan,” ujarnya lagi, lapor Utusan TV.

    Justeru, Amiruddin hanya perlu membayar denda RM100,000 dan penjara sehari bagi pertuduhan tersebut.

    Pada 15 Julai 2022, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Amirruddin untuk membayar denda RM300,000 dan penjara sehari selepas disabitkan bersalah atas tiga pertuduhan gagal hadir di hadapan Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 14 Julai dan 28 Ogos 2017 dan 18 April 2018.

    Arahan menghadirkan diri itu bertujuan pemeriksaan bagi siasatan mengikut Seksyen 32(3) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasaan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

    Bagi sabitan itu, hukuman penjara diperintahkan untuk berjalan serentak yang mana Amiruddin telah membayar denda dan menjalani hukuman penjara tersebut.

    Oleh itu, Muhammad Jamil memerintahkan agar denda yang telah dibayar bagi sabitan pertuduhan kedua dan ketiga dikembalikan kepada Amirruddin.

    Lelaki berkenaan sebelum ini didenda RM1.95 juta kerana gagal hadir untuk pemeriksaan selama 979 hari (denda sebanyak RM2,000 sehari).

    Pembayaran denda itu berjaya ditangguhkan sehingga keputusan hari ini.

  • Anak kapak ibu mengaku tak salah, diarah jalani rawatan mental

    Anak kapak ibu mengaku tak salah, diarah jalani rawatan mental

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan membunuh ibu kandungnya dengan menggunakan kapak di Taman Temiang Utama, Muar pada 18 Jun lalu.

    Lim Seng Chai, 47, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Analia Kamaruddin.

    Tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan namun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes di bawah bidang kuasa Mahakamh Tinggi.

    Mahkamah mengarahkan tertuduh menjalani rawatan psikiatrik selama sebulan di Hospital Permai, Johor Bahru selepas pihak pendakwaan memohon mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

    Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa membunuh ibunya, Tan Choo Gek, 73, menggunakan kapak di alamat No 28, Taman Temiang Utama antara pukul 7 hingga 8.20 malam, 18 Jun lalu.

    Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang dikenakan hukuman mati.

    Ibu tertuduh yang juga warga emas ditemukan mati dengan berlumuran darah disyaki ditetak oleh anak lelakinya menggunakan kapak di ruang tamu rumahnya.

    Kejadian berlaku disebabkan mangsa memarahi anaknya kerana membuat bising sebelum bertindak mengambil senjata tajam itu lalu menetak berkali-kali di kepala ibunya.

    Siasatan polis juga mendapati tertuduh memiliki rekod lampau rawatan psikiatrik, ditahan pada hari kejadian bagi membantu siasatan.

    Polis turut menemui senjata iaitu kapak dan pisau yang disyaki digunakan tertuduh dalam kejadian itu.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nabihah Mohd Noor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Julai depan.

    Pada 19 Jun lepas, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz dilapor berkata seorang warga emas maut dipercayai dibunuh anak lelakinya yang ditegur mangsa kerana membuat bising dalam kejadian di sebuah rumah.

    Raiz Mukhliz dipetik berkata wanita itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta leher kerana dipercayai dipukul oleh anaknya yang didapati mempunyai rekod psikiatri lampau dengan menggunakan senjata tajam.

  • Bicara kes rasuah RM15 juta ‘Datuk Seri’ berkait projek KDN tahun depan

    Bicara kes rasuah RM15 juta ‘Datuk Seri’ berkait projek KDN tahun depan

    PERBICARAAN kes seorang ‘Datuk Seri’ yang dituduh meminta dan menerima RM15 juta daripada rakan perniagaan untuk mendapatkan projek daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) ditetapkan Mei tahun depan.

    Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob menetapkan 6 hingga 17 Mei bagi perbicaraan terhadap Sim Choo Thiam yang didakwa atas empat pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 pada bulan lalu.

    Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta RM15 juta daripada Hep Kim Hong di Jalan Dutamas 1 di Kuala Lumpur pada Jun 2021, lapor FMT.

    Mengikut kertas pertuduhan, rasuah itu bertujuan sebagai dorongan kepada Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk membantu syarikat Hep, Asia Coding Sdn Bhd, dalam mendapatkan projek daripada kementeriannya.

    Sim turut dihadapkan atas tiga pertuduhan lain membabitkan penerimaan wang tunai RM15 juta daripada Hep antara 19 Julai dan 31 Julai 2021.

    Tertuduh diwakili peguam Kee Wei Lon, Low Wei Loke dan Hannah Kam, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Asma Ahmad.

  • Tuntutan Sulu: Mahkamah The Hague tolak permohonan Kumpulan Sulu

    Tuntutan Sulu: Mahkamah The Hague tolak permohonan Kumpulan Sulu

    MAHKAMAH Rayuan The Hague di Belanda menolak permohonan Kumpulan Sulu untuk mendapatkan pengiktirafan dan penguatkuasaan tuntutan anugerah sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) terhadap Malaysia, yang dikatakan melalui proses timbang tara pada Februari tahun lalu.

    Penghakiman itu memaklumkan, ‘mahkamah menolak permintaan warga Filipina’ untuk menuntut melaksanakan anugerah timbang tara itu.

    Pada tahun lalu, individu yang mendakwa waris Filipina kepada Sultan Sulu terakhir dianugerahkan AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) oleh mahkamah timbang tara Paris dalam pertikaian dengan Malaysia sejak sekian lama berhubung perjanjian tanah pada zaman penjajah.

    Mereka berusaha merampas aset Kerajaan Malaysia di Perancis, Luxembourg dan Belanda, dalam usaha untuk menguatkuasakan anugerah itu. – REUTERS

  • Wan Saiful mohon batal tuduhan rasuah Jana Wibawa

    Wan Saiful mohon batal tuduhan rasuah Jana Wibawa

    AHLI Parlimen Tasek Datuk Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan akan mengetahui sama ada dia berjaya atau gagal dalam permohonannya untuk membatalkan dua pertuduhan rasuah yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa pada 21 Julai depan.

    Memetik laporan MalaysiaKini, Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur petang ini menetapkan tarikh keputusan permohonan bekas ketua penerangan Bersatu itu yang mendakwa alasan pertuduhan itu ‘cacat’.

    Hakim mahkamah jenayah Rozina Ayob awal hari ini mendengar hujahan lisan daripada peguam Wan Saiful Amer Hamzah Arshad dan timbalan pendakwa raya Rashidah Murni Adzmi.

    Semasa perbicaraan awal hari ini, Amer berhujah pertuduhan adalah cacat kerana ia tidak menyatakan dengan betul tarikh spesifik kesalahan yang didakwa.

    Peguambela itu menambah bahawa mereka tidak memohon pembebasan penuh terhadap Wan Saiful, tetapi tertuduh diberi pelepasan tidak berjumlah pembebasan (DNAA) dalam kes itu.

    Bagaimanapun, Rashidah membalas bahawa pertuduhan itu dirangka dengan betul kerana ia cukup untuk memberi notis kepada tertuduh mengenai jenis kesalahan yang didakwa.

    Menerusi permohonannya, Wan Saiful antara lain menegaskan dua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 adalah cacat.

    Wan Saiful mendakwa pertuduhan tidak menyatakan masa dan tarikh spesifik kesalahan yang didakwa dilakukannya, sekali gus melanggar Seksyen 153 Kanun Tatacara Jenayah (CPC).

    Katanya, pertuduhan itu tidak mengandungi butir-butir yang mencukupi untuk memberikan notis yang mencukupi kepadanya mengenai kesalahan yang didakwa dilakukannya, sekali gus melanggar Seksyen 154 CPC.

    Pada 21 Feberuari, Wan Saiful dibicarakan atas dua pertuduhan – pertama kerana meminta rasuah dalam jumlah yang tidak ditentukan dan kedua kerana menerima rasuah RM6.96 juta antara 8 Julai 2022 dan 30 Sept 2022.

    Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu didakwa meminta rasuah daripada seorang Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek yang dipanggil “Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur” daripada kerajaan persekutuan melalui pra-kelayakan.

    Projek itu sepatutnya bernilai RM232 juta.

    Pertuduhan kedua menuduh Wan Saiful menerima, melalui syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd, wang RM6.96 juta daripada Nepturis sebagai dorongan untuk membantunya mendapatkan surat anugerah bagi projek yang sama.

    Beliau berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai dorongan.

    Mahkamah jenayah menetapkan ikat jamin RM400,000 dan memerintahkan pasport Wan Saiful dirampas sementara menunggu penyelesaian kes.

    Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek “Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur” daripada Kerajaan Malaysia secara Pra Kelayakan yang keseluruhannya bernilai RM232,000,000.

    Wan Saiful, 48 juga dituduh menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai sejumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima (SST) bagi projek sama.

    Bekas pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu didakwa melakukan kedua-dua perbuatan tersebut di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di Kuala Lumpur, sekitar April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di Kuala Lumpur antara 8 Julai 2022 hingga 30 Sept 2022.

    Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau denda RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah jenayah menetapkan ikat jamin RM400,000 dan memerintahkan pasport Wan Saiful dirampas sementara menunggu kes selesai.

    Jana Wibawa, akronim untuk Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa, merupakan program rangsangan Covid-19 untuk kontraktor bumiputera.

    Pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin memperkenalkannya pada November 2020.

    Parlimen diberitahu minggu lalu bahawa pentadbiran semasa telah membekukan projek Jana Wibawa bernilai RM5.7 bilion, sementara menunggu siasatan.