Category: Mahkamah

  • Amang seksual: Guru diperintah bela diri

    Amang seksual: Guru diperintah bela diri

    MAHKAMAH Rayuan Putrajaya hari ini memerintahkan seorang guru membela diri atas pertuduhan memaksa tiga murid perempuan melakukan seks oral terhadapnya hampir enam tahun lepas.

    Panel tiga hakim itu terdiri daripada Hakim Datuk Hanipah Farikullah, Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Ghazali Cha.

    Panel itu membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan mahkamah rendah yang melepas dan membebaskan Mohd Noor Zaini Zulkifli daripada pertuduhan itu di akhir kes pendakwaan.

    Dalam keputusan itu, Hakim Hanipah yang mengetuai panel berkata mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Noor Zaini, 48.

    Beliau memerintahkan Mohd Noor Zaini untuk membela diri dan menghantar semula kes itu ke Mahkamah Sesyen Ampang.


    Hakim Hanipah juga menetapkan 19 Julai untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen.

    Mohd Noor Zaini yang kini digantung tugas, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen terhadap pertuduhan itu tanpa dipanggil membela diri.

    Pihak pendakwaan merayu di Mahkamah Tinggi tetapi ditolak menyebabkan pihak pendakwaan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

    Mohd Noor Zaini didakwa atas tiga pertuduhan memaksa tiga murid perempuan yang ketika itu berumur sembilan tahun melakukan seks oral di bilik muzik di sebuah sekolah rendah di Ampang pada 3.35 petang, 19 Oktober 2016.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim mewakili pihak pendakwaan manakala peguam Ariff Azami Hussein mewakili Mohd Noor Zaini.

  • Zahid gagal dapat injunksi terhadap Tun M dalam saman fitnah

    Zahid gagal dapat injunksi terhadap Tun M dalam saman fitnah

    PERMOHONAN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan perintah injunksi terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad sementara menunggu penyelesaian samannya terhadap bekas Perdana Menteri itu ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    Bekas Timbalan Perdana Menteri itu memfailkan saman terhadap Dr. Mahathir pada April lalu atas dakwaan beliau meminta bantuan Dr. Mahathir supaya tuduhan rasuah terhadapnya ‘digugurkan’.

    Free Malaysia Today melaporkan, peguam Rafique Rashid Ali yang mewakili Dr. Mahathir memberitahu wartawan, hakim Rozana Ali Yusoff membuat keputusan itu ketika prosiding dalam talian.

    Rafique berkata, mahkamah memutuskan Zahid perlu membuktikan kenyataan Dr. Mahathir dalam sidang media 23 Februari lalu dianggap tidak benar, sebelum perbicaraan penuh. Mahkamah turut memerintahkan Zahid membayar kos RM5,000.

    Mior Nor Haidir Suhaimi turut mewakili Dr. Mahathir, manakala Zahid diwakili peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman.

    Menerusi sidang media 23 Februari lalu, Dr. Mahathir mendakwa Zahid dan beberapa individu bertandang ke rumahnya pada 2018 dan Presiden UMNO itu mahu ‘berbaik’ sebelum Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri buat kali kedua.

    Zahid mendakwa kenyataan Dr. Mahathir tidak benar, tidak wajar, tidak berasas dan berniat jahat.

    Beliau turut mendakwa kata-kata Dr. Mahathir itu bermakna beliau menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan kes jenayahnya bagi kepentingan peribadi.

    Zahid menuntut ganti rugi teruk, am dan teladan.

    Dalam pembelaannya, Dr. Mahathir mempertahankan kenyataannya dan berkata beliau akan mencabar saman berkenaan.

    Zahid turut memfailkan saman berasingan terhadap pengganti Dr. Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membuat dakwaan sama terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu ketika pilihan raya negeri Johor.

  • Pembantu penguat kuasa JPJ mengaku tidak bersalah terima rasuah

    Pembantu penguat kuasa JPJ mengaku tidak bersalah terima rasuah

    PEMBANTU pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM8,500.

    Ahmad Jamil Md. Saru, 40, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Elesebet Paya Wan.

    Mengikut pertuduhan pertama hingga 10, tertuduh sebagai penjawat awam iaitu Pembantu Penguat Kuasa Kanan JPJ Gred KP22 didakwa secara rasuah memperoleh suapan berjumlah RM500 setiap bulan daripada Pengurus Syarikat Sivan Sakthi Maju Enterprise P Vijayan.

    Tertuduh mengetahui bahawa individu terbabit mempunyai hubungan dengan kerja rasminya, lapor Sinar Harian.

    Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap lori-lori milik syarikat pengangkutan itu di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Maybank Taman Debunga Merlimau, Jasin antara 28 April 2020 hingga 31 Mac 2021.

    Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

    Tertuduh turut didakwa dengan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3,500 bagi tujuan sama di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat yang mencadangkan jaminan RM4,500 dengan seorang penjamin selain memohon agar pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikenakan dikurangkan dengan alasan menyara isteri dan dua orang anak termasuk seorang orang kurang upaya (OKU).

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dan menetapkan tarikh sebutan kes pada 15 September depan beserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Melaka setiap bulan.

  • Ibu muda dituduh muat naik gambar lucah di Twitter

    Ibu muda dituduh muat naik gambar lucah di Twitter

    SEORANG wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran dengan memuat naik gambar lucah di akaun Twitter, tahun lepas.

    Amira Nur Afiqah Agus Salim, 25, operator di sebuah syarikat perhotelan, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norhasniah Abdul Razak.

    Ibu kepada seorang anak itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu gambar lucah dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui akaun Twitter ‘@amiranafqh’ pada 7.27 malam, 19 Sept 2021.

    Hantaran itu kemudian dilihat di sebuah premis di Sri Tioman 2, Jalan Melati, Kuala Lumpur, pada 7.58 malam, pada tarikh sama.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.

    Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Nur Nazhzilah Mohamad Hashim mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Adly Zulfadhly Zulkefly yang mewakili OKS memohon jaminan RM2,000 berikutan anak guamnya perlu menanggung seorang anak dan ibu bapanya.

    “Suami kepada anak guam saya merupakan video editor bebas dan tidak mempunyai pendapatan tetap. Jaminan RM5,000 yang ditawarkan pihak pendakwaan tidak munasabah kerana anak guam saya tidak mampu untuk membayarnya atas faktor ekonomi,” kata peguam itu dan menambah pihaknya akan mengemukakan representasi.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali pada setiap bulan sehingga kes selesai dan menetapkan 9 Ogos ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Hormati prinsip kebebasan badan kehakiman: Raja Perlis

    Hormati prinsip kebebasan badan kehakiman: Raja Perlis

    RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail hari ini berkenan merasmikan Kompleks Mahkamah Kangar yang baharu dilengkapi dengan sistem dan kemudahan serba canggih dibina dengan kos RM39 juta.

    Turut berangkat Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut hadir.

    Dalam titah ucapan perasmian itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang mengambil tanggungjawab dan inisiatif membina kompleks mahkamah baharu itu bagi menggantikan Mahkamah Kangar lama.

    “Saya turut berasa gembira kerana perasmian dan pembukaan Kompleks Mahkamah Kangar yang baharu ini membuka suatu lagi lembaran dan sejarah baharu dalam pentadbiran sistem kehakiman negara ini dan akan menjadi mercu tanda baharu di Negeri Perlis ini.

    “…dengan adanya Kompleks Mahkamah baharu yang besar dan selesa ini, saya percaya ia mampu meningkatkan lagi mutu penyampaian perkhidmatan kehakiman yang berkualiti kepada semua pihak khususnya kepada rakyat di negeri Perlis,” titah baginda.

    Kompleks mahkamah baharu setinggi tiga tingkat itu menempatkan sebuah Mahkamah Tinggi, dua Mahkamah Sesyen dan dua Mahkamah Majistret yang siap dibina pada 15 November tahun lepas.

    Tuanku Syed Sirajuddin bertitah mengharapkan dengan terbinanya kompleks mahkamah baharu itu ia akan menjadi pemangkin kepada pembangunan lain di kawasan sekitar.

    “Saya turut berharap agar perancangan pembangunan yang sudah dirancang di kawasan sekitar ini dapat memberikan imej baharu kepada Kangar dan secara tidak langsung meningkatkan lagi ekonomi rakyat Perlis,” titah baginda.

    Sementara itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, menyeru semua golongan masyarakat agar menghormati dan memelihara prinsip kebebasan badan kehakiman serta tidak membuat sebarang tuduhan melulu dan tidak berasas kepada hakim atau pegawai kehakiman.

    “Saya yakin percaya bukan mudah untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang hakim. Mereka perlu banyak bersabar dan berkorban masa dan tenaga. Setiap keputusan yang dibuat akan menjadi kayu pengukur kepada proses keadilan dan menjadi rujukan pada masa hadapan,” titah baginda.

    Sehubungan itu, baginda menaruh harapan tinggi agar para hakim dan pegawai kehakiman sentiasa menjaga integriti dan etika pada setiap masa bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat sentiasa berpaksikan kepada keadilan dan kesaksamaan dan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

    “Jika sesuatu keputusan itu dibuat berlandaskan undang-undang dan fakta yang betul, saya yakin sudah pasti keputusan tersebut dapat diterima baik oleh semua pihak,” titah baginda.

    Dalam pada itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah mengajak seluruh jentera kerajaan termasuk penjawat awam, ahli politik, badan swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam bersatu hati dalam usaha membasmi dan membendung masalah rasuah.

    “Jika budaya ini tidak dihapuskan, ia akan merosakkan seluruh sistem pentadbiran dan masyarakat, baik dari segi politik, ekonomi dan sosial,” titah baginda. – Bernama

  • Syed Saddiq arah wang tunai RM1 juta dikeluarkan daripada akaun Armada – Saksi

    Syed Saddiq arah wang tunai RM1 juta dikeluarkan daripada akaun Armada – Saksi

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah mengarahkan wang tunai berjumlah RM1 juta dikeluarkan daripada akaun Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) kerana bimbang berlaku pertukaran pucuk pimpinan sayap parti itu.

    Bekas Penolong Setiausaha Armada Ahmad Redzuan Mohamed Shafi, 32, berkata beliau pernah dimaklumkan oleh Syed Saddiq bahawa duit dalam akaun Armada Pusat (CIMB) merupakan hasil titik peluhnya mencari sumbangan dan beliau berhak untuk menggunakan duit itu sepenuhnya.

    Menurut Pegawai Khas kepada Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin itu, satu perjumpaan diadakan di rumah Syed Saddiq yang terletak di Petaling Jaya, Selangor pada awal Mac 2020.

    “Perjumpaan itu dihadiri oleh saya dan Rafiq Hakim Razali (Penolong Bendahari Armada) dan dalam perjumpaan itu, YB Syed Saddiq dan kami ada berbincang mengenai pertukaran kerajaan dan kedudukan Armada dalam kerajaan kerana YB Syed Saddiq berada dalam blok pembangkang bersama-sama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad. YB Syed Saddiq telah mengarahkan Rafiq Hakim dan saya supaya mengeluarkan wang daripada akaun Armada Parti Bersatu secara tunai berjumlah RM1 juta,” katanya.

    Ahmad Redzuan berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes Syed Saddiq yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah serta pengubahan wang haram.

    Saksi pendakwaan ke-11 itu berkata Syed Saddiq mengatakan wang itu perlu dikeluarkan daripada akaun untuk kegunaan bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai Ketua Armada Bersatu sekiranya berlaku pergolakan dalam Armada melalui program-program melibatkan sayap parti itu.

    Menurut saksi, Syed Saddiq hanya memanggil beliau dan Rafiq Hakim kerana mereka pemegang amanah dan penandatangan cek CIMB Bank Armada Pusat dan perbincangan itu hanya diketahui oleh mereka bertiga sahaja.

    “Saya dan Rafiq Hakim mengeluarkan wang tunai berjumlah RM1 juta daripada akaun rasmi Armada pada 6 Mac 2020 atas arahan YB Syed Saddiq. Semasa YB Syed Saddiq mengarahkan saya dan Rafiq Hakim mengeluarkan wang itu, beliau tidak ada memberitahu saya dan Rafiq Hakim bahawa pengeluaran wang tunai RM1 juta ini telah mendapat kebenaran atau tidak daripada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu,” katanya yang turut memaklumkan Syed Saddiq ada memberitahu wang itu dikeluarkan untuk kegunaan parti.

    Saksi itu berkata semasa di dalam bank, Rafiq Hakim ada bertanya kepadanya, “tahu tak duit ni nak simpan kat mana?” dan beliau jawab “aku cadangkan duit ni kita simpan kat rumah Mohd Daniel kerana kat rumah dia ada peti besi”.

    Menurut Ahmad Redzuan, Rafiq Hakim bersetuju dengan cadangannya dan setelah wang itu dikeluarkan, Rafiq Hakim membawa wang yang diisi dalam sebuah beg ke rumahnya sebelum diberikan kepada Mohd Daniel.

    Ahmad Redzuan berkata beliau mengetahui arahan daripada Syed Saddiq adalah satu kesalahan selepas dipanggil oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 3 Jun 2020 kerana melanggar Fasal 24 Perlembagaan Bersatu.

    Ahmad Redzuan berkata menurut Fasal 24 itu, Bendahari Agung hanya dibenarkan menyimpan wang tunai runcit tidak melebihi RM50,000 pada satu-satu masa dan wang itu mestilah disimpan di tempat yang selamat di dalam Pejabat Berdaftar untuk kegunaan perbelanjaan runcit parti.

    Katanya, perbelanjaan yang melebihi RM500,000 pada satu-satu masa tidak boleh dilakukan tanpa kebenaran diperoleh terlebih dahulu daripada Majlis Pimpinan Tertinggi.

    “Saya sahkan YB Syed Saddiq sendiri tidak boleh mengeluarkan wang tunai daripada akaun CIMB Bank atas nama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Armada Pusat) tanpa mengarahkan saya dan Rafiq Hakim mengeluarkannya.

    “Berhubung dengan isu RM1 juta itu, walaupun kelulusan dikeluarkan oleh YB Syed Saddiq kepada saya dan Rafiq Hakim untuk mengeluarkan wang bagi mengukuhkan kedudukannya, ianya melanggar etika tatacara pengeluaran wang daripada akaun Armada,” katanya dan menambah walaupun mengetahui terdapat perlanggaran tatacara pengeluaran wang, beliau terpaksa akur dengan arahan Syed Saddiq memandangkan kapasiti beliau sebagai Ketua Armada dan juga Ahli Parlimen Muar.

    Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim iaitu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000  daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

    Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

    Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung esok.

    — BERNAMA

  • Peniaga nasi lemak didakwa tipu pelaburan emas  

    Peniaga nasi lemak didakwa tipu pelaburan emas  

    SEORANG peniaga nasi lemak dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret Kuantan hari ini atas 25 pertuduhan penipuan berkaitan pelaburan emas melibatkan kerugian RM161,073, antara September hingga Januari lepas. 

    Wan Noraini Wan Abdullah, 43, yang beralamat di Jalan Gambang, Kuantan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan tersebut di hadapan Majistret Nurul Farahah Mohd Suah.

    Tertuduh didakwa atas 13 pertuduhan memperdayakan dua wanita berkaitan pelaburan itu di Syarikat Empire Gold Ventures di Sungai Isap Maju 1 di sini antara 6 Nov 2021 hingga 10 Jan lepas. 

    Wan Noraini didakwa melakukan kesalahan dengan menawarkan pakej pulangan nilai emas sehingga mendorong mangsa membuat bayaran RM900, RM11,500 dan RM12,100, namun dia dikatakan hanya menyerahkan nilai emas pada kadar lebih rendah iaitu sekitar RM4,658 ke RM4,865. 

    Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Wan Azreen Wan Zaid menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, namun tertuduh merayu agar jumlah itu dikurangkan atas alasan dia hanya memperoleh pendapatan sekitar RM2,000 sebulan. 

    “Suami juga bekerja sendiri dan kami mempunyai tujuh anak. Saya mohon mahkamah memberikan jumlah jaminan yang rendah,” katanya. 

    Nurul Farahah membenarkan jaminan sebanyak RM48,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 8 Ogos sebagai sebutan semula kes untuk tertuduh melantik peguam. 

    Sementara itu, di hadapan Majistret Ainis Abu Hassan Shaari, tertuduh mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan serupa melibatkan tiga mangsa yang didakwa dilakukan antara 28 Sept 2021 hingga 10 Jan lepas di tempat sama. 

    Ainis membenarkan jaminan sebanyak RM24,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 21 Julai sebagai sebutan semula. 

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aini Adilah Muhammad Faizal. – Bernama

  • Kes Zakir Naik saman Kulasegaran selesai secara baik

    Kes Zakir Naik saman Kulasegaran selesai secara baik

    KES saman fitnah yang difailkan pendakwah bebas, Dr Zakir Naik terhadap Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran selesai secara baik tanpa perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Dr Zakir berkata, terma-terma dalam perintah persetujuan telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak, namun ia tidak boleh didedahkan.

    “Pada prosiding hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Arief Emran Arifin telah merekodkan perintah persetujuan itu. Kes saman itu berjaya diselesaikan secara baik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Peguam K. Shanmuga yang mewakili Kulasegaran mengesahkan perkara itu.

    Sebelum ini, kes itu telah ditetapkan untuk perbicaraan pada 26 dan 27 Jun tahun ini.

    Pada 27 Nov 2019, Dr Zakir memfailkan saman itu terhadap Kulasegaran berhubung kenyataan ahli politik tersebut yang didakwa telah mengundang kecaman awam terhadapnya dan menggambarkan beliau sebagai ancaman kepada keselamatan negara.

    Dalam pernyataan tuntutannya, selain pampasan dan ganti rugi daripada Kulasegaran, Dr Zakir turut memohon perintah injunksi daripada mahkamah bagi melarang defendan menerbit serta menyebarkan empat artikel yang didakwa berbaur fitnah.

    Zakir turut menuntut permohonan maaf dikeluarkan oleh defendan serta disiarkan di akhbar dan portal berita secara dalam talian dalam tempoh tujuh hari dari tarikh notis diserahkan. – BERNAMA

  • Bekas Exco Armada tidak bohong dalam kes Syed Saddiq

    Bekas Exco Armada tidak bohong dalam kes Syed Saddiq

    BEKAS Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau tidak berbohong semasa memberi keterangan dalam kes dihadapi Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sebaliknya berasa takut akan dituduh di mahkamah untuk kes lain.

    Abdul Hannaan Khairy, 29, berkata, keterangannya bahawa Ahli Parlimen Muar itu memintanya supaya undur tarikh sebut harga dan resit berjumlah RM250,000 berhubung cenderahati Armada, adalah benar namun tidak mengingati tarikh itu.

    “Saya tidak berbohong tetapi saya takut dituduh di mahkamah,” katanya semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pada perbicaraan kes Syed Saddiq yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah serta pengubahan wang haram.

    Saksi pendakwaan ke-10 itu berkata beliau tidak akan meminta Muhammad Naqib Ab Rahim, yang ketika itu ahli Bersatu untuk undur tarikh pada kedua-dua dokumen berkenaan sekiranya Syed Saddiq tidak memintanya berbuat demikian.

    Terdahulu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq, saksi itu mengakui beliau berasa takut ketika memberi keterangan di mahkamah hari ini.

    Gobind: Kenapa kamu takut?, ada pihak SPRM tanya kamu berkenaan kes lain?

    Abdul Hannaan: Ya.

    Gobind: Kamu takut dituduh untuk kes-kes lain?, dan saksi menjawab, Ya.

    Gobind: Kamu rela memberi keterangan (di mahkamah) sebagai balasan kamu tidak dituduh atas kes lain?.

    Abdul Hannaan: Yang Arif, saya ingin pergi ke tandas.

    Selepas mendengar permintaan saksi itu, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid memohon supaya beliau menjawab soalan peguam terlebih dahulu dan Abdul Hannaan kemudian menjawab, Ya.

    Sementara itu, Abdul Hannaan yang juga Ketua Editor Serius Kool Media Sdn Bhd berkata beliau telah ditangkap oleh SPRM pada 4 Jun 2020 selepas menerima panggilan telefon daripada Muhammad Saufi Yusof supaya menjemputnya pulang dari Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

    “Saya bertolak dari Southville City dalam pukul 11 malam untuk menjemputnya (Muhammad Saufi) dan sampai di sana (SPRM Putrajaya) kira-kira 12 tengah malam. Ketika sampai di lobi SPRM, saya tidak dapat menghubunginya dan tunggu Saufi keluar. Ketika saya menunggu beliau di dalam kereta, secara tiba-tiba ada dua atau tiga orang SPRM berlari ke arah saya dan meminta saya keluar dari kereta,” katanya.

    Disoal Gobind mengapa pihak SPRM menangkapnya, saksi menjawab: “Berhubung kehilangan wang RM250,000”.

    Menurut Abdul Hannaan, beliau turut disoal siasat berhubung kereta berjenama Volkswagen Passat yang dibelinya pada awal 2020 dan risau tindakan akan diambil oleh SPRM berhubung pembelian kereta tersebut.

    Jelas saksi, kereta itu dipulangkan semula kepadanya selepas setahun disita oleh pihak SPRM.

    Dalam pada itu, saksi berkenaan berkata, beliau juga kecewa dengan layanan yang diberikan oleh pegawai SPRM semasa menyoal siasat isterinya termasuk mengherdik wanita itu dengan kata-kata kesat dan satu laporan polis telah dibuat sebagai perlindungan diri daripada diancam oleh pihak luar.

    Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

    Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

    Perbicaraan di hadapan Azhar bersambung esok. – BERNAMA

  • Shafee tak sihat, pemeriksaan balas Arul Kanda tangguh

    Shafee tak sihat, pemeriksaan balas Arul Kanda tangguh

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menunda pemeriksaan balas ke atas bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Arul Kanda Kandasamy dalam perbicaraan kes pindaan laporan audit 1MDB kerana peguam bela utama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak sihat.

    Seorang lagi peguam bela Najib, Rahmat Hazlan ketika dihubungi memberitahu prosiding hari ini dikosongkan kerana Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menghidap “Laryngitis” yang menyebabkan beliau kehilangan suara.

    Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam mengesahkan perkara itu dan berkata perbicaraan akan bersambung semula pada 12 Ogos ini di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

    Arul Kanda, 45, yang didakwa bersama Najib meminda laporan audit 1MDB sepatutnya melalui pemeriksaan balas hari ini.

    Pada 24 Jun, Mohamed Zaini membenarkan permohonan piohak pendakwaan memanggil Arul Kanda sebagai saksi perbicaraan di bawah Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

    Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sementara Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan ke atas laporan itu bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada dikenakan sebarang tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

    Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – BERNAMA