Category: Mahkamah

  • Permohonan Peguam Diraja UK wakili Najib diputuskan 21 Julai

    Permohonan Peguam Diraja UK wakili Najib diputuskan 21 Julai

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan pada 21 Julai sama ada Peguam Diraja (QC) dibenarkan mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak dalam rayuan akhirnya berhubung kes penyelewengan dana RM42 juta membabitkan SRC International Sdn Bhd.

    Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah pendakwaan dan pembelaan berhubung permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk membolehkan Jonathan Laidlaw dari United Kingdom mewakili beliau.

    Selain pendakwaan, permohonan Najib dibantah oleh Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam dan Jawatankuasa  Peguam Kuala Lumpur.

    Pada 31 Mei lepas, Najib memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran melantik QC untuk membantu beliau berhubung isu kompleks dan persoalan undang-undang dalam rayuan kes SRC di Mahkamah Persekutuan.

    Pada 29 April lepas, Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari pada bulan Ogos untuk mendengar rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan penyelewengan dana syarikat itu.

    — BERNAMA

  • Emilia diberi amaran tidak guna cuti sakit sebagai ‘tiket’ tidak hadir perbicaraan

    Emilia diberi amaran tidak guna cuti sakit sebagai ‘tiket’ tidak hadir perbicaraan

    Mahkamah Majistret Kuala Lumpur  memberi amaran kepada bekas isteri Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal, Emilia Hanafi supaya tidak menggunakan sijil cuti sakit (MC) sebagai ‘tiket’ untuk tidak hadir ke mahkamah dalam perbicaraan kes dihadapi ahli perniagaan terkenal  itu atas dakwaan mencederakannya.

    Majistret Nadia Othman juga membatalkan waran tangkap yang dikeluarkan terhadap Emilia, 43, selepas berpuas hati dengan penjelasan wanita itu berhubung ketidakhadirannya beberapa kali dalam perbicaraan kes yang ditetapkan sebelum ini.

    “Waran tangkap dibatalkan dan saya memberi amaran kepada pengadu (Emilia) supaya hadir pada tarikh akan datang. Saya sentiasa ingatkan kehadiran semua pihak supaya mengikut prosedur.

    “Sijil cuti sakit bukan satu tiket untuk tidak hadir ke mahkamah. Sekiranya perlu, seperti yang saya minta pada Puan Emilia tadi, kemukakan laporan perubatan untuk mengesahkan sakit dan ketidakhadiran ke mahkamah. Perbicaraan akan diteruskan pada 15 Julai ini,” katanya pada sebutan kes berhubung waran tangkap terhadap Emilia.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Ahmad Zakiuddin memohon mahkamah membatalkan waran tangkap yang dikeluarkan pada 15 Jun lepas ke atas Emilia berdasarkan penjelasan wanita itu.

    Sementara itu, Emilia yang memberi keterangan dari kandang saksi berkata beliau tidak hadir pada perbicaraan kes itu pada 14 dan 15 Dis 2021, 28 Feb, 4 Mac, 20 April, 20 Mei dan 15 Jun (2022) berikutan keadaan kesihatannya yang tidak memuaskan selain tertekan apabila waran tangkap dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah berhubung kes lain.

    “Apabila tertekan, saya jatuh sakit. Saya juga mengalami sakit perut, muntah-muntah dan cirit-birit dan kemudian saya dapatkan sijil cuti sakit dari Klinik Kesihatan kerajaan di Kelana Jaya pada 14 Dis dan keesokannya (15 Dis 2021) di Klinik Kesihatan Kota Damansara atas masalah kesihatan yang sama.

    “Pada 28 Feb lepas (2022), saya telah menghantar anak-anak ke sekolah di Cheras dan saya mengalami demam selesema, kemudian terus ke klinik berdekatan untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan manakala 4 Mac pula, saya didapati kontak rapat COVID-19,” katanya.

    Jelas wanita itu, pada 20 April beliau memberitahu mahkamah bahawa giginya berlubang, bernanah dan terkena jangkitan dan beliau telah mendapatkan rawatan di klinik pergigian di UTC Shah Alam dan dinasihatkan membuat rawatan akar atau mencabut gigi kerana keadaan giginya tidak dapat diselamatkan.

    “Pada 20 Mei, saya kemudian mendapatkan pandangan kedua dari Klinik Kesihatan Tanglin. Tetapi, saya memilih buat rawatan di Shah Alam kerana di sana rawatannya lebih baik dan saya telah mendapatkan surat rujukan doktor manakala pada 15 Jun lalu, saya pergi UTC Shah Alam dan diberitahu tidak perlu cabut gigi dan bertahan.

    “Saya pergi berjumpa pakar di Shah Alam dan dapatkan rawatan tetapi gigi masih bengkak. Jadi, apabila datang ke mahkamah saya rasa tertekan. Tetapi sekarang saya rasa lega,” kata Emilia.

    Selepas mendengar penjelasan Emilia, Majistret Nadia meminta wanita itu mengesahkan bahawa beliau tidak mempunyai penyakit kronik dan Emilia menjawab: “Tiada”.

    Nadia berkata beliau berpuas hati dengan penjelasan Emilia dan mengingatkan semua pihak termasuk tertuduh untuk hadir ke mahkamah demi kelancaran kes.

    “Saya tidak mahu kes ini ditangguhkan. Kalau mengikut rekod saya, ada 38 sebutan untuk kes ini sahaja. Tambahan pula peguam, Timbalan Pendakwa Raya dan saksi-saksi hadir ke mahkamah malah mahkamah bersedia untuk mendengar kes ini. Ini kes anda, mahkamah bersedia, jadi awak perlu hadir. Saya tidak mahu terima penjelasan yang bukan-bukan selepas ini,” kata Nadia.

    SM Faisal selaku Orang Kena Tuduh (OKT)  yang diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader hadir manakala dua peguam pemerhati iaitu Datuk Khairul Anwar Rahmat dan Nazri Yahya hadir bagi pihak Emilia.

    Mengikut pertuduhan, SM Faisal didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia yang merupakan isterinya (ketika kejadian) di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields di sini antara 12.30 tengah hari dan 4.30 petang mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pada 27 Jun lepas, Emilia dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara tujuh hari kerana gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Syariah di sini mengenai tarikh lawatan tiga anaknya dan wanita itu dibebaskan dari penjara pada 1 Julai lepas.

    — BERNAMA

  • Pesawah didenda RM5,000 hina agama Hindu

    Pesawah didenda RM5,000 hina agama Hindu

    SEORANG pesawah didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini kerana membuat dan memulakan komunikasi jelik berunsur penghinaan terhadap agama Hindu di laman sosial Facebooknya, tiga tahun lepas.

    Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu selepas Mohammad Syafiq Iqbal Mohammad Helmi, 31, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah.

    Mahkamah turut memerintahkan Mohammad Syafiq Iqbal menjalani hukuman penjara selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda, namun dia berjaya membayar denda yang dikenakan itu.

    Menurut laporan Bernama, Rasyihah turut menasihati OKS agar dia insaf serta tidak mengulangi kesilapan sama selain perlu berhati-hati dalam membuat hantaran di media sosial.

    Dia didakwa membuat selain memulakan penghantaran komunikasi itu menggunakan aplikasi Facebook ‘Syafiq Iqbal’ dengan niat menyakitkan hati orang lain pada 11 pagi 23 Dis 2019.

    Hantaran itu kemudian telah dibaca di Maxis Communications Bhd yang terletak di Subang Jaya pada 4.41 petang, hari sama.

    Mohammad Syafiq didakwa mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

    Sekiranya disabitkan kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

    Terdahulu, peguam Nurul Ikrimah Mohd Raya memohon agar Mohammad Syafiq Iqbal dikenakan denda minimum atas alasan OKS sudah insaf selain berjanji tidak akan mengulangi kesilapan serupa.

    “OKS merupakan seorang pelajar yang cemerlang semasa zaman persekolahannya dengan memperoleh keputusan A bagi kesemua mata pelajaran dalam Sijil Pelajaran Malaysia dan Penilaian Menengah Rendah. Namun selepas ibubapanya berpisah, dia mengalami kemurungan yang teruk.

    “Dia kini tinggal bersama ibu dan bapa tirinya di Sungai Besar. Selepas kejadian ini, OKS tidak lagi memiliki akaun media sosial dan tidak mempunyai telefon bimbit,” katanya.

    Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Fazril Sani pula memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira hantaran OKS boleh mendatangkan kekacauan di negara ini selain memberi pengajaran kepada orang awam agar tidak mengulangi kesalahan sama.

  • Warga emas dipenjara 50 tahun, lapan sebatan rogol anak kandung

    Warga emas dipenjara 50 tahun, lapan sebatan rogol anak kandung

    SEORANG pengait sawit dijatuhi hukuman penjara 50 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Melaka hari ini atas kesalahan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandung sendiri.

    Hakim Mohd Sabri Ismail menjatuhkan hukuman berkenaan selepas tertuduh yang berusia 60 tahun membuat pengakuan bersalah terhadap empat pertuduhan yang dibacakan ke atasnya, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan dua pertuduhan, tertuduh didakwa telah merogol anak perempuannya berusia 15 tahun lima bulan yang mana hubungan itu tidak dibenarkan mengikut undang-undang, hukum agama, adat, kebiasaan yang terpakai untuknya berkahwin.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan.

    Bagi dua pertuduhan lain, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama dan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama.

    Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat bagi kesalahan Seksyen 14 (a) AKSTKK 2017, manakala Seksyen 16 (1) membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.

    Kesemua tindakan itu dilakukan tertuduh di kebun sawit serta di sebuah rumah dalam daerah Jasin pada 18 Oktober 2021 dan 20 Januari lalu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon hukuman berat dan setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepadanya dan juga keadilan kepada mangsa.

    Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan dua sebatan bagi setiap kesalahan merogol serta penjara 10 tahun dan dua sebatan bagi kes amang seksual fizikal.

    Mohd. Sabri bagaimanapun memerintahkan hanya hukuman bagi amang seksual fizikal akan berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 23 Mac lalu.

  • Pengeluaran RM1 juta atas arahan Syed Saddiq tak ikut prosedur, kata saksi

    Pengeluaran RM1 juta atas arahan Syed Saddiq tak ikut prosedur, kata saksi

    SEORANG saksi dalam perbicaraan kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berdepan pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa pengeluaran wang RM1 juta atas arahan Ahli Parlimen Muar itu tidak mengikut prosedur selain mengakui terjebak dalam perkara itu sejak awal lagi.

    Bekas penolong bendahari Pemuda Bersatu, Rafiq Hakim Razali, 32, berkata pengeluaran wang daripada akaun Pemuda itu adalah salah kerana tiada kertas kerja dikemukakan untuk membolehkan wang itu dikeluarkan daripada bank pada 6 Mac 2020.

    “Jika ingin membuat pengeluaran wang sepatutnya ada kertas kerja mengenai program (yang dijalankan) dan kertas kerja dibentangkan kepada Majlis Ketua Armada terdiri daripada Ketua Armada sendiri, timbalan ketua Armada, penolong setiausaha dan saya sendiri,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.

    Saksi itu bersetuju dengan cadangan bahawa tindakan Syed Saddiq mengarahkan wang RM1 juta yang dikeluarkan itu “diclearkan” kerana takut duit berkenaan disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah satu kesalahan.

    “Ia salah, kerana ingin menyorokkan sesuatu daripada pihak berkuasa. Kalau benda tak salah, kenapa ini berlaku,” katanya.

    Disoal lagi mengapa beliau masih mengagihkan wang berkenaan kepada Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Wilayah Persekutuan Muhammad Daniel Kusari dan Muhammad Naqib Ab Rahim yang ketika itu ahli Bersatu atas arahan Syed Saddiq walaupun tahu ia satu kesalahan, saksi itu menjawab, “Sebab saya sudah terjebak dari awal, jadi saya teruskan”.

    Wan Shaharuddin: Boleh kamu jelaskan maksud terjebak?

    Rafiq: Pengeluaran wang ini salah dari awal lagi… memang dari awal tidak ikut prosedur yang sepatutnya.

    Saksi pendakwaan ke-13 itu berkata sekiranya wang itu tidak diagihkan kepada Daniel dan Naqib, beliau takut duit berkenaan akan disita oleh SPRM.

    “Mungkin saya akan jadi saksi seterusnya untuk kes ini. Jadi, apabila SPRM sampai ke rumah saya, mungkin duit itu tidak ada di situ. Saya hanya mengikut arahan YB Syed Saddiq untuk mengagihkan wang itu kepada Muhammad Daniel dan Muhammad Naqib,” katanya.

    Saksi itu berkata beliau tidak akan mengeluarkan wang berkenaan seterusnya mengagihkan kepada kedua-dua individiu itu sekiranya tidak menerima arahan daripada Syed Saddiq.

    Rafiq dalam keterangan sebelum ini memberitahu, Syed Saddiq mengarahkan beliau supaya “clearkan” wang RM1 juta dan sebanyak RM650,000 diagihkan kepada Daniel dan RM250,000 kepada Naqib manakala RM100,000 digunakan untuk program Pemuda atas arahan ahli politik itu.

    Sementara itu, Rafiq bersetuju dengan cadangan peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Syed Saddiq bahawa tiada apa-apa yang dinyatakan dalam Perlembagaan parti bahawa pengeluaran wang untuk tujuan program Armada memerlukan kertas kerja dan bersetuju tidak ada arahan undang-undang yang memerlukan kertas kerja pada masa itu.

    Gobind: Menurut Perlembagaan Bersatu, apa yang perlu adalah penyata kira-kira atau akaun yang menunjukkan pengeluaran wang dan ia perlu dibentangkan pada akhir tahun kewangan. Itu yang diperlukan bukan?

    Rafiq: Ya.

    Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

    Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

    Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

    Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Abdul Hamid bersambung esok.

  • Pihak mahkamah, polis gagal serah waran tangkap Norjuma

    Pihak mahkamah, polis gagal serah waran tangkap Norjuma

    CUBAAN peguam bagi pihak Fame Up Entertainment bersama-sama pegawai mahkamah dan polis untuk menyerahkan sekali lagi waran tangkap ke atas usahawan selebriti, Norjuma Habib Mohamed gagal selepas dia tiada di kediamannya hari ini.

    Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Yasmin Abdul Razak mengeluarkan arahan itu berikutan Norjuma gagal memberi kerjasama dari permulaan kes dan juga kerana menghina mahkamah atas ingkar perintah yang ditetapkan.

    Terdahulu pihak terbabit pergi ke dua kediamannya di sekitar Kuala Lumpur pukul 11 pagi namun difahamkan Norjuma tiada di rumah.

    Di satu lagi kediaman keluarga, hanya bapanya yang berada di rumah dan membenarkan pihak peguam dan polis masuk membuat pemeriksaan.

    Peguam bagi pihak Fame Up Entertainment, Muhammad Hassanuddin Roslan berkata, pihaknya gagal menyerahkan waran tangkap itu selepas Norjuma tidak ada di kediamannya hari ini.

    “Kita akan menunggu arahan selanjutnya daripada mahkamah mengenai tindakan susulan selepas beliau masih gagal ditemui untuk penyerahan waran tangkap,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Untuk rekod, Fame Up Entertainment memfailkan dua saman fitnah terhadap Norjuma sejak 2019 dan 2020 berikutan penyebaran fitnah usahawan itu pada syarikat berkenaan sekitar 2018 hingga 2020.

  • Kes rasuah Ahmad Zahid: Hakim akan lawat dua banglo di Country Heights, Kajang

    Kes rasuah Ahmad Zahid: Hakim akan lawat dua banglo di Country Heights, Kajang

    HAKIM Mahkamah Tinggi  yang mendengar perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan melawat dua unit banglo di Country Heights, Kajang yang didakwa dibeli menggunakan dana Yayasan Akalbudi (YAB) untuk dijadikan pusat pengajian al-Quran bagi golongan yang akan bersara dan pelajar tahfiz.

    Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata beliau bersetuju dengan permintaan pihak pembelaan untuk melawat banglo berkenaan demi keadilan dalam perbicaraan kes bekas timbalan perdana menteri itu.

    “Saya fikir demi kepentingan keadilan, saya bersetuju dengan permintaan untuk lawatan tapak, tapi kita boleh tetapkan lain kali. Kita boleh tetapkan tarikh kemudian,” katanya dalam prosiding bela diri Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik YAB.

    Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid berkata pihaknya menjemput Hakim Sequerah untuk melawat dua banglo berkenaan bagi memberikan gambaran yang jelas kerana pembelian banglo itu terdapat dalam satu daripada 27 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi anak guamnya dan sering diperkatakan dalam perbicaraan.

    Menurut Hisyam, lawatan tersebut dapat memperlihatkan keadaan terkini banglo berkenaan termasuk lokasinya serta jarak banglo itu dengan Surau An-Nur di Country Heights.

    Hakim Sequerah bertanyakan kepada pihak pendakwaan, adakah mereka ingin membantah mengenai lawatan itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata tiada keperluan untuk pihaknya melawat dua banglo tersebut kerana gambar yang menunjukkan keadaan banglo boleh dikemukakan di mahkamah.

    “Jika Yang Arif cenderung untuk pergi melawat, mungkin kita boleh ambil hari lain, bukan kali ini, tidak bertembung (tarikh perbicaraan),” katanya.

    Sebelum itu, Ahmad Zahid memberitahu mahkamah bahawa dua banglo berkenaan paling dekat dengan Surau An-Nur di Country Heights dan jauh dari kediamannya yang juga terletak di kawasan berkenaan (Country Heights).

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata demikian ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong berkenaan jarak antara dua banglo berkenaan dengan kediaman Ahmad Zahid.

    Harris Ong: Setuju dengan saya, Datuk Seri nak solat jemaah boleh ke Surau An-Nur Country Heights?

    Ahmad Zahid: Saya memberitahu tanpa rasa riak, sombong, bahawa saya adalah pengerusi surau itu (Surau An-Nur). Ikut kesempatan boleh solat di sana atau surau lain dan rumah saya pun ada surau.

    Mengenai pembelian dua banglo di Country Heights bernilai RM5.9 juta, Ahmad Zahid berkata beliau menyatakan secara terus kepada peguam di Tetuan Lewis & Co iaitu B. Muralidharan tentang pembelian banglo tersebut.

    “Saya tidak pasti siapa yang menyediakan cek pembelian banglo itu yang ia boleh diuruskan sendiri oleh Muralidharan, pegawai akaun atau kerani firma itu,” katanya.

    Kepada soalan Harris Ong, daripada mana Ahmad Zahid memperoleh nilai banglo itu, Ahmad Zahid menjawab: “Laporan penilaian. Banglo itu dibeli di bawah harga pasaran yang bertujuan untuk kebajikan dan perkembangan ilmu, selaras dengan kehendak Yayasan Akalbudi”.

    Sementara itu, Ahmad Zahid berkata tiada surat rasmi dalam melantik Lewis & Co sebagai pemegang amanah dana Yayasan Akalbudi, sebaliknya pelantikan itu atas dasar persefahaman dan kepercayaan terhadap firma guaman berkenaan.

    “Pelantikan itu (Lewis & Co) selepas saya hilang kepercayaan kepada Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly (bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid) ketika itu, kerana terlalu cuai dan membuat kesilapan berulang kali dalam pengendalian akaun Yayasan Akalbudi,” tegasnya.

    Harris Ong: Setuju dengan saya bahawa surat pelantikan perlu dibuat bagi memastikan perkara sama (kecuaian) tidak berulang?

    Ahmad Zahid: Tiada surat rasmi. Saya kenal Muralidharan begitu lama, saya percaya beliau, selain mendapatkan nasihat rakan Muralidharan serta bekas peguam. Setakat ini tiada kecuaian yang dilakukan oleh firma itu dalam mengendalikan dana YAB.

    Ahmad Zahid berkata surat pelantikan tersebut tidak penting jika ada persefahaman dan persetujuan dan beliau tidak diminta oleh Muralidharan dan rakan kongsi untuk membuat surat berkenaan.

    Harris Ong: Atas alasan itu, Datuk Seri boleh mengambil kesempatan untuk memanipulasi firma itu untuk kepentingan sendiri?

    Ahmad Zahid: Tiada niat, apatah lagi berbuat demikian.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Sequerah bersambung.

    — BERNAMA

  • Suami isteri mengaku tidak bersalah miliki 53 keping wang palsu RM100

    Suami isteri mengaku tidak bersalah miliki 53 keping wang palsu RM100

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEPASANG suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini atas tuduhan memiliki wang kertas palsu RM100 dengan nilai sebanyak RM5,300 bulan lalu.

    Bagaimanapun kedua-dua tertuduh iaitu Muammar Raid Abdul Malik, 33, dan Nadia Mohamed Hussain @ Brian Michael Lewis, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.

    Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa secara bersama memiliki sebanyak 53 keping wang kertas palsu bernilai RM100 yang mana mereka tahu wang tersebut adalah palsu.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 29 Jun lalu kira-kira pukul 11.30 malam di sebuah bilik beralamat di PMT 30, Mukim 8, Jalan Muthupalaniappan Sunway Wellesley, Bukit Mertajam.

    Kedua-duanya didakwa di bawah Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

    Kes dikendalikan Pengawai Pendakwa, Mohamad Syarafuddin Mamat Mokhtar manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

    Ketika prosiding, pihak pendakwa memohon mahkamah menetapkan jaminan yang tinggi kerana kedua-dua tertuduh mempunyai rekod jenayah lampau termasuk berkaitan penggunaan wang palsu.

    Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 ke atas kedua-dua tertuduh dengan seorang penjamin selain syarat tambahan mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

    Selain itu, mahkamah turut menetapkan kedua-dua tertuduh perlu melaporkan diri kepada pegawai penyiasat kes setiap dua minggu sekali sehingga kes selesai.

    Dalam pada itu, mahkamah turut menetapkan 11 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

  • Yasin lega, bersyukur terlepas hukuman gantung

    Yasin lega, bersyukur terlepas hukuman gantung

    PENYANYI nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman bersyukur dan lega selepas Mahkamah Majistret Petaling Jaya melepas tanpa membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis ganja, hari ini.

    Yasin berkata, keputusan itu merupakan satu perkembangan positif bagi dirinya, lapor Sinar Harian.

    “Alhamdulillah, saya mengikut proses dan peruntukan undang-undang sedia ada dan saya amat bersyukur dengan keputusan ini.

    “Tidak lupa juga ucapan terima kasih saya kepada rakan dan keluarga yang banyak memberikan sokongan, merekalah sumber kekuatan utama saya,” katanya kepada media ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

    Sementara itu, abang Yasin, Zain Sulaiman, 50, berkata, mereka sekeluarga bersyukur dengan keputusan Mahkamah Majistret hari ini biarpun adiknya itu tidak dapat beraya bersama pada Aidiladha nanti.

    “Kami semua bersyukur dengan perkembangan kes ini, walaupun Aidiladha ini kami tidak dapat beraya dengannya, namun Alhamdulillah, kami lega dengan perkembangan kes yang Yassin hadapi ini.

    “Saya harap rakan-rakan, teman akan terus mendoakan untuk Yasin,” katanya.

    Hari ini, Yasin terlepas daripada hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Majistret Petaling Jaya melepas tanpa membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 214 gram, Mac lalu.

    Bagaimanapun dia dituduh atas kesalahan miliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan dituduh mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.

  • Rayuan banduan Malaysia di Singapura, tangguh hukuman mati didengar hari ini

    Rayuan banduan Malaysia di Singapura, tangguh hukuman mati didengar hari ini

    SEORANG banduan Malaysia yang sedang menunggu hukuman mati di Singapura telah memfailkan notis usul kepada Mahkamah Rayuan negara itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukumannya, menurut Lawyers for Liberty (LFL).

    LFL berkata permohonan penangguhan Kalwant Singh akan didengar hari ini, 6 Julai, iaitu sehari sebelum hukumannya dijadual dilaksanakan.

    “Permohonan penangguhan Kalwant akan didengar oleh panel tiga hakim di Mahkamah Rayuan pada 6 Julai jam tiga petang, iaitu sehari sebelum pelaksanaan hukuman mati yang dijadualkan,” kata NGO itu dalam kenyataan.

    Kalwant juga telah memfailkan semakan terhadap sabitan dan hukumannya, kata NGO itu lagi.

    Dia ditahan atas kesalahan memiliki 60.15g diamorphine dan mengedar 120.9g diamorphine pada 2013 dan disabitkan pada 2016 di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.

    Menurut LFL lagi, keluarga Kalwant, dari Cameron Highlands, hanya dimaklumkan pada 30 Jun lalu mengenai tarikh pelaksanaan hukuman matinya.

    LFL, bersama beberapa kumpulan lain, sebelum ini menggesa kerajaan Singapura untuk menghentikan hukuman matinya.

    Pengarahnya, Zaid Malek berkata Kalwant hanya salah seorang dalam senarai panjang rakyat Malaysia sedang menunggu dihukum gantung di Singapura.

    “Walaupun kritikan demi kritikan yang diterimanya (Singapura) daripada masyarakat antarabangsa kerana hukuman mati ke atas keldai dadah bawahan,” tambahnya, lapor MalaysiaKini.

    Kumpulan hak asasi manusia Sebaran Kasih juga bersuara untuk Kalwant, dengan mengatakan bahawa dia hanya berusia 23 tahun ketika ditangkap.

    “Kalwant telah menghabiskan lebih daripada sembilan tahun di penjara, di mana dia telah dikenakan kurungan bersendirian di dalam sel kecil untuk tempoh yang lama,” kata Kumpulan tersebut.

    Pelaksanaan hukuman gantung ini berlaku dua bulan selepas hukuman mati terhadap Nagaenthran Dharmalingam, seorang lelaki kurang upaya intelek yang dihukum mati pada 27 April atas tuduhan mengedar dadah.