Category: Mahkamah

  • Dadah: Kerani wanita tersenyum terlepas hukuman mati

    Dadah: Kerani wanita tersenyum terlepas hukuman mati

    SEORANG kerani wanita terlepas hukuman mati apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, melepas dan membebaskannya daripada tujuh pertuduhan mengedar 59.98 gram dan memiliki lebih 0.5 kilogram dadah berbahaya, tiga tahun lalu.

    Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan bahawa, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Siti Aisah Noordin, 35,.

    Ketika membaca keputusan penghakiman di akhir kes pendakwaan, Azhar berkata, mahkamah mengambil kira keterangan saksi-saksi pendakwaan berhubung maklumat serbuan kejadian.

    “Bagaimanapun, pihak pendakwaan didapati gagal untuk memanggil suami tertuduh sebagai saksi sedangkan dia ditangkap bersama tertuduh, ini menyebabkan kelompangan dalam kes.

    “Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sejurus keputusan, dia yang memakai baju hitam dalam keadaan bergari, kelihatan tersenyum selepas dibenarkan keluar dari kandang tertuduh.

    Mengikut satu pertuduhan, dia didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu 3,4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 59.98 gram.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang membawa hukuman mati.

    Bagi enam pertuduhan lain, dia didakwa ada dalam milikannya dadah jenis ketamine seberat 407.22 gram, MDMA (0.76 gram), Nimetazepam (1.1 gram), Methamphetamine (16.86 gram) dan Clozapine (90.98 gram).

    Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Dia juga boleh dihukum bawah Seksyen 39A(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara antara dua hingga lima tahun dan juga akan dikenakan hukuman sebat antara tiga hingga sembilan kali.

    Pertuduhan turut dibuat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Semua kesalahan didakwa dilakukan di dua unit kondominium di Jalan Ipoh Batu 5 Taman Mastiara di Kuala Lumpur, pada 20 April 2020 lalu.

    Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene manakala tertuduh diwakili peguam, Maanveer Singh.

    Seramai lapan saksi dipanggil memberi keterangan sejak prosiding perbicaraan bermula 29 Mei lalu.

  • Bekas pembantu bergelar ‘Datuk’ didakwa tipu tawaran projek RM8 juta

    Bekas pembantu bergelar ‘Datuk’ didakwa tipu tawaran projek RM8 juta

    SEORANG bekas setiausaha sulit kepada bekas timbalan menteri didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah atas tuduhan memperdaya seorang lelaki berhubung tawaran tender projek kerajaan RM8 juta.

    Sinar Harian melaporkan Nasarudin Mahamud, 57, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Norma Ismail.

    Tertuduh didakwa menipu lelaki itu untuk mempercayai dia membuat urusan tawaran tender projek kerajaan bernilai RM8 juta dan dengan curang mendorong lelaki terbabit mempercayai tertuduh bertanggungjawab menguruskan projek itu.

    Lelaki berkenaan memindahkan RM382,000 ke akaun tertuduh dan menyerahkan wang tunai RM67,000 yang mana dia tidak berbuat demikian jika tidak diperdaya tertuduh, di sebuah pejabat Mukim Tampin Tengah antara 6 hingga 18 Oktober 2022.

    Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seskyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

    Peguam Eddin Syazlee Shith yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mempertimbangkan beberapa keadaan, antaranya kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, walaupun tidak boleh dijamin, tetapi penipuan itu dalam kategori terendah.

    “Tertuduh melalui proses sukar, baru keluar dari Institut Jantung Negara (IJN), berpindah ke hospital kerajaan dan menghadapi kesulitan membayar bil IJN. Dia mempunyai masalah jantung kritikal yang memerlukan pembedahan segera.

    “Tertuduh juga mempunyai penyakit buah pinggang tahap empat. Keadaan ini menyebabkan dia memerlukan kebenaran jamin untuk mendapatkan rawatan susulan bagi membuat persiapan,” kata peguam itu sambil menambah beliau menawarkan diri secara probono tanpa dibayar.

    Seorang lagi peguam tertuduh, Syed Amirul Syed Edros dalam rayuannya berkata, tertuduh memberi kerjasama baik kepada polis dan tiada risiko melarikan diri.

    “Tertuduh mengalami kesukaran kewangan dan mohon jaminan paling minimum.”

    Mahkamah membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 4 Ogos ini.

  • Permohonan Rosmah untuk tangguh rayuan kes rasuah pada 7 Julai

    Permohonan Rosmah untuk tangguh rayuan kes rasuah pada 7 Julai

    MAHKAMAH Rayuan menetapkan Jumaat ini untuk mendengar permohonan Datin Seri Rosmah Mansor menangguhkan pendengaran rayuannya pada pertengahan Julai bagi membatalkan sabitan rasuah serta hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta ke atasnya.

    Peguam Akberdin Abdul Kader, yang mewakili isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara, pagi tadi mengesahkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan pada 7 Julai tersebut.

    Peguam itu menambah bahawa pasukan pembelaan Rosmah serta pihak pendakwaan telah bertukar dokumen untuk perbicaraan. Malaysiakini sedang cuba menghubungi pihak pendakwaan berhubung perkara itu.

    Rayuan rasuah Rosmah melibatkan projek tenaga hibrid solar RM1.25 bilion untuk 369 sekolah di Sarawak, pada mulanya ditetapkan untuk perbicaraan di Mahkamah Rayuan (bidang kuasa jenayah) pada 11 Julai.

    Bagaimanapun, bulan lalu, Rosmah dilaporkan berusaha untuk menangguhkan perbicaraan rayuan utama kes rasuah solarnya pada Julai, sementara menunggu penyelesaian satu lagi rayuan di Mahkamah Persekutuan.

    Rayuan di mahkamah tertinggi itu adalah berhubung permohonannya untuk mendapatkan kelulusan bagi memulakan cabaran di mahkamah sivil untuk membatalkan keseluruhan kes rasuah terhadapnya.

    Pada 1 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi (bidang kuasa jenayah) Kuala Lumpur mendapati dirinya bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta ke atasnya.

    Bagaimanapun, beliau memperoleh penangguhan pelaksanaan terhadap hukuman itu, sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

    Berhubung cabarannya di mahakamah sivil, Rosmah berhujah bahawa kes rasuah solar terhadapnya adalah terbatal dari awal kerana pelantikan tidak sah bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwa dalam kes itu.

  • Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 berkuat kuasa esok

    Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 berkuat kuasa esok

    BERMULA esok, Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) akan berkuat kuasa.

    Menurut Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 30 Jun yang disiarkan Jabatan Peguam Negara, tarikh berkuat kuasa akta berkenaan ditetapkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

    “Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh subseksyen 1(2) Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846), Menteri menetapkan 4 Julai 2023 sebagai tarikh Akta itu mula berkuat kuasa,” menurut warta itu.

    Pada 3 April lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang antara lain bertujuan memansuhkan hukuman mati mandatori, mengubah hukuman pemenjaraan sepanjang hayat dan sebatan.

    Melalui undang-undang itu, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali.

  • Lelaki pukul isteri dipenjara 12 bulan, denda RM1,000

    Lelaki pukul isteri dipenjara 12 bulan, denda RM1,000

    MAHKAMAH Majistret Tampin hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM1,000 terhadap seorang lelaki selepas mengaku bersalah memukul isterinya pada April lepas.

    Tertuduh S. Ragubalan, 46, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kartini Kasran.

    Majistret turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas isterinya dengan cara menumbuk pada bahagian muka dan menghantukkan kepalanya ke lantai sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian muka dan dahi, bengkak pada bahagian belakang kepala dan sakit pada bahagian tengkuk.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Gemas, Tampin pada 24 April lalu jam 9.15 pagi.

    Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

    Pihak pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng memberitahu mahkamah, tertuduh pernah dituduh di mahkamah majistret di Tampin atas kesalahan di bawah seksyen yang sama pada November 2022 dan mengaku bersalah.

    “Tertuduh dikenakan hukuman denda RM1,500 dan satu hari penjara untuk kes tersebut.

    “Memandangkan tertuduh melakukan kesalahan sama, ia menunjukkan hukuman satu hari penjara adalah tidak cukup untuk memberi pengajaran setimpal terhadapnya.

    “Mohon hukuman penjara lebih panjang sebagai pengajaran yang setimpal kepada tertuduh dan masyarakat secara am dengan mengambil kira kes keganasan rumah tangga yang semakin meningkat,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman berikutan perlu membiayai lima anak dan menghidap penyakit kencing manis selain baru menjalani pembedahan kaki di hospital.

  • RM114 juta milik UMNO, bukan sebahagian aset saya, kata Najib

    RM114 juta milik UMNO, bukan sebahagian aset saya, kata Najib

    BEKAS Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak memaklumkan RM114 juta yang sebelum ini diarah dikembalikan oleh mahkamah adalah milik UMNO dan bukan sebahagian daripada asetnya.

    Dalam afidavitnya sebagai jawapan kepada tuntutan mahkamah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadapnya, bekas perdana menteri itu menjelaskan bahawa ini adalah sebab mengapa pendedahan asetnya tidak mengandungi RM114 juta berkenaan.

    Dua bulan lalu sebagai sebahagian daripada tindakan sivil terhadap Najib, 1MDB menuduh bekas menteri kewangan itu hanya membuat sebahagian pendedahan aset kerana gagal memasukkan RM114 juta berkenaan.

    Pengerusi 1MDB, Johan Mahmood dalam afidavit mendakwa Najib mengisytiharkan RM1,010,258.62 dalam akaun banknya yang tidak termasuk wang tunai RM114 juta yang diarah dikembalikan oleh mahkamah pada 2021.

    Pada 2021, mahkamah berasingan di Kuala Lumpur menafikan tindakan kerajaan yang berkaitan dengan 1MDB dilucuthakkan terhadap RM114 juta itu, dengan wang itu dikembalikan kepada Najib dan UMNO.

    “Saya dengan sesungguhnya menyatakan bahawa RM 114 juta yang dilaporkan dikembalikan kepada saya tidak menjadi sebahagian daripada aset saya kerana pada setiap masa, jumlah RM114 juta itu dipegang secara amanah oleh saya bagi pihak UMNO selepas Pilihan Raya Umum ke-14 yang baru terusai beberapa hari sebelum serbuan di apartmen saya.

    “Sebagai Presiden UMNO, saya telah diamanahkan dengan dana tersebut untuk tujuan pilihan raya, tetapi wang tersebut tidak menjadi milik saya.

    “Oleh itu, segala ketidakzahiran seperti yang didakwa dinafikan sekeras-kerasnya,” kata Najib dalam afidavit yang difailkan pada Rabu minggu lalu, yang disahkan oleh peguamnya Muhammad Farhan Muhammad Shafee, lapor Malaysiakini.

    Sebagai tindak balas kepada afidavit Johan sebelum ini mengenai dakwaan percanggahan antara pendedahan aset Najib dalam saman 1MDB berbanding tindakan sivil berasingan terhadapnya oleh SRC International (bekas anak syarikat 1MDB), Najib mendakwa bahawa ini adalah kerana pendedahan aset SRC telah dilakukan tahun lepas apabila peguamnya tidak mempunyai semua maklumat kewangan yang diperlukan sebelum tarikh akhir pemfailan.

    Najib menjelaskan sejurus sebelum pendedahan asetnya untuk tuntutan 1MDB ketika ini, peguamnya telah mendapatkan maklumat lanjut dan lengkap mengenai akaun bank Affin dan simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB).

    Bekas Ahli Parlimen Pekan itu berhujah ini menunjukkan bahawa tidak ada usaha untuk menyembunyikan asetnya daripada 1MDB.

    Tahun lepas berhubung saman berasingan oleh SRC, Najib membuat pemfailan mahkamah mengenai asetnya berjumlah RM4.49 juta.

    Berhubung saman ketika ini, 1MDB dan empat anak syarikatnya menyaman Najib dan beberapa defendan lain sebanyak RM23 bilion.

    Empat anak syarikat dana itu ialah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, dan Global Diversified Investment Company Limited yang berpangkalan di British Virgin Islands (sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited).

    Secara keseluruhan, 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC International melancarkan 22 saman sivil pada 2021, menyasarkan mereka yang dikatakan menipu dua entiti milik kerajaan itu, sama ada secara sedar atau tidak.

    Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur sebelum ini telah menetapkan 14 Julai untuk mendengar permohonan Najib untuk membatalkan injunksi Mareva yang cuba menghalangnya daripada melupuskan aset AS$681 juta, sementara menunggu pelupusan tindakan sivil 1MDB.

    Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun berhubung kes rasuah membabitkan RM42 juta dana daripada SRC International.

  • BN mohon Mahkamah Rayuan batalkan kemenangan Hadi di Marang

    BN mohon Mahkamah Rayuan batalkan kemenangan Hadi di Marang

    BARISAN Nasional (BN) memohon Mahkamah Rayuan untuk membatalkan kemenangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di kawasan Parlimen Marang semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff berkata, calon BN bagi kawasan itu, Jasmira Othman pada 28 Jun lalu telah memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah pilihan raya di Kuala Terengganu sehari sebelum itu.

    Pada 27 Jun, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Hassan Abdul Ghani telah menolak petisyen pilihan raya daripada Jasmira dan memerintahkan pempetisyen membayar kos RM50,000 kepada Hadi, lapor Malaysiakini.

    Media sebelum ini melaporkan petisyen itu difailkan pada 3 Jan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dilaporkan berkata, antara perkara yang dibangkitkan dalam petisyen itu melibatkan dakwaan Pas telah merasuah pengundi dengan mengagihkan bantuan kewangan daripada kerajaan negeri.

    Bantuan kewangan itu dakwanya melalui inisiatif i-Pension, i-Belia dan i-Student antara 15 dan 17 November tahun lepas, menjelang PRU15.

    Semasa PRU15, Hadi mengekalkan kerusinya dengan majoriti 41,729 undi, menewaskan tiga lagi calon iaitu Jasmira, Azhar Ab. Shukur (PH) dan Zarawi Sulong (Pejuang).

    Selain Marang, BN juga memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan PRU15 untuk kerusi parlimen Kuala Terengganu, Kemaman, Gua Musang, Putrajaya, Masjid Tanah dan Segamat.

    BN menang petisyen pilihan raya untuk membatalkan keputusan PRU15 di Kuala Terengganu membabitkan ahli parlimennya, Ahmad Amzad Hashim.

    Bagaimanapun, BN tidak berjaya dalam petisyen pilihan raya untuk parlimen Putrajaya.

  • Hantar video lucah, bekas ahli lembaga pengarah KLSCAH didenda RM6,000

    Hantar video lucah, bekas ahli lembaga pengarah KLSCAH didenda RM6,000

    MAHKAMAH Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM6,000 terhadap bekas Ahli Lembaga Pengarah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Yeo Kwi Seng kerana mengaibkan kehormatan anak seorang pemimpin veteran MCA dengan menghantar video lucah melalui aplikasi WhatsApp, dua tahun lalu.

    Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim menjatuhkan hukuman itu selepas Yeo, 69, menukar pengakuan kepada bersalah semasa sebutan kes pada 28 Jun lalu dan lelaki itu diperintahkan dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

    Tertuduh membayar denda tersebut, lapor FMT.

    Yeo didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Wong Pei Huan, 53, di Suite 5.05-5.10, Tingkat 5, Plaza Imbi antara 23 Mei dan 16 Jun 2021, mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin manakala tertuduh diwakili peguam Kitson Foong.

  • Lelaki dituduh bunuh teman wanita

    Lelaki dituduh bunuh teman wanita

    SEORANG lelaki hari ini didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan membunuh teman wanitanya semasa bergaduh di sebuah rumah kedai, Sabtu lepas.

    Saini Irwandy Sofian Sani, 23, dituduh menyebabkan kematian Shahwani Abdullah, 24, antara pukul 5 petang dan 4.54 pagi pada 24 Jun lepas di Taman Song Choon Ipoh, dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang boleh membawa hukuman mati.

    Tiada pengakuan direkodkan, dan Majistret Jesseca Daimis menetapkan 30 Ogos depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia serta forensik, selain lantikan peguam, lapor Bernama.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. M Moganaraj Mithra.

    Media sebelum ini melaporkan seorang wanita maut dipercayai dibunuh teman lelakinya yang berada di bawah pengaruh dadah di sebuah rumah kedai di Taman Song Choon Ipoh minggu lepas.

  • Ibu, anak bebas tuduhan edar dadah, terlepas tali gantung

    Ibu, anak bebas tuduhan edar dadah, terlepas tali gantung

    DUA beranak dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar 280.7 gram dadah jenis kanabis, oleh Mahkamah Tinggi Ayer Keroh hari ini.

    Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd. Radzi Abdul Hamid terhadap Sharon Farnell, 52, dan anak perempuannya, Theresa Kennedy, 26, pada akhir kes pendakwaan.

    Mohd. Radzi ketika membaca kesimpulan kehakiman selama kira-kira 45 minit berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie yang ditimbulkan terhadap dua beranak itu.

    “Terdapat percanggahan dalam kenyataan saksi pendakwaan yang dikemukakan selain pihak pendakwaan juga gagal membuktikan elemen pemilikan dadah berkenaan.

    “Selain itu juga tidak dapat diketepikan terdapat individu lain yang mempunyai akses terhadap kedai yang merupakan lokasi rampasan bahan terlarang itu,” katanya semasa membacakan keputusan penghakimannya, lapor Astro Awani.

    Sejurus hakim membacakan keputusan tersebut, dua beranak tersebut dilihat menitiskan air mata.

    Mengikut pertuduhan, dua beranak itu didakwa mengedar dadah berbahaya jenis kanabis dengan berat kasar 280.7 gram di sebuah premis di Jalan Laksamana, Melaka pada 24 April 2019 lalu.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau sebat minimum 15 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Yusof manakala dua beranak itu diwakili peguam Haresh Mahadevan.
    Seramai lapan saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang prosiding perbicaraan yang bermula pada 18 September 2019.