Category: Mahkamah

  • Pemandu treler didakwa sebabkan kematian empat beranak

    Pemandu treler didakwa sebabkan kematian empat beranak

    SEORANG pemandu treler didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini terhadap empat pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian empat beranak, minggu lalu.

    Tertuduh, Suhaimi Mohd Nor, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Noor Hafiza Ishak, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan, bapa kepada lima anak itu didakwa memandu treler jenis Hino secara berbahaya dan menyebabkan kematian Rahim Ramli, 60, bersama isteri, Siti Petimah Omar, 59, serta dua anak mereka, Nor Hadirah, 28, dan Nor Hamizah, 27.

    Kesalahan didakwa dilakukan di Kilometer 277.1 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dalam daerah Ipoh pada jam 2.55 petang, 13 Julai 2022.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu lima tahun jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, NM Maganaraj Mithra menawarkan jaminan RM40,000 bagi setiap pertuduhan.

    Bagaimanapun tertuduh yang diwakili Peguam Amir Kusyairi Mohamad Tanusi memohon jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh kehilangan punca pendapatan kerana tidak lagi bekerja selepas insiden berkenaan.

    “Tertuduh merupakan penanggung tunggal keluarga, mempunyai seorang isteri dan lima orang anak yang paling kecil berusia dua tahun. Dalam kes ini tertuduh memberi kerjasama baik sepanjang siasatan,” katanya.

    Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan selain syarat tambahan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.

    Mahkamah menetapkan 4 Ogos depan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen.

    Dalam nahas sekitar pukul 3 petang, minggu lalu empat beranak yang dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah ke Kuala Lumpur maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam nahas tujuh kenderaan termasuk sebuah treler.

    Rempuhan mengakibatkan kereta jenis Proton Persona dinaiki empat sekeluarga itu mengelongsor ke hadapan lalu melanggar lima kenderaan lain.

  • Ibu didakwa bunuh anak perempuan 11 tahun

    Ibu didakwa bunuh anak perempuan 11 tahun

    SEORANG ibu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas pertuduhan membunuh anak perempuannya berusia 11 tahun di sebuah rumah di Taman Bukit Tropika, Yong Peng, Batu Pahat Khamis lepas. 

    Tiada pengakuan direkodkan daripada Sembakavali, 34, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman kerana kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Tertuduh didakwa membunuh N. Maha Letchumi, 11, di sebuah rumah bernombor 21 Jalan Tropika 14, Taman Bukit Tropika, Yong Peng kira-kira pukul 4.55 petang 14 Julai lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Izzati Rozman manakala Sembakavali tidak diwakili peguam.

    Nurasidah menetapkan 13 Sept ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan kimia.

    Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan ditemukan mati dengan kesan jerut di leher dan terdapat kesan luka di dahi, namun tiada kecederaan di bahagian badan mangsa. – Bernama

  • Penghantar makanan mengaku salah hina Islam, didenda RM50,000

    Penghantar makanan mengaku salah hina Islam, didenda RM50,000

    SEORANG penghantar makanan didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Sepang hari ini setelah mengaku bersalah memuat naik kandungan video menghina agama Islam di saluran media sosial YouTube miliknya pada Sabtu lepas (16 Julai).

    Hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Nor’ Muzil Mohd Razalli, 39, yang didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi itu menggunakan aplikasi YouTube dengan niat menyakiti hati orang lain pada 11.14 malam, 16 Julai lepas di hadapan Shell, Cyberjaya.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 233(3) akta sama.

    Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, Nor Azizah memohon mahkamah agar menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh kerana telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat.

    “Ini kesalahan serius yang dibuat dengan sengaja untuk hina kesucian Islam, Nabi Muhammad SAW dan Allah SWT. Jika dikenakan hukuman ringan, tertuduh cenderung untuk mengulangi perkara sama.

    “Dalam kes ini, hukuman berat perlu dikenakan setimpal dengan kesalahan. Tertuduh telah menimbulkan kemarahan orang awam apabila terdapat lebih 20 laporan polis malah tertuduh juga diburu orang awam untuk dipukul,” katanya di hadapan Hakim Ahmad Rizki.

    Hakim Ahmad Rizki menasihatkan tertuduh agar menginsafi kesalahan yang telah dilakukan serta bertaubat dan tidak mengulangi kesilapan sama di masa hadapan.

    Hakim juga berkata Mohd Nor’ Muzil perlu menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

    Tertuduh ditahan pada 17 Julai lepas untuk direman empat hari bagi membantu polis melengkapkan siasatan berhubung kandungan video terbabit yang tular di media sosial. – BERNAMA

  • Dana MITRA: Pemilik syarikat tidak mengaku salah guna RM100,000

    Dana MITRA: Pemilik syarikat tidak mengaku salah guna RM100,000

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG pemilik syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas pertuduhan salah guna dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) berjumlah RM100,000, Februari tahun lalu.

    Tertuduh, K. C. Ramananaidu, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan curang menyalahgunakan wang tunai RM100,000 milik kerajaan melalui MITRA bagi Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India B40 untuk bidang pertanian.

    Ramananaidu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Agrobank Bank Berhad Cawangan Sungai Petani pada 26 Februari 2021.

    Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara minimum enam bulan atau dengan sebatan serta denda.

    Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Mohd. Zulfadli Azharudin menawarkan jaminan RM80,000 bagi semua pertuduhan.

    Namun, peguam Miguel Sequerah yang mewakili tertuduh memohon jumlah tersebut dikurangkan kepada RM20,000.

    Harmi Thamri kemudian menetapkan jaminan berjumlah RM50,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan tertuduh tidak boleh menganggu saksi dan perlu hadir ke mahkamah pada tarikh ditetapkan.

    Mahkamah menetapkan 25 Ogos ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

    Tertuduh membayar jaminan berkenaan.

  • Syed Saddiq arah agih wang RM1 juta sehari selepas SPRM geledah rumah

    Syed Saddiq arah agih wang RM1 juta sehari selepas SPRM geledah rumah

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah mengarahkan wang RM1 juta yang dikeluarkan daripada akaun Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) diagihkan dalam kalangan exco sayap parti, sehari selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dan menggeledah kediaman Ahli Parlimen Muar itu di Petaling Jaya pada 31 Mac 2020.

    Pegawai penyiasat SPRM, Mohd Syahmeizy Sulong, 37, berkata, wang yang dikeluarkan dari bank pada 6 Mac 2020 berada dalam kawalan Rafiq Hakim Razali, yang ketika itu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan tiada transaksi dibuat dalam tempoh berkenaan sebelum ia diagihkan pada 1 April 2020.

    “Wang itu disimpan di rumah Rafiq Hakim sebelum ia diagihkan kepada kepada Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Wilayah Persekutuan Muhammad Daniel Kusari dan Muhammad Naqib Ab Rahim yang ketika itu ahli Bersatu,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asyraf Mohamed Tahir pada perbicaraan kes Syed Saddiq yang berdepan empat pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram.

    Disoal Muhammad Asyraf apa yang menyebabkan wang RM1 juta itu tiba-tiba diagihkan kepada Muhammad Daniel dan Muhammad Naqib, saksi menjawab: Wang diagihkan selepas pihak SPRM mula siasat dan geledah rumah YB Syed Saddiq pada 31 Mac 2020.

    Mohd Syahmeizy, yang menyiasat kes penyelewengan dana Armada dihadapi Syed Saddiq berkata berdasarkan keterangan saksi yang dirakam, duit itu dikeluarkan oleh dua pemegang amanah Armada, Rafiq Hakim dan Ahmad Redzuan Mohamed Shafi, yang ketika itu Penolong Setiausaha Armada atas arahan Syed Saddiq.

    Menurut Penguasa Kanan SPRM itu, cek pengeluaran wang berkenaan ditandatangani oleh Rafiq Hakim dan Ahmad Redzuan kerana Syed Saddiq tidak mempunyai masa untuk pergi ke bank selain tandatangannya sering berubah.

    Saksi pendakwaan ke-25 itu berkata siasatannya juga mendapati, pada 31 Mac 2020, tertuduh telah menghubungi Rafiq Hakim dan arahkannya untuk ‘clear’ wang yang disimpan di rumah Rafiq Hakim kerana tertuduh risau wang itu akan dijumpai dan disita oleh pihak SPRM.

    Kepada soalan Muhammad Asyraf, saksi berkata pihak SPRM menggeledah rumah Syed Saddiq pada hari berkenaan (31 Mac) susulan siasatan dijalankan oleh seorang lagi pegawai penyiasat, Muhamad Khairi Muhamad Rodi untuk menyiasat kehilangan wang berjumlah RM250,000 di rumah ahli politik tersebut.

    Menurut Mohd Syahmeizy, daripada RM1 juta itu, wang berjumlah RM650,000 diagihkan kepada Muhammad Daniel manakala RM250,000 kepada Muhammad Naqib.

    Bagaimanapun, saksi berkata pihak SPRM hanya menemukan wang berjumlah RM425,537 daripada Muhammad Daniel dan menyita wang berkenaan.

    Disoal Muhammad Asyraf di mana baki wang itu, saksi menjawab: Hasil keterangan Muhammad Daniel, baki wang telah diagihkan kepada ketua bahagian dan ahli-ahli Armada.

    Terdahulu, Mohd Syahmeizy berkata terdapat perbincangan melibatkan Syed Saddiq, Rafiq Hakim dan Ahmad Redzuan pada awal Mac 2020 dan keterangan saksi menyatakan Syed Saddiq amat risau pergolakan yang berlaku selepas ‘Langkah Sheraton’.

    “Oleh itu, YB Syed Saddiq tanya Rafiq Hakim berapa wang yang ada dalam akaun Armada pusat. YB Syed Saddiq nyatakan wang dalam akaun Armada merupakan hasil titik peluh sepanjang beliau menjadi Ketua Armada. Rafiq Hakim kemudian beritahu YB Syed Saddiq baki semasa akaun berjumlah lebih RM1 juta,” katanya.

    Beliau turut memaklumkan pengeluaran wang itu dibuat selepas kedudukan Syed Saddiq dalam Pakatan Harapan goyah dan ia disokong oleh beberapa keterangan saksi yang diambil iaitu Ahmad Redzuan, Rafiq Hakim dan bekas Exco Armada Abdul Hannaan Khairy.

    Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, mengapa Syed Saddiq dituduh kali pertama pada 22 Julai 2021 sedangkan izin untuk mendakwa dikeluarkan pada 4 Jan tahun sama, saksi menjawab: Untuk siasatan terhadap YB Syed Saddiq, pihak SPRM telah membuka lima kertas siasatan yang berbeza aduan dan maklumat.

    “Oleh itu, pertuduhan terhadapnya dibuat terlalu lama disebabkan saya memerlukan keterangan saksi bagi menyamakan dengan kertas siasatan lain kerana ketika itu ada kertas siasatan yang belum siap ke atas YB Syed Saddiq,” kata saksi.

    Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung. – BERNAMA

  • Pengarah LKIM Selangor didakwa terima rasuah

    Pengarah LKIM Selangor didakwa terima rasuah

    SEORANG pengarah di sebuah agensi kerajaan di Selangor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan menerima suapan wang tunai RM5,000 kononnya sebagai balasan melantik pembekal melaksanakan kerja-kerja membekal benih, baja dan racun.

    Khusairi Husain, 56, sebagai Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Selangor didakwa menerima untuk dirinya iaitu wang tunai RM5,000 daripada seorang pengurus besar sebuah badan berkanun cawangan Klang yang dia ketahui badan tersebut ada kena-mengena dengan tugasan rasminya.

    Khusairi membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

    Khusairi didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Persatuan Nelayan Kawasan Sungai Besar, Sabak Bernam pada 24 Nov 2020 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irna Julieza Maaras menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melapor diri di pejabat SPRM berdekatan pada 1 hari bulan setiap bulan.

    Peguam Noor Adzrie Mohd Noor yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga dan mempunyai empat orang anak.

    “Saya mencadangkan jaminan RM5,000 dan sepanjang ditahan tertuduh memberi kerjasama baik dengan pihak SPRM selain tidak membantah sebarang syarat tambahan dikenakan,” katanya.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah serta perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan pada minggu pertama setiap bulan.

    Mahkamah juga menetapkan 22 Ogos ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Wanita dituduh hina Islam bebas, tidak didakwa di mahkamah syariah hari ini

    Wanita dituduh hina Islam bebas, tidak didakwa di mahkamah syariah hari ini

    JABATAN Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan membuat keputusan untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap Siti Nuramira Abdullah bagi mengelakkan wanita itu dituduh di dua mahkamah berbeza.

    Dalam satu kenyataan, Ketua Pendakwa Syarie jabatan itu berkata, keputusan untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap wanita itu berdasarkan Seksyen 58 (2) Akta 505 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) dan Seksyen 181 Akta 560 Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutan) 1997.

    “Pertuduhan jenayah sudah dimulakan di mahkamah sivil pada 13 Julai lalu di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan. Maslahah dari sudut pentadbiran keadilan bagi mengelakkan tertuduh dituduh di dua mahkamah berbeza bagi mencapai matlamat sama iaitu untuk dihukum atas kesalahan yang dilakukan.

    “Seksyen 298A Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman yang lebih berat. Sesuai dengan maqasid (matlamat) syariah yang menekankan pendekatan ta’dib dalam pentadbiran jenayah syariah diharap dapat membawa kembali tertuduh ke arah amalan Islam sebenar,” menurut kenyataan itu.

    Menurut kenyataan itu lagi, kes berkenaan sudah didaftarkan pada 13 Julai lepas berdasarkan siasatan awal yang dijalankan terhadap Siti Nuramira dan sebutan pertama ditetapkan pada 14 Julai tetapi ditangguhkan pada 21 Julai (esok).

    Siti Nuramira ditahan semalam oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), sejurus dibebaskan dengan jaminan atas pertuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni dalam kalangan umat Islam, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

    Wanita itu sepatutnya dituduh di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hari ini, tetapi telah dibebaskan JAWI malam tadi.

    Isnin lepas, Nuramira dan teman lelakinya V. Alexander Navin membayar wang jaminan masing-masing berjumlah RM20,000 melalui hasil kutipan sumbangan orang ramai.

    Pada 13 Julai lepas, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mengaku bahawa dia adalah seorang Muslim yang telah menghafal 15 juzuk al-Quran dan kemudian bertindak membuka tudung dan menanggalkan baju kurung sewaktu membuat persembahan di atas pentas.

    Perbuatan itu menyebabkan suasana tidak harmoni atas alasan-alasan agama dalam kalangan penganut agama Islam.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Restoran Crack House Comedy Club, Taman Tun Dr Ismail, di sini pada 6 petang, 4 Jun lepas mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

    Alexander Navin pula mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas dua pertuduhan iaitu membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Instagram menggunakan nama profil Twitter ‘greenleafyconnoiseur’ dan YouTube dengan nama profil ‘Alex & Amy @ insta Greenleafyconnoiseur’, pada 5 Jun dan 16 Jun lepas.

    Kedua-dua hantaran itu dibaca di sebuah kondominium di Damansara Perdana di sini, pada 10.30 pagi, 9 Julai lepas.

    Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan. – BERNAMA

  • Tragedi bot karam di Teluk Ramunia, pembantu tekong dipenjara 10 tahun

    Tragedi bot karam di Teluk Ramunia, pembantu tekong dipenjara 10 tahun

    SEORANG pembantu tekong warga Indonesia dijatuhi hukuman 10 tahun penjara oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru selepas mengaku salah atas kesalahan menyeludup Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) pada 20 Januari lalu.

    Hermanda, 27, membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Noor Hayati Mat pada Selasa.

    Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menyeludup masuk 18 PATI di perairan Teluk Ramunia, Kota Tinggi pada 20 Januari lalu, lapor Astro Awani.

    Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara terhadap tertuduh, berkuasa dari tarikh tangkapan pada 20 Januari 2022.

    Pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 kerana kesalahan penyeludupan migran dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana telah bersama-sama menyeludup migran.

    Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Maritim Negeri Johor, Azlan Bohari manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, satu kejadian bot yang membawa seramai 27 orang PATI dilaporkan karam di Teluk Ramunia pada 20 Januari yang mengorbankan lapan mangsa dengan dua daripada mereka masih hilang.

    Sejumlah 19 orang mangsa berjaya diselamatkan termasuk tertuduh yang ditangkap selepas siasatan dilakukan terhadap mangsa yang terlibat.

  • Lelaki didakwa tipu dapatkan sumbangan pengajian RM270,000 daripada Jakel untuk maahad tahfiz

    Lelaki didakwa tipu dapatkan sumbangan pengajian RM270,000 daripada Jakel untuk maahad tahfiz

    SEORANG lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tiga pertuduhan menipu dalam urusan mendapatkan sumbangan pengajian daripada Jakel Trading Sdn Bhd, membabitkan nilai berjumlah RM270,000.

    Mohamed Noor Mohamed Amin, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

    Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, lelaki itu didakwa telah memperdayakan Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel, 50, untuk mempercayai bahawa akaun Bank Islam bernombor 02048010019423 adalah milik Maahad Tahfiz dan Pengajian Islam Darul Al-Hijrah, Baling, Kedah, sedangkan akaun bank itu adalah milik tertuduh sendiri.

    Dia didakwa dengan curangnya mendorong pihak syarikat itu untuk memindahkan wang dan cek berjumlah RM270,000 dalam akaun bank miliknya, yang mangsa tidak akan menyerahkan jika tidak diperdayakan sedemikian.

    Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Jakel Mall, Lot 159, Jakel Square, off Jalan Munshi Abdullah, di Kuala Lumpur antara 2019 dan 2021 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Zulaaikha Mohd Apandi menawarkan jaminan RM100,000 bagi kesemua pertuduhan itu, namun peguam Nuruh Huda Razali yang mewakili tertuduh merayu jumlah jaminan dikurangkan kepada RM10,000 atas alasan anak guamnya perlu menanggung dua orang anak dan seorang isteri yang menghidap penyakit kanser payudara.

    Mahkamah membenarkan Mohamed Noor diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Ogos untuk sebutan semula kes. – Bernama

  • ‘SPRM tak pernah salah guna kuasa kenakan Syed Saddiq’

    ‘SPRM tak pernah salah guna kuasa kenakan Syed Saddiq’

    SEORANG pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa agensi tersebut tidak pernah menyalahgunakan kuasanya untuk mengenakan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung siasatan kehilangan wang berjumlah RM250,000 di kediaman Ahli Parlimen Muar itu.

    Muhamad Khairi Muhamad Rodi, 33, berkata, sebaliknya siasatan dijalankan bagi mencari sumber wang yang dilaporkan hilang selain untuk mengetahui sama ada terdapat kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

    Saksi pendakwaan ke-23 itu berkata, sebarang aduan dan maklumat yang diterima oleh SPRM akan disiasat terlebih dahulu dan oleh yang demikian, tiada seksyen spesifik di bawah Akta SPRM diletak ketika aduan dibuat.

    “Saya tidak setuju siasatan ini adalah untuk kenakan YB Syed Saddiq kerana apa jua aduan dan maklumat yang diterima, kami akan teruskan dengan siasatan. Jadi, tiada siasatan terpilih atau siasatan untuk mengenakan orang di dalam kes ini.

    “Saya pergi ke rumah YB Syed Saddiq untuk mendapatkan dokumen atau maklumat yang boleh membantu siasatan saya ketika itu,” katanya ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pada perbicaraan kes Syed Saddiq yang berdepan empat pertuduhan pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram.

    Muhamad Khairi berkata, beliau serta beberapa pegawai SPRM telah ke rumah ahli politik tersebut pada 5.45 petang 31 Mac 2020 untuk menjalankan siasatan dan ketika itu, Syed Saddiq serta ibu bapanya berada di rumah.

    Terdahulu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Gobind Singh Deo, saksi itu menafikan bahawa beliau sengaja ‘mencari kes’ terhadap Syed Saddiq sedangkan tiada kes terhadap ahli politik tersebut.

    Kepada soalan lain, beliau berkata, aduan yang dibuka terhadap Syed Saddiq di bawah Akta SPRM 2009 adalah secara am namun siasatannya menjurus kepada Seksyen 27 Akta SPRM 2009 iaitu berkaitan laporan palsu.

    “Sebanyak tiga kertas siasatan dibuka melibatkan kes Syed Saddiq dan satu daripada siasatan itu (kehilangan wang RM250,000) saya kendalikan,” katanya sambil menambah setiap siasatan yang dilakukan adalah berdasarkan arahan pegawai atasan dan perlu dilaporkan kepada pihak atasan.

    Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020.

    Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di Kuala Lumpur antara 8 hingga 21 April 2018.

    Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

    Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung esok. – Bernama