Category: Mahkamah

  • Tiga termasuk pemuda Amanah, PKR terbabit perhimpunan kenaikan harga barang didakwa

    Tiga termasuk pemuda Amanah, PKR terbabit perhimpunan kenaikan harga barang didakwa

    DUA aktivis politik dan seorang presiden kesatuan pelajar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini secara berasingan, atas tuduhan selaku penganjur, gagal memaklumkan kepada polis mengenai perhimpunan membantah kenaikan harga barang di ibu negara, pada bulan lalu.

    Mereka yang didakwa adalah Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd. Hasbie Muda, 35, Ketua Angkatan Muda (AMK) PKR Cabang Batu, Muhammad Sabda Suluh Lestari Yahya, 33, dan Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa (KPUIAM), Mohamad Aliff Naif Mohd Fizam, 24.

    Kesemua mereka membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Wong Chai Sia, S Mageswary dan Aina Azahra Arifin, lapor Astro Awani.

    Mengikut pertuduhan, mereka didakwa gagal memberitahu polis Dang Wangi lima hari sebelum mengadakan perhimpunan berkenaan di Masjid Jamek, Kampung Baru, Jalan Raja Alang dan hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman, pukul 2 dan 3.30 petang, pada 1, 9 serta 23 Julai lalu.

    Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 9(5) akta sama dan jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM10,000.

    Mereka diwakili peguam, Faiz Fadzil; Bryan Ng dan Asheeq Ali, sementara pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Aris Kamaluddin; Mohd Radzi Shah dan Muhamad Zuraidi Zulkifli.

    Mahkamah memerintahkan Mohd. Hasbie dan presiden kesatuan pelajar itu masing-masing diikat jamin RM3,000, manakala jaminan RM7,000 dikenakan terhadap Muhd Sabda Suluh Lestari tanpa sebarang syarat tambahan.

    Sebutan kes Mohd. Hasbie ditetapkan pada 22 September ini, Muhd. Sabda Suluh Lestari (28 September) dan Mohamad Aliff Naif (21 September).

    Turut hadir, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan timbalannya, Datuk Salahuddin Ayub bagi memberi sokongan kepada Mohd Hasbie, manakala Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil hadir sebagai tanda solidariti bersama Muhammad Sabda Suluh Lestari.

    Media sebelum ini melaporkan himpunan itu dipercayai dianjurkan bagi menyatakan protes terhadap peningkatan harga barang sejak kebelakangan ini yang disifatkan sebagai menekan rakyat terutama golongan kurang berkemampuan.

  • Curi seluar dalam wanita guna kayu, penganggur dipenjara 2 tahun

    Curi seluar dalam wanita guna kayu, penganggur dipenjara 2 tahun

    ANGKARA mencuri seluar dalam wanita, seorang lelaki dikenakan hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini.

    Hukuman diputuskan Majistret Jessica Ombou Kakayun ke atas Muhammad Rizal Richard Abdullah, 39, selepas tertuduh mengaku salah atas pertuduhan itu.

    Tertuduh didakwa mencuri pakaian dalam wanita di Taman Puncak, Menggatal, Kota Kinabalu, pada pukul 1.39 pagi, 11 Ogos lalu.

    Kejadian itu dirakam menerusi rakaman litar tertutup (CCTV) yang memaparkan tertuduh dengan tidak memakai baju mencuri pakaian dalam wanita menggunakan sebatang kayu di beranda belakang rumah mangsa sebelum laporan polis dibuat.

    Muhammad Rizal ditahan di rumahnya pada 13 Ogos lalu dan pemeriksaan menemui 10 jenis pakaian dalam wanita dalam simpanan tertuduh.

    Pertuduhan dilakukan Inspektor Albert Basiri selaku pegawai pendakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Terdahulu ketika rayuan, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nabila Norsahar, meminta hukuman ringan memandangkan Muhammad Rizal mengaku bersalah dan menyesal atas perbuatannya.

    Nabila menegaskan tertuduh sudah bercerai dan mempunyai dua anak selain tidak bekerja dan dibiayai keluarganya.

    Namun, pegawai pendakwa meminta hukuman berat dikenakan memandangkan tertuduh melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab terhadap wanita.

    Menurut laporan BH Online, Albert juga menekankan bahawa kesalahan sebegitu amat memalukan golongan lelaki, malah semasa ditahan tertuduh didapati memakai seluar dalam wanita itu.

  • Hak saya untuk hidup, kebebasan, perbicaraan adil di hujung tanduk – Najib

    Hak saya untuk hidup, kebebasan, perbicaraan adil di hujung tanduk – Najib

    BEKAS perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan bahawa hak beliau sudah terjejas selepas Mahkamah Persekutuan hari ini tidak membenarkan peguamnya, Hisyam Teh Poh Teik menarik diri daripada rayuan kes SRC International.

    “Saya ingin merakamkan bantahan sekeras-kerasnya berhubung prosiding rayuan hari ini, yang mana hak saya untuk hidup, kebebasan, dan perbicaraan adil di hujung tanduk.

    “Seperti anda sedia maklum, peguam saya memaklumkan bahawa beliau tidak mahu meneruskan rayuan saya kerana mempunyai masa yang terhad untuk membuat persiapan…Malangnya, mahkamah tidak membenarkan,” katanya yang dipetik Free Malaysia Today.

    Sebelum itu, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengetuai panel lima hakim berkata, mahkamah sebulat suara berpendapat Hisyam “gagal mendedahkan alasan kukuh” untuk mewajarkan permohonan menarik diri.

    Akibatnya, kata Najib, beliau tiada peguam dan tidak mampu membela dirinya di mahkamah hari ini. Hanya pihak pendakwaan mengemukakan kes.

    Najib menambah perkembangan ini, yang mana tertuduh tiada peguam untuk mewakili kesnya sama sekali tidak pernah berlaku dalam kes berprofil tinggi seperti kes beliau.

    “Perkara ini amat berat. Saya berharap mahkamah pertimbangkan hal ini dan mengambil langkah-langkah untuk membetulkan keadaan,” tegasnya.

    Sementara itu, Hisyam pada sidang media sama berkata, beliau tidak nampak bagaimana boleh beliau menjalankan tugas-tugas sebaik mungkin selaku peguam Najib, memandangkan tiada masa secukupnya untuk menghadapi perbicaraan.

    Hisyam hanya dilantik kurang sebulan lalu.

    “Maka, dalam keadaan ini, saya tidak dapat memainkan peranan dengan berkesan. Jadi, pada dasarnya, Najib tidak diwakili,” katanya.

    Terdahulu, rayuan Najib kepada Mahkamah Persekutuan bagi kes SRC International dimulakan dengan permohonan daripada Hisyam yang memohon untuk menarik diri daripada mewakili bekas perdana menteri itu.

    Hisyam memberitahu mahkamah bahawa pasukannya perlukan masa “tiga hingga empat bulan” untuk membuat persiapan, memandangkan mereka baru dilantik bulan lepas.

    Permohonan beliau bagaimanapun ditolak.

    Kes diteruskan dengan Hisyam terpaksa bergantung kepada hujah pasukan peguam terdahulu.

    Mahkamah kemudian meminta pendakwaraya, V Sithambaram, berhujah.

  • Bekas peguam dipenjara rakam video wanita mandi

    Bekas peguam dipenjara rakam video wanita mandi

    MAHKAMAH Singapura hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 minggu terhadap bekas peguam selepas mengaku bersalah merakam video seorang wanita yang sedang mandi.

    Timbalan Pendakwa Raya, Yvonne Poon, berkata dalam kejadian 23 November 2020, lelaki berusia 32 tahun itu dikatakan memanjat balkoni jirannya untuk merakam video mangsa mandi melalui tingkap tandasnya.

    Bagaimanapun, sebelum sempat lelaki itu merakam video, mangsa menyedarinya dan menjerit.

    Menurut Berita Harian yang memetik laporan Agensi, akibatnya, lelaki itu melarikan diri ke rumahnya tanpa sempat melakukan rakaman.

    Mangsa memberitahu suaminya dan mereka bersemuka dengan lelaki terbabit, sebelum suspek meminta maaf dan merayu supaya perkara itu tidak diperbesarkan.

    Suami mangsa memeriksa kandungan telefon lelaki itu dan mendapati tiada rakaman lain di dalam telefonnya, namun tetap melaporkan kepada pihak polis.

    Berdasarkan siasatan polis, lelaki itu mengakui sudah merakam video mangsa yang sedang mandi sejak beberapa bulan lalu dan kemudian memadamnya.

    Tindakan dilakukan itu disebabkan tekanan kerja sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

    Sementara itu, peguam bela tertuduh, Shashi Nathan, berkata anak guamnya sudah meninggalkan profesion guaman dan kini bekerja di sebuah syarikat swasta.

    Nama lelaki itu tidak didedahkan atas sebab tertentu dan kini turut menghadapi dua lagi pertuduhan pencerobohan jenayah dan sedang dipertimbangkan untuk dijatuhkan hukuman.

  • Kes SRC: Peguam Najib kemuka hujahan bertulis

    Kes SRC: Peguam Najib kemuka hujahan bertulis

    PEGUAM utama Datuk Seri Najib Razak memutuskan untuk mengemukakan hujahan bertulis dalam rayuan akhir bekas Perdana Menteri itu bagi mengetepikan sabitan dan hukuman membabitkan tujuh tuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

    Memetik laporan Berita Harian, sejurus prosiding di Mahkamah Persekutuan bermula pada sebelah petang, peguam Najib, Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan kepada mahkamah, beliau berhasrat mengemukakan hujahan bertulis bagi pihak anak guamnya.

    “Pada prosiding sebelah pagi apabila Yang Amat Arif (Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat) bertanya sama ada saya akan bersandarkan kepada hujahan di peringkat Mahkamah Rayuan dan saya menyatakan ‘ya’.

    “Pada peringkat ini, saya mahu ia direkodkan bahawa saya berhasrat mengemukakan hujahan secara bertulis,” katanya.

    Prosiding rayuan akhir bermula hari ini dengan Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram, mengemukakan hujahannya selepas mahkamah diberitahu bahawa Hisyam memilih untuk tidak berhujah, sebaliknya hanya bersandarkan hujahan Najib yang dikemukakan ketika di Mahkamah Rayuan.

    Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, yang mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa serta pengubahan wang haram dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun dan didenda RM210 juta.

  • Cederakan ustaz pusat tahfiz: Tiga lelaki dipenjara lapan bulan, denda RM1,000

    Cederakan ustaz pusat tahfiz: Tiga lelaki dipenjara lapan bulan, denda RM1,000

    MAHKAMAH Majistret Kuala Lipis hari ini, menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan kepada tiga lelaki selepas mereka mengaku bersalah mencederakan seorang tenaga pengajar pusat tahfiz, minggu lepas. 

    Majistret Siti Aisyah Ahmad juga memerintahkan Wan Haris Wan Ismail, 38, dan Azraen Che Mat Noor, 43, kedua-duanya bekerja sebagai jurukimpal serta buruh Zulkifli Mohd Nasir, 27, menjelaskan denda RM1,000 atau penjara enam bulan, jika gagal berbuat demikian. 

    Semua mereka yang beralamat di Jerantut dekat sini mengaku bersalah mencederakan Muhammad Zulhafiz Mohd Rasid, 26, pada 5.10 petang, 11 Ogos lepas di surau Pusat Tahfiz Darul Fikri Al-Mahmudiah di sini. 

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-dunya, jika sabit kesalahan. 

    Berdasarkan fakta kes, semua tertuduh didakwa memukul Muhammad Zulhafiz selepas menceroboh pusat tahfiz itu, menyebabkan mangsa mengalami cedera di mata kanan sehingga perlu dijahit.  

    Pada prosiding itu, peguam Fariha Nuzuruhan merayu mahkamah hanya menjatuhkan hukuman denda paling minimum atas alasan semua tertuduh berpendapatan sekitar RM1,500 dan RM2,000, menanggung keluarga serta telah insaf dengan perbuatan mereka. 

    Bagaimanapun, Pengarah Pendakwaan Pahang Abdul Ghafar Ab Latif memohon hukuman penjara sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat awam supaya tidak bertindak sewenang-wenangnya dan menghormati institusi pendidikan serta tenaga pengajar. 

    “Kes ini juga telah tular sehingga menimbulkan kemarahan masyarakat. Tertuduh bertiga telah memukul seorang tenaga pengajar dan mangsa tidak melawan, sebaliknya membiarkan dirinya dipukul beberapa kali selain kecederaan itu meninggalkan parut kekal,” katanya. 

    Di mahkamah sama, semua tertuduh bersama dua lagi Mohd Amirul Afif Che Mat Noor, 29, dan Rizuwan Hazmi, 47, kedua-duanya bekerja kampung, mengaku bersalah atas tuduhan menceroboh pusat tahfiz itu dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda Suzuki Dmax pada masa dan hari yang sama. 

    Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Siti Aisyah memerintahkan semua tertuduh dipenjarakan selama 10 bulan dan denda RM2,000 atau jika gagal penjara enam bulan.

    Semua hukuman penjara diarahkan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu antara 12 dan 13 Ogos lepas . 

    Timbalan Pendakwa Raya Rif’ah ‘Izzati Abdul Mutalif pada prosiding itu memohon hukuman yang dapat menunjukkan keseriusan kesalahan dilakukan tertuduh sehingga menyebabkan trauma terhadap pelajar pusat tahfiz itu. – BERNAMA 

  • Lelaki Singapura dan kekasih didakwa miliki, edar dadah

    Lelaki Singapura dan kekasih didakwa miliki, edar dadah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki warga Singapura dan teman wanitanya berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas dua pertuduhan mengedar dan memiliki dadah, awal bulan ini.

    Pasangan itu, Loh Kok Kiong, 49, dan Soh Yong Xin, 32, berdepan pertuduhan pertama iaitu didakwa bersama-sama mengedar methamphetamine dengan berat kasar 9.625 kilogram di Blok F-21-10, Ataraxia 2, Jalan Forest City 15, Forest City, Gelang Patah, pada pukul 11.15 pagi, 9 Ogos lalu.

    Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dengan minimun 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

    Kedua-dua tertuduh hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Mohd. Zulhilmi Ibrahim.

    Sementara bagi pertuduhan kedua, mereka mengaku tidak bersalah memiliki ketamin seberat 666 gram di lokasi sama, pada waktu dan tarikh yang sama.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, di mahkamah yang sama, Kok Kiong menghadapi empat lagi pertuduhan mengedar, memiliki dan memasukkan dadah ke dalam badannya pada tarikh yang sama.

    Lelaki warga Singapura itu mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan bagi dua pertuduhan dihadapinya iaitu mengedar 1.505 kilogram methamphetamine dan 139 gram nimetazepam pada jam 1.30 petang di B-21-12, Residensi Lapan, Jalan Sutera Kuning, Taman Sutera di Johor Bahru.

    Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dengan minimun 15 sebatan.

    Selain itu, dia didakwa memiliki 100 gram ketamin pada jam 11.15 pagi di kawasan letak kereta berhadapan Blok F, apartment sama di Forest City, Gelang Patah.

    Bagi pertuduhan terakhir, lelaki itu mengaku tidak bersalah memasukkan methamphetamine ke dalam dirinya pada jam 10.30 malam di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 boleh dihukum Seksyen 15 akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun dan perintah pengawasan selama dua hingga tiga tahun.

    Pendakwaan yang dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh.

    Mahkamah kemudian menetapkan 20 September depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan patalogi.

  • Peguam Najib tak kemuka hujahan rayuan akhir kes SRC

    Peguam Najib tak kemuka hujahan rayuan akhir kes SRC

    PEGUAM utama Datuk Seri Najib Razak, Hisyam Teh Poh Teik memilih untuk tidak mengemukakan hujahan dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu.

    Memetik laporan Berita Harian, Hisyam yang sepatutnya terlebih dulu berhujah sebelum dibalas oleh pendakwaan sebaliknya memilih untuk bersandarkan kepada hujahan yang dikemukakan Najib ketika di peringkat Mahkamah Rayuan.

    Sejurus mahkamah memutuskan untuk tidak menerima permohonan Hisyam menarik diri daripada mewakili Najib, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Tuan Maimun Tuan Mat yang memerintahkan prosiding rayuan akhir itu dimulakan.

    Tengku Maimun: Kamu mahu mengemukakan hujahan lanjut?

    Hisyam: Tidak

    Tengku Maimun: Adakah kamu sahkan bahawa kamu tidak ada apa-apa untuk dinyatakan berhubung 94 alasan dalam petisyen rayuan ini?

    Hisyam: Saya tiada apa-apa untuk dinyatakan.

    Tengku Maimun: Jadi adakah kamu bergantung kepada hujahan daripada Mahkamah Rayuan mengenai penemuan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi?

    Hisyam: Hujahan daripada yang terdahulu, Ya.

    Tengku Maimun kemudian berkata, oleh kerana rayuan akhir itu membabitkan kepentingan awam, mahkamah dengan itu memanggil pendakwa raya untuk mengemukakan hujahan terlebih dahulu untuk memberikan peguam perayu lebih masa untuk bersedia dengan rayuannya.

  • Kes pencuci kapal kelar isteri, anak disebut semula 19 September ini

    Kes pencuci kapal kelar isteri, anak disebut semula 19 September ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MAHKAMAH Majistret Johor Bahru menetapkan tarikh sebutan semula bagi kes pencuci kapal yang didakwa membunuh isteri dan bayi lelakinya di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru pada bulan lalu, pada 19 September ini.

    Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim menangguhkan kes itu pada tarikh berkenaan selepas dimohon Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Arif Marzuki memaklumkan memerlukan masa kira-kira sebulan lagi untuk memperoleh beberapa laporan yang diperlukan.

    Sebelum itu, Muhammad Arif memberitahu mahkamah, pihaknya masih belum memperolehi laporan kimia, laporan bedah siasat dan laporan psikiatri tertuduh, Mohamad Amir Nazri Mohd. Adam, 24.

    “Hari ini ditetapkan untuk status laporan kimia, bedah siasat dan psikiatri, namun laporan-laporan belum diperolehi. Saya mohon tarikh untuk sebutan semula dalam sebulan,” katanya.

    Pada prosiding hari ini, tertuduh tidak hadir ke mahkamah, namun dia diwakili peguam Munirah Najihah Shaari yang memberitahu mahkamah bahawa beliau baharu dilantik pihak tertuduh.

    Mohamad Amir Nazri tidak hadir ke mahkamah pada hari in yang ditetapkan untuk sebutan semula kesnya kerana masih dirujuk di Hospital Permai bagi rawatan psikiatri.

    Ahli keluarga tertuduh dan isterinya hadir mahkamah.

    Pada 18 Julai lalu, Mohamad Amir Nazri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru atas dua pertuduhan membunuh isterinya, Hajar Nursyahirin Rosman, 26, dan bayi lelakinya, Hans Mohamad Thaqeef yang berusia dua bulan lapan hari.

    Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di rumah keluarganya dekat Jalan Dewasa, Kampung Bakar Batu pada jam 11.30 pagi dan 11.40 pagi, 4 Julai lalu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Media sebelum ini melaporkan insiden tersebut apabila seorang lelaki bertindak mengelar leher isteri dan anak tunggalnya sebelum melarikan diri.

    Turut tular beberapa video dan gambar memaparkan lelaki berkenaan menunggang motosikal dalam keadaan bogel sejurus selepas insiden itu berlaku.

  • Rayuan akhir kes SRC: Permohonan peguam Najib tarik diri ditolak Mahkamah

    Rayuan akhir kes SRC: Permohonan peguam Najib tarik diri ditolak Mahkamah

    MAHKAMAH Persekutuan hari ini menolak permohonan peguam utama Datuk Seri Najib Razak, Hisyam Teh Poh Teik untuk menarik diri daripada mengendalikan rayuan akhir kes SRC International Sdn Bhd.

    Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan kemudian mengarahkan prosiding rayuan akhir dimulakan dengan pihak pendakwaan terlebih dahulu mengemukakan hujahan.

    Sebelum itu, pendengaran rayuan kes SRC International Sdn Bhd Najib hari ini bertukar dramatik apabila Hisyam memohon untuk menarik diri daripada mewakili bekas perdana menteri itu.

    Peguam itu berkata beliau memerlukan lebih banyak masa kerana beliau tidak bersedia untuk membawa kes itu.

    Hisyam yang dilantik Najib sebagai peguam utama baharunya pada 27 Julai, menggantikan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan perkara itu di hadapan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengetuai panel lima hakim pada hari pertama pendengaran rayuan Najib.

    Hakim Tengku Maimun berkata sebagai peguam, Hisyam tidak boleh berundur diri sebaliknya memikul tanggungjawab itu untuk mewakili anak guamnya.

    Hakim lain ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd.

    Hakim Tengku Maimun memberitahu Hisyam bahawa mahkamah telah mendengar permohonannya untuk penangguhan pada Selasa dan telah memberikan alasan mengapa mereka menolak permohonannya itu.

    “Kami telah memberikan alasan yang menyeluruh. Adakah kamu sedar bahawa sebagai mahkamah tertinggi kami mempunyai bidang kuasa sedia ada untuk melaksanakan keadilan, dan bidang kuasa kami adalah untuk memastikan mahkamah berfungsi?”.

    “Adakah kamu menerimanya? Anak guam kamu tidak akan diwakili. Jika kamu menarik diri, anda akan membiarkannya tanpa diwakili. Boleh anda menerimanya?”, soal Ketua Hakim Negara itu dengan tegas.

    Hisyam menjawab beliau menerima semua yang dikatakan oleh Hakim Tengku Maimun.

    “… tetapi dalam keadaan ini saya tidak boleh terus mewakili Datuk Seri Najib,” katanya.

    Hakim Tengku Maimun menjawab: “Tetapi kamu masih memerlukan kebenaran kami untuk menarik diri. Kamu sepatutnya memfailkan afidavit dahulu. Peguam tidak seharusnya meninggalkan begitu sahaja tanpa memberitahu mahkamah.

    “Pada pendapat kami, kamu boleh mengendalikan kes ini dan kamu mempunyai banyak peguam yang tersedia,” kata beliau sebelum menghentikan seketika prosiding itu untuk memutuskan perkara tersebut.

    Mahkamah pada Selasa menolak permohonan Najib untuk menangguhkan pendengaran rayuan dan mengarahkan prosiding diteruskan hari ini.

    Mahkamah juga menolak usaha Ahli Parlimen Pekan itu untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes SRCnya untuk membatalkan perbicaraan.

    Perbicaraan rayuan itu telah ditetapkan pada 15 hingga 19 Ogos dan 23 hingga 26 Ogos.