Category: Mahkamah

  • Najib dibawa ke Penjara Kajang pukul 5.44 petang

    Najib dibawa ke Penjara Kajang pukul 5.44 petang

    DATUK  Seri Najib Razak meninggalkan Istana Kehakiman dengan menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) diiringi kenderaan polis pada jam 5.44 petang tadi.

    Walaupun hujan renyai, ia tidak sedikit pun mematahkan semangat penyokong Najib yang berada di hadapan Istana Kehakiman sejak pagi tadi untuk memberi lambaian terakhir kepada bekas Perdana Menteri itu.

    Bagaimanapun, penyokong hampa apabila kenderaan yang membawa Najib itu keluar melalui laluan lain dan hanya isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dilihat keluar di pintu masuk yang ditunggu penyokongnya, lapor Berita Harian.

    Difahamkan, Najib akan dibawa ke Penjara Kajang selepas hukuman ke atasnya dibacakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat di Mahkaman Persekutuan.

    Pergerakan membawa Najib dilakukan oleh pasukan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) bagi penugasan kawalan dan lalu-lintas, Pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) dan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

  • Najib akan jalani hukuman mulai hari ini di Penjara Kajang

    Najib akan jalani hukuman mulai hari ini di Penjara Kajang

    BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menjalani hukuman penjara 12 tahun  mulai hari ini.

    Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

    Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata selepas meneliti bukti, hujahan dan rekod-rekod rayuan, adalah didapati rungutan perayu sepertimana terkandung dalam petisyen rayuan tidak mempunyai merit.

    “Mengenai keseluruhan bukti, kami mendapati sabitan ke atas semua tujuh pertuduhan ke atas perayu adalah selamat. Kami juga mendapati hukuman yang dijatuhkan adalah tidak keterlaluan.

    Oleh itu rayuan ini ditolak sebulat suara dan sabitan serta hukuman dikekalkan,” kata beliau.

    Semasa memerintahkan Najib untuk menjalani hukuman serta-merta, Tengku Maimun berkata: ”Saya keluarkan waran komital.”

    Peguam utama Najib,  Hisyam Teh Poh Teik kemudian memohon penangguhan hukuman sementara satu permohonan semakan ke atas keputusan hari ini.

    “Permohonan ditolak. Mahkamah ditangguhkan,” Tengku Maimun berkata demikian sebelum meninggalkan  mahkamah.

    Turut bersidang Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd.

    Najib dijangka menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh.

    –BERNAMA

  • Rayuan MB Kedah dalam kes saman fitnah ditangguh

    Rayuan MB Kedah dalam kes saman fitnah ditangguh

    MAHKAMAH Rayuan hari ini menangguhkan pendengaran rayuan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terhadap perintah Mahkamah Tinggi supaya membayar ganti rugi RM50,000 kepada Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berhubung saman berkaitan kenyataan fitnah.

    Semasa prosiding dalam talian Hakim Datuk Lee Swee Seng memberitahu peguam terlibat bahawa pihak mahkamah tidak dapat mendengar rayuan hari ini memandangkan mereka perlu menghadiri mesyuarat pada pukul 3 petang tadi.

    Terdahulu mahkamah mendengar beberapa rayuan kes lain di sebelah pagi, yang berlarutan hingga pukul 2 petang, dan mahkamah mempunyai dua lagi kes yang perlu didengar hari ini termasuk rayuan Muhammad Sanusi.

    Swee Seng bersama dua lagi panel hakim, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, kemudian mengarahkan supaya pengurusan kes diadakan esok bagi menetapkan tarikh pendengaran baharu.

    Pada 8 November lepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Muhammad Sanusi membayar RM50,000 sebagai ganti rugi selepas membenarkan saman fitnah yang dikemukakan Mahfuz.

    Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Arief Emran turut memerintahkan Muhammad Sanusi menulis permohonan maaf kepada plaintif di laman Facebook milik defendan dalam tempoh 14 hari dan memerintahkan defendan membayar kos tindakan guaman kepada plaintif berjumlah RM15,000.

    Mahkamah turut mengeluarkan perintah injunksi yang menegah defendan atau ejen-ejennya daripada menerbitkan kata-kata fitnah terhadap plaintif pada masa hadapan.

    Pada 9 Oktober 2019, Mahfuz memfailkan saman itu berdasarkan hantaran dibuat oleh Muhammad Sanusi dalam akaun Facebooknya pada 30 Julai 2019 yang mengaitkan Mahfuz selaku wakil rakyat bagi kawasan Pokok Sena dalam isu pemindahan Sport Toto ke kawasan itu.

    Mahfuz juga mendakwa Muhammad Sanusi menerbitkan satu video berdurasi 7 minit 57 saat di akaun Facebooknya pada 27 Julai 2019 yang memaparkan sekumpulan individu membantah pembukaan Sport Toto di Pokok Sena sambil memegang sepanduk yang tertera nama plaintif.

    Peguam Yusfarizal Yussoff dan Mohd Faizi Che Abu mewakili Muhammad Sanusi, manakala Mahfuz diwakili peguam Noorazmir Zakaria. – Bernama.

  • Najib dakwa badan kehakiman bersikap tidak adil terhadapnya

    Najib dakwa badan kehakiman bersikap tidak adil terhadapnya

    DATUK  Seri Najib Tun Razak mendakwa badan kehakiman telah bersikap tidak adil terhadapnya.

    Dari kandang tertuduh di Mahkamah Persekutuan hari ini, ahli politik berusia 69 tahun itu berkata sepanjang minggu lepas, beliau menyaksikan peluangnya untuk berjaya dalam rayuan itu terhakis secara perlahan-lahan.

    “Bukan kerana ketiadaan merit tetapi kerana saya tidak diwakili. Saya mendapati keputusan Mahkamah Yang Mulia ini meskipun menghalang peguam saya menarik diri, hakikatnya saya masih tidak diwakili.

    “Yang Arif, saya merayu agar mahkamah tidak mengambil hati dengan apa yang saya luahkan, tetapi ini adalah apa yang saya rasakan. Sebagai seorang tertuduh dan perayu di peringkat akhir kes, perasaan inilah yang paling teruk, iaitu apabila menyedari badan kehakiman menentang saya dengan cara yang paling tidak adil,” kata beliau ketika membaca pernyataan 20 muka surat.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata inilah kali pertama beliau menukar peguam atas sebab yang munasabah dan ini juga kali pertama permohonan penangguhan dalam tempoh empat bulan, tidak seperti kes lain apabila penangguhan kira-kira 70 kali dibenarkan oleh mahkamah.

    “Dikatakan bahawa tertuduh adalah orang paling penting dalam mahkamah jenayah, namun saya berasa dianiaya dan saya rasa perbicaraan yang adil tidak diberikan kepada saya,” katanya.

    — BERNAMA

  • Saya minta maaf jika keputusan tidak berpihak kepada saya – Najib

    Saya minta maaf jika keputusan tidak berpihak kepada saya – Najib

    BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta maaf kepada penyokongnya sekiranya keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini tidak berpihak kepada beliau.

    Najib, 69, yang keluar berjumpa dengan penyokongnya di luar Istana Kehakiman kira-kira pukul 3.10 petang tadi mendakwa, beliau tidak mendapat keadilan yang wajar walaupun telah berusaha sedaya upaya.

    “Saya ucap terima kasih kepada semua yang hadir dan sokongan padu yang diberikan kepada saya. Saya minta maaf, saya telah berusaha sedaya upaya tetapi nampaknya setiap usaha saya mohon kepada mahkamah telah ditolak,” katanya.

    Najib berkata beliau tidak dapat diwakili oleh peguam, selain tidak mempunyai masa secukupnya untuk membuat persediaan dan tidak dapat menangguhkan kes.

    “Dalam kes lain dapat penangguhan lebih 70 kali tetapi dalam kes saya tidak diizinkan,” katanya tanpa merujuk kepada mana-mana kes secara spesifik.

    Najib yang kelihatan tenang meminta penyokongnya untuk menunggu sebarang keputusan mahkamah dan mendoakan yang terbaik untuknya. 

    Turut menemani Najib ialah dua anaknya iaitu Nooryana Najwa dan Norashman.

    Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan setiap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

    Pada 8 Dis 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda.

    — BERNAMA

  • Mahkamah kekal Najib bersalah, bekas PM pertama dipenjara

    Mahkamah kekal Najib bersalah, bekas PM pertama dipenjara

    MAHKAMAH  Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

    Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

    Beliau berkata sabitan itu selamat bagi semua tujuh pertuduhan dan hukuman itu tidak keterlaluan. “Rayuan ini dengan sebulat suara ditolak dan sabitan dan hukuman dikekalkan. Saya dengan ini mengumumkan waran komital (perintah menjalani hukuman penjara) ,” kata Tengku Maimun memerintahkan prosiding tamat

  • Permohonan salinan percakapan saksi utama kes Syed Saddiq ditolak

    Permohonan salinan percakapan saksi utama kes Syed Saddiq ditolak

    PIHAK pembelaan pada Selasa gagal mendapatkan salinan rakaman percakapan seorang saksi utama pendakwaan yang direkod Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam perbicaraan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

    Ini berikutan keputusan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid yang menolak permohonan peguam Gobind Singh Deo untuk mendapatkan salinan percakapan saksi pendakwaan ke-13, bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Rafiq Hakim Razali.

    Sebelum ini, Gobind berhujah pernyataan yang dirakam oleh SPRM pada 2020 itu penting kerana wujud dua senario bercanggah yang diberikan oleh saksi tersebut berhubung kutipan dana untuk tujuan kempen Ahli Parlimen Muar itu.

    Beliau berkata, Rafiq Hakim memberitahu pegawai penyiasat SPRM bahawa wang dalam akaun Armada adalah hasil kutipan dana orang ramai oleh Syed Saddiq sendiri untuk berkempen di Muar, namun ketika memberi keterangan lisan di mahkamah, saksi itu menyatakan dana tersebut dikumpul untuk kegunaan Armada.

    Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bagaimanapun memohon permohonan itu ditolak atas alasan pembelaan gagal meyakinkan mahkamah bahawa mereka telah memenuhi syarat di bawah Seksyen 51 Kanun Tatacara Jenayah.

    Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di Kuala Lumpue pada 6 Mac 2020.

    Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalah guna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di Kuala Lumpur antara 8 dan 21 April 2018.

    Ahli Parlimen Muar itu juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang dipercayai merupakan hasil aktiviti haram di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. – Bernama

  • Mahkamah tolak permohonan Najib untuk Tengku Maimun tarik diri

    Mahkamah tolak permohonan Najib untuk Tengku Maimun tarik diri

    MAHKAMAH  Persekutuan menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak supaya Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel lima hakim menarik diri daripada mendengar rayuan akhirnya.

    Tengku Maimun dalam keputusannya berkata, mahkamah mendapati permohonan itu gagal menunjukkan terdapat bahaya yang nyata bahawa ia akan menyebabkan berat sebelah.

    Tengku Maimun berkata, permohonan itu mesti menunjukkan bahawa kenyataan oleh pihak ketiga akan menjejaskan penemuan mahkamah.

    “Saya tidak nampak sebarang bahaya berat sebelah yang mencukupi untuk saya menarik diri,” katanya.

    Tengku Maimun kemudian berkata mahkamah akan memutuskan rayuan akhir sebentar lagi.

    Ketika ini, Najib sedang membacakan kenyataannya sebelum mahkamah membuat keputusan.

  • Permohonan Muhammad Shafee untuk tangguh hujah prosiding Ketua Hakim tarik diri ditolak

    Permohonan Muhammad Shafee untuk tangguh hujah prosiding Ketua Hakim tarik diri ditolak

    SELEPAS digugurkan daripada menjadi peguam utama Datuk Seri Najib Tun Razak bulan lepas, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membuat kemunculan semula dalam prosiding rayuan terakhir bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Persekutuan hari ini.

    Terdahulu, Peguam baharu Najib, Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Tun Tengku Maimun Tuan Mat bahawa Muhammad Shafee akan membantu beliau dalam permohonan Najib agar Ketua Hakim Negara itu menarik diri daripada mendengar rayuan kes itu.

    Tengku Maimun berkata “saya ingat beliau telah digugurkan” dan meminta Hisyam meneruskan hujahan sementara menunggu Muhammad Shafee.

    Apabila Muhammad Shafee tiba di mahkamah, beliau menjelaskan bahawa pendiriannya hari ini yang memohon agar prosiding itu ditangguhkan bukanlah satu taktik untuk melengahkan pendengaran rayuan tersebut.

    “Saya hanya dimaklumkan mengenai perkara ini oleh Hisyam dua jam lepas dan saya tidak memiliki sebarang bahan dengan saya.

    “Lagipun, integriti badan kehakiman sedang terancam. Tiada salahnya membenarkan penangguhan bagi membolehkan saya menyediakan hujahan dalam tempoh 24 jam. Keadilan mesti dilihat ditegakkan,” katanya.

    Timbalan Pendakwa Raya ad hoc Datuk V. Sithambaram membantah permohonan itu atas alasan ia akan menghuru-harakan rayuan kes tersebut.

    “Yang Amat Arif, ini bukan kali pertama, di Mahkamah Rayuan sekali pun, sehari sebelum penghakiman pada 8 Dis (tahun lepas), mereka (pembelaan) memfailkan permohonan untuk mengemukakan bukti baharu. Ini adalah satu kesalahan yang serius.

    “Saya telah memulakan hujahan minggu lepas manakala mereka enggan berhujah. Permohonan ini adalah mala fide semata-mata, justeru saya membantah penangguhan itu,” katanya.

    Tengku Maimun menolak permohonan itu atas alasan tiada sebab untuk menangguhkan prosiding penarikan diri beliau daripada mendengar rayuan Najib dan meminta Hisyam meneruskan hujahannya.

    Muhammad Shafee kemudian menyoal “Bolehkah saya kembali esok?”

    Tengku Maimun berkata terpulang kepada peguam itu sama ada beliau ingin kembali esok.

    “Jika kita teruskan hari ini, semuanya akan selesai hari ini. Tiada alasan untuk kamu (Muhammad Shafee) kembali esok. Malah, tiada siapa perlu kembali esok,” kata Ketua Hakim Negara itu.

    Hisyam kemudian meneruskan hujahan beliau mengenai permohonan agar Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar rayuan kes SRC Najib.

    Mahkamah menangguhkan sementara prosiding hari ini untuk membincangkan permohonan Najib berhubung penarikan diri Tengku Maimun.

    Terdahulu, Muhammad Shafee tiba di Istana Kehakiman pada 11.15 pagi dan dilihat meninggalkan kompleks mahkamah pada kira-kira 11.45 pagi.

    — BERNAMA

  • Dua lelaki didakwa beri pinjam wang tanpa lesen

    Dua lelaki didakwa beri pinjam wang tanpa lesen

    DUA lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas pertuduhan menjalankan aktiviti pemberi pinjaman wang tidak sah pada Julai dan Ogos tahun ini.

    Tertuduh, Choi Kian Chon, 28, dan Choo Chan Wah, 23, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka, lapor Sinar Harian.

    Kian Chon didakwa dengan tiga pertuduhan iaitu didapati terlibat dan menjalankan aktiviti pemberi pinjaman wang tanpa lesen sah kepada tiga individu secara berasingan masing-masing berusia 36, 62, dan 37 tahun.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di tiga lokasi berasingan di Kampung Padang, Kempadang Utama 1 Astaka Village dan Kampung Padang Jaya di Kuantan, antara pukul 8 pagi hingga 6 petang pada Julai lalu.

    Sementara itu, Chan Wah pula didakwa terlibat dan menjalankan aktiviti pemberi pinjaman wang tanpa lesen sah kepada seorang individu berusia 41 tahun di Lorong Pandan Damai di Kuantan antara jam 8 pagi hingga 6 petang, pada bulan ini.

    Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

    Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda tidak kurang dari RM250,000 dan tidak lebih RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika didapati bersalah.

    Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fathin Kasim yang menawarkan jumlah ikat jamin sebanyak RM80,000 terhadap Kian Chon manakala Chan Wah pula sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.

    Fathin turut meminta agar mahkamah mengenakan syarat tambahan terhadap kedua-dua tertuduh supaya tidak mengganggu saksi pendakwaan termasuk pengadu dan mangsa dalam kes ini.

    Bagaimanapun, Kian Chon yang tidak diwakili peguam memohon agar mahkamah mengurangkan ikat jamin kerana mempunyai dua anak yang masih kecil.

    Tertuduh Chan Wah yang diwakili peguam, Mohd. Rizal Abdullah pula memohon pengurangan ikat jamin atas alasan kesalahan pertama dilakukan oleh anak guamnya.

    Mahkamah kemudian membenarkan Kian Chon diikat jamin RM50,000 bagi semua pertuduhan manakala Chan Wah pula sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

    Kes disebut semula 23 September depan.