Category: Mahkamah

  • Kami di sini untuk beri keadilan – Hakim Mohamed Zaini

    Kami di sini untuk beri keadilan – Hakim Mohamed Zaini

    HAKIM Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan, sempat membuat jenaka sebelum memutuskan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor supaya beliau menarik diri daripada mendengar dan memberikan keputusan kes rasuah dihadapi isteri bekas perdana menteri itu.

    “Maaf kerana membuat semua orang menunggu. Saya tidak dapat mencari seseorang untuk menulis penghakiman jadi saya terpaksa menulis (penghakiman) sendiri,” katanya lapor Berita Harian.

    Kata-katanya menyebabkan semua orang yang berada di mahkamah ketawa.

    Rosmah memohon supaya Mohamed Zaini digugurkan kerana mendakwa dua dokumen kononnya ‘deraf penghakiman’ yang tular menunjukkan penghakiman itu disediakan oleh pihak lain untuk hakim terbabit, yang boleh menyebabkan bahaya nyata berat sebelah terhadap kes rasuah dihadapinya.

    Ketika menolak permohonan itu, Mohamed Zaini memberi jaminan kepada semua, bahawa beliau tidak mempunyai prasangka buruk terhadap Rosmah atau sesiapa sahaja yang hadir di hadapannya dalam mahkamah.

    Hakim itu menjelaskan, jika beliau salah dalam keputusan itu, Mahkamah Rayuan akan membetulkan keputusannya.

    “Dengan ini, permohonan ditolak,” katanya.

    Mohamed Zaini berkata, deraf penghakiman itu adalah pendapat daripada Bahagian Penyelidikan yang bukan disediakan untuknya atau diminta olehnya untuk disediakan

    Beliau berkata, kandungan dua dokumen itu bukan alasan dan keputusannya dan berharap bahagian penyelidikan akan memaafkannya kerana terpaksa menyatakan bahawa beliau tidak membaca pendapat mereka.

    Katanya, beliau sentiasa melakukan kerja sendiri, tidak kira betapa susahnya kerja itu, dan sudah menulis banyak penghakiman.

    “Sesiapa sahaja boleh membuat pendapat mereka sendiri tetapi yang penting ia adalah pendapat saya sendiri. Kebanyakan orang tidak menyedari betapa sukarnya peranan hakim.

    “Kami di sini bukan untuk menjadi popular, mahupun kami di sini untuk membuat keputusan popular. Kami di sini untuk memberikan keadilan,” katanya.

  • Pekebun durian didakwa edar lebih 841 kilogram dadah

    Pekebun durian didakwa edar lebih 841 kilogram dadah

    SEORANG pekebun durian dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bentong hari ini atas pertuduhan mengedar 841.06 kilogram dadah jenis Methamphetamine, bulan lepas.

    Lee Kok Choong, 61, didakwa mengedar dadah itu di sebuah rumah di Taman Anggerik, Bentong kira-kira 9 malam, 20 Ogos lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

    Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Qasiratul Jannah Usmani Othman kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nor Azura Abd Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah menetapkan 1 Nov depan untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia.

    Media baru-baru ini melaporkan polis berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa dan pengedaran tempatan selepas merampas 841.06 kilogram syabu dianggar bernilai RM30.8 juta di sebuah rumah di Bentong pada 20 Ogos lepas.

    Dadah berkenaan dikatakan dijual di pasaran pada harga anggaran RM36,000 sekilogram serta boleh digunakan seramai kira-kira 4.2 juta penagih.

  • ‘’Tolong jadi lebih belas ihsan…kami menangung sengsara’’ – Rosmah

    ‘’Tolong jadi lebih belas ihsan…kami menangung sengsara’’ – Rosmah

    DATIN SERI Rosmah Mansor menitiskan air mata ketika memohon Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur agar bersikap belas ihsan terhadap beliau setelah didapati bersalah meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima suapan RM6.5 juta membabitkan projek solar hibrid untuk sekolah luar bandar di Sarawak.

    Dalam keadaan teresak-esak dengan linangan air mata isteri bekas Perdana Menteri, Najib Razak itu berkata, dia tidak pernah meminta rasuah atau menyeleweng wang daripada mana-mana pihak.

    “Tolong jadi lebih belas ihsan, jadi lebih berperikemanusiaan. Jika ini boleh berlaku kepada saya, ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, kepada isteri anda, anak anda atau sesiapa sahaja pada masa hadapan. Mereka telah lakukannya (hukum) kepada suami saya agar kami menanggung sengsara.

    “Kami sedang menanggung sengsara, anak-anak saya sengsara. Tolong lihat saya sebagai seorang wanita kini yang terpaksa memikul tugas seorang bapa. Tolong jadi lebih berperikemanusiaan,” katanya lapor Malaysiakini.

    Menurut Rosmah, beliau  tidak pernah mengambil walau satu sen daripada projek projek solar hibrid. Begitu juga dengan jutaan dana untuk Permata dan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti).

    Sambil mengakui beliau amat sedih dengan keputusan hari ini tetapi menghormati penghakiman yang telah dibuat mahkamah itu.

    Katanya lagi, beliau sentiasa memberitahu peguamnya untuk hanya bercakap benar, seperti mana beliau mengajar perkara yang sama kepada anak-anaknya.

    Peguam utamanya, Jagjit Singh dalam hujahannya untuk hukuman yang ringan berkata bahawa Rosmah telah melakukan apa yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana isteri Perdana Menteri sebelum ini, iaitu menubuhkan program Pusat Anak Permata Negara (Permata).

    Beliau berkata program itu adalah buah fikiran Rosmah dan diiktiraf di dalam dan luar negara atas peranannya dalam mendidik kanak-kanak.

    Jagjit berkata pendakwaan telah bergantung kepada keterangan bekas pembantunya Rizal Mansor, yang didakwanya sebagai seorang yang mengaku dirinya korup dan menjadi saksi pendakwaan untuk menyelamatkan diri.

    Menurut Jagjit merupakan kesalahan pertama Rosmah dan kemudian mencadangkan tempoh penjara sehari selain hukuman ringan lain yang boleh dijatuhkan kepada Rosmah.

    Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram membantah dan memohon mahkamah memberi hukuman maksimum, atau hampir maksimum, terhadap Rosmah.

    Beliau berkata, hukuman maksimum bagi menghantar mesej kepada semua pihak yang mungkin berisiko melakukan kesalahan sama, bahawa rasuah adalah sesuatu yang memudaratkan dan perlu dibanteras.

    Sri Ram yang merupakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan berkata, setiap tiga pertuduhan terhadap Rosmah membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali nilai rasuah.

    Beliau juga memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM970 juta terhadap Rosmah.

    Katanya lagi, jika Rosmah gagal membayar denda itu, hukuman penjara terhadapnya perlu ditambah 30 tahun lagi.

    Tuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

    Sesyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi

  • Rosmah dipenjara 10 tahun, denda RM970 juta

    Rosmah dipenjara 10 tahun, denda RM970 juta

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 30 tahun dan denda RM970 juta, atau penjara 10 tahun, ke atas Datin Seri Rosmah Mansor selepas beliau didapati bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

    Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.

    Bagaimanapun, Rosmah, hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun kerana Hakim Mohamed Zaini Mazlan memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

    Beliau dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi Abang Samsudin, yang ketika itu Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor, sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings memperoleh projek bernilai RM1.25 bilion itu.

    Pada 18 Feb tahun lepas, Rosmah diperintah membela diri terhadap ketiga-tiga pertuduhan tersebut selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

    Setelah memanggil dua saksi iaitu tertuduh sendiri dan bekas Pengarah Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod, pihak pembelaan menutup kes pada 23 Feb lepas.

  • Rosmah bersalah tiga pertuduhan projek solar

    Rosmah bersalah tiga pertuduhan projek solar

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur mendapati Datin Seri Rosmah Mansor bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dikenakan ke atasnya berhubung projek solar di Sarawak.

    Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata, pihak pembelaan isteri bekas Perdana Menteri itu gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

    Berita lanjut menyusul

  • Lokman Adam didakwa buat komunikasi jelik terhadap PM, kerajaan

    Lokman Adam didakwa buat komunikasi jelik terhadap PM, kerajaan

    BEKAS Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam didakwa di Mahkamah Sesyen, di Kuala Lumpur, hari ini atas dua pertuduhan membuat dan memulakan komunikasi jelik terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan.

    Lokman, 49, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu yang didakwa dilakukan melalui aplikasi Facebook atas nama profil ‘Lokman Noor Adam Official’ dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

    Bagi pertuduhan pertama membabitkan Perdana Menteri, beliau dituduh melakukan perbuatan itu pada 11.16 malam, 20 Ogos lepas.

    Hantaran tersebut kemudiannya dibaca pada 8.15 pagi, 24 Ogos lepas di Mutiara Villa Jalan Tung Shin, Bukit Bintang di Kuala Lumpur.

    Bagi pertuduhan kedua, Lokman dituduh melakukan perbuatan sama terhadap kerajaan pada 10.28 malam, 22 Ogos lepas dan pautan itu kemudian dibaca pada 11.30 pagi, 23 Ogos lepas di sebuah restoran di Jalan Sentul di Kuala Lumpur.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Mohd Izhar menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan atau komen di platform media sosial berkaitan kes itu.

    Peguam Logen Eskander yang mewakili Lokman memohon jaminan RM2,000 bagi setiap pertuduhan atas alasan anak guamnya mempunyai 11 anak yang masih bersekolah dan kini bekerja sebagai penjual sate dengan pendapatan tidak menentu.

    “Beliau juga pernah memegang jawatan Exco Pergerakan Pemuda UMNO bagi 2008 hingga 2013 dan sangat dihormati dalam kalangan ahli keluarga serta masyarakat,” katanya.

    Hakim Nor Hasniah Ab Razak membenarkan Lokman diikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan tidak dibenarkan membuat apa-apa kenyataan di media sosial berkaitan kes itu.

    Sebutan semula kes ditetapkan 26 Sept.

  • Raja Petra tiada kredibiliti, hanya tahu bersembunyi di UK – Gopal Sri Ram

    Raja Petra tiada kredibiliti, hanya tahu bersembunyi di UK – Gopal Sri Ram

    PENGASAS dan penulis portal Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin tidak seharusnya dianggap sebagai sumber yang berkredibiliti, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

    Ketua Pendakwaan dalam kes rasuah melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, Raja Petra dikenali sebagai seorang pelarian, dan hanya menulis mengikut kemahuan pihak yang membayarnya.

    Sri Ram berkata, permohonan pembelaan untuk mengecualikan Hakim Mohamed Zaini Mazlan dari kes tersebut perlu ditolak, kerana ia hanya berdasarkan dokumen yang diterbitkan oleh Raja Petra, yang pada pandangan beliau hanya bersifat khabar angin, dan dibuat dengan niat jahat (mala fide).

    “Saya berhujah bahawa penulis dua artikel tersebut adalah seorang pelarian dari keadilan, yang kini sedang bersembunyi di United Kingdom.

    “Keduanya dia adalah wartawan yang sukar dikawal. Dan ketiga, pandangan dia sering kali berubah mengikut jumlah bayaran yang diterima,” kata Sri Ram lapor Astro AWANI.

    Ketika ini Mohamed Zaini sedang mendengar permohonan pihak pembelaan, yang diketuai Datuk Akberdin Abdul Kadir dan Datuk Jagjit Singh untuk mengecualikan beliau dari kes tersebut.

    Rosmah dalam kenyataan afidavit sokongan berkata, permohonan tersebut dilakukan selepas tular ringkasan penghakiman berhubung kes tersebut, yang didakwa sepatutnya dibacakan di Mahkamah Tinggi pada 1 Sept (hari ini).

    Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu berkata, beliau mendapati terdapat ketirisan atau kebocoran, selain mendapati penghakiman itu telah disediakan orang atau pihak lain, dan bukannya Mohamed Zaini sendiri.

    Pandangan pendakwaan, bagaimanapun disanggah Jagjit, yang berhujah bahawa dalam setiap diri manusia yang jahat, pasti ada kebaikan, seperti mana yang dilakukan Raja Petra.

    Beliau berkata, biar pun apa juga pandangan atau persepsi pendakwaan terhadap penulis itu, namun pendakwaan langsung tidak menyangkal bahawa dua dokumen – ringkasan serta penghakiman penuh kes Rosmah – adalah dokumen palsu.

    Dlaam pada itu Jagjit berkata, kedua-dua dokumen tersebut merupakan draf penghakiman, yang dibuat oleh pihak luar, bertujuan untuk mempengaruhi penghakiman penuh Mohamed Zaini.

    Beliau berkata, Mohamed Zaini selaku Hakim kes tersebut perlu segera mengecualikan diri, bagi menjaga integriti dan kebebasan badan kehakiman.

    Namun Sri Ram berkata, dokumen tersebut lazimnya disediakan oleh unit penyelidikan badan kehakiman, dan ia merupakan amalan yang bukan digunapakai bukan sahaja di negara-negara Komanwel, tetapi juga di Mahkamah Tinggi Amerika Syarikat.

    Katanya lagi, terpulang kepada Hakim Bicara untuk menggunapakai draf atau pandangan tersebut, kerana ia bukan satu amalan yang luar biasa.

    “Perkara penting di sini, secara objektifnya, bahawa tertuduh (Rosmah) telah menerima perbicaraan yang adil, dan penghakiman itu merupakan pandangan atau keputusan Hakim sendiri, bukan orang lain,” katanya lagi.

    Rosmah ketika ini berhadapan dengan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta, serta dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta dari Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

    Dana itu didakwa diterima melalui bekas Pegawai Khas beliau, Datuk Rizal Mansor, sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta

    Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

    Media sebelum ini melaporkan keseluruhan projek tersebut bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

  • Hantaran jelik terhadap PM:Lokman Nor Adam berdepan 2 pertuduhan

    Hantaran jelik terhadap PM:Lokman Nor Adam berdepan 2 pertuduhan

    BEKAS Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua tuduhan membuat hantaran jelik terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri smail Sabri Yaakob.

    Unit Siasatan Jenayah Terkelas (UJST) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam satu kenyataan memberitahu, pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Sesyen Jenayah (Siber) Kuala Lumpur.

    “Pertuduhan itu membabitkan dua kes yang kedua-duanya disiasat mengikut Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Dua kes itu membabitkan penghantaran video berniat jahat dan kenyataan menghina kerajaan dan Perdana Menteri melalui akaun Facebook Lokman Noor Adam Official,” kata kenyataan itu, lapor Berita Harian.

    Lokman sebelum ini dilaporkan melahirkan rasa tidak berpuas hati dengan kerajaan sekarang dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipenjarakan 12 tahun susulan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan ke atasnya berhubung penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn. Bhd.

  • Pendakwaan bantah permohonan Rosmah supaya Hakim tarik diri

    Pendakwaan bantah permohonan Rosmah supaya Hakim tarik diri

    PIHAK pendakwaan hari ini membantah permohonan Datin Seri Rosmah Mansor supaya Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kes rasuahnya membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion.

    Rosmah, 70, memfailkan permohonan itu di saat akhir atas alasan tular di media massa dan elektronik pada 26 Ogos lepas berkenaan berlakunya kebocoran penghakiman kes itu yang disediakan oleh pihak lain.

    Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata ‘penghakiman’ bocor yang dirujuk oleh Rosmah pemohon bukanlah penghakiman bertulis.

    “Jelas daripada dokumen itu sendiri bahawa ia adalah penyelidikan dan penulisan pendapat yang disediakan oleh Unit Penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” katanya.

    Sri Ram berhujah bahawa permohonan itu sepenuhnya berdasarkan kepada keterangan dengar cakap serta niat jahat dan pemohon tidak mengemukakan sebarang bukti yang boleh dipercayai dan kukuh untuk menyokong tuduhannya yang berat sebelah dan ketidakwajaran kehakiman terhadap Hakim Mohamed Zaini.

    “Kami sedia berhujah dan kami membantah sebarang permohonan penangguhan dan penyampaian penghakiman. Jika mereka tidak bersedia, kami minta ia (permohonan) ditolak,” katanya.

    Beliau berkata demikian bagi membalas permohonan peguam Datuk Jagjit Singh supaya menangguhkan prosiding permohonan itu kerana mereka memerlukan lebih masa untuk mengumpul fakta.

    Peguam itu membangkitkan perkara tersebut ketika prosiding bermula pada 9.28 pagi.

    Jagjit juga berkata pihak pembelaan memerlukan masa untuk menjawab afidavit disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn yang membantah permohonan Rosmah.

    Hakim berkata pihak pembelaan telah memfailkan sijil perakuan segera biasanya bermakna perkara itu harus didengar secepat mungkin.

    “Jika tidak pada hari yang sama, ia harus didengar pada hari berikutnya. Apabila kamu memfailkan sijil perakuan segera sehari sebelum hari Merdeka, saya telah mengarahkan pegawai saya supaya menyediakan prosiding hari ini,” katanya.

     Hakim bertanya kepada pihak pembelaan idea siapa permohonan itu difailkan dan Jagjit menjawab, “Kami bertindak atas arahan.”

    “Kamu mahu (prosiding) permohonan itu ditangguhkan ke hari lain? Permohonan ini akan bersifat akademik selepas saya menyampaikan keputusan saya,” kata hakim.

    Beliau juga mengambil maklum dakwaan dalam permohonan agar beliau menarik diri itu berkaitan kononnya penghakiman ditulis oleh pihak ketiga bagi pihaknya.

    Bagaimanapun, hakim itu berkata beliau seorang sahaja yang akan menjawab perkara itu dan meminta pihak pembelaan berhujah mengenai permohonan tersebut sebelum menangguhkan prosiding itu.

      “Saya akan tunggu. Beritahu saya apabila sudah bersedia,” katanya.

    Hakim dijadual menyampaikan keputusan kes itu hari ini.

  • Keputusan kes Rosmah diputuskan hari ini

    Keputusan kes Rosmah diputuskan hari ini

    KEPUTUSAN akhir kes pembelaan Datin Seri Rosmah Mansor berhubung tiga pertuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, akan diketahui hari ini.

    Isteri bekas Perdana Menteri itu tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini bagi mendengar keputusan perbicaraan kes rasuah berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

    Rosmah yang berpakaian baju kurung dan selendang warna kuning tiba pada pukul 8.55 pagi menaiki kereta berwarna hitam, lapor Sinar Harian.

    Beliau kelihatan tenang ketika diiringi masuk ke lobi mahkamah akan mengetahui sama ada beliau akan dibebaskan atau didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah yang dihadapinya.

    Bagaimanapun, Rosmah telah memfailkan permohonan di saat-saat akhir supaya Hakim Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar atau membuat keputusan ke atas kes itu berikutan dakwaan berlaku kebocoran dokumen penghakiman kes beliau yang disediakan pihak lain dan ditularkan di media massa dan elektronik, 26 Ogos lepas.

    Rosmah, berhadapan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin.
    Rasuah terbabit didakwa diterima melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan (KPM) secara rundingan terus.

    Pihak pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram sementara Peguam Datuk Jagjit Singh mengetuai pihak pembelaan.