Category: Mahkamah

  • Penceramah didakwa buat hantaran jelik terhadap Agong

    Penceramah didakwa buat hantaran jelik terhadap Agong

    SEORANG penceramah bebas didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas dua pertuduhan membuat hantaran jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong menerusi kumpulan WhatsApp, tahun lalu.

    Tertuduh, Ab. Malik Hussain, 62, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, bapa kepada dua anak itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain dalam kumpulan WhatsApp ‘soal jawab tasawuf-(sufi)’.

    Hantaran itu telah dilihat sekitar pukul 8.30 malam di Batu 10, Kampung Pulau Padang Bota Kiri di dalam daerah Perak Tengah pada 22 November 2022.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

    Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Akmal Mod Said, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Khazali Yin.

    Terdahulu, Saiful Akmal mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

    Mohamad Khazali memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap.

    Dia merupakan penceramah di Kelantan dibayar sebanyak RM200 bagi setiap ceramah dengan tawaran empat ke lima ceramah sebulan.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 14 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

  • Wanita warga Thailand terlepas tali gantung edar dadah

    Wanita warga Thailand terlepas tali gantung edar dadah

    SEORANG wanita warga Thailand terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi di Kota Bharu, hari ini membebas dan melepaskannya selepas mengetepikan sabitan terhadap tuduhan mengedar 86.8 gram (g) dadah jenis Methapethamine, empat tahun lepas.

    Hakim Roslan Abu Bakar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh Miss Rusneeda Beraheng, 41 tahun.

    Miss Rusneeda didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kubang Juluk, Rantau Panjang, Pasir Mas pada pukul 9 pagi, 4 Sept 2018.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

    Dalam penghakimannya, Roslan berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen kedua iaitu milikan, jagaan dan kawalan serta pengetahuan tertuduh terhadap dadah yang dijumpai di bawah kerusi kereta jenis Proton Pesona.

    “Elemen ketiga iaitu pengedaran dadah pula secara automatik gagal kerana elemen kedua tidak berjaya dibuktikan. Pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie. Oleh itu, tertuduh dibebas dan dilepaskan tanpa dipanggil membela diri,” katanya.

    Beliau berkata pihak pendakwaan telah mengemukakan seramai lapan saksi terdiri daripada pegawai penyiasat, pegawai polis dan ahli kimia sepanjang perbicaraan kes itu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aida Fatimah Abd Jabar dan tertuduh diwakili peguam Ahmad Nizam Mohamed.

  • Buruh didakwa rogol anak tiri bawah umur

    Buruh didakwa rogol anak tiri bawah umur

    SEORANG buruh didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas tuduhan merogol anak tiri, Jun lalu.

    Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 31 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

    Lelaki itu didakwa merogol anak tirinya yang berusia 13 tahun tujuh bulan ketika kejadian yang mana tertuduh tidak boleh berkahwin dengan mangsa mengikut hukum agama Islam.

    Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Kandis, dekat Pasir Puteh, kira-kira pukul 6 petang, pada Jun 2023.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan sehingga 30 tahun serta tidak kurang 10 sebatan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin tidak mencadangkan jaminan terhadap tertuduh kerana kes itu serius dan tidak boleh dijamin.

    Tertuduh tidak diwakili peguam dan mahkamah menetapkan 21 Ogos depan untuk sebutan semula kes serta laporan kimia lapor Sinar Harian.

  • Empat pertuduhan salah guna kuasa Muhyiddin lengkap: TPP

    Empat pertuduhan salah guna kuasa Muhyiddin lengkap: TPP

    SEORANG pendakwa raya memberitahu mahkamah hari ini, empat pertuduhan salah guna kuasa terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah lengkap dengan butiran untuk memaklumkan bekas Perdana Menteri tersebut mengenai kesalahan yang didakwa itu.

    Semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, berhubung permohonan Muhyiddin untuk membatalkan empat pertuduhan jenayah itu, Timbalan Pendakwa Raya (TPP), Ahmad Akram Gharib memperincikan butiran pertuduhan yang didakwa yang akan menjadi notis mencukupi kepada tertuduh berhubung kesalahan yang didakwa dilakukannya.

    TPP itu menegaskan bahawa empat pertuduhan berkenaan menyatakan unsur-unsur kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, iaitu Muhyiddin atas kapasitinya sebagai pegawai awam ketika itu iaitu Perdana Menteri telah menggunakan jawatan berkenaan untuk suapan RM232 juta.

    “Adalah terlalu awal untuk mengatakan pertuduhan itu cacat. Pertuduhan itu adalah lengkap dengan notis yang mencukupi (kepada Muhyiddin supaya dia boleh menyediakan pembelaan yang sewajarnya). Siapakah kamu ketika itu sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu. Daripada mereka (dakwaan suapan diterima) ialah Bukhary Equity (Sdn Bhd, serta dua syarikat lain dan seorang individu). Apa lagi yang kamu perlukan?

    “RM200 juta itu dan tarikh (antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021) adalah khusus. Kamu (Muhyiddin) sepatutnya tahu apa yang kamu lakukan ketika itu. Beban terletak pada kami (pendakwaan) untuk membuktikan kamu melakukan apa yang kamu lakukan berdasarkan (perincian) itu,” kata Akram kepada hakim Muhammad Jamil Hussin.

    Muhyiddin memfailkan notis usul untuk membatalkan tuduhan itu pada 18 April lalu dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

    Beliau yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lalu, dan memohon prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.

    Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, beliau mendakwa empat tuduhan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.

    Katanya, ia berikutan tiada mana-mana satu pun daripada tuduhan terbabit mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM.

    Muhyiddin, 75, ketika menjadi Perdana Menteri ke-lapan didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Azman Yusoff bagi parti berkenaan.

    Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

  • Penganggur dipenjara 3 tahun, sebat kerana merompak

    Penganggur dipenjara 3 tahun, sebat kerana merompak

    SEORANG penganggur dijatuhi hukuman tiga tahun penjara dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Pilah hari ini selepas mengaku bersalah merompak secara berkumpulan di Bahau bulan lalu.

    Tertuduh, Muhammad Amirul Syafiq Daud Hamzah, 22, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norma Ismail sebaik pertuduhan dibacakan, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh bersama-sama suspek yang masih bebas telah melakukan rompakan secara berkumpulan iaitu melarikan beg pinggang dan dokumen penting milik seorang lelaki.

    Tertuduh bersama suspek masih bebas itu semasa melakukan rompakan berkenaan bersenjatakan sebatang kayu dan sebilah parang.

    Perbuatan itu dilakukan di tepi sungai belakang deretan kedai Pusat Perindustrian Mahogani Bahau,Jempol pada 6 Jun lepas pukul lebih kurang 1.15 pagi.

    Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun yang sama.

    Mahkamah kemudiannya menjatuhi hukuman tiga tahun penjara dari tarikh dia ditangkap dan dua sebatan.

    Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Berdasarkan fakta kes, seorang lelaki warga emas berusia 64 tahun datang ke Balai Polis Bahau dalam keadaan berlumuran darah di bahagian muka selepas disamun dua lelaki tidak dikenali ketika memancing di lokasi kejadian.

    Mangsa telah ditolak ke dalam sungai dan begnya yang berisi wang kira-kira RM1,000 dan dokumen penting dilarikan suspek menaiki sebuah kereta.

    Sementara itu, tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Bahau bagi pendakwaan atas kesalahan mencuri.

  • 5 lelaki terlepas hukuman gantung pertuduhan bunuh remaja

    5 lelaki terlepas hukuman gantung pertuduhan bunuh remaja

    MAHKAMAH Tinggi Muar hari ini melepas dan membebaskan lima lelaki daripada hukuman gantung atas pertuduhan membunuh remaja lelaki, 11 tahun lalu.

    Hakim Suria Kumar Dorairaj membuat keputusan melepas dan membebaskan kelima-lima tertuduh selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan keraguan munasabah mengaitkan mereka dengan kes membunuh Muhammad Rauf Othman yang ketika itu berusia 17 tahun.

    Lima tertuduh itu ialah Sek Jamaludin Mahmad, 49, yang juga tertuduh pertama, M Seri Viremurugan, 42, (kedua), Abdul Rafiq Ganasan Abdullah, 56, (ketiga), M Nagarajan, 36, (keempat) dan Mohamad Fairuz Tuah 35, (kelima).

    Dalam penghakimannya, Suria Kumar berkata, mahkamah mendapati keterangan empat saksi pendakwaan yang juga rakan sejenayah bercanggah dan tidak boleh dipercayai.

    “Laporan pakar patologi serta bedah siasat juga mendedahkan kecederaan dialami mangsa lebih kepada punca kemalangan jalan raya. Kesan calar pada muka, lutut serta anggota badan lain disebabkan kemungkinan mangsa dilanggar.

    “Pada masa sama, pihak pendakwaan juga gagal membuktikan masa sebenar kejadian itu berlaku. Intipati mengaitkan berlaku penculikan terhadap masa sebelum itu juga tidak boleh diterima pakai kerana wujud percanggahan saksi ketika memberi keterangan.

    “Malah, saksi juga mengakui tidak dapat melihat dengan jelas kejadian di sebuah taman dekat Bukit Pasir, Batu Pahat kerana terlindung pokok. Ini menunjukkan saksi gagal mengecam siapa yang memukul mangsa ketika itu,” katanya, laor Berita Harian.

    Mengikut fakta kes, Muhammad Rauf ditemui tidak sedarkan diri selepas dipercayai dipukul sekumpulan lelaki di kawasan lapang, Jalan Kundang 11, Taman Bukit Pasir, Batu Pahat dengan kejadian berlaku antara pukul 10 malam hingga 4.56 pagi, pada 31 Mei dan 1 Jun 2012.

    Mangsa dibawa ke tempat kejadian iaitu berdekatan dengan rumah tertuduh kedua. Sebaik kereta diberhentikan, si mati dibawa masuk ke kawasan padang dengan tertuduh pertama, kedua dan ketiga melempang si mati.

    Si mati juga dibelasah sekurang-kurangnya enam orang termasuk tertuduh pertama dan ketiga menyebabkan dia parah dan tidak sedarkan diri.

    Tertuduh pertama didakwa memukul si mati menggunakan cota, selain beberapa lagi rakan sejenayah lain turut memukul mangsa menggunakan tangan dan belantan. Si mati juga cuba melarikan diri apabila mendapat kekuatan tetapi ditangkap semula.

    Berikutan itu, semua tertuduh didakwa dengan niat membunuh Muhammad Rauf dengan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa kepada hukuman mati.

    Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil 33 saksi.

    Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Putera Amirool Faez Suhasi manakala Sek Jamaludin Mahmad diwakili Iskandar Shah Ibrahim dan Khairulzzaman Ridha; M. Seri Viremuruga (R K Balakrishan); Abdul Rafiq Ganasan Abdullah dan M. Nagarajan (Paul Krishanraja) manakala Ramesh Wasan dan B. Mariammah mewakili Mohamad Fairuz.

  • Bekas kapten skuad bola sepak tak mengaku ceroboh bilik hotel kenalan wanita

    Bekas kapten skuad bola sepak tak mengaku ceroboh bilik hotel kenalan wanita

    BEKAS kapten skuad bola sepak kebangsaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini atas tuduhan menceroboh bilik hotel didiami kenalan wanita, bulan lalu.

    Ahmad Shahrul Azhar Sofian, 49, yang juga bekas pemain Perak FA membuat pengakutan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

    Mengikut pertuduhan, Ahmad Shahrul didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki bilik seorang wanita berusia 36 tahun di sebuah hotel di Kelana Jaya, pukul 6 petang, 21 Jun lalu.

    Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda hingga RM 5,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Md. Kamal, mencadangkan jaminan RM6,000 dikenakan terhadap tertuduh.

    “Mangsa dalam kes ini adalah kenalannya, syarat tambahan supaya tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan hingga kes selesai,” katanya.

    Peguam bela Ahmad Shahrul, Datuk Suraj Singh, memohon jaminan paling rendah dikenakan dengan alasan anak guamnya perlu menanggung isteri serta tujuh anak, selain tiada risiko melarikan diri.

    “Mohon jaminan dikurangkan kerana ia bukan untuk menghukum seseorang sebelum mula bicara.

    “Anak guam dalam jaminan polis ketika menerima panggilan dan terus hadir ke mahkamah, tidak cuba mengelak dan melarikan diri. Isterinya tidak bekerja, manakala enam daripada tujuh anaknya masih belajar.

    “Rakan anak guam yang juga pekerja kontrak akan menjadi penjamin untuk pastikan kehadiran pada tarikh akan datang, selain tertuduh tiada kes lain di mahkamah,” katanya, lapor Berita Harian.

    Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 serta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan, selain menetapkan 18 September ini untuk sebutan semula kes.

    Media sebelum ini melaporkan, lelaki itu ditahan selepas dipercayai menceroboh bilik sebuah hotel, di Petaling Jaya, bulan lalu.

    Menurut sumber, laporan polis dibuat oleh seorang lelaki selepas mendakwa bekas pemain bola sepak kebangsaan berkenaan menceroboh bilik hotel sebelum bertindak agresif hingga menyebabkan berlaku sedikit kekecohan.

    Ketika kejadian, seorang wanita yang juga isteri kepada pengadu itu dikatakan berada dalam bilik berkenaan.

  • Global Royalty: Syarikat kami terkenal, tak perlu publisiti Rosmah

    Global Royalty: Syarikat kami terkenal, tak perlu publisiti Rosmah

    SYARIKAT barangan kemas Lubnan menyifatkan pembelaan DatuK Seri Rosmah Mansor dalam saman RM67.46 juta yang difailkan pihaknya sebagai “tidak benar, tidak masuk akal, tidak logik dan semata-mata penegasan dan/atau penafian kosong”.

    Dalam jawapan kepada pembelaan yang difailkannya, plaintif Global Royalty Trading SAL berkata demikian berhubung dakwaan Rosmah bahawa barangan kemas dihantar kepadanya untuk ‘publisiti’ dan bukan atas permintaannya.

    “Plaintif memplidkan bahawa plaintif adalah tukang emas yang mapan dan terkenal, mengendalikan kedai di lokasi terkemuka seperti London dan New York. Plaintif telah berkhidmat dengan kerabat diraja dan selebriti lama sebelum defendan membuat sebarang pembelian. Reputasi Plaintif dan pelanggan sudah memadai dan plaintif tidak memerlukan publisiti tambahan sepertimana yang didakwa oleh defendan tersebut.

    “Tambahan pula, plaintif menegaskan bahawa pergaulan mereka dengan pelbagai keluarga diraja mengukuhkan lagi kedudukan plaintif dalam industri ini. Plaintif telah diperkenalkan kepada defendan oleh Sultanah Brunei, yang menunjukkan tahap kepercayaan dan prestij yang dinikmati oleh plaintif. Oleh itu, plaintif tidak memerlukan publisiti.

    “Sebelum konsainan 44 barang kemas tersebut, defendan telah membuat pembelian terdahulu daripada plaintif. Bagaimanapun, tiada publisiti atau perhatian dijana daripada transaksi tersebut. Oleh itu, plaintif memplidkan bahawa tuntutan defendan berkenaan publisiti tidak mempunyai asas atau merit,” kata Global Royalty dalam jawapan yang dilihat Malaysiakini.

    Berhubung hujah Rosmah yang beliau tidak boleh dipertanggungjawabkan ke atas kehilangan 44 barang kemas itu kerana ia dirampas oleh polis ketika serbuan pada 2018, Global Royalty berkata Rosmah tidak jujur memandangkan 44 barang kemas itu adalah sebahagian daripada 12,000 barang kemas yang telah dipulangkan kepadanya pada 14 November lalu.

    Oleh itu, katanya, Rosmah sebenarnya memiliki 43 barang kemas dan seharusnya membayarnya.

    Polis sebelum ini telah memulangkan satu bentuk barang kemas kepada syarikat itu.

    Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam Rosmah, Rajivan Nambiar mengesahkan pasukan peguam Global Royalty memfailkan jawapan itu semalam.

    Pada April lalu, pasukan peguam tersebut memfailkan semula saman berjumlah RM67.46 juta terhadap Rosmah atas dakwaan barang kemas itu dihantar kepada defendan untuk tujuan pameran.

    Sebagai ganti, firma itu meminta kos barang kemas itu pada RM67,461,027 (bersamaan dengan AS$14,567, 270).

    Pada 2019, firma itu memfailkan saman untuk 44 barang kemas bernilai AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta tetapi kemudian menarik balik saman tersebut.

  • Lelaki sebabkan kematian penunggang Ducati mengaku tak bersalah, diarah jalani pemeriksaan mental

    Lelaki sebabkan kematian penunggang Ducati mengaku tak bersalah, diarah jalani pemeriksaan mental

    SEORANG lelaki yang didakwa menunggang secara melawan arus di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) sehingga menyebabkan kematian seorang lagi penunggang Ducati Panigale pada bulan lalu, diarahkan untuk menjalani penilaian psikiatri.

    Majistret Amalina Basirah Md. Top memerintahkan sedemikian selepas peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Izleen Ismail memaklumkan bahawa tertuduh merupakan seorang pesakit mental pada prosiding pertuduhan di Mahkamah Majistret Ampang Jaya, pagi ini.

    “Tertuduh merupakan pesakit mental dan fakta ini telah disahkan melalui surat rujukan yang dikeluarkan oleh seorang doktor di Hospital Kajang.

    “Tertuduh juga mengambil ubat jenis Lorazepam yang merupakan ubat psikiatri. Ini membuktikan pada tarikh kejadian, tertuduh telah tidak dapat berfikir dengan waras.

    “Justeru, saya dengan rendah diri memohon mahkamah menggunakan kuasanya mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah untuk menghantar tertuduh bagi penilaian psikiatri di hospital bahagia,” kata peguam itu.

    Terdahulu, tertuduh, Mudzyadaha Mohammad, 41, yang juga merupakan seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menunggang motosikal secara melawan arus setelah mengambil perhatian tentang segala hal keadaan merbahaya kepada orang awam, telah menyebabkan kematian Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64 tahun.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kilometer 22.2 Lebuhraya SUKE, dekat Hulu Langat sekitar pukul 1.30 petang pada 14 Jun lalu.

    Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) yang boleh dihukum di bawah peruntukkan akta yang sama.

    Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama tidak kurang daripda lima tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun, dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih daripada RM50,000.

    Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dibenarkan ke atas tertuduh selain tidak membantah permohonan peguam bagi mendapatkan laporan penilaian psikiatri tertuduh.

    Annur Athirah turut mencadangkan agar tertuduh melaporkan diri di balai polis setiap bulan dan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.

    Izleen memohon jaminan minima dibenarkan ke atas tertuduh memandangkan anak guamnya itu seorang Orang Kurang Upaya (OKU) yang mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain mengalami tekanan akibat kesempitan kewangan bagi menampung keluarga.

    Majistret Amalina kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh selain mengarahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi penilaian psikiatri.

    Beliau turut memerintahkan tertuduh agar melapor diri di balai polis berhampiran tempat tinggal sekali setiap bulan serta lesen memandu tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

    Mahkamah menetapkan 10 Ogos depan sebagai tarikh sebutan dan laporan penilaian mental.

    Sebelum ini pada 14 Jun lalu, UtusanTV melaporkan seorang penunggang motosikal jenis Ducati Panigale maut selepas tercampak sebelum terhumban daripada Lebuhraya SUKE.

    Kejadian yang turut tular di media sosial itu berpunca selepas mangsa, Ahmad Fadzil cuba mengelak seorang lagi penunggang motosikal yang melawan arus.

  • Muhyiddin tarik balik permohonan pindah kes ke Mahkamah Tinggi

    Muhyiddin tarik balik permohonan pindah kes ke Mahkamah Tinggi

    PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menarik balik permohonan supaya kesemua enam kes rasuah dan satu tuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram yang dihadapinya, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

    Perkara itu dimaklumkan peguam belanya, Datuk Hisyam Teh Poh Teik pada pengurusan kes berkenaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi K Muniandy.

    Prosiding hari ini mengecualikan kehadiran Muhyiddin di mahkamah.

    Menurut peguam itu, permohonan anak guamnya untuk menarik balik pemindahan kes sebelum ini dikemukakan pembelaan melalui surat bertarikh 5 Julai lalu.

    Sehubungan itu, mahkamah membenarkan dan seterusnya membatalkan permohonan Muhyiddin untuk memindahkan kes daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

    Ia tidak dibantah pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.

    Melalui surat terbabit, pembelaan menyatakan terdapat tiga permohonan untuk memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi yang ditetapkan untuk didengar hari ini, dan ada asas kukuh bagi pemindahan itu.

    Pembelaan berkata, pada masa sama terdapat permohonan pihaknya untuk membatalkan pertuduhan kesalahan predikat (rasuah) terhadap Muhyiddin yang akan didengar di Mahkamah Tinggi, esok.

    Sehubungan itu, permohonan untuk memindahkan kes akan menjadi akademik jika pembatalan tuduhan dibenarkan.

    Menurut pembelaan, ia mengesyorkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya permohonan pemindahan kes ditunda sehingga selepas permohonan pembatalan diputuskan, tetapi SPRM mahu permohonan pemindahan didengar dulu.

    “Pihak kami sudah memfailkan hujahan mengikut arahan mahkamah dan bersedia untuk meneruskan dengan perbicaraan (hari ini). Bagaimanapun demi menjimatkan masa dan kos mahkamah dan oleh kerana kami berpendapat permohonan pemindahan akan menjadi akademik jika permohonan pembatalan dibenarkan, kami dengan ini menarik balik (permohonan pemindahan) ini.

    “Kami menegaskan bahawa tindakan menarik balik permohonan itu dibuat dengan suci hati walaupun percaya bahawa terdapat asas yang kukuh untuk mendapatkan pemindahan yang dipohon,” katanya, lapor Berita Harian.

    Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, atas enam pertuduhan, iaitu empat tuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram dengan wang berjumlah RM195 juta.

    Muhyiddin, sebagai Perdana Menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti berkenaan.

    Semua kesalahan itu dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.

    Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

    Pada 13 Mac lalu, beliau didakwa menerima menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun AmBank milik parti berkenaan.

    Kesalahan didakwa dilakukan di AmBank Cawangan Amcorp Mall, Jalan Persiaran Barat di sini pada 7 Januari 2022 mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) akta sama.

    Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.