Category: Mahkamah

  • Lelaki cederakan isteri dipenjara 24 bulan

    Lelaki cederakan isteri dipenjara 24 bulan

    SEORANG lelaki dihukum penjara selama 24 bulan oleh Mahkamah Majistret di Marang, hari ini atas pertuduhan mencederakan isterinya.

    Tertuduh, Ahmad Zughairi Mohd Zuki, 36, mengaku bersalah selepas tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa yang berusia 36 tahun di hadapan sebuah rumah di Bukit Payung di Marang, pada 7.45 malam pada 3 Mei lalu.

    Tertuduh mengulangi kesalahan sama masing-masing di dua lokasi berasingan di Bukit Payung di Marang, pada 15 Julai dan 22 Julai lalu.

    Bagi setiap kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 326A KK.

    Harian Metro melaporkan, sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi pertuduhan pertama.

    Tertuduh dijatuhi hukuman penjara masing-masing lapan dan 10 bulan bagi pertuduhan kedua dan ketiga.

    Bagaimanapun, tertuduh hanya menjalani hukuman penjara 10 bulan selepas mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula daripada tarikh sabitan iaitu hari ini.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Othman Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam, Che Amir Che Musa.

  • Bekas Pengarah Jakoa mengaku salah palsukan dokumen

    Bekas Pengarah Jakoa mengaku salah palsukan dokumen

    BEKAS Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Negeri Sembilan dan Melaka serta pengarah syarikat didenda di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini atas pertuduhan memalsukan dokumen tuntutan majlis makan berjumlah RM13,200, enam tahun lalu.

    Kedua-dua tertuduh, Mohd. Irwan Redzuan Abdullah, 45, dan Haslin Abdul Razak, 47, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

    Tertuduh pertama, Mohd. Irwan iaitu bekas pemilik syarikat Salju Asli Enterprise dijatuhi hukuman denda RM8,000.

    Sementara tertuduh kedua pula, bekas Pengarah Jakoa Negeri Sembilan dan Melaka, Haslin dienda RM5,000.

    Sekiranya gagal membayar denda, kedua-dua tertuduh masing-masing boleh dikenakan penjara lima dan empat bulan.

    Bagaimanapun, mereka membayar denda terbabit, lapor Harian Metro.

    Mengikut pertuduhan, mereka dengan niat bersama dengan curangnya menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu invois Salju Asli Enterprise nombor SA2016/10 untuk tuntutan perkhidmatan makan dan minum sempena Majlis Ramah Mesra Pengarah Jakoa bersama penduduk Kampung Orang Asli Bukit Payung, Alor Gajah, Melaka yang mana tertuduh mempunyai sebab mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu.

    Kesalahan tersebut dilakukan di Pejabat Jakoa Negeri Sembilan/Melaka pada 6 Disember 2016.

    Sehubungan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama.

    Terdahulu, dalam prosiding kes Mohd. Irwan yang diwakili peguam Iszam Ismail memohon hukuman ringan kerana dia kini hanya bekerja sebagai penoreh getah selepas syarikat ditutup selain perlu menyara lima anak berusia empat hingga 22 tahun.

    Sementara itu, Haslin yang diwakili peguam Abdul Hamid Manon Abdullah juga memohon hukuman ringan dengan alasan mempunyai empat anak masih kecil serta bersekolah malah sepanjang perkhidmatan menjalankan tugas dengan cemerlang.

    Mahkamah juga menetapkan wang RM13,200 milik Kelab Sukan dan Kebajikan Jakoa dilucut hak kepada kerajaan Malaysia melalui Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

  • PU Azman mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki

    PU Azman mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki

    PENCERAMAH selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Seremban hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun ini.

    PU Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Alias yang berusia 41 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

    Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Cik Man berdepan tiga pertuduhan, telah melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa remaja lelaki berusia 17 tahun dengan cara melakukan perbuatan kelucahan melampau.

    Kesalahan itu dilakukan antara pukul 3 hingga 5 pagi di ruang tamu dan tandas di sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai pada 6 Julai lalu.

    Selain itu, tertuduh turut berdepan dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa remaja lelaki berusia 16 tahun 10 bulan.

    Kesalahan itu dilakukan di dalam sebuah bilik di rumah yang sama lebih kurang pukul 8.30 malam hingga 12 tengah malam, 5 Februari lalu dan di ruang tamu rumah sama antara pukul 3 hingga 6 pagi, 6 Julai lalu.

    Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    PU Azman yang memakai baju kurta berwarna gelap kelihatan tenang ketika berada di pekarangan mahkamah.

    Beliau selepas itu hadir dengan ditemani peguam, kakak dan abang iparnya pada pukul 8.30 pagi.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Husni Fairos Ramly memohon mahkamah mengenakan jaminan tinggi terhadap tertuduh iaitu RM15,000 bagi setiap pertuduhan kerana kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    Peguam yang mewakili tertuduh, Mohamad Zahid Ahmad kemudian memohon jaminan yang rendah atas alasan pendapatan anak guamnya terjejas sejak direman bulan lalu dan memerlukan bantuan keluarga untuk menjaminnya.

    “Beliau juga telah hadir hari ini dan menunjukkan kerjasama yang sangat baik.

    “Tertuduh berusia 41 tahun adalah seorang bujang dan turut menanggung keluarga di Rantau, Seremban,” katanya dalam prosiding kes di Seremban, hari ini.

    Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM40,000 bagi kesemua pertuduhan dan tertuduh dilarang menghampiri mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai

    Selain itu, mahkamah menetapkan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada Sabtu pertama setiap bulan dan paspot diserahkan kepada mahkamah.

    Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Disember depan untuk serahan dokumen.

    Sementara itu, PU Azman ketika ditemui selepas membayar duit jaminan pada pukul 2.40 petang tadi mengucapkan terima kasih dan menghargai doa daripada semua pihak.

    “Terima kasih kerana sudi menunggu dan Cikman menghargai doa daripada semua pihak. Alhamdulillah hari ini proses pertuduhan diserahkan kepada peguam,” katanya memetik laporan Kosmo!.

  • Jho Low kenalkan saya pada Najib, bekas pegawai bank beritahu mahkamah

    Jho Low kenalkan saya pada Najib, bekas pegawai bank beritahu mahkamah

    SEORANG bekas pengarah urusan Ambank memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan 1MDB Datuk Seri Najib Razak bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, adalah orang yang memperkenalkannya kepada bekas Perdana Menteri.

    Menurut Cheah Tek Kuang, dia pergi ke rumah Najib di Langgak Duta sekitar Januari 2011 untuk mendapatkan tandatangannya bagi borang permohonan akaun.

    Tek Kuang yang sebelum ini menyatakan menaiki kereta secara konvoi ke rumah Najib, memberitahu mahkamah, dia melihat Low keluar dari salah satu kereta lain sebaik tiba di Langgak Duta.

    “Apabila saya masuk ke dalam rumah, Jho Low memperkenalkan saya kepada Perdana Menteri (ketika itu),” katanya dalam jawapan kepada Pendakwa Raya Ad Hoc Gopal Sri Ram, sambil menambah bahawa Low pergi selepas perkenalan itu.

    Sri Ram: Adakah anda memberitahu mahkamah bahawa anda gementar (bertemu Najib)?

    Cheah: Saya rasa tidak selesa berurusan dengan mana-mana VIP.

    Katanya, dia beredar serta-merta sebaik saja Najib selesai menandatangani borang itu.

    “Saya tidak tahu di mana dia (Low) berada (selepas perkenalan). Saya rasa dia ada di dalam rumah,” katanya ketika ditanya mengenai keberadaan Low ketika dia beredar,” lapor FMT.

    Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

    Pendengaran di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.

  • Pemandu lori mengaku salah pukul adik ipar, didenda RM3,000

    Pemandu lori mengaku salah pukul adik ipar, didenda RM3,000

    SEORANG pemandu lori didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di Melaka hari ini, selepas mengaku bersalah memukul sehingga cedera adik iparnya menggunakan sebatang kayu.

    M. Jagan, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nabiha Mohd. Noor, lapor Sinar Harian.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan ‘soft tissue injury’ terhadap M. R. Livesh, 29, menggunakan sebatang kayu di Plaza Mahkota 11 di Melaka, kira-kira pukul 3.30 petang pada 31 Mei lalu.

    Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu.

    Tertuduh yang diwakili peguam Ishak Kari merayu hukuman ringan dikenakan terhadap anak guamnya kerana tertuduh telah menyesali kesalahan yang dilakukan.

    Selain itu, tertuduh yang bekerja sebagai pemandu polis hanya berpendapatan RM1,500 sebulan dan perlu menyara isteri serta tiga anaknya.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

    Mahkamah menjatuhkan hukuman RM3,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar.

  • Pendengaran semakan kehakiman Najib 19 Oktober

    Pendengaran semakan kehakiman Najib 19 Oktober

    PROSIDING pendengaran bagi permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak mencabar keputusan Jabatan Penjara yang tidak membenarkannya menghadiri persidangan Dewan Rakyat ditetapkan pada 19 Oktober ini.

    Tarikh berkenaan ditetapkan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid ketika prosiding pengurusan kes yang dihadiri peguam Persekutuan (FC), M. Kogilambigai yang bertindak bagi pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) manakala peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili bekas Perdana Menteri itu.

    Kogilambigai berkata, mereka memerlukan masa untuk meneliti permohonan Najib selaku pemohon.

    “Kami memerlukan masa untuk mengkaji penghujahan itu dan kami akan memaklumkan kepada mahkamah sekiranya ada sebarang bantahan.

    “Tidak timbul isu yang mendesak kerana Parlimen telah dibubarkan pada Isnin lalu,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Sementara itu, Muhammad Shafee berkata, keadaan ini agak mendesak kerana Najib mempunyai hak untuk ke Parlimen.

    “Memandangkan pembubaran telah berlaku, ada isu undang-undang yang akan ditentukan oleh mahkamah.

    “Ia termasuk sama ada Najib akan menghadiri sesi penamaan calon atau boleh dicalonkan. Saya mencadangkan permohonan itu didengar pada Jumaat ini,” kata peguam itu.

    Najib kini sedang menjalani hukuman 12 tahun di Penjara Kajang dan didenda RM210 juta atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kuasa dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

    Pada 5 Oktober lalu, media melaporkan, Najib memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Rabu bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara yang tidak membenarkannya untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat bermula Isnin lalu.

    Najib, 69, memfailkan notis itu melalui Tetuan Shafee & Co dengan menamakan kerajaan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Jabatan Penjara sebagai responden pertama hingga ketiga.

  • Guru KAFA mengaku tidak bersalah hempas murid hingga patah kaki

    Guru KAFA mengaku tidak bersalah hempas murid hingga patah kaki

    SEORANG guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Marang, Terengganu hari ini atas pertuduhan mencederakan anak muridnya sehingga patah kaki kanan pada tiga bulan lalu.

    Tertuduh, Ahmad Mursyidin Abdullah, 37, yang berasal dari Bukit Payong di Marang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

    Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mencederakan anak murid lelakinya yang merupakan murid tahun tiga dengan mengangkat dan menghempas mangsa ke atas kerusi kayu sehingga patah kaki kanan, memetik laporan Berita Harian.

    Tertuduh didakwa melakukan perbuatan berkenaan di sebuah sekolah KAFA di Bukit Payung di sini pada pukul 4.15 petang, 6 Julai lalu.

    Ahmad Mursyidin didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

    Pada 14 Julai lalu media melaporkan seorang ibu mahu pembelaan terhadap anak lelakinya berusia sembilan tahun yang didakwa dicederakan tertuduh hingga patah kaki pada 6 Julai lalu.

    Insiden itu didakwa memberi kesan trauma kepada mangsa sebelum ibu bapanya membuat laporan polis pada 8 Julai lalu.

  • Bekas YDP MDKL didakwa terima rasuah RM22,100

    Bekas YDP MDKL didakwa terima rasuah RM22,100

    SEORANG bekas Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas 11 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM22,100, empat tahun lepas.

    Mohamad Zain A Hamid, 48, mengaku tidak bersalah, selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

    Mengikut pertuduhan pertama hingga kelapan, Mohamad Zain didakwa menerima wang tunai berjumlah RM9,000 untuk teman wanitanya, sebagai balasan bagi membantu syarikat-syarikat di bawah seliaan dan pinjaman lesen seorang individu, mendapatkan kerja-kerja inden dan sebut harga di MDKL yang mana tertuduh ketahui ada hubungan dengan kerja rasminya sebagai YDP MDKL.

    Bagi pertuduhan kesembilan hingga ke-11, tertuduh didakwa menerima pembayaran kad kredit miliknya berjumlah RM13,100, daripada individu sama berkaitan perkara serupa.

    Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Taman Mutiara, Cheras dan Ibu Pejabat Maybank, Menara A, Dataran Maybank di sini antara 28 Sept 2018 dan 15 Jun 2020.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Azura membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan, berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Selangor berdekatan sehingga kes selesai.

    Mahkamah menetapkan 26 Okt ini untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi manakala tertuduh diwakili peguam Zamri Idrus. – BERNAMA

  • Najib tidak terima layanan istimewa di Penjara Kajang

    Najib tidak terima layanan istimewa di Penjara Kajang

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak diberi layanan istimewa di Penjara Kajang.

    Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Nordin Muhamad berkata semua kakitangan Jabatan Penjara tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dalam menguruskan banduan.

    “Kami memberikan layanan yang sama kepada setiap banduan dan tidak timbul soal berat sebelah.

    “Najib sedang menjalani hukuman penjara dan perlu mematuhi Akta Penjara 1995,” katanya dalam laporan Astro Awani.

    Nordin dalam laporan itu menjelaskan, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana anggota yang memberi layanan istimewa kepada mana-mana banduan.

    “Kita perlu menghormati kedaulatan undang-undang. Pegawai penjara tidak mempunyai kuasa untuk memberi layanan istimewa.

    “Kami diamanahkan untuk menguatkuasakan undang-undang,” katanya lagi.

    Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas didapati bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

  • Saman fitnah Ismail Sabri, Lokman Adam diarah fail pernyataan pembelaan hari ini

    Saman fitnah Ismail Sabri, Lokman Adam diarah fail pernyataan pembelaan hari ini

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Datuk Lokman Noor Adam menjawab saman yang difailkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadapnya, hari ini.

    Hari ini adalah tarikh akhir untuk Lokman memfailkan pernyataan pembelaan terhadap saman berhubung dakwaan menyiarkan kata-kata fitnah menerusi akaun media sosial.

    Peguam Joshua Tan yang mewakili Ismail Sabri berkata anak guamnya juga perlu memfailkan jawapan terhadap pembelaan itu selewat-lewatnya pada 25 Okt.

    “Mahkamah menetapkan 25 Nov ini untuk pengurusan kes selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Bernama selepas prosiding pengurusan kes hari ini secara dalam talian (e-Review) di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Haleez Hasnan.

    Pada 12 Sept lepas, Ismail Sabri memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi supaya Lokman dengan serta-merta memadamkan kesemua video yang didakwa memfitnahnya di akaun media sosial.

    Permohonan injunksi inter-parte (kedua-dua pihak) akan didengar pada 29 Nov ini.

    Ismail Sabri, 62, selaku plaintif memfailkan saman itu atas kapasiti peribadinya menerusi pada 8 Sept lepas dengan menamakan Lokman, 49, sebagai defendan.

    Dalam pernyataan tuntutan, Ismail Sabri mendakwa Lokman pada 22 Ogos lepas telah membuat kenyataan-kenyataan fitnah terhadap plaintif dalam satu video bertajuk “Bila Presiden UMNO Panggil Tak Datang! Tapi PM Ada Masa Jumpa Mahathir – Lokman Adam”.

    Naib Presiden UMNO itu berkata kenyataan-kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan plaintif dimuat naik menerusi empat akaun media sosial milik defendan iaitu YouTube ‘Lokman Adam’, Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’, Instagram ‘lokmannooradam’ dan TikTok ‘datoklokmanadam’.

    Menurutnya, kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud plaintif telah berjumpa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan merancang atau berniat untuk merancang dengan bekas perdana menteri itu serta parti-parti politik lain yang bertentangan dengan UMNO untuk kekal sebagai perdana menteri dengan membelakangkan dan mengkhianati parti itu.

    Ismail Sabri berkata beliau tidak pernah berjumpa Dr Mahathir dan parti-parti lain dengan membelakangkan atau mengkhianati UMNO untuk terus kekal sebagai perdana menteri.

    Pada 1 Sept 2022, Lokman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan membuat hantaran jelik terhadap kerajaan dan Ismail Sabri.