Category: Mahkamah

  • Kes kurang duti kereta mewah:Tujuh ejen kastam dibebaskan dengan jaminan

    Kes kurang duti kereta mewah:Tujuh ejen kastam dibebaskan dengan jaminan

    TUJUH ejen kastam yang ditahan terbabit sindiket kereta mewah mengurangkan duti secara tidak sah dibebaskan dengan jaminan oleh Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini.

    Mahkamah mengarahkan tiga orang membayar wang jaminan RM5,000 manakala empat lagi perlu membayar wang jaminan RM10,000 setiap seorang.

    Menurut sumber, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiasat kes ini dan perlu menyemak beberapa dokumen yang dirampas dalam operasi itu.

    “Setakat ini sindiket kereta mewah mengurangkan duti secara tidak sah sehingga mengakibatkan ketirisan cukai kerajaan sehingga RM33 juta.

    “SPRM juga sedang mengesan individu lain yang terbabit dalam sindiket ini,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Sumber berkata, kereta mewah itu semuanya datang dari Langkawi, Kedah yang dibawa keluar sebelum dikurangkan duti secara tidak sah.

    “Mereka ini ditahan kerana bersubahat mengemukakan maklumat palsu sedangkan kenderaan mewah itu tidak layak mendapat pengurangan penilaian duti kastam,” ujarnya.

    Antara jenis kenderaan mewah yang terbabit dan dirampas setakat ini adalah jenis McLaren dan Ferrari, namun difahamkan terdapat banyak lagi kenderaan mewah lain.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai, ketika dihubungi mengesahkan tujuh individu terbabit dibebaskan dengan jaminan oleh mahkamah selepas tamat tempoh tahanan reman hari ini.

    Menurutnya, mereka perlu melaporkan diri ke Pejabat SPRM sebulan sekali.

  • Boy Iman, pengurus syarikat akan kemuka representasi gugur pertuduhan

    Boy Iman, pengurus syarikat akan kemuka representasi gugur pertuduhan

    PELAKON dan penerbit Boy Iman serta seorang pengurus syarikat yang didakwa atas pertuduhan menipu seorang wanita berhubung urusan penjualan tapak festival Hooray X Fest Raya, akan mengemukakan representasi bagi menggugurkan pertuduhan itu.

    Peguam Johan Ariff Salim Khan yang mewakili Boy Iman atau nama sebenarnya Noruliman A Rahman, 43, dan Nor Azmi Jantan, 49, memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan memfailkan representasi tersebut kepada pihak pendakwaan dalam masa terdekat.

    “Pihak kami baharu sahaja dilantik dan akan memasukkan representasi untuk kedua-dua anak guam kami. Oleh itu, mohon satu tarikh sebutan ditetapkan oleh mahkamah,” katanya ketika sebutan kes di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim, yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Noraisyah Mohamed Zanyuin.

    Sementara itu, peguam Muhamad Izhar Azmi mewakili Norazah Sahud dan Norzana Rapie @ Rafie, masing-masing berusia 51 tahun, yang turut berdepan pertuduhan sama, berkata pihaknya mengemukakan representasi kepada pendakwaan pada 13 Julai lepas berkaitan pertuduhan itu.

    Mahkamah kemudian menetapkan 28 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

    Pada 25 April lepas, Boy Iman dan tiga individu terbabit mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu Siti Wardina Basir dengan memperdayakannya dalam urusan penjualan ‘booth’ atau penyewaan tapak Hooray X Fest Raya di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur, sehingga menyerahkan RM1,500 di WTC pada 2.34 pagi, 19 April lepas.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

  • ‘Saya mahu jumpa emak saya’, kata Ismahalil selepas dibebaskan

    ‘Saya mahu jumpa emak saya’, kata Ismahalil selepas dibebaskan

    BEKAS penyampai radio, Ismahalil Hamzah meluahkan hasrat untuk bertemu dengan ibunya yang sedang sakit selepas dilepaskan dan dibebaskan atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis, hari ini.

    Katanya, niatnya itu menjadi keutamaan apabila dia ingin kembali memikul tanggungjawab untuk menjaga ibu kesayangannya itu selepas hampir dua tahun di dalam penjara.

    Pengasas Bapakku FM itu turut menzahirkan rasa syukur apabila berkesempatan untuk menjadi wali kepada anak sulungnya, Saidatul Nadia, 27, yang akan berkahwin dalam masa terdekat.

    “Mak saya sedang sakit. itu adalah keutamaan saya. Anak saya juga akan menikah (dalam masa terdekat), Alhamdulillah saya dapat menjadi wali.

    “Saya nak balik kampung dan saya mahu jaga ibu saya buat seketika. Saya dah berjanji dengan arwah ayah saya untuk jaga ibu saya,” katanya.

    Ismahalil berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas prosiding keputusan di akhir pembelaan bagi kes pertuduhan yang dihadapi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selesai, tengah hari tadi.

    Menurut Ismahalil, dua tahun di dalam penjara cukup memberi pengajaran terhadapnya apabila menyifatkan kehidupan di penjara seolah-olah ‘mati namun masih bernafas’.

    “Dua tahun ini banyak memberi pengajaran kepada saya. Banyak sangat saya belajar. Terima kasih kepada semua.

    “Bila di dalam penjara sebenarnya kita seperti mati namun masih bernafas. Tiada hubungan luar, tiada apa-apa, seperti kita mati.

    “Namun Alhamdulillah hari ini Allah bagi kita ‘bernafas’ kembali. Pengalaman itu sangat memberikan pengajaran kepada saya,” luahnya.

    Dalam pada itu, lelaki berusia 52 tahun itu memberitahu akan kembali sebagai penyampai radio selepas Bapakku FM ditutup sejak dia ditahan, dua tahun lalu.

    “Insyallah dengan semangat yang ada, saya akan buka kembali radio Bapakku FM. Namun bagi saya masa. Saya akan teruskan kembali sebagai penyampai radio kerana ia merupakan nyawa dan kehidupan saya.

    “Bagi saya waktu untuk berehat. Saya telah berehat dalam ‘mati’ selama dua tahun, bagi saya masa untuk berehat dalam hidup pula buat seketika,” ujarnya, lapor Utusan TV.

    Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan bekas penyampai radio Ismahalil Hamzah daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 374.6 gram, dua tahun lalu.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

    Mengikut kertas pertuduhan,Ismahalil didakwa mengedar kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju pukul 5.35 petang pada 27 Ogos 2021.

    Pendakwaan mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

  • Bekas penyampai radio Ismahalil bebas, terlepas hukuman mati

    Bekas penyampai radio Ismahalil bebas, terlepas hukuman mati

    BEKAS penyampai radio, Ismahalil Hamzah terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membebaskannya daripada satu tuduhan mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 374.6 gram, dua tahun lalu.

    Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas Ismahalil, 50, berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

    Dalam kes ini, pembelaan diwakili peguam, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar dan Adi Zulkarnain Zulkafli sementara pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad.

    Sejurus keputusan diketahui, Ismahalil yang memakai baju T dan berkopiah putih, terperosok ke bawah kerusi di kandang tertuduh, lapor Sinar Harian.

    Pada 6 September 2021, dia didakwa kali pertama di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur atas pertuduhan berkenaan.

    Pada 21 Februari tahun lalu, Ismahalil mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju di sini, pada 5.35 petang, 27 Ogos 2021.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Pada 27 Februari lalu, Ismahalil menangis sambil memandang ke arah isteri dan anak-anaknya, selepas mahkamah memerintahkan dia membela diri atas tuduhan tersebut.

  • Rampas jam ‘tema LGBTQ’, Swatch saman kerajaan

    Rampas jam ‘tema LGBTQ’, Swatch saman kerajaan

    SWATCH Malaysia menfailkan saman di Mahkamah Tinggi untuk mencabar tindakan kerajaan merampas 172 jam tangan termasuk siri ‘Pride Collection’ jenama itu, pada Mei lalu.

    Rampasan dibuat pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) di beberapa kedai Swatch yang dibuat kerana jam tangan terbabit dikatakan mempunyai unsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

    Dalam permohonannya untuk memulakan semakan kehakiman, syarikat itu mendakwa rampasan berkenaan tidak sah kerana aksesori berkenaan bukan ditakrifkan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.

    Menurutnya, berdasarkan akta itu istilah penerbitan terhad untuk dokumen, surat khabar, buku atau sebarang bahan dalam bentuk bercetak.

    “Jam tangan tersebut belum ditakrifkan sebagai penerbitan yang dilarang, oleh itu pegawai tidak mempunyai kuasa untuk memasuki cawangan pemohon (Swatch Malaysia) untuk merampasnya,” katanya memetik laporan FMT.

    Swatch Malaysia berkata beberapa model antara 172 jam tangan yang dirampas telah dijual di Malaysia selama lebih setahun dan tiada notis aduan atau aduan mengenainya.

    Syarikat itu berkata, peguamnya pada bulan lalu juga telah memohon KDN memulangkan jam dirampas, namun sehingga kini agensi itu belum berbuat demikian.

    Menurut notis itu, pemohon juga menyifatkan tindakan itu bermotifkan politik memadangkan PRN bakal diadakan tidak lama lagi.

    Susulan itu, Swatch menuntut jam tangan itu dikembalikan semula dan ganti rugi yang dianggarkan RM64,795.

    Hakim Amarjeet Singh akan mendengar permohonan semakan kehakiman itu pada 20 Julai.

  • Warga emas, anak mengaku tak salah rogol remaja 15 tahun dalam kereta

    Warga emas, anak mengaku tak salah rogol remaja 15 tahun dalam kereta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki warga emas dan anaknya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Muar hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja dalam kereta di Kluang, enam tahun lalu.

    Mohd. Hashim Saidin, 77, yang berkerusi roda dan anaknya berusia 21 tahun (yang ketika kejadian berusia 16 tahun) membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

    Dua beranak tersebut kemudian dibawa ke lokap selepas masing-masing gagal membayar ikat jamin sebanyak RM12,000 dan RM15,000.

    Mengikut kertas pertuduhan, anak tertuduh yang bekerja sebagai penghantar barang terlebih dahulu merogol seorang remaja perempuan yang ketika itu berusia 15 tahun di Jalan Kinabalu, Kluang pada pukul 5.15 petang, 25 Mei 2017.

    Selepas itu, giliran Mohd. Hashim melakukan perbuatan terkutuk terhadap mangsa sama di kawasan lapang dekat Kampung Abdul Rahman Yasin, Kluang pada PUKUL 6 petang dengan kejadian berlaku dalam kereta dan hari sama.

    Berikutan itu, dua beranak didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan 10 kali.

    Mahkamah kemudian menetapkan 9 Ogos ini sebutan kes dan serahan dokumen.

    Di mahkamah sama, seorang pekerja kedai langsir mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan merogol, persetubuhan luar tabii serta amang seksual fizikal terhadap seorang remaja Orang Kurang Upaya (OKU) lembam, minggu lalu.

    Tertuduh, Amirul Shaqirin Sazali, 27, membuat pengakuan itu sebaik ketiga-tiga pertuduhan dibaca di hadapan Abu Bakar.

    Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, dia didakwa merogol, meliwat, dan amang seksual fizikal terhadap remaja berusia 13 tahun dalam sebuah kereta pada pukul 8 malam, 8 Julai lalu.

    Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3), Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    Mahkamah kemudian menetapkan 24 Julai ini untuk menjatuhkan hukuman serta tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Lelaki mengaku 30 pertuduhan rogol, cabul dua anak anak kandungnya

    Lelaki mengaku 30 pertuduhan rogol, cabul dua anak anak kandungnya

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pekerja pembersihan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar, hari ini atas 30 pertuduhan merogol dan amang seksual fizikal terhadap dua anak kandungnya sejak 2017.

    Tertuduh, 53, mengaku bersalah selepas semua pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

    Lelaki terbabit berhadapan dengan 19 pertuduhan rogol dan 11 amang seksual fizikal terhadap dua anak kandung berusia 12 dan 16 tahun dengan seorang daripada mereka disahkan hamil.

    Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu sejak 2017 ketika salah seorang mangsa berusia 10 tahun dengan kejadian terakhir berlaku pada 4 Julai lalu membabitkan dua lokasi berasingan di Jeram dan Bakri.

    Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan 10 kali sebatan.

    Bagi Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

    Mengikut fakta kes, perbuatan jijik tertuduh terbongkar apabila mangsa, 16, mengadu sakit dada sebelum menjalani pemeriksaan di hospital namun doktor merawatnya mendapati dia sedang hamil.

    Susulan itu, satu laporan polis dibuat dan tertuduh ditahan Sabtu lalu.

    Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir memohon mahkamah menetapkan satu tarikh bagi membolehkan pihaknya melengkapkan fakta kes serta tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam itu.

    Mahkamah kemudian menetapkan 8 Ogos depan untuk menjatuhkan hukuman serta memerintahkan supaya tiada jaminan diberikan.

  • Saman fitnah Tun M, Zahid mungkin tak selesai luar mahkamah

    Saman fitnah Tun M, Zahid mungkin tak selesai luar mahkamah

    DUA kes saman fitnah membabitkan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan DatuK Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkemungkinan akan dibicarakan hujung tahun ini memandangkan peluang untuk kedua-dua pihak menyelesaikan kes di luar mahkamah dilihat tipis.

    Peguam mewakili Mahathir, Mior Nor Haidir Suhaimi berkata, buat masa ini, tiada tanda-tanda menunjukkan kes-kes itu akan dapat diselesaikan tanpa pertikaian.

    “Oleh itu, tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan lebih awal akan dikekalkan,” katanya kepada pemberita selepas sidang pengurusan kes dalam talian di hadapan Hakim Rozana Ali Yusoff hari ini, lapor FMT.

    Mior berkata, hakim meminta pihak-pihak untuk memaklumkan kepada mahkamah sekiranya terdapat perkembangan sebelum perbicaraan bermula.

    Sharul Fazli Kamarulzaman dan Intan Hanis Afiqah Razali tampil selaku peguam bagi pihak Zahid.

    Pada 14 April, mahkamah mencadangkan agar Mahathir dan Zahid meneroka kebarangkalian dua saman fitnah antara mereka diselesaikan, berbanding menjalani perbicaraan.

    Mahkamah sebelum ini menetapkan perbicaraan empat hari bermula 11 Sept untuk mendengar saman Mahathir terhadap Zahid berhubung dakwaan Zahid menggunakan nama ‘Kutty’ dengan tujuan menghina untuk merujuk kepada Mahathir.

    Dalam pernyataan tuntutannya, Mahathir mendakwa Zahid memfitnahnya semasa mesyuarat bahagian UMNO di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

    Beliau mendakwa kenyataan itu bertujuan membayangkan bahawa beliau tidak dilahirkan sebagai orang Melayu atau Islam, dan bahawa nama asalnya ialah ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’.

    Dalam pembelaannya, Zahid berkata, nama itu merujuk kepada seorang individu berdasarkan maklumat daripada sekeping salinan lama kad pengenalan.

    Zahid juga berkata, beliau tiada kawalan ke atas penerbitan semula kenyataan itu di mana-mana platform media.

    Dalam saman kedua, Zahid menyaman Mahathir berhubung kenyataan bekas Perdana Menteri itu bahawa Zahid meminta bantuannya agar tuduhan rasuah terhadapnya ‘digugurkan’.

    Mahkamah Tinggi menetapkan perbicaraan empat hari untuk saman itu bermula 6 November.

    Pada sidang akhbar 23 Feb 2022, Mahathir mendakwa Zahid dan beberapa individu lain berjumpa dengannya di rumahnya sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke (PRU14) pada 2018.

    Mahathir didakwa berkata, Zahid mahu ‘berbaik-baik’ dengannya sebelum beliau menjadi Perdana Menteri buat kali kedua pada Mei 2018.

    Zahid mendakwa kata-kata Mahathir itu tidak benar, tidak wajar, tidak berasas dan berniat jahat.

    Mahathir, dalam pembelaannya, tetap dengan kenyataannya dan berkata, beliau akan melawan saman itu.

    Kedua-dua saman itu dijadualkan didengar di hadapan Rozana.

  • Adam Radlan perlu lapor diri di SPRM setiap awal bulan

    Adam Radlan perlu lapor diri di SPRM setiap awal bulan

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini mengingatkan Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, supaya melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), antara 1 dan 7 haribulan setiap bulan.

    Hakim Azura Alwi memutuskan demikian, selepas pihak pendakwaan kes rasuah projek di bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) memberitahu bahawa pemimpin politik itu gagal melaporkan diri di Pejabat SPRM setiap awal bulan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Maziah Mohaide berkata, perkara itu merupakan syarat tambahan yang ditetapkan mahkamah bagi permohonan ikat jamin ahli perniagaan berkenaan.

    “Mohon mahkamah memberi peringatan kepadanya supaya mematuhi syarat tambahan yang dikeluarkan.

    “Kami memohon, supaya mahkamah menyatakan masa yang spesifik, merujuk kepada tarikh setiap awal bulan yang ditetapkan sebelum ini,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Selain Maziah, pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh dan Natrah Fareha Rahmat.

    Dalam pada itu, ketika sebutan kes di dua mahkamah berasingan, pendakwaan memberitahu bahawa, semua dokumen yang diperlukan untuk perbicaraan telah diserahkan kepada pihak Adam Radlan.

    Semasa prosiding di hadapan Hakim Azura dan Suzana Hussin, pendakwaan memaklumkan bahawa, hanya senarai saksi belum diserahkan kepada pihak pembelaan.

    Pembelaan yang diwakili peguam, Datuk Seri Rajan Navaratnam, kemudiannya mengesahkan perkara tersebut.

    Kedua-dua mahkamah menetapkan 14 September depan bagi sebutan kes seterusnya untuk status penyerahan senarai saksi pendakwaan kepada pihak pembelaan.

    Pada 21 Februari lalu, ahli perniagaan itu dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas satu pertuduhan meminta suapan iaitu wang tunai sejumlah 3.5 hingga tujuh peratus nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh Mamat yang merupakan Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.

    Beliau turut didakwa atas satu lagi pertuduhan menerima suapan, RM500,000 ke akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada individu sama sebagai upah kerana membantu syarikat tersebut mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

    Keesokan hari, beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas dua pertuduhan menerima rasuah masing-masing RM2 juta dan RM2.1 juta berhubung projek Jana Wibawa.

    Pada 28 Februari, dia dituduh atas pertuduhan kelima di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meminta rasuah RM2 juta, tahun lalu.

  • Nelayan, pemandu bas kilang dituduh pukul anjing hingga mati

    Nelayan, pemandu bas kilang dituduh pukul anjing hingga mati

    SEORANG nelayan dan pemandu bas kilang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan memukul seekor anjing dengan kayu dalam kejadian minggu lalu.

    Bagaimanapun, tertuduh, Rosli Mat Zin, 53, dan Suhaili Haron, 49, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka itu dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab. Karim.

    Mengikut kertas pertuduhan, Rosli yang bekerja sebagai nelayan dan Suhaili yang merupakan pemandu bas kilang didakwa memukul seekor anjing yang berada di dalam longkang di Kampung Teluk Tempoyak, Batung Maung, dekat George Town kira-kira pukul 8.30 malam, 8 Julai lalu.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 29 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Dalam pada itu, Jin Hong memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan yang tinggi bagi memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah beserta dengan syarat tambahan.

    Hakim Mohammad Khalid kemudiannya menawarkan jaminan sebanyak RM1,000 seorang selain memerintahkan tertuduh mendapatkan khidmat peguam serta syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan sehingga kes selesai.

    Mahkamah turut menetapkan 16 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Difahamkan, kedua-dua tertuduh membayar wang jaminan yang dikenakan terhadap mereka hari ini.

    Sebelum ini, polis mengesahkan menahan tiga lelaki warga tempatan selepas disyaki menyeksa dan menzalimi seekor anjing sehingga mati menggunakan sebatang kayu.

    Ia susulan video kejadian itu yang tular di laman sosial Twitter yang memaparkan aksi beberapa individu memukul anjing dipercayai di dalam longkang.