Category: Mahkamah

  • Hina Islam: Kelindan lori didenda RM12,000

    Hina Islam: Kelindan lori didenda RM12,000

    SEORANG kelindan lori didenda RM12,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membuat hantaran menghina agama Islam di laman sosial Facebook, dua tahun lepas.

    Hakim Nor Hasniah Ab Razak menjatuhkan hukuman itu selepas Tham Wai Yuen, 49, selaku Orang Kena Saman (OKS) menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan kes itu hari ini.

    Lelaki itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan hantaran komunikasi yang bersifat jelik dan menghina agama Islam pada ruangan komen menggunakan akaun Facebook miliknya ‘Tham Thamsarak’, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 2.30 petang, 4 April 2020.

    Hantaran itu telah dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ, di Kuala Lumpur pada 5 petang, 20 April 2020.

    Tham didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

    Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Norazman memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS dan masyarakat, mengambil kira komen bersifat jelik yang dibuat oleh lelaki itu.

    Peguam Zaid Abd Malek yang mewakili Tham memohon denda minimum atas alasan anak guamnya bekerja sebagai kelindan lori selain mempunyai penyakit darah tinggi.

  • Warga emas dipenjara palsu dokumen: Hakim nasihat bertaubat

    Warga emas dipenjara palsu dokumen: Hakim nasihat bertaubat

    HAKIM Mahkamah Sesyen Shah Alam menasihati seorang warga emas supaya bertaubat dan insaf atas kesalahan memalsukan dokumen pindah milik tanah termasuk menggunakan cap jari orang yang telah meninggal dunia.

    “Kamu bukan muda lagi, saya harap kamu insaf dan tidak melakukan kesalahan sama. Paling menyedihkan, apabila kamu sendiri tahu pemilik tanah itu sudah meninggal dunia, tapi kamu bertindak sehingga menyebabkan tanah itu dipindah milik kepada orang lain.

    “Sebagai seorang Muslim, kita akan diadili di akhirat dengan lebih tepat. Bertaubatlah sementara hidup. Pengadilan di akhirat adalah lebih berat,” kata Hakim Rozilah Salleh sebelum menjatuhkan hukuman ke atas Ibrahim Mahidin, 61.

    Ibrahim dituduh atas empat pertuduhan pemalsuan dokumen pindah milik tanah termasuk menggunakan cap jari orang yang telah meninggal, sekitar 2015 dan 2016.

    Rozilah menjatuhkan hukuman penjara satu tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman tersebut berjalan serentak bermula hari ini.

    Mengikut pertuduhan, Ibrahim secara tidak jujur menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu dokumen perjanjian jual beli dan dokumen kuasa wakil antara Che’ Nah Arshad yang telah meninggal dunia serta Mhd Kaim Tukimon, 70, masing-masing bertarikh 26 dan 27 Nov 2015, yang diketahui dokumen palsu semasa diserahkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor.

    Bekas penulis surat dan urusan tanah itu juga secara tidak jujur menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu dokumen maklumat pindah milik dan gadaian melibatkan dua individu sama, serta dokumen surat akuan penama Che’ Nah Arshad yang diketahui dokumen palsu, semasa diserahkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor. 

    Ibrahim didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Unit Pendaftaran Tanah, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor pada 2 Dis 2015 dan 24 Nov 2016 mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Pada 12 Mei lepas Ibrahim mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan itu, namun menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan kes hari ini.

    Pendakwaan diikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor Mohd Aliff Shaharuzaman, manakala tertuduh diwakili peguam Idris Zaidel. 

  • Pegawai bank mengaku salah lacurkan isteri

    Pegawai bank mengaku salah lacurkan isteri

    SEORANG pegawai bank mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan memperdagangkan isterinya di sebuah hotel di Kuala Pilah bulan lalu.

    Tertuduh yang berusia 35 tahun itu membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

    Berdasarkan pertuduhan tertuduh pada 30 Oktober lalu lebih kurang jam 1.30 petang di sebuah hotel di Kuala Pilah telah memperdagangkan isterinya berumur 35 tahun yang bukan merupakan seorang kanak-kanak bagi maksud eksploitasi seks.

    Dengan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

    Sinar Harian melaporkan, kesalahan itu membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah seterusnya menetapkan tiada jaminan diberikan terhadap tertuduh dan mengeluarkan perintah identiti mangsa tidak didedahkan di mana-mana media dan berita.

    Sementara itu, di kamar mahkamah berasingan, tertuduh mengaku salah di atas pertuduhan hidup sepenuhnya atau sebahagiannya daripada hasil persundalan isterinya sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

    Perbuatan itu dilakukan pada 30 Oktober lalu lebih kurang jam 1.30 petang di sebuah hotel di Kuala Pilah.

    Oleh demikian tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 372A(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tempoh 15 tahun dan dengan sebatan dan hendaklah juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Abu Hassan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan 21 November ini sebagai tarikh untuk hukuman bagi kedua-dua pertuduhan.

  • Rogol anak tiri: Mahkamah Rayuan kekal hukuman penjara 15 tahun

    Rogol anak tiri: Mahkamah Rayuan kekal hukuman penjara 15 tahun

    MAHKAMAH Rayuan di Putrajaya hari ini mengekalkan hukuman penjara 15 tahun ke atas seorang lelaki berusia 60 tahun kerana merogol anak tiri perempuannya pada 2017.

    Ini selepas warga emas itu, seorang pemandu buggy yang telah bersara, gagal dalam rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara.

    Panel tiga hakim yang bersidang terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat, Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Nordin Hassan juga memerintahkan lelaki itu dikenakan dua sebatan.

    Dalam keputusan mahkamah itu, Hakim Has Zanah berkata hakim Mahkamah Sesyen tidak melakukan kekhilafan ketika mensabitkan lelaki itu bagi kesalahan merogol yang disahkan oleh Mahkamah Tinggi.

    “Hukuman penjara 15 tahun bagi kesalahan rogol, berdasarkan fakta kes adalah wajar,” kata hakim ketika menolak rayuan lelaki itu terhadap sabitan dan hukumannya.

    Beliau bagaimanapun berkata Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang mengenakan hukuman sebat terhadap lelaki itu kerana Seksyen 289 Kanun Prosedur Jenayah membenarkan hukuman sebat dikenakan ke atas pesalah walaupun tertuduh berumur lebih 50 tahun bagi kesalahan rogol.

    Lelaki itu didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 12 Nov 2019  dan dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan lima sebatan rotan kerana merogol anak tirinya yang ketika itu mangsa berusia 17 tahun di sebuah rumah di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor pada Oktober 2017.

    Dia juga diperintah menjalani kaunseling pemulihan selama tiga tahun dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.

    Pada 5 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak rayuannya terhadap sabitan tetapi mengurangkan hukuman penjara daripada 18 tahun kepada 15 tahun dan mengetepikan hukuman lima sebatan rotan.

    Peguam Hamdan Hamzah mewakili lelaki warga emas itu manakala Timbalan Pendakwa Raya Aznee Salmie Ahmad hadir bagi pihak pendakwaan.

  • Datuk Seri Vida mengaku tak bersalah

    Datuk Seri Vida mengaku tak bersalah

    AHLI perniagaan terkenal, Datuk Seri Hasmiza Othman mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, hari ini, terhadap satu pertuduhan memuat naik komunikasi bersifat sumbang pada Mei lalu, membabitkan video muzik Muah Muah Raya.

    Beliau yang lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida atau DSV, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

    Vida, 51, didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang bersifat sumbang dengan niat menyakitkan hati orang lain, pada 29 April lalu melalui akaun YouTube DSV Entertainment.

    Video berkenaan kemudian dilihat di di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Cyberjaya pada 5 Mei lalu.

    Jika sabit kesalahan, Vida selaku Orang Kena Saman (OKS) boleh dihukum denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, lapor Harian Metro.

    Timbalan Pendakwa Raya SKMM Fazril Sani Mohamed Fadzil, mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000. Bagaimanapun, peguam yang mewakili Vida, Datuk Adnan Seman, memohon jaminan diturunkan ke RM2,000 dengan alasan ia kesalahan pertama OKS.

    Ahmad Fuad kemudian mengarahkan Vida membayar jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

    Beliau kemudian menetapkan 7 Disember ini sebagai tarikh sebutan untuk serahan dokumen.

  • Jho Low mahu surat putera Arab dirahsiakan-Bekas pegawai bank

    Jho Low mahu surat putera Arab dirahsiakan-Bekas pegawai bank

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low mahu empat pucuk surat daripada seorang putera Arab Saudi yang kononnya menjanjikan sumbangan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dirahsiakan daripada pengetahuan umum.

    Joanna Yu Ging Ping, 51, bekas pengurus perhubungan di AmBank mengesahkan perkara itu apabila ditunjukkan transkrip mesej Blackberry Messenger (BBM) bertarikh 23 Jun 2014 oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram semasa perbicaraann kes rasuah dan pengubahan wang haram bekas perdana menteri itu melibatkan RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Berdasarkan perbualan itu, ia menunjukkan Jho Low kononnya memberitahunya bahawa Najib telah mengarahkan ‘surat hadiah’ daripada Putera Faisal Turki Al Saud tidak boleh didedahkan kepada orang ramai.

    Ketika ditanya Sri Ram mengenai apa yang beliau fahami daripada mesej itu, Yu berkata surat tersebut untuk mengesahkan bahawa dana yang masuk ke dalam akaun Najib adalah hasil daripada sumbangan dari Arab.

    Sri Ram: Apakah tujuan mesej itu?

    Yu: Bahawa ia sepatutnya dianggap sebagai sulit.

    Saksi itu berkata setiap kali akaun bank Najib terlebih pengeluaran, beliau akan memaklumkan sama ada kepada Nik Faisal Ariff Kamil (pemegang mandat) atau Jho Low supaya cek yang dikeluarkan Najib tidak dtolak kerana kekurangan wang dalam akaun.

    Beliau berkata seorang individu yang dikenali sebagai Kee Kok Thiam kemudiannya akan memasukkan wang ke dalam akaun Najib yang kadangkala berjumlah ratusan ribu bagi memastikan cek boleh digunakan.

    Apabila ditanya sama ada bank akan menolak cek dalam keadaan sedemikian, Yu menjawab: “Ini akaun Perdana Menteri, jadi kami akan usaha mendapatkan dana supaya nampak elok,”.

    Beliau berkata Najib adalah penandatangan tunggal untuk cek dari akaunnya, dan Nik Faisal tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan cek itu bagi pihak Najib.

    Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung.

  • Lokman Adam fail tuntutan balas terhadap Ismail Sabri

    Lokman Adam fail tuntutan balas terhadap Ismail Sabri

    SELEPAS disaman Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas dakwaan menyiarkan kata-kata fitnah menerusi akaun media sosial, Datuk Lokman Noor Adam pula memfailkan tuntutan balas terhadap perdana menteri itu.

    Lokman, 49, yang memfailkan tuntutan balas itu pada 11 Okt lepas, mendakwa beliau telah memadam kesemua video yang didakwa memfitnah Ismail Sabri di akaun media sosialnya, seperti diarahkan oleh mahkamah sebelum ini.

    Dakwa Lokman, beliau telah mengalami kerugian dari segi pendapatan yang sepatutnya boleh dijana sekiranya penerbitan video tersebut terus berada di saluran media sosial berkenaan, dan beliau menuntut ganti rugi am, faedah serta kos.

    Pada 12 Sept lepas, Ismail Sabri memperoleh perintah injunksi sementara daripada mahkamah supaya Lokman dengan serta-merta memadamkan kesemua video yang dimuat naik di akaun Youtube, Facebook, Instagram dam TikTok miliknya.

    Permohonan injunksi inter-parte (kedua-dua pihak) akan didengar pada 29 Nov ini.

    Sementara itu, Lokman menerusi pernyataan pembelaannya yang difailkan pada tarikh sama (11 Okt), menafikan video berkenaan memfitnah Ismail Sabri, dan bukan diterbitkan dengan berniat jahat.

    Ismail Sabri selaku plaintif dalam jawapan kepada pembelaan yang difailkan pada 25 Okt lepas, mendakwa kenyataan fitnah itu dibuat oleh defendan (Lokman) sebelum Pilihan Raya Umum, bertujuan untuk merosakkan karier politiknya selain plaintif memohon supaya tuntutan balas defendan ditolak oleh mahkamah.

    Pada 8 Sept lepas, Ismail Sabri, 62, selaku plaintif menyaman Lokman, 49, selepas mendakwa defendan pada 22 Ogos lepas telah membuat kenyataan-kenyataan fitnah terhadap plaintif, dalam satu video bertajuk ‘Bila Presiden UMNO Panggil Tak Datang! Tapi PM Ada Masa Jumpa Mahathir – Lokman Adam’.

    Menurut Ismail Sabri dalam pernyataan tuntutan itu, kata-kata fitnah tersebut antara lain membawa maksud plaintif telah berjumpa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan merancang atau berniat untuk merancang dengan bekas perdana menteri itu serta parti-parti politik lain yang bertentangan dengan UMNO, untuk kekal sebagai perdana menteri dengan membelakangkan dan mengkhianati parti itu.

    Naib Presiden UMNO itu berkata beliau tidak pernah berjumpa Dr Mahathir dan parti-parti lain dengan membelakangkan atau mengkhianati UMNO, untuk terus kekal sebagai perdana menteri.

    Pada 1 Sept 2022, Lokman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan membuat hantaran jelik terhadap kerajaan dan Ismail Sabri.

  • Bekas isteri MB Perli tuntut muataah,nafkah RM15.34 juta

    Bekas isteri MB Perli tuntut muataah,nafkah RM15.34 juta

    BEKAS isteri Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man hari ini memfailkan tuntutan mutaah dan nafkah tertunggak berjumlah RM15.34 juta di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam selepas mendakwa diceraikan tanpa sebab, April lalu.

    Menurut kenyataan diperoleh pihak media, Sova Ali, seorang warga Indonesia, menuntut mutaah RM15 juta daripada Azlan, yang juga calon Barisan Nasional bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Bintong kerana mendakwa telah diceraikan tanpa sebab dan tanpa kebenaran mahkamah.

    Sova turut mengemukakan tuntutan nafkah tertunggak berjumlah RM344,250 atas dakwaan beliau tidak diberikan nafkah semasa dalam tempoh perkahwinan mereka.

    Beliau juga akan memfailkan tuntutan harta sepencarian bagi memperoleh pelbagai aset yang dimiliki dalam tempoh perkahwinan mereka di Selangor, Perlis dan luar negara selain tuntutan nafkah idah yang jumlahnya akan ditentukan kemudian.

    “Kedua-dua kes (tuntutan) ini telah ditetapkan untuk Majlis Sulh di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 15 Disember ini,” menurut kenyataan itu.

    Peguam Syarie Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, yang mewakili Sova, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Rashidah Sapingi @ Shafie membenarkan pihaknya menyerahkan saman dan penyata tuntutan di luar Selangor iaitu di Perlis.

    Pada 25 Ogos lalu, pasangan itu disahkan bercerai oleh Hakim Syarie Abdullah Zuhdee Ab Halim dengan talak satu pada prosiding yang berlangsung secara tertutup di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat.

    Abdullah Zuhdee mengesahkan lafaz cerai mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 selepas berpuas hati dengan keterangan kedua-dua pihak berhubung perceraian yang dilafazkan oleh Azlan di Jakarta, Indonesia pada 23 April lalu.

    Azlan, 63, dan Sova, 40, berkahwin pada 21 Mac 2010 di Perlis namun tidak dikurniakan cahaya mata. – BERNAMA

  • Keputusan representasi Yasin tangguh 15 Disember

    Keputusan representasi Yasin tangguh 15 Disember

    MAHKAMAH Sesyen hari ini menangguhkan keputusan representasi bagi mengkaji tiga pertuduhan kes dadah dihadapi penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman, ke 15 Disember ini.

    Hakim Jamaludin Mat menetapkan tarikh baharu itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan masih memerlukan masa untuk membuat keputusan berkenaan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asnawi Abu Hanipah, berkata pihaknya masih mempertimbangkan representasi yang dikemukakan oleh pihak pembelaan Muhammad Yasin.

    “Sebutan kes hari ini ditetapkan bagi keputusan representasi. Saya ingin maklumkan representasi diterima dan sedang dalam pertimbangan.

    “Kami belum ada jawapan dan meminta tarikh sebutan berhubung keputusan representasi berkenaan. Pihak-pihak bersetuju tarikh sebutan akan datang pada 15 Disember,” katanya.

    Susulan itu, peguam bela penyanyi itu, Ariff Azami Hussein, berkata pihaknya sedia maklum representasi perlu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara yang memerlukan sedikit masa untuk membuat keputusan.

    “Namun, kami harap keputusan itu dapat diputuskan pada tarikh akan datang dan cadangkan tempoh sebulan dari sekarang,” katanya memetik laporan Berita Harian.

    Dalam prosiding 4 Oktober lalu, Ariff Azami memaklumkan representasi termasuk laporan perubatan yang komprehensif difailkan pada 26 September lalu.

    Sebelum ini, mahkamah menetapkan perbicaraan selama 15 hari bermula 6 Mac tahun depan.

    Penyanyi lagu Mimpi Laila itu didakwa memberikan dirinya dadah jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di pejabat narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada jam 11.05 malam, 24 Mac lalu.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

    Muhammad Yasin juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah dan daripadanya kanabis di kediamannya di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di Petaling Jaya, pukul 5.30 petang, pada 24 Mac lalu.

    Pertuduhan memiliki dadah adalah mengikut Seksyen 6 Akta ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan menanam pokok kanabis, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B (3) akta sama, yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan.

  • Perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid ditangguh tahun depan

    Perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid ditangguh tahun depan

    PERBICARAAN kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) ditangguhkan ke Januari tahun depan sementara menunggu rayuan berhubung keputusan kenyataan saksi.

    Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah melapangkan tarikh pendengaran itu hari ini dan esok serta 9 dan 10 Nov selepas peguam utama Ahmad Zahid, Datuk Hisyam Teh Poh Teik memohon untuk menangguhkan perbicaraan itu.

    Hakim menetapkan 21 hari untuk perbicaraan iaitu 16-19 Jan, 30-31 Jan, 7-9 Feb, 27-30 Mac, 10-13 April dan 15-18 Mei.

    Terdahulu, Hisyam berkata pihak pembelaan memohon untuk menangguhkan perbicaraan itu sementara menunggu keputusan rayuan Ahmad Zahid terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan keterangan rekod 15 saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Beliau berkata rayuan itu dijadual didengar pada 14 Nov di Mahkamah Rayuan.

    “Apa sahaja keputusan Mahkamah Rayuan, ini akan membantu pihak pembelaan menentukan saksi-saksi yang kami panggil di hadapan Yang Arif.

    “Terdapat beberapa saksi yang ditawarkan oleh pihak pembelaan yang akan kami tumpukan tetapi kami memerlukan panduan daripada Mahkamah Rayuan sama ada kami boleh mendapatkan kenyataan mereka atau sebaliknya, jadi kami dalam dilema. Atas nama keadilan, kami meminta mahkamah menunggu keputusan pada 14 Nov,” kata peguam itu.

    Beliau juga berkata seorang saksi dari Bagan Datuk yang sepatutnya memberi keterangan hari ini tidak sihat dan pihak pembelaan tidak mempunyai saksi lain untuk dipanggil buat masa ini.

    Setakat ini pihak pembelaan telah memanggil enam saksi termasuk Ahmad Zahid pada perbicaraan kes bela dirinya.

    Ahmad Zahid, 69, menghadapi 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik YAB. – BERNAMA