Category: Mahkamah

  • Rogol anak hingga bersalin, bapa durjana dipenjara 218 tahun dengan 75 sebatan

    Rogol anak hingga bersalin, bapa durjana dipenjara 218 tahun dengan 75 sebatan

    “KAMU tak terfikir ke masa depan dia sebelum buat? Ini anak menjadi tanggungjawab dan amanah pada kamu sebagai ayah.

    “Anak-anak adalah rezeki, malah ada orang masih belum dapat anak walaupun macam-macam buat termasuk jumpa doktor,” itulah teguran Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat sebelum menjatuhkan hukuman penjara 218 tahun serta 75 sebatan terhadap seorang bapa selepas mengaku bersalah merogol dan amang seksual anak kandung hingga bersalin, sejak 2020.

    Tertuduh berusia 41 tahun bekerja kampung membuat pengakuan bersalah terhadap kesemua lapan pertuduhan dengan tujuh daripadanya membabitkan kejadian rogol yang bermula ketika anak kandungnya berusia 12 tahun.

    Mengikut fakta kes, kejadian pertama berlaku apabila tertuduh melakukan amang seksual fizikal terhadap anaknya pada waktu malam tahun 2020.

    Selepas itu, tertuduh melakukan perbuatan jijik terhadap mangsa pada Oktober tahun sama dengan merogolnya dan kejadian terakhir berlaku pada jam 8 pagi, 5 Jun lalu.

    Mangsa yang baru melahirkan anak lelaki minggu lalu dalam laporannya, memberitahu tertuduh turut memanjat bilik selepas mangsa menukar kunci bagi mengelak dirogol namun gagal.

    Kejadian terbongkar selepas sesi pemeriksaan kesihatan dijalankan di sekolah mangsa dan mendapati berlaku perubahan fizikal pada tubuhnya.

    Mangsa ketika itu tidak mengetahui dia mengandung sebelum membuat laporan polis terhadap tertuduh.

    Tertuduh pertama kali didakwa pada 14 Jun dan mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan. Semua kejadian berlaku di sebuah rumah di Semerah, dekat Muar.

    Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan juga sebatan.

    Dia juga didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan juga 10 kali sebatan.

    Sebaik mendengar hujahan pihak pendakwaan serta rayuan tertuduh, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan serta tambahan tiga tahun dan dua sebatan untuk kesalahan amang seksual fizikal.

    Bagi kesalahan merogol pula, mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum iaitu 30 tahun penjara dan 10 kali sebatan untuk setiap pertuduhan.

    Bagaimanapun, bagi hukuman amang seksual fizikal, mahkamah mengarahkan kedua-duanya dijalankan secara berasingan manakala kesalahan merogol berjalan serentak dengan semua hukuman bermula dari tarikh ditahan 8 Jun lalu.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam, lapor Berita Harian.

    Terdahulu, Danial meminta mahkamah mempertimbangkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kelakuan tertuduh terhadap anak kandung yang masih mentah ketika kejadian serta tidak pernah menyesal malah mengulangi kesalahan hingga ditangkap.

  • Pelajar tingkatan 2 didakwa bunuh adik

    Pelajar tingkatan 2 didakwa bunuh adik

    SEORANG pelajar Tingkatan Dua didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas tuduhan membunuh adiknya di rumah mereka di Kampung Bukit Piatu, Melaka awal bulan ini.

    Tertuduh yang memakai baju-t biru dan berseluar sukan hanya menunduk dan kelihatan tidak memahami sejurus dibacakan pertuduhan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman dengan kehadiran ibu bapanya.

    Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada juvana berusia 14 itu.

    Mengikut pertuduhan dia didakwa menyebabkan kematian adiknya berusia sembilan tahun, di sebuah rumah di Jalan Bukit Piatu, Kampung Bukit Piatu, Melaka, pada 5 Julai lalu, antara jam 11.30 pagi hingga 12.35 tengah hari.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan jika disabitkan membawa hukuman mati.

    Pendakwaan kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dihantar menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Johor Bahru, Johor.

    Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 22 Ogos depan lapor BH.

  • Lelaki didakwa bunuh, kekasih tidak mengaku abai anak

    Lelaki didakwa bunuh, kekasih tidak mengaku abai anak

    SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan membunuh anak teman wanitanya yang berusia tiga tahun, pada awal bulan ini.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Muhammad Firman Hakimie Abdul Rahman, 25, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap kanak-kanak lelaki itu antara pukul 5.30 pagi hingga 6.30 pagi, pada 6 Julai lalu.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Paya Emas, Cheng, menurut Sinar Harian.

    Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar, manakala Peguam Datuk Hanif Hassan mewakili tertuduh memberitahu pihaknya akan mengeluarkan satu surat permohonan kepada pihak pendakwaan di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah supaya tertuduh dihantar untuk pemeriksaan mental.

    Tambah Hanif, tertuduh memaklumkan dia telah dipukul termasuk ditampar oleh anggota polis ketika dalam tahanan.

    Mahkamah menetapkan 23 Ogos depan sebagai sebutan semula kes dan juga menasihati pihak pembelaan membuat laporan polis berhubung dakwaan pukul oleh anggota polis.

    Dalam pada itu, ibu kandung kanak-kanak malang itu turut didakwa di Mahkamah Sesyen di Melaka atas tuduhan melakukan pengabaian ke atas mangsa.

    Nurasyiqin Syaqiqah A. Ramlee, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

    Berdasarkan pertuduhan, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan, iaitu ibu kandung kepada kanak-kanak sama telah didapati melakukan pengabaian terhadap mangsa.

    Tertuduh didapati mendedahkan anak kandungnya itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi dengan membenarkannya dianiaya dengan menyerahkannya kepada Muhammad Firman.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat, tarikh, masa dan sama.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

    Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari tidak mencadangkan sebarang jaminan, manakala Peguam Umar Zulkarnain yang mewakili tertuduh merayu jaminan dibenarkan kerana tertuduh menanggung ibu yang tidak sihat bersama kakaknya.

    Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri setiap awal bulan di balai polis dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

    Mahkamah turut menetapkan 23 Ogos sebagai sebutan semula kes.

  • Pertuduhan petanda kerajaan takut, kata Sanusi

    Pertuduhan petanda kerajaan takut, kata Sanusi

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa tindakan undang-undang yang dikenakan ke atasnya menandakan kerajaan hari ini sedang ‘ketakutan’.

    Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Perkatan Nasional (PN) berkata, ketakutan itu berpunca daripada sokongan orang ramai kepada pembangkang sekarang.

    “Ini adalah satu petunjuk atau petanda bahawa mereka sebenarnya sedang ketakutan, dan segala aparatus negara dan agensi awam akan digunakan untuk menyekat perkembangan, kehangatan sokongan rakyat,” katanya ditemui media di luar mahkamah Selayang hari ini.

    Sanusi yang juga anggota Jawatankuasa Pas Pusat hari ini dikenakan dua pertuduhan menghasut di Mahkamah Sesyen Selayang berkaitan dengan kenyataannya dalam sebuah ceramah pada minggu lalu.

    Mengikut kedua-dua pertuduhan, beliau didakwa melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.

    Beliau dituduh melakukan kesalahan berkenaan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara – Kampung Bendahara, Gombak 11 Julai lepas.

    Untuk rekod kenyataan tersebut turut mendapat kemurakaan Sultan Selangor.

    Ekoran kenyataan Sanusi itu juga anggota Dewan Diraja Selangor membuat laporan kepada polis bagi menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas beliau.

    Sultan Selangor sendiri mengakui kes tersebut belum selesai walaupun Sanusi mengutus surat memohon maaf kepada baginda.

    Menurut Sanusi, pendakwaan ke atasnya dibuat bagi menjejaskan peluang dia bertanding dalam pilihan raya negeri pada bulan depan.

    Pun begitu beliau yakin orang ramai memahami langkah berkenaan.

    “Disegerakan pendakwaan hari ini, tiga hari siasatan saja…. Saya diambil (ditangkap) pukul 3 pagi tadi tanpa sebarang notis.

    “Saya hanya mengetahui saya didakwa melalui media dan saya bersedia menghadapi kes ini,” katanya.

    Tambah Sanusi, walaupun sudah memaklumkan kepada beberapa pihak yang beliau akan hadir ke mahkamah pada pagi ini, pihak berkuasa tetap membuat tangkapan.

    Kata Sanusi, beliau ditangkap di sebuah apartmen yang didiaminya di Kuala Lumpur.

    “Saya harap dalam PRN (pilihan raya negeri) akan datang akan dimenangi PN,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Peniaga online mengaku tak bersalah miliki dua keping RM100 palsu

    Peniaga online mengaku tak bersalah miliki dua keping RM100 palsu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG peniaga pakaian ‘online’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kulai hari ini atas tuduhan memiliki dua keping wang kertas RM100 palsu pada awal bulan ini.

    Cheoh Chuan Wang yang berusia 24 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Azureen Sahira Sauffee Afandi.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh bersama-sama seorang suspek yang masih bebas didapati memiliki dua keping RM100 palsu dengan niat hendak menggunakannya sebagai wang tulen.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 4 petang di sebuah stesen minyak di Batu 21, Kulai pada 1 Julai lalu.

    Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.

    Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Eddlyn Wong manakala tertuduh diwakili peguam, Omar Kutty Abd. Aziz.

    Sebelum itu, pihak pendakwaan memohon jaminan tinggi berjumlah RM15,000 dikenakan kerana tertuduh berisiko melarikan diri memandangkan seorang lagi suspek kes tersebut masih bebas.

    Omar Kutty seterusnya menjelaskan bahawa tiada alasan untuk tertuduh untuk melarikan diri selain anak guamnya itu telah memberikan kerjasama yang baik apabila tampil menyerah diri ke balai polis.

    Peguam terbabit memohon jaminan yang rendah kepada tertuduh yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik kerana perlu menanggung ibunya yang berusia 60 tahun dengan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan.

    Mahkamah membenarkan lelaki itu dijamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula.

  • MB Kedah mengaku tak salah terhadap satu lagi tuduhan menghasut

    MB Kedah mengaku tak salah terhadap satu lagi tuduhan menghasut

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang di Kuala Lumpur hari ini, atas satu lagi pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu penubuhan kerajaan perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lalu.

    Bernama melaporkan Sanusi, 48, yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.

    Beliau didakwa telah melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

    Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Kedah itu dituduh melakukan kesalahan terbabit di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara – Kampung Bendahara, Gombak dekat Kuala Lumpur pada 11 malam, 11 Julai lalu.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Tertuduh juga dilarang membuat apa-apa komen sehingga kes selesai.

    Terdahulu, Menteri Besar Kedah mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin atas pertuduhan sama berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dalam ceramah sama.

    Kedua-dua mahkamah menetapkan masing-masing jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap Muhammad Sanusi.

    Mahkamah juga menetapkan 4 Oktober untuk sebutan semula kes.

  • Sanusi mengaku tak salah tuduhan menghasut dalam ceramah politik

    Sanusi mengaku tak salah tuduhan menghasut dalam ceramah politik

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang di Selayang hari ini atas satu pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dalam satu ceramah politik, minggu lepas.

    Muhammad Sanusi, 48, yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.

    Beliau didakwa telah melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

    Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Kedah itu dituduh melakukan kesalahan terbabit di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara – Kampung Bendahara, Gombak dekat Selayang pada 11 malam, 11 Julai lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Peguam Cara Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh manakala Muhammad Sanusi diwakili peguam Datuk Shaharudin Ali dan Wan Rohimi Wan Daud.

    Kes kedua Muhammad Sanusi kini disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Osman Affendi Mohd Shalleh.

    Menerusi hantaran di laman Facebook Muhammad Sanusi, beliau ditahan polis kira-kira 3 pagi tadi di sebuah hotel di Seleayang dan dibawa menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) polis ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.

    Media baru-baru ini melaporkan ucapan Muhammad Sanusi pada satu ceramah politik di Selangor dikatakan menghina institusi diraja Selangor.

    Muhammad Sanusi dalam video ucapannya yang tular dikatakan menghina Sultan Selangor ketika membandingkan urusan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah dan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.

    Susulan itu, pelbagai pihak tampil membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.

  • Sanusi didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang esok

    Sanusi didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang esok

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, akan dihadapkan ke Mahkamah Selayang, esok.

    Muhammad Sanusi yang juga Pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) dipercayai akan didakwa berhubung kenyataan yang didakwa mempertikaikan kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besarnya.

    Carian menerusi laman sesawang mahkamah, mengesahkan pendakwaan akan dibuat di Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.

    Pendakwaan terhadap Sanusi ditetapkan untuk didengar pada pukul 9 pagi, lapor Berita Harian.

    Dalam ucapannya yang tular, pemimpin Pas itu dikatakan menyentuh mengenai perkenan Sultan Selangor, berkaitan pelantikan Menteri Besar Selangor.

    Susulan itu, pelbagai pihak membuat laporan polis termasuk yang menyifatkan menghina institusi beraja di Selangor.

  • Syarikat JV Berjaya, Naza saman Kementerian Kewangan

    Syarikat JV Berjaya, Naza saman Kementerian Kewangan

    SYARIKAT usaha sama (JV) Kumpulan Berjaya dan Kumpulan Naza telah memfailkan saman terhadap Kementerian Kewangan (MoF) kerana menamatkan surat hasrat (LOI) yang ditawarkan kepada JV itu.

    Pengasas dan Penasihat Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan berkata, LOI yang berkaitan dengan kontrak untuk membekalkan kenderaan kerajaan, ditamatkan tiga bulan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Mac 2020.

    “Mereka (kerajaan) telah menamatkan perkhidmatan kami dan memberikannya kepada Spanco. Kerajaan bersetuju untuk membelanjakan RM700 juta lebih tinggi (berbanding bidaan JV).

    “Kerajaan berfikiran bahawa Berjaya dan Naza tidak cukup bagus dalam perniagaan kereta. Jadi kami telah memfailkan saman undang-undang terhadap (MoF) berhubung perkara ini dan bersedia untuk ke mahkamah mengenainya.

    “Anda akan mendengar lebih lanjut mengenai perkara ini selepas ini,” katanya pada sidang media selepas majlis perjanjian penjualan saham di antara Berjaya Corporation Bhd dengan Naza Corporation Holdings Sdn Bhd di Kuala Lumpur, hari ini.

    Menerusi perjanjian itu, Berjaya Corporation Bhd (BCorp) melupuskan 100 kepentingan dalam anak syarikat milik penuhnya, Berjaya Enviro Holdings Sdn. Bhd. (BEnviro) kepada Naza Corporation Holdings Sdn. Bhd. (Naza) untuk pertimbangan tunai RM700 juta.

    Mengulas lanjut, Tan berkata, bidaan yang dilakukan oleh JV terbabit ketika itu adalah yang paling rendah dalam kalangan semua pembida.

    Katanya, ketika itu Naza memiliki 51 peratus kepentingan di dalam JV dan 49 peratus oleh Berjaya.

    “Pegangan kepentingan dalam JV ini telah berubah, dengan Berjaya kini memegang 40 peratus kepentingan. Harapannya supaya kami akan mendapat keputusan yang memihak daripada mahkamah nanti,” katanya, lapor Berita Harian.

    Spanco menyelenggara barisan kenderaan kerajaan sejak 1994 sehingga konsesinya berakhir pada akhir 2018.

    Kerajaan ketika itu membuat tender secara terbuka dengan meminta pihak yang berminat untuk mengemukakan permohonan cadangan (RFP) mengenai konsesi berkenaan.

    Selain Spanco serta JV antara Kumpulan Berjaya dan Kumpulan Naza, syarikat lain yang menyertai bidaan itu ialah DRB-Hicom Bhd. dan Samling Group.

  • Bekas eksekutif didenda RM100,000 kesalahan kemuka dokumen palsu

    Bekas eksekutif didenda RM100,000 kesalahan kemuka dokumen palsu

    SEORANG bekas eksekutif bahagian keselamatan dan kebakaran Petronas Chemicals MTBE didenda RM100,000 di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas tuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi pembekalan peralatan keselamatan kebakaran bernilai RM41,760 kira-kira dua tahun lalu.

    Mohd. Hafez Manap, 38, yang menghadapi 10 pertuduhan pilihan berdepan hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal menjelaskan denda yang diputuskan Hakim Ahmad Zamzani Mohd. Zain.

    Berdasarkan kertas pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd. Zamry, tertuduh didakwa secara curang menggunakan invois sebut harga atas nama sebuah syarikat yang diketahui sebagai palsu di Petronas Chemicals MTBE, Kawasan Perindustrian Gebeng di sini pada 11 Mac 2021.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh dituduh di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

    Sementara itu, sembilan lagi pertuduhan pilihan di bawah seksyen sama dikemukakan pihak pendakwaan yang diakui tertuduh telah dipertimbang dan direkodkan mahkamah di bawah Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah.

    Bagi sembilan tuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di lokasi sama antara 26 Januari hingga 21 September 2021 membabitkan nilai invois keseluruhan RM278,383.

    Sebelum itu, peguam, Ridha Abdah Subri yang mewakili tertuduh memohon agar mahkamah menetapkan denda RM80,000 mengikut kemampuan anak guamnya.

    Menurutnya, pengakuan bersalah tertuduh membuktikan anak guamnya telah mengakui dan insaf atas kesalahan dilakukan.

    “Pada masa sama, pengakuan bersalah tertuduh juga menjimatkan kos dan masa semua pihak termasuk mahkamah.

    “Selain itu, mahkamah juga perlu pertimbangan kesalahan itu adalah yang pertama selain keadaan ekonomi tertuduh yang terjejas selepas dibuang kerja,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Bagaimanapun, Mohamad Fadhly memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM100,000 terhadap tertuduh memandangkan kerugian besar RM320,143 yang ditanggung syarikat.

    “Selain mengambil kira kepentingan awam, denda yang lebih tinggi satu pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat agar tidak melakukan kesalahan sama,” katanya.