Category: Kemalangan / Bencana

  • Kecederaan kepala punca kematian juruterbang helikopter

    Kecederaan kepala punca kematian juruterbang helikopter

    KEPUTUSAN bedah siasat hari ini mendapati juruterbang warganegara Hong Kong, Tsz Kin Richard Chan yang maut dalam nahas helikopter terhempas di Hutan Simpan Chikus Ahad lalu, disebabkan kecederaan pada bahagian kepala mangsa.

    Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dalam kenyataan ringkas berkata kecederaan itu disebabkan kemalangan aviasi.

    Semalam Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong dilaporkan berkata pesawat jenis Eurocopter EC120B milik syarikat swasta gagal dihubungi selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

    Richard Chan menerbangkan Eurocopter EC120B dari Subang ke Ipoh apabila terputus hubungan radio dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) pada 12.16 tengah hari dengan lokasi terakhir dilaporkan adalah di sekitar kawasan hutan dekat Bidor.

    Helikopter itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini jam 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 11.37 pagi.- BERNAMA

  • Kebakaran bengkel IPK Kedah akibat litar pintas, tiada unsur khianat

    Kebakaran bengkel IPK Kedah akibat litar pintas, tiada unsur khianat

    POLIS Kedah mengesahkan kebakaran di bengkel kenderaan di Pejabat Kejuruteraan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini, tiada unsur jenayah atau perbuatan khianat.

    Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd. Roze Shaari, berkata siasatan awal pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mendapati ia dipercayai berlaku akibat litar pintas.

    Beliau turut mengesahkan 10 kenderaan dalam bengkel dan lima motosikal berkuasa tinggi itu adalah milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang diselenggara.

    “Namun saya ucapkan terima kasih kepada pihak bomba kerana kepantasan anggota mereka berjaya menyelamatkan stor simpanan senjata yang terletak berhampiran bengkel ini, selain pejabat yang menyimpan fail dan dokumen penting PDRM.

    “Saya dimaklumkan ada beberapa letupan kecil sebelum kebakaran berlaku dan kita sedang menyiasat perkara itu,” katanya lapor BH Online.

    Mohd. Roze berkata, bangunan bengkel itu sudah lama beroperasi iaitu lebih 40 tahun berbanding Menara IPK yang masih baharu.

    Beliau berkata, siasatan masih dilakukan oleh pihak bomba untuk mencari punca sebenar kebakaran.

    “Kita bersyukur kerana empat anggota yang bertugas di bengkel ketika kejadian berjaya menyelamatkan diri,” katanya.

    Media melaporkan sekurang-kurangnya 10 kereta dan lima motosikal berkuasa tinggi musnah dalam kebakaran di bengkel kenderaan IPK Kedah, Alor Setar, hari ini.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima panggilan berhubung kebakaran pada pukul 4.53 pagi tadi.

  • KRU kapal warga asing hilang di laut

    KRU kapal warga asing hilang di laut

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG kru kapal tangki yang sedang bersauh dipercayai hilang kerana terjun laut di kedudukan 43.7 batu nautika timur laut Tanjung Sedili, Kota Tinggi pukul 5.30 pagi semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima makluman daripada Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya mengenai kejadian itu.

    “Laporan kejadian ersebut yang disampaikan oleh nakhoda kapal tangki terbabit melalui e-mel.

    “Mangsa, Shanidze Nodar, 22, warga Georgia berkerja sebagai kelasi dilaporkan dilihat kali terakhir berada di atas kapal pada 10 September lalu berpakaian baju dan berseluar pendek berwarna hitam.

    “Pencarian telah dilakukan di atas kapal oleh kru-kru kapal namun gagal menemui mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, pihak MRSC Johor Bahru telah mengaktifkan SAR pada pukul 3.30 pagi tadi melibatkan sebuah kapal KM Perwira dan bot ronda Perkasa 30 milik maritim Malaysia serta sebuah bot FCB 1123 milik Tentera Laut Diraja Malaysia.

    “Keluasan sektor pencarian adalah seluas 20 batu nautika persegi dari lokasi kapal bersauh,” katanya.

  • Juruterbang helikopter hilang ditemukan mati di lokasi

    Juruterbang helikopter hilang ditemukan mati di lokasi

    JUTERBANG sebuah helikopter yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) sebelum dilaporkan hilang di kawasan Bidor sejak petang semalam, ditemukan mati di lokasi kejadian, kata Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.

    Beliau berkata mayat juruterbang itu ditemukan di dalam kokpit helikopter tersebut oleh pasukan pencari dan penyelamat pagi tadi.

    “Helikopter milik pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menemui lokasi nahas kira-kira 9.30 pagi di Hutan Simpan Chikus di sini. Lima minit kemudian, krew TUDM turun ke lokasi nahas dan menemui mangsa yang berada di dalam kokpit.

    “Mayat kemudian dibawa keluar dari lokasi kejadian pada 10.12 pagi dan seterusnya dibawa ke SMK Anderson menggunakan sebuah ambulans, sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk proses bedah siasat. Kecederaan dan punca kematian masih dalam siasatan,” katanya di Bilik Gerakan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Balai Polis Bidor, kira-kira 80 kilometer dari Ipoh hari ini.

    Beliau berkata siasatan mendapati juruterbang tersebut dikenali sebagai Tsz Kin Richard Chan, 58 tahun merupakan warganegara Hongkong dan keluarganya telah dimaklumkan oleh pihak syarikat.

    Menurutnya, bangkai pesawat jenis Eurocopter milik sebuah syarikat swasta itu telah diserahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), untuk tindakan dan siasatan lanjut.

    Semalam Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong dilaporkan berkata pesawat itu terputus hubungan pada kira-kira pukul 12.16 tengah hari dengan lokasi terakhir dilaporkan adalah di sekitar kawasan hutan dekat Bidor.

    Helikopter itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini pada 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 11.37 pagi.- BERNAMA

  • 13 kenderaan polis di IPK Kedah terbakar

    13 kenderaan polis di IPK Kedah terbakar

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEBUAH bengkel kenderaan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini terbakar dalam satu kejadian pagi tadi sehingga memusnahkan sebanyak 13 unit kenderaan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, kebakaran terbabit turut memusnahkan pejabat pentadbiran pengangkutan serta kelengkapan dan peralatan di kedua-dua premis itu dalam kejadian pada 4.45 pagi.

    “Kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau pun kehilangan nyawa dan punca kejadian masih belum dikenal pasti.

    “Anggaran kerugian juga masih dalam siasatan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah memaklumkan, setiba pasukannya ke lokasi kejadian, api didapati sedang marak.

    “Pegawai dan anggota terlibat kemudian diarahkan untuk memakai alat pernafasan sebelum melakukan usaha pemadaman menggunakan lapan aliran hos.

    “Setelah beberapa lama, kebakaran di bangunan berkeluasan 35×150 kaki itu berjaya dipadamkan. Anggaran peratusan kebakaran dianggarkan sebanyak 80 peratus,” katanya.

  • Juruterbang helikopter hilang di Bidor ditemukan selamat

    Juruterbang helikopter hilang di Bidor ditemukan selamat

    JURUTERBANG sebuah helikopter yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) sebelum dilaporkan hilang di kawasan Bidor petang semalam ditemukan selamat di sekitar lokasi kejadian, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

    Beliau berkata juruterbang itu dijumpai pada 8.20 pagi ini dan pada masa ini pasukan penyelamat sedang berusaha membawa keluar juruterbang berkenaan untuk dihantar Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

    “Setinggi penghargaan diucapkan kepada pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan semua yang terlibat di dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya dalam catatan menerusi Facebooknya hari ini.

    Semalam Wee dilaporkan berkata pesawat jenis Eurocopter milik syarikat swasta itu terputus hubungan pada kira-kira 12.16 tengah hari dengan lokasi terakhir dilaporkan adalah di sekitar kawasan hutan dekat Bidor. 

    Helikopter itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini pada 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 11.37 pagi.

    Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata SAR dihentikan sementara malam tadi memandangkan faktor cuaca tidak mengizinkan dan tidak menentu.

    Pemerhatian Bernama mendapati operasi yang bersambung hari ini bermula seawal 7.30 pagi melibatkan lima kumpulan dan dipecahkan kepada dua sektor besar.

    Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata operasi itu melibatkan kawasan Kampung Kenangan, Jalan Bidor-Teluk Intan dan turut memfokuskan pencarian dalam radius lima kilometer di kawasan Hutan Simpan Chikus, tempat isyarat terakhir mangsa sebelum hilang.

    Ia melibatkan 10 pegawai dan 197 anggota daripada pelbagai agensi antaranya PDRM, Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit Udara, Bomba, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan Jabatan Perhutanan Negeri selain sebuah helikopter Unit Udara PDRM turut diterbangkan bagi mengesan mangsa.- BERNAMA

  • Cuaca tidak mengizinkan, SAR helikopter hilang disambung esok

    Cuaca tidak mengizinkan, SAR helikopter hilang disambung esok

    OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) seorang juruterbang bersama helikopter yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) sebelum dilaporkan hilang di kawasan Bidor sejak petang tadi, dihentikan sementara malam ini.

    Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata operasi akan diteruskan pada pukul 8 pagi esok, memandangkan faktor cuaca tidak mengizinkan dan menentu sejak petang hingga ke malam ini.

    Beliau berkata bagi tujuan SAR dan memantau perkembangan kes tersebut, sebuah Bilik Gerakan Operasi dibuka di Balai Polis Bidor, dengan kekuatan keseluruhan seramai 11 pegawai dan 68 anggota terdiri daripada pasukan polis, termasuk unit udara dan Pasukan Gerakan Am serta Jabatan Bomba dan Penyelamat selain Jabatan Perhutanan.

    “Helikopter telah diterbangkan pada pukul 4 petang bagi atur gerak tugas pencarian di kawasan sempadan Hilir Perak.

    “Kita menerima maklumat orang ramai terdengar letupan di Jeram Mengkuang dan ada yang katakan helikopter terbang rendah di kawasan Kampung Kenangan, jadi Pusat Kawalan Tempat Kejadian akan didirikan esok pagi di kawasan pencarian.

     “Setakat ini kita tumpukan koordinat diberikan di Hutan Simpan Chikus dan kawasan yang diberikan maklumat oleh orang ramai. Pasukan SAR akan ‘narrow down’ kawasan pencarian pada esok hari,” katanya pada sidang media di Balai Polis Bidor di sini kira-kira 70 kilometer dari Ipoh malam ini.

    Katanya identiti mangsa belum dapat dikenal pasti namun berdasarkan maklumat Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM), hanya seorang juruterbang terlibat dan tiada penumpang yang dibawa menaiki penerbangan helikopter itu.

    Difahamkan, juruterbang tersebut bukan warganegara Malaysia dan helikopter itu dipunyai seorang tokoh kenamaan bergelar Datuk.

    Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong pada sidang media di sini hari ini dilaporkan berkata pesawat jenis Eurocopter milik syarikat swasta itu, terputus hubungan pada kira-kira pukul 12.16 tengah hari dengan lokasi terakhir dilaporkan adalah di sekitar kawasan hutan dekat Bidor. 

    Helikopter itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini pada 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 11.37 pagi. – BERNAMA

  • CAAM sahkan helikopter hilang, lancar operasi SAR

    CAAM sahkan helikopter hilang, lancar operasi SAR

    PIHAK Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah helikopter jenis Eurocopter EC120B hilang selepas terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC), tengah hari ini.

    Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Chester Voo, berkata helikopter kendalian Heli Outpost Sdn Bhd dengan nombor pendaftaran N409HH gagal dihubungi pada pukul 12:16 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

    Menurutnya, sistem radar di KLATCC merekodkan kehilangan ketinggian mendadak oleh helikopter terbabit.

    “Pegawai KLATCC cuba menghubungi juruterbang itu, namun tiada panggilan kecemasan dibuat. Semakan daripada bacaan radar menunjukkan kehilangan ketinggian yang besar dalam masa kurang daripada satu minit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut, Voo berkata, Kuala Lumpur Aeronautical Rescue Coordination Centre (KLARCC) segera diaktifkan untuk menentukan lokasi helikopter berkenaan.

    Tambahnya, helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berada di lokasi terakhir yang diketahui untuk menjalankan usaha mencari dan menyelamat (SAR).

    Media sebelum itu melaporkan, helikopter berkenaan dilaporkan hilang selepas terputus hubungan dengan KLATCC tengah hari tadi.

    Helikopter syarikat swasta dengan seorang juruterbang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada pukul 11.37 pagi dan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh pada 12.37 tengah hari.

    Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, lokkasi terakhir helikopter dilaporkan di sekitar kawasan hutan dekat Bidor dan Langkap.

  • 30 rumah, kedai terjejas fenomena air pasang besar di Kuala Kedah

    30 rumah, kedai terjejas fenomena air pasang besar di Kuala Kedah

    SEJUMLAH 30 rumah dan premis perniagaan serta gerai makanan di sekitar Pekan Kuala Kedah, di sini dinaiki air berikutan fenomena air pasang yang berlaku hari ini. 

    Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar Kapten (PA) Norlizawati Ismail berkata antara kawasan terjejas termasuk di sekitar Jeti Kuala Kedah, Pasar Marina Kota Nelayan dan Jalan Tok Pasai. 

    “Pemantauan telah dilakukan pada pukul 1 hingga 1.55 tengah hari dan bacaan yang dicatatkan pada pukul 1.22 petang menunjukkan paras air berada pada ketinggian 2.95 meter. 

    Paras air menunjukkan peningkatan kesan daripada air pasang besar yang berlaku. Terdapat rumah penduduk dan gerai-gerai yang berada di kawasan berkenaan terjejas namun keadaan masih terkawal,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Beliau berkata pada masa ini keadaan cuaca di kawasan terbabit adalah baik, tidak berangin dan tidak hujan.

    Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut melakukan pemantauan di beberapa lokasi di Daerah Kuala Muda khususnya di kawasan Pantai Kota Kuala Muda dan didapati berlaku sedikit kenaikan air yang melepasi paras sungai dan melimpah ke jalan raya.

    Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda Kapten (PA) Azahar Ahmad bagaimana pun berkata setakat ini keadaan adalah terkawal dan tiada premis atau kediaman yang dinaiki air di daerah itu.- BERNAMA

  • Helikopter, juruterbang terputus hubungan dengan KLATCC

    Helikopter, juruterbang terputus hubungan dengan KLATCC

    SEBUAH helikopter yang membawa seorang juruterbang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC), sebelum dilaporkan hilang oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM).

    Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata pesawat jenis Eurocopter milik syarikat swasta itu terputus hubungan kira-kira pukul 12.16 tengah hari, dengan lokasi terakhir dilaporkan adalah di sekitar kawasan hutan dekat Bidor.

    “Helikopter ini sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh pada 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang, pada pukul 11.37 pagi.

    “Pihak CAAM dan PDRM akan mengeluarkan kenyataan lanjut mengenai kejadian ini dan kedua-dua pihak telah menggerakkan pasukan mencari dan menyelamat  di lokasi sebenar, berdasarkan prosedur yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Stesen KTMB Ipoh, hari ini.

    Beliau berkata Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Chester Voo dengan kerjasama polis Tapah, sedang giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat termasuk melalui laluan darat.

    “Kita doakan agar pasukan mencari dan menyelamat itu dapat maklumat yang diperlukan untuk tentukan kawasan sebenar pesawat berkenaan dan kita berharap menerima berita baik.

    “Kalau ikutkan kepada menara kawalan, radar menunjukkan pesawat itu sudah berada di atas tanah namun kita nakkan kepastian dan tidak boleh buat sebarang andaian jadi satu laporan lengkap akan dikeluarkan oleh CAAM,” katanya.

    Tambahnya, lokasi sebenar pesawat terbabit tidak dikenal pasti namun difahamkan ia berada dalam kawasan hutan dekat Bidor dan pihaknya dimaklumkan pihak PDRM sedang mengesan laluan masuk ke tempat berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail ketika dihubungi berkata berdasarkan longitud dan latitud lokasi diberikan CAAM, lokasi terakhir ia dikesan adalah berhampiran Hutan Simpan Chikus, Langkap di Teluk Intan dan pihaknya bersama polis daerah Hilir Perak dengan bantuan pihak bomba sedang giat melakukan pencarian.- BERNAMA