Category: Kemalangan / Bencana

  • Lelaki hilang di laut semasa menunggang jet ski

    Lelaki hilang di laut semasa menunggang jet ski

    LELAKI hilang selepas menguji jet ski di perairan Pulau Talang-Talang, Sematan, kira-kira 100 kilometer dari Kuching, semalam.

    Lee Chong Loong, disedari hilang oleh rakannya ketika mereka hendak balik ke jeti.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan daripada anggota Balai Polis Sematan berhubung kejadian itu pada 12.20 tengah malam tadi.

    “Berdasarkan maklumat awal, rakannya berusaha mencari mangsa sehingga 7.30 malam semalam, namun gagal sebelum laporan dibuat di Balai Polis Sematan.

    “Lelaki terbabit bersama seorang lagi rakannya ke laut melalui jeti Pak Amit di Santubong dengan menaiki dua jet ski.

    “Pada mulanya, mereka menuju ke Pulau Satang dan mengelilingi kawasan pulau itu sambil memancing,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Beliau berkata, menurut laporan rakannya, ketika mereka menaiki jet ski, keadaan cuaca baik dan mereka kemudiannya meneruskan perjalanan ke Telok Melano.

    “Selepas itu mereka menghala ke arah utara kira-kira tiga batu nautika dari perairan Telok Melano menuju ke Pulau Talang Talang.

    “Rakannya memaklumkan, jarak antara mereka menunggang jet ski itu agak jauh iaitu kira-kira satu batu nautika antara satu sama lain, dan rakannya itu mula menyedari mangsa tidak kelihatan, ketika mereka bergerak dari Pulau Talang Talang untuk balik semula ke jeti,” katanya.

    Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu melancarkan gerakan mencari dan menyelamat sebaik menerima laporan malam tadi, namun operasi ditangguhkan pada 1.30 pagi tadi.

    “Pencarian diteruskan pagi ini bersama beberapa agensi penyelamat yang lain,” katanya.

  • Mercedes rempuh pam minyak

    Mercedes rempuh pam minyak

    SEBUAH kenderaan jenis Mercedes berwarna putih merempuh sebuah pam minyak di sebuah stesen minyak di sekitar Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

    Kejadian dipercayai berlaku apabila kenderaan dipandu hilang kawalan sebelum melanggar salah satu pam minyak di stesen tersebut.

    Keadaan kereta yang terlibat dalam kemalangan tersebut

    Kemalangan pada awal pagi tadi itu menyebabkan kereta tersebut musnah di bahagian depan dan berlaku tumpahan minyak.

    Sementara itu, bomba tiba di tempat kejadian membersihkan tumpahan minyak dengan menggunakan sebuah aliran salur bantu mula.

    Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

    Keadaan pam minyak yang dilanggar – Foto ihsan bomba
  • Lelaki terperangkap, rentung dalam kemalangan

    Lelaki terperangkap, rentung dalam kemalangan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki terperangkap sebelum rentung selepas kenderaan Range Rover dipandunya terbabas lalu terbakar di Batu 7, Jalan Besar, Tongkang Pechah, Batu Pahat, malam tadi.

    Kejadian tersebut membuatkan pemandu itu yang merupakan seorang lelaki dewasa berusia 42 tahun tersepit di bahagian pemandu dan terbakar.

    Sementara dua penumpang iaitu lelaki dewasa berusia 25 dan 28 tahun cedera dan berjaya dikeluarkan orang awam sebelum bomba tiba.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram, Penolong Penguasa Bomba Ayub Majid berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 10.54 malam.

    Susulan itu katanya, seramai 16 anggota dengan sebuah dua jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) serta satu Unit Bantuan PerkhidmatanKecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Kemalangan tersebut melibatkan sebuah Range Rover dengan nombor pendaftaran tidak dapat dikenal pasti. Kebakaran telah memusnahkan 90 peratus daripada keseluruhan kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut Ayub, operasi menyelamat mangsa tersebut tamat pada pukul 12.30 tengah malam.

  • Mangsa banjir di Batu Pahat menurun pagi ini

    Mangsa banjir di Batu Pahat menurun pagi ini

    JUMLAH mangsa banjir di Batu Pahat menurun kepada 232 orang setakat 8 pagi ini berbanding 236 orang yang direkodkan malam tadi.

    Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam satu kenyataan memaklumkan, lokasi terjejas di daerah itu melibatkan Taman Sri Panchor, Kampung Sengkuang, Kampung Baru Sri Gading, Pekan Seri Gading dan Kampung Seri Tanjung.

    Menurut JPBD, kesemua mangsa terdiri daripada 67 keluarga itu ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Gading di Batu Pahat yang dibuka sejak Rabu lepas.

    Banjir di daerah itu berlaku disebabkan pertembungan hujan lebat bermula 1.30 pagi hingga 5.30 pagi, Rabu lepas dan fenomena air pasang.

  • Askar wataniah putus kepala kereta dipandu bertembung trak tentera

    Askar wataniah putus kepala kereta dipandu bertembung trak tentera

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG wanita putus kepala selepas kereta dipandu terlibat kemalangan dengan trak tentera dari kem Segamat dalam kejadian di Kometer 49.2 Jalan Muar-Segamat, Tangkak, pukul 4.30 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Tangkak, Superitendan Mohd. Fadhil Minhat berkata, Nur Faezah Aminah Suib, 25, yang merupakan askar wataniah beralamat Durian Condong Bukit Kepong, Muar, maut di tempat kejadian.

    “Kemalangan berlaku semasa kereta Protom Saga dipandu mangsa dari arah Tangkak menghala ke arah Segamat, semasa tiba di Jalan Muar-Segamat melalui jalan berselekoh dan telah hilang kawalan lalu masuk ke jalan bertentangan dan melanggar trak berkenaan.

    “Mangsa putus kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat dibawa ke rumah mayat Hospital Tangkak untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi.

    Beliau berkata, pemandu trak berkenaan, Benny Jr Lind yang merupakan seorang tentera beralamat di Markas Tentera Darat Cawangan Sumber Manusia Kementah, Kuala Lumpur, tidak cedera.

    Seorang askar wataniah maut selepas kereta dipandu terlibat kemalangan di Jalan Muar-Segamat, Tangkak

    Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, Pegawai Bomba Kanan II Zamri Ayob berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.42 petang.

    Susulan itu katanya, seramai lapan anggota dari BBP Tangkak dengan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Terdapat seorang mangsa yang tersepit dalam Proton Saga. Pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi. Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada pukul 4.53 petang,” katanya.

  • 3 maut, seorang parah, motosikal bergesel sebelum dilanggar bas ekspress

    3 maut, seorang parah, motosikal bergesel sebelum dilanggar bas ekspress

    TIGA lelaki pekerja ladang maut dan seorang wanita parah selepas dua motosikal yang ditunggang mereka bergesel dan tumbang sebelum dilanggar sebuah bas ekspres di Jalan Julau, Batu 12, Bintangor, dekat Sarikei, malam tadi.

    Mereka yang maut dikenal pasti sebagai pasangan adik beradik; Johny Jonathan, 19 tahun dan Mathew Many Jonathan, 25 tahun dari Rumah Andam Sedarat Simpang, Engkelili.

    Seorang lagi mangsa, Nelson Chendang, 21 tahun berasal dari Rumah Chendang, Sungai Majau manakala wanita yang parah berusia 21 tahun dari Sungai Mapai; kedua-duanya di Kanowit, lapor Astro AWANI.

     Menurut sumber polis, insiden berlaku sekitar jam 10.20 malam apabila motosikal yang ditunggang dan dibonceng keempat-empat mangsa sedang bergerak dari arah Jalan Simba menuju ke arah Julau.

    “Motosikal mereka kemudian telah bergesel dan terjatuh di atas jalan, menyebabkan sebuah bas ekspres yang membawa 30 penumpang yang berada di belakang mangsa gagal mengelak, lalu merempuh mereka,” katanya lagi.

    Sementara itu menurut Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Hendery Ardimansah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut sekitar jam 10.24 malam.

    “Sebuah jentera dan sepasukan tujuh anggota kemudian segera diatur gerak ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor dan sebelum mendapati ketiga-tiga mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba dari Hospital Kanowit.

    Mayat ketiga-tiga mangsa kemudian telah diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Sibu untuk prosedur bedah siasat.

    Manakala mangsa yang parah turut dikejarkan ke hospital yang sama.

    Punca nahas disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Pemandu bas yang berusia 52 tahun juga telah ditahan untuk membantu siasatan, sebelum dibebaskan kemudiannya, dengan jaminan polis.

  • Lelaki lemas cuba selamatkan kereta menggelonsor ke laut

    Lelaki lemas cuba selamatkan kereta menggelonsor ke laut

    SEORANG lelaki lemas apabila cuba menyelamatkan kereta Proton Gen2 miliknya yang menggelongsor ke dalam laut di Teluk Senangin dekat Lumut, malam tadi.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak dalam kenyataan berkata Muhammad Hafiz Ramli, 31, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan.

    Jurucakap itu berkata anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis digegaskan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 11.34 malam.

    “Pihak bomba dimaklumkan oleh orang awam terdapat seorang lelaki terperosok di bawah kereta itu selepas dipercayai cuba menahan kenderaan tersebut daripada masuk ke laut. Mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam dan dibawa naik ke tepi pantai sebelum pasukan penyelamat sampai di lokasi,” katanya.

    Menurut jurucakap itu, anggota bomba membuat pemeriksaan ke atas kereta dan mencabut kabel bateri kenderaan itu.

    Katanya mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi berkenaan ditamatkan kira-kira 1.45 pagi tadi.

    — BERNAMA

  • Dua nelayan hilang selepas bot terbalik, karam

    Dua nelayan hilang selepas bot terbalik, karam

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA nelayan tempatan hilang manakala dua lagi terselamat selepas bot yang dinaiki terbalik sebelum karam dipukul ombak besar pada kedudukan 9.6 batu nautika barat daya Parit Hailam di Batu Pahat, pukul 5 petang semalam.

    Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff Mohd. Yunus berkata, pihaknya menerima aduan itu daripada orang awam sebelum Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat mereka.

    Menurutnya, berdasarkan maklumat awal kejadian, bot nelayan itu dikendalikan empat kru yang merupakan rakyat tempatan berbangsa Cina yang keluar ke laut untuk memukat ikan.

    “Keadaan cuaca yang buruk dan ombak besar telah menyebabkan bot terbalik seterusnya karam. Tekong bersama seorang nelayan berjaya menyelamatkan diri dengan melompat keluar dari bot.

    “Mangsa yang terselamat ialah Te Chia Haur, 40, dan Tee Kian Muar, 33. Mereka telah diselamatkan bot nelayan tempatan yang berada berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, dua lagi nelayan, Te Chia Rong, 38, yang merupakan adik kepada Chia Haur, dan Chia Hock Neng, 60, tidak sempat menyelamatkan diri dipercayai sedang tidur semasa bot menarik pukat.

    Jelasnya, Chia Rong yang beralamat di Kampung Parit Botak, Senggarang, Batu Pahat semasa hilang memakai baju warna kuning dan berseluar pendek hitam.

    Sementara Hick Neng pula yang beralamat di Taman Impian, Rengit di Batu Pahat memakai baju hitam toada lengan dan seluar panjang warna biru, katanya.

    “Sejurus menerima maklumat, MRSC Johor Bahru telah mengaktifkan Operasi pada pukul 8 malam tadi dan Bot Kilat 47 dari Zon Maritim Batu Pahat telah diatur gerak ke lokasi kejadian.

    “Ketika di lokasi, bot nelayan tersebut tidak kelihatan kerana telah tenggelam sepenuhnya. Mangsa yang selamat telah dipindahkan ke Bot Kilat 47 dan seterusnya dibawa pulang ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat untuk diserahkan kepada Pegawai Perubatan Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat,” katanya.

    Beliau menambah, pegawai perubatan sedang melakukan pemeriksaan sebelum kedua-dua mangsa diserahkan kepada keluarga masing-masing.

    Katanya, operasi mencari dua mangsa yang masih belum ditemui itu diteruskan pada pagi tadi dengan tambahan aset dan anggota Maritim Malaysia dibantu Pasukan Polis Marin (PPM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

    “Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat atau penemuan boleh menghubungi talian hotline, Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-4344020 atau melalui talian bantuan kecemasan, MERS 999,” katanya.

  • 600 penduduk dipindahkan banjir kilat di Batu Pahat

    600 penduduk dipindahkan banjir kilat di Batu Pahat

    SERAMAI 600 penduduk di beberapa kawasan di Sri Gading, di Batu Pahat dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gading setelah kediaman mereka dinaiki air susulan banjir kilat awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata kesemua mangsa daripada 190 keluarga itu dipindahkan berikutan air naik selepas hujan lebat bermula pukul 1.30 pagi hingga 5.30 pagi, selain bertembung dengan fenomena air pasang besar sekitar pukul 3 pagi.

    Beliau berkata empat kawasan yang terlibat banjir kilat ialah Taman Sri Panchor, Kampung Sengkuang, Kampung Baru Sri Gading dan Pekan Seri Gading.

    “Pada awalnya, PPS telah dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Gading, namun sekolah itu juga dinaiki air dan mangsa kemudiannya dipindahkan ke SMK Seri Gading.

    “Usaha membantu memindahkan mangsa sedang dijalankan dan sehingga kini jalan-jalan utama yang menghubungkan daerah Batu Pahat dengan lain-lain daerah masih boleh dilalui oleh semua kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Selain polis, operasi menyelamat mangsa banjir turut membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Kesihatan Daerah (PKD).- BERNAMA

  • Anggota polis antara dua maut dalam nahas empat kenderaan

    Anggota polis antara dua maut dalam nahas empat kenderaan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG anggota polis antara dua yang maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta, sebuah lori dan dua treler di Kilometer 134.7 Lebuhraya Utara Selata, arah Selatan, Pagoh, Muar hari ini.

    Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan kejadian berkenaan pada pukul 4.48 pagi.

    Seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh dan BBP Bukit Gambir dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    Sebuah kereta, sebuah lori dan dua treler terlibat dalam kemalangan hingga mengakibatkan dua maut di Kilometer 134.7 Lebuhraya Utara Selata, arah Selatan, Pagoh, hari ini

    Komander Operasi dari BBP Pagoh, Pegawai Bomba Kanan II Ramli Abd Rahman berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta Proton Wira, sebuah lori kontena jenis Hino membawa muatan air kotak, dua treller membawa muatan besi dan kayu palet.

    “Terdapat empat mangsa terlibat dalam kemalangan tersebut, tiga daripadanya warga tempatan. Akibat kemalangan itu dua mangsa tersepit dalam lori dan kereta tersebut.

    “Mangsa yang maut adalah anggota polis, Senawi Jelani, 55, merupakan mangsa dalam kereta tersebut manakala seorang lagi adalah pemandu lori, K. Gunalan, 45,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Sementara dua lagi mangsa katanya, lagi A. Annadurai, 20, yang merupakan warganegara India dan Zamri Hashim, 29, cedera dan mereka diserahkan kepada pegawai perubatan untuk menerima rawatan.

    “Operasi menyelamat mangsa tersebut tamat pada pukul 8.30 pagi,” katanya lagi.