Category: Kemalangan / Bencana

  • Kuari Runtuh: Waris Kheow sudah serahkan sampel DNA di Switzerland

    Kuari Runtuh: Waris Kheow sudah serahkan sampel DNA di Switzerland

    WARIS Kheow Loo Siew Soon iaitu seorang mangsa yang tertimbus dalam runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Ipoh pada Mac lalu sudah menyerahkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) kepada pihak hospital di Switzerland.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hasan Basri berkata, ketika ini pihak Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sedang berurusan dengan pihak terbabit bagi membawa sampel-sampel DNA berkenaan ke negara ini untuk tindakan lanjut.

    Jelasnya, pihak hospital di Switzerland akan berurusan dengan Jabatan Forensik HRPB untuk urusan pengambilan sampel DNA oleh ahli keluarga mangsa berkenaan.

    “Jadi, ketika ini pihak HRPB sedang dalam proses untuk membawa DNA waris mangsa ke negara ini untuk diproses (bagi padanan DNA mangsa).

    “Selain itu beliau berkata proses pengecaman mangsa melalui padanan DNA itu berkemungkinan akan memakan sedikit masa memandangkan sampel DNA waris masih berada di luar negara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh, hari ini.

    Katanya, siasatan pihak polis telah selesai dan ketika ini masih menunggu laporan penuh daripada pihak hospital yang mungkin akan memakan masa sedikit, lapor Astro Awani.

    Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya juga masih menunggu laporan penuh hasil ujian DNA membabitkan waris keluarga Itam Lasoh.

    Pada 22 Sept lalu, operasi mencari di tapak runtuhan kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands ditamatkan susulan penemuan dua jengkaut, cebisan pakaian dan tulang manusia, dipercayai milik kedua-dua mangsa yang dilaporkan hilang ketika kejadian.

    Pada 8 Mac lalu, insiden runtuhan batu di tapak kuari yang terletak di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands itu mengakibatkan dua mangsa tertimbus.

    Mereka dikenali sebagai Itam, 43 tahun, dan Kheow, 49 tahun.

  • Operasi SAR tamat, ‘mangsa’ dipercayai tidak wujud

    Operasi SAR tamat, ‘mangsa’ dipercayai tidak wujud

    OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikatakan hilang di Hutan Gunung Senyum di Temerloh dekat Kuantan, ditamatkan hari ini, selepas ‘mangsa’ terlibat dipercayai tidak wujud. 

    Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Zulfadli Zakaria berkata operasi SAR diaktifkan petang semalam selepas pihaknya dimaklumkan terdapat dua mangsa hilang di hutan itu. 

    Maklumat diterima daripada seorang lelaki berusia 29 tahun yang menghubungi talian kecemasan sekitar 5 petang semalam, memaklumkan dirinya sesat, sebelum berjaya ditemukan pasukan penyelamat kira-kira tiga jam kemudian. 

    “Mangsa yang dijumpai dalam keadaan keletihan memaklumkan telah meninggalkan rakannya yang sangat keletihan sementara dia cuba mencari bantuan. Bagaimanapun, usaha untuk mengesan rakan mangsa yang dikatakan berusia 20-an gagal. 

    “Siasatan awal mendapati mangsa yang mempunyai rekod sakit mental dipercayai mengalami gangguan dan rakannya yang didakwa turut sesat sebenarnya tidak wujud,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Selain bomba, operasi SAR juga disertai polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Perhutanan dan penduduk setempat. 

  • Penunggang motosikal maut terlanggar tapir

    Penunggang motosikal maut terlanggar tapir

    SEORANG penunggang motosikal maut selepas melanggar seekor tapir yang secara tiba-tiba melintas jalan raya di KM17 Jalan Seremban-Kuala Pilah di Kuala Pilah, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Amran Mohd Ghani berkata kejadian berlaku kira-kira 11.15 malam ketika lelaki berusia 33 tahun itu menunggang motosikal jenis Honda RS150 seorang diri dari arah Seremban menghala ke Kuala Pilah.

    “Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan tidak sempat mengelak dan merempuh tapir terbabit sebelum dia tercampak ke tepi jalan.

    “Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.

    Amran berkata tapir berkenaan turut mati di lokasi kejadian dan bangkainya diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri.

    Beliau berkata kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Remaja lemas selepas jatuh sungai ketika kutip bola

    Remaja lemas selepas jatuh sungai ketika kutip bola

    REMAJA lelaki ditemukan lemas selepas terjatuh di Sungai Bukit Lanchong, Subang Jaya, Selangor, semalam.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, mangsa Wan Mohamad Hafiq Wan Ismail, 13, ditemukan 2 kilometer (km) dari tempat mangsa terjatuh.

    “Anggota bomba menerima panggilan kecemasan pada 4.56 petang dan dimaklumkan mengenai kejadian itu.

    “Berdasarkan laporan awal, mangsa terjatuh ke dalam sungai ketika cuba mengambil bola sebelum dibawa arus dan tenggelam.

    “Anggota membuat pemantauan di kawasan sekitar dan tugas diserahkan kepada Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) manakala pencarian secara ‘surface searching’ masih diteruskan di kunci air dan kawasan kali terakhir mangsa dilihat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, pencarian diteruskan pada hari ini dengan menggunakan dua buah bot dan mangsa telah ditemui terapung 2km dari tempat mangsa terjatuh, pada 8.21 pagi.

    Mengulas lanjut, Norazam berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, lapor Astro Awani.

  • Mayat terakhir mangsa bot karam ditemukan selepas 14 hari tragedi

    Mayat terakhir mangsa bot karam ditemukan selepas 14 hari tragedi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SELEPAS 14 hari tragedi bot nelayan karam di perairan Parit Hailam, Batu Pahat, mayat mangsa terakhir
    ditemukan tersangkut pada tali sawat enjin pada 4.40 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, mayat Chia Hock Neng, 60, ditemukan pasukan bomba dan penyelamat sekali gus menamatkan operasi mencari dan menyelamat sejak 14 September lalu.

    “Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jeti Maritim Batu Pahat sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di Batu Pahat untuk bedah siasat.

    “Sebelum penemuan itu, bot nelayan berkenaan telah diapungkan dan ditarik kira-kira 500 meter dari pantai Teluk Hailam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Sementara itu, seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rengit dan BBP Skudai dikejarkan ke lokasi sebaik menerima laporan penemuan mayat mangsa.

    Ketua Operasinya, Penolong Penguasa Bomba Othman Mohd Baker berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit sebelum mayat mangsa berjaya dikeluarkan dari dalam bot berkenaan.

    Pada 14 September lalu, sebuah bot yang dinaiki empat nelayan karam dan tenggelam akibat cuaca buruk dan ombak besar.

    Dua daripada nelayan berjaya menyelamatkan diri dengan terjun ke laut sebelum diselamatkan nelayan yang berada berhampiran tempat kejadian.

    Sementara dua lagi nelayan dilaporkan hilang sebelum satu mayat ditemui terbelit dengan tali pukat di luar bot berkenaan ketika kerja-kerja mengapungkan dilakukan.

  • Pemandu lori maut ditimpa papan tanda jalan

    Pemandu lori maut ditimpa papan tanda jalan

    SEORANG pemandu lori maut selepas lori yang dipandunya melanggar papan tanda jalan di persiaran Paya Terubong 2, Bayan Lepas, Pulau Pinang hari ini.

    Difahamkan, mangsa berusia 48 tahun itu maut di tempat kejadian kerana tersepit di tempat pemandu selepas papan tanda jalan itu jatuh menghempap lori tersebut.

    Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Khairul Anuar Abd. Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 3.20 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

    Jelasnya, apabila tiba di tempat kejadian pihaknya mendapati berlaku kemalangan melibatkan sebuah lori melanggar papan tanda jalan dan terdapat seorang lelaki tersepit di bahagian pemandu.

    ”Pihak bomba membuat ‘size up’ di lokasi kejadian dan mengarahkan anggota dengan pakaian perlindungan diri (PPE) lengkap melakukan kerja-kerja penyelamatan bagi mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas ‘rescue tool’.

    ”Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan pukul 3.46 petang dan disahkan meninggal dunia oleh pihak St. John ambulans yang berada dilokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya pukul 4.37 petang.

  • Seksa kon melekat pada kepala murid

    Seksa kon melekat pada kepala murid

    SEORANG murid lelaki sebuah sekolah rendah di Pontian Johor berdepan detik cemas apabila sebuah kon melekat pada bahagian kepalanya, hari ini.

    Akibat kejadian itu, pihak sekolah menghubungi bomba yang kemudiannya membantu mengeluarkan kon dari kepala murid berkenaan.

    Berita Harian melaporkan, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK II) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Mohd Ezal Azma berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian tersebut pada pukul 1.28 tengah hari.

    “Dengan bantuan enam anggota, kon itu dipotong dengan peralatan khas dan dapat dikeluarkan 26 minit kemudian,” katanya.

    Difahamkan murid berusia 10 tahun itu bersekolah sesi pagi dan kejadian berlaku ketika dia hendak pulang ke rumah.

    “Ketika bermain bersama rakan lain dalam kawasan sekolah, mangsa memasukkan kon ke kepalanya yang mengakibatkan gagal dikeluarkan,” katanya.

  • Kebakaran: Empat sekeluarga hilang tempat tinggal, kenderaan

    Kebakaran: Empat sekeluarga hilang tempat tinggal, kenderaan

    SEORANG ibu bersama tiga anak perempuannya hilang tempat tinggal selepas rumah mereka di Taman Angkasa Nuri, Durian Tunggal di Melaka, musnah dijilat api dalam kejadian awal pagi tadi. 

    Mangsa Liliwati Kaharudin, 50, berkata kebakaran pada kira-kira 1.40 pagi itu turut menyebabkan tiga kereta dan sebuah skuter milik mereka musnah.

    Beliau berkata insiden itu disedari anaknya yang berusia 20 tahun yang terbau asap dan mendapati api merebak dari belakang penyaman udara di tingkat bawah rumah mereka.

    Katanya, dia terjaga selepas mendengar jeritan anaknya itu, manakala anak sulungnya (berusia 23 tahun) yang masih berjaga segera menjerit memanggil anak bongsunya, 15, yang sedang tidur di bilik atas untuk menyelamatkan diri.

    “Saya juga cuba untuk selamatkan satu daripada kereta kami namun tingkap kereta itu tiba-tiba meletup membuatkan saya jadi takut dan membatalkan hasrat,” katanya kepada pemberita di Melaka hari ini.

    Liliwati berkata jiran-jiran cuba membantu memadamkan kebakaran namun api semakin marak sehingga menyebabkan bahagian bawah rumahnya terbakar hampir 80 peratus.

    Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh Penolong Kanan Penguasa Bomba Zahrul Azha Mokthar berkata panggilan kecemasan diterima pada 1.45 pagi dan 10 anggota digerakkan ke lokasi. 

    “Sejurus tiba 10 minit kemudian, kita dapati sebuah rumah dua tingkat berkeluasan 22×70 kaki persegi telah terbakar dan kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 2.58 pagi,” katanya. 

    Katanya punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

  • Lelaki dikhuatiri lemas semasa seberang sungai

    Lelaki dikhuatiri lemas semasa seberang sungai

    SEORANG lelaki dikhuatiri lemas ketika cuba menye3berangi sungai dalam kejadian di Kampung Labou-Labou, di Tambunan, pukul 6 petang semalam.

    Mangsa, Helry Junior Michel yang berusia 29 tahun, hilang dihanyutkan arus sungai deras.

    Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada 6.20 petang.

    “Sembilan pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

    “Sebaik tiba di tempat kejadian, pasukan bomba terus melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang.
    “Setakat ini, mangsa masih gagal ditemui dan tiada sebarang petunjuk berjaya dikesan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Menurutnya, operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 2.16 pagi berikutan keadaan cuaca yang gelap menyukarkan operasi SAR.

    Katanya, operasi disambung semula pukul 7 pagi tadi dan sebarang maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

  • Bapa, anak maut motosikal terlanggar ayam hutan melintas

    Bapa, anak maut motosikal terlanggar ayam hutan melintas

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki dan anaknya meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangi terbabas merempuh pokok akibat terlanggar ayam hutan di kilometer 39.5 Jalan Kota Tinggi-Kluang, Kota Tinggi malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima makluman kemalangan itu pukul 8 malam.

    “Penunggang motosikal Yamaha MT-09, lelaki berusia 40 tahun dan anaknya berusia sembilan tahun, maut di lokasi kejadian.

    “Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal terbabit yang dalam perjalanan dari Bandar Tenggara menghala ke Felda Pengeli Timur, hilang kawalan akibat melanggar ayam hutan yang secara tiba-tiba melintasi jalan.

    “Orang awam yang menyedari kejadian itu pada 7.40 malam lalu memaklumkan kemalangan itu kepada polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.