Category: Kemalangan / Bencana

  • Kereta dilanggar dari belakang: Lelaki maut tercampak 2 meter

    Kereta dilanggar dari belakang: Lelaki maut tercampak 2 meter

    SEORANG lelaki maut akibat tercampak keluar daripada kereta dipandunya yang dilanggar daripada belakang dan terbabas di Kilometer 37.1 Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan) di Kulai, pagi tadi.

    Dalam kejadian pukul 6 pagi itu, pemandu Perodua Viva berusia 42 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan yang turut membabitkan tiga kereta.

    Menurut Ketua Polis Daerah, Superintendan Tok Beng Yeow, pihaknya menerima maklumat kira-kira pukul 6.10 pagi berhubung kemalangan membabitkan tiga kereta iaitu dua Perodua Viva dan sebuah Proton Persona.

    Katanya, kereta dipandu mangsa dipercayai dilanggar daripada belakang oleh Proton Persona dipandu seorang lelaki dari arah sama.

    “Pelanggaran itu menyebabkan kereta Perodua Viva terbabit terbabas ke kiri jalan.

    “Pada masa yang sama, datang sebuah lagi Perodua Viva melanggar bahagian belakang Proton Persona,” katanya dalam laporan Berita Harian.

    Beng Yeow berkata, berikutan itu pemandu Perodua Viva yang terbabas ke kiri jalan dan berusia 42 tahun, parah di bahagian badan dan kepala sebelum disahkan meninggal dunia.

    Katanya, pemandu sebuah lagi Perodua Viva wanita berusia 37 tahun tidak mengalami apa-apa kecederaan, manakala, pemandu Proton Persona dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan oleh orang awam.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Bahtiar Selamat berkata, pihaknya turut menerima panggilan kecemasan berhubungan kemalangan itu dan bergegas ke lokasi bagi membantu menyelamatkan mangsa kemalangan yang dilaporkan tercampak keluar dari kenderaan sejauh kira-kira dua meter.

    Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.23 pagi dan seramai tujuh anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Seorang daripada pemandu Perodua Viva tercampak sejauh dua meter dari keretanya akibat kemalangan terbabit,” katanya.

    Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) di sini.

    Operasi yang diketuai Komander Operasi Fauzi Che Deris itu ditamatkan pada pukul 7.30 pagi.

  • Air pasang besar diramal hingga Khamis – Nadma

    Air pasang besar diramal hingga Khamis – Nadma

    AIR pasang besar dijangka berlaku di beberapa kawasan bermula semalam hingga Khamis ini, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

    Nadma menerusi perkongsian di laman Facebook memaklumkan Pusat Hidrografi Nasional meramalkan kawasan terlibat adalah Kuala Muda, Kedah; Bagan Datuk, Perak; Pelabuhan Klang, Selangor serta Batu Pahat dan Pontian di Johor.

    Menurut Nadma fenomena itu berpunca daripada pengaruh daya tarikan graviti ketika kedudukan bulan dan matahari sejajar, seterusnya berkemungkinan menyebabkan limpahan air di daratan serta banjir di lokaliti kawasan rendah pesisir pantai.

    “Penduduk berhampiran pesisir pantai disaran lebih peka dan berwaspada semasa fenomena ini berlaku,” menurut perkongsian itu. 

    Maklumat lanjut dan jadual pasang surut edisi 2022 boleh didapati di laman web https://hydro.gov/ramalanpasangsurut.my. – BERNAMA

  • Pengamal ilmu kebatinan sesat di Pulau Besar

    Pengamal ilmu kebatinan sesat di Pulau Besar

    SEORANG wanita penjual sayur yang juga pengamal ilmu kebatinan bertapa seorang diri di Pulau Besar di Melaka, tersesat di pulau tersebut.

    Namun wanita itu bernasib baik apabila berjaya menghubungi pasukan penyelamat sebelum diselamatkan pada pukul 10.45 malam kelmarin, berhampiran sebuah gua di situ.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati wanita berusia 37 tahun yang meniaga di pasar malam itu sudah beberapa kali datang sendirian ke Pulau Besar bagi tujuan perubatan yang mensyaratkannya mengelilingi pulau berkenaan enam kali.

    Menurutnya, pada hari kejadian mangsa bercadang bermalam di Surau Pulau Besar bagi tujuan perubatan batin dan mengelilingi pulau itu buat kali keempat.

    “Siasatan mendapati wanita itu pergi ke Pulau Besar menaiki bot nelayan melalui Jeti Anjung Batu, Merlimau jam 8 pagi kelmarin dan memberitahu nelayan akan pulang pagi ini (semalam).

    “Awalnya dia bercadang berjalan mengelilingi Pulau Besar mulai tengah hari sehingga senja sebelum bermalam di Surau Pulau Besar.

    “Ketika berjalan menuruni kawasan bukit berbatu di Gua Yunus pulau itu, mangsa hilang arah sebelum menelefon MERS (Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia) 999 untuk bantuan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Menurut Christopher mangsa berasal dari Bukit Rambai, Melaka, ditemui pasukan penyelamat pada pukul 10.45 malam sebelum dibawa ke Jeti Anjung Batu, Merlimau.

  • Mekanik maut digilis jentolak di tapak lombong

    Mekanik maut digilis jentolak di tapak lombong

    SEORANG mekanik maut digilis jentolak ketika sedang membaiki jentera berat itu dalam kejadian di sebuah tapak lombong bijih besi di Bukit Besi, di Dungun pukul 6 petang semalam.

    Mangsa, Kong Hon Meng, 63, yang beralamat di Negeri Sembilan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan pada bahagian badan.

    Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, hasil siasatan mendapati mangsa berada di atas roda berantai jentolak (buldozer) itu berseorangan ketika sedang membaiki jentera berat itu.

    “Siasatan mendapati insiden itu berlaku ketika mangsa cuba menghidupkan jentera itu menggunakan ‘jumper’, namun ia tiba-tiba hidup lalu bergerak ke hadapan.

    “Keadaan itu menyebabkan mangsa terjatuh ke tanah lalu digilis oleh jentera terbabit,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Menurut Baharudin, beberapa rakan mangsa yang menyedari insiden itu bertindak memberhentikan jentera tersebut.

    “Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Bas ekspres bawah 15 penumpang rempuh treler, satu parah

    Bas ekspres bawah 15 penumpang rempuh treler, satu parah

    SEORANG pemandu bas parah selepas bas ekspres membawa 15 penumpang yang dipandunya merempuh belakang sebuah treler dalam kemalangan di kilometer (km) 264 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan di Ipoh, hari ini.

    Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya menerima panggilan memaklumkan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 2.30 pagi sebelum anggota bergegas ke lokasi kejadian.

    Jurucakap dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, kejadian melibatkan sebuah bas ekspres melanggar bahagian belakang treler jenis Mitsubishi Fuso yang membawa muatan besi.

    “Selain terdapat sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi, terbabas ke bahu jalan.

    “Pemandu bas mengalami kecederaan parah selepas tersepit di tempat duduk pemandu. Dua penumpang mengalami cedera ringan manakala selebihnya termasuk pemandu treler selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, anggota bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas dan menyerahkan mangsa kepada pihak ambulans untuk tindakan selanjutnya.

    “Mangsa yang lain keluar sendiri dan diberi rawatan oleh pihak ambulans sebelum bomba tiba di lokasi,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau memberitahu, operasi tamat pada pukul 4.50 pagi.

  • Warga emas hilang beberapa hari ditemukan lemas

    Warga emas hilang beberapa hari ditemukan lemas

    SEORANG warga emas yang dilaporkan hilang sejak beberapa hari lalu ditemukan mauyatnya di sungai dekat Kampung Air Panas Gerik, di Gerik, hari ini.

    Pihak bomba telah menerima maklumat daripada pihak polis berkenaan mayat seorang lelaki berusia 60-an yang ditemukan terapung di sungai pada pukul 9.38 pagi.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak memaklumkan, susulan itu sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik kemudiannya telah dikerahkan ke lokasi.

    “Pihak kami menerima maklumat berkenaan seorang lelaki yang ditemukan terapung di sungai. Mangsa sebelum itu dipercayai hilang dan lemas beberapa hari lalu.

    “Pasukan bomba telah melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang ditemukan terapung kira-kira 5 meter dari tebing sungai.

    “Mangsa telah disahkan maut oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Astro Awani.

    Katanya lagi, operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Kamarul Ariffin Abdul Ghani.

  • Myvi dipandu warga emas rempuh pasar raya

    Myvi dipandu warga emas rempuh pasar raya

    SEBUAH kereta Perodua Myvi dipandu warga emas hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pasar raya Sakan Seri Manjung di Jalan Medan Sitiawan 1, Manjung, 3.15 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya mengesan kemalangan berkenaan selepas rakaman video tular di media sosial yang dimuat naik dalam kumpulan Facebook ‘Komuniti Seri Manjung’.

    “Siasatan mendapati kemalangan itu terjadi ketika kereta dipandu wanita berusia 75 tahun itu datang dari arah sebuah farmasi menghala ke arah stesen minyak Caltex Samudera.

    “Apabila tiba di simpang tiga pasar raya itu, pemandu hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh psar raya terbabit,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Nor Omar berkata, wanita warga emas itu cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Seri Manjung.

    “Kes disiasat mengikut Kaedah 10 LN 166/59 bagi kesalahan gagal kawal kenderaan,” katanya.

    Beliau berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung memohon kerjasama orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-6886222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran bagi membantu siasatan pihak polis.

  • Suruhanjaya Tenaga jalankan siasatan insiden dua beradik maut direnjat elektrik

    Suruhanjaya Tenaga jalankan siasatan insiden dua beradik maut direnjat elektrik

    SURUHANJAYA Tenaga (ST) memandang serius berkaitan dengan kemalangan elektrik yang meragut dua nyawa di Kampung Teras Jernang, Kajang, baru-baru ini.

    Berikutan insiden itu, ST sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

    ST dalam kenyataan berkata, jika didapati berlaku kecuaian atau kesalahan oleh mana-mana pihak yang berkenaan, tindakan undang-undang boleh diambil di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Peraturan-Peraturan Elektrik 1994.

    “Sehubungan itu, ST menasihati orang ramai supaya cakna dengan risiko renjatan elektrik daripada kebocoran arus yang mungkin berlaku di sekitar kediaman.

    “Orang ramai perlu memerhatikan persekitaran kediaman dan melaporkan dengan segera kepada pihak utiliti bekalan elektrik sekiranya terdapat kejanggalan pada pepasangan elektrik seperti wayar servis elektrik terjuntai atau menyentuh bumbung rumah,” katanya, lapor Harian Metro.

    ST berkata, sekiranya ingin melakukan pengubahsuaian atau penyenggaraan rumah, beberapa langkah hendaklah dititikberatkan.

    “Jangan usik atau mengalihkan mana-mana pepasangan utiliti. Hubungi pihak utiliti bekalan elektrik.

    “Lantik kontraktor yang berdaftar dengan ST untuk menjalankan kerja-kerja pendawaian elektrik.

    “Lantik orang kompeten yang berdaftar dengan ST untuk membuat pemeriksaan sistem pendawaian elektrik secara berkala dan membuat penggantian sekiranya perlu. Orang ramai boleh meminta Kad Pendaftaran Orang Kompeten (Competent Person Identification Card) daripada orang kompeten untuk mendapatkan maklumat terus berkaitan status kekompetenan,” katanya.

    Menurutnya, jika terdapat sebarang kemusykilan atau aduan mengenai perkara ini, hubungi ST melalui talian 03-8870 8800 atau e-mel ke [email protected].

  • Budak 2 tahun maut terjatuh dari kerusi bayi di restoran

    Budak 2 tahun maut terjatuh dari kerusi bayi di restoran

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut selepas terjatuh dari kerusi bayi di sebuah restoran di Taman Sutera, Johor Bahru pukul 3 petang semalam.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Fariz Ammar Abdullah berkata, kanak-kanak itu dikatakan sedang makan bersama keluarganya di restoran sebelum terjatuh menyebabkan kepalanya terhentak di lantai.

    “Siasatan awal mendapati, ibu bapa kanak-kanak itu membawanya ke restoran pukul 2 petang dan meletakkan anak mereka di dalam kerusi bayi.

    “Ketika sedang makan, kanak-kanak berkenaan bertindak luar kawalan dengan menolak meja menggunakan kakinya hingga menyebabkan kerusi bayi terjatuh dan kepalanya terhentak di lantai.

    “Dia kemudian menangis dengan kuat sebelum pengsan,” katanya dalam kenyataan akhbar di Johor Bahru, hari ini.

    Kejadian itu katanya, turut disaksikan pekerja restoran terbabit sebelum bapa kanak-kanak itu bergegas membawanya ke klinik swasta.

    Bagaimanapun doktor menasihatkannya untuk dihantar terus ke hospital berikutan keadaannya yang dilihat serius.

    “Bapa kanak-kanak itu kemudian membawanya ke sebuah hospital swasta di Iskandar Puteri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas,” katanya.

    Menurutnya, mayat kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

    Katanya, sehingga kini tiada sebarang unsur jenayah ditemui dalam kejadian itu, bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan.

    “Kertas siasatan dibuka atas laporan mati mengejut (SDR),” katanya.

  • Remaja OKU hilang ditemukan lemas

    Remaja OKU hilang ditemukan lemas

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG remaja lelaki kategori orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang pukul 4.30 petang semalam, ditemukan lemas pagi tadi.

    Remaja berkenaan yang berusia 17 tahun, ditemukan terapung dalam kolam berdekatan rumahnya di Kampung Batu 18, Sengkang, Bukit Gambir, Muar pada pukul 6.47 pagi tadi.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Penolong Penguasa Bomba Rafiah Aziz berkata, keluarga mangsa menemukan mayat mangsa sebelum menghubungi bilik kawalan BBP Bukit Gambir.

    “Mayat ditemukan pada jarak 100 meter dari rumah mangsa dalam kolam berkeluasan panjang dan lebar masing-masing 6 meter. Pihak bomba bertindak ke lokasi dan mengeluarkan mangsa dari kolam menggunakan peralatan khas.

    Mayat ditemukan pada jarak 100 meter dari rumah mangsa dalam kolam berkeluasan panjang dan lebar masing-masing 6 meter.

    “Difahamkan mangsa memang seringkali ke sana. Waktu kejadian mangsa keluar bersama kakaknya ke kolam berkenaan dan pada pukul 3.30 petang kakaknya bawa balik mangsa ke rumah.

    “Namun pada pukul 4.30 petang keluarga baru sedar mangsa tiada di rumah sebelum mencarinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Menurutnya, operasi berkenaan melibatkan sembilan anggota dan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

    Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan pada jarak 2 kilometer selepas menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada pukul 10.42 malam tadi.

    Tambahnya, operasi berkenaan ditamatkan pada pukul 7.39 pagi tadi.