Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut selepas terjatuh dari kerusi bayi di sebuah restoran di Taman Sutera, Johor Bahru pukul 3 petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Fariz Ammar Abdullah berkata, kanak-kanak itu dikatakan sedang makan bersama keluarganya di restoran sebelum terjatuh menyebabkan kepalanya terhentak di lantai.

“Siasatan awal mendapati, ibu bapa kanak-kanak itu membawanya ke restoran pukul 2 petang dan meletakkan anak mereka di dalam kerusi bayi.

“Ketika sedang makan, kanak-kanak berkenaan bertindak luar kawalan dengan menolak meja menggunakan kakinya hingga menyebabkan kerusi bayi terjatuh dan kepalanya terhentak di lantai.

“Dia kemudian menangis dengan kuat sebelum pengsan,” katanya dalam kenyataan akhbar di Johor Bahru, hari ini.

Kejadian itu katanya, turut disaksikan pekerja restoran terbabit sebelum bapa kanak-kanak itu bergegas membawanya ke klinik swasta.

Bagaimanapun doktor menasihatkannya untuk dihantar terus ke hospital berikutan keadaannya yang dilihat serius.

“Bapa kanak-kanak itu kemudian membawanya ke sebuah hospital swasta di Iskandar Puteri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas,” katanya.

Menurutnya, mayat kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Katanya, sehingga kini tiada sebarang unsur jenayah ditemui dalam kejadian itu, bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan.

“Kertas siasatan dibuka atas laporan mati mengejut (SDR),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here