Category: Kemalangan / Bencana

  • Besut dilanda ribut, rumah, sekolah rosak teruk

    Besut dilanda ribut, rumah, sekolah rosak teruk

    PENGHUNI lebih 60 rumah di tujuh kampung di Jertih berdepan detik cemas apabila kawasan itu dilanda ribut sehingga merosakkan kediaman mereka pada petang semalam.

    Kampung terlibat dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu ialah Kampung Pusu Tinggi, Bukit Puteri, Dengir, Tok Has, Lay Out Tok Has, Gong Penaga dan Air Terjun manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Puteri yang terletak di Kampung Tok Has turut mengalami kerosakan dalam insiden itu.

    Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Azbi Salleh berkata kebanyakan rumah mengalami kerosakan pada bahagian bumbung dalam kejadian hujan lebat yang berlarutan hampir satu jam itu.

    “Pihak kami dalam tindakan mendapatkan maklumat jumlah sebenar keluarga yang terjejas kerana kemungkinan ada lagi mangsa yang belum melaporkan kejadian kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing,” katanya.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Besut, Hamdhan Abd Ghafar berkata tiada kecederaan dilaporkan susulan kejadian berlaku selepas waktu persekolahan di mana semua guru dan pelajar telah pulang.

    Katanya, bumbung garaj letak kereta guru diterbangkan ribut sehingga tersangkut pada bumbung bangunan kelas berdekatan.

    “Empat kelas mengalami kerosakan di bahagian bumbung apabila atap diterbangkan angin namun tidak ada sebarang kecederaan. Kejadian berlaku selepas waktu persekolahan, pelajar serta guru telah pulang ke rumah masing-masing.

    “Persekolahan beroperasi seperti biasa hari ini tetapi murid yang kelas mereka terjejas ditempatkan sementara di dewan sekolah dan tindakan segera akan diambil untuk membaiki kerosakan supaya murid-murid dapat mengikuti pembelajaran seperti biasa apabila sekolah dibuka Rabu depan,” katanya.

  • Maut dipercayai dihempap kereta ketika curi ekzos

    Maut dipercayai dihempap kereta ketika curi ekzos

    SEORANG lelaki ditemui mati berhampiran sebuah kereta di tepi jalan di Taman Jaya Utama, Telok Panglima Garang, Selangor, dipercayai akibat dihempap kenderaan itu pada awal pagi semalam.

    Ketua Polis Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh, berkata hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika lelaki itu bersama seorang rakan disyaki sedang mencuri tabung ekzos kereta berkenaan sekitar jam 4 hingga 6 pagi.

    “Lelaki tempatan berusia 40 tahun itu dipercayai maut akibat terhempap selepas peralatan yang digunakan untuk mengangkat kereta berkenaan tiba-tiba terjatuh.

    “Dia dipercayai terhempap ketika berada di bahagian tengah kenderaan, berdekatan tabung ekzos. Kes disiasat sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya, lapor Berita Harian.

    Susulan itu, Ahmad Ridhwan berkata, bertindak atas maklumat diperoleh, pihaknya kemudian menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun yang juga rakan kepada si mati, di sekitar kawasan Telok Panglima Garang pada pukul 10.45 pagi semalam.

    Beliau berkata, suspek yang ditahan didapati mempunyai tujuh rekod jenayah membabitkan kes mencuri ekzos kenderaan dan pecah rumah serta dua rekod narkotik.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri, dan suspek akan direman hari ini,” katanya.

  • 10 cedera termasuk pemandu, van kilang terbalik dan ‘melekat’ di tiang

    10 cedera termasuk pemandu, van kilang terbalik dan ‘melekat’ di tiang

    SERAMAI 10 pekerja kilang termasuk pemandu cedera selepas van yang membawa mereka terbabas dan melanggar tiang dalam kemalangan di KM 151.4 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Bukit Tambun Juru, Juru pukul 6.38 pagi tadi.

    Kemalangan itu mengakibatkan pemandu van kilang tersepit, manakala sembilan lagi penumpang terdiri daripada pekerja wanita dan lelaki cedera.

    Menurut pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap, Pegawai Bomba Kanan 11, Azhar Samsudin, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.38 pagi.

    “Sebaik tiba di lokasi kejadian pihak bomba mendapati sebuah van jenis Foton terbabas dan melanggar tiang.

    “Pemeriksaan mendapati van berkenaan remuk teruk dengan pemandu van tersepit di dalam kenderaan tersebut, dua mangsa mengalami kepatahan manakala tujuh lagi mangsa cedera ringan.

    Anggota bomba ketika berusaha mengeluarkan mangsa dari van terbabit yang seakan ‘melekat’ pada tiang. – Foto JBPM

    “Pasukan penyelamat melakukan kerja kerja penyelamatan mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas dan mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan pada jam 7.34 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kesemua mangsa yang berjaya diselamatkan kemudian diberikan rawatan awal oleh Pihak ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

    “Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan selanjutnya,” katanya lapor Astro Awani.

    Operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.47 pagi dan kes diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya.

  • MetMalaysia keluar nasihat mengenai Taufan Nesat

    MetMalaysia keluar nasihat mengenai Taufan Nesat

    JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan nasihat mengenai Taufan Nesat yang kini berada kira-kira 1,328km ke barat laut Kudat, Sabah.

    Dalam kenyataan hari ini, MetMalaysia memaklumkan taufan itu berada di kedudukan 380km ke timur Hainan, China.

    Menurutnya, berdasarkan pemerhatian pada 8 pagi ini, taufan itu bergerak ke barat daya dengan kelajuan 15 km/jam dan boleh mencapai kelajuan maksimum 139km/jam.

    “Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di kawasan perairan Laut China Selatan,” menurut kenyataan itu, lapor SatuBerita.

  • 5 kenderaan terbabas rempuh gerai buah, peniaga dan pelanggan cedera

    5 kenderaan terbabas rempuh gerai buah, peniaga dan pelanggan cedera

    LIMA buah kenderaan pelbagai jenis terbabas merempuh gerai di Jalan Besar Ayer Tawar, dekat Beruas, semalaam dan mengakibatkan seorang peniaga buah-buahan dan seorang pelanggan cedera.

    Penjual buah-buahan berusia 42 tahun itu mengalami kecederaan parah di bahagian lengan kanan dan kaki kanan manakala pelanggan berusia 54 tahun cedera ringan di bahagian kepala dan badan.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, mereka menerima maklumat mengenai nahas pada 1.50 petang.

    “Kemalangan melibatkan lima buah kenderaan yang merempuh sebuah gerai buah-buahan dan terdapat dua orang mangsa. Kedua-dua mangsa tidak tersepit.

    “Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Sukardi Mohamed itu tamat jam 2.30 petang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Astro Awani.

    Polis dalam pada itu memohon kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan.

    Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, mereka boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-6886222 atau mana–mana balai polis berhampiran.

  • Dua remaja maut, motosikal bergesel di lebuh raya

    Dua remaja maut, motosikal bergesel di lebuh raya

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DUA remaja lelaki maut dalam kemalangan melibatkan empat motosikal di Kilometer 111.3, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan dekat Sungai Petani, Kedah, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1 pagi itu mengakibatkan kedua-dua mangsa yang berusia 19 dan 16 tahun maut di lokasi kejadian.

    Katanya, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

    “Siasatan awal dijalankan mendapati kesemua motosikal tersebut ditunggang secara laju dalam jarak dekat sebelum hilang kawalan dan bergesel sesama sendiri.

    “Kejadian itu mengakibatkan motosikal berkenaan terbabas ke tengah-tengah laluan lebuh raya dengan dua daripada mereka meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

    Tamabhnya, dua lagi mangsa yang berusia 18 dan 19 tahun, dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) bagi mendapatkan rawatan.

    Katanya seorang daripada hanya mengalami kecederaan ringan dan ditempatkan di zon hijau manakalah seorang lagi turut mengalami kecederaan parah menyebabkannya dimasukkan ke zon kuning.

    “Mayat kedua-dua mangsa yang maut dibawa ke unit forensik HSAH untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Lelaki Korea Selatan cedera, terjatuh dari puncak air terjun

    Lelaki Korea Selatan cedera, terjatuh dari puncak air terjun

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG lelaki warganegara Korea Selatan cedera di bahagian tulang belakang dan beberapa anggota badan setelah terjatuh dari puncak air terjun Telaga Tujuh, dekat Gunung Mat Chincang dekat Langkawi, tengah hari tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkata berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 1 tengah hari.

    “Jarak daripada kaki Gunung Mat Chincang ke puncak tersebut dianggarkan 90 meter dan mengambil masa sejam untuk didaki. Setibanya di lokasi, didapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian tulang belakang dan serviks.

    “Pihak bomba terlebih dulu memberi rawatan awal kepada mangsa dikenali sebagai Hyun Seung, 52, di lokasi. Dia kemudiannya dibawa turun menggunakan pengusung,” katanya.

    Tambahnya, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Maliha (HSM), Langkawi menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menerima rawatan lanjut.

  • Pemandu lori Isuzu terbabit nahas 2 rentung direman 4 hari

    Pemandu lori Isuzu terbabit nahas 2 rentung direman 4 hari

    PEMANDU lori jenis Isuzu yang terbabit nahas lima kenderaan sehingga mengakibatkan dua individu maut akibat terbakar di Kilometer 45.7 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Sedenak, di Kulai, malam kelmarin, direman selama empat hari hingga Khamis ini.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, lelaki tempatan berusia 38 tahun itu direman bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Dalam pada itu, beliau berkata, identiti mangsa kedua yang maut terbakar dalam kemalangan berkenaan belum dapat disahkan, setakat ini.

    “Kita sedang dalam proses mengenal pasti identiti mayat kedua,” katanya lapor Berita Harian, hari ini

    Kemalangan ngeri membabitkan dua lori serta tiga kereta menyebabkan tiga kenderaan terbakar hingga 90 peratus dan dua maut di lokasi kejadian.

    Salah seorang mangsa terkorban ialah penumpang Proton Wira dikenali sebagai Nur Nazihah Kamalul Arifin, 28.

    Semalam, Beng Yeow dalam satu kenyataan media memaklumkan, kejadian dipercayai berpunca daripada lori pertama yang menukar lorong dari kanan ke kiri ketika jalan sesak.

    Suami Nazihah, Redzuan Jamil, 28, pula mendakwa terdapat impak dari arah belakang sebelum beliau keluar dan mendapati sebuah lori melanggar tiga kenderaan, termasuk keretanya yang berada di tengah

  • 43 mangsa banjir di Langkawi berlindung di PPS

    43 mangsa banjir di Langkawi berlindung di PPS

    Oleh BADLISHAH MAT

    SERAMAI 43 penduduk terpaksa berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Syifa, Padang Matsirat di Langkawi, ekoran banjir yang melanda daerah itu semalam.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kebanyakan kawasan terlibat telah pulih seperti sedia kala petang semalam, kecuali di Padang Matsirat.

    Katanya, hujan lebat berterusan sejak pukul 4 pagi itu mengakibatkan beberapa kawasan di Langkawi terjejas akibat dinaiki air.

    “Sebuah PPS di Dewan Syifa Padang Matsirat dibuka bagi menempatkan 43 mangsa yang terlibat.

    “Mangsa terdiri daripada 11 keluarga dengan 25 daripadanya adalah lelaki termasuk masing-masing seorang bayi dan warga emas, manakala baki selebihnya adalah wanita,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Antara kampung terjejas adalah Kampung Limbong Putra, Kampung Buluh Penyumpit dan Kampung Atas.

    Sementara itu, Shariman berkata, laluan ke Gunung Raya ditutup kerana terdapat empat runtuhan tanah berlaku dan masih terdapat pergerakan tanah dikesan.

    “Terdapat juga satu rumah yang terjejas di kawasan Kuah akibat tanah runtuh,” katanya.

    Dalam pada itu, Shariman memaklumkan, kesemua 44 mangsa yang terperangkap di kawasan rekreasi Air Terjun Telaga Tujuh, di sini telah berjaya diselamatkan petang semalam.

    Terdahulu, mereka yang terdiri daripada sekumpulan pendaki tidak dapat melintasi sungai di puncak air terjun itu ekoran arus deras disebabkan kepala air ketika hujan lebat.

  • Pemain PJ City maut terbabit kemalangan motosikal

    Pemain PJ City maut terbabit kemalangan motosikal

    PEMAIN Pertahanan PJ City, P. Rajes terlibat dalam kemalangan motosikal dan meninggal dunia malam tadi di Batu Caves.

    Perkara itu dimaklumkan rakannya, S. Subramaniam menerusi catatan di akaun Facebook miliknya.

    “Sahabat saya P. Rajes pemain bola sepak Liga Super PJ city FC mengalami kemalangan motosikal dan meninggal dunia malam tadi di Batu Caves.

    “Mohon jangan sebarkan gambar-gambar kemalangan beliau di media sosial dan WhatsApp demi menjaga kesensitivitian keluarga dan rakan- rakan beliau. Sekian,” tulisnya.

    Pemergian mendiang nyata dirasai peminat bola sepak tanah air yag bersedih dengan pemergiannya.

    Kebanyakan kelab bola sepak termasuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut merakamkan ucapan takziah buat keluarga mendiang.

    “Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengucapkan salam takziah kepada keluarga mendiang Rajes Perumal, pemain PJ City FC yang telah meninggal dunia, awal pagi tadi,” katanya.

    Rajes, 37, sebelum ini turut pernah beraksi bersama beberapa pasukan lain iaitu PKNS FC, Selangor dan Kedah.

    Pemain veteran itu turut membantu pasukannya mengakhiri kempen Liga Super 2022 di tangga kesembilan.

    Dia turut membuat penampilan sebagai pemain gantian dalam perlawanan terakhir menentang KL City, Sabtu lalu.