Category: Kemalangan / Bencana

  • Polis bantuan, AJK UMNO cedera ditembak ketika menunggang motosikal

    Polis bantuan, AJK UMNO cedera ditembak ketika menunggang motosikal

    SEORANG anggota polis bantuan cedera akibat ditembak individu tidak dikenali ketika menunggang motosikal di Kampung Aur Tebing, Salor, di Kota Bharu, malam tadi.

    Mangsa, Kamarul Fadzreen Kamaruzaman, 30, yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda UMNO Ketereh terkena tembakan pada dada kanan dan kini.

    Dia yang juga yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda UMNO Ketereh mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu.

    Menurut adik ipar mangsa, Shazwan Sazali, 33, dia sekeluarga mengetahui mengenai kejadian yang menimpa abang iparnya pada pukul 11 malam tadi, selepas dihubungi oleh kawan baik mangsa yang juga rakan setugas.

    “Mangsa ada memberitahu untuk keluar berjumpa rakannya di Kota Bharu dengan menunggang motosikal sendirian. Ketika dalam perjalanan dia tiba-tiba ditembak oleh individu yang tidak dikenali.

    “Bagaimanapun, dia masih menunggang motosikal sejauh 100 meter menuju ke sebuah kedai makan berdekatan untuk meminta bantuan. Sebaik tiba, dia juga sempat menelefon rakan baiknya supaya datang ke kedai terbabit.

    “Abang kemudian dibawa ke Hospital Pasir Mas (HPM) sebelum dipindahkan ke HRPZ II untuk menjalani pembedahan,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Shazwan berkata, abang iparnya yang juga bapa kepada dua cahaya mata adalah seorang yang sangat baik dan peramah selain tidak mempunyai musuh.

    “Sejujurnya, kami sekeluarga tidak tahu apa motif utama abang ipar saya ditembak.

    “Kami sekeluarga terkejut dengan apa yang terjadi serta berdoa semoga dia terus kuat dan berharap agar pembedahan berjalan dengan lancar,” katanya.

  • Cari ketam, jumpa mayat terdampar

    Cari ketam, jumpa mayat terdampar

    PENCARI ketam terkejut selepas menemui mayat terdampar di tepi laut Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu pukul 8 malam tadi.

    Dia menemukan mayat lelaki itu dalam keadaan tidak berbaju, memakai seluar pendek, sarung tangan dan goggles renang sebelum memaklumkannya kepada pihak polis.

    Turut ditemui sehelai baju yang diletakkan di atas batu di tepi pantai dipercayai milik mangsa.

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat yang belum dikenal pasti identiti itu.

    “Setakat ini siasatan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah,” katanya lapor Harian Metro.

    Kata Mohd. Zaidi lagi: “Mangsa dipercayai lemas ketika mencari ketam di lokasi dan mayat dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk proses bedah siasat.

    “Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung mangsa boleh menghubungi pegawai penyiasat, Ketua Polis Balai Manggatal, Sub-Inspektor Badrizaman Abdol Rahman.”

  • Polis bantuan maut nahas kereta bertembung bas

    Polis bantuan maut nahas kereta bertembung bas

    SEORANG polis bantuan maut selepas Proton Persona yang dipandunya bertembung dengan sebuah bas di jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang, pukul 1 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa yang berusia 20 tahun dikatakan dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.

    “Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu mangsa dipercayai telah memotong beberapa buah kenderaan.

    “Tindakan itu menyebabkan kereta tersebut telah bertembung dengan sebuah bas ekspres yang datang dari arah bertentangan.

    “Semasa kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari bandar Gua Musang hendak pulang ke rumahnya di Chiku 2,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Choon Foo berkata, mangsa maut di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

    Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

  • Wanita rentung dikenal pasti kakitangan Hospital Putrajaya

    Wanita rentung dikenal pasti kakitangan Hospital Putrajaya

    WANITA yang rentung dalam nahas membabitkan dua kereta di Kilometer 10.8 Lebuhraya Maju Expressway (MEX) dekat Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pagi tadi, adalah Penolong Pegawai Perubatan Hospital Putrajaya.

    Mangsa, Wong Zhen Ying, 28, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kereta dipandu terbakar manakala empat rakannya yang menaiki kereta sama sempat menyelamatkan diri.

    Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, polis menerima maklumat kemalangan pada pukul 6.50 pagi.

    Beliau berkata, kemalangan membabitkan Perodua Bezza dipandu mangsa dan Proton Saga.

    “Siasatan mendapati kereta dinaiki mangsa bersama empat penumpang berhenti di lorong kecemasan dan ketika bergerak untuk meneruskan perjalanan, kereta mereka dilanggar Proton Saga dari arah belakang.

    “Akibat pelanggaran itu, kereta mangsa terbabas merempuh pembahagi jalan dan kemudian terbakar.

    “Keempat-empat penumpang berjaya menyelamatkan diri manakala pemandu tersepit di tempat duduk,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Zam Halim berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Ahammad Sadiq Yusoff di talian 013-4545679 atau Trafik Kuala Lumpur di talian 03-20719999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

  • Wanita rentung nahas dua kereta di Lebuh Raya MEX

    Wanita rentung nahas dua kereta di Lebuh Raya MEX

    SEORANG wanita rentung apabila kereta dipandunya terbakar dalam kemalangan di Kilometer (KM) 10.9 Lebuh Raya Maju Expressway (MEX) dekat Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pagi tadi.

    Kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu turut mengakibatkan seorang penumpang lelaki dilaporkan cedera, manakala tiga lagi penumpang wanita terselamat.

    Komander Operasi, Khairuddin Abdurrahman, berkata Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 6.14 pagi.

    Berikutan itu, beliau berkata, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jalil serta BBP Pudu dengan kekuatan 17 anggota, dikejarkan ke lokasi.

    “Setiba di lokasi, pasukan mendapati sebuah kenderaan terbakar berpunca daripada kemalangan dengan sebuah kereta jenis Proton Saga.

    “Pasukan segera memadamkan kebakaran. Kereta itu musnah terbakar 100 peratus dan seorang wanita ditemui rentung di bahagian pemandu.

    “Seorang penumpang lelaki dilaporkan cedera di bahagian kepala, manakala tiga lagi penumpang wanita selamat. Pemandu kereta Proton Saga juga dilaporkan tiada mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian hari ini.

    Beliau berkata, kes kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

  • MetMalaysia keluar amaran ribut petir di 10 negeri

    MetMalaysia keluar amaran ribut petir di 10 negeri

    JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berlaku di 10 negeri hari ini.

    MetMalaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 2.20 petang tadi memaklumkan negeri yang terlibat ialah Kedah meliputi Padang Terap, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu; Pulau Pinang; Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar dan Batang Padang); Kelantan (Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang) serta Terengganu (Besut, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman).

    Selain itu, Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh dan Kuantan); Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah dan Rembau) dan Johor (Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru). 

    Di Sarawak pula meliputi Betong (Saratok dan Kabong), Sarikei, Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah, Kapit (Belaga), Bintulu, Miri (Telang Usan dan Marudi) dan Limbang, serta Tawau, Sandakan (Tongod, Kinabatangan dan Sandakan) dan Kudat (Pitas dan Kudat) di Sabah.

    Kenyataan itu memaklumkan keadaan cuaca itu berlarutan sehingga 7 malam ini.

  • TNB siap siaga hadapi musim banjir

    TNB siap siaga hadapi musim banjir

    TENAGA Nasional Berhad (TNB) menyenaraikan lebih 2,500 kakitangan daripada Bahagian Rangkaian Pembahagian untuk menganggotai Pasukan Kecemasan Keselamatan sebagai persiapan menghadapi bencana banjir.

    Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, kakitangan terbabit akan bertugas 24 jam bagi memastikan pengurusan bekalan tenaga elektrik teratur dan meminimumkan kerosakan pepasangan elektrik demi keselamatan orang ramai.

    Beliau berkata bantuan logistik di negeri sering dilanda banjir sudah disiapkan termasuk 296 set janakuasa bergerak; 227 set janakuasa kecil mudah alih 5kW/2.5kW; 279 buah lori; 885 kenderaan pacuan empat roda; 38 buah bot dan 108 lampu limpah.

    Selain itu, Wan Nazmy berkata pusat pemindahan sementara (PPS) juga akan diperiksa bagi memastikan bekalan elektrik berada dalam keadaan baik.

    “TNB bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah serta akan membuka bilik gerakan di negeri-negeri yang dilanda banjir untuk memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini mengenai bekalan elektrik,” katanya.

    Pengguna yang terputus bekalan elektrik ketika banjir dinasihatkan agar segera menghubungi TNB di talian 15454 atau Facebook TNB Careline untuk tindakan lanjut.

  • Tiga lelaki nyaris rentung bilik terbakar

    Tiga lelaki nyaris rentung bilik terbakar

    TIGA lelaki nyaris rentung selepas dua bilik di sebuah premis perniagaan di Jalan Datuk Haji Eusoff di Kuala Lumpur, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

    Kesemua penghuni terbabit berjaya diselamatkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur yang menjalankan operasi pemadaman.

    Menurut Komander Operasi Mohd Alhafiz Asmuni, tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Hang Tuah serta Titiwangsa dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.31 pagi.

    “Seramai 32 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi memadamkan kebakaran,” katanya lapor Harian Metro.

    “Kebakaran membabitkan dua bilik yang terletak di tingkat tiga sebuah bangunan rumah kedai. Terdapat tiga mangsa berjaya diselamatkan pasukan bomba.

    “Pasukan menjalankan kerja pemadaman dan mengawal api daripada merebak ke bangunan bersebelahan. Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada jam 1.52 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, dua bilik berkenaan musnah terbakar 100 peratus namun punca kejadian masih dalam siasatan.

  • Pemandu maut kereta terbakar

    Pemandu maut kereta terbakar

    SEORANG individu maut dalam kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Kancil di tepi Jalan Shapadu, Kampung Sungai Pinang, Klang, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

    Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata mangsa yang tidak dapat dikenal pasti identitinya itu berada di tempat pemandu dan didapati rentung 100 peratus.

    Beliau berkata pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 5.27 pagi.

    “Sebaik tiba 10 minit kemudian didapati kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Kancil (nombor plat, BGN 5095) yang terbakar 100 peratus dengan seorang mangsa turut terbakar 100 peratus di tempat duduk pemandu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

  • Wanita mengandung maut kemalangan elak ular

    Wanita mengandung maut kemalangan elak ular

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG wanita yang sedang menunggu hari kelahiran anak keduanya meninggal dunia setelah motosikal dinaikinya terlibat dalam kemalangan bersama sebuah kereta di Kilometer 29, Kampung Charuk Padang di Jalan Jeniang Sik-Pedu, Sik.

    Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, mangsa, Nor Hidayah Abdullah, 27, yang berasal dari Bandar Baru Beris Jaya dikatakan cuba mengelak ular yang secara tiba-tiba muncul di atas jalan raya menyebabkan dia gagal mengawal motosikalnya.

    Bagaimanapun, kandungannya berjaya diselamatkan setelah dia dibawa ke hospital bagi mengeluarkan seorang bayi lelaki yang masih bernyawa ketika kejadian.

    Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, mangsa menaiki motosikal itu bersama seorang lagi wanita, namun mangsa kedua hanya mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Daerah Sik.

    Katanya, berdasarkan siasatan di tempat kejadian, motosikal jenis Honda Wave Alpha ditunggangi wanita itu bergesel dengan Perodua Axia yang sedang bergerak dari arah sama.

    Kandungannya berjaya diselamatkan setelah dia dibawa ke hospital bagi mengeluarkan seorang bayi lelaki yang masih bernyawa ketika kejadian.

    “Wanita itu mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan termasuk mukanya. Bayi lelaki yang juga anak keduanya itu kini dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk rawatan lanjut.

    “Dalam kemalangan itu, mangsa cuba mengelak seekor ular yang keluar secara tiba-tiba di bahu kiri jalan, lalu menyebabkan dia memasuki laluan kereta dan berlaku pelanggaran di bahagian sebelah kiri kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

    Abdull Razak memaklumkan, pemandu kereta iaitu seorang lelaki berusia 61 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan ketika dia sedang dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Enggang untuk mengambil anaknya yang bekerja di situ.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.