Category: Kemalangan / Bencana

  • 22 mangsa tanah runtuh masih hilang – JBPM

    22 mangsa tanah runtuh masih hilang – JBPM

    SEKURANG-kurangnya 22 orang masih hilang dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, di Hulu Selangor, awal pagi tadi.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi satu kenyataan berkata, setakat 11.41 pagi, sebanyak 12 orang disahkan meninggal dunia manakala 1 lagi cedera dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu.

    “Keseluruhan mangsa terlibat dikenalpasti ialah 94 orang. Sebanyak 59 orang terselamat, 12 orang disahkan meninggal dunia, 1 cedera dan 22 orang masih hilang.

    “Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang masih hilang masih giat dijalankan,” katanya.

    Mengulas lanjut kenyataan itu berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu disertai pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu, BP Rawang, BBP Genting, BBP Selayang, BBP Shah Alam, BBP Damansara, BBP KLIA, BBP Petaling Jaya, BBP Pandan, BBP Ampang, BBP Kajang dan BBP Andalas.

    Operasi turut disertai Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) Pahang, STORM Putrajaya, STORM N. Sembilan, STORM Perak, STORM Kuala Lumpur.

  • Ada kemungkinan jumlah mangsa tanah runtuh lebih 94 orang

    Ada kemungkinan jumlah mangsa tanah runtuh lebih 94 orang

    TERDAPAT kemungkinan jumlah mangsa yang masih hilang dalam tragedi tanah runtuh di tiga tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, di Hulu Selangor, awal pagi tadi, lebih ramai.

    Perkara itu dimaklumkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media di lokasi kejadian, hari ini.

    Beliau berkata, ini kerana jumlah mangsa yang dikenal pasti ketika ini berdasarkan rekod pengusaha tiga tapak kem yang memaklumkan terdapat 94 individu berdaftar.

    “Ada kemungkinan angka ini berubah memandangkan mungkin pendaftaran dibuat atas nama suami atau isteri saja.

    “Justeru, kita memaklumkan kepada mana-mana balai supaya menerima laporan orang hilang yang diketahui datang ke tapak perkhemahan ini supaya maklumat ini dikumpul dalam operasi,” katanya lapor Harian Metro.

    Saifuddin Nasution memberitahu, pihaknya juga akan menambah jumlah anggota membabitkan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam operasi ini dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

    Beliau berkata, mayat mangsa pertama dibawa keluar dari lokasi pukul 5.40 pagi tadi.

    “Mangsa terakhir dibawa keluar setakat pukul 11 pagi tadi menjadikan jumlah keseluruhan mangsa direkodkan seramai 11 orang.

    “Usaha mencari dan menyelamat 23 lagi mangsa yang dilaporkan hilang sedang giat dijalankan,” tambahnya.

  • Lebih 20 guru SJKC Mun Choong dan keluarga antara mangsa tanah runtuh

    Lebih 20 guru SJKC Mun Choong dan keluarga antara mangsa tanah runtuh

    LEBIH 20 guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong dari Jalan Ipoh Kuala Lumpur dan ahli keluarga mereka, disahkan antara ratusan mangsa tanah runtuh perkhemahan berhampiran sebuah ladang organik, Father’s Organic Farm, di Gohtong Jaya, awal pagi tadi.

    Menurut Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKC Mun Choong, U Chin Ong, berdasarkan maklumat yang diterimanya setakat ini, beberapa guru yang berjaya diselamatkan pihak berkuasa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan.

    “Selain HKL, ada guru dipindahkan ke Balai Polis Hulu Yam Bharu untuk menerima rawatan daripada petugas HKL.

    “Saya bergegas dari Selayang ke balai ini untuk mendapatkan maklumat terbaharu.

    “Ada seorang guru wanita bersama bayinya masing-masing menangis ketika dirawat tadi, nasib baik mereka hanya cedera ringan. Saya juga ada bawa susu untuk bayi itu,” katanya ketika ditemui di balai terbabit, hari ini, lapor Berita Harian.

    Chin Ong berkata, guru terbabit bersama keluarga mereka mengambil keputusan untuk bercuti dengan mendirikan khemah di ladang terbabit, selama tiga hari sejak Rabu lalu.

    “Mereka berkhemah sempena cuti persekolahan hujung tahun. Mereka patut pulang ke kediaman masing-masing pagi ini.

    “Guru terbabit bercuti di ladang itu kerana berasakan kawasan itu selamat dan rata. Ada dua kem di kawasan itu, kejadian tanah runtuh teruk di kem satu,” katanya.

    Sementara itu, beberapa petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dilihat membawa beberapa keperluan asas seperti makanan, pakaian, lampin dan selipar untuk mangsa di balai polis berkenaan.

    Petugas HKL pula sibuk merawat mangsa dengan memeriksa tekanan darah dan membalut luka mereka.

  • Tanah runtuh Batang Kali: Angka maut meningkat 13 orang

    Tanah runtuh Batang Kali: Angka maut meningkat 13 orang

    ANGKA kematian akibat tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm dekat jalan menghubungkan Batang Kali dengan Genting Highlands pagi tadi dilaporkan meningkat kepada 13 orang.

    Angka kematian terkini setakat pukul 11 pagi itu dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

    Antara yang maut termasuk kanak-kanak, seorang lelaki dan enam wanita.

    Menurutnya, tiga daripada tujuh mangsa yang cedera dalam kejadian itu di hantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu bagi mendapatkan rawatan.

    Katanya, tiga mangsa di hantar ke Hospital Selayang manakala seorang lagi mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pukul 2.24 pagi.

    Beliau berkata, ketinggian runtuhan dianggarkan setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan runtuhan sebesar tiga ekar (1.21 hektar).

  • Pahang hantar pasukan penyelamat, sukarelawan – Wan Rosdy

    Pahang hantar pasukan penyelamat, sukarelawan – Wan Rosdy

    MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pasukan penyelamat dan sukarelawan dari negeri itu akan dihantar segera ke kawasan tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm dekat jalan menghubungkan Batang Kali dengan Genting Highlands.

    Beiau berkata, ia bagi membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dikhuatiri masih tertimbus tanah runtuh.

    “Saya menerima perkhabaran berita yang mengejutkan mengenai tragedi tanah runtuh yang telah berlaku di sebuah tapak perkhemahan berhampiran Father Organic Farm, Batang Kali, Hulu Selangor awal pagi tadi.

    “Susulan kejadian itu, saya telah mengarahkan pasukan penyelamat dan sukarelawan dari Pahang untuk segera ke kawasan tragedi bagi membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

    Mengulas lanjut, Wan Rosdy turut menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati untuk mengadakan sebarang aktiviti perkhemahan sama ada di kawasan tanah tinggi atau di berhampiran sungai.

    Katanya, ia bagi mengelakkan kejadian buruk daripada berlaku terutama ketika musim tengkujuh.

    “Saya berdoa semoga kita semua dilindungi oleh Allah SWT daripada sebarang bentuk musibah dan malapetaka,” katanya.

    Setakat pukul 11 pagi, polis mengesahkan 9 maut, manakala 60 mangsa berjaya diselamatkan dalam kejadian tanah runtuh terbabit.

  • Mangsa tanah runtuh dengar bunyi seperti letupan, bumi bergerak

    Mangsa tanah runtuh dengar bunyi seperti letupan, bumi bergerak

    SEORANG mangsa tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali awal pagi ini mendakwa mendengar bunyi letupan kuat dan bumi seolah-olah ‘bergerak’ ketika kejadian itu berlaku.

    Menurut Leong Jim Meng, 57, dia dan keluarganya yang sedang bercuti tidak menyangka kejadian seumpama itu akan berlaku kerana sejak beberapa hari ini tidak hujan lebat, sebaliknya hanya hujan renyai.

    Katanya yang kini ditempatkan di Balai Polis Hulu Yam Bharu, mereka sedang tidur ketika kejadian itu berlaku pukul 2 pagi manakala keadaan terlalu gelap menyukarkan mereka melihat kejadian secara jelas.

    “Saya dan keluarga terperangkap apabila tanah menutupi khemah kami. Kami kemudian sempat meloloskan diri ke kawasan parkir dan menghubungi pihak berkuasa. Mereka tiba agak cepat iaitu 30 minit kemudian.

    “Ada lebih 100 mangsa terperangkap dalam tanah runtuh itu, namun kami sekeluarga berjaya menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di balai polis terbabit, lapor Berita Harian.

    Seorang lagi mangsa, Teh Lynn Xuan, 22, berkata dia mendirikan khemah di Zon B Hilltop bersama lebih 40 lagi orang.

    “Malangnya adik lelaki meninggal dunia akibat kejadian itu dan seorang lagi dimasukkan ke hospital.

    “Kami dapat rasa khemah mula tidak stabil dan dijatuhi tanah. Nasib baik saya sempat keluar khemah dan pergi ke tempat lebih selamat. Saya dan ibu berjaya merangkak keluar serta menyelamatkan diri.

    “Ada kanak-kanak dan bayi meninggal dunia, kejadian itu berlaku terlalu cepat,” katanya.

    Sementara itu, pekerja Father’s Organic Farm, Thawng Uk, 35, berkata dia dan 12 rakan sekerjanya berjaya menyelamatkan diri daripada kejadian tanah runtuh itu.

    “Namun, ada seorang cedera pada kaki dan ditempatkan di hospital. Saya dan 11 lagi pekerja selamat.

    “Kejadian tanah runtuh itu amat menakutkan dan saya trauma dengan apa yang berlaku,” katanya.

    Setakat jam 11 pagi, polis mengesahkan 9 maut, manakala 60 mangsa berjaya diselamatkan dalam kejadian tanah runtuh terbabit.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis pula dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pukul 2.24 pagi.

    Beliau berkata, ketinggian runtuhan dianggarkan setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan runtuhan sebesar tiga ekar (1.21 hektar).

  • Tanah Runtuh Batang Kali: 92 mangsa ditemui, 8 maut setakat 9.15 pagi

    Tanah Runtuh Batang Kali: 92 mangsa ditemui, 8 maut setakat 9.15 pagi

    SEKURANG-kurangnya lapan individu maut manakala tujuh lagi cedera dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di sebuah tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali awal pagi ini.

    Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam satu kenyataan berkata, setakat pukul 9.15 pagi seramai 92 orang mangsa telah ditemui.

    “Setakat pukul 9.15 pagi, seramai 92 orang mangsa telah ditemui. Hasil siasatan mendapati 53 mangsa yang ditemui selamat, 7 mangsa cedera dan 8 mangsa disahkan meninggal dunia.

    “Sehingga kini operasi SAR (mencari dan menyelamat) masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Kira-kira pukul 2 pagi ini, satu kejadian tanah runtuh dilaporkan di Fathers Organic FARM, Batang Kali, Kuala Selangor yang telah menghempap tapak perkhemahan yang berada berdekatan dengan jalan tersebut.

    Menurut Jurucakap Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Selangor, daripada jumlah yang maut, seorang daripadanya sudah dikenal pasti sebagai wanita dewasa manakala dua lagi adalah kanak-kanak manakala identiti mereka yang terkorban masih belum dikenal pasti.

    Kira-kira 7 pagi tadi, laporan awal dari Balai Polis Gohtong Jaya memaklumkan 36 orang yang terselamat ditempatkan di Balai Polis Ulu Yam Bharu dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu, dekat sini untuk tindakan lanjut.

    Maklumat awal pihak polis menyebut 100 orang dikhuatiri terperangkap selepas tapak perkhemahan mereka terlibat dengan kejadian runtuhan tanah yang dianggarkan setinggi 30 meter, awal pagi tadi.

    Usaha mencari dan menyelamat masih lagi diteruskan dengan pelbagai aset digerakkan ke lokasi kejadian.

    JBPM turut menerbangkan dron di sekitar lokasi kejadian untuk melihat bentuk muka bumi dalam misi penyelamatan.

    Kejadian tanah runtuh tersebut berlaku setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan 0.4 hektar.

    Antara agensi terlibat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    Difahamkan, seramai 79 pengunjung dan 15 pekerja tapak perkhemahan berada di lokasi semasa kejadian.

  • 69 orang dikhuatiri tertimbus tanah runtuh di Batang Kali

    69 orang dikhuatiri tertimbus tanah runtuh di Batang Kali

    KIRA-kira 69 orang dikhuatiri terperangkap dan tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di sebuah tapak perkhemahan di Batang Kali, pada awal pagi ini.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.24 pagi sebelum menggerakkan anggota dan aset ke lokasi kejadian.

    “Menurut laporan awal komander operasi, kejadian tanah runtuh berlaku di tepi jalan berhampiran ‘Father Organic Farm’ dan telah menghempap tapak perkhemahan yang berada berdekatan dengan jalan.

    “Ketinggian runtuhan dianggarkan setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan runtuhan satu ekar.

    “Maklumat awal daripada pihak polis mendapati, terdapat 100 orang berada di tapak perkhemahan tersebut yang mungkin menjadi mangsa runtuhan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini lapor Astro Awani.

    Bagaimanapun, Norazam berkata, setakat pukul 5.30 pagi, seramai 31 mangsa telah ditemukan dalam keadaan selamat.

    “Pasukan unit K9 dan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentosa, BBP Ampang, BBP Pandan, BBP Kota Anggerik, BBP Kajang, BBP Andalas turut digerakkan ke lokasi kejadian.

    “Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) turun telah diaktifkan untuk penyelamatan mangsa yang masih terperangkap,” tambahnya.

  • Anggota polis bertugas di Istana Negara maut digilis

    Anggota polis bertugas di Istana Negara maut digilis

    SEORANG anggota polis yang bertugas di Istana Negara meninggal dunia selepas digilis kenderaan lain dalam satu kejadian dekat Putrajaya, pagi ini.

    Kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu berlaku di Kilometer 37.7 Lebuhraya Elite arah utara melibatkan Lans Koperal Amirul Faiz Mohammad Ali, 31,.

    Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, ketika kejadian, mangsa dari arah Melaka menghala ke Jalan Duta, Kuala Lumpur.

    Katanya, motosikal jenis SYM ditunggang mangsa hilang kawalan dan terlanggar besi penghadang jalan, yang menyebabkannya terjatuh di lorong paling kanan.

    “Akibatnya, mangsa digilis kenderaan lain yang belum dipastikan,” katanya hari ini, lapor Harian Metro.

    Wan Kamarul Azran berkata, motosikal mangsa rosak di bahagian kanan hadapan, lampu belakang dan lain-lain.

    Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Putrajaya untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

  • Pesakit maut jatuh dari tingkat tujuh bangunan hospital

    Pesakit maut jatuh dari tingkat tujuh bangunan hospital

    SEORANG lelaki ditemukan mati dipercayai terjun dari tingkat tujuh bangunan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAH) di Temerloh, tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima aduan memaklumkan kejadian itu pada pukul 12.10 tengah malam.

    Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh menjalankan siasatan di tempat kejadian.

    “Hasil siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 19 tahun itu merupakan salah seorang pesakit yang sedang menerima rawatan di hospital terbabit.

    “Berdasarkan laporan doktor, mangsa menerima rawatan kerana demam panas dan jangkitan kuman di otaknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Mohd Azhar, kejadian itu juga tiada sebarang kaitan dengan unsur jenayah.

    Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HoSHAS untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    “Orang ramai diingatkan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini dan sekiranya mempunyai sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pihak polis di mana-mana balai berdekatan,” katanya menurut Astro Awani.