Category: Kemalangan / Bencana

  • Banjir: Kedah sumbang RM200,000 kepada Kelantan, Terengganu

    Banjir: Kedah sumbang RM200,000 kepada Kelantan, Terengganu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PRIHATIN dengan bencana dihadapi Kelantan dan Terengganu, kerajaan negeri Kedah memutuskan untuk memberikan sumbangan berjumlah RM200,000 bagi membantu meringankan beban dihadapi kedua-dua negeri itu.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, keputusan untuk memberikan sumbangan itu dibuat menerusi mesyuarat Exco dipengerusikannya semalam.

    Katanya, kedua-dua negeri itu masing-masing akan menerima RM100,000 sumbangan kerajaan negeri Kedah.

    “Selain itu sebanyak empat kontena berisi 24,000 beg beras serta bahan makanan asas akan dihantar ke kedua-dua negeri tersebut.

    “Beras serta bahan makanan asas itu adalah sumbangan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK)” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, penghantaran sumbangan makanan tersebut akan dibuat sebaik keadaan mengizinkan.

    Ratusan ribu rakyat di Terengganu dan Kelantan dilaporkan terjejas akibat banjir yang berlaku baru-baru ini.

  • Penduduk terjejas banjir di Terengganu, Pahang meningkat

    Penduduk terjejas banjir di Terengganu, Pahang meningkat

    JUMLAH mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu dan Pahang terus meningkat, Johor dan Perak kekal manakala di Kelantan semakin berkurangan setakat 8 pagi ini.

    Di TERENGGANU, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa banjir terus meningkat daripada 36,009 orang pada 12 tengah malam tadi kepada 36,231 orang pagi ini.

    Sebanyak 9,739 keluarga masih berlindung di 256 PPS di lapan daerah membabitkan Kemaman, Besut, Dungun, Hulu Terengganu, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang.

    Penduduk terutama di sekitar daerah Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Kuala Terengganu diminta terus bersiap siaga menghadapi bencana banjir apabila paras air di tiga sungai di Terengganu didapati telah melepasi aras bahaya, manakala lima melebihi aras waspada.

    Menurut Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) tiga sungai yang melepasi aras bahaya terdiri daripada Sungai Dungun di Jambatan Jerangau; Sungai Kemaman di Rumah Pam, Paya Paman dan Sungai Nerus di Kampung Jeram.

    Lima sungai yang telah melebihi tahap amaran ialah Sungai Telemong di Kuala Ping; Sungai Nerus di Kampung Bukit; Sungai Nerus di Kampung Langkap; Sungai Tebak di Jambatan Tebak dan Sungai Terengganu di Muzium Negeri Terengganu.

    Di Kelantan, Sekretariat JPBN menyatakan kesemua mangsa ditempatkan di 119 PPS di sembilan jajahan melibatkan Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, Pasir Puteh, Jeli, Kota Bharu, Bachok, Tumpat dan Machang terus merekodkan penurunan kepada 30,115 orang pagi ini, berbanding 30,551 orang malam tadi.

    Namun, dua sungai di Kelantan iaitu Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai dan Sungai Golok di Kampung Jambu, Tumpat merekodkan bacaan paras bahaya pagi ini iaitu masing-masing 36.78 meter (m) dan 3.83 m.

    Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut merekodkan bacaan paras bahaya ialah Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.33m) dan Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (24.17m).

    Dalam pada itu, Sungai Kelantan di Kuala Krai (23.98m) dan Sungai Pergau di Jambatan Jerimbong, Kuala Balah, Jeli (55.19m) berada pada tahap amaran.

    Tiga sungai iaitu Sungai Lanas di Air Lanas, Jeli (28.64m), Sungai Kelantan di Tambatan Diraja, Kota Bharu (3.26m) dan Sungai Kelantan di Jeti Kastam, Kota Bharu (3.37m) pula merekodkan bacaan pada paras waspada.

    Di Pahang, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir pagi ini meningkat sedikit kepada 35 orang yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ular, Kuantan berbanding 30 orang semalam.

    Di Johor, Sekretariat JPBN dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir kekal 48 orang pagi ini yang masih berlindung di dua PSS di Segamat melibatkan 34 orang di Balai Raya Kampung (Kg) Batu Badak dan 14 orang di Dewan Komuniti Kg Tasek.

    Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan empat sungai di negeri itu berada pada paras waspada iaitu Sungai Muar, Buloh Kasap di Segamat dengan ketinggian 8.49 meter (m); Sungai Sembrong di Empangan Sembrong (10.02m); Sungai Ayer Hitam di Kg Paya Embun (4.77m) dan Sungai Endau, Kg Labong di Mersing (1.12m).

    Sementara itu di Perak, jumlah mangsa banjir pagi ini kekal 26 orang daripada 12 keluarga di Bagan Datuk sejak 8 malam tadi, dengan kesemua mangsa ditempatkan di PPS SK Sungai Tiang Darat.- BERNAMA

  • Empat lagi mayat mangsa tragedi tanah runtuh ditemui

    Empat lagi mayat mangsa tragedi tanah runtuh ditemui

    EMPAT lagi mayat mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Genting-Batang Kali di Hulu Selangor ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pagi ini.

    Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melalui kenyataan di Facebook sebentar tadi mengesahkan perkara itu.

    Penemuan kesemua mayat itu menjadikan jumlah korban tragedi itu kini 30 orang dengan tiga lagi mangsa masih hilang.

    Berita Harian difahamkan, empat mayat terkini ditemukan itu membabitkan dua kanak-kanak serta dua dewasa termasuk seorang wanita.

    “Pagi ini petugas SAR telah berjaya menemui empat lagi mayat yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh Father’s Organic Farm,” katanya.

    Dalam pada itu, satu sidang media berkenaan perkara berkenaan akan diadakan pihak bomba dan polis di lokasi dalam masa terdekat.

    Setakat semalam, seramai 26 mangsa disahkan terkorban manakala 61 selamat dan tujuh masih hilang.

    Hari ini, genap tujuh hari kejadian tanah runtuh menimpa tapak perkhemahan berkenaan dan operasi SAR digerakkan.

  • Tanah runtuh: Operasi SAR diteruskan kesan tujuh lagi mangsa

    Tanah runtuh: Operasi SAR diteruskan kesan tujuh lagi mangsa

    OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) tujuh lagi mangsa yang masih hilang dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di sini pada Jumaat lepas, diteruskan hari ini.

    Operasi yang memasuki hari ketujuh bersambung semula pada kira-kira 8 pagi tadi, selepas ditangguhkan pada pukul 10 malam semalam.

    Setakat ini, tragedi berkenaan meragut 26 nyawa, tujuh mangsa masih hilang manakala 61 terselamat daripada keseluruhan 94 mangsa yang dilaporkan terlibat.

    Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, daripada keseluruhan mangsa terlibat, 29 adalah kanak-kanak dan 65 dewasa. – BERNAMA

  • Banjir kilat dijangka landa enam negeri dalam 24 jam

    Banjir kilat dijangka landa enam negeri dalam 24 jam

    BANJIR kilat mungkin melanda Johor, Pahang, Perak, Selangor, Terengganu dan Sabah dalam tempoh 24 jam jika berlaku hujan lebat atau ribut petir yang signifikan, menurut Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

    Berdasarkan notis PRABN yang dikeluarkan 7 pagi ini,  kawasan terlibat di Johor ialah Kota Tinggi sekitar Sedili Kechil dan Ulu sungai Sedili Besar, Muar (Bandar, Bandar Maharani dan Jalan Bakri) serta Mersing (Bandar Padang Endau).

    Di Pahang, tiga daerah terlibat iaitu Kuantan sekitar Bandar Kuantan, Hulu Kuantan, Kuala Kuantan, Pulau Manis dan Sungai Karang, Maran (Pekan) serta Pekan (Bebar, Pekan dan Langgar).

    Sementara itu, di Perak dua daerah dan kawasan sekitar yang dijangka terjejas ialah Bagan Datuk (Pekan Simpang Empat) dan Hilir Perak (Durian Sebatang) manakala di Selangor membabitkan Klang.

    Bagi Terengganu pula, kawasan diramal terjejas adalah Marang (Bukit Payung) dan Kuala Terengganu (Batu Buruk, Chendering dan Kuala Terengganu) manakala di Sabah ialah Tuaran (Kampung Berungis dan Pekan Tenghilan). 

    Notis kesiapsiagaan itu dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama di kawasan berisiko berwaspada dengan kemungkinan berlaku banjir kilat dalam tempoh tersebut.

    “Sila patuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir. Sila layari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my atau Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut dari semasa ke semasa,” menurut notis itu. – BERNAMA

  • Peruntukan segera RM100 juta untuk banjir di Kelantan, Terengganu – PM

    Peruntukan segera RM100 juta untuk banjir di Kelantan, Terengganu – PM

    KERAJAAN Persekutuan hari ini mengumumkan peruntukan segera RM50 juta masing-masing untuk Kelantan dan Terengganu, bagi sebagai bantuan awal untuk meringankan beban rakyat akibat bencana Monsun Timur Laut.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu diambil selepas melihat banjir yang melanda kedua-dua negeri itu lebih ‘parah’ daripada biasa.

    “Perkara ini telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak, dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd. Ali akan memantau peruntukan tersebut melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

    “Memandangkan banjir ini lebih parah daripada biasa, walaupun saya telah maklumkan TPM Ahmad Zahid yang ke sini berapa hari lalu, telah beri kelulusan RM12 juta, saya setuju setelah bincang dengan kementerian dan Jemaah Menteri tadi, untuk luluskan segera RM50 juta untuk Kelantan dan RM50 juta untuk Terengganu.

    “Ini keperluan segera yang melibatkan kebajikan rakyat, jadi peruntukan awal RM1,000 kepada semua keluarga ketua keluarga terlibat, dan sekiranya ada kemalangan, peruntukan RM10,000 bagi mangsa tersebut,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas meninjau perkembangan banjir di beberapa daerah di Kelantan, termasuk Kota Bharu dan Pasir Mas hari ini.

    Anwar berkata, ekoran bencana banjir yang melanda Pantai Timur, Kelantan merupakan negeri pertama yang beliau adakan lawatan secara rasmi selepas diangkat menjadi Perdana Menteri.

    “Kebetulan Kelantan ini negeri pertama saya kunjungi, dan Tambun (Perak) bukan lawatan negeri. (Kelantan) negeri pertama saya pilih selaku Perdana Menteri yang baharu.

    “Ini menunjukkan kesediaan saya untuk bekerjasama dengan semua, dan saya ucap terima kasih kepada Menteri Besar Kelantan (Datuk Ahmad Yakob) pegawai-pegawai jajahan dan juga pihak Jabatan Perairan dan Saliran negeri yang beri taklimat lengkap, dan saya beri jaminan langkah percepat projek (tebatan banjir) Sungai Golok Fasa 1 dan 2,” katanya, lapor Astro Awani.

    Anwar sedia maklum tentang penangguhan sementara projek tebatan banjir tersebut kerana beliau mahu dijalankan secara tender terhad untuk memastikan tiada kos berlebihan.

    Beliau memberi jaminan selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, sebaik sahaja JPS mengemukakan dokumen berkaitan tender terhad kepada Kementerian Kewangan, projek tersebut akan dipercepatkan.

    “Walaupun projek tebatan banjir tangguh sebentar, kerana saya mahu dijalankan proses tender walaupun terhad, untuk memastikan tidak ada kos yang berlebihan.

    “Saya beri jaminan sebaik saja JPS kemukakan kepada Kementerian Kewangan, Kementerian Kewangan akan ‘fast track’ dengan syarat ia bukan rundingan terus demi menjami kos tidak meningkat,” katanya lagi.

    Anwar akan meminta perkara itu diselesaikan dalam tempoh sebulan demi menjamin kesejahteraan rakyat di negeri itu.

    “Saya minta kalau boleh akhir bulan. Tapi ‘schedule’ saya tak tahu, saya bagi tahu kalau boleh dipercepatkan, kalau urusan di MOF disegerakan. Tapi ‘schedule’ bulan Januari, jadi saya beri kelonggaran.

    “Ikut tender terhad, tidak boleh tender biasa kerana masa terlalu panjang, tak boleh juga rundingan terus kerana kos meningkat tak tentu arah. Lebih baik tender terhad kalau nak cepat, proses itu boleh dipercepatkan,” ujarnya.

  • Sedih rumah tinggal tapak dihanyutkan banjir

    Sedih rumah tinggal tapak dihanyutkan banjir

    SEORANG mangsa banjir terkejut apabila melihat rumahnya hilang dihanyutkan banjir dan hanya tinggal kesan tapak rumah sahaja.

    Raja Kamaruddin Raja Muhamad, 58, berkata, sekelip mata rumahnya itu hilang daripada pandangan.

    “Rumah saya antara enam buah kediaman yang dihayutkan arus deras dalam kejadian banjir besar kira-kira pukul 3 pagi Isnin lalu.

    “Ketika kejadian itu, saya bersama isteri serta lima anak bermalam di Pusat Pemindaan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kampung La kerana sehari sebelumnya kawasan ini sudah dilanda banjir tetapi surut pada sebelah petang sebelum air kembali naik pada sebelah malamnya.

    “Kami sempat membawa dokumen penting serta sedikit pakaian untuk bermalam di sana sehingga banjir reda,” katanya ketika ditemui di Kampung La, di Besut hari ini.

    Katanya, banjir kali ini antara banjir paling besar pernah melanda kampung itu dengan paras air dianggarkan setinggi lima meter berbanding banjir besar pada 2014.

    Sementara itu pasangan anak kembarnya, Raja Syahirah Raja Kamaruddin, 26 serta Raja Nursyafiqah Raja Kamaruddin, 26 mengakui sayu apabila rumah tempat mereka membesar ketika kecil musnah dalam kejadian banjir kali ini.

    Syafiqah berkata, kedai yang dibina di hadapan rumah keluarganya turut hanyut dibawa arus dekat.

    “Jika diikutkan ini kali kedua kedai hanyut, kali pertama tahun lalu tetapi sudah dibaik pulih daripada dinding kayu ditukar kepada batu tetapi kembali musnah dilanda banjir,” katanya, lapor Berita Harian.

    Sementara itu, adiknya, Syahirah berkata, mangsa banjir terpaksa bergantung kepada air hujan untuk mandi kerana terputus bekalan air bersih serta air minuman hanya bergantung kepada sumbangan air mineral.

    “Kami juga hanya sempat membawa sehelai pakaian ke PPS dan semua pakaian lain dihayutkan arus,” katanya.

  • 31 premis PDRM terjejas akibat banjir di Terengganu, Kelantan

    31 premis PDRM terjejas akibat banjir di Terengganu, Kelantan

    SEBANYAK 31 premis Polis Diraja Malaysia (PDRM) terjejas akibat banjir di Terengganu dan Kelantan, yang merangkumi 13 unit kuarters, lapan pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA), tujuh balai polis dan tiga pondok polis.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, di Kelantan, empat balai yang terjejas adalah Balai Polis Kuala Jambu, Simpangan, Rantau Panjang dan Bakong, manakala pondok polis terlibat ialah Pondok Polis Salor serta Pondok Polis Kubang, dan antara lapan pos PGA yang terjejas adalah Terusan dan Salleh Kerek.

    “Di Terengganu, tiga balai terjejas iaitu di Kuala Jengai, Manik dan Balai Polis Trafik Jenteh serta Pondok Polis Tenang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, sebanyak 13 unit kuarters yang terjejas iaitu di Berek Polis Kuala Jengai dengan lima unit, Berek Pondok Tenang (dua) dan Berek Polis Manir dengan enam unit.

    Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengadakan lawatan ke kawasan yang terjejas banjir di negeri-negeri Pantai Timur.

  • Warga emas terperangkap banjir dua hari diselamatkan

    Warga emas terperangkap banjir dua hari diselamatkan

    ANGGOTA bomba mengeluarkan seorang lelaki warga emas selepas dua hari terperangkap dalam rumahnya yang terputus hubungan akibat banjir di Kampung Tanjung Sabtu di Kuala Terengganu, hari ini.

    Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar, lelaki berusia 69 tahun itu selesai dibawa keluar pada pukul 1.35 petang dengan bantuan enam anggota bomba dan tiga penduduk kampung.

    “Operasi mengeluarkan mangsa mengambil masa kira-kira satu jam kerana terpaksa menggunakan jalan belukar ekoran jalan raya dinaiki air sedalam 1.5 meter selain arus kuat.

    “Kita tidak boleh menggunakan bot kerana ada jalan raya tidak ditenggelami air, hanya beberapa tempat.

    “Jadi kita masuk melalui belukar dengan bantuan orang kampung sebagai penunjuk jalan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Rozizah berkata, warga emas tersebut berada dalam keadaan baik kerana mempunyai bekalan makanan di rumah.

    “Mangsa kemudian dihantar ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung Jeram,” katanya.

    Sehingga pukul 2 petang, seramai 39,634 penduduk di Besut, Setiu, Kuala Nerus, Marang, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman yang terjejas banjir dipindahkan ke 279 PPS di seluruh negeri.

  • Rumahku, Rakitku milik Pokwe berjaya apung

    Rumahku, Rakitku milik Pokwe berjaya apung

    DENGAN hanya berbekalkan 69 tong plastik dan 54 keping papan fascia, ia menjadi sebuah rumah bersaiz 70 kaki persegi dan setinggi 5.8 meter serta mampu terapung daripada dilanda banjir besar di Kampung Terbak Batu 16, Chukai.

    Pemilik rumah, A Bakar Che Ahmad yang lebih dikenali sebagai Pokwe, 67, berkata, hasil sentuhan kreatif seni bina rumah terapung itu diinspirasikan daripada ‘reban ayam terapung’ yang dibinanya pada 2019. 

    Pokwe yang juga bekas pembuat alatan tajam berkata ini kali pertama kediamannya yang siap dibina pada 16 September lalu dan dinamakan ‘Rumahku, Rakitku’ berjaya diapungkan sekali gus menyelamatkannya sekeluarga daripada banjir.

    “Rumah ini mengambil masa dalam tiga bulan lebih (untuk dibina)… rumah ini mempunyai lima bilik tidur dan dua bilik air, manakala ia juga boleh menampung seberat 15 tan metrik,” katanya kepada Bernama di kediamannya, hari ini.

    Pokwe berkata, rumah itu dibina hasil titik peluh ahli keluarganya yang terdiri daripada tujuh anak serta menantunya.

    Beliau berkata, sebelum rumah itu siap dibina, beliau sering terkesan dengan banjir di kawasan terbabit sejak tujuh tahun lepas.

    “Saya sudah duduk di sini selama tujuh tahun, hanya satu tahun sahaja pada 2016 rumah kami tidak ditenggelami banjir. 

    “Sebelum ini, saya tidak berpindah ke PPS (pusat pemindahan sementara), saya hanya duduk di rumah saya yang lain… ia tidak jauh dari sini,” katanya. 

    Sementara itu, Pokwe hampir tidak percaya bahawa satu hantaran video mengenai rumahnya yang dirakam oleh seorang anaknya menerusi aplikasi TikTok meraih perhatian netizen di media sosial.

    “Saya sangat gembira kerana ada yang memberi komen positif terhadap video tersebut, saya suka berkongsi kepada orang ramai supaya mereka juga turut mendapat idea untuk menyelamatkan rumah mereka. 

    “Saya juga sudi untuk tunjuk bagaimana kaedah pembuatan rumah ini tetapi saya buat ini lebih kurang sahaja. Kalau mereka (orang ramai) ingin buat lagi kukuh… saya boleh ajarkan,” katanya.