Category: Kemalangan / Bencana

  • 53 mangsa banjir di Sarawak dipindahkan ke PPS

    53 mangsa banjir di Sarawak dipindahkan ke PPS

    HUJAN lebat berterusan sejak dua hari lepas menjadi punca beberapa kawasan di daerah Lundu dilanda banjir.

    Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka pukul 2 pagi tadi bagi menempatkan 53 mangsa daripada 16 ketua isi rumah (KIR).

    Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam satu kenyataan memberitahu PPS tersebut dibuka di Kampung Sebat dan Balai Raya Kampung Sebat Dayak.

    Menurut laporan Astro Awani, semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di negeri Sarawak sehingga pukul 2 pagi tadi.

    Antara kawasan dijangka terjejas ialah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Mukah (Tanjung Manis dan Daro) dan Miri (Subis dan Miri).

    Pemantauan berkala telah digerakkan beberapa agensi keselamatan termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

    Prosedur keselamatan turut dilakukan melibatkan tinjauan di kawasan kerap berlaku banjir untuk tindakan awal operasi pemindahan, merekodkan peningkatan paras air di kawasan kritikal, serta bantuan sokongan di PPS.

    Kali terakhir Sarawak menutup PPS mangsa banjir adalah pada penghujung Disember tahun lalu.

    Dalam kejadian banjir tahun lalu, kerajaan Sarawak telah mengerahkan kira-kira 6,000 anggota penguat kuasa daripada pelbagai agensi untuk membantu mangsa-mangsa banjir di seluruh negeri ini.

  • Bot ronda karam: 7 anggota tentera terapung lebih 3 jam berjaya diselamatkan

    Bot ronda karam: 7 anggota tentera terapung lebih 3 jam berjaya diselamatkan

    TUJUH anggota tentera dari Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) berdepan detik cemas selepas bot ronda dinaiki mereka karam dipukul ombak di perairan Pulau Nunuyan, Sandakan, pukul 11 pagi semalam.

    Dalam kejadian berkenaan, semua anggota tentera terbabit berjaya diselamatkan anggota dari Batalion 15 Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas dilaporkan terapung selama lebih tiga jam di laut.

    Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, siasatan mendapati bot ronda Viper 7 Markas ATB 2 dengan kekuatan tujuh anggota tentera itu bertolak dari Pulau Bakungan Kecil ke Jeti Markas ATB 2 Batu Sapi, di Sandakan.

    “Mereka ke jeti berkenaan untuk pengisian minyak logistik dan kebajikan anggota.

    “Bagaimanapun pada pukul 11 pagi, ketika bot ronda berkenaan tiba berhampiran laut Pulau Nunuyan, ia telah dipukul ombak besar hingga menyebabkannya karam.

    “Pada 2.50 petang hari yang sama, semua mangsa yang karam berjaya diselamatkan oleh sebuah bot ronda PGA Batalion 15 dan Bor PAC 66,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Menurutnya, semua mangsa yang berjaya diselamatkan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan untuk rawatan seterusnya proses dokumentasi, lapor Astro Awani.

  • Pahang negeri terbaharu dilanda banjir

    Pahang negeri terbaharu dilanda banjir

    PAHANG menjadi negeri terbaharu dilanda banjir selepas Johor dan Sabah menjadikan tiga negeri kini terjejas dengan bencana itu ekoran hujan lebat yang berterusan.

    Di PAHANG, sebanyak tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Rompin bagi menempatkan 97 mangsa daripada 28 keluarga.

    Menurut Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa paling ramai ditempatkan di PPS Kampung Setajam iaitu 50 orang daripada 15 keluarga, manakala PPS Balai Raya Bukit Lepas dihuni 40 orang daripada 11 keluarga dengan kedua-dua PPS itu mula beroperasi petang ini.

    Tujuh lagi mangsa daripada dua keluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Bandar Perwira Jaya, sejak tengah malam tadi selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat.

    Laman web portal rasmi info banjir JPS publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Keratong di Rompin direkodkan pada aras 23.19 meter (m), melebihi aras bahaya 23m yang ditetapkan.

    Di JOHOR, Muar menjadi daerah keenam dilanda banjir selepas Kota Tinggi, Kluang, Segamat, Mersing dan Batu Pahat menjadikan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 4,368 orang dengan ditempatkan di 44 PPS berbanding 3,967 orang, tengah hari tadi.

    Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan, Segamat kekal daerah paling teruk terjejas dengan 1,522 orang (424 keluarga), diikuti Kluang 1,222 orang (348 keluarga) dan Mersing 708 orang (221 keluarga).

    Sementara itu, di Kota Tinggi, jumlah mangsa yang dipindahkan adalah seramai 591 orang daripada 144 keluarga, Muar 206 orang (46 keluarga) manakala Batu Pahat 119 orang (35 keluarga).

    Pada masa sama, paras air di empat sungai di negeri ini melepasi paras bahaya iaitu Sungai Muar (di Muara Sungai Gemas) menunjukkan bacaan 19.20m, Sungai Segamat (9.22m), Sungai Segamat di Segamat Kecil (37.34m) manakala Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang adalah 16.12m.

    Di SABAH, jumlah mangsa banjir negeri ini meningkat kepada 607 daripada 139 keluarga yang dipindahkan ke lapan PPS petang ini berbanding 166 orang daripada 41 keluarga pagi tadi.

    Sekretariat JPBN Sabah dalam kenyataan memaklumkan pertambahan itu selepas Kudat menjadi daerah terbaharu terjejas bencana itu petang ini dengan 381 orang daripada 77 keluarga dipindahkan ke dua PPS.

    Sebanyak 147 orang daripada 41 keluarga dipindahkan ke tiga PPS di Paitan manakala 79 orang daripada 21 keluarga dipindahkan ke tiga PPS di Pitas.

    “Jumlah mangsa banjir dipindahkan ke PPS dijangka meningkat dengan tujuh PPS telah diaktifkan di daerah Kota Marudu dan kini dalam proses pemindahan mangsa serta kemas kini data,” menurut kenyataan itu.

    Hujan lebat pada petang ini turut menjadikan paras air di Sungai Rampai, Kampung Korina, Sikuati di Kudat naik mendadak dan beberapa kawasan telah dikenal pasti sebagai kawasan berisiko banjir termasuk Kampung Bak-Bak, Kampung Milau dan Kampung Naradang.

    Selain itu, Kampung Popot di Kudat dilaporkan terputus hubungan apabila semua jalan darat ke kampung itu ditenggelami banjir.

    Sebelum ini Jabatan Kerja Raya Sabah dalam kenyataan memaklumkan lima jalan di Kudat iaitu Jalan Abdul Rahim, Jalan Sebayan, Jalan Datu, Jalan Bak Bak dan Jalan Lo Thein Chok terputus hubungan serta tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan akibat banjir hari ini. – BERNAMA

  • Banjir: 2,000 penduduk terputus hubungan darat, makanan dikhuatiri habis

    Banjir: 2,000 penduduk terputus hubungan darat, makanan dikhuatiri habis

    LEBIH 2,000 penduduk dari 14 ladang dan enam perkampungan Orang Asli sekitar Kahang dekat Kluang terputus hubungan darat akibat banjir di Johor.

    Ketua Polis negeri, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya akan berusaha memberi bantuan makanan termasuk menggunakan helikopter ke kawasan terjejas jika keadaan memerlukan.

    “Ada satu berita tular satu ladang terputus hubungan (Ladang Selai) dan kita sahkan.

    “Ada 14 ladang di Kluang yang terputus hubungan menuju Kampung Peta yang terputus hubungan darat akibat banjir namun masih boleh berhubung melalui telefon.

    “Kenderaan tak boleh melaluinya kecuali menggunakan bot yang memakan masa dua jam dan ketua polis daerah dan Pejabat Daerah akan berusaha membawa bekalan ke sana.

    “Cuma sekarang keadaan hujan dan cuaca gelap, kita akan cari jalan terbaik untuk meminta bantuan helikopter sama ada pihak polis, ATM atau bomba sendiri untuk membawa bekalan ke sana,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian pada sidang media ketika melawat Balai Polis Kahang di sini hari ini.

    Dalam pada itu katanya terdapat 12,400 pegawai dan anggota unit penyelamat pelbagai jabatan di negeri ini dengan 8,000 daripadanya diletakkan dalam keadaan bersedia bagi menangani bencana di negeri ini.

    “Unit penyelamat itu merangkumi polis, bomba, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukam Gerakan Am (PGA) , Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan sebagainya.

    “Sebanyak 200 kenderaan digunakan termasuk bot, kenderaan pacuan empat roda dan sebagainya untuk tugas menyelamat,” katanya.

    Beliau mengingatkan supaya orang ramai tidak cuba meredah banjir kerana arus deras dan membahayakan.

    “Apabila dilalui kenderaan akan hanyut dibawa arus sekali gus membahayakan nyawa,” katanya.

    Terdahulu media melaporkan kira-kira 300 pekerja Ladang Selai, Kahang merayu bantuan berikutan mereka terputus hubungan selepas laluan masuk ke kawasan itu dinaiki air setinggi lebih satu meter.

    Seorang pekerja yang enggan dikenali berkata penduduk bimbang sekiranya hujan lebat berterusan, mereka akan kehabisan stok makanan yang dijangka bertahan dua hari lagi.

  • Penduduk tiga negeri diingatkan sedia hadapi banjir, air pasang besar

    Penduduk tiga negeri diingatkan sedia hadapi banjir, air pasang besar

    PENDUDUK di beberapa daerah dan kawasan di Johor, Sabah serta Pahang diingatkan supaya bersedia menghadapi risiko banjir dan air pasang besar ekoran fenomena Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata daerah Muar dan Tangkak, Johor adalah antara lokasi seterusnya diramal terkesan banjir dalam masa terdekat mengambil kira hujan yang masih berterusan.

    Beliau berkata di Sabah pula, kawasan di utara dan pantai timur negeri itu juga dikenal pasti akan dilanda air pasang besar selain banjir melibatkan Pitas dan Kota Marudu.

    “Luruan pertama dan kedua MTL telah berlaku Disember tahun lepas. Walaupun belum ada laporan rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), fenomena hujan lebat berterusan bermula semalam dan diramal berterusan hingga 30 Jan ini boleh dikategorikan sebagai luruan ketiga.

    “… Justeru, semua agensi telah mengambil usaha dan pendekatan untuk mengenal pasti kawasan-kawasan kampung yang perlu untuk kita pindahkan penduduk ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya kepada pemberita selepas melawat PPS Dewan Komuniti Kampung Tasek di sini hari ini.

    Beliau berkata ketika ini fokus pihaknya adalah untuk menyelaraskan semua agensi yang tertakluk dalam arahan nombor 20 Majlis Keselamatan Negara (MKN 20) dalam aspek pengurusan bencana dan penyampaian maklumat lebih jelas kepada orang ramai terutama mangsa yang ditempatkan di PPS.

    “Seterusnya selepas berpindah, fokus kita adalah memastikan kebajikan dan kesihatan mangsa menerusi penglibatan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kesihatan negeri,” katanya.

    Setakat 2 petang tadi, jumlah mangsa banjir di Johor meningkat kepada 4,207 orang melibatkan 1,164 keluarga yang ditempatkan di 45 PPS di Segamat, Muar, Kluang, Kota Tinggi, Batu Pahat dan Mersing.

    Dalam pada itu, Armizan dalam kenyataan berkata keseluruhannya, MTL yang bermula November tahun lepas hingga hari ini telah menjejaskan seramai 121,594 orang daripada 34,357 keluarga yang dipindahkan ke 444 PPS susulan banjir dan air pasang besar di seluruh negara.

    “Saya ingin memberi peringatan kepada rakyat supaya sentiasa peka dengan amaran yang dikeluarkan MetMalaysia serta menjaga keselamatan dan tidak bertangguh untuk berpindah ke PPS sekiranya diarahkan untuk berbuat demikian bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

    “Pada masa sama, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga telah diarah supaya memastikan semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di peringkat negeri dan daerah yang terlibat untuk bersedia dengan sebarang kemungkinan,” katanya.

    Menurut Armizan, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) pula akan beroperasi 24 jam sehari bagi memantau dan menyelaras agensi terlibat dalam pengurusan bencana.

    Beliau berkata semua urusan penyelarasan Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan lain-lain bantuan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang terkesan banjir akan diuruskan Pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).

    Sementara itu, tinjauan Bernama di PPS terdapat pertambahan mangsa dari semasa ke semasa dengan kebanyakan mereka datang sendiri ke PPS setelah mengambil kira kemungkinan risiko banjir yang lebih teruk ekoran hujan yang masih belum reda. – BERNAMA

  • Penduduk terjejas banjir di Johor meningkat kepada 4,368 orang

    Penduduk terjejas banjir di Johor meningkat kepada 4,368 orang

    JUMLAH penduduk terjejas banjir di Johor meningkat kepada 4,368 orang membabitkan 1,218 keluarga yang ditempatkan di 46 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 4 petang hari ini.

    Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, ia meningkat berbanding seramai 4,207 mangsa membabitkan 1,164 keluarga ditempatkan di 45 PPS pada 2 petang.

    Namun katanya, sehingga kini tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

    “Segamat terus mencatatkan bilangan penduduk terjejas banjir paling ramai dengan 1,522 daripada 424 keluarga di 20 PPS berbanding 1,521 mangsa banjir daripada 428 keluarga daripada 19 PPS pada jam 2 petang.

    “Ia diikuti di Kluang iaitu seramai 1,222 mangsa membabitkan 348 keluarga di 11 PPS berbanding 1,212 mangsa membabitkan 348 keluarga ditempatkan di 11 PPS.

    “Mersing pula mencatatkan penurunan dengan menempatkan 708 mangsa banjir membabitkan 221 keluarga di empat PPS berbanding 717 mangsa banjir membabitkan 207 keluarga di empat PPS sebelumnya.

    “Bilangan mangsa banjir di Kota Tinggi masih sama apabila 591 mangsa membabitkan 144 keluarga ditempatkan di enam PPS.

    “Batu Pahat pula mencatat 119 mangsa membabitkan 35 keluarga di dua PPS berbanding 151 membabitkan 32 keluarga di dua PPS sebelumnya manakala Muar mencatat bilangan sama iaitu 15 mangsa daripada lima keluarga di tiga PPS,” katanya, lapor Harian Metro.

    Mengikut ramalan dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) sembilan daripada 10 daerah di Johor akan terus mengalami hujan lebat membabitkan Segamat, Kluang, Mersing, Batu Pahat, Muar, Pontian, Kota Tinggi, Tangkak dan Kulai.

  • Amaran hujan berterusan tahap bahaya di Johor, Sabah hingga esok

    Amaran hujan berterusan tahap bahaya di Johor, Sabah hingga esok

    JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya di Johor dan Sabah hingga esok. 

    MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan daerah yang terlibat di Johor adalah Mersing dan Kota Tinggi, manakala di Sabah melibatkan Sandakan (Beluran dan Sandakan) serta Kudat. 

    Dalam kenyataan sama turut memaklumkan hujan lebat berterusan tahap buruk diramalkan berlaku di Pahang meliputi Pekan dan Rompin; Johor (Segamat, Kluang, Kulai dan Johor Bahru) serta Sabah melibatkan Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud) dan Sandakan (Telupid) bagi tempoh sama. 

    Selain itu, hujan berterusan tahap waspada diramalkan berlaku hingga esok di Pahang yang melibatkan kawasan Maran, Kuantan dan Bera; Negeri Sembilan (Jempol dan Tampin); Melaka; Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Pontian) serta Sabah di kawasan Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran) dan Sandakan (Kinabatangan).  

    Sementara itu, hujan berterusan tahap waspada turut dijangka berlaku di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh di Kelantan serta Terengganu dari 27 Jan (Jumaat) hingga 30 Jan ini. – BERNAMA 

  • Sarjan mejar kritikal dipercayai jatuh bangunan sebelum majlis kahwin

    Sarjan mejar kritikal dipercayai jatuh bangunan sebelum majlis kahwin

    SEORANG sarjan mejar polis yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan semalam, dilaporkan kritikal selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah bangunan di Lumut, Perak.

    Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pukul 5.45 pagi semalam memaklumkan kejadian itu.

    Katanya, anggota polis berkenaan sedang bercuti dari tugasnya di Pahang dan sepatutnya melangsungkan perkahwinan semalam di kediaman keluarganya di Ayer Tawar.

    “Mangsa kini dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di Hospital Seri Manjung. Motif kejadian belum diketahui dan sedang disiasat polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini lapor BH.

    Beliau meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Inspektor N Ravinthiran di talian 019-6508489 untuk membantu siasatan.

  • Penunggang maut rempuh besi pembahagi jalan

    Penunggang maut rempuh besi pembahagi jalan

    SEORANG penunggang maut selepas merempuh besi pembahagi jalan di simpang masuk susur jejantas Sungai Buloh dekat Kilometer 458 Lebuhraya Selatan, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kemalangan pada pukul 6.35 pagi itu melibatkan sebuah motosikal jenis Honda RS150.

    Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa berusia 38 tahun itu telah terbabas lalu melanggar besi pembahagi jalan dan disahkan maut di tempat kejadian.

    “Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil berhubung Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor R. Navalan di talian 014-2536820 bagi membantu siasatan.

  • Dua beradik lemas ketika mandi di anak sungai

    Dua beradik lemas ketika mandi di anak sungai

    DUA beradik lelaki lemas ketika mandi di sebatang anak sungai di Jalan Beringis-Kawang, Kinarut, semalam.

    Kedua-dua budak berusia 12 dan 13 tahun yang juga murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kawang, itu disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Papar untuk mendapatkan rawatan.

    Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada orang awam pada pukul 3.05 petang.

    “Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa mengikut ibu dan nenek mereka mencari lokan di lokasi kejadian. Sementara ibu dan nenek kedua mangsa mencari lokan, mereka dikatakan mandi di sebuah anak sungai yang ada di kawasan berkenaan.

    “Kedua-duanya kemudian disedari lemas oleh ibu dan nenek sebelum meminta bantuan orang awam yang lalu di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kedua-dua mangsa katanya, berjaya dibawa keluar dari anak sungai berkenaan namun dalam keadaan tidak sedarkan diri.

    Mereka katanya, segera dikejar ke hospital oleh orang awam namun kedua-duanya disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

    “Hasil pemeriksaan, tiada unsur jenayah atas kematian dua kanak-kanak itu dan kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya, lapor Sinar Harian.