Category: Kemalangan / Bencana

  • Banjir: 6 PPS dibuka di Pahang, mangsa di Johor menurun, Sabah pulih

    Banjir: 6 PPS dibuka di Pahang, mangsa di Johor menurun, Sabah pulih

    SITUASI banjir pada petang ini menyaksikan Pahang kembali terjejas manakala Johor menunjukkan perkembangan positif dan keadaan di Sabah pulih sepenuhnya. 

    Di PAHANG, hujan lebat berterusan sejak malam tadi menyebabkan beberapa kawasan di Kuantan dinaiki air seterusnya enam pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka hari ini. 

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang melaporkan seramai 1,310 orang daripada 342 keluarga ditempatkan di PPS terlibat dengan mangsa paling ramai di PPS Dewan Dato’ Manan  iaitu 560 orang. 

    PPS lain ialah PPS Wisma Belia dengan 300 orang, PPS Dewan Orang Ramai Taman Tas (220), PPS Dewan Orang Ramai Sri Mahkota (143), PPS Dewan Orang Ramai Sri Damai (57) dan PPS Dewan Orang Ramai Jaya Gading (30). 

    Laman web publicinfobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan Sungai Kuantan di Bukit Kenau dan Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan melebihi paras bahaya.

    Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pula meramalkan Kuantan mengalami hujan lebat sepanjang hari sehingga esok.

    Pekan Sungai Lembing di sini, dilanda banjir kilat selama hampir 10 jam bermula pukul 4.30 pagi tadi ekoran air Sungai Lembing yang melimpah sehingga ke jalan utama di pekan tersebut. 

    Sementara itu, di JOHOR, jumlah mangsa terus menurun kepada 355 orang setakat 4 petang ini, berbanding 420 orang pada 8 pagi susulan banjir termenung di daerah Batu Pahat dan Segamat.

    Menurut JPBN Johor, jumlah mangsa di Batu Pahat adalah seramai 329 orang daripada 90 keluarga yang berlindung di empat PPS manakala Segamat merekodkan 26 orang daripada sembilan keluarga di sebuah PPS. 

    JPBN juga memaklumkan keadaan cuaca di tujuh daerah diramalkan cerah petang ini kecuali Mersing, Pontian dan Kluang yang dijangka mendung.

    Di SABAH, semua mangsa banjir telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada 4 petang tadi dengan PPS terakhir iaitu Dewan Serbaguna Selagon di Beaufort yang sebelum ini menempatkan 46 orang daripada 12 keluarga ditutup. – BERNAMA 

  • Inspektor polis maut kemalangan di Tumpat

    Inspektor polis maut kemalangan di Tumpat

    SEORANG pegawai polis berpangkat Inspektor maut selepas kereta Proton Saga dipandunya terbabas di KM5 Jalan Palekbang-Tumpat berhampiran Wakaf King, Tumpat, malam tadi.

    Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata kejadian pada 11.30 malam itu menyebabkan Inspektor Chong Yeong Ren, 29, tersepit di tempat duduk pemandu dan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala.

    “Mangsa ketika itu dari Wakaf Bharu menghala ke Tumpat untuk pulang ke rumahnya di Kampung Terbak. Kereta dipandunya dipercayai hilang kawalan lalu terbabas beberapa meter dan merempuh dua tiang lampu di sebelah kiri jalan hingga terbalik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Tumpat untuk bedah siasat dan kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Mendiang Chong mula berkhidmat dalam pasukan polis pada 3 Jun 2019 sebagai Pegawai Penyiasat Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat. Sepanjang berkhidmat, mendiang menunjukkan prestasi tugas yang amat membanggakan dan memberi komitmen terhadap tugas yang dijalankan. 

    “Polis Kelantan menzahirkan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang yang meninggalkan seorang balu dan seorang anak berusia tiga bulan,” katanya yang menambah pihaknya akan mengiringi jasad mendiang ke rumah keluarganya di Klang, Selangor.

  • Pemandu, 15 penumpang cedera bas ekspres terbalik

    Pemandu, 15 penumpang cedera bas ekspres terbalik

    SERAMAI 15 penumpang termasuk seorang pemandu bas mengalami kecederaan ringan selepas sebuah bas ekspres terbabas dan terbalik dalam kejadian di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) menghala ke Bagan Ajam, Pulau Pinang awal pagi tadi.

    Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 4.19 pagi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira tiga minit kemudian.

    Menurut beliau, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, didapati kemalangan itu melibatkan sebuah bas ekspres yang terbabas dan terbalik membabitkan mangsa masing-masing enam lelaki dan 10 wanita.

    Ujar beliau, Komander Operasi JBPM kemudian membuat ‘size up’ di lokasi kejadian dan mengarahkan anggota dengan peralatan perlindungan diri (PPE)  lengkap melakukan kerja-kerja penyelamatan dengan mengeluarkan mangsa dari dalam bas.

    “Terdapat seramai 16 mangsa di dalam bas dan mereka berjaya dikeluarkan oleh anggota JBPM setelah tiba di lokasi.

    “Kejadian itu tidak melibatkan mangsa yang tersepit dan mereka hanya mengalami kecederaan ringan dan telah diberi rawatan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ujar beliau, kerja-kerja menyelamat dilakukan oleh seramai 13 anggota termasuk penyelia dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth yang dibantu oleh BBP Perai.

    Tambah beliau, kes itu telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi menyelamat tamat sepenuhnya pukul 5.29 pagi.

  • Penunggang motosikal maut bertembung kereta masuk laluan bertentangan

    Penunggang motosikal maut bertembung kereta masuk laluan bertentangan

    SEORANG lelaki maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta jenis Myvi yang datang dari arah bertentangan di KM 17, Jalan Jerantut- Benta berdekatan Kampung Som, Jerantut, semalam.

    Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitenden Mazlan Hassan berkata, kejadian berlaku pukul 10.20 pagi,ketika mangsa berusia 25 tahun yang membonceng isterinya dalam perjalanan dari Damak ke Jerantut manakala kereta berkenaan dari arah bertentangan.

    “Pasangan itu yang menaiki motosikal jenis SYM datang dari Damak ke bandar Jerantut bertembung dengan kereta jenis Myvi yang datang dari arah bertentangan.

    “Apabila tiba di tempat kejadian, dipercayai pemandu kereta Myvi gagal mengawal kenderaan dipandunya lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal yang dinaiki pasangan suami isteri itu,” katanya.

    Mazlan berkata, akibat kemalangan itu penunggang yang bertugas di Ladang Risda Damak, Jerantut itu disahkan meningal dunia di tempat kejadian. Mangsa yang maut dihantar ke Hospital Jerantut untuk bedah siasat,” katanya, hari ini.

    Beliau berkata, manakala isteri mangsa berusia, 25 tahun yang membonceng motosikal itu mengalami patah kaki dan dihantar ke Hospital Jerantut untuk rawatan.

    Katanya, keputusan ujian saringan air kencing pemandu kereta terbabit negatif dan pemandu berumur 19 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

    Mazlan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, lapor BH.

  • Jumlah mangsa banjir di Johor terus menurun, Sabah kekal

    Jumlah mangsa banjir di Johor terus menurun, Sabah kekal

    JUMLAH mangsa banjir di Johor terus mencatatkan penurunan, manakala di Sabah kekal setakat pagi ini. 

    Di Johor, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan seramai 670 mangsa berada di satu pusat pemindahan sementara (PPS) di Segamat dan lima lagi di Batu Pahat, berbanding 769 mangsa pada 8 malam tadi.

    Menurut jawatankuasa itu dalam satu kenyataan, Batu Pahat yang mengalami banjir termenung setakat ini merekodkan seramai 644 mangsa daripada 179 keluarga dan Segamat pula 26 daripada sembilan keluarga.

    Ketika ini, Sungai Bekok di Batu Pahat masih melepasi paras bahaya dengan bacaan 18.9 meter (m), namun keadaan cuaca di daerah berkenaan cerah, manakala di Segamat, hujan.

    Di Sabah pula, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan tiada pertambahan mangsa direkodkan dan jumlah mangsa kekal seramai 134 orang daripada 40 keluarga di sebuah PPS di daerah Beaufort. 

    Cuaca di Sabah juga cerah pada pagi ini.

  • Pasangan guru SMAP Kajang maut, tiga anak cedera nahas di LPT2

    Pasangan guru SMAP Kajang maut, tiga anak cedera nahas di LPT2

    PASANGAN suami isteri maut, manakala tiga anaknya cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mereka naiki kemalangan di Kilometer 274, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat Cheneh, Kemaman, petang tadi.

    Kejadian kira-kira 4 petang itu melibatkan Arbain Baharudin, 47, dan isterinya, Rosmayati Bakar, 48, dari Taman Pinggiran Saujana, Kajang maut di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari kenderaan mereka.

    Lapor Harian Metro, tiga anak pasangan terbabit, Farah Najwa, 20, Fatin Najla, 10, dan Faikal Nabila, 8, masing-masing mengalami kecederaan.

    Kejadian itu dipercayai berlaku apabila MPV Toyota Estima yang dipandu Arbain terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh pembahagi lebuh raya lalu terbalik.

    Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, ketika kejadian, pasangan suami isteri terbabit dalam perjalanan dari Kajang dan sempat menghantar seorang anaknya yang belajar di Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas) Kuantan.

    Beliau berkata, mereka kemudian menyambung perjalanan ke rumah keluarga Rosmayati di Kampung Gelugur Kerteh, Kemaman sebelum kemalangan berlaku.

    “Berikutan kemalangan itu, pasangan suami isteri yang juga guru di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang itu tercampak lima hingga 10 meter dari kenderaan mereka dan disahkan maut di tempat kejadian.

    “Tiga anak mangsa yang cedera sudah dihantar ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Katanya, mayat kedua-kedua mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital sama untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987.

  • Banjir kilat: 2 PPS masih beroperasi di Pulau Pinang

    Banjir kilat: 2 PPS masih beroperasi di Pulau Pinang

    SEBANYAK dua buah pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka sehingga kini iaitu masing-masing di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Selatan (SPS), Pulau Pinang bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir kilat.

    Kesemua mereka merupakan penduduk yang terjejas dengan bencana itu sejak malam tadi ekoran hujan lebat yang berterusan selama beberapa jam bermula pukul 4 petang semalam.

    Antara kawasan yang terjejas teruk dengan banjir kilat itu adalah di sekitar Kepala Batas; Perda; Bertam dan Juru.

    Dalam pada itu, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, mangsa banjir di SPU ditempatkan di dua lokasi iaitu di dewan komuniti dan Sekolah Agama Kubang Menerong, Tasek Gelugor.

    “Setakat pukul 2 pagi tadi, hanya terdapat satu PPS yang dibuka (dewan komuniti) dan menempatkan seramai 38 orang dari sembilan keluarga di daerah SPU,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook.

    Difahamkan daripada 38 mangsa itu, 11 daripada mereka merupakan kanak-kanak, lapan warga emas dan selebihnya adalah lelaki dan wanita dewasa.

    Selain SPU, satu lagi PPS yang dibuka ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bakap Indah, Nibong Tebal dengan 21 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di situ sejak tengah malam tadi.

    Terdahulu, Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad turut turun padang melawat beberapa lokasi yang terjejas teruk akibat banjir kilat itu.

    Dalam pada itu, portal Public Info Banjir melaporkan, paras air di beberapa sungai utama di SPU kini berada di bawah paras normal sehingga pukul 12 tengah hari tadi.

    Bagaimanapun, paras air Sungai Jawi di SPS masih tinggi, namun berada di bawah tahap berjaga-jaga.

  • Pelajar IPTS hilang selepas daki bukit seorang diri

    Pelajar IPTS hilang selepas daki bukit seorang diri

    PENUNTUT sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dilaporkan hilang selepas dipercayai mendaki bukit seorang diri di Pulau Mawar, Mersing, pada 1 Februari lalu.

    Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, polis menerima laporan mengenai penemuan motosikal milik Muhamad Akmal Hakimi Ishak, 19, di kawasan berhampiran pulau itu dalam keadaan baik dan tidak berkunci, semalam.

    Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan pada 5 petang semalam membabitkan 22 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing, Balai Bomba dan Penyelamat Endau serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) Mersing.

    “Operasi peringkat awal membabitkan pencarian di hutan dan persisiran pantai.

    “Operasi dihentikan pada 7 malam atas faktor keselamatan berikutan cuaca gelap dan hujan. Operasi disambung semula pada 8 pagi hari ini,” katanya hari ini..

    Abdul Razak berkata, laporan polis mengenai kehilangan mangsa dibuat oleh bapanya di Balai Polis Kluang pada awal pagi semalam.

    Dalam perkembangan berkaitan, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Mersing, Lt M (PA) Muhamad Syafiq Mohamad Sabri berkata, seorang saksi awam mengaku ada bersembang dengan mangsa pada 1 Februari lalu.

    “Saksi memberitahu pihak APM bahawa mangsa ingin masuk ke Pulau Mawar tanpa arah tuju.

    “Mangsa kemudian beredar dengan meninggalkan sebuah motosikal di kawasan tempat kejadian,” katanya.

    Beliau berkata, APM berpendapat mangsa hilang dan sesat di pulau itu.

    Katanya, pada hari kedua SAR hari ini, lima agensi terbabit iaitu polis, bomba, APM, Majlis Daerah Mersing dan malim gunung.

    “Mangsa masih lagi belum ditemui sehingga pukul 10.20 pagi hari ini,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Warga Bangladesh langgar mati penunggang motosikal diburu

    Warga Bangladesh langgar mati penunggang motosikal diburu

    POLIS giat memburu lelaki warga Bangladesh yang disyaki melarikan diri selepas melanggar penunggang motosikal dalam kemalangan maut di Jalan Teluk Piah Kanan, di Kuala Selangor, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, kejadian pukul 8.30 pagi itu membabitkan dua kenderaan iaitu Proton Waja dan Honda EX5.

    Menurutnya, penunggang motosikal adalah lelaki tempatan berusia 33 tahun.

    “Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang bersendirian dalam perjalanan dari Kuala Selangor ke Bukit Rotan.

    “Tiba di lokasi, Proton Waja yang datang dari arah belakang melanggar motosikal itu menyebabkan mangsa tercampak.

    “Pemandu kereta kemudian dipercayai keluar dari kenderaannya dan bertindak melarikan diri,” katanya, lapor Harian Metro hari ini.

    Mengulas lanjut Ramli berkata, penunggang motosikal yang parah dikejarkan ke Hospital Tanjong Karang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

    Bagaimanapun katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di wad kecemasan pukul 11 pagi hari sama.

    “Susulan kemalangan itu, polis mempergiat usaha pencarian suspek di sekitar Kuala Selangor dan Jeram.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

    Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhamad Najmi Abd Rahman di talian 017-8028105 atau balai polis berhampiran.

  • Wanita terperangkap dua jam dalam lumpur

    Wanita terperangkap dua jam dalam lumpur

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seorang wanita terpaksa dibawa ke hospital setelah mengadu keletihan akibat terperangkap dalam lumpur selama hampir dua jam di Titi Lagun, Langkawi, Kedah.

    Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Langkawi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Sallehuddin Darawi berkata, wanita berusia 32 tahun itu dipercayai gagal keluar dari lumpur ketika mencari siput.

    Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 4.48 petang.

    Wanita itu didapati tidak dapat bergerak kerana terperangkap dalam lumpur sehingga perlu mendapat bantuan bomba

    “Setibanya di lokasi, wanita itu didapati tidak dapat bergerak kerana terperangkap dalam lumpur.

    “Pihak kami terpaksa menggunakan tali untuk membawa mangsa keluar dari kawasan berlumpur itu,” katanya.

    Tambahnya, wanita tersebut kemudiannya berjaya dibawa keluar dengan selamat namun mengadu keletihan.

    “Dia lalu dibawa ke Hospital Sultanah Maliha (HSM) untuk diperiksa. Operasi tamat sepenuhnya kira-kira pukul 6.22 petang,” katanya.