Category: Kemalangan / Bencana

  • Kanak-kanak maut dipercayai lemas di kolam renang

    Kanak-kanak maut dipercayai lemas di kolam renang

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut dipercayai lemas di kolam renang sebuah hotel di Mentakab, Temerloh semalam.

    Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata kejadian dipercayai berlaku pada 4.45 petang selepas mangsa yang merupakan anak tunggal, dibawa teman lelaki ibunya yang berusia 41 tahun untuk beriadah.

    “Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai hilang semasa teman lelaki ibunya leka menggunakan telefon bimbit di tepi kolam renang tersebut.

    “Lelaki itu telah meminta bantuan pengawal keselamatan untuk mencari mangsa yang kemudiannya ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dasar kolam renang yang berkedalaman dua meter,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Mohd Azhar berkata mangsa diberikan bantuan pernafasan kecemasan dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Mentakab, sebelum disahkan meninggal dunia.

    Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di Temerloh untuk bedah siasat.

    Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana kecuaian sehingga menyebabkan kematian mangsa, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara hingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • Tiga maut dua kenderaan bertembung

    Tiga maut dua kenderaan bertembung

    TIGA maut selepas dua kenderaan bertembung di Jalan Papar Lama berhampiran Kampung Nambazan, di Penampang, pukul 10.30 malam tadi.

    Nahas itu menyebabkan pemandu MPV Naza Kia dan pemandu serta penumpang Perodua Myvi meninggal dunia.

    Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd. Haris Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada Naza Kia yang dipercayai memandu melawan arus.

    “MPV itu kemudian bertembung dengan Perodua Myvi menyebabkan kedua-duanya rosak teruk di bahagian hadapan.

    “Tiga mangsa semuanya lelaki disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang penumpang kanak-kanak lelaki berumur empat tahun dalam Perodua Myvi cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd. Haris berkata, mayat semua mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) di Penampang untuk dibedah siasat.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Lelaki ditemui meninggal dalam kereta

    Lelaki ditemui meninggal dalam kereta

    SEORANG lelaki ditemui meninggal dunia dalam sebuah kereta di kawasan parkir berhadapan sebuah pasar raya di Seremban 2, Seremban, semalam.

    Ketua Balai Bomba Seremban 2, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Kamal Mohd Kimar, berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian daripada orang awam pada pukul 7.31 malam.

    “Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2 ke lokasi dan turut dibantu petugas dari BBP Rantau.

    “Laporan awal diperoleh terdapat seorang mangsa iaitu seorang lelaki berusia 43 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri berada dalam kereta di kerusi pemandu.

    “Sebaik pintu kereta dibuka, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan pemeriksaan dan mengesahkan lelaki berkenaan sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan akhbar, hari ini.

    Katanya, anggota bomba yang lengkap berpakaian perlindungan diri (PPE) mengangkat mayat mangsa keluar dan dia dipercayai sudah berada dalam kereta itu sejak tiga lalu.

    “Mayat mangsa diserahkan kepada pihak KKM dan polis untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Kanak-kanak Rohingya lemas, abang masih hilang

    Kanak-kanak Rohingya lemas, abang masih hilang

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditemukan lemas, manakala abangnya masih hilang dalam kejadian di lombong sebuah kuari pasir di Kampung Permatang Kedundung, Pinang Tunggal di Tikam Batu, Sungai Petani, petang semalam.

    Mangsa, Mamod Shukur Belal Hussain yang berbangsa Rohingya ditemukan pada pukul 8.50 pagi ini oleh penduduk sebelum memaklumkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat sejak malam tadi.

    Mangsa ditemukan terapung kira-kira 400 meter daripada tempat dia dan abangnya, Muhammad Nazeri, 6, dipercayai mandi dan bermain sebelum itu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 9 malam sebelum menggerakkan anggota ke lokasi.

    “Dengan bantuan daripada JBPM dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Muda, kita memulakan gerakan mencari dan menyelamat malam tadi namun gagal mengesan mangsa.

    “Mangsa telah dibawa untuk proses bedah siasat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), manakala operasi mencari masih diteruskan untuk mengesan abangnya,” katanya.

  • Remaja dikhuatiri lemas di Pantai Cempaka

    Remaja dikhuatiri lemas di Pantai Cempaka

    SEORANG remaja dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika mandi bersama empat rakannya di Pantai Cempaka di Kuantan semalam.

    Mangsa, Nazrul Aimi Shah Kamarul Bahri, 15 dari Taman Kempadang Perdana merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Soi.

    Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, dalam kejadian itu, empat rakan mangsa masing-masing berusia 15 tahun selamat.

    “Siasatan awal mendapati mangsa bersama rakan-rakannya datang ke pantai itu kira-kira pukul 3.30 petang untuk mandi-manda.

    “Semasa sedang mandi di tepi pantai, mereka dipercayai telah dipukul ombak dan hanyutkan arus ke kawasan yang agak dalam.

    “Empat rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi pantai manakala mangsa didapati hilang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, mangsa yang selamat meminta bantuan daripada penduduk berhampiran sebelum kejadian dimaklumkan kepada pihak berkuasa untuk bantuan mencari dan menyelamat.

    Wan Mohd. Zahari berkata, susulan maklumat ditera, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah digerakkan melibatkan pihak polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pasukan Polis Marin dan Agensi Pengiatkuasaan Maritim Malaysian (Maritim Malaysia).

    “Penugasan SAR bertumpu kepada rondaan di sepanjang pesisir Pantai Cempaka hingga ke Pantai Sepat memandangkan penggunaan bot penyelamat tidak begitu sesuai memandangkan keadaan angin kencang dan ombak tinggi di kawasan pesisir,” jelasnya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, operasi SAR mangsa yang hilang diteruskan pada pagi tadi.

  • 45,489 mangsa banjir masih di PPS

    45,489 mangsa banjir masih di PPS

    SERAMAI 45,489 mangsa banjir masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri, dengan Johor kekal merekodkan jumlah mangsa tertinggi setakat 8 pagi ini.

    Di JOHOR, bilangan mangsa banjir kembali meningkat kepada 44,937 orang pagi ini, berbanding 43,667 orang yang direkodkan pada 8 malam tadi, dengan pertambahan mangsa dicatatkan di daerah Batu Pahat.

    Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan seramai 12,730 keluarga masih ditempatkan di 172 PPS yang beroperasi di lima daerah.

    Menurut JPBN, Batu Pahat terus menjadi daerah paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa adalah seramai 39,737 orang, diikuti Muar (2,785), Tangkak (1,662), Segamat (706) dan Mersing (47).

    Sebanyak lapan sungai masih melepasi aras bahaya antaranya, Sungai Batu Pahat di Empangan Bekok (Batu Pahat) yang kini berada pada paras 19.70 meter (m); Sungai Muar di Bukit Kepong (Muar) dengan bacaan 4.33 m dan Sungai Senggarang di Senggarang (Batu Pahat) 3.53 m.

    Di MELAKA, jumlah mangsa di Jasin menurun kepada 380 orang daripada 99 keluarga pagi ini berbanding 438 orang daripada 115 keluarga pada malam tadi dan masih ditempatkan di lima PPS.

    JPBN memaklumkan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Mendapat menempatkan seramai 25 mangsa, SK Parit Penghulu (122), SK Parit Gantong (30), SK Batu Gajah (167) dan SK Sungai Rambai (36).

    Di PAHANG, jumlah mangsa banjir di Rompin kekal 172 orang daripada 61 keluarga dengan seramai 62 mangsa ditempatkan di SK Kampung Aur manakala 110 mangsa lagi di SK Leban Chondong.

  • Jumlah mangsa banjir di 3 negeri berkurangan, 43,667 penduduk terjejas di Johor

    Jumlah mangsa banjir di 3 negeri berkurangan, 43,667 penduduk terjejas di Johor

    JUMLAH mangsa banjir di tiga negeri iaitu Johor, Melaka dan Pahang terus berkurangan malam ini, melibatkan 44,277 mangsa berbanding 46,053 mangsa petang tadi.

    Di JOHOR, jumlah mangsa banjir berkurang kepada 43,667 orang setakat 8 malam ini susulan banjir di daerah Kluang telah pulih dan kesemua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

    Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 12,385 keluarga masih ditempatkan di 172 pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di lima daerah terjejas akibat bencana itu.

    “Batu Pahat menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 37,878 orang, diikuti dengan Muar (3,104), Tangkak (1,924), Segamat (706) dan Mersing (55),” menurutnya.

    Sebanyak sembilan sungai masih melepasi aras bahaya, antaranya, Sungai Batu Pahat di Empangan Bekok (Batu Pahat) yang kini berada pada paras 19.73 meter (m); Sungai Muar di Bukit Kepong (Muar) dengan bacaan 4.49m dan Sungai Senggarang di Senggarang (Batu Pahat) dengan bacaan 3.51m.

    Cuaca diramalkan cerah di lapan daerah malam ini, kecuali Mersing dan Kota Tinggi yang dijangka hujan.

    Di MELAKA, jumlah mangsa banjir di Jasin menurun kepada 438 orang daripada 115 keluarga pada 8 malam ini berbanding 442 orang daripada 116 keluarga pada 2 petang tadi.

    Sekretariat JPBN Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di lima PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Mendapat membabitkan 25 mangsa daripada tujuh keluarga.

    “Sebanyak 134 mangsa daripada 32 keluarga ditempatkan di SK Parit Penghulu, 57 mangsa daripada 22 keluarga di SK Parit Gantong, 167 mangsa daripada 42 keluarga di SK Batu Gajah dan 55 mangsa daripada 12 keluarga di SK Sungai Rambai,” menurut kenyataan itu.

    Di PAHANG, Sekretariat JPBN Pahang melaporkan jumlah mangsa banjir di Rompin terus menurun malam ini selepas hanya 172 mangsa ditempatkan di dua PPS berbanding 677 orang berada di lima PPS petang tadi.

    PPS Sekolah Kebangsaan Kampung Aur menempatkan 62 mangsa daripada 24 keluarga manakala 110 mangsa daripada 37 keluarga berada di PPS Sekolah Kebangsaan Leban Chondong. – BERNAMA

  • Remaja lelaki maut rempuh lembu

    Remaja lelaki maut rempuh lembu

    SEORANG remaja lelaki berusia 16 tahun maut selepas motosikal dinaikinya merempuh seekor lembu di Kilometer 35, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, semalam.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata Mohamad Adam Haikal Mohamad Asri, berasal dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil, mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Chiku 3, 9.55 malam tadi.

    “Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha YI5Z dari arah Chiku 3 menuju ke Chiku 2 dan apabila tiba di tempat kejadian remaja terbabit melanggar seekor lembu yang sedang melintas jalan.

    “Mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan maut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau turut menasihatkan penternak lembu supaya tidak membiarkan haiwan peliharaan mereka berkeliaran pada waktu malam kerana dikhuatiri mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.

    “Penternak yang membiarkan haiwan ternakan berkeliaran di jalan raya dan kawasan perumahan boleh didakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar di bawah Enakmen Kawalan Kerbau Lembu 2001 dan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 289 Kanun Keseksaan, sekiranya berlaku kemalangan,” katanya.

  • Ketua Balai Polis Sungai Tiang meninggal, diserang sakit jantung ketika memandu

    Ketua Balai Polis Sungai Tiang meninggal, diserang sakit jantung ketika memandu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KETUA Polis Balai Sungai Tiang di Pendang, Kedah meninggal dunia akibat serangan jantung dialaminya ketika sedang memandu di Kilometer 52.7, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat Alor Setar, Kedah, malam tadi.

    Kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu turut menyebabkan kereta dipandu mangsa, Sarjan Mejar Wahab Ahmad @ Harun terbabas di lebuh raya tersebut.

    Akibat kejadian itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir memaklumkan, mangsa turut mengalami kecederaan di kepala.

    “Pasukan perubatan kecemasan yang bergegas ke lokasi kemudiannya mengesahkan mangsa meninggal dunia di situ.

    “Bedah siasat dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pagi ini mendapati kematian mangsa berpunca daripada sakit jantung,” katanya.

    Tambahnya, kejadian itu kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Ketika kejadian mangsa difahamkan dalam perjalanan dari Pendang menuju ke rumahnya di Jitra.

    Sementara itu Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim turut mengucapkan takziah di laman Facebook rasminya.

    “Arwah banyak membantu saya dalam melancarkan perjalanan program rakyat khususnya di Sungai Tiang.

    “Semoga kebaikan ini dibalas dengan ganjaran syurga buat arwah,” katanya.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad yang turut menziarah keluarga mangsa di Jabatan Forensik HSB, pagi tadi.

  • Mangsa banjir di Johor meningkat malam ini, Melaka dan Pahang berkurangan

    Mangsa banjir di Johor meningkat malam ini, Melaka dan Pahang berkurangan

    JUMLAH mangsa banjir di Johor terus mencatatkan peningkatan malam ini manakala situasi di Melaka dan Pahang yang menunjukkan pengurangan jumlah mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

    Meskipun hanya tinggal tujuh daerah sahaja di JOHOR yang terjejas banjir, namun jumlah mangsa meningkat kepada 42,851 orang setakat 8 malam ini berbanding 41,543 pada 2 petang tadi.

    Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) jumlah PPS yang masih beroperasi berkurang kepada 186 berbanding 198 pada 2 petang.

    JPBN memaklumkan situasi banjir di beberapa daerah semakin pulih, namun Batu Pahat terus terjejas dengan 32,312 mangsa diikuti Muar dengan 4,151 orang dan Tangkak 2,499 orang.

    Sebanyak 10 sungai masih melepasi paras bahaya, antaranya Sungai Batu Pahat di Empangan Bekok (Batu Pahat) yang kini berada di paras 20.03 meter (m); Sungai Muar di Buloh Kasap (Segamat) di paras 9.44m dan Sungai Muar di Bukit Kepong (Segamat) di paras 5.14m.

    Bagaimanapun, cuaca untuk tujuh daerah diramalkan cerah manakala daerah Mersing, Kota Tinggi dan Kulai dijangka hujan malam ini.

    Sementara itu di MELAKA, jumlah mangsa banjir di Jasin mulai berkurangan kepada 557 orang daripada 149 keluarga pada 8 malam ini berbanding 598 orang daripada 159 keluarga pada 2 petang tadi.

    Sekretariat JPBN Melaka dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di lima PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Gajah membabitkan 193 orang daripada 51 keluarga.

    “Sebanyak 142 mangsa daripada 34 keluarga ditempatkan di SK Parit Penghulu, 61 mangsa daripada 15 keluarga di SK Seri Mendapat, 99 mangsa daripada 25 keluarga di SK Sungai Rambai dan 62 mangsa daripada 24 keluarga pula berada di SK Parit Gantong,” menurut kenyataan itu.

    Di PAHANG, aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan jumlah mangsa banjir di Rompin menurun kepada 2,248 orang yang ditempatkan di 15 PPS berbanding 2,255 orang petang tadi.

    Laman web publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan Sungai Keratong di Rompin kekal melebihi paras bahaya malam ini. – BERNAMA