Category: Kemalangan / Bencana

  • Pemancing terkejut jumpa rangka manusia tepi sungai

    Pemancing terkejut jumpa rangka manusia tepi sungai

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SATU rangka manusia ditemukan seorang pemancing di tepi sungai berdekatan Ladang Tereh Mill di Kluang pada pukul 6 petang kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, lelaki itu membuat laporan di Balai Polis Paloh pukul 8.30 malam.

    “Tempat kejadian merupakan tepi sungai Ladang Tereh Mill di bawah kawasan pentadbiran Balai Polis Paloh.

    “Mayat tanpa indentiti tersebut didapati berada di tepi sungai di mana jarak antara sungai dengan mayat dijumpai kira-kira 1.8 meter.

    “Mayat dalam keadaan mengereng dan hampir keseluruhan mayat sudah kelihatan tulang dan rangka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, pemeriksaan terhadap mayat dibuat pasukan forensik dan mendapati terdapat baju T warna biru serta terdapat juga baju sejuk berlengan panjang.

    Namun kata Bahrin, tiada sebarang dokumen peribadi pada badan mayat.

    Menurutnya, mayat dihantar ke Forensik Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom di sini untuk bedah siasat dan kes diklasifisasiakn sebagai kematian mengejut (SDR).

  • Dugaan Ramadan, khemah niaga diterbangkan ribut, peniaga rugi RM100,000

    Dugaan Ramadan, khemah niaga diterbangkan ribut, peniaga rugi RM100,000

    SEORANG peniaga mendakwa kerugian kira-kira RM100,000 selepas khemah gerai jualan buah-buahan miliknya diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Jalan Kubang Lembu, Alor Setar, hari ini.

    Azlina Ibrahim, 47, berkata terdapat ramai pelanggan di dalam gerainya dalam kejadian pukul 3.15 petang itu, namun semua mereka sempat menyelamatkan diri.

    “Hujan tiba-tiba turun dengan lebat dan lima minit kemudian ribut yang kuat datang terus mengangkat dan terbangkan khemah gerai ke atas jalan raya.

    “Ada dalam 10 orang di gerai termasuk anak saya, pekerja dan pelanggan. Mereka semua sempat lari keluar. Mujur juga khemah itu jatuh atas jalan dan tiada kenderaan yang melaluinya.

    “Saya telah lebih 10 tahun berniaga di sini, memang terkejut kerana tidak pernah belaku kejadian seumpama ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.

    Azlina memaklumkan dia baru mengambil buah-buah seperti tembikai, pisang, limau, mangga dan banyak lagi kini separuh daripadanya rosak dalam kejadian itu.

    Turut berdepan detik cemas itu Muhammad Haikal Khairul Anwar, 15, yang menyedari kakaknya terbaring di bawah timbunan khemah yang diterbangkan itu.

    Katanya, dia bergegas mengangkat kakaknya yang berusia 16 tahun itu lalu meminta orang ramai menghantarnya ke hospital.

    “Hujan lebat masa itu, kami tengok khemah terangkat dan tiba-tiba saya tengok kakak rebah di bawah khemah tu, dia pitam,” katanya lapor Astro Awani.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Bustan Karuddin, berkata pihaknya menerima laporan pukul 3.30 petang sebelum sepasukan anggota bersama dua jentera dikerah ke lokasi kejadian.

    Katanya, anggotanya terpaksa memotong beberapa pokok yang tumbang melintang ke atas jalan raya.

    Bustan berkata, ketika ini anggota sedang melakukan kerja mengalihkan khemah dan tiang elektrik yang patah menghalang jalan raya.

  • Kanak-kanak dua tahun maut jatuh dalam air kumbahan

    Kanak-kanak dua tahun maut jatuh dalam air kumbahan

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut selepas terjatuh ke dalam air kumbahan di Kok Lanas, Kota Bharu, semalam.

    Kejadian pada pukul 2.30 petang itu disedari ibu dan bapa tirinya apabila mendapati tiada kelibat Muhammad Azim Abdul Rahim.

    Ibu mangsa, Nur Ain Nabihah Mohd Zamri, 24, berkata, semasa kejadian dia dan suami, Mohd. Khairi Jauhari Mohd. Yusuf, 36, berada di kedai roti canai milik mereka.

    Pasangan tersebut kemudian menyedari ketiadaan anak bongsu daripada dua beradik itu.

    “Saya dan suami cuba mencari di sekitar kedai dan kawasan berhampiran sebelum terlintas untuk memeriksa kawasan kumbahan yang terletak dalam jarak lima meter.

    “Sebaik tiba di kawasan itu saya lihat sesuatu yang pelik, lumut di dalam air kumbahan tersebut sudah tiada.

    “Melihat situasi itu, suami telah meminta adiknya turun ke dalam kumbahan terbabit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lorong Pondok Haji Muhammad, Selising di Pasir Putih, hari ini.

    Nur Ain Nabihah berkata, anaknya ditemui tidak sedarkan diri di dasar air sedalam 0.4 meter itu oleh adik iparnya.

    Menuruntya, dia dan suami terus membawa Muhammad Azim ke Klinik Kesihatan Kok Lanas untuk mendapatkan rawatan.

    “Kira-kira 15 minit selepas menerima rawatan di klinik anak disahkan telah meninggal dunia.

    “Sebelum kejadian arwah berperangai pelik, dia banyak merengek seperti gelisah sedangkan sebelum ini dia tidak pernah begitu kerana seorang yang ceria serta aktif,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Jenazah kanak-kanak itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Jawa pada pukul 8.30 pagi tadi.

  • Pemandu treler gilis murid sekolah dipukul orang awam

    Pemandu treler gilis murid sekolah dipukul orang awam

    POLIS mengesahkan menerima satu laporan daripada seorang pemandu treler yang dipukul oleh orang awam semasa kejadian kemalangan maut babit kenderaan itu dengan sebuah motosikal di Kampung Telok Gong, di Klang, semalam.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pemandu berusia 36 tahun itu, cedera di pipi kanan dan telah mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) sebagai pesakit luar.

    “Pemandu telah buat laporan di Balai Polis Pandamaran, di Klang petang semalam berhubung kes dia dipukul oleh individu yang belum dikenal pasti.

    “Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti pelaku terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menrutnya, punca kejadian dipercayai motosikal ditunggangi wanita berusia 54 tahun dan dua kanak-kanak itu hilang kawalan ketika melalui permukaan berpasir.

    “Semasa kejadian, treler dari arah Klang menghala ke Telok Gong, apabila sampai di persimpangan Jalan Bawal, sebuah motosikal yang ditunggangi oleh seorang wanita bersama dua pelajar sekolah iaitu pelajar perempuan (sembilan tahun) dan pelajar lelaki (tujuh tahun) keluar dari simpang menghala ke arah sama dengan treler berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata, penunggang motosikal tidak dapat mengawal motosikal kerana bahu jalan berpasir menyebabkan motosikal dan penunggang serta pembonceng terjatuh di atas jalan raya.

    “Mangsa merupakan seorang pelajar perempuan digilis oleh roda tayar belakang treler, meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

    Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta tampil untuk menyalurkannya ke balai polis berdekatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Orang awam yang mempunyai maklumat boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd. Yunus Abd. Rahim di talian 011-25300305 atau Balai Polis Trafik Klang Selatan melalui talian 0333722222 bagi membantu siasatan.

  • Ibu hamil lima bulan maut tercampak tengah jalan

    Ibu hamil lima bulan maut tercampak tengah jalan

    SEORANG ibu yang hamil lima bulan maut dipercayai tercampak ke tengah jalan selepas motosikal yang ditungganginya terlanggar dua buah kereta di Bukit Bakar, Machang, pukul 7.13 malam tadi.

    Mangsa, Che Suriani Mahmod, 22, dikatakan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Machang.

    Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati, sebuah kereta yang dipandu seorang pengawal keselamatan dari arah Kuala Besut, Terengganu menghala ke Kuala krai melalui jalan Bukit Bakar.

    Katanya, apabila tiba di tempat kejadian, motosikal jenis Yamaha Nouvo LC yang ditunggang oleh suri rumah terbabit datang dari arah bertentangan terus masuk kelaluan pengawal keselamatan yang berusia 31 tahun itu.

    “Lelaki tersebut kemudian telah mengelak ke sebelah kanan jalan lalu motosikal mangsa terlanggar bahagian sebelah sisi kiri keretanya.

    “Motosikal tersebut kemudian telah terlanggar sebuah lagi kereta jenis Proton Pesona yang berada di belakang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurut beliau, akibat daripada pelanggaran itu, ibu mengandung terbabit telah tercampak ke tengah jalan.

    Mohd. Adli berkata, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, lapor Sinar Harian.

  • Murid perempuan maut digilis treler ketika pulang dari sekolah

    Murid perempuan maut digilis treler ketika pulang dari sekolah

    SEORANG murid perempuan berusia sembilan tahun maut akibat digilis treler ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang, pagi tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Morni Mamat berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada 11.25 pagi.

    Beliau berkata kemalangan tersebut melibatkan sebuah treler yang melanggar motosikal dinaiki mangsa bersama seorang wanita berumur 54 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun.

    “Wanita yang juga pengasuh kepada kedua-dua kanak-kanak tersebut mengambil mereka dari sekolah dan dalam perjalanan pulang.

    “Pengasuh dan kanak-kanak lelaki tersebut masing-masing cedera ringan, manakala kanak-kanak perempuan maut di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Morni berkata mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, manakala wanita dan kanak-kanak lelaki itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut. – BERNAMA

  • Wanita terperangkap, rumah dihempap pokok tumbang

    Wanita terperangkap, rumah dihempap pokok tumbang

    SEORANG wanita berdepan detik cemas selepas terperangkap dalam rumahnya yang dihempap empat batang pokok tumbang dalam kejadian hujan lebat dan ribut petir di Taman Desa Riang, Damansara Damai di Petaling Jaya pukul 9.45 malam tadi.

    Menceritakan detik cemas tersebut, suami mangsa, Rezal Ibrahim, 49, berkata, isterinya tidak dapat keluar selepas bahagian depan dan belakang rumah rosak dan terhalang oleh pokok berkenaan.

    Menurutnya, dia ketika itu berada di luar dan selepas mendapat tahu kejadian tersebut terpaksa berjalan kaki sejauh 700 meter untuk pulang ke rumah selepas jalan utama turut terhalang susulan kejadian sama.

    “Saya selaku pengerusi surau ketika itu sedang bermesyuarat bagi persiapan Ramadan.

    “Sebaik dihubungi isteri, saya terus pulang ke rumah, namun lebih kurang lima batang pokok tumbang di jalan utama Jalan Sutera ke Desariang 10/5 menyebabkan kenderaan tidak boleh dilalui.

    “Saya ambil keputusan untuk jalan kaki pulang ke rumah bagi melihat keadaan isteri,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Rezal memberitahu mengalami kerugian lebih RM5,000 susulan kejadian tersebut, namun bersyukur isterinya terselamat.

    Ujarnya, kejadian berlaku sekitar jam 9.45 malam, namun agensi penyelamat lewat tiba disebabkan banyak lokasi terjejas susulan kejadian tersebut.

    “Sementara menunggu pasukan penyelemat tiba, kami penduduk melakukan kerja pembersihan bermula jam 10.30 malam hingga lewat pagi.

    “Kerja pembersihan masih lagi dijalankan ketika ini,” katanya.

    Seorang lagi penduduk, Norzela Yaakub, 60, berkata, walaupun ribut petir dan hujan lebat berlaku kurang 30 minit, namun situasi tersebut sudah cukup mencemaskannya yang ketika kejadian berada di rumah bersama suami.

    “Bunyi bising dan berlaku litar pintas sampai saya tidak sedar bahagian tempat letak kereta rumah telah dihempap pokok.

    “Ada penduduk beritahu ternampak puting beliung yang menyebabkan banyak pokok tumbang, namun saya tidak pasti kerana berada dalam rumah,” katanya.

    Norzela mengakui trauma dengan kejadian pertama kali berlaku di kawasan perumahan itu, namun bersyukur tiada penduduk terlibat dalam kejadian tersebut.

    Dalam masa sama, Norzela turut berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat membuat pemantauan dan melakukan penebangan pokok berisiko dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

    Semalam, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat memberitahu, tujuh rumah dan enam kenderaan rosak akibat dihempap 15 pokok tumbang di Taman Desa Riang, Damansara Damai.

    Seramai 29 anggota bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara, BBP Sungai Buloh, BBP Kota Anggerik dan BBP Rawang dikejarkan ke lokasi kejadian.

  • Dua lelaki maut pacuan empat roda rempuh pokok

    Dua lelaki maut pacuan empat roda rempuh pokok

    SANDAKAN – Dua lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh pokok dalam kemalangan di Jalan Batu 5 Sandakan pukul 1.15 pagi.

    Raynerd Noell Tan, 22, yang merupakan pemandu kenderaan terbabit disahkan maut di lokasi manakala penumpang yang juga berusia 22 tahun meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent (HDOK), Sandakan.

    Ketua Polis Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, kemalangan itu melibatkan kenderaan jenis Toyota Hilux yang terbabas sendiri.

    Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati sebelum kemalangan berlaku kenderaan terbabit dari Batu 4 menghala ke Taman Mawar.

    “Sebaik tiba di lokasi, kenderaan tersebut hilang kawalan lalu terbabas ke tengah pembahagi jalan dan merempuh pokok.

    “Akibat kejadian itu kedua-dua pemandu dan penumpang maut akibat kecederaan parah,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Katanya, pemandu meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penumpang disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di HDOK.

    Tambah beliau, kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Isu bekalan air di Kedah tak sampai ke tahap krisis

    Isu bekalan air di Kedah tak sampai ke tahap krisis

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MASALAH bekalan air yang terjejas di Kedah berikutan kemarau panjang akibat fenomena La Nina di utara tanah air, tidak sampai ke tahap krisis.

    Menurut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, kemarau yang berlaku mengakibatkan pam-pam di muka sauk berada dalam keadaan tergantung berikutan paras air sungai surut.

    Justeru katanya, kerja-kerja penyesuaian yang rumit termasuk menurunkan pam ke paras sepatutnya terpaksa dilakukan.

    “Kita harap isu ini dapat diatasi segera. Begitu pun kita bukanlah berada dalam keadaan krisis kerana sumber air mentah di negeri ini tidak berada pada tahap baik dan takungan sedia ada juga mencukupi.

    “Ketika ini kita telah minta Syarikat Air Darul Aman (SADA) perbanyakkan penghantaran air menggunakan lori. Selain itu, LSANK juga ada maklumkan bahawa di beberapa lokasi, telaga air boring yang pernah dibuat sebelum ini kini diaktifkan semula,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melepaskan larian sempena Sambutan Hari Air Sedunia 2023 anjuran Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri di dataran depan Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

    Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, biasanya kemarau berpanjangan itu sekiranya berlarutan hingga dua atau tiga bulan, akan membawa masalah kepada bekalan air.

    “Boleh dikatakan, setiap tahun Kedah menghadapi situasi sama dan kita memiliki pelan kontingensi untuk mengatasinya.

    “Menjelang ketibaan Ramadan dan Syawal tak lama lagi, insya Allah kita akan laksanakan yang terbaik. Tahun ini kita telah laksanakan persiapan lebih awal,” katanya.

  • Abang Stacy Anam meninggal dunia

    Abang Stacy Anam meninggal dunia

    ABANG penyanyi Stacy Anam iaitu Chaq, 35, meninggal dunia di Hospital Sibu, Sarawak awal pagi ini selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Bintangor, 12 Mac lalu.

    Pemergian Chaq atau nama sebenarnya Camellus Delleli Anam pada pukul 3.30 pagi tadi disampaikan oleh adik lelakinya, Aldrich Andy Anam.

    “Abang saya sudah tiada. Jantungnya terhenti sekitar pukul 3.30 pagi,” kata Aldrich kepada Astro AWANI.

    Selain Aldrich, turut berada di sisi Chaq semasa mendiang abangnya itu menutup mata buat kali terakhir ialah ibu mereka Agnes Carlos.

    Kata Aldrich, mereka sekeluarga reda dan berlapang dada menerima takdir itu.

    “Mak okey dan kami (sekeluarga) reda dan berserah sejak Chaq masuk hospital lagi,” ujar Aldrich lagi.

    Mengulas lanjut, Aldrich berkata, mayat Chaq masih berada di Hospital Sibu dan mereka sekeluarga akan menguruskan membawa mayat kembali ke kampung halaman di Penampang, Kota Kinabalu, Sabah untuk urusan pengebumian.

    Katanya, kakaknya, Stacy pula dijangka tiba di Kota Kinabalu dari Kuala Lumpur esok bagi bersama-sama keluarga memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Chaq.

    Mendiang Chaq terlibat dalam kemalangan di Bintangor, Sarawak sehingga mengakibatkan dia mengalami pendarahan dalam kepala.

    Berikutan tragedi itu, Chaq yang juga peserta sebuah program realiti dan penyanyi sambilan bertarung nyawa di hospital walaupun sudah menjalani dua pembedahan disebabkan pendarahan itu.

    Beberapa organ dalaman Chaq mengalami gangguan antaranya masalah jantung selain hati dan limpa mengalami luka.

    Beberapa hari lalu, Stacy turut meminta doa ramai berharap agar abangnya terus kuat berjuang dan kembali sihat seperti sedia kala.

    “Mohon doakan kesembuhan buat abang saya Chaq. Harap dia terus kuat, tetapi saya dapat rasa dia tengah melawan. Insya-Allah mesti dia boleh,” katanya.