Category: Kemalangan / Bencana

  • Buruh maut terjatuh semasa buat kerja pengubahsuaian rumah kedai

    Buruh maut terjatuh semasa buat kerja pengubahsuaian rumah kedai

    SEORANG buruh kontrak warga Vietnam maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga ketika melakukan kerja pengubahsuaian rumah kedai di Jalan Bunga Raya, di Melaka, tengah hari semalam.

    Kejadian tersebut dimaklumkan kepada pihak polis daripada orang awam pada pukul 12.41 tengah hari berkenaan seorang lelaki ditemukan tidak sedarkan diri di lantai rumah kedai tiga tingkat.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, anggota dari Balai Polis Melaka Tengah diketuai Asisten Superintendan Azizi Abdul Rahman bergegas ke tempat kejadian untuk siasatan.

    “Sebaik tiba di tempat kejadian, pasukan mendapati lelaki Vietnam tidak sedarkan diri terbaring di atas lantai tingkat bawah dengan memakai seluar jeans hitam serta tidak berbaju.

    “Pegawai perubatan dari Hospital Melaka yang melakukan pemeriksaan kemudiannya mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya dihubungi di Melaka.

    Christopher berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa, Nguyen Van Ty, 52, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga berikutan kesan pecah pada bumbung sengkuap.

    Beliau berkata, hasil pemerhatian oleh Ketua Balai Polis Melaka Tengah bersama pegawai penyiasat ke atas tubuh mangsa tidak mengesan sebarang perbuatan jenayah.

    “Soal siasat awal terhadap saksi yang juga sub kontraktor memaklumkan dia datang ke tempat kejadian untuk meninjau kerja-kerja pengubahsuaian dibuat mangsa membabitkan tingkat tiga saja sekitar pukul 10.30 pagi.

    “Setibanya di tempat kejadian saksi mendapati mangsa terbaring di lantai tingkat bawah sebelum menghubungi pihak ambulans dan polis untuk bantuan.

    “Saksi juga mengatakan baru mengenali mangsa sejak tiga hari lalu,” katanya, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui sebab kematiannya.

  • Kanak-kanak mati lemas dalam kolam renang semasa beraya

    Kanak-kanak mati lemas dalam kolam renang semasa beraya

    KEGEMBIRAAN sebuah keluarga menziarahi saudara mara di rumah datuk bertukar tragedi apabila kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun ditemukan lemas oleh abangnya dalam kolam renang di tepi kediaman jiran di Tambun, Ipoh, petang semalam.

    Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kejadian itu adalah kes keempat kematian akibat lemas membabitkan kanak-kanak di bandar raya ini pada tahun ini yang berpunca akibat ditinggalkan ibu bapa atau penjaga tanpa pengawasan sepatutnya.

    “Kematian kanak-kanak terbabit disahkan pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) selepas dibawa oleh warisnya sejurus dijumpai oleh abang mangsa dalam keadaan terapung dalam kolam renang pukul 6.30 petang semalam.

    “Siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa bersama ibunya berada di dalam rumah lot berkenaan kerana menziarahi ahli keluarga, manakala bapa mangsa keluar menghantar saudara balik ke tempat penginapan lain.

    “Mangsa dijumpai abangnya dalam keadaan terapung di dalam kolam renang kanak-kanak sebelum dihantar oleh warisnya ke HRPB untuk rawatan.

    “Pada pukul 9.25 malam tadi, polis menerima maklumat daripada pihak HRPB kematian kanak-kanak itu akibat lemas. Bedah siasat oleh Jabatan Forensik pada hari ini turut mendapati punca kematian mangsa adalah lemas,” katanya menerusi kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Mohd. Yusri berkata, sehubungan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 33(1) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) iaitu kerana membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

    Polis katanya, amat memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap ibu bapa atau penjaga yang membiarkan kanak-kanak bawah jagaan masing-masing tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan sehingga menyebabkan kemalangan jiwa.

    Pada 26 April lalu, media melaporkan seorang perempuan berusia 21 bulan ditemui lemas dalam kolam renang kanak-kanak ketika datang menziarahi bersama ibu dan bapanya ke kediaman datuk mangsa di Tambun.

  • Myvi bertembung CRV, 3 maut di Jempol

    Myvi bertembung CRV, 3 maut di Jempol

    TIGA termasuk seorang warga emas maut apabila sebuah kereta Perodua Myvi dipercayai masuk ke laluan bertentangan dalam kejadian di KM26 Jalan Bahau-Kemayan, dekat Lui Barat, Jempol.

    Dalam kejadian kira-kira 1.57 tengah hari tadi, mangsa maut adalah Sallehuddin Nong, 63, selain dua wanita, Tee Tai En, 29, dan Tin Siew Kwan, 59.

    Ketua Polis Jempol Hoo Chang Hook berkata, kemalangan itu berlaku selepas Perodua Myvi dipercayai hilang kawalan lalu bertembung dengan Honda CRV, dari arah Sungai Lui menuju ke Bandar Seri Jempol.

    “Akibat daripada kemalangan ini, pemandu dan penumpang hadapan Perodua Myvi serta penumpang belakang Honda CRV telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Kesemua mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Jempol untuk urusan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya menurut Kosmo.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Warga emas terlanggar isteri sendiri hingga maut

    Warga emas terlanggar isteri sendiri hingga maut

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG wanita maut di depan rumahnya setelah dilanggar suami sendiri, dipercaya secara tidak sengaja di Taman Selasih, Kulim, Kedah, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd. Redzuan Salleh berkata, kejadian kira-kira pukul 7 petang itu mengakibatkan mangsa yang berusia 59 tahun maut di lokasi kejadian.

    Katanya, siasatan awal mendapati mangsa keluar dari keretanya untuk mengambil barang yang tertinggal dalam rumah.

    “Ketika itu suami mangsa berusia 60-an yang sedang mengundur tertekan pedal minyak lalu terlanggar isterinya yang berada di tepi sebelah kiri kenderaan tersebut.

    “Kenderaan tersebut kemudiannya turut melanggar sebuah kereta yang diletakkan berhampiran rumah tersebut,” katanya.

    Tambahnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala suaminya tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Mayat mangsa dihantar ke jabatan forensik Hspital Kulim untuk dibedah siasat.

    “Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jala 1987,” katanya.

  • Kanak-kanak 4 tahun maut jatuh tingkat 11 kuarters polis

    Kanak-kanak 4 tahun maut jatuh tingkat 11 kuarters polis

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 11, Kuarters Polis USJ 8, Subang Jaya, dekat Kuala Lumpur, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat, berkata polis menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada jam 11.35 pagi tadi.

    “Menurut ibunya, sebelum kejadian, dia berada di bahagian dapur manakala dua anaknya sedang bermain di ruang tamu.

    “Namun selepas itu, dia terdengar bunyi pintu bilik bahagian tengah tertutup dengan kuat dan cuba membuka pintu itu, tetapi gagal kerana pintu telah terkunci,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

    Wan Azlan berkata ibu mangsa kemudian mendengar suara anaknya meminta tolong sebelum dia ke bilik bersebelahan dan apabila melihat dari luar tingkap mendapati anaknya itu telah terjatuh ke bawah.

    Menurutnya, petugas kesihatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat kanak-kanak berkenaan dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang untuk dibedah siasat.

    “Siasatan lanjut di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur-unsur jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya.

    Wan Azlan berkata mangsa adalah anak pertama daripada dua adik beradik dan ibu bapanya merupakan anggota polis yang tinggal di kediaman tersebut. – BERNAMA

  • Angkara mercun bola meletup sebelum sempat dilempar, Naim Daniel cedera

    Angkara mercun bola meletup sebelum sempat dilempar, Naim Daniel cedera

    TINDAKAN penyanyi dan komposer popular Naim Daniel bermain mercun bola membawa padah selepas dia cedera ringan pada bahagian dahi dan tangan kanan berikutan mercun dipegangnya meletup sebelum sempat dilemparkan.

    Menurut Naim atau nama sebenarnya, Muhammad Naim Daniel Baharin, 26, insiden itu berlaku ketika sedang seronok bermain mercun bersama anggota keluarga di kampung halamannya di Melaka.

    “Kejadian berlaku cukup pantas. Saya nampak sumbu mercun masih panjang dan belum sempat saya campak mercun bola, tiba-tiba ia meletup.

    “Memandangkan mercun meletup depan muka, dahi saya mengalami luka kecil dan kuku jari kanan saya pecah.

    “Saya kemudiannya pergi ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan. Tiada jahitan dikenakan, cuma kena balut di bahagian yang cedera,” katanya menurut laporan BH Online.

    Pada soalan adakah dia serik bermain mercun selepas insiden malang itu, penyanyi lagu Sumpah tersebut berkata, kejadian itu memberi pengajaran kepadanya untuk lebih berhati-hati.

    “Selepas insiden ini, saya hanya bermain bunga api. Kena marahlah juga dengan mak sebab tidak berhati-hati ketika main mercun,” cerita Naim sambil tertawa.

    Terdahulu, juara Anugerah Juara Lagu Ke-34 (AJL 34) itu turut berkongsi kemalangan yang dialaminya dalam Instagram (IG).

    Menerusi hantaran itu, Naim turut menasihatkan pengikutnya tidak bermain mercun bola jika tidak mahu kecederaan menimpa.

  • Tertidur semasa api sedang marak dalam rumah

    Tertidur semasa api sedang marak dalam rumah

    SEORANG lelaki bersyukur kerana terselamat dalam kebakaran di rumahnya di Kampung Pak Madah, Marang pukul 9.15 malam tadi selepas dikejutkan abangnya.

    Jazli Jisim, 34, berkata, ketika kejadian, dia sudah tertidur di tingkat bawah rumah selepas menonton televisyen.

    “Mujurlah abang, Zulkifli, 52, kejutkan saya sebelum api semakin marak, kalau tak mungkin saya tak sempat selamatkan diri.

    “Masa abang kejut tu keadaan rumah gelap sebab elektrik dah terpadam. Abang hanya guna lampu suluh. Sebaik terjaga saya menerpa ke tingkat atas rumah kerana api datang dari arah situ.

    “Sempat juga saya capai air untuk simbah malangnya api semakin marak. Tak sampai tiga minit api dah merebak ke tempat lain dalam rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

    Dia berkata, menyedari api semakin marak dia dan abangnya bergegas keluar dari rumah pusaka dua tingkat itu untuk mendapatkan pertolongan dan menelefon bomba.

    “Masa tengah kelam kabut itu saya keluar rumah minta tolong. Abang pula telefon pihak bomba. Waktu itu saya masih terkejut dan hanya sempat capai dua helai baju.

    “Dalam masa 30 minit sahaja sebahagian daripada rumah ini telah musnah terbakar. Saya betul-betul tak sangka berdepan dugaan ini pada hari raya keempat.

    “Begitupun, saya bersyukur kerana saya terselamat dan kebakaran rumah ini berjaya dipadamkan oleh pihak bomba dan tidak merebak ke rumah lain,” ujarnya.

    Jazli yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik berkata, buat sementara waktu dia terpaksa menumpang di rumah kakak dan abangnya yang lain.

    Sementara itu, Zulkifli berkata, kebakaran mungkin berpunca daripada litar pintas di rumah berkenaan kerana dalam bilik bahagian atas terdapat wayar (extension plug) untuk sambungkan elektrik.

    “Anggaran kerugian ditanggung kira-kira RM150,000 tidak termasuk perkakasan dalam rumah,” katanya yang tinggal di Pasir Panjang, Kuala Terengganu.

    Sementara itu, jurucakap bomba memberitahu, seramai enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Tapai dibantu sembilan anggota BBP Marang serta tiga anggota Pasukan Bomba Sukarela Sri Payung bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pukul 9.21 malam.

    Katanya, operasi memadam kebakaran itu tamat pukul 12.45 tengah malam manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

    “Rumah berkenaan 70 peratus terbakar manakala seorang mangsa melecur pada tangan dan kaki kiri kerana terkena api,” katanya lapor Sinar Harian.

  • Kanak-kanak perempuan lemas dalam kolam renang rumah datuk

    Kanak-kanak perempuan lemas dalam kolam renang rumah datuk

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia setahun sembilan bulan ditemukan lemas dalam kolam renang di rumah datuknya di Tambun, semalam.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, maklumat awal diterima daripada pihak hospital sekitar pukul 10.30 malam membabitkan kematian mangsa.

    “Siasatan dijalankan dan mendapati tempat kejadian merupakan sebuah kolam renang kanak-kanak di rumah datuk mangsa.

    “Semasa kejadian, mangsa bersama kedua ibu bapanya berada di rumah berkenaan kerana menziarahi ahli keluarga,” katanya dalam satu kenyataan, di Ipoh, hari ini.

    Katanya, mangsa bagaimanapun ditemui bapanya dalam keadaan terapung sekitar pukul 8.45 malam.

    Bapa mangsa ujar beliau, membawanya ke Hospital Pantai bagi menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia.

    Menurutnya, bedah siasat yang dijalankan Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini mendapati punca kematian mangsa adalah mati lemas.

    Yahaya berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 kerana membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan.

    Tambahnya, kedua ibu bapa mangsa berusia 33 dan 31 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

    Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, katanya lagi.

    “Polis menasihatkan ibu bapa atau penjaga supaya tidak membiarkan kanak-kanak di bawah jagaan masing-masing tinggal tanpa pengawasan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya lapor Sinar Harian.

  • Tadika Pasti, dua premis di Kampung Jalan Kebun terbakar

    Tadika Pasti, dua premis di Kampung Jalan Kebun terbakar

    SEBUAH bangunan tadika Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) di Kampung Jalan Kebun, Seksyen 30 di Shah Alam musnah dalam kebakaran tengah hari tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat berkata pihaknya menerima panggilan pada 12.37 tengah hari dan sepasukan anggota dari empat balai bomba dikerah ke lokasi kejadian.

    “Dilaporkan kebakaran melibatkan sebuah Sekolah Pasti dua tingkat berukuran (40 x 80 k/p) bangunan kelas B.

    “Ketika bomba sampai di lokasi, api telah merebak ke bangunan kedai dan rumah bersebelahan sekolah tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata api berjaya dikawal pada 1.22 tengah hari dan proses pemadaman sedang dijalankan oleh pihak bomba.

    “Tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya.

  • Tanah runtuh Bukit Tunku: Masih berlaku runtuhan kecil-Polis

    Tanah runtuh Bukit Tunku: Masih berlaku runtuhan kecil-Polis

    MASIH berlaku runtuhan kecil dan pergerakan tanah di lokasi tanah runtuh di Bukit Tunku, Kuala Lumpur malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai yang mengesahkan perkembangan tersebut berkata, kali terakhir runtuhan berlaku pada pukul 10 malam dan mengenai kawasan pagar Institut Intergriti Malaysia (IIM).

    “Jadi kita melihat masih berlku runtuhan dan hakisan tanah sekadar menutup kanvas tidka dapat kurangkan risiko bahaya itu jadi kita sedang berbincang memasang cerucuk besi bagi mengelakkan bangunan berdekatan daripada terus terjejas ekoran hakisan tanah.

    “Runtuhan malam tadi bermula pukul 10 malam itu, runtuhan sedikit demi sedikit, masih berlaku pergerakan tanah,” jelasnya ketika ditemui media hari ini.

    Beliau berkata, perbincangan akan dijalankan bersama pihak teknikal terdiri daripada Cawangan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Minera dan Geosains Malaysia (JMG) serta beberapa agensi lain bagi proses pemasangan cerucuk besi di kawasan runtuhan.

    “Kita akan bincang sebentar lagi dan apakah hasil mesyuarat dan bila akan dilaksanakan (pemasangan cerucuk besi).

    “Kita percaya salah satu faktor (runtuhan) disebabkan aliran air ditemui semalam, kedua berlaku takungan air atau mendapan,” katanya lagi, lapor Astro Awani.

    Terdahulu difahamkan, agensi penyelamat dalam insiden tanah runtuh di Bukit Tunku dijadual bermesyuarat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada pukul 3 petang ini.

    Pasca mesyuarat tersebut, satu sidang media turut dijadual diadakan pada pukul 5.30 petang.

    Semalam, dilaporkan seramai 76 petugas Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) berdepan detik cemas selepas berlaku runtuhan tanah di kawasan itu kira-kira pukul 1.30 tengah hari.

    Kejadian itu melibatkan kawasan di depan pintu akademi milik SPRM dan meruntuhkan sebuah pondok kawalan dengan keluasan tanah runtuh dianggarkan 30.48 x 36.57 meter persegi.