Category: Kemalangan / Bencana

  • Kenderaan terkandas akibat banjir, pemandu tidur dalam kereta

    Kenderaan terkandas akibat banjir, pemandu tidur dalam kereta

    PULUHAN pemandu terpaksa bermalam di dalam kenderaan masing-masing malam tadi apabila laluan untuk pulang ke rumah mereka di Setia Alam di sini serta Bukit Raja dan Meru di Klang ditenggelami air berikutan hujan lebat di Lembah Klang sejak pagi semalam.

    Jalan-jalan utama di Setia Alam yang menghubungkan Meru dan Bandar Bukit Raja di Klang dinaiki air antara dua hingga tiga meter sejak lewat malam tadi menyebabkan ramai pengguna jalan raya yang pulang kerja lewat malam terperangkap dan tidak dapat pulang ke rumah hingga tengah hari ini.

    Setakat 1 tengah hari, hujan masih lebat turun di sekitar Lembah Klang.

    Tinjauan Bernama di jalan utama menghubungkan Setia Alam dengan Meru mendapati puluhan kenderaan masih berhenti di tepi jalan kerana laluan yang dinaiki air itu hanya boleh dilalui kenderaan berat seperti bas dan lori.

    Mohd Faizol Adzhar Mohd Mohtar, 34, berkata beliau terpaksa tidur di dalam kereta yang diletakkan di kawasan parkir kira-kira dua kilometer dari apartmennya di Bandar Bukit Raja sebelum berjalan kaki pulang pagi ini.

    “Saya balik kerja dari Kuala Lumpur pukul 9.30 malam tadi dan saya berhenti makan kerana jalan sesak, tiba di Setia Alam kira-kira pukul 12 tengah malam saya dapati semua jalan menuju ke rumah saya dinaiki air.

    “Keadaan waktu itu hujan lebat dan saya ambil keputusan untuk tidur di dalam kereta kerana tidak mahu ambil risiko meredah air banjir yang tinggi,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Kira-kira 10 pagi, Mohd Faizol Adzhar mengambil keputusan untuk berjalan kaki pulang ke rumahnya kerana air tidak menunjukkan tanda untuk surut berikutan hujan lebat masih turun.

    Mohamad Imran Hakim Mohd Nazri, 19, pula terpaksa tidur di tempat kerja selepas kawasan sekeliling dinaiki air.

    “Saya habis kerja di restoran kira-kira 12.30 tengah malam dan ketika itu air sudah naik setinggi dua meter di luar restoran,” katanya.

    Beliau yang tinggal di Sungai Kapar Indah, kira-kira 10 kilometer dari Setia Alam sejak kecil, berkata kejadian banjir kali ini adalah paling buruk pernah dialami sejak tinggal di daerah itu.

    “Sekarang saya masih lagi di tempat kerja, tidak boleh pulang ke rumah, harap hujan akan berhenti dan air segera surut,” katanya. – BERNAMA

  • Lebih 3,000 mangsa banjir Selangor dipindah ke 30 PPS

    Lebih 3,000 mangsa banjir Selangor dipindah ke 30 PPS

    SERAMAI 3,086 mangsa banjir setakat ini dipindahkan ke 30 pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor membabitkan daerah Klang, Kuala Langat dan Sepang ekoran hujan lebat tanpa henti sejak semalam. 

    Pengarah Bomba negeri Norazam Khamis, berkata di Klang sebanyak 20 PPS dibuka dengan jumlah membabitkan seramai 2,604 mangsa.

    Katanya PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Gong dan  SK Johan Setia di Klang mencatatkan jumlah penempatan mangsa tertinggi iaitu masing-masing 681 dan 793 orang. 

    Sebuah lori meredah air banjir yang membabitkan daerah Klang, Kuala Langat dan Sepang ekoran hujan lebat tanpa henti sejak semalam 

    Di Sepang dan Kuala Langat sebanyak 10 PPS dibuka membabitkan 482 mangsa. 

    Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapannya di Twitter berkata pada masa sama, sukarelawan Team Selangor dan Selangor Volunteer (SERVE) sedang digerakkan bagi mengedarkan bantuan kepada mangsa banjir.

    Katanya kerajaan negeri akan terus memantau keadaan semasa dan membuka lebih banyak PPS sekiranya diperlukan. 

    Jabatan Meteorologi Malaysia meletakkan amaran hujan berterusan (waspada) untuk Selangor.  – Bernama

  • Pemergian Rahimi kehilangan besar keluarga Rolex Shapiai

    Pemergian Rahimi kehilangan besar keluarga Rolex Shapiai

    “PEMERGIAN arwah kehilangan besar buat kami kerana dia banyak membantu keluarga dan tidak pernah berkira soal duit,” kata Rolex Shapiai.

    Rolex, 53, adalah bapa kepada Muhamad Rahimi Rolex, 27, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 8.3 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) di sini tengah malam tadi.

    Selain, Muhamad Rahimi, seorang ibu serta lapan anaknya yang menaiki Proton Wira turut maut dalam insiden berkenaan dipercayai selepas terperosok di bawah sebuah treler.

    Sementara empat mangsa cedera dan tiga lagi tidak mengalami kecederaan.

    Rolex yang menetap di Sungai Rasau, Seksyen 16, di Shah Alam berkata, dia menerima panggilan daripada bomba kira-kira pukul 12.30 malam tadi dan tergamam mendengar khabar duka itu kerana sempat bertemu dengan Muhamad Rahimi sebelum anak sulungnya keluar rumah.

    “Kali terakhir saya bertemu arwah adalah kira-kira pukul 9.30 malam sewaktu dia di rumah.

    “Arwah baru pulang dari tempat kerja ketika itu dan kami sempat borak seketika sebelum dia keluar, katanya mahu berjumpa dengan kawan.

    “Kebiasaannya, dia pulang jam 12 malam tetapi tidak pada malam tadi. Jadi, saya cuba menghubunginya namun tidak sedap hati apabila anggota bomba yang mengangkat panggilan sebelum beritahu anak saya kemungkinan sudah meninggal dunia,” katanya kepada Berita Harian ketika ditemui dekat ruang menunggu di Unit Forensik, Hospital Shah Alam.

    Lebih menyedihkan Rolex adalah apabila Muhamad Rahimi meninggal dunia menjelang sambutan ulang tahun kelahirannya, Rabu depan.

    “Ikutkan, saya memang ada perancangan untuk bawa dia pergi makan sempena hari jadinya.

    “Ia sudah jadi kelaziman saya setiap kali menyambut ulang tahun kelahirannya dan anak yang lain namun hasrat itu tidak kesampaian kali ini,” katanya.

    Sementara itu, adik mangsa, Nur Faqihah Umirah Rolex, 16, turut sedih dengan pemergian Muhamad Rahimi kerana rapat dengan abang sulungnya.

    “Kami semua sudah tidur tetapi tersentak selepas ayah kejut dan beritahu abang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan.

    “Emak mahu ke lokasi kejadian namun jalan sesak jadi kami terus ke sini (Unit Forensik).

    “Saya sempat jumpa abang buat kali terakhir ketika di rumah dan malam tadi dia tidak sihat. Emak minta abang makan ubat dan katanya mahu makan apabila pulang ke rumah,” katanya.

  • Remaja cuba lepaskan tali pancing sebelum lemas

    Remaja cuba lepaskan tali pancing sebelum lemas

    SEORANG remaja lelaki ditemukan lemas selepas terjatuh dalam sungai ketika memancing di Sungai Seluang, dekat Jalan Paya Resak, Marang semalam.

    Sebelum itu pada pukul 4 petang, mangsa, Muhammad Danish Daniel Adnan, 13, dan adiknya, Muhammad Danish Irfan, 7, memancing di sungai berhampiran rumah mereka.

    Menurut Pegawai operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mazimi Mohamad, pasukan penyelamat menemukan mayat mangsa pada jarak 50 meter dari lokasi kejadian pada pukul 5.17 petang.

    “Ketika kejadian, mangsa dipercayai cuba melepaskan tali pancing yang tersangkut dalam air sebelum terjatuh ke dalam sungai.

    “Mayat mangsa ditemukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di dasar sungai pada kedalaman kira-kira 4.57 meter dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Katanya, bomba menerima panggilan kecemasan pukul 4.11 petang sebelum 12 anggota termasuk PPDA Kuala Terengganu ke lokasi kejadian.

    Mangsa ujarnya, dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut sebelum jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan dekat Kampung Sungai Seluang, hari ini.

  • Agensi di bawah KASA bersiap sedia hadapi bencan banjir

    Agensi di bawah KASA bersiap sedia hadapi bencan banjir

    AGENSI-AGENSI di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah diarahkan bersiap sedia untuk berdepan bencana banjir yang mula melanda di beberapa negeri ketika ini.

    Ini susulan hujan lebat berterusan dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini.

    Timbalan Menterinya, Datuk Mansor Othman berkata, persediaan menghadapi bencana itu telah digerakkan di seluruh negara susulan Jabatan Meteorologi turut memberi amaran hujan lebat dan berterusan akan melanda beberapa negeri ketika ini.

    Dalam masa sama kata beliau, agensi di bawah KASA turut diarahkan untuk segera menyalurkan maklumat berkaitan banjir kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk tindakan selanjutnya.

    Dalam pada itu Mansor berkata, selain hujan lebat dan berterusan, banjir kilat yang sering berlaku juga disebabkan masalah saliran dan longkang tersumbat akibat pembuangan sampah.

    “Ini berkait dengan isu pencemaran alam sekitar yang mana sampah-sarap dibuang di dalam parit sehingga saliran dan longkang tersumbat.

    “Pencemaran alam serta bencana dapat dikawal sekiranya orang ramai bekerjasama dengan kita tidak merosakkan alam sekitar,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan program pembersihan pantai sempena Hari Alam Sekitar Negara 2021 di Pantai Batu Ferringhi, Pulau Pinang hari ini yang turut disertai para sukarelawan terdiri daripada orang awam dan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang.

    Ketika ini beberapa kawasan di Selangor; Pahang; Negeri Sembilan; Kelantan dan Terengganu mula dilaporkan ditenggelami banjir selepas hujan lebat tanpa henti sejak beberapa hari lalu.

    Dalam perkembangan berkaitan Mansor berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) berjaya mengumpulkan hampir 2,000 metrik tan bahan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) dari isi rumah seluruh negara sempena sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2021.

    Katanya, jumlah itu yang dikutip setiap Sabtu terakhir setiap bulan bermula Januari lalu jauh lebih tinggi daripada sasaran ditetapkan menerusi program terbabit iaitu 800 metrik tan sisa e-waste.

  • Identiti 10 maut dirempuh treler dikenal pasti

    Identiti 10 maut dirempuh treler dikenal pasti

    POLIS sudah mengenal pasti 10 individu maut dirempuh treler ketika berhenti di lorong kecemasan Kilometer 8.3 Lebuhraya Elite menghala Shah Alam malam tadi yang turut menyebabkan seorang ibu dan lapan anaknya maut di tempat kejadian.

    Mangsa yang meninggal dunia adalah Norul Naziah Buyong, 37, dan lapan anaknya berusia antara 10 bulan hingga 16 tahun dilaporkan menaiki Proton Wira dipandu suaminya Abdul Razak Majit, 50, yang cedera ringan, lapor Berita Harian.

    Lapan anak Abdul Razak yang maut dalam kemalangan itu adalah Muhamad Raid Fathi, 10 bulan, Puteri Nur Ain Syalwana, 3, Muhamad Hidayat Hakimie, 7, Muhamad Rolkaizat Rezky, 9, Muhamad Aizat Shazwan, 10, Razatul Aliah, 16 dan Muhamad Razarul Amin, 17.

    Seorang lagi mangsa yang maut adalah seorang mekanik, Muhamad Rahimi Rolex, 27, yang mana ketika kejadian memandu kereta jenis Proton Wira, datang untuk membantu menghidupkan bateri kereta dipandu Abdul Razak.

    Selain dua kereta Proton Wira, sebuah lagi kereta jenis Perodua Axia turut berada di lokasi kejadian juga untuk membantu kereta dipandu Abdul Razak.

    Jurucakap Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, berkata semasa kejadian keadaan permukaan jalan lebuh raya tiga lorong sehala menghala ke Shah Alam licin akibat hujan lebat.

    “Sebuah lori yang datang dari arah belakang secara tiba-tiba gagal dikawal dan merempuh tiga kereta berkenaan yang sedang berhenti di lorong kecemasan.

    “Pada masa sama lori berkenaan menyeret kereta Abdul Razak ke kanan lebuh raya sehingga menyebabkan sembilan ahli keluarganya dan Muhamad Rahimi maut di tempat kejadian,” katanya kepada BH hari ini.

    Seorang mangsa yang cedera parah serta dua cedera ringan dihantar ke Hospital Shah Alam, untuk rawatan.

    Setakat ini pihak polis sedang menahan pemandu treler terbabit untuk siasatan lanjut. Individu yang menaiki treler tidak cedera dikenali Mohd Khairol Kamal Abdullah, 45; serta dua anaknya Haiqal Haziq, 19; dan Hafiey Hamziey, 14.

    Hasil ujian air kencing dan ujian pengambilan alkohol juga mendapati pemandu lori terbabit bebas dari dadah dan alkohol.

  • 10 maut termasuk 8 kanak-kanak dalam kemalangan empat kenderaan di Shah Alam

    10 maut termasuk 8 kanak-kanak dalam kemalangan empat kenderaan di Shah Alam

    SERAMAI 10 maut termasuk lapan kanak-kanak dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di kawasan Rehat dan Rawat USJ Lebuhraya Elite menghala Shah Alam, malam tadi.

    Dalam kemalangan tersebut, mangsa yang maut terdiri daripada lima kanak-kanak lelaki, tiga kanak-kanak perempuan dan masing-masing satu lelaki serta perempuan dewasa.

    Menurut Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.42 malam.

    “Seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya serta dengan bantuan enam anggota dari BBP Puchong dikejarkan ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, sejurus tiba di lokasi kejadian didapati berlaku kemalangan membabitkan tiga kereta dan sebuah treler.

    “Seramai 17 mangsa terbabit dalam kemalangan ini membabitkan dua Proton Wira, sebuah Perodua Axia dan sebuah treler,” katanya.

    Beliau memberitahu, seorang lelaki dewasa maut membabitkan sebuah Proton Wira, manakala sembilan maut terdiri daripada seorang perempuan dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan yang menaiki sebuah lagi Proton Wira.

    Seorang lelaki yang menaiki Perodua Axia patah kaki dan perempuan dewasa yang menaiki kenderaan sama cedera ringan sementara seorang pemandu treler dan dua kanak-kanak di dalam kenderaan itu terselamat, katanya.

    Jelasnya, anggota bertugas bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan alatan khas dan dibantu sebuah kren bagi mengangkat lori treler.

    “Semua mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi keseluruhan tamat pada jam 2.40 pagi Sabtu,” katanya.

  • Mangsa banjir Pantai Timur meningkat, operator kilang korban pertama

    Mangsa banjir Pantai Timur meningkat, operator kilang korban pertama

    MANGSA banjir di tiga negeri Pantai Timur – Kelantan, Terengganu dan Pahang – semakin meningkat dengan 635 orang dari 131 keluarga dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) setakat pukul 4 petang semalam berbanding kira-kira 200 mangsa pagi tadi.

    Banjir yang mula melanda sejak awal pagi ini turut meragut satu nyawa apabila mayat seorang operator kilang ditemukan pada pukul 2.22 petang selepas dilapor terjatuh daripada motosikal semasa meredah air bah di jalan berhampiran tanah perkuburan Cina Gambang, Pahang.

    Situasi banjir di ketiga-tiga negeri pantai timur dijangka berterusan susulan hujan yang membawa kepada peningkatan paras air sungai masih melanda kawasan-kawasan berkenaan sehingga petang ini.

    Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan paras air Sungai Tembeling di Jerantut dan Sungai Kechau di Lipis Pahang; Kampung Jenob dan Sungai Golok, Tanah Merah di Kelantan serta Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman, Terengganu kini melebihi paras bahaya dan sedang meningkat.

    Di KELANTAN, lapan PPS dibuka di Gua Musang, Kuala Krai, Jeli dan Tanah Merah melibatkan seramai 548 orang daripada 108 keluarga, setakat pukul 4 petang semalam.

    Pegawai Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Kelantan Kapt Mohd Hanif Omar berkata PPS yang terbabit adalah empat di Kuala Krai iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krai; Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Embak; SK Chenulang dan Pejabat Veterinar manakala dua di Gua Musang iaitu SK Felda Chiku 7 dan SK Limau Kasturi 1.

    “Selain itu, masing-masing satu PPS dibuka di Tanah Merah iaitu SK Kelewek dan Jeli pula di SK Kuala Balah,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

    Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 63 orang daripada 14 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 21 orang daripada lima keluarga pada 9 pagi semalam.

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu dalam satu kenyataan memaklumkan terdapat tiga PPS yang beroperasi ketika ini iaitu di Setiu, Dungun dan Kemaman.

    Di KUANTAN, jumlah mangsa di dua PPS tidak berubah setakat petang ini melibatkan 24 orang daripada sembilan keluarga yang ditempatkan di SK Kempadang manakala sembilan orang daripada dua keluarga di SK Beserah. 

    Keadaan beberapa jalan sekitar daerah ini dan pekan Sungai Lembing yang dinaiki air sejak awal pagi tadi juga kembali pulih, walaupun cuaca masih hujan renyai. – BERNAMA

  • Bayi cedera kepala dan muka, mungkin dilanggar kereta bapa

    Bayi cedera kepala dan muka, mungkin dilanggar kereta bapa

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG bayi berusia setahun mengalami kecederaan di kepala disyaki akibat dilanggar bapanya ketika mengundurkan kereta di Alor Setar, semalam.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk S. Suresh Kumar berkata, kejadian itu dilaporkan oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setelah bayi tersebut dibawa untuk mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

    Menurutnya, kira-kira pukul 10.56 malam tadi, seorang pegawai perubatan di hospital tersebut membuat laporan kepada pihak polis mengenai kecederaan dialami bayi tersebut.

    “Pada awalnya, bayi itu didakwa cedera di bahagian kepala termasuk melecet di muka kerana ditendang lembu ketika bermain di luar rumah.

    “Bagaimanapun siasatan pihak polis mendapati mangsa telah dilanggar oleh bapanya ketika mengundur kereta di kediaman mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Tambahnya, bayi tersebut kini berada dalam keadaan stabil dan masih di bawah pengawasan unit rawatan rapi (ICU) HSB.

    “Berikutan itu, bapa mangsa yang merupakan seorang warganegara asing ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut.

    “Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang mana jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun, denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

    Menurutnya, siasatan lanjut turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana bapa bayi tersebut disyaki tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

  • Dua beradik maut dalam perjalanan balik kampung

    Dua beradik maut dalam perjalanan balik kampung

    DUA beradik maut, manakala tiga yang lain termasuk ibu bapa mereka cedera apabila kereta dinaiki terbabas sebelum terbalik di Kilometer 44.1 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, di Bentong awal pagi tadi. 

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata kemalangan dipercayai berlaku pada 3.20 pagi itu melibatkan sebuah keluarga yang dalam perjalanan dari Shah Alam, Selangor ke Kelantan. 

    Mangsa yang maut ialah Wafa Safia Mohd Hairy, 17, dan adiknya Adam Haiqal, 12, dengan kedua-duanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. 

    Ibu bapa mereka Mohd Hairy Ahmad dan Zuraini Zolkifli kedua-duanya berusia 44 tahun, cedera manakala anak bongsu pasangan itu Fahmi Eyman, 10, dilaporkan parah di kepala. 

    Mohd Hairy, pegawai Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dilaporkan cedera tulang belakang manakala Zuraini yang merupakan guru sekolah rendah retak tangan kanan. 

    “Mereka dipercayai dalam perjalanan pulang ke kampung bagi menghadiri majlis pertunangan ahli keluarga apabila kenderaan itu terbabas semasa pemandu cuba untuk memotong kenderaan di hadapan berhampiran selekoh.  

    “Keadaan jalan yang licin juga dipercayai menyebabkan pemandu berhadapan kesukaran mengawal kenderaan sebelum kereta itu berpusing beberapa kali sebelum terbalik,” katanya semasa dihubungi di sini hari ini. 

    Kamarulzaman berkata mangsa yang cedera dan mayat dua beradik itu dibawa ke Hospital Bentong bagi rawatan dan bedah siasat yang akan dijalankan selepas keputusan saringan COVID-19 diperoleh.  – BERNAMA