SERAMAI 10 maut termasuk lapan kanak-kanak dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di kawasan Rehat dan Rawat USJ Lebuhraya Elite menghala Shah Alam, malam tadi.

Dalam kemalangan tersebut, mangsa yang maut terdiri daripada lima kanak-kanak lelaki, tiga kanak-kanak perempuan dan masing-masing satu lelaki serta perempuan dewasa.

Menurut Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.42 malam.

“Seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya serta dengan bantuan enam anggota dari BBP Puchong dikejarkan ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, sejurus tiba di lokasi kejadian didapati berlaku kemalangan membabitkan tiga kereta dan sebuah treler.

“Seramai 17 mangsa terbabit dalam kemalangan ini membabitkan dua Proton Wira, sebuah Perodua Axia dan sebuah treler,” katanya.

Beliau memberitahu, seorang lelaki dewasa maut membabitkan sebuah Proton Wira, manakala sembilan maut terdiri daripada seorang perempuan dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan yang menaiki sebuah lagi Proton Wira.

Seorang lelaki yang menaiki Perodua Axia patah kaki dan perempuan dewasa yang menaiki kenderaan sama cedera ringan sementara seorang pemandu treler dan dua kanak-kanak di dalam kenderaan itu terselamat, katanya.

Jelasnya, anggota bertugas bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan alatan khas dan dibantu sebuah kren bagi mengangkat lori treler.

“Semua mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi keseluruhan tamat pada jam 2.40 pagi Sabtu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here