Category: Kemalangan / Bencana

  • Lapan rumah di lereng bukit terjejas tanah runtuh

    Lapan rumah di lereng bukit terjejas tanah runtuh

    SEBANYAK lapan rumah di Kampung Palembayan Sungai Penchala, Kuala Lumpur terjejas akibat tanah runtuh dalam kejadian pada malam tadi.

    Bagaimanapun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan melibatkan semua penduduk itu yang tinggal di kawasan lereng bukit.

    Menerusi gambar yang tular di media sosial, insiden turut menyebabkan jalan raya dipenuhi runtuhan dan ditutup kepada semua kenderaan.

  • KPLB peruntuk RM4 juta bantu mangsa banjir – Mahdzir

    KPLB peruntuk RM4 juta bantu mangsa banjir – Mahdzir

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan agensinya, memperuntukkan RM4 juta sebagai bantuan segera bakul makanan tambahan kepada kumpulan sasar mangsa banjir.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, lapan agensinya iaitu MARA, RISDA, FELCRA, KEJORA, KESEDAR, KETENGAH, KEDA dan PERDA, masing-masing memperuntukkan RM500 ribu bagi membantu mangsa terjejas.

    “Saya telah berbincang dengan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan juga ketua-ketua agensi KPLB untuk mengambil tindakan segera bagi menyalurkan bantuan berbentuk bakul makanan tambahan kepada mangsa banjir di kawasan terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pada masa sama kata Mahdzir, KPLB juga akan membaik pulih infrastruktur dan rumah yang rosak atau musnah dalam kejadian banjir di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
     
    ”Di Kelantan, agensi KPLB Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan, KESEDAR juga telah membuka bilik gerakan banjir mulai Jumaat lalu. Sejumlah 200 unit bakul makanan akan diserahkan esok kepada mangsa yang terkandas di kediaman masing-masing,” katanya.

    Mahdzir memberitahu, seramai 50 orang sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan KESEDAR juga akan digerakkan bersama peralatan logistik lengkap seperti kenderaan bagi membantu mangsa banjir.
     
    “Saya berharap, semua mangsa banjir bersabar dengan dugaan ini, pada masa yang sama saya meminta supaya mereka sentiasa berhubung dengan pihak-pihak berkaitan termasuk agensi KPLB bagi menyalurkan sebarang maklumat jika ada yang memerlukan sebarang bantuan,” katanya.

  • Lebih ramai anggota bomba sedia dikerah bantu mangsa banjir

    Lebih ramai anggota bomba sedia dikerah bantu mangsa banjir

    LEBIH ramai anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) termasuk dari negeri yang tidak dilanda banjir sedia dikerahkan bagi membantu mangsa-mangsa banjir yang terjejas teruk di beberapa negeri ketika ini.

    Malah, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau juga sudah berhubung Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid untuk bersedia menghulurkan sebarang bantuan yang diperlukan segera.

    Tambahnya, agensi berkenaan juga akan membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang akan mengkoordinasi operasi menyelamat yang dijalankan secara bersepadu bersama beberapa agensi lain.

    Ketika ini, seramai 4,819 anggota bomba termasuk pasukan bomba sukarela telah dikerahkan untuk membantu kerja-kerja menyelamat dan membawa mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri-negeri yang terlibat dengan banjir.

    Usaha tersebut dibantu oleh aset logistik terdiri daripada 125 buah kenderaan angkut serta 214 bot yang turut digerakkan ketika ini.

    Menurut Reezal Merican, beliau juga akan mendapatkan perkembangan terkini situasi banjir itu daripada pihak bomba di Balai Bomba Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor selepas ini sebelum langkah seterusnya dapat diambil.

    “Saya difahamkan ketika ini sebanyak enam negeri terlibat dengan bencana banjir terutama di Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya.

    Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Khatan Perdana Peringkat Parlimen Kepala Batas yang disertai seramai 150 kanak-kanak di Kubang Menerong, Pulau Pinang hari ini.

    Dalam pada itu, Reezal Merican menasihatkan orang ramai khususnya mangsa banjir segera menghubungi talian kecemasan dan mematuhi arahan pihak berkuasa setiap masa bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga.

    “Setakat ini, saya dimaklumkan pihak bomba bersama beberapa agensi lain masih berusaha untuk membantu mangsa yang terlibat,” katanya.

  • Laman rumah dipenuhi timbunan kayu, pokok besar tumbang akibat banjir

    Laman rumah dipenuhi timbunan kayu, pokok besar tumbang akibat banjir

    KELUARGA Mohd Yusof Hanafi diuji dugaan berat apabila rumah mereka dipenuhi timbunan kayu dan pokok besar yang tumbang akibat dihanyutkan arus deras banjir di Batu 7 Kampung Pantai di sini malam tadi.

    Menceritakan detik cemas ketika banjir melanda kawasan rumahnya, Mohd Yusof, 55, berkata hujan berterusan sejak 7 malam tadi menyebabkan air naik mendadak ke paras dada.

    Tanpa berfikir panjang, beliau terus bertindak menyelamatkan ibu mertuanya yang berusia 94 tahun dengan memindahkan warga emas itu ke rumah jiran apabila air semakin naik selain menyelamatkan tiga anak serta isteri.

    “Sepanjang 18 tahun berkahwin dan menetap di sini bersama isteri, ini kali pertama kali kami sekeluarga menghadapi banjir seteruk ini, selalunya air naik tetapi setakat di tempat letak kereta sahaja.

    “Semua barangan rumah saya rosak, televisyen dan pakaian juga habis terkena air banjir, dinding rumah rosak… saya juga tidak sempat menyelamatkan dokumen penting, hanya memikirkan keselamatan anak-anak, isteri dan ibu mertua sahaja,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Tinjauan Bernama mendapati selain rumah Mohd Yusof, terdapat sebuah lagi yang turut berdepan situasi sama dan kini kerja-kerja pembersihan laman di kediaman terbabit giat dilakukan oleh anggota Majlis Bandaraya Seremban.

    Mohd Yusof, yang merupakan pekerja sebuah kilang di Bangi, berkata kerja-kerja pembersihan laman itu dijangka mengambil masa lebih seminggu untuk mengangkat timbunan kayu serta pokok besar dan membersihkan lumpur di dalam rumah.

    Terdapat beberapa kawasan di sepanjang Jalan Pantai dekat sini yang dipenuhi lumpur paras buku lali manakala air banjir di kawasan itu surut sejak pagi tadi.

    Mohd Yusof berkata barangan persekolahan tiga anaknya yang berusia 16, 14 dan 11 tahun juga rosak.

    Bagaimanapun, beliau bernasib baik kerana ketika kejadian, dua kereta miliknya sempat dialihkan ke lokasi lebih tinggi. – BERNAMA

  • Bomba bantu 4 pesakit terkandas banjir jalani dialisis

    Bomba bantu 4 pesakit terkandas banjir jalani dialisis

    JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Jeli membantu empat pesakit buah pinggang dari Kuala Balah, Jeli untuk mendapatkan rawatan dialisis di Hospital Jeli selepas kawasan kediaman mereka dinaiki air sejak awal pagi semalam.

    Semua mangsa banjir berkenaan yang perlu menjalani rawatan dialisis dibawa menggunakan trak sejauh 300 meter untuk mendapatkan rawatan di Hospital Jeli.

    Ketua Balai Bomba Jeli, Adni Ibrahim berkata, semua pesakit berkenaan berusia antara 30-an hingga 40-an.

    “Kami terpaksa bantu mereka sebab laluan utama Jeli-Dabong, Kuala Krai dinaiki air sehingga 0.8 meter,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut beliau, selain itu, pihaknya juga menyelamat seorang wanita awal 30-an yang menghidap penyakit darah tinggi serta batuk berdarah.

    Beliau berkata, wanita berkenaan juga terlantar dan terpaksa dibawa menggunakan pengusung dan semuanya dibawa ke Hospital Jeli untuk rawatan selanjutnya.

  • Banyak sekolah digunakan sebagai PPS – KPM

    Banyak sekolah digunakan sebagai PPS – KPM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sentiasa sedia membantu agensi berkaitan memindahkan mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sekolah bawah KPM berjalan lancar dan beroperasi dengan teratur.

    Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, melihat kepada keadaan banjir kali ini yang di luar jangkaan, banyak sekolah di bawah KPM digunakan sebagai PPS.

    Beliau berkata, sekitar pukul 1 pagi tadi beliau melawat PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Panglima Garang untuk meninjau mangsa banjir dari kawasan sekitarnya.

    “Saya diberi taklimat oleh beberapa pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkenaan situasi terkini di pusat ini.

    “Alhamdulillah, semua urusan permindahan berjalan lancar. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada semua pihak yang telibat dalam proses membantu mangsa-mangsa banjir ini, termasuk pihak sekolah.

    Sama-samalah kita berdoa agar urusan pengendalian mangsa banjir di sini serta tempat-tempat lain di seluruh negara dipermudahkan,” katanya dalam status terhaharu dalam Facebook miliknya, hari ini.

  • 5,731 PPS mampu tampung 1.63 juta mangsa banjir

    5,731 PPS mampu tampung 1.63 juta mangsa banjir

    SEBANYAK 5,731 pusat pemindahan sementara (PPS) dikenal pasti di seluruh negara mampu menampung 1.63 juta mangsa bencana.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata penyediaan PPS itu bagi mendepani monsun timur laut yang telah bermula pada Oktober lepas dan dijangka berakhir Mac 2022.

    “Setakat pukul 11.30 malam tadi, sebanyak enam negeri telah dilanda banjir iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor.

    “Sebanyak 220 PPS telah dibuka melibatkan 5,076 keluarga dan 13,872 mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Rina berkata, bagi menangani penularan COVID-19, kesemua mangsa akan melalui saringan COVID-19 untuk mengelakkan daripada tercetusnya kes COVID-19 sebelum penempatan dibuat di pusta pemindahan sementara berkaitan.

    Beliau berkata, kementeriannya telah menggerakkan 1,000 pegawai dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu mangsa di lokasi banjir.

    “Tambahan itu, pada masa ini seramai 500 sukarelawan Skuad Keluarga Malaysia telah digerakkan untuk membantu mangsa-mangsa di PPS yang beroperasi,” katanya.

    Rina turut menyeru orang ramai supaya memastikan keselamatan keluarga terutama kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya diberi keutamaan sewajarnya. – BERNAMA

  • Lebih 14,000 mangsa banjir dipindahkan setakat pagi ini

    Lebih 14,000 mangsa banjir dipindahkan setakat pagi ini

    LEBIH 14,000 mangsa banjir berada di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan Pahang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 5,189 orang pagi ini.

    Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tujuh daerah di Pahang iaitu Raub, Lipis, Bentong, Jerantut, Maran, Kuantan dan Pekan dilanda banjir dengan 116 PPS dibuka setakat 9 pagi.

    Banjir turut menyebabkan laluan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) ditutup di kedua-dua hala membabitkan Kilometer (KM) 113.4, KM84.6, KM198.7 dan KM74.4 setelah dinaiki air manakala hanya kenderaan berat dibenarkan melalui KM75.1.

    Pemegang konsesi lebuh raya itu, ANIH Bhd memaklumkan KM66.4 hingga KM66.1 arah ke Kuala Lumpur juga masih ditutup bagi kerja pembersihan akibat banjir lumpur, selain kejadian tanah runtuh menyebabkan KM67.8 dan KM69.5 ditutup bagi semua kenderaan untuk laluan ke ibu negara.

    Hujan berterusan juga menyebabkan bacaan di 19 stesen sungai di Pahang melebihi paras bahaya antaranya Sungai Jelai di Lipis, Sungai Tembeling (Jerantut), Sungai Bentong (Bentong), Sungai Semantan (Temerloh), Sungai Pahang (Temerloh) dan Sungai Lembing serta Sungai Belat di Kuantan.

    Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan lebat berterusan peringkat bahaya akan berlaku di Cameron Highlands, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong dan Kuantan hari ini, manakala Temerloh, Maran dan Pekan dijangka dilanda hujan lebat berterusan tahap buruk.

    Di SELANGOR, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor memaklumkan beberapa jalan ditutup untuk laluan kenderaan di sesetengah kawasan susulan banjir.

    Jalan-jalan tersebut termasuk di bawah seliaan kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Klang Utara, Sungai Buloh, Subang Jaya, Kuala Langat, Sepang dan Shah Alam.

    Sementara itu, Info Bencana JKM memaklumkan 4,596 orang dipindahkan setakat 7 pagi ini, membabitkan pembukaan 55 PPS.

    Di KELANTAN, mangsa banjir terus menunjukkan peningkatan setakat 8 pagi ini, dengan 3,652 orang daripada 826 keluarga ditempatkan di 44 PPS.

    Pegawai Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Kelantan Kapt Mohd Hanif Omar berkata 21 PPS dibuka di Kuala Krai, 15 di Gua Musang, empat di Jeli dan masing-masing dua di Tanah Merah dan Pasir Mas.

    Portal rasmi eBanjir Kelantan melaporkan lima sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Kelantan di Tangga Krai, Kuala Krai yang merekodkan bacaan 27.06 meter (m), Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard (16.94 m), Sungai Lebir di Tualang (36.59 m), Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah (24.01 m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.04 m).

    Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat sedikit kepada 261 orang daripada 88 keluarga setakat 9 pagi ini.

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu dalam satu kenyataan memaklumkan Dungun merupakan satu-satunya daerah yang dilanda banjir ketika ini dengan tiga PPS beroperasi.

    Di MELAKA, jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 563 orang daripada 112 keluarga melibatkan daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah.

    Di NEGERI SEMBILAN, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Seremban memaklumkan laluan menuju Jalan Seremban-Simpang Pertang yang menghubungkan jalan Pantai dan Jeram Toi, Jelebu ditutup sementara kepada pengguna jalan raya susulan tanah runtuh di kawasan tersebut malam tadi.

    Pengarah APM Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di negeri itu terus meningkat kepada 413 individu daripada 96 keluarga dan 10 PPS dibuka setakat 8 pagi ini. – BERNAMA

  • Wanita warga emas cedera pokok tumbang hempap rumah

    Wanita warga emas cedera pokok tumbang hempap rumah

    SEORANG wanita warga emas cedera selepas sebatang pokok kekabu tumbang dan menghempap bahagian bilik rumahnya di Kampung Ara Payung, Batu Gajah pada awal pagi ini.

    Mangsa, 64, dilaporkan cedera dan mengalami patah kaki sebelum kejadian tersebut dilaporkan kepada pihak bomba susulan terperangkap dalam bilik itu.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah, Mohd Norshah Shahri berkata, sepasukan tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 4.36 pagi.

    “Setibanya di lokasi didapati mangsa cedera selepas ditimpa runtuhan struktur dinding akibat daripada pokok tumbang.

    “Anggota mengeluarkan mangsa dan menyerahkan kepada pihak kesihatan untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

    Menurutnya, anggota meneruskan operasi membersihkan lokasi dengan memotong bahagian pokok menggunakan gergaji rantai.

    “Kejadian itu menyebabkan 30 peratus struktur rumah rosak. Operasi ditamatkan pada jam 5.46 pagi,” katanya.

  • Banjir:Sembilan PPS dibuka di Negeri Sembilan

    Banjir:Sembilan PPS dibuka di Negeri Sembilan

    SEMBILAN Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Negeri Sembilan dibuka setakat ini bagi menempatkan 358 mangsa banjir setakat ini yang dibuka sejak malam tadi selepas kediaman mereka terjejas akibat banjir.

    Lima daerah terkesan dengan bencana Monsun Timur Laut iaitu Seremban, Port Dickson,Rembau, Kuala Pilah dan Jelebu.

    Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Leftenan Kolonel (PA) Mohd. Syukri Madnor berkata, sebelum ini lima buah PPS dibuka dengan satu daripadanya telah ditutup semalam iaitu di Tampin di Surau Kampung Keru Hilir yang menempatkan 36 mangsa dengan 10 keluarga.

    “Bagaimana pun berlaku pertambahan pembukaan PPS menjadikan jumlah keseluruhannya sembilan PPS,” katanya dalam satu kenyataan di Seremban, hari ini.

    Katanya, sehingga kini PPS yang dibuka adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Siliau, Seremban ; empat PPS di Port Dickson (SK Jimah lama, Balai Raya Permatang Pasir, Balai Raya Kampung Linggi, Balai Raya Kampung dan Pengkalan Durian); dua PPS di Rembau (Masjid Lubok China dan Surau Nerabai); satu PPS masing-masing di Kuala Pilah (Dewan Desa Dangi), dan Jelebu (Balai Raya Kampung Juntai).

    “Ia melibatkan seramai 74 buah keluarga dengan 358 orang mangsa,” katanya.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, selain banjir terdapat lima kejadian lain turut dilaporkan susulan keadaan cuaca ketika ini iaitu di Jalan Sendayan-Jimah Port Dickson (jalan runtuh); Jalan Sungai Gadut (tanah runtuh); Breakwater runtuh di Port Dickson; dua warga negara Mynmar dikhuatiri lemas di pantai Teluk Kemang, Port Dickson dan tanah runtuh di Jalan Bukit Tangga menghala Jelebu.

    Media semalam melaporkan hujan lebat berterusan lebih dua jam sejak malam semalam mengakibatkan beberapa kawasan di lima daerah di Negeri Sembilan dilanda banjir kilat.