PENGERUSI Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Openg malam tadi mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, selepas gabungan empat parti itu memenangi pilihan raya negeri Sarawak ke-12 (PRN12).

Abang Johari yang lengkap berpakaian baju Melayu hitam, mengangkat sumpah jawatannya di hadapan Yang Dipertua Negeri Sarawak Abdul Taib Mahmud di Astana Negeri di sini.

Dengan mantera “Sarawak Diutamakan” dilaungkan oleh kedua-dua kerajaan dan pembangkang pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12), pengundi Sarawak telah memberi sokongan padu kepada GPS, dan sepenuh kepercayaan kepada kepimpinan Abang Johari .

Ia merupakan petanda sokongan kuat terhadap Abang Johari atas usahanya yang gigih dalam mengekalkan Sarawak, sebagai negeri yang paling stabil dari segi politik di negara ini, di samping komitmennya bagi memakmur dan merancakkan ekonomi, khususnya dengan limpahan yang dijangkakan susulan rancangan Indonesia memindahkan ibu kotanya ke Kalimantan, yang bersempadan dengan Sarawak menjelang 2024.

Pengundi mengharungi hujan lebat di kebanyakan kawasan untuk memberikan GPS majoriti 75 kerusi, mengatasi 72 kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya 2016, semasa empat parti komponen GPS itu menjadi komponen Barisan Nasional (BN).

Masih ada satu lagi keputusan yang belum diperoleh, yakni kerusi DUN Mulu, yang tertangguh apabila cuaca buruk menghalang peti undi di kawasan itu diterbangkan untuk pengiraan. 

Ia adalah satu tamparan hebat kepada DAP kerana parti itu boleh bertahan di dua kerusi sahaja, termasuk majoriti yang lebih kecil untuk Pengerusi DAP Negeri Chong Chieng Jen. Keadaan bertambah memalukan bagi parti itu apabila Parti Sarawak Bersatu (PSB) bakal mengambil alih peranan sebagai pembangkang utama selepas ia memperoleh empat kerusi.

Abang Johari diberi kepujian sebagai tokoh penting yang menubuhkan GPS, yang dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) sebagai komponennya pada Jun 2018, untuk memberi kerajaan negeri peluang menunjukkan kekuatan mereka.

“Negeri ini dikuasai BN sekian lama, dan Abang Joharilah yang telah mengambil langkah strategik membentuk GPS pada Jun 2018 menjadi entiti berasingan dengan memiliki autonomi politik untuk menguruskan hal ehwal negeri sendiri,” kata Dr Jeniri Amir, Felo Kanan Majlis Profesor Malaysia.

“Beliau memerlukan mandat kuat untuk melaksanakan manifesto GPS bagi mengubah Sarawak, untuk melaksanakan pembangunan dan membina infrastruktur yang penting. Namun ia masih belum dapat dipastikan sekiranya GPS boleh menambah kerusi mereka dalam pilihan raya umum akan datang. Jika ia berlaku itu adalah lebih baik,” katanya.

Empat parti GPS itu menarik diri daripada Barisan Nasional (BN) yang telah tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lepas.

GPS pada dasarnya sudah menunjukkan kehebatannya apabila pindaan perlembagaan berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi sama rata dalam persekutuan Malaysia diluluskan di Parlimen beberapa hari sebelum PRN, sekali gus meningkatkan keyakinan penduduk tempatan di sini.

“GPS kini lebih berkuasa dalam berurusan dengan kerajaan persekutuan. GPS bijak dalam permainan politiknya apabila mereka menjadi penentu dalam pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan mendapatkan royalti daripada Petronas, serta firma cari gali minyak di Sarawak,” kata Dr Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah.

Kemenangan GPS muncul daripada kehebatan PBB dan PRS meyapu bersih 58 kerusi di kawasan Bumiputera, dan prestasi SUPP yang jauh lebih baik kali ini dengan memenangi 13 kerusi, dan PDP memenangi lima.

Dengan pengundi yang lebih tertarik kepada naratif GPS; parti DAP dan PSB yang bertembung di banyak kawasan menghadapi kesukaran untuk memenuhi harapan mereka, apabila DAP berhasrat menafikan majoriti dua pertiga GPS, manakala PSB berhasrat untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Rakyat Sarawak yang dilihat serik dengan janji-janji DAP tidak ditepati semasa bersama kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang singkat, berpaling kepada SUPP yang kini menguasai 10 daripada 16 kerusi majoriti kaum Cina.

Empat kerusi dimenangi PBS, yang termasuk kejayaan presiden parti Datuk Seri Wong Soon Koh menewaskan Robert Lau dari GPS untuk penggal ketujuh di Bawang Assan dengan majoriti yang berkurangan, manakala Baru Bian mengekalkan pemilikan Ba’kelalan untuk parti itu, kemenangan kali ketiga di DUN berkenaan.

Pembangkang yang lain terus senyap, termasuk rakan sekutu DAP, yakni PKR serta Amanah, dan satu lagi parti yang ‘terkorban’ ialah Parti Bumi Kenyalang (PBK) yang telah menurunkan jumlah calon kedua tertinggi iaitu 73 calon.

Penolakan terhadap PKR dilihat cukup ketara, menyusul selepas pilihan raya negeri Melaka. Penasihat parti Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH), dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah berusaha sebaik mungkin untuk meraih sokongan pengundi menjelang hari pengundian.

“PH dan PKR memerlukan naratif dan visi baharu untuk meyakinkan mengapa orang ramai harus mengundi mereka.

“Keputusan di Sarawak menunjukkan gabungan itu memerlukan penjanaan semula untuk masa depan dan barisan pemimpin baharu,” kata Oh Ei Sun, Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura.

Di kala pihak pembangkang mula bermuhasabah diri, rakyat Sarawak telah memberi kata muktamad. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here