Category: Kemalangan / Bencana

  • Tiga termasuk budak lelaki hilang dalam banjir lumpur

    Tiga termasuk budak lelaki hilang dalam banjir lumpur

    TIGA termasuk seorang kanak-kanak lelaki hilang dipercayai dibawa arus dalam kejadian banjir lumpur di sebuah chalet di Bentong, kata Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani.

    Beliau berkata, semua mereka merupakan sebahagian daripada 35 individu yang berada di chalet berkenaan dan terperangkap akibat banjir lumpur pada 11.40 malam tadi.

    “Kesemua mereka (yang hilang) merupakan warganegara tempatan dengan dua lagi, masing-masing seorang dewasa lelaki dan wanita, namun setakat ini, identiti mereka masih belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Ismail, mangsa yang selamat termasuk lapan kanak-kanak ditemukan dalam keadaan kesejukan setelah berada di luar chalet kerana tidak berani berada dalam chalet yang dibimbangi tidak selamat.

    Operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dijalankan sebaik sahaja dimaklumkan kejadian dan pasukan penyelamat telah berjaya menjumpai mangsa yang terselamat pada 4.09 pagi sebelum operasi membawa keluar tamat pada 8.30 pagi tadi.

    Bagaimanapun katanya selepas kiraan mangsa dibuat, tiga mangsa tidak ditemui, katanya.

    Operasi itu dikendalikan Balai Polis dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands yang dibantu BBP Gombak dan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) Pahang.

    Operasi mencari mangsa hilang hari ini yang melibatkan 22 pegawai dan anggota bomba serta tiga anjing pengesan, ditangguhkan pada 6.30 petang tadi ekoran cuaca gelap dan akan bersambung esok. – BERNAMA

  • Banjir makin buruk, lebih 34,000 mangsa pindah ke PPS

    Banjir makin buruk, lebih 34,000 mangsa pindah ke PPS

    SITUASI banjir yang melanda di beberapa negeri bertambah buruk pada sebelah petang apabila lebih 34,000 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding lebih 21,000 orang pada tengah hari tadi.

    Setakat ini, kejadian banjir susulan fenomena musim Monsun Timur Laut itu telah mengorbankan satu nyawa manakala dua lagi dilaporkan hilang dan dikhuatiri dihanyutkan arus deras di Pahang.

    Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak lapan negeri terjejas akibat bencana banjir iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media selepas meninjau mangsa banjir yang ditempatkan di dua sekolah di Klang, SELANGOR berkata setakat hari ini, bilangan mangsa di negeri itu meningkat daripada lebih 6,000 semalam, kepada lebih 15,000 yang ditempatkan di 108 PPS melibatkan lapan daerah.

    Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapan di akaun Twitter rasmi beliau mengambil maklum mengenai keadaan kritikal di Taman Sri Muda Seksyen 25, Shah Alam seperti dilaporkan sebelum ini.

    “Segala aset yang sesuai seperti bot telah dikerah untuk membantu proses pemindahan mangsa banjir. Saya difahamkan jumlah anggota tentera telah ditambah untuk membantu usaha ini.

    “Tambahan bot dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kuala Selangor sedang digerakkan bagi membantu usaha menyelamatkan mangsa banjir di Sri Muda, Seksyen 25, di sini,” katanya.

    Di KUALA LUMPUR, keadaan cuaca yang agak baik di Lembah Klang hari ini dengan hujan telah berhenti menyebabkan air di kebanyakan kawasan terjejas semakin surut. Bagaimana seramai 530 orang masih ditempatkan di PPS.

    Di PAHANG, aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan mangsa banjir negeri itu terus meningkat setakat petang tadi dengan 14,143 orang daripada 3,922 keluarga ditempatkan di 186 PPS.

    Selain itu, Lebuhraya Pantai Timur menerusi catatan di laman Facebook memaklumkan laluan di KM76-KM126 Karak-Temerloh masih ditutup di kedua-dua hala setakat 4 petang ini, namun air mulai surut.

    Mangsa-mangsa yang terkandas di lebuh raya juga diberikan bantuan sewajarnya seperti makanan dan minuman.

    Jumlah mangsa banjir di KELANTAN juga terus meningkat setakat 6 petang ini, apabila seramai 4,324 orang daripada 1,065 keluarga dipindahkan ke PPS berbanding 3,877 orang daripada 903 keluarga, tengah hari tadi melibatkan jajahan Kuala Krai, Gua Musang, Pasir Mas, Jeli dan Tanah Merah.

    Portal rasmi eBanjir Kelantan melaporkan lima sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai merekodkan bacaan 36.61 meter (m); Sungai Kelantan di Tangga Krai (27.21 m); Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard (17.17 m); Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai (39.20 m); dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.31 m).

    Di MELAKA, dua daerah terjejas banjir iaitu Alor Gajah dan Melaka Tengah dengan jumlah mangsa yang dipindahkan adalah seramai 729 orang, manakala di PERAK, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 69 orang berbanding 26 orang di daerah Teluk Intan.

    Jabatan Meteorologi meramalkan beberapa kawasan di negeri ini akan menerima taburan hujan sangat lebat berterusan membabitkan kawasan Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.

    Sementara itu, jumlah mangsa banjir di TERENGGANU merekodkan sedikit penurunan kepada 286 orang daripada 66 keluarga setakat 6 petang ini, berbanding 326 orang daripada 101 keluarga pada tengah hari melibatkan daerah Kemaman dan Dungun. – BERNAMA

  • 50 penduduk nyaris tertimbus, sembilan rumah ranap

    50 penduduk nyaris tertimbus, sembilan rumah ranap

    LEBIH 50 penduduk dari sembilan rumah di Kampung Palimbayan Tanah 60, Sungai Penchala, Kuala Lumpur berdepan detik cemas apabila berlaku kejadian kejadian tanah runtuh jam 12.30 tengah malam tadi.

    Semua yang terlibat merupakan penduduk yang tinggal di kawasan lereng bukit terselamat dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

    Pada masa sama sembilan rumah tersebut ranap manakala hampir 70 penduduk dari 11 rumah di sekitar sudah mengosongkan kediaman masing-masing selepas mereka diminta untuk berpindah ke pusat penempatan sementara (PPS).

    Seorang penduduk, Sawadi Sawi, 56, berkata, dia dikejutkan dengan jeritan jiran supaya segera melarikan diri.

    “Saya menoleh ke belakang dan melihat pokok durian, tanah serta batu mula runtuh menuju ke rumah saya.

    “Disebabkan terlalu terkejut, saya kaku di pintu rumah sehingga dipanggil jiran-jiran,” katanya ketika ditemui.

    Ekoran itu Sawadi berkata, dia tidak sempat menyelamatkan harta benda termasuk motosikal yang digunakan untuk ke tempat kerja.

    Malah katanya, dia sedih menyenangkan rumah yang diduduki sejak 30 tahun lalu itu, musnah 100 peratus.

    Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Sub Zon 2 Segambut, Mohd. Razif Buang berkata, kejadian ini menyebabkan 50 penduduk mengalami kerugian manakala 70 yang lain terperangkap dan tidak dapat keluar untuk mencari makanan.

    Ini disebabkan laluan ke kediaman mereka ditimbusi tanah runtuh sepanjang 100 meter.

    Bagi memastikan keselamatan penduduk, kawasan ini ditutup kepada semua kenderaan malah mereka dinasihati supaya tidak pulang ke rumah masing-masing kerana pergerakan tanah masih berlaku.

    “Oleh itu, sebahagian daripada mangsa ditempatkan di PPS Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah, Masjid Al Hidayah dan Surau Islamiah.

    “Mangsa dari pelbagai peringkat usia termasuk dua bayi berusia empat bulan, warga emas terlantar dan orang kurang upaya (OKU) mendapatkan perlindungan di PPS berkenaan,” katanya.

    Semua bentuk bantuan antaranya daripada Menteri Wilayah Persekutuan baharu, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim; Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) disampaikan kepada ahli jawatankuasa MPP di sini sejak malam tadi.

    Bagaimanapun katanya, memandangkan laluan masih ditutup, mereka terpaksa menyampaikan bekalan makanan kepada mangsa yang terperangkap melalui denai kebun di sini.

    “Ini bukan kali pertama kejadian tanah runtuh berlaku, kali terakhir kejadian seumpamanya berlaku sekitar empat atau lima tahun lalu, tetapi kali ini paling teruk kerana menyebabkan sembilan rumah runtuh,” katanya.

  • Lelaki mati terkena renjatan elektrik

    Lelaki mati terkena renjatan elektrik

    SEORANG lelaki maut selepas terkena renjatan elektrik berhampiran sebuah premis perniagaan di Taman Deluxe, Sepang, hari ini.

    Mangsa berumur 30-an itu ditemui dalam keadaan terbaring di lokasi kejadian dan ditemukan pukul 10.30 pagi ketika bomba sedang melakukan kerja menyelamat penduduk di Taman Mas dan Taman Aman untuk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

    Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, keluarga mangsa difahamkan baru membuat laporan polis berkaitan kejadian.

    “Mangsa difahamkan meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Putrajaya. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

  • Banjir: Jemaah umrah terkandas lapan jam, terlepas penerbangan

    Banjir: Jemaah umrah terkandas lapan jam, terlepas penerbangan

    SEORANG bakal jemaah umrah terlepas penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke Tanah Suci awal hari ini, selepas terkandas lebih lapan jam di Lebuhraya Persekutuan akibat banjir yang melanda Lembah Klang.

    Hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, beliau sepatutnya dijadual menaiki penerbangan Emirates Airlines ke Dubai pukul 2 pagi hari ini tetapi terkandas di  lebuh raya berkenaan sehingga kira-kira 3 pagi kerana laluan tersebut dinaiki air dan sukar dilalui oleh kenderaan ringan.

    “Memang banyak kenderaan terkandas bersama-sama kami. Hujan awal pagi tadi memang lebat dan saya dan anak perempuan hanya duduk di dalam kereta untuk berteduh.

    “Alhamdulillah, kereta saya tidak tenggelam dan saya bergilir-gilir tidur dalam kereta dengan anak… bimbang kalau dua-dua tidur nanti air naik dan kami tidak dapat keluar,” katanya ketika ditemui Bernama di Masjid Sultan Abdul Samad KLIA, hari ini.

    Ahmad, 50, dari Temerloh, Pahang berkata jika mengikut perancangan, beliau sememangnya akan tiba awal di KLIA.

    “Tapi apakan daya… banyak jalan ditutup,” katanya yang berpendapat banjir di Lembah Klang kali ini amat teruk dan sama sekali tidak menjangkakan akan terlepas penerbangan untuk pergi bersama kumpulannya untuk menunaikan umrah.

    Ahmad berkata beliau telah berhubung dengan ejen umrahnya yang sedang berusaha untuk mendapatkan tiket penerbangan baharu untuknya malam ini.

    “Kalau ada rezeki dapatlah tunaikan umrah, kalau tidak dapat… tidak mengapa,” katanya reda dengan ujian yang menimpa.

    Seorang pekerja swasta dikenali Rahim Hamzah, 26, berkata beliau terlepas penerbangan untuk ke Pulau Pinang petang semalam kerana terkandas di Lebuhraya Persekutuan.

    “Memang semua jalan air naik….pukul 6 pagi tadi, saya sampai di masjid ini (Masjid Sultan Abdul Samad KLIA)  bersama rakan dan kami akan tidur dahulu kerana saya telah beli tiket untuk balik ke Pulau Pinang pukul 9 malam nanti,” katanya.

    Banjir melanda Lembah Klang sejak semalam menyebabkan ribuan penduduk dipindahkan manakala ramai pengguna jalan raya terkandas akibat laluan sesak dan ditutup kerana dilimpahi air banjir.

    Banjir juga dilaporkan berlaku di Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan dan terbaharu Perak turut dilanda bencana itu.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan semua kementerian berkaitan menggerakkan aset ke kawasan terjejas banjir bagi memastikan rakyat diselamatkan dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara dengan segera. – Bernama

  • Rumah lenyap dihanyut banjir di Jelebu

    Rumah lenyap dihanyut banjir di Jelebu

    SEBUAH rumah di Kampung Bandar Tinggi, Jelebu hilang selepas dihanyutkan banjir dalam kejadian pada pukul 3 pagi tadi.

    Semasa kejadian terdapat enam individu berada di lokasi iaitu pasangan suami isteri, Fadilah Itam, 53, dan suaminya Ibrahim Taib, 62, bersama-sama dua anak lelaki berusia 29 dan 22 tahun serta dua cucu perempuanya berusia 10 dan 12.

    Fadilah berkata, hujan berterusan sejak pukul 3 petang semalam menyebabkan kediaman mereka berhampiran Sungai Triang ditenggelami air.

    “Hujan mulai lebat pukul 6 petang dan kami mengambil keputusan untuk berpindah termasuk membawa 15 ekor kucing peliharaan di kawasan selamat berdekatan sebuah kedai membasuh kenderaan berhampiran rumah yang kedudukannya lebih tinggi.

    “Kami berada di kedai berkenaan untuk menunggu air surut namun pukul 3 pagi suami dan seorang anak memaklumkan bahawa rumah kami sudah terangkat dan dihanyutkan banjir,” katanya ketika ditemui di kampung itu, hari ini.

    Katanya, disebabkan kejadian itu kesemua barangan termasuk perkakas elektrik dan perabot rosak serta tidak dapat diselamatkam.

    “Ketika ini kami sekeluarga akan tinggal sementara di sebuah rumah di Taman Undang Abdullah. Saya trauma sebab dalam tempoh 35 tahun tinggal di sini rumah hilang sekelip mata,” katanya.

    Sementara itu, Ibrahim berkata, dua tabung wang miliknya ditemui semula dan satu daripadanya masih berada dalam keadaan baik manakala satu lagi rosak.

    “Pagi tadi saya pergi semula ke tapak rumah dan melihat atap rumah kami berada di tepi jalan, kebanyakan barangan sudah rosak dan tiada apa yang tinggal,” katanya.

  • Harta musnah sekelip mata, banjir terburuk di Sepang

    Harta musnah sekelip mata, banjir terburuk di Sepang

    PENDUDUK daerah Sepang menggambarkan bencana banjir kali ini adalah yang terburuk dalam sejarah.

    Pengusaha kebun cili Ahmad Irham Mohd Noor, 40, berkata kebun beliau yang terletak di Dengkil telah musnah dalam sekelip mata.

    “Banjir kali ini memang terburuk sekali kerana air naik secara mendadak dan tidak surut-surut sejak semalam,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

    Menceritakan saat detik, beliau berkata, kebun cilinya dinaiki air pukul 8 pagi semalam namun air naik mendadak sehingga paras leher pada pukul 12 tengah hari semalam.

    “Kerugian keseluruhan…anggaran kerugian lebih RM50,000. Tiada apa yang tinggal semua peralatan menanam, benih dan pokok cili yang baru naik habis musnah,” katanya.

    Ahmad Irham berkata, penduduk sekitar berkata kawasan itu yang tidak pernah berdepan bencana banjir buruk sejak 1971 dan keadaan itu bertambah merisaukan kerana paras air tidak surut malah semakin meningkat.

    Beliau berharap bantuan dari pihak berkuasa bukan sahaja memberi tumpuan kepada penduduk, tetapi juga petani kecil yang tinggal sehelai sepinggang.

    Tinjauan Bernama di sekitar Dengkil turut mendapati, operasi menyelamat oleh pihak bomba sedang dijalankan.

    Kelihatan penduduk Taman Emas dan Taman Mutiara sedang menuju keluar dengan barangan penting kerana dikatakan air yang naik sejak 3 pagi tadi tidak surut, malah semakin naik sehingga paras leher.

    Difahamkan, seramai 100 penduduk terkandas dan menunggu pertolongan bomba untuk mengeluarkan mereka dari kawasan tersebut.

    Penduduk Taman Emas, Suhana Ismail, 40, berkata rumahnya dikira terletak di kawasan tinggi namun air dilihat terus naik sejak 3 pagi tadi.

    “Tinggal sini sejak 2009 tapi tidak pernah berdepan banjir teruk macam kali ini. Seteruk-teruknya pun jika hujan lebat air masuk sampai halaman depan. Tapi kali ini air mula masuk rumah dan terus naik sehingga tangga,” katanya.

    Beliau yang mempunyai empat cahaya mata termasuk seorang anak kurang upaya itu berkata, jiran menolong membawa anak-anaknya menggunakan kolam pelampung kerana keadaan dilihat tidak reda dan khuatir keadaan menjadi buruk malam nanti. – BERNAMA

  • Jumlah mangsa banjir terus meningkat, 27,214 orang di lapan negeri

    Jumlah mangsa banjir terus meningkat, 27,214 orang di lapan negeri

    JUMLAH mangsa banjir terus mencatatkan peningkatan membabitkan 27,214 individu di lapan negeri dengan Pahang mencatatkan angka tertinggi iaitu 11,377 mangsa setakat ini, selepas hujan tidak berhenti lebih 24 jam sejak Jumaat lalu.

    Laman sesawang info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan sejumlah mangsa terjejas membabitkan 8,675 keluarga yang kini ditempatkan di 318 pusat pemindahan sementara (PPS).

    BH melaporkan, laman berkenaan memaklumkan mangsa banjir di Pahang kini ditempatkan di 171 PPS, manakala seramai 9,770 mangsa ditempatkan di 66 PPS, diikuti dengan Kelantan yang merekodkan 4,163 mangsa banjir yang kini dipindahkan ke 49 PPS.

    Selain itu di Melaka (581 mangsa di 10 PPS); Kuala Lumpur (526 mangsa di tiga PPS); Negeri Sembilan (499 mangsa dengan 12 PPS); Terengganu (229 mangsa di enam PPS) dan 69 mangsa banjir di Perak yang kini berlindung di sebuah PPS.

    Sementara itu, di Shah Alam, hujan sudah berhenti dan air Sungai Damansara yang melalui kawasan Bukit Jelutong, Seksyen 13 dan Seksyen 20 dilihat sudah mulai surut dengan laluan di Lebuh Raya Persekutuan yang terputus sejak petang semalam, kini sudah boleh dilalui semula.

  • Sembilan beranak dikebumikan dalam satu liang lahad

    Sembilan beranak dikebumikan dalam satu liang lahad

    SUASANA pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam hari ini apabila lapan van jenazah memasuki pekarangannya membawa sembilan sekeluarga yang maut dalam kemalangan malam kelmarin berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) USJ, Lebuhraya ELITE.

    Dapat dilihat lapan buah van jenazah yang dipandu petugas kesihatan lengkap mengenakan kelengkapan perlindungan diri (PPE) diiringi anggota polis, tiba di pintu pagar utama tanah perkuburan itu pada pukul 12.40 tengah hari.

    Jenazah selesai dikebumikan pukul 1.30 petang dalam satu liang lahad atas permintaan keluarga setelah menjalani bedah siasat dan pemeriksaan saringan Covid-19, serta disolatkan di Unit Forensik Hospital Shah Alam.

    Ibu mereka Allahyarham Norul Naziah Buyong, 37, dikebumikan bersama-sama lapan anaknya iaitu Razarul Amin Abd Razak, 17; Razatul Aliah, 16; Puteri Hidayah, 12; Muhamad Aizat Syazwan, 10; Muhamad Rolkaizat Rezky, 9; Muhamad Hidayat Hakimie, 7; Puteri Nur Ain Syalwana, 3; dan Muhammad Raid Fathi yang berusia 10 bulan.

    Adik kepada Norul Naziah, Nurul Atika Buyong, 33, berkata, lima anak arwah bebas Covid-19 manakala empat anak termasuk bayi berusia 10 bulan, didapati positif Covid-19.

    Kesemua mereka yang menaiki Proton Wira itu, maut di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Shah Alam.

    Bapa kepada kanak-kanak dan remaja yang maut itu, Abd. Razak Majit, 50, cedera ringan, manakala mereka yang menaiki sebuah lagi kereta iaitu Mimie Nafiesa Abdullah, 19; Ihyat Sufi Shokip serta Ummi Nasuha Annuwar masing-masing berusia 20 tahun juga cedera ringan.

    Turut terbunuh dalam kemalangan yang mengorbankan 10 nyawa itu adalah seorang mekanik, Mohamad Rahimi Rolex, 27, dikebumikan di tanah perkuburan sama, kira-kira pukul 1 pagi tadi.

    Keluarga malang itu dikatakan dalam perjalanan dari Melaka untuk pulang ke rumah mereka di Padang Jawa, Klang.

  • Banjir:Sultan Selangor dukacita, titah Lembaga Zakat Selangor segera hulur bantuan

    Banjir:Sultan Selangor dukacita, titah Lembaga Zakat Selangor segera hulur bantuan

    SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa sedih dan dukacita dengan banjir terburuk yang sedang melanda sebahagian besar daerah di negeri itu.

    Menurut satu kenyataan menerusi Facebook Selangor Royal Office hari ini, baginda dimaklumkan banyak lokasi yang terjejas dan terputus hubungan akibat jalan raya dinaiki air serta kawasan-kawasan kediaman yang dilanda banjir luar biasa sehingga kini.

    Selain itu, kenyataan itu turut memaklumkan, baginda menyaksikan sendiri gambar-gambar dan video-video kawasan terjejas dan risau serta bimbang dengan kesukaran yang sedang dihadapi rakyat jelata.

    “Bagaimanapun, baginda terharu melihat semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh ahli masyarakat dan kumpulan-kumpulan sokongan yang saling bantu membantu antara satu sama lain ketika berdepan keadaan amat meruncing.

    “Baginda dengan tegas mahu pihak berkuasa yang bertanggungjawab agar menyegerakan bantuan ke seluruh pelusuk kawasan yang terjejas,” menurut kenyataan itu lagi.

    Selangor Royal Office berkata, baginda juga telah menitahkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) terus menghulurkan bantuan ke pusat-pusat penempatan sementara banjir dan mengenal pasti situasi rakyat yang kritikal.

    Selain itu, Sultan Selangor juga menyeru pelan tindakan yang lebih komprehensif dikemas kini khususnya apabila berhadapan dengan fenomena bencana banjir luar jangkaan seperti.

    Ini bagi memastikan respons pantas dapat diambil, serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terjaga.

    “Baginda berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala agar bencana banjir ini segera berakhir dan semua urusan rakyat jelata dipermudah serta kembali seperti sedia kala,” menurut kenyataan itu lagi.