Category: Kemalangan / Bencana

  • Tiga mayat korban banjir ditemukan, anggota 69 Komando digerak ke Sri Muda

    Tiga mayat korban banjir ditemukan, anggota 69 Komando digerak ke Sri Muda

    TIGA mayat, dipercayai korban banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam ditemukan awal pagi tadi.

    Kesemua mayat itu ditemukan orang awam dan bomba ketika kerja-kerja penyelamatan sedang dilakukan. 

    Dua ditemukan pada 1 pagi manakala seorang pada 5 pagi.

    Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib yang mengesahkan penemuan mayat itu berkata, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk tindakan lanjut.

    “Kesemuanya lelaki termasuk satu semalam di Seksyen 22 Shah Alam.  Setakat ini, dua daripada tiga korban yang ditemui di Sri Muda dipercayai warga tempatan manakala seorang warga asing dan kita mempunyai kekuatan 120 anggota daripada Pasukan Gerakan Am dan VAT 69.

    “Menerusi elemen Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, kita berjaya keluarkan lebih 200 mangsa di Seksyen 23, 24 dan 25,” katanya kepada pemberita hari ini. 

    Sementara itu, seramai 70 mangsa banjir yang terkandas dalam bencana banjir besar dekat Taman Sri Muda, Shah Alam berjaya diselamatkan sepasukan pegawai dan anggota 69 Komando.

    Menurut laman Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM), turut terlibat dalam operasi tengah malam tadi ialah “Tiger Platoon” Pasukan Gerakan Am (PGA).

    “Operasi mencari dan menyelamat oleh 69 Komando serta “Tiger Platoon” itu menggunakan empat buah bot kecil yang terdiri daripada dua bot PAC dan dua bot “rubber dinghy”.

    “Selain menyelamatkan orang ramai, pasukan 69 Komando dan “Tiger Platoon” PDRM turut mengagihkan bekalan makanan buat mangsa-mangsa banjir yang terlibat,” kata hantaran itu.

  • Banjir: Mangsa di lima negeri meningkat, 73 jalan ditutup di Selangor

    Banjir: Mangsa di lima negeri meningkat, 73 jalan ditutup di Selangor

    JUMLAH mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri iaitu Pahang, Kelantan, Melaka, Perak dan Negeri Sembilan meningkat pagi ini dan 73 jalan di Selangor masih ditutup akibat bencana itu.

    Di PAHANG, menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir terus meningkat pagi ini kepada 25,669 orang di 239 PPS berbanding 19,344 orang di 214 PPS malam tadi. 

    Daerah yang dilanda banjir masih kekal sembilan iaitu Bentong, Raub, Lipis, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan.

    Pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KL-K) memaklumkan beberapa lokasi di lebuh raya tersebut masih ditutup antaranya di KM76-KM126 LPT1 Karak-Temerloh bagi kedua-dua arah. 

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri pula melaporkan beberapa paras sungai utama di negeri itu masih pada paras bahaya termasuk Sungai Pahang, Sungai Jelai, Sungai Tembeling, Sungai Lipis, Sungai Bentong, Sungai Lembing, Sungai Lepar dan Sungai Belat. 

    Di KELANTAN jumlah mangsa banjir yang direkodkan pagi ini adalah seramai 3,801 orang daripada 1,098 keluarga, berbanding 3,173 orang daripada 895 keluarga semalam.

    Sekretariat Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kelantan, Zainuddin Hussin berkata 57 PPS dibuka iaitu 29 buah di Kuala Krai, Gua Musang (16), Pasir Mas (lapan) manakala masing-masing dua di Jeli dan Tanah Merah.

    Sementara itu, portal rasmi eBanjir Kelantan melalui https://ebanjir.kelantan.gov.my melaporkan empat sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai merekodkan bacaan 36.53 meter (m), Sungai Kelantan di Tangga Krai (26.74 m), Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard (17.12 m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.28 m).

    Di MELAKA jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 826 mangsa daripada 183 keluarga pagi ini.

    Bagaimanapun, menurut Pengarah APM Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin mangsa banjir di daerah Alor Gajah menunjukkan sedikit penurunan kepada 481 orang daripada 99 keluarga, manakala di Melaka Tengah individu terjejas banjir bertambah kepada 327 orang daripada 80 keluarga. 

    “Daerah Jasin pula kekal dengan 18 mangsa banjir daripada empat keluarga. Secara keseluruhan, 11 PPS dibuka di negeri ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

    Sementara itu, di PERAK satu lagi PPS dibuka di Dewan Bandaran Teluk Intan semalam menjadikan setakat ini, tiga PPS sedang beroperasi di seluruh negeri.

    Menurut jurucakap APM dan Sekretariat Pengurusan Bencana Perak, jumlah mangsa banjir meningkat pagi ini kepada 242 orang berbanding 154 orang semalam, berikutan limpahan air Sungai Bernam, Sungai Slim dan Sungai Trolak. 

    Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah APM Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di Seremban dan Port Dickson meningkat kepada 597 individu daripada 142 keluarga dengan 11 PPS dibuka setakat 8 pagi ini. 

    Di SELANGOR, menurut aplikasi InfoBencana JKM negeri, setakat 8 pagi ini seramai 11,418 orang daripada 4,267 keluarga telah dipindahkan ke 74 PPS di kesemua daerah.

    Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor memaklumkan sebanyak 73 jalan ditutup melibatkan sembilan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), susulan banjir yang masih belum surut setakat 4 pagi tadi.

    Jalan-jalan tersebut adalah di bawah penyeliaan IPD Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (dua); Klang Utara (sembilan); Sungai Buloh (dua); Subang Jaya (11); Kuala Langat (27); Sepang (lima); Shah Alam (enam); Klang Selatan (10) dan Hulu Selangor (satu).

    Sementara itu di TERENGGANU, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri dalam kenyataan memaklumkan bahawa jumlah mangsa banjir menurun kepada 288 orang daripada 68 keluarga pagi ini, berbanding 297 orang daripada 69 keluarga semalam dan kesemua mereka ditempatkan di PPS Kemaman dan Dungun. – BERNAMA

  • Gempar mayat ditemukan selepas banjir surut

    Gempar mayat ditemukan selepas banjir surut

    SATU mayat lelaki ditemukan sejurus paras air surut di hadapan pangsapuri Alam Idaman, Seksyen 22, Shah Alam, semalam.

    Penemuan itu menggemparkan dan video berkenaan tular menunjukkan orang ramai menghampiri mayat terbabit dipercayai meninggal dunia akibat lemas.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, mayat lelaki tempatan yang berusia dalam lingkungan 30-an itu ditemui orang awam sekitar pukul 7.50 malam.

    “Mangsa adalah penghuni salah sebuah pangsapuri berdekatan kawasan berkenaan. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, satu video berdurasi 14 saat tular di aplikasi media sosial menunjukkan terdapat satu mayat di atas jalan.

    Difahamkan mayat berkenaan dijumpai selepas air banjir di kawasan itu mula surut sejak petang semalam.

    Kawasan berkenaan adalah antara yang terjejas serta dinaiki air sejak petang semalam susulan banjir kilat yang berlqku di beberapa daerah di Selangor.

  • Banjir di Kelantan: 12 tahun berteduh di wakaf

    Banjir di Kelantan: 12 tahun berteduh di wakaf

    SETIAP kali rumah mereka ditenggelami banjir sejak 12 tahun lalu, empat beranak akan menjadikan wakaf sebagai tempat untuk berteduh selepas kediaman mereka di pinggir Sungai Kelantan di Kampung Pasir Kelang, Kuala Krai, Kelantan, dinaiki air.

    Yah Mamat, 55 dan keluarga memilih untuk tinggal di wakaf yang terletak di pinggir jalan utama, kira-kira 100 meter dari rumahnya berikutan keadaan kesihatan suaminya, Mohd. Sata Jaafar, 60, yang juga orang kelainan upaya (OKU).

    “Bukan kami tidak mahu ke pusat pemindahan sementara (PPS). Suami tidak mahu bersesak di pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya yang tidak sanggup meninggalkan suaminya yang sakit bersendirian di wakaf itu.

    “Pada petang semalam, limpahan air sungai menyebabkan sebahagian rumah kedai kami ditenggelami air dan terpaksa bermalam di wakaf ini yang hanya ditutupi dengan plastik putih.

    “Pada masa sama, dua anak iaitu Mohd. Fazri Mohd Sata, 38 dan Mohd. Amirul, 29, juga perlu bergilir-gilir mengawasi keadaan kerana bimbang berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya memetik laporan BH, ketika ditemui di Kampung Pasir Kelang.

    Yah berkata, pasukan keselamatan menyarankan mereka sekeluarga berpindah ke PPS bagi memastikan keselesaan dan keselamatan, namun memutuskan untuk berteduh di wakaf itu sehingga banjir surut.

    “Jika mahu mandi, kami akan menumpang bilik air di masjid berhampiran.

    Kebiasaannya, keadaan ini tidak akan berlarutan dalam tempoh yang lama…hanya tiga atau empat hari,” katanya.

  • Banjir: 10 hilang di Pahang, keadaan di Hulu Langat ibarat dilanda tsunami

    Banjir: 10 hilang di Pahang, keadaan di Hulu Langat ibarat dilanda tsunami

    SEPULUH individu dilapor hilang, dipercayai dihanyutkan air deras dalam kejadian banjir di Pahang, dengan lapan daripadanya dipercayai melibatkan dua kejadian kepala air di Bentong, Pahang.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata tiga termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun dilapor hilang dalam kejadian di sebuah chalet pada Sabtu, manakala lima lagi dilaporkan hilang dalam kejadian di Telemong.

    Dua lagi yang dilapor hilang, dikhuatiri dihanyutkan arus deras dalam kejadian di Kuantan iaitu Mohd Halmi Nazlan, 34, yang dipercayai dihanyutkan arus semasa melalui Jalan Pintasan Kampung Cempaka-Sungai Soi pagi tadi dan Mohd Firdaus Supiardi, 26, yang dipercayai mengalami masalah mental dikatakan terjun ke Sungai Belat.

    Banjir yang melanda lapan negeri pada musim monsun timur laut tahun ini, menyaksikan lebih 41,000 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), dengan Selangor menjadi negeri paling teruk terjejas sehingga sesetengah kawasan boleh diibaratkan seperti dilanda tsunami.

    Gambar-gambar yang dikongsikan netizen di media sosial memaparkan banyak ‘kemusnahan’ dengan kenderaan ditenggelami air, beberapa rumah dihanyutkan iaitu di Hulu Langat dan Kampung Bandar Tinggi, Kuala Klawang Negeri Sembilan.

    Selain itu, satu mayat lelaki, dipercayai mangsa lemas ditemukan di jalan masuk utama ke Pangsapuri Alam Idaman, Seksyen 22 Shah Alam, Selangor selepas paras air di kawasan itu mulai surut malam tadi.

    Pada masa ini pihak berkuasa termasuk dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) giat menjalankan usaha menyelamat dan menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir.

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein melalui laman Facebooknya menyatakan anggota ATM dari 4 Divisyen diatur gerak dan berada di lapangan bagi membantu operasi banjir di Kuala Langat dengan antara fokus pasukan ini ialah melaksanakan penghantaran barang keperluan harian ke PPS.

    Kementerian Dalam Negeri melalui Facebook pula memaklumkan penugasan memindahkan mangsa banjir diteruskan di kawasan Batu 14 Hulu Langat oleh Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih dan malam ini operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir oleh Batalion 6 PGA Muar akan digerakkan ke Shah Alam.

    Tidak kurang juga ramai yang terperangkap atau terkandas di dalam kenderaan akibat laluan tidak boleh dilalui berikutan kejadian runtuh atau jalan ditenggelami air dan pagi ini kira-kira 450 individu yang terkandas di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak sejak semalam, dibawa keluar secara berperingkat termasuk menggunakan bot Lebuhraya Pantai Timur.

    Jurucakap ANIH Berhad memaklumkan khidmat lori tunda akan digunakan hari ini bagi mengeluarkan kenderaan yang tersangkut di lokasi berkenaan.

    Sementara itu, jumlah mangsa banjir semalam di tujuh negeri selain Kuala Lumpur terus meningkat kepada lebih 41,000 berbanding lebih 34,000 petang Ahad dan kesemuanya kini berlindung di 417 PPS dengan Pahang mencatatkan angka paling tinggi iaitu 19,344 mangsa.

    Laluan di KM76-KM126 Karak-Temerloh pula masih ditutup di kedua-dua hala setakat 8 malam tadi, manakala di KM114.8 Lanchang-Temerloh air masih melimpah ke jalan, namun boleh dilalui oleh semua kenderaan.

    Di SELANGOR, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor memaklumkan 71 jalan ditutup untuk laluan kenderaan di sesetengah kawasan susulan banjir setakat 10 malam tadi, antaranya pusingan U keluar dari Lapangan Terbang Subang menghala ke Bulatan Lapangan Terbang; Lebuhraya Shahpadu; Lebuhraya Damansara Puchong Batu 13; dan Jalan Kota Kemuning Lebuhraya KESAS.

    Di NEGERI SEMBILAN, tinjauan Bernama di Pekan Linggi, Port Dickson yang terletak kira-kira 37 kilometer dari Seremban mendapati jalan menuju ke pekan tersebut masih tidak dapat dilalui kenderaan ringan setakat 7 malam tadi.

    Dalam pada itu, portal https://ebanjir.kelantan.gov.my melaporkan lima sungai utama di KELANTAN berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai merekodkan bacaan 36.57 meter (m); Sungai Kelantan di Tangga Krai (27.26m); Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard (17.23m); Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai (38.58m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.30m).

    Ramalan cuaca terkini oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) malam ini menamatkan amaran cuaca hujan berterusan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kelantan, Terengganu dan Pahang dan berita itu pastinya memberi kelegaan buat mangsa banjir.– Bernama

  • JAS Pulau Pinang keluar kompaun RM2.2j bagi kesalahan alam sekitar tahun ini

    JAS Pulau Pinang keluar kompaun RM2.2j bagi kesalahan alam sekitar tahun ini

    JABATAN Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengeluarkan sebanyak 322 notis arahan di bawah Seksyen 31 & 37 serta 1,194 kompaun berjumlah RM2.2 juta membabitkan kesalahan alam sekitar di negeri itu sepanjang tahun ini.

    Tindakan itu diambul hasil siasatan yang dijalankan terhadal sebanyak 1,053 aduan berkaitan kesalahan alam sekitar yang diterima daripada orang awam sepanjang tahun ini.

    Menurut Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab, sepanjang tempoh sama pihaknya turut membuka sebanyak 10 kertas siasatan (IP) untuk pendakwaan di mahkamah serta satu tindakan penggantungan lesen dan perintah larangan kepada premis.

    “JAS Pulau Pinang sentiasa komited dalam menyiasat aduan-aduan berkaitan bidang kuasa di bawah Akta 127 terutama berkaitan pembakaran terbuka, kawalan pencemaran udara dan pelepasan sisa dari industri serta buangan bahan terjadual,” katanya.

    Beliau berucap pada majlis ‘Eco Night for Eco Knights’ yang diadakan bagi meraikan rakan strategik JAS Pulau Pinang malam tadi.

    Menurut Sharifah Zakiah berkata, Pulau Pinang merupakan negeri yang tertinggi dari segi bilangan premis industri meskipun merupakan sebuah negeri yang kecil.

    Perkara itu jelasnya, menjadikan isu penguatkuasaan yang dihadapi JAS Pulau Pinang lebih mencabar dengan bilangan anggota penguatkuasaan yang terhad.

    “Kesalahan-kesalahan alam sekitar turut berlaku disebabkan ketiadaan orang yang berwibawa dalam memahami kehendak perundangan serta menyelia pelaksanaan elemen-elemen pematuhan pengurusan buanga terjadual dan kawalan pencemaran di premis,” katanya.

    Sehubungan itu tambah beliau, bagi tahun 2022, JAS Pulau Pinang telah merancang beberapa latihan dan seminar untuk industri dan pemaju-pemaju projek pembangunan khususnya yang tertakluk kepada penilaian kesan impak alam sekitar (EIA).

    “Pembangunan kini perlu melihat kepada aspek pencegahan serta perancangan yang betul untuk meminimumkan impak pembangunan,” katanya.

  • Tanah runtuh di Sungai Penchala: Warga emas tertimbus separuh badan

    Tanah runtuh di Sungai Penchala: Warga emas tertimbus separuh badan

    SEORANG warga emas nyaris maut apabila tertimbus separuh badan, dalam kejadian tanah runtuh yang memusnahkan empat rumah Jalan Palimbayan Indah, Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

    Wanita berusia dalam lingkungan 70-an itu ditemui pasukan mencari dan penyelamat dalam keadaan tertimbus sehingga ke paras pinggang.

    Bomba yang menerima laporan kejadian pada jam 1.22 pagi, menggerakkan 15 pegawai dan anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tun Dr Ismail dan BBP Sri Hartamas ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat.

    Operasi turut disertai lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), 11 anggota polis serta tiga petugas Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

    Komander Operasi Kanan, Penguasa Kanan Bomba 1 Khairul Azuwan Ibrahim, berkata sebaik pasukan bomba tiba di tempat kejadian mendapati empat kediaman di situ rosak akibat dihempap tanah runtuhan.

    ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mangsa yang tertimbus separuh badan dalam kejadian tanah runtuh di Sungai Penchala, Kuala Lumpur (Gambar: JBPM)

    “Kita turut menemui seorang wanita warga emas berusia lingkungan 70-an dalam keadaan tubuhnya tertimbus sehingga ke paras pinggang.

    “Mangsa berjaya diselamatkan dan mengalami kecederaan di bahagian kaki seterusnya dihantar ke PPUM menggunakan kenderaan EMRS bomba untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut Khairul Azuwan, pasukan bomba kemudian memeriksa kawasan sekitar lokasi kejadian dalam memastikan tiada lagi sebarang keberbahayaan dan tempat berkenaan turut ditutup atas faktor keselamatan.

  • Bas langgar belakang lori, 22 penumpang selamat

    Bas langgar belakang lori, 22 penumpang selamat

    SERAMAI 22 penumpang bas persiaran terselamat, apabila kenderaan itu merempuh sebuah lori mengakibatkan pemandunya cedera dalam kemalangan di Kilometer 311.0 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, dekat Tapah, Perak awal pagi tadi.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Perak berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada pukul 3.50 pagi.

    Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Kemalangan membabitkan bas persiaran jenis Scania yang dipercayai melanggar belakang sebuah lori.

    “Seorang pemandu bas lelaki berusia 43 tahun tersepit dan anggota bomba mengeluarkan mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Jurucakap JBPM berkata 22 penumpang bas itu selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Mangsa diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat kira-kira jam 4.49 pagi tadi,” katanya.

  • Kebakaran Flat Sri Johor: Wang simpanan RM40,000 hangus dijilat api

    Kebakaran Flat Sri Johor: Wang simpanan RM40,000 hangus dijilat api

    SIMPANAN bertahun-tahun seorang mangsa kebakaran Perumahan Awam Sri Johor, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur hilang begitu sahaja apabila wang tunai RM40,000 miliknya hangus dijilat api.

    Mangsa, T. Mary, 37, berkata selain kesal kerana menyimpan wang tunai yang banyak di rumah, dia juga terkilan gara-gara gagal menyelamatkan beberapa barangan kemas yang dikumpul sejak sekian lama.

    “Ketika kejadian, saya berada di tempat kerja berhampiran hospital berdekatan dan menerima panggilan daripada kakak mengenai kebakaran ini.

    “Tujuh orang tinggal di dalam rumah itu dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan namun apabila semua ini terjadi, penyesalan terus menghantui diri kerana menyimpan wang tunai sebanyak itu di dalam rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, malam tadi.

    Dalam kejadian kira-kira 9.20 malam itu, lapan unit rumah di tingkat empat, Blok 31 Perumahan Awam Sri Johor terbakar, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. 

    Kebakaran tersebut dipercayai bermula di bahagian tengah blok berkenaan lalu merebak di keseluruhan tingkat.

    Seorang lagi mangsa kebakaran, R.Vincent yang berusia lingkungan 30-an berkata, beliau menerima panggilan mengenai kebakaran itu daripada kakaknya dan tidak sempat pulang ke rumah.

    “Ketika itu, saya berada di Taman Maluri, Kuala Lumpur bersama isteri dan dua anak untuk makan malam dan tiba-tiba kakak menelefon saya memaklumkan rumah sedang terbakar.

    “Saya terkejut terus bergegas pulang dan apabila sampai di rumah, kakak saya sempat menyelamatkan diri dengan memecahkan mangga pintu menggunakan pisau kerana kunci ada pada saya,” katanya.- Bernama

  • Beberapa kediaman di Flat Sri Johor terbakar

    Beberapa kediaman di Flat Sri Johor terbakar

    BEBERAPA unit kediaman musnah dalam satu kebakaran di Flat Sri Johor, Cheras, Kuala Lumpur, malam ini.

    Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, pihakya mengesahkan kejadian itu dan kenyataan media akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

    “Ya, betul berlaku kebakaran. Mohon bersabar nanti kita kongsikan kenyataan media,” katanya seperti dilaporkan BH, malam ini.

    Ketika ini anggota bomba dan Penyelamat sedang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran itu.

    Difahamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sedang dalam perjalanan untuk meninjau keadaan di Flat Sri Johor.