SEPULUH individu dilapor hilang, dipercayai dihanyutkan air deras dalam kejadian banjir di Pahang, dengan lapan daripadanya dipercayai melibatkan dua kejadian kepala air di Bentong, Pahang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata tiga termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun dilapor hilang dalam kejadian di sebuah chalet pada Sabtu, manakala lima lagi dilaporkan hilang dalam kejadian di Telemong.

Dua lagi yang dilapor hilang, dikhuatiri dihanyutkan arus deras dalam kejadian di Kuantan iaitu Mohd Halmi Nazlan, 34, yang dipercayai dihanyutkan arus semasa melalui Jalan Pintasan Kampung Cempaka-Sungai Soi pagi tadi dan Mohd Firdaus Supiardi, 26, yang dipercayai mengalami masalah mental dikatakan terjun ke Sungai Belat.

Banjir yang melanda lapan negeri pada musim monsun timur laut tahun ini, menyaksikan lebih 41,000 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), dengan Selangor menjadi negeri paling teruk terjejas sehingga sesetengah kawasan boleh diibaratkan seperti dilanda tsunami.

Gambar-gambar yang dikongsikan netizen di media sosial memaparkan banyak ‘kemusnahan’ dengan kenderaan ditenggelami air, beberapa rumah dihanyutkan iaitu di Hulu Langat dan Kampung Bandar Tinggi, Kuala Klawang Negeri Sembilan.

Selain itu, satu mayat lelaki, dipercayai mangsa lemas ditemukan di jalan masuk utama ke Pangsapuri Alam Idaman, Seksyen 22 Shah Alam, Selangor selepas paras air di kawasan itu mulai surut malam tadi.

Pada masa ini pihak berkuasa termasuk dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) giat menjalankan usaha menyelamat dan menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein melalui laman Facebooknya menyatakan anggota ATM dari 4 Divisyen diatur gerak dan berada di lapangan bagi membantu operasi banjir di Kuala Langat dengan antara fokus pasukan ini ialah melaksanakan penghantaran barang keperluan harian ke PPS.

Kementerian Dalam Negeri melalui Facebook pula memaklumkan penugasan memindahkan mangsa banjir diteruskan di kawasan Batu 14 Hulu Langat oleh Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih dan malam ini operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir oleh Batalion 6 PGA Muar akan digerakkan ke Shah Alam.

Tidak kurang juga ramai yang terperangkap atau terkandas di dalam kenderaan akibat laluan tidak boleh dilalui berikutan kejadian runtuh atau jalan ditenggelami air dan pagi ini kira-kira 450 individu yang terkandas di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak sejak semalam, dibawa keluar secara berperingkat termasuk menggunakan bot Lebuhraya Pantai Timur.

Jurucakap ANIH Berhad memaklumkan khidmat lori tunda akan digunakan hari ini bagi mengeluarkan kenderaan yang tersangkut di lokasi berkenaan.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir semalam di tujuh negeri selain Kuala Lumpur terus meningkat kepada lebih 41,000 berbanding lebih 34,000 petang Ahad dan kesemuanya kini berlindung di 417 PPS dengan Pahang mencatatkan angka paling tinggi iaitu 19,344 mangsa.

Laluan di KM76-KM126 Karak-Temerloh pula masih ditutup di kedua-dua hala setakat 8 malam tadi, manakala di KM114.8 Lanchang-Temerloh air masih melimpah ke jalan, namun boleh dilalui oleh semua kenderaan.

Di SELANGOR, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor memaklumkan 71 jalan ditutup untuk laluan kenderaan di sesetengah kawasan susulan banjir setakat 10 malam tadi, antaranya pusingan U keluar dari Lapangan Terbang Subang menghala ke Bulatan Lapangan Terbang; Lebuhraya Shahpadu; Lebuhraya Damansara Puchong Batu 13; dan Jalan Kota Kemuning Lebuhraya KESAS.

Di NEGERI SEMBILAN, tinjauan Bernama di Pekan Linggi, Port Dickson yang terletak kira-kira 37 kilometer dari Seremban mendapati jalan menuju ke pekan tersebut masih tidak dapat dilalui kenderaan ringan setakat 7 malam tadi.

Dalam pada itu, portal https://ebanjir.kelantan.gov.my melaporkan lima sungai utama di KELANTAN berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai merekodkan bacaan 36.57 meter (m); Sungai Kelantan di Tangga Krai (27.26m); Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard (17.23m); Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai (38.58m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.30m).

Ramalan cuaca terkini oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) malam ini menamatkan amaran cuaca hujan berterusan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kelantan, Terengganu dan Pahang dan berita itu pastinya memberi kelegaan buat mangsa banjir.– Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here