Category: Kemalangan / Bencana

  • Hakisan Sungai Kurau bimbangkan penduduk Kampung Raja Bashah

    Hakisan Sungai Kurau bimbangkan penduduk Kampung Raja Bashah

    PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Negeri Perak dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjalankan siasatan serta mengambil tindakan segera bagi menangani masalah hakisan Sungai Kurau, di Kuala Kurau, daerah Kerian.

    Masalah yang serius berlaku sejak lima tahun lalu itu kini semakin membimbangkan penduduk Kampung Raja Bashah kerana kesan kejadian tersebut sudah hampir dengan kediaman mereka.

    Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan pihaknya mendapati kira-kira 20 buah rumah yang terletak di sepanjang 400 meter sungai berkenaan terdedah kepada bahaya ancaman itu selain beberapa batang pokok di kawasan tersebut telah tumbang.

    Jelasnya, CAP kesal dengan kejadian itu dan meminta pihak berkenaan menjalankan kajian secara menyeluruh punca berlakunya masalah tersebut.

    “CAP percaya jika keadaan ini berlarutan kemungkinan harta benda penduduk akan mengalami kerosakan dan kemusnahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Mohideen, kerajaan negeri dan jabatan-jabatan yang berkaitan perlu turun padang melihat masalah itu secara dekat supaya tindakan bersepadu yang berkesan dapat diambil.

    Antara kawasan yang terhakis di Sungai Kurau, di Kuala Kurau dan memerlukan perhatian segera

    “CAP juga berharap perkara ini didedahkan kepada umum khususnya mereka yang berhadapan dengan situasi itu,” katanya.

    Sementara itu, seorang penduduk, Salimah Mohamad, 60, berkata, rumahnya bukan sahaja sudah terlalu hampir dengan tebing sungai tersebut yang sudah runtuh, malah ketika ombak melanda air sungai turut melimpah bersama sampah-sarap.

    Tambahnya, sejak kejadian itu berlaku, hampir 15 meter tebing sungai tersebut telah terhakis.

    “Masalah ini pernah dimaklumkan kepada pihak berwajib namun hingga sekarang tidak ada tindakan yang diambil.

    “Jadi, saya merayu pihak bertanggungjawab membina tembok pencegah hakisan di kawasan ini dengan segera kerana bimbang keselamatan kami yang tinggal sepanjang sungai ini boleh terancam pada masa akan datang,” katanya.

  • Banjir di Kelantan: Jumlah mangsa makin berkurangan

    Banjir di Kelantan: Jumlah mangsa makin berkurangan

    KEADAAN cuaca yang semakin baik sejak tiga hari lalu menyaksikan jumlah mangsa banjir di Kelantan semakin berkurangan kepada 2,496 orang daripada 785 keluarga sehingga pukul 9 pagi tadi. 

    Kesemua mangsa berada di 15 pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah iaitu Pasir Mas dan Kuala Krai.

    Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa banjir di Pasir Mas juga turun sedikit kepada 2,247 orang ditempatkan di 10 PPS berbanding 2,276 orang 5 petang, semalam.

    Selain itu, mangsa banjir di Kuala Krai juga berkurangan kepada 249 orang yang berada di lima PPS berbanding semalam, 370 orang.

    Menurut portal eBanjir Kelantan, sembilan jalan yang masih ditutup iaitu lima di Pasir Mas, tiga di Kuala Krai dan satu di Tanah Merah.

    Antara jalan yang masih ditutup ialah Jalan Jirat, Jalan masuk ke Kampung Baru Pahi, Jalan Bukit Sireh/ Kampung Bedal/ Kuala Nal di Kuala Krai, Jalan Balai Polis Jeram Perdah, Jalan Pengkalan Rakit- Batu Karang, Jalan Sekolah Cina dan Jalan Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh di Pasir Mas serta Jalan ke Loji Membersih Air Bukit Remah di Tanah Merah.

    Sementara itu, Sungai Golok masih berada di paras bahaya dengan bacaan 9.46 meter (m), manakala dua sungai lagi iaitu Sungai Lebir di Tualang dan Sungai Kelantan di Tangga Krai berada di paras berjaga masing-masing bacaan 28.50m dan 20.11.

    Enam sungai lain di paras normal iaitu Sungai Galas di Dabong, Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tambatan Diraja, Sungai Golok di Jenob, Kuala Jambu dan Sungai Semerak di Pasir Puteh. 

  • Dua termasuk kanak-kanak dikhuatiri lemas ketika redah air di padang bola

    Dua termasuk kanak-kanak dikhuatiri lemas ketika redah air di padang bola

    DUA lelaki termasuk seorang kanak-kanak dikhuatiri lemas selepas dipercayai dihanyutkan arus ketika meredah air di kawasan padang bola berhampiran Bangunan UMNO di Mentakab, Temerloh, Pahang, semalam.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata pihaknya menerima maklumat pada 3.15 petang sebelum menggerakkan enam anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab ke lokasi kejadian.

    “Kenyataan saksi kepada polis mendakwa terdapat seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak telah meredah air di kawasan tersebut sebelum dihanyutkan arus dan hilang. Bagaimanapun setakat ini identiti mereka masih belum dikenal pasti. 

    “Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa semalam menggunakan bot aluminium dan dijalankan secara surface searching atau pencarian di kawasan permukaan air di lokasi kejadian dengan radius pencarian seluas 500 meter persegi,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Ismail berkata operasi ditangguhkan pada 5.15 petang semalam dan bersambung pagi ini.

    Sementara itu, operasi SAR terhadap Mohd Firdaus Supiardi, 26, yang dilaporkan hilang selepas terjun ke Sungai Belat, Kuantan pada Sabtu lepas, masih diteruskan dan telah meliputi jarak 20 kilometer dan kawasan sawit seluas 10 hektar. – Bernama

  • Banjir besar kini ragut 27 nyawa

    Banjir besar kini ragut 27 nyawa

    BANJIR besar yang melanda negara sejak Sabtu lepas, sehingga kini telah mengorbankan 27 nyawa, jumlah yang boleh dianggap paling tinggi sejak banjir besar pada 2014.

    Dua puluh daripadanya di Selangor manakala tujuh orang lagi di Pahang.

    Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata sehingga petang Selasa sebanyak 20 individu dikenal pasti menjadi korban banjir di negeri itu.

    Selain di Seksyen 25 Taman Sri Muda Shah Alam, mayat mangsa banjir turut ditemui di Kajang, Sungai Buloh dan terbaharu di Klang.

    Di kawasan yang paling teruk dilanda banjir di Selangor iaitu Seksyen 25 Taman Sri Muda, sebanyak sembilan mayat dijumpai oleh pasukan penyelamat sejak Sabtu lepas sehingga awal pagi ini.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata enam daripada mayat berkenaan ditemui di dalam beberapa rumah melibatkan lima wanita dan seorang lelaki, manakala tiga lagi mayat ditemui sekitar Taman Sri Muda selepas air mulai surut.

    “Mangsa pertama, seorang lelaki dewasa ditemui pada pukul 6 petang Sabtu manakala dua mangsa lelaki ditemui keesokannya pada pukul 12 tengah hari dan 2 petang, lima mayat ditemui semalam antara pukul 12 tengah hari dan 8.35 malam melibatkan empat wanita dewasa dan seorang lelaki dewasa,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Norazam berkata mayat seorang wanita lagi ditemui pada pukul 6.20 petang di sebuah rumah setingkat. Wanita itu dipercayai mati lemas.

    Tiga mayat mangsa lemas turut ditemui di sekitar bandar raya itu, masing-masing di lampu isyarat Kemuning Utama, Seksyen 33; di Jalan Utama masuk ke Alam Idaman, Seksyen 22 pada Ahad lepas; dan di bawah Lebuhraya Elite berhadapan MSU Seksyen 13 semalam.

    Korban banjir di Pahang pula melibatkan dua di Kuantan, manakala lima lagi di Bentong.

    Kejadian di Bentong melibatkan fenomena kepala air di dua kawasan iaitu di kawasan sebuah pusat peranginan – satu mayat ditemui, dua masih hilang – dan di Telemong yang melibatkan penduduk kawasan itu dan sehingga petang ini empat mayat ditemui manakala seorang masih hilang.

    Pada 2014 banjir besar yang melanda lima negeri iaitu Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak dan Johor mengorbankan 21 orang di Kelantan, Terengganu dan Pahang, manakala 10 orang dilapor hilang. – BERNAMA

  • Seorang sukarelawan, 16 lain maut dalam banjir Selangor

    Seorang sukarelawan, 16 lain maut dalam banjir Selangor

    KORBAN banjir di Selangor kini meningkat kepada 17 orang termasuk seorang sukarelawan, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

    Beliau berkata setakat 8 pagi Selasa, 10 mayat ditemukan di Daerah Klang, tiga di Hulu Langat dan empat di Sepang.

    Beliau berkata, punca kematian mereka sedang dikenal pasti sama ada disebabkan banjir atau faktor lain seperti mati akibat kekurangan ubat dan sebagainya. 

    “Kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang kehilangan mereka yang tersayang,” katanya dalam sidang media di Shah Alam, hari ini.

    Susulan itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri akan menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa yang kehilangan nyawa disebabkan tragedi itu dan RM1,000 kepada setiap keluarga yang terkesan akibat bencana banjir itu.

    Beliau berkata, sehingga 8 pagi tadi, seramai 30,632 mangsa dari 4,672 keluarga ditempatkan di 203 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Selangor. 

    “Angka sebenar mangsa dijangka meningkat disebabkan beberapa daerah masih menunjukkan peningkatan paras air iaitu di Kuala Langat, Kuala Selangor, dan Sepang serta mangsa-mangsa yang berjaya diselamatkan oleh pasukan penyelamat termasuk di Taman Sri Muda, Kampung Baru Hicom serta Bukit Changgang. 

    Selain itu, katanya, ada mangsa yang memilih untuk tinggal di kediaman masing-masing dan mereka telah dimaklumkan segala risiko namun penduduk mengambil keputusan untuk tinggal di kediaman masing-masing kerana dirasakan masih lagi selamat.

    “Oleh itu selain usaha mengeluarkan mangsa banjir, kita memberi sumbangan bakul-bakul makanan untuk mereka masak untuk tempoh beberapa waktu,” katanya. 

    Sementara itu katanya Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit akan diwujudkan sebagai platform kepada rakyat Malaysia terutama syarikat swasta, individu dan syarikat berkaitan kerajaan untuk menyumbang kepada pemulihan kawasan yang terjejas dengan musibah banjir.

    “Sebagai komitmen awal, saya akan menyumbang sebulan gaji saya kepada tabung ini sebagai tanda permulaan proses pemulihan,” katanya.  – Bernama

  • 98 jalan persekutuan, 126 jalan negeri terjejas akibat banjir

    98 jalan persekutuan, 126 jalan negeri terjejas akibat banjir

    SEBANYAK 98 jalan persekutuan dan 126 jalan negeri terjejas akibat banjir yang melanda tujuh negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Melaka, Pahang dan Kedah, menurut Pusat Kawalan Operasi Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

    Laluan terjejas membabitkan kejadian banjir kilat, banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap dan jambatan rosak di 224 lokasi di tujuh negeri itu setakat 2 petang ini.

    “Ada laluan yang masih ditutup untuk semua jenis kenderaan dan ada antaranya dibuka untuk kenderaan berat,” kata NADMA dalam kenyataan hari ini.

    Laluan yang telah dibuka untuk semua jenis kenderaan termasuk jalan Jeli-Dabong, Kuala Krai dan jalan Padang Kambing, Alor Gajah, Melaka.

    Dua laluan yang hanya dibuka untuk kenderaan ringan ialah jalan GAP-Bukit Fraser, Hulu Selangor dan jalan Jenderam-Sepang.

    Antara laluan yang dibuka untuk kenderaan berat ialah jalan Seri Keledang, Hulu Selangor, jalan Kampung Jenjarom, Kuala Langat dan jalan Banting-Semenyih di Selangor, manakala di Pahang jalan Jerantut-Maran, jalan Bukit Setongkol 2, Kuantan, Jalan Desa Mesra, jalan utama Jengka Utara/Selatan, Maran dan jalan Pekan-Batu Balik, Pekan. – Bernama
     

  • OKU lembam ditemukan lemas dalam banjir berhampiran rumahnya

    OKU lembam ditemukan lemas dalam banjir berhampiran rumahnya

    SEORANG penduduk menemukan satu lelaki orang kurang upaya (OKU) lemas berhampiran rumah keluarganya yang dinaiki air akibat banjir di Kampung Kuala Semantan, Cheroh, Raub, pada Sabtu lalu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Kama Azural Mohamed, mangsa, 55, yang juga OKU lembam ditemukan terlangkup dalam air banjir berhampiran rumahnya lalu dihantar ke Hospital Raub untuk tindakan lanjut

    “Mangsa menetap bersama-sama kedua ibu bapanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

  • Banjir: Sekarang bukan masa tuding jari-Panglima ATM

    Banjir: Sekarang bukan masa tuding jari-Panglima ATM

    PANGLIMA Angkatan Tentera, Affendi Buang mengingatkan mana-mana pihak sekrang bukan masa untuk menuding jari sehingga mengganggu dan menjejaskan usaha menyelamat serta memindahkan mangsa banjir.

    Angkatan Tentera Malaysia (ATM) katanya, mengutamakan keselamatan rakyat khasnya mangsa banjir untuk memastikan sebarang usaha membabitkan pengurusan bencana dikoordinasi secara tersusun dan berkesan.

    “Apa yang penting di sini adalah kerjasama padu antara satu sama lain dengan meletakkan kepentingan keselamatan mangsa sebagai keutamaan yang perlu didahulukan.

    “Sebarang usaha yang dilaksanakan adalah berdasarkan konsep ‘Whole Of Government Approach’ bagi memastikan setiap agensi terlibat yang dikoordinasikan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dapat digembleng secara bersama dan berkesan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Affendi berkata, setiap agensi perlu bekerjasama mencari jalan penyelesaian untuk menambah baik operasi dan kekurangan dalam aspek pengurusan banjir.

    “ATM sentiasa komited melaksanakan tugas sekundernya, terutama membantu pihak berkuasa awam yang dikoordinasikan NADMA dalam menyelamatkan mangsa terkesan akibat bencana banjir, terutama usaha memindahkan mereka ke kawasan selamat.”

    Pada masa sama, katanya, mangsa banjir yang terlibat juga diharapkan dapat memberi kerjasama sepenuhnya kepada pasukan keselamatan demi kelancaran operasi, kesejahteraan dan keselamatan semua.

    Terdahulu, sumber berkata, pasukan tentera membantu memindahkan mangsa banjir tanpa menunggu arahan NADMA, dengan mula bergerak ke kawasan terjejas selepas solat Jumaat.

  • Selepas seminggu bernikah suami dijemput Ilahi

    Selepas seminggu bernikah suami dijemput Ilahi

    ISTERI kepada Allahyarham Muhamad Syafiq Saharuddin, 26, yang lemas di tali air berhampiran Desa Salak Pekerti, Kampung Labu Lanjut, semalam, berkata, sebelum meninggal suaminya mahu dia meletakkan gambar mereka bernikah sebagai ‘wallpaper’ pada telefonnya.

    “Arwah suami meminta saya meletakkan gambar kami bernikah sebagai ‘wallpaper’ telefon ketika menghantar saya ke tempat kerja, Sabtu lalu, sebelum hilang pada petang itu,” kata Siti Haida Aliza, 26, isteri kepada Allahyarham Muhamad Syafiq.

    Kata Siti Haida lagi, pada pagi itu Allahyarham suaminya menghantar dia ke tempat kerja di Nilai, Negeri Sembilan dan selepas itu bertolak ke Batang Kali, Selangor untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang rakan.

    Dia tidak menyangka hasrat suaminya menjadikan gambar pernikahan mereka sebagai ‘wallpaper’ bertujuan mengabdikan kenangan mereka berdua buat selama-lamanya.

    Katanya, kejadian ini sangat meruntun jiwanya kerana mereka berdua baru seminggu bernikah selepas lapan tahun menjalin persahabatan.

    “Selepas bernikah pada 12 Disember lalu, arwah mengambil cuti sehingga majlis persandingan kerana memaklumkan ingin menghabiskan masa dengan saya sepanjang cuti di rumah sewa di Kampung Baru Lanjut.

    “Pada petang sebelum kejadian, arwah ada menghubungi saya memaklumkan rumah sewa kami dinaiki air dan tidak menyangka air naik tinggi.

    “Saya beritahu arwah supaya mengambil barangan dan pakaian persandingan dan tidak menyangka air naik tinggi,” katanya ditemui selepas upacara pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lanjut selepas Zuhur, hari ini.

    Menurutnya, berita kehilangan Allahyarham dimaklumkan oleh rakan, namun dia mengambil sikap positif bahawa suaminya selamat dan tidak dapat dihubungi sepanjang malam kerana masalah cuaca.

    “Malam itu saya balik ke rumah ibu bapa di Nilai kerana esok (Ahad) akan mengadakan majlis kahwin di Senawang.

    “Sepanjang malam saya cuba menghubungi arwah namun gagal dan sepanjang malam tidak dapat melelapkan mata memikirkan keselamatan dia.

    “Pagi bersiap untuk ke tempat majlis perkahwinan ahli keluarga memaklumkan mayat arwah dijumpai lemas dan ketika itu hanya Allah saja yang tahu perasaan ketika ingin meraikan majlis bersejarah hidup kami,” katanya.

    Siti Haida berkata, dia reda dengan ketentuan Allah walaupun baru seminggu melangsungkan perkahwinan.

    Jenazah Muhamad Syafiq disembahyangkan di Masjid Kampung Lanjut dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lanjut selepas Zuhur yang turut dihadiri ibu arwah, Fatimah Taib, 53, dan bapanya, Saharuddin Mat, 53.

    Sementara itu, Saharuddin berkata, kali terakhir dia berjumpa anaknya arwah pada petang Jumaat dan tidak sempat bersembang kerana mempunyai urusan lain.

    Menurutnya, dua hari sebelum meninggal dunia, anaknya menghadiahkan al-Quran terjemahan dan dia gembira kerana sudah lama mahu memilikinya.

    “Sebelum ini arwah kelihatan sangat gembira kerana cita-citanya untuk berumahtangga dengan gadis pilihannya tercapai dan saya reda dengan pemergiannya,” katanya.

  • SAR cari mangsa kelima banjir Telemong diperluas – Bomba

    SAR cari mangsa kelima banjir Telemong diperluas – Bomba

    OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kelima kejadian banjir lumpur di Telemong, di Bentong, Pahang diperluaskan kepada lima kilometer radius kawasan pencarian.

    Pegawai Bomba dan Penyelamat, Sufian Yakub berkata, ketika ini operasi SAR memfokuskan kawasan seberang sungai, melibatkan dua buah bot penyelamat dengan kekuatan 20 anggota bomba dan polis.

    “Operasi diperluaskan ke kawasan hilir sungai dan mencari di kawasan seberang sungai,” katanya kepada Bernama di lokasi kejadian hari ini.

    Selain itu, Sufian berkata, 51 sukarelawan yang terdiri daripada orang kampung Felda Chemomoi, turut membantu misi SAR itu.

    Semalam, Bernama melaporkan empat mayat warga tempatan ditemukan dalam insiden banjir lumpur di Telemong, di Banting.

    Terdahulu Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela Telemong, Lai Wah Foong berkata laluan masuk ke tempat kejadian sebelum ini tidak boleh dilalui susulan kejadian tanah runtuh di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak. – Bernama