Category: Kemalangan / Bencana

  • Ratusan anggota bomba turut menjadi mangsa banjir-KP Bomba

    Ratusan anggota bomba turut menjadi mangsa banjir-KP Bomba

    KETUA Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid mendedahkan, ratusan anggota bomba turut menjadi banjir walaupun mereka terpaksa bersabung nyawa menyelamatkan nyawa dan harta benda orang lain.

    Menurutnya, anggota bomba yang menjadi mangsa banjir turut sejak Oktober lalu turut terjejas termasuk kehilangan tempat tinggal, namun mereka tetap memikul tanggungjawab untuk menyelamatkan orang lain.

    Katanya, kejadian sebegitu tidak diketahui umum kerana anggota bomba tidak menularkannya dalam media sosial.

    “Keutamaan kita adalah menyelamatkan orang lain walaupun ada anggota bomba tidak tahu di mana keluarga mereka dipindahkan ke pusat pemindahan sementara semasa banjir,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Taman Sri Muda Seksyen 25, Shah Alam hari ini.

    Muhammad Hamdan berkata, pihaknya bersedia menerima kritikan, namun orang ramai tidak seharusnya membuat dakwaan tidak berasas.

    “Kita menerima kritikan kerana kita mungkin tidak sempurna tetapi kita cuba yang terbaik,” katanya.

    Pihak tidak pernah memilih kasih dalam melakukan operasi menyelamat mangsa banjir dan perkara itu sama sekali bertentangan dengan komitmen kita sebagai anggota penyelamat.

  • Pengalaman mendebarkan terkandas tujuh jam dalam banjir

    Pengalaman mendebarkan terkandas tujuh jam dalam banjir

    PENGALAMAN mendebarkan terkandas selama tujuh jam di dalam rumah yang dinaiki air separas bahu di Kampung Tanjung Kerayong di Mentakab, Temerloh, pada Selasa lalu, tidak akan dilupakan oleh Sri Hartati Mohd Rasul.

    Lebih-lebih lagi, ibu, adik perempuan dan seorang jiran dengan bayinya berusia lapan bulan, turut berdepan bahaya ketika itu.

    Berkongsi detik cemas itu, Sri Hartati, 23, berkata, ketika air mula memasuki rumah, mereka tiga beranak memutuskan untuk hanya berlindung di tingkat atas rumah dua tingkat itu kerana pada awalnya beranggapan, banjir tidak serius dan akan surut segera.

    Kira-kira jam 4 pagi, dia mendengar suara orang di depan rumah dan bila dijenguk, jirannya yang dikenali sebagai Fitriyah, 44, datang sambil mendukung bayinya, Saffiyah, meminta tolong untuk sama-sama ‘berlindung’.

    “Ketika itu, air sudah separas pinggang dan Fitriyah beritahu, dia takut kerana hanya tinggal berdua dengan bayinya di rumah, telefon bimbitnya pula rosak. Saya segera mengajaknya untuk ke tingkat atas dan sejak itu, kami bergilir-gilir memantau paras air.

    “Air naik mendadak sekitar jam 5 pagi kerana semasa meninjau di tingkat bawah, air sudah mencecah paras bahu menyebabkan saya terus meminta bantuan melalui aplikasi Twitter, bimbang paras air terus meningkat,” katanya dihubungi hari ini.

    Sri Hartati bersyukur kerana Fitriyah sempat mengambil keperluan anaknya termasuk susu, selain keadaan bayi itu yang tidak banyak meragam sebelum mereka diselamatkan anggota bomba jam 11 pagi Selasa lalu.

    Sejurus diselamatkan, Sri Hartati yang bekerja sebagai kerani terus memadam status di Twitter berkenaan kerana tidak mahu ada pihak bimbang keselamatan mereka yang sudah diselamatkan.

    “Saya berterima kasih kepada anggota penyelamat dan masyarakat yang menghubungi saya bertanyakan tentang perkembangan kami.

    “Ramai yang mengucapkan rasa syukur apabila dimaklumkan kami selamat,” katanya yang pertama kali berdepan dengan situasi banjir.

    Menurutnya, mereka kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Mentakab, dan menambah, walaupun bilangan mangsa semakin bertambah sejak hari pertama dia berada di situ, mereka masih dapat makan dan tidur dengan baik.

    “Malah pengurusan di PPS ini turut menyediakan susu dan lampin pakai buang untuk anak Fitriyah,” katanya. – Bernama

  • Banjir:Bomba terima 33 laporan orang hilang

    Banjir:Bomba terima 33 laporan orang hilang

    JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima 33 laporan berhubung orang hilang dalam kejadian banjir seluruh negara yang melanda negara sejak 17 Disember lalu.

    Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, setakat ini 26 mangsa banjir dijumpai meninggal dunia iaitu 10 mangsa di Pahang dan 16 mangsa di Selangor.

    Selain itu, pihaknya sedang giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) tujuh individu yang masih hilang di Pahang.

    “Pengoperasian berkenaan membabitkan kawasan di daerah Bentong membabitkan empat mangsa dan masing-masing satu di Raub, Temerloh dan Pekan,” katanya pada sidang media Op Banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, hari ini.

    Mengenai bencana banjir yang berlaku di Taman Sri Muda, beliau berkata, pengajaran yang boleh diperoleh daripada kejadian itu adalah penduduk harus mendengar nasihat bomba jika diarahkan berpindah.

    “Ketika air banjir naik pada (paras) buku lali, pihak bomba ada datang membuat pemantauan di kawasan Sri Muda dan menasihati penduduk supaya berpindah,” katanya.

    Beliau berkata, namun rata-ratanya menolak kerana berdasarkan pengalaman mereka air akan surut selepas itu dan ketika bomba bergerak pulang air mula naik secara mendadak, deras dan berbahaya.

    “Bila air dah naik mereka mula membuat panggilan kecemasan, namun kita tidak dapat untuk kembali semula ke sana dengan segera kerana sedang menyelamatkan mangsa yang lain,” katanya.

    Menurutnya, pihak bomba sentiasa membuat pemantauan dan kesiapsiagaan untuk menghadapi banjir namun situasi banjir di Selangor adalah di luar jangka.

    “Hujan di Selangor pada Jumaat dan Sabtu lalu amat luar biasa dan aset-aset bomba di Selangor selalunya bersiap sedia untuk membantu mangsa di negeri pantai timur dan utara,” katanya.

    Mohammad Hamdan berkata, situasi luar jangka itu pernah berlaku di Terengganu pada tahun lalu, apabila kawasan Marang yang tidak dimasukkan sebagai titik panas (hot spot) terjejas teruk akibat banjir.

    Mengenai rungutan mangsa yang mengatakan bahawa pasukan penyelamat lambat tiba untuk memberi bantuan, beliau berkata, keadaan arus air yang deras menyukarkan operasi menyelamat dilakukan.

    “Kita faham, mereka lama menunggu dan lapar tapi kita mengutamakan nyawa dan keselamatan mangsa, kita tak mahu menyeberangi air banjir yang deras itu untuk mengelakkan insiden lain,” katanya.

    Pada masa yang sama, Mohammad Hamdan berkata, ratusan anggota turut terjejas akibat banjir termasuk hilang tempat kediaman dan ada yang tidak tahu lokasi pusat pemindahan sementara ahli keluarga mereka ditempatkan.

    “Tapi kita tak pentingkan diri, kita tolong semua orang termasuk warga asing. Malahan Pengarah Bomba Selangor sudah 72 jam bekerja membantu mangsa sehingga melecet kaki, tapi saya cakap sabarlah ini sebahagian daripada kerja kita,” katanya.

  • Wan Ahmad Fayhsal sebak lihat bayi kesejukan

    Wan Ahmad Fayhsal sebak lihat bayi kesejukan

    TIMBALAN Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebak melihat bayi yang baru berusia lima hari berada dalam kesejukan akibat kawasan rumah ditenggelami banjir.

    Beliau yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagaimanapun bersyukur kerana bayi tersebut selamat bersama-samanya ibunya yang dalam pantang.

    “Alhamdulillah, bayi kecil ini dapat dibawa ke tempat selamat hasil komitmen semua pihak termasuk penduduk setempat yang menyalurkan maklumat,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Pengalaman itu diceritakan beliau semasa bersama-sama Armada Bersatu dalam membantu agensi kerajaan dalam misi bantuan banjir di Sri Muda, Shah Alam sejak beberapa hari lalu.

    Keadaan ibu dan bayi itu diketahui semasa beliau bersama-sama Angkatan Pertahanan Awam (APM) sedang menjalankan operasi menyelamat ketika dimaklumkan mengenai keluarga tersebut yang terperangkap.

    Wan Ahmad Fayhsal membantu penduduk membetulkan paip di Taman Sri Nanding selepas kawasan itu dilanda banjir. – Foto ihsan Wan Ahmad Fayshal

    “Ketika itu saya memikirkan bagaimana keadaan bayi itu kerana paras air yang tinggi dan ibunya pula sedang berpantang.

    “Dengan kecekapan APM, bayi itu diselamatkan dan keluarganya dibawa keluar dari situ untuk diberikan rawatan.

    “Ketika itu, hanya saya dan dua anggota APM yang mengendalikan bot dan barangan, jadi saya bantu membawa bayi itu. Rasa sedih sebab dia perlu melalui keadaan seperti itu ” katanya.

    Situasi itu tular dalam media sosial dengan rata-rata netizen tersentuh melihat keadaan bayi itu dan ibunya ketika diselamatkan.

    Sementara itu, beliau memberitahu, Armada Bersatu menggerakkan keseluruhan 2,000 ahlinya di lokasi banjir seluruh negara dengan 500 daripadanya di Selangor.

    Sukarelawan ini akan membantu kerja yang diselaraskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menolong mangsa banjir yang terjejas teruk.

    “Selebihnya bersedia membantu kerja pembersihan di kawasan terkesan. Selain Sri Muda, Armada Bersatu juga akan membantu di Hulu Langat dan beberapa kawasan di Pahang,” katanya.

  • 30 mangsa banjir berteduh 8 jam di bukit semasa banjir

    30 mangsa banjir berteduh 8 jam di bukit semasa banjir

    SEORANG pekerja sebuah kedai menjual makanan haiwan di Batu 13, Hulu Langat, terpaksa berteduh di kawasan bukit lebih lapan jam menunggu banjir surut semasa bencana alam itu berlaku, Sabtu lalu.

    Abdul Shafiz Saliudin, 33, berkata, ketika kejadian pada pukul 10 malam, dia berada di kedai itu sebelum air naik dengan mendadak.

    “Air naik dengan cepat hinggakan dalam tempoh 15 minit, ia sudah sampai paras betis (kira-kira 0.5 meter) dan dalam tempoh satu jam, air semakin naik hingga ke paras dada (lebih satu meter).

    “Keadaan itu menyebabkan saya bergegas mengambil beberapa barang penting dan meletakkannya ke dalam beg sebelum pergi naik ke atas bukit di belakang sebuah klinik di seberang jalan kira-kira 12 tengah malam,” katanya ketika ditemui di premis berkenaan, hari ini.

    Abdul Shafiz bersama-sama kira-kira 30 individu lain terpaksa menunggu di kawasan bukit itu sehingga air surut.

    “Kami hanya berdiri dan duduk di sana sambil memerhatikan keadaan air tanpa makan dan minum. Ada kalanya saya akan duduk di rumput apabila letih berdiri sepanjang tempoh itu.

    “Apabila air mula surut, saya turun dari kawasan bukit berkenaan pada 8.30 pagi dan melihat semua makanan haiwan di dalam kedai ini diselaputi lumpur.

    “Dianggarkan lebih RM50,000 kos kerugian yang ditanggung oleh majikan akibat banjir kali ini,” katanya.

  • Dua beranak hilang semasa redah banjir, ditemukan mayatnya hari ini

    Dua beranak hilang semasa redah banjir, ditemukan mayatnya hari ini

    DUA beranak yang meredah air banjir di kawasan padang bola berhampiran Bangunan UMNO di Mentakab, ditemukan mayatnya pukul 10 pagi ini.

    Musa Ahmad, 53 tahun, ditemui pada jarak 100 meter dari lokasi kejadian sekitar jam 10 pagi.

    Mangsa ditemui pasukan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) JBPM Bukit Angin, Temerloh dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata, mayat anaknya, Mohamad Aireel Zikree, 10 tahun, ditemui di lokasi sama kira-kira dua jam kemudian.

    “Menurut komander operasi, mayat mangsa kedua, seorang kanak-kanak lelaki telah dijumpai di lokasi yang sama pada pukul 11.50 pagi.
    Operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas ditutup pukul 12.30 tengah hari,” kata Ismail dalam satu kenyataan.

    Selasa lalu, seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak dihanyutkan arus ketika cuba meredah air di kawasan padang bola di Mentakab.

    Menurut kenyataan JBPM Pahang, operasi pencarian dilakukan dengan menggunakan bot aluminium oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab dan Bukit Angin.

  • 37 kematian, 10 orang hilang di kawasan banjir dilaporkan setakat semalam

    37 kematian, 10 orang hilang di kawasan banjir dilaporkan setakat semalam

    BENCANA banjir di beberapa kawasan di seluruh negara telah merekodkan sebanyak 37 kematian dan 10 laporan orang hilang sehingga semalam.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, lima kematian daripada jumlah berkenaan telah dilaporkan dalam masa 24 jam lepas, membabitkan empat dewasa dan satu kanak-kanak, sementara dua mangsa masih hilang.

    Katanya, seramai 68,341 mangsa banjir daripada 18,080 keluarga berada di 396 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan tujuh negeri dengan Pahang paling teruk terjejas pada kali ini, selain Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Kelantan dan Negeri Sembilan.

    Menurut beliau, sebanyak 137 lokasi jalan masih ditutup setakat ini membabitkan empat negeri iaitu 120 lokasi di Pahang, Selangor (12), Kelantan (3) dan Negeri Sembilan (2).

    “Selain itu, berdasarkan maklumat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran, setakat 2.30 pagi tadi sebanyak 23 lokasi sungai diletakkan dalam keadaan bahaya dan amaran.

    “Paras bahaya melibatkan 13 lokasi iaitu sembilan sungai di Pahang, satu lokasi masing-masing di Selangor dan Johor, serta dua di Kelantan,” katanya pada sidang media harian Ops Banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, hari ini.

    Beliau berkata, sebanyak 10 lokasi paras amaran pula ialah masing-masing satu di Selangor dan Johor, manakala masing-masing dua lokasi di Pahang, Kelantan, Melaka dan Sarawak.

    Tanbahnya, pihaknya sedang menunggu keputusan bedah siasat bagi punca kematian mangsa-mangsa yang diterima dari kawasan terlibat banjir.

    “Setakat ini tiada laporan yang kami terima, jika kami perlu untuk bagi penerangan kami akan bagi dan saya percaya laporan bedah siasat masih dalam proses,” katanya.

    Menjawab soalan mengenai jumlah kematian berbeza antara pihak berkuasa dan kerajaan negeri, beliau menerangkan bahawa setiap kematian wajib dilaporkan kepada polis mengikut peruntukkan Akta Prosedur Jenayah.

    “Setiap kematian yang dilaporkan kepada polis dicatatkan sebagai statistik yang diterima dan akan dibuka kertas yang dipanggil Laporan Kematian Mengejut,” katanya.

    Dalam pada itu, Acryl Sani turut memaklumkan seramai 1,081 pegawai dan anggota polis serta 880 kakitangan awam yang berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terjejas dengan banjir di seluruh negara setakat ini.

    “Selain itu, setakat dua hari lepas saya menerima laporan tujuh balai terkesan dengan bencana banjir,” katanya.

  • ATM keluar arahan bersedia operasi banjir 2 bulan lalu

    ATM keluar arahan bersedia operasi banjir 2 bulan lalu

    ARAHAN bersiap siaga kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk terlibat dalam operasi banjir telah diterima daripada peringkat atasan sejak dua bulan lepas, kata Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang.

    “Pengarahan dari atas sejak dua bulan lepas, kata siap siaga, kalau dah air naik saya tidak tunggu lagi jika saya ada anggota dan aset sedia, saya akan selamatkan orang awam dahulu nak tunggu apa lagi,” katanya pada sidang media Ops Banjir Taman Sri Muda di Shah Alam hari ini.

    Beliau berkata, demikian bagi menjawab dakwaan bahawa ATM turun membantu mangsa banjir tanpa kelulusan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan memaklumkan pihaknya bersiap siaga untuk terlibat dalam operasi banjir, sekiranya ada kenaikan air di mana-mana kawasan.

    Mengakui keadaan bencana yang dihadapi agak kelam-kabut pada peringkat awal, Affendi berkata, perkara itu sentiasa berlaku dalam keadaan bencana di mana-mana tempat.

    “Kalau di Amerika Syarikat pun, ketika taufan berlaku mereka juga menghadapi masalah yang sama tetapi itu tidak semestinya menjadi titik noktah, kita perlu perbaiki dari situ.

    “Sudah tentu pada hari pertama, keadaan kelam-kabut tetapi sekiranya semua orang berusaha bersama-sama dan memainkan peranan mereka, kita boleh selesaikannya dan kurang orang yang menderita,” katanya sambil menambah waktu darurat ketika ini, semua pihak perlu bekerjasama.

    Affendi berkata, pada waktu bencana, tidak ada satu sistem pun yang betul untuk memenuhi semua jenis musibah dan satu-satunya cara adalah semua orang bekerjasama dan menyelesaikannya. Memang pada mulanya kita akan kelam-kabut tetapi selepas menempuhnya semua akan diselesaikan.

    Beliau berkata, ATM kini bersedia untuk menghadapi musim Monsun yang biasanya akan mengakibatkan banjir di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

    “Ingin saya ingatkan bahawa untuk bencana banjir ini, saya fikir kita harus bersedia, (situasi) terburuk belum berakhir. Monsun ini belum sampai lagi di kawasan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor yang merupakan kawasan tradisi. Jadi anggota kami semua berada di sana untuk memastikan jika apa-apa berlaku mereka akan berada di tempatnya,” kata beliau.- BERNAMA

  • JKKP siasat pekerja maut terjatuh di pusat beli-belah

    JKKP siasat pekerja maut terjatuh di pusat beli-belah

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG pekerja lelaki warganegara Bangladesh yang berusia 27 tahun maut selepas terjatuh pada ketinggian kira-kira lima meter di sebuah pusat beli belah di Johor Bahru, pada pukul 10.45 malam, Ahad lalu.

    Mangsa yang merupakan pekerja am ketika itu ditugaskan melakukan kerja memasang silikon pada ‘glass panel’ bagi tujuan memasang bumbung kaca di kawasan Rooftop Level 3A, pusat beli belah tersebut.

    Susulan itu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan terbabit yang didapati cuai sehingga menyebabkan pekerjanya maut akibat terjatuh daripada tempat tinggi ketika bekerja.

    Pengarah JKKP negeri, Husdin Che Amat berkata, rakaman pada kamera litar tertutup (CCTV) juga menunjukkan mangsa yang bekerja berseorangan sedang berjalan di atas glass panel yang dipasang tanpa memakai ‘body harness’.

    “Mangsa telah terpijak ‘glass panel’ yang belum siap dipasang dan terjatuh ke atas ‘louvers’ sebelum jatuh ke lantai dengan ketinggian lebih kurang lima meter,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Tambah Husdin, susulan itu pihaknya telah mengeluarkan Notis Larangan kepada majikan supaya menghentikan semua kerja pemasangan bumbung kaca dengan serta-merta sehingga siasatan lengkap dijalankan.

    “Majikan juga diarah melakukan penambahbaikan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi kerja-kerja di tempat tinggi termasuk mengadakan prosedur kerja selamat dan penaksiran risiko serta pelaporan kemalangan maut yang telah berlaku kepada JKKP.

    “Tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat perlanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” ujarnya.

    Beliau turut memberitahu risiko itu boleh dikurangkan jika majikan menggunakan instrumen sistematik yang terdiri daripada tiga proses utama, iaitu pengenalpastian risiko, penaksiran risiko dan kawalan risiko (HIRARC).

  • Lemas ketika memukat ikan di Pulau Semayang

    Lemas ketika memukat ikan di Pulau Semayang

    SEORANG lelaki ditemukan lemas ketika keluar memukat ikan di perairan Pulau Semayang, Sandakan pukul 9.30 tadi.

    Muhamad Alisan Muhamat, 31, ditemui terapung kira-kira 200 meter dari Kampung Semayang.

    Menurut Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah (BBP) Sandakan, Hairi Otuh berkata, mangsa keluar memukat ikan kira-kira pukul 4.30 pagi dengan menaiki sebuah bot di Pulau Bai, Sandakan.

    Bagaimanapun katanya, menurut penduduk, bot yang dinaikinya telah hanyut manakala mangsa tidak berada di dalam bot terbabit.

    “Pihak bomba menerima maklumat kejadian pada pukul 7.29 pagi sebelum lima anggota termasuk dua pegawai dengan dibantu beberapa agensi lain melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

    “Mangsa kemudian ditemui di perairan Pulau Semayang oleh penduduk kampung.

    “Mayat mangsa dibawa ke Jeti Pangkalan Maritim sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi kemudian ditamatkan pada pukul 10.02 pagi,” katanya ketika dihubungi.