Category: Kemalangan / Bencana

  • Segera siasat tanah runtuh Kg Sungai Penchala – Agong

    Segera siasat tanah runtuh Kg Sungai Penchala – Agong

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar siasatan kejadian tanah runtuh di Jalan Pelimbayan Indah, Kampung Sungai Penchala di Kuala Lumpur dapat dilakukan secepat mungkin.

    Seri Paduka bertitah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memberikan penjelasan untuk menempatkan sebahagian daripada penduduk yang terjejas ke flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Beringin di sini.

    “Ini tinjauan atas simpati terhadap mangsa-mangsa tanah runtuh. Saya amat simpati dengan penghuni Kampung Sungai Penchala ini,” titah Al-Sultan Abdullah selepas menyantuni 136 mangsa tanah runtuh di pusat permindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sungai Penchala, Damansara di sini, hari ini.

    Keberangkatan tiba Seri Paduka sekitar pukul 2 petang disambut Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

    Ahad lepas, seramai 284 penduduk kawasan Jalan Pelimbayan Indah terjejas akibat kejadian tanah runtuh yang membabitkan 94 rumah dengan 24 rumah telah musnah sepenuhnya.

    Sementara itu, Seri Paduka menitahkan agar semua pihak termasuk dirinya, individu perseorangan, badan bukan kerajaan, syarikat, agensi kerajaan dan kerajaan tampil membantu mangsa-mangsa yang terlibat dengan bencana banjir dan tanah runtuh susulan hujan lebat yang melanda negara sejak Jumaat lepas.

    “Apa yang saya boleh nyatakan ialah amat sedih dan simpati. Namun kita semua kena menerima ujian Allah ini, harus bersabar. Mana-mana pihak, mana-mana insan yang bersabar tetap akan diberi kebaikan kemudian nanti,” titahnya.

    Seri Paduka meluangkan kira-kira sejam, mencemar duli menyantuni mangsa di pusat pemindahan itu dan mengurniakan sumbangan kepada mereka.

    Terdahulu, Seri Paduka memandu sendiri bersama konvoi Istana Negara dalam perjalanan ke pusat pemindahan berkenaan. – BERNAMA

  • Masalah kekurangan PPS telah ditangani – Rina

    Masalah kekurangan PPS telah ditangani – Rina

    KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menambah bilangan pusat pemindahan sementara (PPS), bagi mengatasi masalah lebihan kapasiti mangsa banjir di PPS, kata Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

    Beliau berkata, pada permulaan hanya 5,731 PPS yang berdaftar di seluruh negara dan kementerian telah menambah 78 PPS lagi bagi menampung pertambahan jumlah mangsa, terutamanya di kawasan teruk terjejas.

    “Bencana ini tidak diduga… ada rumah yang tidak pernah dinaiki air turut dinaiki air, yang penting mereka berjaya menyelamatkan diri dan kita bagi masuk (ke PPS berhampiran) sementara kita buka PPS lain, untuk pindahkan dan beri perlindungan kepada mereka,” katanya.

    Rina berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni mangsa banjir di Wisma Belia di Kuantan hari ini, yang menempatkan 224 individu daripada 63 keluarga dari sekitar Kuantan, yang mula dilanda banjir sejak Ahad lepas.

    Kementerian juga cuba menyediakan fasiliti dan keperluan kepada mangsa banjir sebaiknya dan sekiranya ada isu berbangkit, mangsa boleh menghubungi bilik gerakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang beroperasi 24 jam sehari.

    Sementara itu, Rina berkata pihaknya menghargai kesudian pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan menghulurkan sumbangan, dan tidak akan menghalang proses penyampaian bantuan itu kerana tidak mahu kerenah birokrasi ‘mengganggu’ misi bantuan tersebut.

    “Bila orang nak bantu kita tidak boleh halang. Apa yang penting barang bantuan sampai kepada penerima, namun sekiranya mereka hantar ke pusat pemindahan seperti ini, pihak pengurusan boleh rekod dan tahu (barang) apa yang diterima dan apa lagi diperlukan mangsa menjadikan ia lebih teratur,” katanya.

    Rina juga berkata selain menempatkan kaunselor bertauliah untuk membantu psikososial mangsa banjir di PPS, unit pengamal ‘MamaCare’ di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) turut disediakan bagi membantu memberikan rawatan kepada ibu yang baharu melahirkan anak. – BERNAMA

  • Banjir: 41 nyawa terkorban, 8 orang masih hilang

    Banjir: 41 nyawa terkorban, 8 orang masih hilang

    BENCANA banjir dilaporkan telah mengorbankan 41 nyawa di seluruh negara setakat ini manakala lapan orang masih hilang.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataan hari ini berkata, Selangor melaporkan kematian tertinggi iaitu 25 mangsa, Pahang 15 mangsa dan seorang di Kelantan.

    Berdasarkan pecahan, katanya, 25 mangsa di Selangor terdiri daripada 17 lelaki dan lapan wanita, Pahang melibatkan lapan lelaki, lima wanita dan dua kanak-kanak lelaki, manakala di Kelantan seorang lelaki.

    Lapan yang masih hilang di Pahang melibatkan tujuh lelaki dan seorang kanak-kanak lelaki, katanya.

    Sementara itu, situasi banjir setakat tengah hari ini menyaksikan jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri iaitu Kelantan, Pahang dan Perak semakin menurun berbanding pagi tadi.

    Jumlah mangsa banjir di KELANTAN mencatatkan penurunan setakat 12 tengah hari ini, apabila seramai 1,364 orang daripada 478 keluarga berbanding 1,389 orang daripada 472 keluarga, pagi tadi melibatkan lapan PPS, kesemuanya di jajahan Pasir Mas.

    Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan hanya sebatang sungai berada pada paras amaran iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas dengan bacaan 8.34 meter.

    Mangsa banjir di PERAK juga mencatatkan jumlah menyusut kepada 106 mangsa daripada 30 keluarga berbanding 153 mangsa daripada 44 keluarga pagi tadi yang kini ditempatkan di dua PPS di daerah Hilir Perak.

    Jurucakap Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata, seramai 62 mangsa ditempatkan di PPS Dewan Bandaran Teluk Intan manakala 44 mangsa lagi berada di PPS Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib.

    Beliau berkata sejumlah 14 keluarga dari penduduk Kampung Glouster, Batu 7 ½ Lorong Mesra dan Kampung Selat Manggis yang ditempatkan di PPS Dewan Bandaran Teluk Intan pulang ke kediaman masing-masing hari ini.

    Sementara itu, di PAHANG, jumlah mangsa turut menurun menjadi 31,430 mangsa di 231 PPS, berbanding 34,487 orang di 246 PPS pagi tadi, menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

    Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara melaporkan, paras air Sungai Bera di Jambatan Sungai Bera dan Sungai Pahang di Water Front Bera serta di Maran melibatkan Sungai Kundang dan Sungai Pahang di Lubuk Paku masih melebihi paras bahaya manakala Sungai Pahang di Paloh Hinai di Pekan dan Lubuk Pasu, Temerloh direkodkan pada paras amaran.

    Jumlah jalan yang ditutup juga semakin berkurangan dengan kebanyakannya jalan yang belum boleh dilalui ialah di daerah Temerloh, Bera dan Maran.

    Di MELAKA, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, seramai 42 mangsa dari 13 keluarga masih ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok China di Alor Gajah manakala 68 mangsa daripada 14 keluarga ditempatkan di PPS SK Parit Penghulu Benteng di daerah Jasin.

    Di SELANGOR, aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan seramai 18,575 mangsa banjir dari 5,128 keluarga masih ditempatkan di 99 PPS di seluruh negeri itu.

    Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia pula memaklumkan aras air Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat masih berada di paras amaran dengan ketinggian 4.07 meter manakala Sungai Buloh di Parit Mahang, Kuala Selangor di paras berjaga-jaga dengan ketinggian 3.71 meter dengan trend menurun.

    Menurut aplikasi Info Bencana JKM, satu PPS di Kuala Lumpur masih dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil Saraswathy yang menempatkan 234 mangsa daripada 55 keluarga.

    Menurut aplikasi itu juga, mangsa banjir di seluruh negara terus menurun kepada 52,095 berbanding 56, 904 mangsa pagi tadi dengan 346 PPS masih beroperasi. – BERNAMA

  • Penternak ikan Pahang rugi lebih RM1.4 juta akibat banjir

    Penternak ikan Pahang rugi lebih RM1.4 juta akibat banjir

    SITUASI banjir di Pahang sejak Jumaat minggu lalu mengakibatkan seramai 73 penternak ikan air tawar di lima daerah mengalami kerugian lebih RM1.4 juta.

    Memetik laporan BH, nilai kerugian dijangka terus meningkat apabila banyak sangkar dan kolam di Temerloh, Jerantut, Bentong, Lipis, Maran dan Pekan, musnah.

    Menurut Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar, kerugian penternak akuakultur di negeri ini dijangka terus meningkat, berikutan keadaan banjir yang masih berlaku di beberapa daerah.

    Beliau berkata,estet ikan, tempat ternakan ikan yang dijaga serta diuruskan oleh ahli dalam komuniti di Estet Ikan Paya Chempaka (15 hektar), Estet Ikan Paya Lanar (25 hektar) dan Estet Ikan Paya Lubuk Kawah (31 hektar), Temerloh juga telah ditenggelami banjir menyebabkan ikan terlepas dan keluar daripada tasik berkenaan.

    “Jabatan menjangkakan jumlah kerugian sebenar adalah lebih tinggi membabitkan semua daerah selepas aduan dan penilaian dibuat apabila bencana banjir surut sepenuhnya nanti.

    “Banyak sangkar ikan sepanjang Sungai Pahang di Temerloh, Jerantut, Lipis, Maran dan Pekan musnah dibawa arus deras air selain ditimpa pokok tumbang.

    “Justeru, saya berharap penternak akuakultur dan juga nelayan darat dapat melaporkan butiran kerugian aktiviti perikanan mereka akibat bencana banjir kepada Jabatan Perikanan selepas ini,” katanya hari ini.

    Abdullah menambah, pihaknya akan melaksanakan semakan sebelum mengemukakan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk pertimbangan bantuan melalui Tabung Bencana Pertanian (TBP).

    Abdullah berkata, pihaknya bersimpati dengan apa yang dialami penternak dan pengusaha akuakultur di negeri ini dan berharapkan mereka tabah serta bersabar menghadapi ujian yang tidak dijangka ini.

    “Tahun lalu jumlah penternak akuakultur yang berdaftar di negeri ini seramai kira-kira 1,700 orang manakala nelayan darat seramai 380 orang.

    “Pengeluaran akuakultur dan perikanan sungai di Pahang adalah yang tertinggi di Pantai Timur dengan kira-kira 15,000 tan bernilai lebih RM246 juta bagi akuakultur serta kira-kira 787 tan bernilai kira-kira RM11.5 juta bagi perikanan sungai,” jelasnya.

  • Rumah ‘ditelan’ air, mangsa banjir Mentakab pasrah

    Rumah ‘ditelan’ air, mangsa banjir Mentakab pasrah

    TIADA apa yang mampu diungkapkan oleh penduduk Kg Batu Kapor, di Mentakab, selain keluhan mengenangkan kediaman mereka yang ditenggelami air dalam banjir yang disifatkan paling dahsyat dalam tempoh 50 tahun.

    Jelas terpancar kegusaran di wajah mereka ketika ditemui Bernama di pusat penempatan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Semantan, Mentakab, pada Khamis.

    “Ketika ini kami tidak dapat melakukan apa-apa selain menunggu air surut untuk pulang memeriksa rumah. Kami pasrah dan reda,” kata seorang mangsa Wardiana Bucin, 53.

    Rumahnya yang diduduki bersama suami dan dua anak lelaki bongsunya mula dinaiki air pada Sabtu (18 Dis) dan tenggelam sepenuhnya pada Isnin.

    Walaupun kampung berkenaan dilanda banjir hampir setiap tahun, namun Wardiana berkata bencana kali ini luar biasa, memandangkan paras air paling tinggi direkodkan pada Januari lepas kira-kira sejengkal daripada siling rumahnya.

    “Biasanya kami letak barang elektrik di bahagian siling yang dibina untuk banjir, tetapi kali ini nampaknya tiada barang yang selamat, sebab rumah habis tenggelam,” katanya.

    Seorang lagi mangsa Siti Zubaidah Md Nazari, 33, berkata rumah yang didiami bersama ibu dan dua adiknya juga tenggelam sepenuhnya dan masih tidak kelihatan sehingga Khamis.

    “Rumah saya bersebelahan dengan rumah datuk dan rumah kakak sulung saya. Ketiga-tiganya tenggelam dan rumah datuk saya yang diperbuat daripada papan, hanyut dibawa arus deras,” katanya.

    Tambah Siti Zubaidah, keluarganya juga hanya sempat membawa beberapa helai pakaian dan dokumen penting semasa berpindah ke PPS, kerana air naik terlalu pantas.

    “Boleh dikatakan ketika-tiga rumah kerugian keseluruhan. Tetapi ketika itu kami hanya memikirkan tentang nyawa, yang penting semua ahli keluarga kami selamat,” kata kakaknya, Zarina Md Nazari, 38.

    Tinjauan Bernama di kampung berkenaan pada petang Khamis, mendapati paras air hanya surut kira-kira 1 meter, manakala puluhan rumah masih tenggelam hingga paras bumbung. – BERNAMA

  • Jumlah mangsa banjir turun di empat negeri, Negeri Sembilan meningkat

    Jumlah mangsa banjir turun di empat negeri, Negeri Sembilan meningkat

    BENCANA banjir yang melanda negara menyaksikan penurunan jumlah mangsa di Selangor, Kelantan, Pahang dan Melaka, manakala di Negeri Sembilan merekodkan sedikit peningkatan sementara di Perak pula jumlah mangsa kekal, setakat pagi ini.

    Jumlah mangsa banjir di KELANTAN mencatatkan penurunan apabila 1,389 orang daripada 472 keluarga pagi ini berbanding 1,666 orang daripada 572 keluarga, semalam, melibatkan lapan pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka kesemuanya di jajahan Pasir Mas.

    Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya yang mana hanya dua sungai sahaja berada pada paras amaran iaitu Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas.

    Di SELANGOR, Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) memaklumkan negeri itu merekodkan penurunan jumlah mangsa banjir iaitu 17,915 dari 4,407 keluarga melibatkan 101 pusat pemindahan sementara berbanding 18,126 orang di 103 PPS malam tadi.

    Setakat 4 pagi tadi, Polis Selangor memaklumkan 10 jalan telah dinaiki air dan ditutup untuk laluan kenderaan di negeri tersebut melibatkan lapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri itu.

     Jalan yang ditutup adalah Lorong Ikan Haruan, Kg Bukit Lanchong, Putra Heights (IPD Subang Jaya); Jalan Olak Lempit ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (IPD Kuala Langat); Jambatan FT 31 Dengkil – Banting (IPD Sepang) dan Jalan BRP 7/2 Bukit Rahman Putra (IPD Sungai Buloh)

    Turut ditutup Jalan Sg Panjang – Tanjung Malim (IPD Sabak Bernam); Jalan Kuala Selangor – Meru dan Jalan Kuala Selangor – Bestari Jaya (IPD Kuala Selangor) manakala jambatan menghala ke Lapang Sasar, Subang ditutup ekoran rosak serta Jalan PJU 7, Hadapan  MRT, Mutiara Damansara ditutup kerana berlubang (IPD Petaling Jaya).

    JPS memaklumkan aras air Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat yang berada pada paras bahaya semalam kini di paras amaran dengan ketinggian 4.15 meter.

    Sementara itu, jumlah mangsa banjir di PAHANG pagi ini sedikit menurun kepada 34,390 orang yang ditempatkan di 245 PPS kini berbanding 34,487 di 246 PPS semalam, menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

    Sementara itu, Lebuhraya Pantai Timur menerusi catatan Twitter memaklumkan laluan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1, melibatkan Chenor ke Temerloh sudah dibuka namun Temerloh ke Karak masih tidak boleh dilalui kedua-dua hala.

    Di MELAKA pula, jumlah mangsa menurun kepada 110 mangsa daripada 27 keluarga setakat 8 pagi ini dan kesemua mangsa ditempatkan di dua PPS yang masih dibuka di daerah Alor Gajah dan Jasin.

    Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata daripada jumlah itu, sebanyak 42 mangsa dari 13 keluarga masih ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok China di Alor Gajah.

    “Di daerah Jasin pula, jumlah mangsa masih kekal iaitu sebanyak 68 mangsa daripada 14 keluarga ditempatkan di PPS SK Parit Penghulu Benteng,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Bagaimanapun, jumlah mangsa di PERAK setakat  8 pagi ini masih kekal dengan 153 mangsa dari  44 keluarga di dua PPS di daerah Hilir Perak.

    Jurucakap Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata sebanyak 105 mangsa ditempatkan di PPS Dewan Bandaran Teluk Intan manakala 48 mangsa lagi berada di PPS Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib.

    Beliau berkata cuaca pada pagi ini dilaporkan baik dan cerah namun air banjir yang belum surut sepenuhnya menyebabkan mangsa masih belum dibenarkan pulang sejak ditempatkan di kedua-dua PPS  Ahad lepas.

    Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah APM negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di negeri itu adalah 309 individu daripada 84 keluarga dengan empat PPS masih dibuka di Jelebu setakat pagi ini.

    Dalam pada itu,  daerah terkesan bencana kini beralih ke fasa pascabanjir dengan dengan bantuan kerja-kerja pembersihan dilakukan oleh agensi penguat kuasa dan badan bukan kerajaan (NGO).

    Menurut aplikasi Info Bencana JKM, sebanyak 56, 904 jumlah mangsa direkodkan di seluruh negara dan terdapat 363 PPS dibuka setakat 9 pagi ini.

    Sementara itu, menurut JPS, lima sungai utama di seluruh negara berada di paras bahaya setakat 7 pagi ini, iaitu Sungai Pahang di Water Front; Lubuk Paku; Kuala Sungai Chini dan Sungai Bera serta Sungai Kundang di Pahang.  – BERNAMA

  • Jumlah mangsa banjir 4 negeri turun, KL kekal

    Jumlah mangsa banjir 4 negeri turun, KL kekal

    JUMLAH mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang, Selangor, Kelantan, Perak dan Melaka menurun setakat petang tadi namun, jumlah mangsa di ibu negara kekal.

    Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir di 376 PPS di Selangor, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan dan Kuala Lumpur setakat ini adalah seramai 59,844 orang.

    Di PAHANG, jumlah mangsa banjir menurun kepada 34,971 orang di 259 PPS pada sebelah petang berbanding 35,369 orang tengah hari tadi, menurut aplikasi Info Bencana JKM.

    Pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) ANIH Bhd pula memaklumkan laluan Chenor ke Karak masih belum dibuka di kedua-dua arah, namun trend air menunjukkan penurunan.

    Bagi jalan utama lain, antara yang masih terputus hubungan ialah Jalan Pulau Tawar ke Durian Hijau dan Jalan Kota Gelanggi ke Lepar Utara di Jerantut, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan dan Jalan Gemas-Temerloh di Temerloh, Jalan Serengkam dan Jalan Pekan Sehari Kampung Awah di Maran serta Jalan Sungai Lembing di Kuantan.

    Sementara itu, paras Sungai Pahang di beberapa lokasi seperti di Lubuk Pasu, Temerloh; Water Front di Bera dan di Lubuk Paku, Maran selain Sungai Kundang juga di Maran masih melebihi paras bahaya.

    Di SELANGOR, aplikasi Info Bencana JKM melaporkan sebanyak 111 PPS dibuka bagi menempatkan 22,250 mangsa banjir daripada 5,756 keluarga setakat 5.32 petang, berbanding 22,332 orang di 109 PPS pada 12.21 tengah hari tadi.

    Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia memaklumkan Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Selangor kini melebihi paras bahaya iaitu 4.34 meter setakat 4.45 petang tadi dengan trend meningkat.

    Di KELANTAN, jumlah mangsa setakat 6 petang ialah 1,496 orang daripada 510 keluarga berbanding 1,521 orang daripada 516 keluarga tengah hari tadi melibatkan lapan PPS yang kesemuanya di jajahan Pasir Mas.

    Sementara itu, portal rasmi info banjir JPS melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya, hanya tiga sungai berada pada paras amaran iaitu Sungai Kelantan di Kampung Temangan, Machang; Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas; dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas.

    Di PERAK, setakat 4 petang, jumlah mangsa banjir di Changkat Jong, Teluk Intan menurun kepada 182 mangsa berbanding 245 orang yang ditempatkan di dua PPS di daerah Hilir Perak.

    Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata seramai 109 mangsa ditempatkan di PPS Dewan Bandaran Teluk Intan dan 73 lagi berada di PPS Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib.

    Dalam pada itu, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah membuka semula lorong kanan di antara KM273.3 dan KM272.2 di jajaran di antara Persimpangan Ipoh Selatan dan Ipoh Utara di Lebuhraya Utara-Selatan hari ini, berikutan penyiapan kerja-kerja membaik pulih lubang benam (sinkhole) di lokasi berkenaan.

    Di MELAKA, Pengarah APM Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra memaklumkan jumlah mangsa banjir menurun kepada 131 mangsa daripada 33 keluarga setakat 4 petang ini, berbanding 135 mangsa daripada 34 keluarga dengan kesemuanya ditempatkan di dua PPS di Alor Gajah dan Jasin.

    Di KUALA LUMPUR, menurut aplikasi Info Bencana JKM, jumlah mangsa kekal 314 orang daripada 74 keluarga di dua PPS setakat ini. – BERNAMA

  • Hujan berterusan Johor, Sabah, Sarawak 28 – 30 Dis

    Hujan berterusan Johor, Sabah, Sarawak 28 – 30 Dis

    JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan ramalan luruan monsun dengan keadaan itu boleh menyebabkan hujan berterusan di timur Johor, timur Sabah dan barat Sarawak dalam tempoh 28 Dis hingga 30 Dis ini.

    Luruan monsun pada 27 Dis hingga 30 Dis itu adalah angin sejuk dari Siberia yang menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan.

    MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan angin kencang dan laut bergelora diramal di perairan Laut China Selatan termasuk kawasan perairan pantai timur Semenanjung pada 26 Dis hingga 30 Dis.

    “Orang awam yang merancang perjalanan ke kawasan berkenaan dinasihatkan sentiasa berwaspada dan peka dengan maklumat terkini,” menurut kenyataan itu.

    Jabatan itu memaklumkan akan terus memantau keadaan cuaca setiap hari dan akan mengeluarkan amaran hujan berterusan serta amaran ribut petir jika perlu. – BERNAMA

  • Banjir:208 anggota bomba, empat balai terjejas

    Banjir:208 anggota bomba, empat balai terjejas

    EMPAT balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta 208 anggota dan pegawainya terjejas akibat banjir sejam Jumaat lalu.

    Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, empat balai yang terjejas adalah di Bentong dan Mentakab di Pahang; Kota Raja, Selangor dan Sentul, Kuala Lumpur.

    Beliau berkata, daripada 208 anggota dan pegawai JBPM yang terkesan bencana banjir, 92 anggota adalah di Selangor, Pahang (58), Putrajaya (42), Kuala Lumpur (11), Melaka (tiga) dan masing-masing satu di Labuan serta Negeri Sembilan.

    “Walaupun turut terjejas, mereka terus melaksanakan tugas dan saya nasihatkan kepada anggota untuk tidak berputus asa walaupun ada pelbagai komen mengenai pelaksanaan dalam proses menyelamat.

    “Saya sentiasa memberi semangat kepada mereka dalam menghadapi situasi banjir ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Tengku Ampuan Afzan di Chenor, Maran, hari ini.

    Reezal Merican sebelum ini dilaporkan berkata, seramai 4,819 anggota JBPM termasuk Pasukan Bomba Bantuan telah diatur gerak bagi kerja menyelamat dan memindahkan mangsa ke PPS di enam negeri yang terjejas banjir, susulan hujan lebat berterusan sejak Jumaat lepas.

    Selain itu, sebanyak 125 kenderaan angkut dan 214 bot diatur gerak ke kawasan banjir di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

    Mengulas mengenai dakwaan anggota JBPM lambat dalam proses menyelamat mangsa banjir, Reezal Merican berkata, beliau menerimanya dengan hati terbuka dan memberi semangat kepada anggota untuk tidak berputus asa dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

    “Soal marah (warganet) itu berasas atau tidak itu kemudian, anggota bomba ini sentiasa melakukan tugasan dengan baik malah ada antara mereka yang tidak tidur serta rumah mereka turut terjejas dengan banjir,” katanya.

  • Lemas ketika meredah jalan dinaiki air dengan motosikal

    Lemas ketika meredah jalan dinaiki air dengan motosikal

    SEORANG pekerja ladang yang menunggang motosikal cuba meredah jalan dinaiki air di sebuah ladang kelapa sawit di Felda Chini 2, Pekan, hari ini, namun tidak menyangka kawasan tersebut dalam.

    Cubaan mangsa, Che Rustam Che Su, 36, gagal apabila dia terjatuh dan tenggelam sebelum hilang.

    Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, mayat Che Rustam ditemui pada jam 3.40 petang di lokasi berdekatan dia dilihat terjatuh dan tenggelam.

    Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, berlaku air bertakung di laluan tersebut dan mangsa cuba meredah air sebelum tiba-tiba tenggelam bersama motosikalnya.

    Beliau berkata, mangsa yang tidak pandai berenang dilihat terkapai-kapai sebelum tenggelam.

    “Lokasi mangsa lemas merupakan jalan rendah dan ditenggelami air sedalam kira-kira lima meter dengan jarak jalan yang dinaiki air sepanjang 20 meter.

    “Mangsa mungkin tidak menyangka air di laluan itu begitu dalam dan cuba menyeberanginya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohd. Zaidi berkata, susulan maklumat yang diterima daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM) Chini, pihak polis bersama-sama bomba dan APM menggerakkan operasi mencari dan menyelamat menggunakan sebuah bot

    “Mayat mangsa berjaya ditemui dan dihantar ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat,” katanya.