Category: Kemalangan / Bencana

  • Tanah runtuh di asrama UIAM

    Tanah runtuh di asrama UIAM

    SERAMAI 128 pelajar lelaki Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Selangor diarah mengosongkan asrama mereka selepas berlaku tanah runtuh dan mendapan jalan di kawasan bangunan.

    Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Zulfikar Jaffar berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang bergegas ke lokasi selepas menerima laporan pada pukul 9 malam tadi.

    Menurutnya, saksi yang juga pelajar di UIAM itu memaklumkan, kejadian tanah runtuh itu berlaku pukul 6.45 petang ketika hujan lebat dan mereka diarahkan mengosongkan bangunan asrama.

    Pemantauan yang dilakukan mendapati tiada kesan rekahan pada dinding atau lantai bangunan, ” katanya dalam kenyataan.

    Katanya, mendapan jalan berlaku dengan anggaran keluasan lima meter persegi dengan kedalaman kira-kira tiga meter.

    Pihak pengurusan UIAM sudah menutup kawasan tersebut dengan meletakkan kon dan sawar-sawar dan menghubungi Konsultan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk tindakan lanjut, ” katanya 

  • Kilang kitar semula terbakar, asap hitam menjulang ke udara

    Kilang kitar semula terbakar, asap hitam menjulang ke udara

    PENDUDUK di sekitar Bukit Mertajam, Pulau Pinang petang tadi dikejutkan dengan asap hitam dan tebal yang menjulang ke udara yang dapat disaksikan sejauh lebih tiga kilometer.

    Kejadian itu berpunca daripada kebakaran sebuah kilang plastik kitar semula di Kawasan Perusahaan Bukit Minyak, Bukit Mertajam kira-kira pukul 6 petang.

    Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.01 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda bergegas ke lokasi kejadian.

    Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian katanya, didapati kebakaran melibatkan sebuah kilang pembuatan plastik kitar semula dengan anggaran keluasan 2,500 meter persegi.

    “Kilang itu turut dianggarkan musnah sebanyak kira-kira 70 peratus ,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Menurut jurucakap itu, usaha memadamkan kebakaran terpaksa dibantu oleh pasukan bomba dari BBP Sungai Bakap, Perai, Batu Kawan, Kepala Batas dan Bayan Baru selain beberapa pasukan bomba sukarela berhampiran.

    Difahamkan, punca kejadian dan jumlah kerugian yang dialami pemilik kilang masih dalam siasatan dan setakat ini dilaporkan tidak ada kecederaan atau kemalangan jiwa ekoran kejadian itu.

  • Jumlah mangsa banjir 33,779 orang, semakin berkurangan

    Jumlah mangsa banjir 33,779 orang, semakin berkurangan

    JUMLAH mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor, Pahang, Kelantan dan Negeri Sembilan menunjukkan penurunan manakala jumlah mangsa di Melaka kekal, petang ini.

    Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 33,779 orang masih berada di 210 PPS di lima negeri.

    Di SELANGOR, 15,404 mangsa ditempatkan di 83 PPS setakat petang ini berbanding 16,568 orang mangsa di 86 PPS tengah hari tadi.

    Pihak Pengurusan Bencana Daerah Klang memaklumkan Pusat Kawalan Tindakan Kejadian (PTPK) di Taman Sri Muda akan diisytiharkan tutup pada 12 tengah malam ini.

    Pengurusan itu memberitahu menurut laporan dari Komander PKTK Taman Sri Muda, operasi menyelamat dan tugasan pengagihan bantuan telah selesai serta tumpuan kini diberikan untuk kerja-kerja pembersihan.

    Menurutnya, sebarang bantuan, pertanyaan atau aduan boleh disalurkan terus ke Bilik Operasi Bencana di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

    Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam negeri Ng Sze Han dalam kenyataan berkata 12 Stesen Pemindahan Sementara sampah pukal dibuka setakat ini bagi mempercepatkan urusan pembersihan sampah pascabanjir.

    Semua 12 stesen itu melibatkan empat pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Sepang dan Majlis Bandaraya Subang Jaya.

    Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri merekodkan 17,738 mangsa banjir masih berada di 125 PPS di enam daerah iaitu Kuantan, Pekan, Bera, Maran, Temerloh dan Bentong setakat 4 petang.

    Beberapa jalan yang ditutup sebelum ini di daerah Temerloh telah dibuka, bagaimanapun laluan di Pekan antaranya Jalan Teluk Ganchong Lepar, Pelak-Belimbing, selain Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, Jalan Serengkam di Maran selain Jalan Batu Bor dan Jalan Charuk Puting-Guai di Bera masih ditutup.

    Laman web publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan hanya satu sungai di Maran berada di paras bahaya dengan trend menurun iaitu Sungai Pahang di Lubuk Paku.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) Saiful Zaini Mohd Bokhari dalam kenyataan memaklumkan beberapa kawasan di negeri ini dijangka akan mengalami keadaan tekanan air rendah berikutan penggunaan air terlalu tinggi secara serentak bagi tujuan pembersihan rumah atau premis akibat banjir selain kejadian tanah runtuh di beberapa kawasan telah menyebabkan jajaran paip terputus serta pecah.

    Selain itu, beliau berkata hampir kesemua Loji Rawatan Air (LRA) telah beroperasi sepenuhnya bagi membekalkan air kepada pengguna dan masih dalam proses pemulihan, namun ia memerlukan masa dan akan pulih secara berperingkat.

    Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir terus mencatatkan penurunan setakat 6 petang kepada 470 orang daripada 153 keluarga di dua PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh dan SK Gual Periok di jajahan Pasir Mas.

    Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan Sungai Golok dan Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas berada pada paras waspada.

    Di NEGERI SEMBILAN, 141 mangsa ditempatkan di tiga PPS, sementara di MELAKA, jumlah mangsa banjir di Jasin kekal 26 orang daripada lapan keluarga setakat 4 petang, menurut Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra. – BERNAMA

  • Projek EKVE punca banjir lumpur Hulu Langat – PM

    Projek EKVE punca banjir lumpur Hulu Langat – PM

    PROJEK pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) dipercayai antara punca banjir lumpur di sekitar Taman Sri Nanding di Hulu Langat, baru-baru ini.

    Memetik laporan FMT, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hasil pemantauan mendapati pembinaan lebuh raya itu menyebabkan longkang tertutup dan mengganggu sistem saliran air.

    “Banjir ini bukan saja disebabkan oleh air hujan, tapi (tinjauan) di Taman Sri Nanding tadi (mendapati) kerana projek EKVE.

    “Longkang tertutup dan sebagainya, menyebabkan banjir lebih cepat berlaku,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program gotong-royong pembersihan kawasan terjejas banjir di Taman Sri Nanding dan Kampung Dusun Tua hari ini.

    Hulu Langat merupakan antara kawasan terjejas teruk akibat banjir yang melanda negara, minggu lalu.

    Setakat ini, polis mengesahkan seramai 47 mangsa terkorban akibat banjir di seluruh negara dan lima masih hilang.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Selangor kekal dengan 25 mangsa manakala Pahang seramai 19 mangsa dan di Kelantan tiga mangsa.

  • Kereta terbabas, kanak-kanak empat tahun meninggal dunia

    Kereta terbabas, kanak-kanak empat tahun meninggal dunia


    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG kanak-kanak lelaki meninggal dunia manakala adiknya pula cedera parah apabila kereta dipandu bapa mereka terbabas, lalu terjatuh ke dalam sungai di Jalan Sungai Korok dekat Jitra, Kubang Pasu, hari ini.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan, kanak-kanak tersebut, Haraz Safiy Haniz, 4, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di zon merah, Hospital Jitra.

    Katanya, adik kepada Haraz, Syafin Haadif Haniz, 2, kini masih mendapatkan rawatan di zon dan hospital sama.

    “Polis menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 11.29 pagi. Berdasarkan siasatan awal, kereta dinaiki empat sekeluarga itu dalam perjalanan dari arah Pekan Jitra menuju ke Air Hitam.

    “Sampai di lokasi kejadian, kereta dipandu bapa mangsa, Haniz Mohamad, 35, terbabas ke kanan lalu melanggar papan tanda di bahu jalan. Selepas itu kereta tersebut terjatuh ke dalam sungai,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Katanya, akibat kejadian itu, Haniz mengalami kecederaan ringan manakala isterinya pula, Nurul Syahira Zamri luka di dahi.

    “Selepas kemalangan itu berlaku, pemandu kenderaan tersebut berjaya mengeluarkan kesemua mangsa. Mereka kemudiannya dihantar ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan namun Haraz Safiy disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan,” katanya.

    Tambahnya jenazah kanak-kanak tersebut telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi tujuan bedah siasat.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

  • Banjir: Jumlah mangsa menurun di 3 negeri, Melaka kekal

    Banjir: Jumlah mangsa menurun di 3 negeri, Melaka kekal

    SEBANYAK 35,521 orang daripada 10,479 keluarga masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri pada sebelah tengah hari ini berbanding 37,295 orang daripada 10,944 keluarga pada sebelah pagi tadi.

    Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa banjir itu ditempatkan di 223 PPS di Kelantan, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka.

    Jumlah mangsa banjir di KELANTAN terus mencatatkan penurunan setakat 12 tengah hari ini, apabila seramai 633 orang daripada 203 keluarga berbanding pagi tadi 681 orang daripada 218 keluarga, melibatkan empat pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka kesemuanya di jajahan Pasir Mas.

    Empat PPS tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, SK Gual Periok, SK Kubang Kual dan PPS Putat Tujoh.

    Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya namun dua sungai mencatatkan paras waspada iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas.

    Di SELANGOR, aplikasi InfoBencana JKM memaklumkan seramai 16,568 orang mangsa ditempatkan di 86 PPS setakat tengah hari ini menurun sedikit daripada 16,579 mangsa di jumlah PPS yang sama pagi tadi.

    Laporan Harian Status Pemulihan Infrastruktur Selangor Pasca Banjir hari ini memaklumkan, setakat jam 8 malam tadi sebanyak 177 kawasan telah surut manakala sembilan kawasan masih digenangi air (banjir termenung), sementara kesemua lapan empangan di Selangor berada dalam keadaan terkawal.

    Selain itu laporan itu turut menyebut 108 menara telekomunikasi masih dalam peringkat baik pulih dengan kawasan yang paling banyak terjejas daerah Klang, Petaling dan Sepang dengan melibatkan menara telekomunikasi yang terkesan mengikut syarikat telco adalah U Mobile (30); DIGI ; (31); Maxis (21); Celcom (15) dan YTL (11).

    Di PAHANG, aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan jumlah mangsa banjir tengah hari ini seramai 18,619 yang masih berada di 132 PPS berbanding 19,839 orang di 137 PPS pagi tadi.

    Daerah yang masih terjejas banjir ialah Bentong, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan. Laman web publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan hanya dua sungai di Maran berada di paras bahaya dengan trend penurunan, iaitu Sungai Pahang di Lubuk Paku dan Sungai Kundang.

    Jumlah mangsa banjir di MELAKA pula masih kekal 26 orang daripada lapan keluarga setakat tengah hari ini.

    Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata hanya pusat penempatan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Penghulu Benteng di Jasin dibuka bagi menempatkan mangsa.

    “Kesemua mangsa kini berada di PPS tersebut manakala di Alor Gajah, semua PPS telah ditutup,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – BERNAMA

  • Kelantan, Terengganu diramal banjir mulai 30 Dis

    Kelantan, Terengganu diramal banjir mulai 30 Dis

    MODEL ramalan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan kemungkinan berlaku banjir di beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu bermula 30 hingga 31 Dis ini. 

    JPS dalam kenyataan malam tadi memaklumkan, kemungkinan tersebut dikeluarkan susulan Ramalan Cuaca Signifikan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi tarikh 25 Dis hingga akhir tahun ini. 

    Menurut kenyataan itu, risiko banjir diramal di Kelantan antara pukul 8 malam (30 Dis) dan 8 pagi keesokan harinya melibatkan jajahan Gua Musang dan Kuala Krai serta kawasan sekitarnya berikutan jangkaan kenaikan aras air melepasi aras bahaya di Sungai Galas di Limau Kasturi dan Dabong serta Sungai Kelantan di Kuala Krai.

    Pada tempoh sama, ramalan risiko berkenaan turut melibatkan daerah Dungun dan kawasan sekitarnya di Terengganu ekoran aras air di Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja juga dijangka naik melepasi aras bahaya. 

    Justeru, JPS mengingatkan orang awam untuk sentiasa berwaspada dan peka dengan amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa. – BERNAMA

  • 200 Skuad Keluarga Malaysia terlibat operasi pascabencana Sepang, Klang

    200 Skuad Keluarga Malaysia terlibat operasi pascabencana Sepang, Klang

    KIRA-KIRA 200 sukarelawan Skuad Keluarga Malaysia terlibat dalam operasi pascabencana di pusat pemindahan sementara (PPS) sekitar Sepang dan Klang, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

    Bercakap selepas menyertai operasi tersebut, Rina berkata, kesemua sukarelawan terbabit telah ditugaskan di lima PPS di dua daerah itu iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Salak, Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Labu Lanjut, Dewan MPKK Kampung Gincing, Sekolah Rendah Agama Pulau Indah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Indah.

    “Selain membersihkan PPS sekolah yang telah ditutup, Skuad Keluarga Malaysia juga membantu penduduk membersihkan kediaman masing-masing di sekitar Sepang,” katanya.

    Skuad Keluarga Malaysia dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Oktober lepas bagi menyelaras semua mekanisme penyampaian bantuan untuk rakyat yang memerlukan di seluruh negara.

    Sehingga kini, skuad yang diterajui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mendapat penyertaan daripada lebih 17,000 sukarelawan di seluruh negara.

    Rina berkata, bagi melancarkan kerja-kerja pembersihan pascabanjir, pihaknya telah menggerakkan 3,000 sukarelawan daripada skuad terbabit ke seluruh negara khususnya di lokasi yang teruk dilanda bencana itu.

    Katanya, operasi berkonsep ‘keseluruhan masyarakat’ (whole of society) dan ‘keseluruhan kerajaan’ (whole of government) itu bertujuan memastikan sumbangan tenaga kerja disalurkan bagi mempercepatkan kerja-kerja pembersihan PPS.

    Sementara itu, Guru Besar SK Salak Ishak Noh berkata beliau berbesar hati apabila sekolah tersebut dijadikan PPS yang menempatkan kira-kira 50 keluarga mangsa banjir selama enam hari bermula 18 Dis lepas.

    Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Rina dan Skuad Keluarga Malaysia yang membantu pihaknya membersihkan setiap kelas di sekolah terbabit memandangkan pelajar akan memulakan sesi persekolahan tidak lama lagi. – BERNAMA

  • Banjir: 47 mangsa maut, 5 lagi masih hilang

    Banjir: 47 mangsa maut, 5 lagi masih hilang

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seramai 47 orang menjadi mangsa korban banjir seluruh negara sehingga kini dan lima lagi masih hilang.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Selangor kekal dengan 25 mangsa manakala Pahang seramai 19 mangsa dan di Kelantan tiga mangsa.

    “Mangsa di Selangor melibatkan 17 lelaki dan lapan wanita dan di Pahang melibatkan 13 lelaki dan empat wanita serta dua kanak-kanak lelaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu, di Kelantan melibatkan dua lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan. – BERNAMA

  • Banjir: Rebat 100% one-off bil elektrik Disember

    Banjir: Rebat 100% one-off bil elektrik Disember

    REBAT 100 peratus secara sekali beri atau one-off bagi bil elektrik bulan Disember diberikan kepada pengguna domestik bagi meringankan beban mangsa banjir, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata, sebanyak 72,000 pelanggan domestik terjejas akan menerima manfaat daripada rebat yang akan diberi Tenaga Nasional Berhad (TNB).

    “Ini tidak melibatkan kilang, ia untuk rumah-rumah. Ini lanjutan kepada bantuan yang diberikan, jadi bil elektrik Disember diberikan rebat.

    “…Saya juga telah minta TNB untuk membantu kediaman milik B40 yang terjejas akibat banjir apabila bekalan elektrik disambung semula,” katanya.

    Beliau berkata sejak Jumaat lepas, syarikat utiliti itu telah melaksanakan kerja pemeriksaan pendawaian percuma di rumah terjejas banjir di Selangor, Pahang dan Kuala Lumpur.

    Selain itu, Ismail Sabri berkata, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) akan menyediakan servis menunda kenderaan secara percuma bagi kenderaan Perodua berdasarkan insurans kenderaan itu.

    Beliau berkata, bayaran upah buruh untuk membaiki dan servis kenderaan yang dihantar ke pusat servis Perodua adalah percuma dan bayaran alat ganti pula diberikan diskaun 50 peratus.

    “Saya difahamkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan berunding lagi dengan syarikat-syarikat kereta yang lain seperti Proton (Proton Holdings Bhd) dan sebagainya.

    “Saya harap syarikat-syarikat lain boleh mengikut apa yang dilakukan oleh Perodua dan kalau lebih baik daripada itu pun kami mengalu-alukan,” katanya pada sidang media selepas meninjau kerja-kerja pembersihan pascabanjir di Taman Sri Nanding dan Kampung Dusun Tua, di Hulu Langat, hari ini.

    Beliau turut memaklumkan kerajaan bakal menambah peruntukan bagi membaiki kerosakan kediaman dan infrastruktur akibat banjir sebagai tambahan kepada peruntukan awal RM100 juta.

    Ditanya mengenai cadangan permohonan Bantuan Wang Ihsan dibuat secara dalam talian, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan dalam Pasukan Petugas Khas dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali yang akan mengadakan mesyuarat pertama esok.

    Sementara itu, Ismail Sabri berkata, 332 anggota tentera dikerah ke Maran, Raub, Temerloh, Jerantut dan Kuala Lipis untuk membantu proses pembersihan pascabanjir manakala 213 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut digerakkan bagi tujuan sama. 

    Sebelum ini, kerajaan bersetuju memberi Bantuan Wang Ihsan kepada semua mangsa banjir sebanyak RM1,000, sumbangan RM10,000 kepada waris mangsa banjir yang meninggal dunia selain layak memohon pembiayaan Kewangan Peribadi tanpa faedah sehingga RM5,000 oleh Bank Simpanan Nasional (BSN).

    Selain itu, TEKUN Nasional telah mengkhususkan dana berjumlah RM30 juta untuk Pinjaman Pemulihan Banjir bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang terjejas akibat bencana banjir dan bagi pinjaman sehingga RM10,000, tiada kadar faedah dikenakan dan moratorium bayaran balik diberikan untuk 12 bulan.

    Terdahulu, Ismail Sabri membuat tinjauan kawasan terjejas banjir di sekitar Hulu Langat dan meninjau beberapa lokasi melihat proses gotong-royong pembersihan kawasan Taman Sri Nanding dan Kampung Dusun Tua oleh sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pasukan keselamatan terlibat.

    Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang. – BERNAMA