Category: Kemalangan / Bencana

  • Banjir kilat Pekan Kajang, Taman West Country

    Banjir kilat Pekan Kajang, Taman West Country

    PARAS air Sungai Langat di Pekan Kajang dan Taman West Country, Hulu Langat kini berada pada paras bahaya dan semakin menaik.

    Peringatan itu dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) petang tadi.

    “Dinasihatkan agar penduduk sentiasa waspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa,” kata JPS.

    Rakaman video dan gambar situasi banjir kilat di sekitar Pekan Kajang juga tular dalam media sosial.

  • Sedia jadikan stesen pengangkutan awam sebagai PPS-Ka Siong

    Sedia jadikan stesen pengangkutan awam sebagai PPS-Ka Siong

    KEMENTERIAN Pengangkutan sedia menjadikan stesen pengangkutan awam sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) kepada mangsa banjir.

    Menterinya, Datuk Seri Ir. Wee Ka Siong berkata, pihaknya sudah mengarahkan semua agensi di kementerian supaya memantau dan memaklumkan situasi semasa dengan segera.

    Jelas beliau, pihaknya sudah membuat persediaan kemungkinan berlakunya banjir gelombang kedua.

    “Kita perlu sentiasa bersiap-siaga untuk memberikan perlindungan dan sebarang bantuan pada masa diperlukan.

    “(sebagai contoh) Apabila dalam keadaan terdesak, kalau rakyat tiada tempat nak pergi, terpaksa lari ke stesen (perkhidmatan pengangkutan awam), jadi itulah tempat mangsa banjir berteduh.

    “Itulah tempat yang kita sudi menerima mereka. Kita akan membuat atau mengatur untuk menjadikan stesen pengangkutan awam sebagai PPS, ini antara contohnya,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengumumkan pengenalan pas perjalanan My50, di Stesen LRT Gombak, Gombak, hari ini.

    Ka Siong sudah berbincang dengan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak pagi tadi supaya bersiap-siaga.

    “Kita sedar gelombang kedua banjir mungkin berlaku pada bila-bila masa.

    “Jadi kita kena buat persediaan awal termasuk agensi seperti Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Laut.

    “Mangsa banjir juga tidak perlu tergesa-gesa untuk membuat penggantian dokumen yang rosak. Saya tak bagi mereka satu ‘deadline’ (tempoh akhir) untuk buat (penggantian dokumen).

    “Kemaskan rumah dahulu kemudian barulah uruskan penggantian dokumen seperti lesen memandu atau lesen kenderaan,” katanya.

    Beliau berkata, lazimnya apabila banjir orang akan mencari tempat paling tinggi.

    Katanya, struktur bangunan stesen LRT biasanya dibina tinggi dan mangsa akan cari tempat itu yang tidak ditenggelami air banjir.

    “Jadi secara praktikal mereka akan ke sana. Pada mulanya mereka berada di luar premis, apabila pihak Ketua Operasi Stesen mendapati ada mangsa banjir minta tolong, kita bantu hinggakan bilik gerakan kita iaitu bilik digunakan secara khusus dalam stesen LRT juga kita buka untuk menempatkan mangsa banjir.

    “Itu yang kita lakukan kepada 54 mangsa banjir pada 18 Disember dan 19 Disember lalu di Stesen LRT Putra Height,” katanya.

    Apabila keadaan sudah tenang katanya, mangsa banjir boleh kembali ke tempat masing-masing.

    “Sepanjang waktu mangsa banjir berada di tempat kita, kita sediakan makanan serta memberikan perkhidmatan sebaik mungkin termasuk menyediakan paramedik serta pertolongan cemas,” katanya.

    Sementara itu ditanya jumlah kerugian selepas banjir baru-baru ini yang turut membabitkan perkhidmatan pengangkutan awam, katanya, perkara itu masih belum ada perinciannya.

  • Pemandu lori, ‘runner’ Puspakom maut dirempuh treler

    Pemandu lori, ‘runner’ Puspakom maut dirempuh treler

    SEORANG pemandu lori dan seorang ‘runner’ Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) maut selepas dirempuh sebuah treler di Kilometer 241.6 Lebuhraya Utara-Selatan, menghala utara di Rembau tengah malam tadi.

    Pemandu lori, Saifuddin Abdullah, 50, ‘runner’ tersebut, R. Morgana Krishnan, 49, yang berada di lorong kecemasan ketika itu maut akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

    Dalam kejadian pukul 12.30 malam itu, Saifuddin sedang memberhentikan lorinya di lorong kecemasan kerana kehabisan minyak, manakala Morgana datang membawa botol minyak.

    Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, kemalangan membabitkan tiga jenis kenderaan iaitu sebuah lori, treler dan motosikal.

    “Siasatan awal mendapati pemandu lori (Saifuddin) sedang berhenti akibat kehabisan minyak di lorong kecemasan dan dibantu oleh Morgana yang datang menaiki motosikal membawa botol minyak.

    “Kemudian datang sebuah treler dari arah Ayer Keroh, Melaka menghala ke Senawang merempuh kedua-dua mangsa yang berdiri di sebelah kanan lori berkenaan. Ia menyebabkan kedua-dua mangsa melambung dan jatuh di atas lorong kecemasan,” katanya hari ini.

    Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, seterusnya dibawa ke unit forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat.

    “Bagaimanapun pemandu treler berkenaan meninggalkan lokasi selepas kemalangan. Usaha untuk mengesan pemandunya sedang dijalankan.

    “Siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” jelas beliau.

  • Tindakan spontan Ajak Shiro bantu mangsa banjir menyentuh hati

    Tindakan spontan Ajak Shiro bantu mangsa banjir menyentuh hati

    BENCANA banjir yang menimpa di beberapa kawasan Malaysia telah membuatkan ramai selebriti sanggup turun padang membantu dan memberi bantuan kepada mangsa-mangsa yang terjejas teruk.

    Namun, tindakan seorang pelawak dan pelakon terkenal, Mohd. Hanaffi Razak atau lebih dikenali sebagai Ajak Shiro yang sempat membantu seorang lelaki dan anaknya meredah banjir telah menarik perhatian orang ramai.

    Menerusi video berdurasi 59 saat yang dikongsikan oleh @Arezizoul di Tiktok, dapat dilihat Ajak yang memberhentikan keretanya di tengah-tengah banjir selepas ternampak lelaki itu serta anaknya meredah banjir menaiki motosikal. 

    Difahamkan, kes itu berlaku di Bentong, Pahang dan ketika itu, paras air ketika itu mencecah  pinggang sekaligus menyukarkan nereka untuk meredah banjir.

    Ajak bertindak untuk membawa kedua-duanya menaiki kenderaan pacuan empat roda miliknya dan motosikal berkenaan  diletakkan di bahagian belakang kenderaan. 

    Sebelum ini, Ajak juga sempat menumpangkan mangsa yang sedang berjalan kaki meredah banjir termasuk seorang kanak-kanak dan ibu mengandung.

    Tindakan spontan Ajak itu telah mendapat reaksi positif orang ramai malah ada yang sebak melihat tindakan itu.

    “Ya Allah saya kalau tengok orang menolong terasa nak nangis,” kata Nadya Medina.

    “Terbaik brader Ajak Shiro semoga dipermudahkan urusan dan dimurahkan rezeki buat bro sekeluarga dan sahabat-sahabat yang tolong,” kata Rfy285.

    “Alhamdulillah…Ajak ko pun terbaik sama-sama menyumbangkan bantuan,” kata Malek Tupai. 

  • 632 keluarga pegawai, anggota polis Selangor terjejas banjir

    632 keluarga pegawai, anggota polis Selangor terjejas banjir

    SEBANYAK 632 keluarga pegawai dan anggota polis di Selangor terjejas dan menjadi mangsa banjir yang melanda negeri itu minggu lalu, kata Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Ramli Din.

    Beliau berkata, daripada jumlah itu kawasan pentadbiran polis di Klang Utara, Shah Alam dan Kajang antara yang paling banyak terjejas termasuk Balai Polis Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam.

    “Boleh dikatakan semua daerah di Selangor (pegawai dan anggota menjadi mangsa banjir), sebab warga PDRM ini mereka tinggal merata tempat. Ada yang menyewa dan ada yang membeli rumah sendiri,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Penyampaian Bantuan kepada Mangsa Banjir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, hari ini.

    Ramli berkata, kesemua pegawai dan anggota polis negeri ini yang terkesan, akan dibantu menerusi penyaluran bantuan beras daripada program tersebut seberat 15 tan daripada empat syarikat dan seorang individu.

    Beliau berkata, Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) turut memberi sumbangan pakaian baharu kepada mangsa banjir.

    Mengulas laporan akhbar mengenai kehadiran pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau ‘ah long’ yang mula menawarkan pinjaman kepada mangsa banjir di sekitar kawasan bencana di negeri ini, beliau percaya Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed telah mengambil tindakan dalam hal terbabit.

    Ramli berkata pihaknya juga akan menggunakan semua sumber dan bantuan dari segi nasihat serta keselamatan dalam membanteras sindiket itu.–Bernama

  • Banjir: 48 maut, 5 hilang, lebih 25,000 mangsa di PPS

    Banjir: 48 maut, 5 hilang, lebih 25,000 mangsa di PPS

    SERAMAI 48 orang menjadi mangsa korban banjir di seluruh negara setakat ini, manakala lima masih hilang, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

    Beliau berkata, Selangor kekal dengan 25 mangsa manakala di Pahang seramai 20, dan Kelantan tiga mangsa.

    “Mangsa di Selangor melibatkan 17 lelaki dan lapan wanita manakala di Pahang melibatkan 14 lelaki dan empat wanita serta dua kanak-kanak lelaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu mangsa di Kelantan melibatkan dua lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.

    Sementara itu, jumlah mangsa banjir terus mencatatkan penurunan dengan 25,307 mangsa daripada 7,662 keluarga dilapor masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lima negeri tengah hari ini.

    Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa ditempatkan di 169 PPS di Kelantan, Selangor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan.

    Pagi tadi jumlah mangsa banjir adalah 28,005 orang daripada 8,598 keluarga masih berada di 183 PPS di lima negeri berkenaan.

    Di SELANGOR, aplikasi itu memaklumkan jumlah mangsa banjir di negeri itu terus menurun kepada 8,821 mangsa daripada 2,543 keluarga di 56 pusat pemindahan sementara (PPS) tengah hari ini daripada 11,864 mangsa di 61 pusat pemindahan sementara (PPS) pagi tadi.

    Bagaimanapun, Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam kini berada pada paras bahaya apabila mencatat ketinggian 2.36 meter setakat 11.30 pagi dengan trend menaik.

    Dalam pada itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi Twitter rasminya memaklumkan sebarang bantuan dan kecemasan segera akibat banjir di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu boleh menghubungi 03-55105811 yang dibuka 24 jam.

    Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir adalah 311 orang daripada 104 keluarga setakat 12 tengah hari ini, berbanding 378 orang daripada 127 keluarga pagi tadi, melibatkan dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh dan SK Gual Periok di jajahan Pasir Mas.

    Di PAHANG, jumlah mangsa banjir tidak menunjukkan perubahan ketara tengah hari ini, aplikasi Info Bencana JKM melaporkan 16,303 orang masih berada di 114 PPS di enam daerah.

    Pagi tadi, seramai 16,579 mangsa dari Bentong, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan dilaporkan berada di PPS.

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri pula melaporkan sembilan jalan di Pahang ditutup di beberapa lokasi antaranya Jalan Kuala Lumpur-Maran di Maran, Jalan Temerloh-Jerantut (Temerloh), Jalan Sungai Lembing (Kuantan) dan Jalan Kuantan-Segamat (Pekan).

    Di NEGERI SEMBILAN, berdasarkan data disiarkan di aplikasi Info Bencana JKM jumlah mangsa banjir menurun kepada 83 orang daripada 26 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS berbanding 128 individu daripada 37 keluarga dilaporkan pagi tadi.

    Di MELAKA, jumlah mangsa banjir di Melaka kekal 26 orang daripada lapan keluarga setakat tengah hari ini.

    Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata hanya PPS Sekolah Kebangsaan Penghulu Benteng di Jasin dibuka bagi menempatkan semua mangsa. – BERNAMA

  • Lelaki maut tercampak sebelum dihempap kenderaan sendiri

    Lelaki maut tercampak sebelum dihempap kenderaan sendiri

    SEORANG Lelaki maut selepas kenderaan dipandunya terbabas di Jalan Kampung Malampoi, Batu 48, berhampiran Ladang Sawit Felcra, Nabawan, Keningau, pukul 7.30 pagi tadi.

    Mangsa, Putera Azzalie Sulayul, 25, yang memandu Proton Wira Aeroback, dilaporkan tercampak keluar sebelum dihempap kenderaannya sendiri.

    Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.39 pagi.

    “Susulan laporan itu, sepasukan lima anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dikerah ke lokasi kejadian.

    “Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan operasi mendapati mangsa tersepit di bahagian luar kenderaannya dan operasi mengeluarkan mangsa dijalankan.

    “Sebaik berjaya dikeluarkan, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan selanjutnya.

    Katanya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.28 pagi.

  • Penghuni apartmen di Taman Duta diarah kosongkan kediaman

    Penghuni apartmen di Taman Duta diarah kosongkan kediaman

    PENDUDUK sebuah apartmen di Taman Duta, di ibu negara diarahkan berpindah akibat berlaku tanah runtuh di kawasan berhampiran berikutan hujan lebat di Lembah Klang, Sabtu lalu.

    Memetik laporan FMT, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dipetik sebagai berkata, penduduk di Apartmen Sri Duta 1 diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing selepas berlaku tanah runtuh pada bahagian bawah beberapa blok apartmen di situ.

    “Ikram (Institut Kerja Raya Malaysia) sedang meneliti perkara itu dan akan berbincang dengan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan pengurusan pangsapuri (berhubung jalan penyelesaian).

    “DBKL kemudian akan memaklumkan kepada saya mengenai laporan itu (daripada IKRAM),” katanya.

    Shahidan memaklumkan laporan IKRAM berhubung kejadian itu dijangka siap hari ini.

    Sementara itu, memetik laporan The Star, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim dilaporkan sebagai berkata pihak kontraktor sedang melaksanakan kerja mengukuhkan asas tanah di bangunan yang terkesan.

    “Kerja-kerja pemantauan sedang dilakukan oleh DBKL setiap hari bagi mengukur pergerakan air dan tanah.

    “Sehingga kini, tiada pergerakan tanah dikesan,” katanya yang turut memaklumkan DBKL memindahkan 34 keluarga minggu lalu selepas kerana kawasan itu dianggap tidak selamat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). 

  • Dua beradik maut kemalangan ketika pulang kenduri kahwin

    Dua beradik maut kemalangan ketika pulang kenduri kahwin

    DUA beradik maut selepas pulang daripada menghadiri kenduri kahwin apabila kereta dinaiki mereka terlibat kemalangan berhampiran simpang Manik Urai, Kuala Krai, Kelantan, petang semalam.

    Free Malaysia Today melaporkan, jenazah dua beradik itu masih lengkap berpakaian baju Melayu serta bersampin tersepit dalam kereta susulan nahas yang berlaku ketika mereka dipercayai dalam perjalanan pulang ke Damansara, Selangor.

    Mangsa yang maut ialah Wan Abdul Azim Wan Zamani, 25, beralamat di Bandar Sri Damansara manakala identiti seorang lagi belum dikenal pasti.

    Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Suzaimi Mohammad berkata, berdasarkan keterangan awal saksi, kejadian itu dipercayai berlaku pada pukul 4.30 petang apabila kereta jenis Proton Saga dipandu seorang mangsa terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung lori.

    Beliau berkata, dua beradik itu baru pulang daripada menghadiri kenduri kahwin di Kelantan sebelum bergerak pulang ke Selangor.

    Sementara itu, jurucakap Bomba dan Penyelamat Kuala Krai berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dan bergegas ke lokasi untuk kerja menyelamat mangsa.

    Katanya, tujuh anggota bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah jentera pemadam tiba di lokasi dan mendapati dua mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan.

    “Bomba berjaya mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan ‘resq combination spreader dan cutter’. Mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • Banjir: Lebih 28,000 mangsa masih di PPS

    Banjir: Lebih 28,000 mangsa masih di PPS

    SEBANYAK 28,005 mangsa banjir daripada 8,598 keluarga masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lima negeri pagi ini berbanding 33,193 mangsa malam tadi.

    Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mereka ditempatkan di 183 PPS di Kelantan, Selangor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan. 

    Di SELANGOR, aplikasi itu menunjukkan jumlah mangsa banjir di negeri itu terus menurun kepada 11,864 mangsa daripada 3,521 keluarga yang ditempatkan di 61 PPS pagi ini, berbanding 15,354 mangsa di 81 PPS malam tadi.

    Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor turut menasihati masyarakat supaya tidak membakar sisa buangan banjir mereka.

    Pengarahnya Norazam Khamis berkata ia susulan semalam pihaknya telah mendapat panggilan untuk memadam kebakaran melibatkan sampah dan perabot rosak pada 5.50 petang dan setakat ini dua kes direkodkan berlaku sekitar Kapar, Klang.

    Di PAHANG, 16,579 mangsa banjir masih berada di 119 pusat pemindahan sementara pagi ini berbanding 17,211 orang malam tadi. 

    Daerah yang masih terjejas ialah Bentong, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan. 

    Jabatan Meteorologi pula meramalkan hujan di sesetengah kawasan  di Kuantan dan Pekan pagi ini, manakala di daerah lain cuaca baik. 

    Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir mencatatkan penurunan dengan 378 orang daripada 127 keluarga setakat 7 pagi ini berbanding 470 orang daripada 153 keluarga semalam, melibatkan dua PPS yang dibuka di Jajahan Pasir Mas.

    Dua PPS tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh dan SK Gual Periok.

    Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya, dan hanya satu sungai berada pada paras waspada iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas.

    Di MELAKA, jumlah mangsa banjir kekal 26 orang daripada lapan keluarga setakat pukul 8 pagi ini. 

    Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata hanya PPS Sekolah Kebangsaan Penghulu Benteng di Jasin dibuka bagi menempatkan mangsa.

    Di NEGERI SEMBILAN,Pengarah APM negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di negeri itu menunjukkan penurunan kepada 128 individu daripada 37 keluarga berbanding semalam 132 mangsa daripada 38 keluarga.

    Katanya tiga PPS masih dibuka di Jelebu setakat pagi ini – Bernama