Category: Kemalangan / Bencana

  • Dua warga emas duduk 10 jam atas bumbung dengan kucing, ular sawa

    Dua warga emas duduk 10 jam atas bumbung dengan kucing, ular sawa

    DUA beradik warga emas berdepan detik cemas apabila terpaksa duduk atas bumbung rumah bersama-sama empat ekor kucing dan seekor ular sawa selama 10 jam kerana terperangkap selepas kediaman mereka di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat banjir pada 18 Disember lalu.

    Asiah Osman, 63, pada mulanya menyangkakan hujan pada pagi hari itu sama seperti sebelum ini dan air akan naik hingga ke paras jalan di depan rumah sebelum surut kembali.

    “Namun menjelang pukul 5 petang, hujan masih tidak berhenti dan air di sungai yang jaraknya hanya 15 meter dari rumah sudah mula naik pada pukul 7 malam.

    “Anak angkat saya berjaya membawa kereta dan motosikal ke tempat yang lebih tinggi, apabila dia berpatah balik mendapati air deras serta parasnya sudah semakin naik.

    “Dia kemudian telah hanyut dibawa arus deras, namun berjaya menyelamatkan diri selepas memanjat dan berpaut di sebatang pokok langsat,” katanya,” katanya ketika ditemui dalam operasi pasca banjir Pasukan Gerakan Am di Kampung Sungai Lui, hari ini.

    Kemudian Asiah bersama-sama adiknya berusia 62 tahun pula memanjat bumbung rumah dengan membawa bersama empat ekor kucing peliharaan.

    “Saya terperanjat apabila melihat seekor ular sawa ada di atas bumbung,” katanya.

    Wanita itu berkata, ular itu kemudian beredar apabila air mulai surut pada pukul 5 pagi.

    “Penduduk di sekitar kawasan ini tidak dapat membantu kami sekeluarga kerana air sungai deras. Pada masa itu, saya hanya ingat Allah SWT, menangis pun tidak berguna,” katanya.

    Bekas kakitangan Bank Negara itu menjelaskan, dia sudah mendiami rumah tersebut sejak 40 tahun lalu, namun kejadian banjir itu adalah pertama kali berlaku di kawasan tersebut.

    Kata Asiah, pada masa akan datang dia akan menyelamatkan dirinya lebih awal jika hujan lebat tanpa henti dalam tempoh dua jam.

    “Saya trauma dengan kejadian banjir ini, saya akan menyelamatkan diri lebih awal jika bencana ini berulang lagi,” katanya.

  • Pekerja tapak pembinaan maut dihempap tiang besi kren

    Pekerja tapak pembinaan maut dihempap tiang besi kren

    SEORANG lelaki warga asing maut selepas dihempap tiang besi kren di tapak pembinaan di Jalan Kuchai Maju, Kuala Lumpur, hari ini.

    Pekerja tapak pembinaan berusia 42 tahun itu meninggal dunia akibat parah pada kepala dan badan dalam kejadian pada pukul 11 pagi.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, siasatan awal mendapati tiang besi itu sudah diturunkan ke bawah, namun menjadi tidak stabil lalu menghempap mangsa.

    “Balai Polis Sri Petaling memulakan siasatan insiden tiang besi kren terjatuh dan meragut nyawa seorang pekerja tapak pembinaan berkenaan.

    “Polis memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara telus tanpa sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam kemalangan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Orang ramai yang ada maklumat berkaitan boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields menerusi talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2115 9999) atau mana-mana balai polis berdekatan.

  • Lelaki tinggal MyVi sebelum jatuh Jambatan Pulau Pinang

    Lelaki tinggal MyVi sebelum jatuh Jambatan Pulau Pinang

    SEORANG lelaki berusia 58 tahun maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 4.0 dekat Perai hari ini.

    Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada orang awam pukul 11.46 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai dan Jalan Perak bergegas ke lokasi kejadian.

    Lelaki berkenaan turut meninggalkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi di atas jambatan

    Katanya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian didapati mangsa turut meninggalkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi di atas jambatan.

    Tambah beliau, komander operasi kemudiannya menerima maklumat pada pukul 12.11 tengah hari melaporkan mangsa telah ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh nelayan.

    “Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Marin untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan pukul 12.26 tengah hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

  • Banjir: Dua hingga tiga juta buku rosak

    Banjir: Dua hingga tiga juta buku rosak

    KIRA-kira dua hingga tiga juta buku rosak selepas ditenggelami air di gudang Big Bad Wolf dan kedai buku BookXcess @Wolf House di Seksyen 33, Taman Alam Indah di Shah Alam akibat banjir teruk melanda Selangor pertengahan bulan ini.

    Pengasas bersama BookXcess dan Big Bad Wolf Books Andrew Yap berkata jumlah kerugian masih dalam proses penilaian kerana ia akan mengambil sedikit masa untuk dipastikan.

    “Namun, berdasarkan penilaian awal, jutaan buku sudah pasti rosak, musnah dan tidak dapat diselamatkan begitu juga beberapa peralatan gudang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Yap berkata kerja-kerja pembersihan gudang Big Bad Wolf Books dan pembuangan buku-buku yang rosak sedang dilaksanakan.

    Selain kedai buku BookXcess di Wolf House, beliau berkata kesemua 14 kedai buku BookXcess di seluruh negara, BookXcess Online dan BookXcess dan Big Bad Wolf Books di platform Shopee masih beroperasi seperti biasa dan menerima tempahan.

    “Hanya Wolf House, terletak di Seksyen 33, Taman Alam Indan di Shah Alam ditutup sementara kerana memerlukan pengubahsuaian sepenuhnya akibat kerosakan teruk.

    “Walaupun kami kehilangan dua hingga tiga juta buku, kami berhasrat untuk menderma buku kepada masyarakat sekitar yang terjejas teruk akibat banjir dan berharap dapat bekerjasama dengan mereka berada di sekitar gudang kami dan kami mengalu-alukan orang untuk sertai usaha altruistik kami,” katanya.

    — BERNAMA

  • Mangsa banjir perlu bantuan kewangan, dapur, tong gas

    Mangsa banjir perlu bantuan kewangan, dapur, tong gas

    MANGSA banjir yang terjejas di Hulu Langat memerlukan bantuan kewangan, peralatan dapur dan tong gas.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya difahamkan mangsa banjir telah terima banyak bantuan asas yang lain.

    Justeru beliau menyarankan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghulurkan bantuan tersebut bagi meringankan beban mangsa banjir.

    Selain itu katanya, pihaknya menjangkakan proses operasi pasca banjir di kawasan berkenaan mengambil masa kira-kira sebulan.

    “Saya difahamkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menjangkakan kerja pembersihan di kawasan yang dilanda banjir selesai dalam tempoh dua minggu,” katanya ketika sidang akhbar di Pusat Kawalan Operasi Banjir, Hulu Langat, hari ini.

    Mohd Zaid berkata, seramai 18 pegawai dan 382 anggota dari Pasukan Gerakan Am, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Bukit Aman dan Pasukan Polis Marin membantu dalam operasi pasca banjir.

    “Selain itu, kita turut menerima bantuan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA, Serdang, Ampang Jaya dan Petaling Jaya,” katanya.

    Setakat ini katanya, hanya empat pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih aktif.

    “Kita turut meletakkan anggota polis di empat PPS itu sebagai kawalan keselamatan serta mengambil laporan daripada mangsa banjir secara manual.

    “Seramai 5,729 mangsa banjir dicatatkan di kawasan ini. Setakat ini, kita telah menerima sebanyak 3,920 laporan daripada mangsa banjir,” katanya.

    Pihaknya turut menyediakan balai polis bergerak yang ditempatkan di Dewan Sungai Lui, Hulu Langat.

    “Kita juga ada pasukan ronda cegah jenayah untuk mengelak kejadian jenayah seperti pecah rumah, kedai atau curi kenderaan,” katanya.

    Menurut Mohd. Zaid, pihaknya turut berhadapan dengan cabaran untuk mengawal aliran trafik yang sesak di kawasan Hulu Langat.

    “Ia kerana terlalu banyak NGO yang masuk ke kawasan ini untuk menyalurkan bantuan. Kita tidak menghalang mereka menyalurkannya bantuan,” katanya.

    Mohd Zaid. turut menyarankan orang ramai atau NGO melalui Sungai Lalang, Semenyih untuk masuk ke kawasan Hulu Langat bagi memudahkan mereka memberi bantuan kepada mangsa banjir.

  • Bantuan mangsa banjir Selangor diperluas ke bidang lain

    Bantuan mangsa banjir Selangor diperluas ke bidang lain

    KERAJAAN Negeri Selangor akan memperluaskan bantuan banjir kepada mereka yang terjejas akibat bencana itu yang turut meliputi pertanian, perniagaan dan persekolahan.

    Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, berkata bantuan tersebut akan diperluaskan dari semasa ke semasa dengan tumpuan sekarang diberikan kepada pembersihan dan pengagihan bantuan sokongan asas.

    “(Bantuan) akan diumum dari semasa ke semasa sebab sekarang ni kita nak selesaikan mangsa banjir di rumah dan yang telah meninggal dunia.

    “Lepas ni baru kita tengok tanah pertanian, sekolah dan perniagaan. Saya tahu petani pun banyak berdepan dengan masalah kebun dan ladang mereka yang terkesan, kedai dan perkilangan juga ada yang terkesan.

    “Memang kita nak bantu semua tapi kita lihat pada kemampuan dan keupayaan kita,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi Jambatan Dengkil, hari ini, yang runtuh dalam kejadian banjir baru-baru ini.

    Mengenai bantuan wang ihsan bencana, beliau berkata kerajaan negeri menganggarkan lebih 30,000 keluarga yang terlibat dengan banjir akan mendapat bantuan itu.

    Beliau berkata bantuan itu akan mula diagihkan esok kepada 9,000 keluarga yang tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS).

    “Saya mula nak agih esok yang ada di PPS, yang dah balik kita akan cuba panggil dan dalam masa yang sama kita akan kenal pasti pula yang tidak berpindah ke PPS.

    “Di Sepang sahaja kita ada 9,000 keluarga yang tidak berpindah, jadi so far ada 18,000 keluarga. Angkanya saya rasa mencecah lebih 30,000 keluarga kerana di daerah lain, kita tak sempat nak kenal pasti mangsa yang terlibat,” katanya.

    Pada 21 Dis lepas, Amirudin mengumumkan bantuan wang ihsan bencana kepada semua penduduk yang terkesan akibat banjir di negeri itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia akibat banjir serta bantuan RM1,000 setiap keluarga yang terkesan bencana banjir.

    Antara bantuan lain yang turut diumum adalah bantuan kesihatan, pengecualian bil air selama sebulan, penangguhan pinjaman kepada usahawan Hijrah Selangor serta pungutan sisa pepejal.

    Mengenai Jambatan Dengkil, Amirudin berkata jambatan berkenaan dijangka siap dibaiki sepenuhnya dan dibuka untuk laluan kenderaan pada akhir Januari depan.

    Beliau berkata pada masa ini kerja-kerja pembaikan jambatan yang menghubungkan Dengkil ke Banting itu sudah mencapai kemajuan 30 peratus.

    “Pihak Jurutera Daerah menjangkakan tarikh paling awal adalah pada 20 Jan depan, kita akan lengkapkan dan (jambatan) dibuka semula dua atau tiga hari kemudian selepas mendapat taraf selamat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi jambatan itu hari ini.

    Jambatan tersebut runtuh pada 17 Disember lalu akibat hakisan dan kejadian banjir pada keesokan harinya memburukkan keadaan. – Bernama

  • Guna pam sedut air banjir ‘termenung’ di Pahang

    Guna pam sedut air banjir ‘termenung’ di Pahang

    JABATAN Pengairan dan Saliran (JPS) menggunakan lebih 10 unit pam untuk menyedut air yang bertakung susulan kejadian banjir di Pahang.

    Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang, Ir. Mohd. Noor Bidin berkata, pam terpaksa digunakan bagi mengatasi banjir ‘termenung’ yang berlaku di beberapa kawasan di Kuanta, Pekan dan Temerloh.

    Keadaan tersebut katanya, menimbulkan masalah pada penduduk setempat dan sudah digunakan sejak seminggu lalu.

    “Penggunaan pam dianggap berkesan bagi mengeringkan air yang tidak mengalir keluar di empat kampung di Kuantan dan masing-masing satu di Pekan dan Temerloh.

    “Bahagian Perkhidmatan Mekanikal dan Elektrikal (BPME) JPS kini sedang bertungkus lumus menyediakan pam untuk menyedut air di kawasan air ‘termenung’, sekiranya tidak disedut ia menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk setempat,” katanya.

    Pihaknya mendapat bantuan tambahan pam daripada JPS Malaysia (BPME) ibu pejabat bagi menampung keperluan semasa.

    Mohd. Noor berkata, jumlah penggunaan pam bergantung kepada keluasan kawasan air yang bertakung, sebagai contoh di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Pandan, Kuantan sebanyak empat unit pam digunakan.

    “Kita sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan gelombang ke dua banjir, semua kakitangan diarahkan bersedia untuk bertugas sekiranya diperlukan.

    “Penduduk dinasihatkan supaya menghubungi pihak JPS sekiranya terdapat air ‘termenung’ di kawasan penempatan mereka,” katanya.

  • Struktur kondominium Sri Duta di KL disahkan berisiko alami tanah runtuh lebih kritikal – DBKL

    Struktur kondominium Sri Duta di KL disahkan berisiko alami tanah runtuh lebih kritikal – DBKL

    STRUKTUR bangunan Kondominium Sri Duta 1, Taman Duta kini disahkan berisiko amat tinggi terjadinya runtuhan tanah yang lebih kritikal.

    Penilaian dan dapatan itu telah disahkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) serta perunding yang dilantik pemaju lepas mengadakan kajian pada Isnin.

    Dalam kenyataan yang diedarkan pada Selasa, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, dapatan itu dibuat berikutan terdapat tanda-tanda berlakunya pergerakan tanah yang memberi kesan kepada struktur bangunan.

    “Antara tanda berlakunya pergerakan tanah adalah column (tiang) dengan dinding yang telah terpisah, surface tension crack (rekahan permukaan akibat ketegangan) di beberapa permukaan tanah serta keretakan di bawah lantai.

    “Tanda-tanda ini menunjukan keadaan di kawasan itu adalah tidak selamat dan akan menimbulkan risiko kepada penghuni Kondominium Sri Duta 1 serta penghuni yang berada di tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) itu,” kata kenyataan tersebut.

    KEADAAN runtuhan tebing yang berlaku Kondominium Sri Duta 1, Taman Duta, semalam.

    DBKL berkata, terdapat empat blok yang terkesan, membabitkan 34 unit kediaman dan penghuni telah dinasihatkan untuk berpindah atas faktor keselamatan.

    “Pihak badan pengurusan bersama telah mengosongkan unit-unit penduduk yang terkesan sebagai tindakan awalan bagi menghalang hakisan yang berterusan dan boleh menyebabkan pergerakan kepada pilecap.

    “Kerja-kerja pemulihan cerun dan bangunan dalam kawasan pemaju akan dilakukan dengan kadar segera dan akan disemak oleh DBKL dan Ikram,” katanya.

    Menurutnya pada masa sama Ikram juga sedang memantau pergerakan tanah dan bangunan secara dekat.

    Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim telah mengarahkan penduduk di Apartmen Sri Duta 1 mengosongkan kediaman masing-masing selepas berlaku tanah runtuh pada bahagian bawah beberapa blok apartmen di situ.

    Terdahulu, pada 18 Disember lepas, media melaporkan berlaku tanah runtuh di kawasan berhampiran kondominium Sri Duta 1 berikutan hujan lebat berterusan di Lembah Klang. 

  • Banjir: Jumlah mangsa di Selangor turun, empat negeri kekal

    Banjir: Jumlah mangsa di Selangor turun, empat negeri kekal

    JUMLAH mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor terus berkurangan pagi ini manakala di empat negeri iaitu Pahang, Melaka, Kelantan dan Negeri Sembilan tidak berubah sejak malam tadi.

    Menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pagi ini, jumlah keseluruhan mangsa di kelima-lima negeri ialah 20,026 orang daripada 6,136 keluarga di 130 PPS  berbanding 21,544 orang  daripada 6,563 keluarga malam tadi.

    Di SELANGOR, aplikasi InfoBencana JKM menunjukkan jumlah mangsa banjir menurun kepada 7,751 orang di 39 PPS pagi ini berbanding 8,644 orang di 45 pusat PPS malam tadi.

    Laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my pula memaklumkan Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat berada pada tahap waspada dengan paras 3.66 meter pada 7.15 pagi tadi dan dalam trend menurun.

    Sementara itu, Polis Selangor memaklumkan terdapat enam laluan masih dinaiki air, rosak dan ditutup untuk kenderaan melibatkan seliaan lima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri itu.

    Setakat 4 pagi tadi, jalan yang ditutup ialah Jambatan FT 31 Dengkil-Banting (IPD Sepang), Jalan Genting Peras-Kuala Klawang (IPD Kajang) dan Jalan BRP 7/2 Bukit Rahman Putra yang ditutup susulan berlubang akibat banjir (IPD Sungai Buloh).

    Turut ditutup, jambatan menghala ke Lapang Sasar, Subang susulan rosak serta Jalan PJU 7, hadapan MRT, Mutiara Damansara (IPD Petaling Jaya) manakala Jalan Kuala Kubu Bharu-Bukit Fraser menghala ke Peretak dibuka untuk kenderaan ringan sahaja (IPD Hulu Selangor).

    Di PAHANG, aplikasi InfoBencana JKM memaklumkan 12,692 orang kekal berada di 90 PPS di enam daerah iaitu Bentong, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan, sejak malam tadi.

    Laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan Sungai Kundang di Maran mencatatkan paras 21.17 meter pagi ini iaitu melebihi tahap amaran pada paras 21 meter.

    Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca mendung di Kuantan dan Pekan pada pagi ini manakala cuaca baik di daerah lain terjejas banjir. 

    Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir kekal 152 orang daripada 46 keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh dan SK Gual Periok, di Pasir Mas, setakat 7 pagi tadi.

    Laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya.

    Jumlah mangsa banjir di MELAKA pula, pada 8 pagi tadi kekal seramai 26 orang daripada lapan keluarga sejak malam tadi.

    Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata hanya PPS SK Penghulu Benteng di Jasin dibuka bagi menempatkan semua mangsa.

    Jumlah mangsa banjir turut tidak berubah di NEGERI SEMBILAN apabila Pengarah APM negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor memaklumkan 58 orang daripada 19 keluarga masih berada di dua PPS di Jelebu sejak malam tadi hingga pagi ini. – BERNAMA

  • Kepala air, bukan EKVE punca banjir Hulu Langat – MB Selangor

    Kepala air, bukan EKVE punca banjir Hulu Langat – MB Selangor

    MENTERI Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata banjir di Hulu Langat berpunca daripada kepala air yang turun dari kawasan pergunungan sekitar.

    Amirudin berkata, kepala air itu turut membawa longgokan sampah dan kayu-kayan sehingga ke kawasan Batu 14, Sungai Lui dan sekitarnya.

    Beliau juga memaklumkan, tidak menerima maklumat bahawa pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) dipercayai antara faktor menyebabkan banjir di kawasan Hulu Langat seperti yang dilaporkan media semalam.

    “Yang pastinya daripada maklumat awal yang saya perolehi, saya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu (EKVE menjadi punca banjir). Daripada taklimat awal yang diperolehi saya, ia berpunca daripada kepala air yang jatuh dari kawasan pergunungan sekitar,” katanya pada sidang media khas berhubung perkembangan banjir di Selangor, hari ini.

    Dalam perkembangan sama, Amirudin mengakui kerja-kerja pembinaan sebatang tiang untuk sebuah projek lebuh raya di kawasan Kampung Asahan, Kuala Selangor, dekat sini telah memutuskan sebuah ban di kampung itu lalu menyebabkan air melimpah.

    “Saya sendiri datang ke Kuala Selangor dan kita dapati ada satu tiang untuk membina sebuah lebuh raya telah memotong satu ban di Kampung Asahan.

    Sebab itu air melimpah di Kampung Asahan dan sejak semalam banyak air sudah berjaya dikeluarkan daripada kawasan itu. Insya-Allah akan berlaku penyurutan air yang signifikan,” katanya. – BERNAMA