Category: Kemalangan / Bencana

  • Tiada makan besar buat mangsa ribut,puting beliung di Ipoh

    Tiada makan besar buat mangsa ribut,puting beliung di Ipoh

    MASYARAKAT Tionghoa semestinya mengadakan jamuan makan besar sempena perayaan Tahun Baharu Cina hari ini namun bagi mangsa ribut dan puting beliung di beberapa kawasan di Ipoh, tiada acara itu buat mereka tahun ini.

    Tradisi yang kaya dengan nilai simboliknya itu terpaksa dilupakan mereka memandangkan rumah masing-masing rosak teruk malah ada bumbung diterbangkan angin kuat dalam kejadian kira-kira 6 petang semalam.

    Lebih menyedihkan apabila ada antara mereka terpaksa berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Tawas di Ipoh manakala sebahagiannya menumpang di rumah saudara-mara.

    Ten Chee Kin, 45, yang bekerja di Kuala Lumpur berkata beliau pulang ke rumahnya di Kampung Tawas untuk menyambut perayaan itu namun kini tiada semangat untuk meraikannya.

    “Bumbung sudah habis rosak dan banyak perlu dibaiki, jadi saya tidak mahu sambut Tahun Baharu Cina atau makan besar tetapi hanya mahu melihat rumah sahaja,” katanya yang ditemui di PPS berkenaan hari ini.

    Lee Cheng Man, 23, pula berkata beliau dan ibunya, Cheah Kim, 58, berteduh di sebuah gereja berhampiran sementara menunggu rumah mereka yang sudah didiami selama 20 tahun selesai dibaik pulih.

    “Tiada makan besar hari ini malah semua perancangan sempena Tahun Baharu Cina telah musnah kerana sepatutnya rumah ini menjadi tempat berkumpul bersama saudara-mara seperti biasa sebelum ini.

    “Yang penting, nyawa saya dan ibu selamat kerana ketika kejadian satu bumbung pun sudah tiada dan papan rumah juga musnah,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Tawas di sini hari ini.

    Pelajar Universiti Malaysia Perlis itu berkata pelbagai peralatan termasuk komputer miliknya turut rosak namun dia reda dengan kejadian itu yang disifatkan sebagai malang tidak berbau kerana berlaku secara tiba-tiba.

    Sebanyak 219 rumah di beberapa kawasan iaitu Taman Desa Seri Chepor, Kampung Tawas, Taman Tasek Damai dan Kampung Seri Klebang Tambahan Jaya di sini didapati terkesan dengan kejadian ribut dan puting beliung itu.

    Selain kerosakan rumah penduduk dan tiang elektrik, kejadian turut menyebakan beberapa pokok tumbang namun tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

    Kejadian menyebabkan penduduk Kampung Tawas yang kebanyakannya terdiri daripada masyarakat Tionghoa menzahirkan rasa sedih kerana akan menyambut tahun baharu esok.

    — BERNAMA

  • ‘Saya sempat dengar isteri sebut Allahuakbar sebelum dirempuh’

    ‘Saya sempat dengar isteri sebut Allahuakbar sebelum dirempuh’

    “Saya hanya sempat mendengar arwah isteri menyebut Allahuakhbar sebelum kami dirempuh kenderaan itu,” demikian diceritakan Mohd Nazri Hamid, 44, mengenai kejadian kemalangan yang meragut nyawa isteri serta tiga anaknya di Kilometer 2 Jalan Lebu-Mempaga, Bentong, Pahang petang semalam. 

    Kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang dinaiki mereka sekeluarga dirempuh sebuah pacuan empat roda Nissan Navara yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah dan kejadian itu menyebabkan guru Bahasa Inggeris Sekolah Kebangsaan (SK) Aring, Gua Musang, Raihan Mohamad, 43, serta tiga anaknya iaitu Ahda Dalili Mohd Nazri, 14, Ahmad Muaz, 7, dan Ahda Imtinan, 4, maut.

    Mohd Nazri, yang juga seorang guru di sekolah sama berkata ketika kejadian, mereka sekeluarga dalam perjalanan dari rumah di kuarters kediaman guru di sekolah itu pada pukul 10 pagi menuju ke Kuala Lumpur untuk menghadiri kenduri anak saudara kepada Allahyarham isterinya di Kajang yang akan berlangsung pada hari ini.

    Menurutnya, perjalanan itu turut diiringi abang iparnya yang menaiki kereta jenis Mitsubishi Pajero bersama dua anaknya lagi Ahda Fasihah, 11, dan Ahmad Awaz, 12, yang terselamat dalam kejadian itu. 

    “Ketika tiba berhampiran lencongan di Sungai Koyan, ada sebuah treler terbalik sekali gus membuatkan perjalanan tergendala sekitar 30 minit. Selepas itu, saya meneruskan perjalanan untuk ke Karak-Kuala Lumpur dan ketika itulah kenderaan yang dipandu saya dirempuh oleh sebuah pacuan empat roda Nissan Navara yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah.

    “Kejadian itu menyebabkan isteri dan tiga anak kami tercampak keluar dari kenderaan…saya tidak sempat berbuat apa-apa dan tidak nampak kehadiran kenderaan itu di hadapan kereta kami,” ujarnya sebak ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Mukim Panchor, Pengkalan Chepa, hari ini.

    Jenazah empat beranak yang maut dalam kejadian itu dikebumikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan tersebut pada 9.50 pagi tadi. 

    Terdahulu, jenazah tiba dengan van jenazah pada 8.30 pagi dan disembahyangkan di Masjid As-Siddiqin, Panchor di sini yang diimamkan oleh suami mangsa. – Bernama

  • 4 sekeluarga maut Vellfire dirempuh Navara langgar lampu merah

    4 sekeluarga maut Vellfire dirempuh Navara langgar lampu merah

    KEGEMBIRAAN lima beranak untuk menghadiri kenduri kahwin berakhir tragedi selepas empat daripada mereka maut apabila kenderaan dinaiki dirempuh sebuah pacuan empat roda yang dipercayai melanggar lampu merah di Kilometer 2 Jalan Lebu-Mempaga, Bentong hari ini.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata, kejadian pada 3.10 petang itu menyebabkan semua mangsa yang menaiki Toyota Vellfire maut di tempat kejadian.

    Mereka ialah suri rumah, Raihan Mohamad, 43, yang duduk di bahagian penumpang hadapan dan tiga anaknya, Ahda Dalili Mohd Nazri, 14; Ahmad Muaz, tujuh tahun; dan Ahda Imtinan, empat tahun manakala suami Raihan, Mohd Nazri Hamid, 43, seorang guru cedera di tangan kiri.

    “Mereka dipercayai dalam perjalanan dari rumah di Kuarters Guru Felda Aring 1 di Gua Musang, Kelantan menuju ke Kuala Lumpur dan apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan mangsa dipercayai telah membelok masuk ke simpang kanan selepas lampu isyarat bertukar hijau.

    “Bagaimanapun, sebuah kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah tiba-tiba datang dari arah hadapan lalu merempuh kenderaan mangsa, menyebabkan Toyota Vellfire itu berpusing dan melanggar besi pembahagi jalan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Kamarulzaman berkata, impak kemalangan menyebabkan kenderaan mangsa remuk teruk di bahagian hadapan dan sebelah kiri manakala pacuan empat roda itu rosak di bahagian hadapan.

    Pemandu Nissan Navara yang berusia 43 tahun dari Karak, Bentong pula cedera di kepala dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di Temerloh untuk rawatan.

    Ujian awal saringan air kencingnya di Hospital Bentong mendapati dia positif dadah.

    Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat selepas keputusan ujian saringan COVID-19 diperolehi dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • 13 buah rumah terjejas akibat ribut di Shah Alam

    13 buah rumah terjejas akibat ribut di Shah Alam

    TIGA belas rumah penduduk di Lorong Bunga Raya 3, Jalan Kampung Bunga, Seksyen 22 di Shah Alam adalah antara yang terjejas susulan hujan lebat dan ribut di beberapa kawasan di Shah Alam petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata pihaknya menerima laporan berhubung  kejadian ribut pada 5.15 petang yang mengakibatkan bumbung rumah penduduk tercabut dan diterbangkan angin.

    Beliau berkata lapan kenderaan dan enam lot parkir sebuah pasar raya di Seksyen 13 turut dilaporkan rosak.

    “Satu lagi laporan diterima daripada orang awam sekitar 6.50 petang membabitkan kepingan bumbung di tingkat dua sebuah universiti swasta di Seksyen 13 di sini terjatuh akibat angin kencang.

    “Namun tiada kecederaan dan kemalangan jiwa bagi ketiga-tiga laporan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini. 

    — BERNAMA

  • Tiga maut, dua cedera dalam nahas dua kereta

    Tiga maut, dua cedera dalam nahas dua kereta

    TIGA lelaki maut dan dua lagi cedera selepas terlibat kemalangan membabitkan di Desa Bidara Jalan Muadzam-Gambang, Kuantan, hari ini.

    Kemalangan melibatkan kereta BMW dan Proton jenis Iswara itu dilaporkan menerusi Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 pada pukul 4.28 pagi.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, seramai enam pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah ke lokasi kejadian dengan kekuatan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT).

    “Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, pihak kita mendapati terdapat tiga lelaki dewasa yang menaiki kereta Proton Iswara telah tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat pelanggaran itu.

    “Dua lagi lelaki yang menaiki kereta BMW pula mengalami cedera ringan dan mereka diberi rawatan awal oleh pihak hospital,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Ismail menjelaskan, ketiga-tiga mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dengan menggunakan peralatan Resque Power Unit.

  • Tanah mendap Serdang: MBSJ pasang cerucuk besi

    Tanah mendap Serdang: MBSJ pasang cerucuk besi

    MAJLIS Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) sejak malam tadi mula memasang cerucuk besi di tebing longkang besar berhampiran lokasi kejadian tanah mendap di Jalan LP 1A/2, Serdang, semalam.

    Pegawai Daerah Petaling, Datuk Johary Anuar berkata, pemasangan cerucuk besi oleh kontraktor yang dilantik MBSJ itu, adalah sebagai langkah keselamatan berikutan hasil pemantauan Jabatan Kejuruteraan MBSJ masih berlaku pergerakan tanah di lokasi berkenaaan.

    “Pihak kontraktor datang melihat dan membuat prosedur memasang kepingan cerucuk besi di kawasan tanah mendap sebagai tembok penahan, selain turut memasangnya di kawasan berdekatan bagi mengelak berlaku lagi runtuhan,” katanya kepada pemberita di sini.

    Johary berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama MBSJ bagi memutuskan langkah penyelesaian jangka masa panjang berhubung kejadian tanah mendap itu.

    “Ini merupakan kejadian kedua melibatkan tanah mendap di kawasan sama dan kami memandang serius perkara ini dengan mengenal pasti punca sebenar,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A A. Anbalagan berkata, 26 pemilik premis peniagaan di kawasan berhampiran diarah menghentikan sementara perniagaan sebagai langkah keselamatan.

    “Beberapa penduduk yang menetap di bahagian atas premis berkenaan juga dilihat mula berpindah sejak semalam,” katanya.

    Tinjauan Bernama mendapati beberapa anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan pemantauan, selain polis turut memperluaskan pemasangan tali kuning bagi mengelakkan orang awam menghampiri kawasan berkenaan.

    Dalam kejadian pada pukul 6.38 petang semalam, dilaporkan lima kenderaan yang diletakkan di Jalan LP 1A/2 Lestari Perdana, Serdang, mengalami kerosakan akibat mendapan tanah di kawasan itu. – BERNAMA

  • Tular lori tanah rempuh enam kenderaan

    Tular lori tanah rempuh enam kenderaan

    SEBUAH lori yang mengalami masalah brek merempuh enam buah kenderaan berhampiran Kondominium Pantai Hill Park, Jalan Kerinchi, Kuala Lumpur petang semalam.

    Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik(JSPT) Kuala Lumpur Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, pihaknya menjalankan siasatan selepas menerima video tular berkaitan kejadian pukul 4.20 petang.

    Kejadian tersebut dirakam penduduk berhampiran sebelum tular dalam Facebook sejak semalam.

    “Siasatan mendapati kemalangan kira-kira jam 1.30 petang itu berlaku semasa sebuah lori yang membawa muatan tanah dari arah tapak pembinaan berhampiran Kondominium Pantai Hill Park.

    “Ketika melalui Jalan Kerinchi berhampiran lampu isyarat pejalan kaki, sistem brek lori berkenaan dipercayai gagal berfungsi lalu melanggar kenderan yang sedang dipakir di bahu kiri jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, pelanggaran itu mengakibatkan kenderaan terbabit menggelongsor serta melanggar kenderaan lain.

    “Siasatan turut mendapati lori tersebut juga telah melanggar tiga kenderaan lain yang sedang berhenti di lampu isyarat.

    “Bagaimanapun, semua pemandu kenderaan terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

    Menurutnya, pemandu lori berusia 49 tahun itu ditahan selepas kejadian dan menjalani ujian pernafasan alkohol (EBA).

    “Hasil dari ujian mendapati pemandu tidak berada di bawah pengaruh alkohol dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk ujian saringan air kencing dan keputusannya negatif,” katanya.

    Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999.

    “Selain itu, orang ramai turut boleh menghubungi Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai polis berhampiran,” katanya.

  • Tercampak 14 meter, suami isteri maut nahas jalan raya

    Tercampak 14 meter, suami isteri maut nahas jalan raya

    SEPASANG suami isteri terbunuh dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di jalan Inderasabah, Tawau, semalam.

    Semasa kejadian pukul 1.30 petang, Al Sebal Warid, 29, dan isterinya Nurul Aidil Fitri Nordin, 29, menaiki motosikal dari Inderasabah menuju ke Taman Sawit.

    Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas berkata, sementara kenderaan Isuzu Jeep dipandu lelaki berumur 29 tahun yang bekerja sebagai nelayan, sedang dalam perjalanan dari Taman Sawit ke Inderasabah.

    “Tiba di lokasi kejadian, Isuzu Jeep berkenaan cuba memotong dua buah kenderaan dihadapannya sebelum bertembung dengan motosikal yang dinaiki mangsa.

    “Isuzu Jeep tersebut cuba mengelak ke bahu jalan, namun kerana jarak yang terlalu dekat, motosikal yang dipandu mangsa terlanggar hadapan kiri kenderaan tersebut.

    “Akibat nahas itu, pembonceng motosikal tercampak lebih kurang 14 meter dari bahu jalan dan maut di lokasi kejadian,” katanya.

    Sementara penunggang motosikal dikejarkan ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal di Wad Kecemasan Hospital Tawau ketika menerima rawatan.

    Bagaimanapun, pemandu Isuzu Jeep bersama seorang lagi penumpang kenderaan tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Pemandu Isuzu Jeep kini ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Tular banjir lagi di Taman Sri Muda

    Tular banjir lagi di Taman Sri Muda

    TIDAK sampai sebulan beberapa kawasan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam sekali lagi dinaiki air susulan hujan lebat 3 petang tadi.

    Difahamkan limpahan air berlaku berikutan longkang yang tersumbat sehingga menyebabkan air hujan tidak dapat mengalir dengan lancar.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam mendapati limpahan air berlaku berdekatan kolam kumbahan berhampiran sebuah pangsapuri.

    “Jalan berkenaan masih boleh dilalui kenderaan dan air melimpah berkemungkinan akibat longkang yang tersumbat.

    “Tinjauan juga mendapati air sudah mula surut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Terdahulu satu rakaman tular dalam Twitter menunjukkan kenaikan air di sebuah jalan di kawasan Taman Sri Muda bagaimanapun ia masih boleh dilalui kenderaan.

    Pada Disember tahun lalu, kawasan Taman Sri Muda antara yang terkesan teruk akibat banjir yang menyebabkan ribuan penduduk terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

    Banjir yang tidak dijangka itu dikatakan berpunca daripada hujan lebat luar biasa.

  • Lelaki terbakar, ibu dan anak kecil maut kemalangan 2 kereta

    Lelaki terbakar, ibu dan anak kecil maut kemalangan 2 kereta

    TIGA individu maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Kuantan-Maran berhampiran pusingan U Batu 3 Tanah Putih, di Kuantan malam tadi.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata kemalangan pada kira-kira 11.30 malam itu mengakibatkan pemandu kereta jenis Proton Iswara, Adzarul Fadzlie Ahmad Roki, 33, meninggal dunia akibat terbakar di seluruh badan.

    Beliau berkata turut maut adalah penumpang hadapan kereta jenis Proton Saga, Azura Iskandar Mohamad, 32, dan anak perempuannya, Nur Izara Al Aishah Mohd Fairus, 5, akibat kecederaan di kepala.

    “Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kamarulzaman berkata suami Azura, Mohd Fairus Md Yusof, 40, dan tiga lagi anak mereka iaitu Mohamad Al Hafiz Ikram,11, Nurul Al Aziana Ashikin, 10, dan Mohamad Al Alif Ikmal, 9, yang cedera di kepala, kaki dan tangan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk rawatan.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati Adzarul Fadzlie yang merupakan pekerja kilang, hilang kawalan ke atas keretanya yang sedang dipandu dari arah Gambang menghala Kuantan lalu bergesel dengan Proton Saga dipandu Mohd Fairus yang berada di sebelah kiri jalan.

    Katanya, akibat pelanggaran itu, kedua-dua kenderaan tersebut terbabas ke bahu kiri jalan lalu menyebabkan Proton Iswara itu remuk dan terbakar.

    Beliau berkata, kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya diminta tampil membantu siasatan.

    Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang Ismail Abdul Ghani dalam kenyataan berkata 16 anggota dan pegawai daripada Balai Bomba Indera Mahkota, Taman Tas dan Kuantan digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 11.34 malam.

    Katanya, mayat wanita yang tersepit telah dikeluarkan dengan menggunakan Hydraulic Power Unit dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala kereta tersebut mengalami kebakaran 100 peratus. – BERNAMA