Category: Kemalangan / Bencana

  • Lelaki maut tertimbus lantai bilik runtuh

    Lelaki maut tertimbus lantai bilik runtuh

    SEORANG lelaki ditemukan meninggal dunia di bawah runtuhan lantai bilik tidurnya di Kuching, petang semalam.

    Kejadian menimpa lelaki berkenaan yang berusia 58 tahun dipercayai sudah berlaku beberapa hari lalu.

    Insiden tersebut disedari abang mangsa setelah beberapa hari gagal menghubunginya sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

    Pihak polis kemudian menghubungi Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak pada pukul 2.56 petang untuk meminta bantuan.

    Menurut jurucakap bomba, seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dikejarkan ke lokasi di Star Garden.

    “Sebaik tiba di tempat kejadian, didapati lantai bilik tidur yang terletak di tingkat satu telah runtuh dan terdapat seorang lelaki berumur 58 tahun berada di bawah runtuhan berkenaan.

    “Pihak bomba membongkar timbunan peralatan dalam runtuhan tersebut dan berjaya menemui mangsa yang dipercayai sudah meninggal dunia beberapa hari lepas.

    “Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut setelah operasi selesai pukul 4.28 petang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

  • 2 parah, 15 cedera kemalangan babitkan treler rempuh bas pekerja

    2 parah, 15 cedera kemalangan babitkan treler rempuh bas pekerja

    SEORANG pemandu bas kilang dan pemandu treler cedera parah dalam kejadian kemalangan membabitkan sebuah treler yang merempuh sebuah bas kilang di Jalan Perusahaan Perai, Pulau Pinang pukul 7.21 malam tadi.

    Menurut Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perai, Mohd. Fakharurazi Md. Rejab, kejadian itu berlaku ketika treler tanpa muatan yang dalam perjalanan menghala ke utara terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

    Akibat kejadian itu katanya, treler terbabit  merempuh sebuah bas kilang yang membawa kira-kira 21 pekerja kilang lelaki di laluan bertentangan.

    Jelasnya, turut cedera dalam nahas itu ialah 15 penumpang bas tersebut yang dipercayai dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.

    “Sebaik sahaja menerima panggilan mengenai kejadian itu, pasukan bomba terus bergegas ke tempat kejadian dan mendapati berlakunya kalangan antara sebuah bas dan treler.

    “Ketika tiba di lokasi kejadian juga, mangsa telah keluar daripada bas yang terbalik,” katanya malam ini.

    Menurut beliau, pihaknya mendapati kedua-dua pemandu berada dalam keadaan tersepit dan operasi menyelamat dilakukan menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa.

    Akibat kemalangan itu juga, keadaan lalu-lintas di kawasan terbabit sesak teruk berikutan pihak berkuasa terpaksa menutup jalan buat sementara waktu sehingga kerja-kerja mengalihkan kedua-dua kenderaan itu selesai.

  • Lelaki kurang siuman maut digilis lori

    Lelaki kurang siuman maut digilis lori

    SEORANG lelaki kurang siuman meninggal dunia digilis lori berdekatan lampu isyarat pekan Pantai Remis, Manjung hari ini.

    Dalam kejadian 9.45 pagi itu, mangsa Mohd. Fadil Kamarudin, 45, sebelum itu dikatakan tergelincir dari batu penghadang dan terjatuh di atas jalan raya sebelum digilis lori.

    Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, mangsa terjatuh di atas jalan utama kemudian digilis tayar pada bahagian belakang kenderaan berat yang dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun.

    “Kemalangan menyebabkan mangsa yang dipercayai kurang siuman itu cedera di kepala dan maut di tempat kejadian,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Remaja perempuan maut terjatuh dari tingkat 10

    Remaja perempuan maut terjatuh dari tingkat 10

    SEORANG remaja wanita maut selepas terjatuh dari tingkat 10 sebuah flat di Persiaran Tun Teja 3, Taman Tun Teja di Rawang, hari ini.

    Insiden melibatkan remaja perempuan berusia 14 tahun itu laporkan pada pukul 3.17 petang.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dikerahkan ke lokasi kejadian.

    “Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah berada di lokasi kejadian sebelum bomba tiba.

    “Sejurus tiba, anggota bomba menemui mayat seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan sudah meninggal dunia,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

  • Bomba tumpang orang awam ke lokasi kemalangan maut

    Bomba tumpang orang awam ke lokasi kemalangan maut

    BIASANYA orang awam akan meminta bantuan pihak bomba, namun lain pula dengan apa yang berlaku di Luasung Jalan Imbak Canyon, Kalabakan, Tawau, semalam.

    Sepasukan anggota bomba terpaksa menumpang kenderaan orang awam sejauh 50 kilometer selepas jentera mereka tidak dapat melepasi laluan berlumpur.

    Ketika itu, mereka dalam perjalanan ke operasi mengeluarkan mangsa tersepit akibat kemalangan dalam kejadian di jalan berkenaan.

    Mangsa kemalangan, Jamaludin Raga, 50, disahkan meninggal dunia di lokasi dipercayai akibat kecederaan parah selepas tersepit di bahagian hadapan lori 10 tan.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 4.05 petang.

    “Seramai sembilan anggota bersama tiga jentera serta lapan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kalabakan bergegas ke lokasi sejauh 84 kilometer.

    “Kemalangan dilaporkan melibatkan sebuah lori 10 tan yang terbabas sendiri dan terbalik di bahu jalan serta terdapat seorang mangsa yang tersepit.

    “Jentera bomba mengalami kesukaran untuk tiba ke lokasi kerana keadaan jalan yang berlumpur dan sempit. Sementara menunggu bantuan kenderaan pacuan empat roda bomba tiba, anggota terpaksa mengambil inisiatif menumpang kenderaan pacuan empat roda orang awam,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Julius turut dimaklumkan bahawa tiada liputan Rangkaian Trunk Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) dan rangkaian telefon bimbit di lokasi kejadian.

    “Pasukan bomba bersama PBS Kalabakan dapat mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas tetapi disahkan meninggal dunia sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • Pemuda maut langgar lori roti

    Pemuda maut langgar lori roti

    SEORANG pemandu kenderaan pacuan empat roda maut apabila terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan roti di Kilometer (KM) 312.2 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara di Tapah malam tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam, mangsa, Shaik Shafiq Shaik Abdul Halim, 31 maut di tempat kejadian akibat parah.

    Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian membabitkan dua kenderaan iaitu Toyota Hilux dan sebuah lori muatan roti.

    “Hasil siasatan awal mendapati ketika kejadian, lori yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 53 tahun dalam perjalanan menuju ke utara.

    “Tiba di tempat kejadian, dipercayai lori muatan roti terbabit dilanggar di bahagian belakang oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu mangsa yang menuju ke arah sama.

    “Akibat pelanggaran terbabit, mangsa yang beralamat di Perai, Pulau Pinang mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Menurutnya, pemandu lori tidak mengalami kecederaan.

    Wan Azharuddin berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah dan bedah siasat dijadualkan hari ini selepas terima ujian Covid-19.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Pekerja kilamg maut terjatuh dalam mesin pengisar kayu

    Pekerja kilamg maut terjatuh dalam mesin pengisar kayu

    SEORANG pekerja kilang warga asing meninggal dunia selepas terjatuh dalam mesin pengisar kayu di sebuah kilang di Nilai, Seremban, hari ini.

    Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Fadli Abd. Wahab berkata, mangsa merupakan warga Nepal dikenali sebagai Haque Shekh Amirul, 40.

    Pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 9.13 pagi dan pemeriksaaan mendapati seorang lelaki berada dalam sebuah mesin pengisar kayu.

    “Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam mesin berkenaan sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan penyelamat,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Mangsa katanta, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mayat lelaki itu diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

  • Pendaki wanita meracau semasa di Gunung Kinabalu

    Pendaki wanita meracau semasa di Gunung Kinabalu

    SEORANG wanita berusia 50-an tiba-tiba meracau ketika mendaki di Gunung Kinabalu di Ranau, petang semalam.

    Kejadian itu disedari pendaki lain sebelum sepasukan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (Mosar) datang membantu.

    Pendaki wanita berkenaan kemudian dibawa turun dari Kilometer 4 menuju ke Pondok Timpohon dengan menggunakan alat ‘stretcher’.

    Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 7 malam.

    Katanya, seramai lima pegawai bomba bantuan (PBB) Mosar digerakkan selepas menerima laporan tersebut.

    “Pasukan Mosar kemudian bergegas ke lokasi dan bertindak membawa mangsa turun menggunakan Robinson Stretcher untuk ke Pondok Timpohon,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya, sebaik tiba mangsa diserahkan kepada ahli keluarganya untuk dibawa ke rumah penginapan dan operasi tamat pukul 1.20 pagi.

  • Lelaki maut tersepit celah tayar lori

    Lelaki maut tersepit celah tayar lori

    SEORANG penunggang motosikal maut selepas tersepit di tayar belakang sebuah lori kontena di Jalan Sungai Buloh menghala Damansara Damai, Sungai Buloh, hari ini.

    Kemalangan tersebut membabitkan lori kontena dengan sebuah motosikal Honda EX5 yang ditunggang mangsa.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada 8.16 pagi.

    “Seramai enam anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Penunggang motosikal terbabit dikenali Danial Imran Kamarolzama berusia 31 tahun tersepit dan disahkan meninggal dunia,” katanya memetika laporan Harian Metro, hari ini.

    Norazam berkata, anggota bertindak membawa keluar mangsa menggunakan peralatan ‘air lifting bag’ dan jentera lain.

    “Kami mengambil masa beberapa minit bagi mengeluarkan mangsa sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • Budak lelaki maut dipercayai terjatuh dari tingkat 10

    Budak lelaki maut dipercayai terjatuh dari tingkat 10

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia dalam lingkungan lima atau enam tahun maut dipercayai akibat terjatuh dari tingkat 10 sebuah kuarters Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras di Kuala Lumpur hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 8.20 pagi di pekarangan kuarters terbabit dan telah dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia menggunakan ambulans Briged Tengah PGA.

    Beliau berkata, kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia di hospital tersebut.

    “Ketika kejadian, mangsa yang merupakan anak anggota polis dikatakan tinggal seorang diri dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    “Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana kesalahan pengabaian,” katanya kepada Bernama.

    Mohd Zaid meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berdekatan.

    Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak melakukan pengabaian terhadap anak di bawah umur bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku. – BERNAMA