Category: Kemalangan / Bencana

  • Dua lelaki maut MPV terbabas, rempuh papan tanda

    Dua lelaki maut MPV terbabas, rempuh papan tanda

    DUA lelaki maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang dipercayai terbabas di Lebuhraya Plus KM194.4 arah Utara di Alor Gajah, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Alor Gajah SUPT Arshad Abu berkata dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, kereta yang dipandu Go Kuan Woei bersama penumpang Yee Kam Pou dari selatan menghala ke utara, terbabas sebelum melanggar papan tanda di bahu jalan sebelah kiri.

    “Kedua-dua mangsa berusia 46 tahun dan berasal dari Layang-Layang, Johor itu maut di tempat kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Menurut Arshad kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. 

    Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka dalam kenyataan memaklumkan 13 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh dan BBP Jasin Bestari dikejarkan ke lokasi bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

    — BERNAMA

  • Warga emas pitam sebelum kereta terbabas rempuh kubur

    Warga emas pitam sebelum kereta terbabas rempuh kubur

    SEORANG wanita warga emas yang memandu Perodua Myvi dan terbabas dalam kejadian di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights dekat Senawang di Seremban, didakwa mengalami kekurangan gula dalam darah dan pitam sehingga gagal mengawal kenderaan dipandunya.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, wanita berusia 60 tahun berkenaan dikatakan baru sahaja selesai menziarahi kubur arwah suaminya di tanah perkuburan itu seorang diri.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, warga emas itu secara tiba-tiba pitam di dalam kenderaan sehingga menyebabkan kenderaan yang dipandunya telah bergerak ke hadapan.

     “Ketika hendak bergerak keluar dari tanah perkuburan tersebut, pemandu kenderaan itu berada dalam keadaan kekurangan gula dalam darah sebelum pitam di dalam kenderaannya.

    “Situasi itu menyebabkan kereta yang dipandu bergerak ke hadapan secara tidak sengaja dan melanggar dua tapak perkuburan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, lapor Astro Awani.

    Terdahulu, tular beberapa gambar yang memaparkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipercayai terbabas di dalam kawasan tanah perkuburan Islam.

    Mengulas lanjut Nanda berkata, insiden itu menyebabkan dua tapak perkuburan mengalami kerosakan manakala wanita warga emas terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Kereta dipandu itu juga hanya mengalami kerosakan kecil di bahagian hadapan dan pemandu wanita telah pun menerima rawatan yang sewajarnya.

    “Anak kepada wanita warga emas itu juga telah hadir membuat laporan dan memaklumkan akan bertanggungjawab untuk membaiki segala kerosakan melibatkan tapak perkuburan terjejas,” katanya.

  • Lebih 1,600 hilang tempat tinggal, 179 rumah atas air terbakar

    Lebih 1,600 hilang tempat tinggal, 179 rumah atas air terbakar

    LEBIH 1,600 penduduk kehilangan tempat tinggal selepas 179 rumah atas air di Kampung Landung Ayang, Kudat, Sabah musnah dalam kebakaran, semalam.

    Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian yang berlaku pada 4.26 petang itu.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan, seramai 48 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Kota Marudu dikejarkan ke lokasi kejadian dengan dibantu anggota Persatuan Bomba Sukarela (PBS).

    “Apabila tiba di lokasi, api sedang marak dan operasi pemadaman menggunakan 1 aliran 2 pancutan 400 kaki sumber air dari jentera dan pili bomba.

    “Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 6.43 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 8.17 malam,” menurut kenyataan itu.

    Operasi pemadaman turut dibantu polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

    Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan berasingan berkata susulan kejadian ini, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) Bencana Kebakaran telah diaktifkan di Dewan Tun Mustapha, Kudat.

    “Dianggarkan 200 keluarga dengan lebih 1,600 mangsa dipindahkan ke PPS berkenaan,” menurut kenyataan itu. – Bernama

  • Perenang maut dibaham jerung di timur Sydney

    Perenang maut dibaham jerung di timur Sydney

    SELEPAS 58 tahun, serangan jerung kembali berlaku di Sydney mengakibatkan seorang perenang maut selepas kecederaan amat serius.

    Pihak berkuasa bagaimanapun belum mengeluarkan maklumat berhubung mangsa yang terkorban dalam kejadian pada pukul 4.35 petang semalam di pantai Buchan Point Malabar di timur Sydney itu.

    “Pegawai dari Eastern Beaches Police Area Command dengan bantuan dari Marine Area Command and Surf Life Saving NSW mengesan mayat mangsa di dalam air,” kata seorang pegawai polis.

    Sementara itu, jurucakap ambulans NSW berkata, petugas kesihatan yang hantar ke tempat kejadian memberitahu mangsa mengalami kesan kecederaan amat serius.

    Media tempatan melaporkan, kali terakhir kejadian seumpama itu berlaku di Sydney ialah pada tahun 1963 mengakibatkan pelakon Marcia Hathaway maut di Sugarloaf Bay.

    Hathaway,32 yang ketika itu berlayar bersama beberapa rakannya pada 28 Januari dipujuk untuk berenang. Namun nasib beliau malang apabila tergelincir dan terjatuh ke dalam mulut seekor jerung.

    Tunangnya, Frederick Knight bergelut dengan ikan tersebut sebelum ia melepaskan peha Hathaway namun kakinya dikatakan “seperti dicincang oleh sebuah jentera berat.”

  • Hilux terjunam dalam sungai, pemandu hilang, isteri selamat

    Hilux terjunam dalam sungai, pemandu hilang, isteri selamat

    SEORANG pemandu pacuan empat roda dikhuatiri lemas selepas kenderaan dinaiki terjunam ke dalam sungai di Kampung Tembila, Besut, hari ini.

    Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 6 pagi ketika mangsa, Shukri Wahab, 52, bersama isterinya, Azizah Mohamad Yusof, 51, dalam perjalanan dari Tawang Bachok, Kelantan menghala ke Kuala Terengganu, lapor Berita Harian.

    Menurut Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 7.25 pagi dan berdasarkan maklumat, pemandu tersebut dipercayai gagal mengawal kenderaan ketika sampai di jambatan Tembila lalu terlanggar besi penghadang sebelum ia terjatuh ke dalam sungai.

    Menurut beliau, sehingga kini, pemandu kenderaan itu masih belum ditemui manakala penumpang yang juga isteri mangsa berjaya diselamatkan.

    Abdul Rozak ketika dihubungi berkata, sebaik diselamatkan isteri mangsa yang hanya mengalami kecederaan ringan terus dibawa ke Hospital Besut untuk rawatan.

    Saksi kejadian, Zulkifli Kassim, 51, dari Kampung Pengkalan Kubur mengaku terdengar bunyi seakan benda jatuh yang kuat dari arah sungai sekitar 500 meter dari rumahnya, ketika dia bersiap menunaikan solat subuh.

    Katanya, selepas solat, dia keluar ke tepi sungai, namun tidak nampak sebarang kesan lalu balik semula ke rumah.

    “Ketika di rumah, saya terdengar ada suara memanggil dari arah sungai dan menyangka ia hanya kera. Selepas mendapati suara itu berterusan, saya minta anak melihatnya dan mendapati seorang wanita tersangkut dan berpegang pada pokok.

    “Pihak bomba yang dihubungi membantu menyelamatkan wanita itu dengan membawanya menaiki bot ke seberang sungai.

    “Wanita itu memaklumkan dia sendiri tidak tahu bagaimana boleh keluar daripada kenderaan dan tersangkut pada pokok. Dia cuma tanya bagaimana keadaan suaminya,” katanya.

    Anak mangsa, Mohamad Sollahudin, 22, berkata ketika kejadian kedua-dua orang tuanya dalam perjalanan untuk mengambil keropok di Kuala Terengganu.

    “Mereka biasa berulang-alik melalui laluan ini untuk mengambil stok keropok. Kali terakhir saya jumpa mereka semalam dan mengetahui kejadian ini daripada doktor yang merawat ibu pagi tadi,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Besut, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Jusoh berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.52 pagi dan 24 anggota termasuk dari Jertih terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat.

    “Mangsa wanita ditemui selamat berpegang pada pokok pada pukul 9 pagi dan dibawa menaiki bot untuk ke tepi sungai sebelum dia dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

    “Operasi mencari pemandu kenderaan masih diteruskan,” ujarnya.

  • Lelaki maut dalam pejabat di jeti nelayan

    Lelaki maut dalam pejabat di jeti nelayan

    SEORANG lelaki ditemukan meninggal dunia dalam kebakaran di sebuah pejabat di jeti nelayan, Jalan Tepi Sungai, Hutan Melintang, Bagan Datuk, hari ini.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang, Zulkafle Abdullah berkata, mangsa, Eng Ching Hoe, 43, yang melecur di anggota badan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.

    Katanya, sepasukan anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 7.26 pagi.

    “Setibanya di tempat kejadian, kita mendapati ada kesan peratusan kecil kebakaran struktur pejabat. Pemadaman telah dilakukan orang awam dengan menggunakan hos air domestik.

    “Pemeriksaan lanjut menemui seorang lelaki dalam keadaan melecur dan tidak sedarkan diri. Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Katanya, punca kejadian masih disiasat oleh Pasukan Forensik Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.

  • 1 PPS dibuka, paras air sungai utama di Terengganu terus meningkat

    1 PPS dibuka, paras air sungai utama di Terengganu terus meningkat

    HUJAN lebat berterusan sekitar 20 hingga 120 milimeter (mm) di lima daerah di Terengganu bermula semalam menyebabkan paras air di sungai utama terus meningkat.

    Daerah terbabit ialah Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Kemaman dan Dungun.

    Memetik laporan Sinar Harian, berikutan hujan lebat juga menyebabkan sebuah keluarga di Kampung Bahagia, Setiu dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka dinaiki air.

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri menerusi kenyataannya hari ini memaklumkan, keluarga terbabit melibatkan empat mangsa terdiri dua orang dewasa dan dua kanak-kanak itu ditempatkan di Balai Raya Kampung Bahagia yang mula diaktifkan pada pukul 11 pagi ini.

    Menurut kenyataan itu, setakat ini hanya satu PPS dibuka bagi menempatkan mangsa banjir dan keadaan cuaca semasa masih lagi hujan.

    Kenyataan itu turut memaklumkan sehingga pukul 11 pagi, dua sungai iaitu Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu dan Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu sudah merekodkan bacaan melepasi paras amaran.

    Sementara enam sungai lain di Setiu, Marang dan Kemaman juga melepasi paras waspada.

    “Sungai itu adalah Sungai Nerus di Kampung Bukit, Sungai Setiu di Kampung Besut, Sungai Nerus di Kampung Langkap, Sungai Nerus di Kampung Bukit, Sungai Marang di Pengkalan Berangan dan Sungai Tebak di Jambatan Tebak.

    “Sungai-sungai lain masih lagi berada pada paras normal,” kata kenyataan itu.

  • Banjir kilat melanda beberapa kawasan di Kelantan

    Banjir kilat melanda beberapa kawasan di Kelantan

    BEBERAPA kawasan di Kubang Kerian dan Lundang Kelantan dilanda banjir kilat hari ini, berikutan hujan lebat yang berterusan sejak semalam.

    Antara lokasi dilanda banjir kilat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 1 yang dinaiki air sedalam 0.2 meter menyebabkan guru terpaksa mengharungi air untuk memasuki ke kelas masing- masing, lapor Harian Metro.

    Malah, kejadian banjir kilat itu turut tular dalam aplikasi WhatsApp apabila penduduk meminta pihak berkuasa memantau dan menyelesaikan masalah longkang yang didakwa tersumbat sehingga menyebabkan banjir kilat berlaku di beberapa lokasi di Kota Bharu.

    Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zukeri Shafie, lokasi berkenaan dinaiki air berikutan longkang tidak dapat menampung jumlah air yang banyak.

    Menurut beliau, setakat ini, pihaknya belum menerima laporan daripada penduduk memandangkan paras air yang tidak tinggi dan kembali surut sebaik hujan berhenti.

    Namun menurut beliau, pihaknya sentiasa membuat pemantauan berikutan keadaan hujan lebat yang berterusan disamping menasihatkan penduduk supaya bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

    “Jika lokasi kediaman mereka dinaiki air, kita minta penduduk membuat laporan kepada pihak berkuasa atau berpindah ke lokasi yang lebih tinggi dan selamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan Zainal Madasin berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian banjir di negeri ini termasuk dari daerah Jeli dan Kuala Krai.

    “Kita sentiasa bersiap siaga untuk membantu penduduk dan akan terus membuat pemantauan di semua lokasi yang mudah dinaiki air,” ujarnya.

    Sementara portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula melaporkan kesemua paras air sungai utama di Kelantan sehingga hari ini masih lagi berada di bawah paras normal.

  • 42 mangsa banjir dipindahkan di 3 PPS di Raub

    42 mangsa banjir dipindahkan di 3 PPS di Raub

    HUJAN lebat berterusan sejak pagi semalam menyebabkan 42 penduduk di daerah Raub, Pahang dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) hari ini ekoran kediaman mereka dinaiki air.

    Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Zon 3, Penguasa Bomba Shahrul Nizam Nasir memberitahu, PPS pertama dibuka di Pusat Kegiatan Wanita Batu Malim pada pukul 1.30 pagi yang menempatkan sebuah keluarga terdiri daripada lapan mangsa.

    Menurut beliau, manakala tujuh keluarga terdiri 17 mangsa dari Kampung Ulu Sungai turut dipindahkan ke balai raya kampung tersebut yang dibuka pada pukul 4 pagi.

    Katanya, PPS ketiga pula dibuka pada pukul 7 pagi ini di Masjid Kampung Jamek yang menempatkan lima keluarga melibatkan 17 mangsa banjir dari Kampung Kuala Semantan.

    “Air mula naik bermula pukul 12 tengah malam dan mengikut maklumat diperoleh, hujan lebat di bahagian ulu Sungai Lipis,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

    Menurut Shahrul Nizam, keadaan terkini paras air Sungai Lipis merekodkan 115.40 meter (m) melepasi paras bahaya iaitu 114.80m dan limpahan dijangka berlaku di hilir sungai tersebut.

  • Anjur kumpulan kutu di Facebook, peniaga nasi lemak didenda RM50,000

    Anjur kumpulan kutu di Facebook, peniaga nasi lemak didenda RM50,000

    PADAH menganjurkan kumpulan wang kutu menerusi laman sosial Facebook, seorang peniaga nasi lemak wanita mengaku bersalah dan didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

    Tertuduh, Nor Jaimah Kamarudin, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa menganjurkan kumpulan wang kutu kepada lima individu menerusi laman sosial Facebook pada 2018.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Kubang Semang, Bukit Mertajam, Butterwoth antara Januari hingga Ogos 2018.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 3(1) Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 (Akta 28) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara hingga 10 tahun atau kedua-dua sekali.

    Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Mohd. Iqbal Mohd. Yusoff manakala tertuduh diwakili peguam Shamsher Singh Thind.

    Terdahulu Shamser dalam rayuannya memohon mahkamah meringan hukuman kerana ibu kepada tiga cahaya mata lelaki berusia empat hingga lapan tahun itu merupakan seorang peniaga nasi lemak di gerai tepi jalan selain merupakan kesalahan pertama tertuduh.

    Bagaimanapun, Mohd. Iqbal meminta hukuman setimpal dikenakan bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam supaya tidak terlibat dalam kegiatan itu.

    Kata Mohd. Iqbal, kesalahan itu adalah begitu serius kerana bukan kaedah kutu tradisional sebaliknya menawarkan kutu dengan pulangan berlipat kali ganda dengan syarat perlu mencari ahli seramai mungkin.

    Difahamkan, tertuduh membayar denda tersebut yang mana jika gagal berbuat demikian, mahkamah turut menetapkan dia boleh dikenakan hukuman penjara 12 bulan.

    Sebelum ini, Nor Jaimah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuantan, Pahang pada September 2020 sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Butterworth kerana kebanyakan saksi berada di negeri ini.