Category: Kemalangan / Bencana

  • Dua maut, lori rempuh motosikal berteduh bawah jejambat

    Dua maut, lori rempuh motosikal berteduh bawah jejambat

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DUA penunggang motosikal maut dalam kemalangan ngeri melibatkan sebuah lori dengan sembilan motosikal di Kilometer 92.8, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat Gurun, hari ini.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, (ACP) Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 2.40 petang ketika kesemua motosikal tersebut diletakkan di bawah jejambat berikutan hujan lebat.

    Katanya, siasatan awal mendapati, kesemua sembilan motosikal tersebut diletakkan secara dua lapis di lorong kecemasan dan kesemua penunggang berada di sisi motosikal masing-masing.

    “Tiba-tiba, sebuah lori yang bergerak di lorong kiri lebuh raya merempuh kesemua motosikal tersebut dari arah belakang.

    “Berikutan itu, dua penunggang motosikal berusia 28 dan 31 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala tujuh yang lain mengalami kecederaan,” katanya.

    Tambahnya, pihaknya sudah pun menahan pemandu lori tersebut yang berusia 28 tahun dan berasal dari Bachok, Kelantan bagi membantu siasatan.

    “Permohonan reman terhadapnya akan dibuat esok. Ujian saringan awal air kencing mendapati dia negatif dadah dan dia juga didapati bebas dari pengaruh alkohol.

    “Kes tersebut kini masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

  • Remaja maut selepas kepalanya putus tersangkut enjin bot

    Remaja maut selepas kepalanya putus tersangkut enjin bot

    SEORANG remaja lelaki maut selepas kepalanya putus akibat tersangkut pada enjin bot ketika sedang menghidupkannya di Kampung Panji, Semporna pada pukul 10.30 pagi tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Faisal Ahmad berkata, mangsa berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan akibat parah di bahagian kepala.

    “Lima anggota dikejarkan ke lokasi dan terpaksa berjalan kaki sejauh satu kilometer berikutan tiada laluan bot ke lokasi kejadian.

    “Menurut ahli keluarga mangsa, kejadian berlaku ketika mangsa menghidupkan enjin dan mahu menangkap ikan di laut. Dipercayai lengan baju jaket dipakainya terbelit pada ‘shaft’ penyambung enjin pam bot yang sedang bergerak itu.

    “Akibatnya, tangan mangsa turut terbelit lalu mangsa terjatuh sebelum rambut dan kepalanya turut tersangkut pada alat berkenaan,” katanya memetika laporan Sinar Harian, hari ini.

    Bagaimanapun Faisal berkata, ketika pasukannya tiba di lokasi, mangsa sudah dikeluarkan oleh penduduk kampung dan disahkan meninggal dunia.

    “Mayat mangsa dibawa ke Hospital Semporna untuk tindakan selanjutnya sebelum operasi ditamatkan pada pukul 12.19 tengah hari,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Mohd. Farhan Lee Abdullah ketika dihubungi berkata, setakat ini pihak polis belum menerima laporan berhubung kejadian itu.

    “Kita tiada terima sebarang laporan dari mana-mana pihak berkaitan kes ini,” katanya.

  • Kanak-kanak 11 tahun maut terjatuh tingkat empat

    Kanak-kanak 11 tahun maut terjatuh tingkat empat

    SEORANG budak lelaki berusia 11 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat empat di sebuah pangsapuri di Puncak Alam, Sungai Buloh, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 9 pagi.

    Menurutnya, mangsa disyaki terjatuh dari tingkap bilik yang terbuka di kediaman berkenaan dan mengalami kecederaan pada bahagian kepala.

    “Mayat telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Shafa’aton berkata, setakat ini kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

    “Setakat ini, kita tidak menemui sebarang unsur jenayah, kita sedang menunggu laporan bedah siasat untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • Bapa calon SPM maut selepas hantar anak ke pusat peperiksaan

    Bapa calon SPM maut selepas hantar anak ke pusat peperiksaan

    SEORANG pemandu lori maut dalam satu kemalangan jalan raya dipercayai selepas menghantar anak lelakinya ke sekolah untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kilometer 6, Jalan Machang- Pasir Puteh, awal pagi ini.

    Dalam kejadian pada pukul 7.20 pagi itu, mangsa, Zainudin Ab.Samat, 56, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami parah pada bahagian kepala dan badan, lapor Sinar Harian.

    Menurut Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy, siasatan awal mendapati, mangsa menghantar anaknya di pintu pagar sekolah berkenaan dan terus melintas dari kiri ke kanan jalan untuk kembali ke lorinya.

    “Akibat jarak yang terlalu dekat, sebuah kenderaan jenis Volvo dipercayai gagal mengelak hingga berlaku pelanggaran sehingga menyebabkan mangsa tercampak dan terjatuh di lokasi kemalangan.

    “Mangsa tidak sedarkan diri disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Menurutnya, pemandu kereta Volvo berusia 54 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan saringan ujian kencing juga negatif.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Najib tangguh rayuan berkaitan bukti baharu

    Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Najib tangguh rayuan berkaitan bukti baharu

    MAHKAMAH Persekutuan hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangguhkan prosiding rayuan berkaitan bukti baharu dalam usahanya untuk mengetepikan sabitan kes melibatkan dana SRC International Sdn. Bhd., yang dijadualkan pada 15 dan 16 Mac ini.

    Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul yang mengesahkan perkara berkenaan berkata permohonan bekas perdana menteri itu supaya tarikh perbicaraan rayuan dilapangkan, ditolak menerusi hantaran e-mel pagi ini.

    “Sehubungan itu tarikh pendengaran dikekalkan sebagaimana yang dijadualkan,” katanya kepada Bernama menerusi teks pesanan ringkas WhatsApp.

    Dua hari lepas peguam Najib menulis surat kepada mahkamah memohon supaya tarikh pendengaran itu dilapangkan kerana mereka masih mengumpulkan semua nota, bukti, dan dokumen yang berkaitan dengan perbicaraan SRC di Mahkamah Tinggi, bagi menyediakan hujah bertulis sebagai tambahan bukti untuk rayuan.

    Pada 7 Disember 2021, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu bagi rayuannya dengan memutuskan bahawa Najib gagal memenuhi Seksyen 61 Akta Mahkamah Kehakiman secara kumulatif bahawa bukti baharu diperlukan untuk keadilan dalam kes itu.

    Pada hari berikutnya, mahkamah sama mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC.

    Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

    Najib kemudiannya memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Persekutuan. – Bernama

  • 10 balai polis, 11 pos kawalan PGA rosak dilanda banjir

    10 balai polis, 11 pos kawalan PGA rosak dilanda banjir

    SEBANYAK 10 balai polis serta 11 pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Terengganu dan Kelantan rosak akibat banjir besar yang melanda penghujung musim Monsun Timur Laut (MTL) di negeri berkenaan.

    Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razaruddin Husain berkata, ia termasuk empat balai polis di Terengganu dan enam di Kelantan, manakala 11 lagi melibatkan pos PGA yang kesemuanya terletak di kawasan sempadan Kelantan-Thailand.

    Beliau berkata, bencana banjir luar jangka pada penghujung MTL bukan sahaja merosakkan balai polis, malah kediaman keluarga anggota di kuarters dan kawasan luar turut terjejas.

    “Di Terengganu balai polis yang terlibat ialah Balai Polis (BP) Kuala Jengai dan BP Pasir Raja di Dungun, BP Air Putih di Kemaman dan BP Manir di Kuala Terengganu yang sebelum ini tidak pernah dinaiki air meskipun lokasinya di tepi sungai.

    “Sementara di Kelantan yang terjejas ialah BP Rantau Panjang, BP Bakong, BP Jeram Perdah, BP Kuala Jambu, BP Simpangan dan BP Meranti,” katanya kepada pemberita selepas melawat BP Manir, Kuala Terengganu, hari ini.

    Hadir sama meninjau keadaan balai pascabanjir itu, Ketua Polis Terengganu Datuk Rozaimi Md Isa.

    Razaruddin berkata, 11 pos PGA yang terjejas ialah Pos PGA Terusan, Pos PGA Salleh Berek, Pos PGA Tok Kana, Pos PGA Antah, Pos PGA Serongga, Pos PGA Ibrahim Pencen, Pos PGA Kaloi, Pos PGA Wakaf Zain, Pos PGA Pulau, Pos PGA Kubang Pak Hitam dan Pos PGA Mek Gombak.

    Menurut Razaruddin, pihaknya sedang mengenal pasti serta membuat penilaian infrastruktur dan peralatan bagi mendapatkan anggaran sebenar nilai kerosakan semua balai dan pos kawalan berkenaan.

    Katanya, bantuan segera juga akan disalurkan bagi membantu keluarga anggota polis yang terjejas akibat bencana tersebut.

    “Walau bagaimanapun di Terengganu dan Kelantan persiapan awal sudah dilakukan oleh pihak kami dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma). Jadi banyak peralatan di balai polis dapat diselamatkan lebih awal kecuali di kawasan yang tidak dijangka,” katanya.

    Menurutnya, kini masih terdapat 17,385 mangsa banjir di Terengganu yang ditempatkan di 86 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri itu. – Bernama

  • Banjir:Lelaki OKU dikhuatiri lemas

    Banjir:Lelaki OKU dikhuatiri lemas

    SEORANG lelaki kurang upaya (OKU) dikhuatiri lemas dalam kejadian di Kampung Tok Derpah, Alor Pasir, Pasir Mas, semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir, dalam kejadian pada pukul 9 pagi itu, mangsa, Muhamad Faizal Abd Rahman, 20, dikatakan mengikut ibunya, Che Fatimah Che Kob, 60, membersihkan kedai makan yang dilanda banjir.

    “Mangsa tiba-tiba dipercayai hilang dan menurut anak saudara mangsa, Nor Ariana Natasha, 12, bapa saudaranya itu dilihat bermain di kawasan masjid berdekatan yang juga menjadi lokasi banjir.

    “Keluarga dan penduduk kampung berusaha mencari mangsa di seluruh kawasan namun gagal menemuinya, sebelum datang membuat laporan polis berkenaan kejadian terbabit,” katanya, lapor Harian Metro.

    Akhbar sebelum ini melaporkan sebanyak empat individu menjadi korban banjir di Kelantan sepanjang bah melanda sejak Jumaat lalu.

    Mohd. Nasaruddin berkata, pihaknya turut memaklumkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pasir Mas berkaitan kejadian itu untuk misi mencari dan menyelamat.

    “Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dengan banjir yang melanda selain mengelak daripada bermain air terutama di kawasan arus deras bagi mengelak perkara tidak diingini.

    “Golongan kanak-kanak juga perlu diberi perhatian kerana kita tidak mahu ada lagi pertambahan kes mangsa banjir di Kelantan,” katanya.

    Sementara itu, Bernama melaporkan jumlah mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan meningkat pagi ini dengan 26,447 dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 pagi ini.

    Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 17,384 orang daripada 4,549 keluarga berbanding 16,756 orang daripada 4,269 keluarga semalam dan mereka ditempatkan di 87 PPS yang beroperasi merangkumi lapan daerah iaitu 27 di Kemaman, Dungun (24), Hulu Terengganu (19), masing-masing lima di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, Besut (empat) dan Setiu (tiga).

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu memaklumkan Kemaman menempatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 9,245 orang, diikuti Hulu Terengganu (3,845), Dungun (2,795), Kuala Nerus (502), Kuala Terengganu (490), Besut (355) dan Setiu (152).

    Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan kebanyakan sungai sudah berada di paras normal dan ketika ini hanya satu sungai masih melebihi paras bahaya iaitu Sungai Kemaman.

    Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir turut meningkat kepada 9,063 orang setakat 8 pagi ini berbanding 8,678 orang semalam yang ditempatkan di 29 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah iaitu 22 di Pasir Mas, Tumpat (tiga), Tanah Merah dan Pasir Puteh, masing-masing dua.

    Portal JPS pula melaporkan dua sungai utama di negeri berkenaan iaitu Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah dan Air Bol di Jeli berada pada paras waspada.

  • Mangsa banjir Terengganu meningkat 11,137 orang

    Mangsa banjir Terengganu meningkat 11,137 orang

    JUMLAH mangsa banjir di Terengganu yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terus meningkat kepada 11,137 orang berbanding 6,963 orang pada pukul 8 malam tadi.

    Sehingga pukul 8 pagi ini, sebanyak 3,177 keluarga terjejas ditempatkan di 157 PPS yang dibuka di Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Marang, Setiu, Besut, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, lapor Sinar Harian.

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataannya memaklumkan, Kemaman merupakan daerah paling teruk terjejas apabila seramai 3,026 mangsa dari 827 keluarga sudah dipindahkan ke 22 PPS yang telah diaktifkan di derah tersebut.

    Menurut kenyataan itu, mangsa banjir di daerah Hulu Terengganu pula kini seramai 2,946 orang membabitkan 950 keluarga dan semua mereka ditempatkan di 27 PPS yang diaktifkan.

    Katanya, bagi daerah Besut, sebanyak 44 PPS sudah dibuka bagi menempatkan 2,187 mangsa yang terjejas banjir diikuti Setiu (1,277 orang) dan Dungun (1,236 orang),” katanya.

    “Jumlah mangsa banjir di Kuala Nerus juga bertambah dengan 407 penduduk daripada 116 keluarga terjejas kini dipindahkan di lapan
    PPS susulan kenaikan air di kawasan kediaman masing-masing.

    “Sebanyak dua PPS turut dibuka di Kuala Terengganu bagi menempatkan 53 mangsa yang terjejas manakala di Marang, keadaan banjir di daerah itu tidak berubah dengan satu PPS kekal dibuka di sana bagi menempatkan lima mangsa daripada sebuah keluarga,” jelas kenyataan itu.

    Sementara itu, keadaan cuaca di Hulu Terengganu sekarang masih hujan manakala Setiu, Marang dan Besut hujan renyai, di Dungun dan Kemaman pula mendung manakala Kuala Terengganu pula cuaca kelihatan cerah.

  • Banjir di Kelantan ragut 2 nyawa, mangsa pindah meningkat 8,439 orang

    Banjir di Kelantan ragut 2 nyawa, mangsa pindah meningkat 8,439 orang

    BANJIR di Kelantan yang berlaku di penghujung musim tengkujuh kini sudah meragut dua nyawa, apabila seorang remaja menjadi korban bencana itu malam tadi.

    Mayat Muhammad Fazly Kamri, 13, yang dihanyutkan arus ketika menunggang basikal di tepi tali air di Kampung Talang Kadok, ditemukan pada pukul 10 malam tadi oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA),50 meter daripada lokasi terakhir, lapor Berita Harian.

    Terdahulu, seorang warga emas yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika mengalihkan sampan di Pengkalan Lan, Sungai Galas, Kampung Kuala Gris Jumaat lalu, ditemui lemas pukul 7 petang semalam.

    Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Zainal Madasin, ketika dihubungi menasihatkan orang ramai supaya tidak menjadikan banjir sebagai pesta air.

    Menurut Zainal, ketika banjir melanda, orang ramai berpusu-pusu keluar untuk melihat air selain ada yang bermain air yang dikhuatiri boleh mengundang padah.

    “Setiap kali berlakunya banjir, saya sentiasa mengingatkan orang ramai supaya menjaga diri dan tidak bermain air yang boleh menyebabkan berlaku tragedi.

    “Ini kerana beberapa daerah kita lihat arus banjir sangat deras dan situasi itu sangat membahayakan sekiranya orang ramai bersikap berani dengan meredah banjir menggunakan kenderaan biasa,” katanya.

    Sementara itu, keadaan banjir di Kelantan terus meningkat kepada 8,439 orang pagi ini, berbanding 6,316 mangsa petang semalam.

    Kesemua mangsa membabitkan 2,745 keluarga itu ditempatkan di 70 pusat pemindahan di tujuh daerah.

  • Trak bantuan mangsa banjir dinaiki ADUN Ajil terbalik

    Trak bantuan mangsa banjir dinaiki ADUN Ajil terbalik

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim yang menaiki trak membawa bantuan mangsa banjir bersama-sama anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu terbalik dan hampir tenggelam kerana dibadai arus deras.

    Semasa kejadian pada pukul 2.15 petang tadi, wakil rakyat Pas itu bersama-sama 13 anggota APM menyertai operasi menghantar bantuan makanan mangsa banjir di Kampung Bukit Biah, di sini.

    Maliaman ketika dihubungi mengakui masih terkejut dengan insiden itu namun tidak mematahkan semangat untuk terus bersama rakyat yang kini ditimpa kesusahan.

    “Saya merasai pengalaman yang mendebarkan kerana lori yang saya dinaiki bersama anggota APM dibawa arus deras dan terbalik di tepi jalan betul-betul di sungai Kampung Lembah.

    “Waktu tu saya hanya mampu berdoa agar dimudahkan urusan kerana ketika itu arus air cukup laju dan hampir menenggelamkan lori yang kami naiki,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Maliaman bagaimanapun bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dan mereka berjaya diselamatkan anggota penyelamat yang tiba bersama bot 15 minit kemudian.

    “Saya bersyukur semuanya selamat namun agak terkilan kerana barang bantuan untuk banjir seperti makanan, pakaian semuanya dibawa arus deras, kenderaan logistik juga tidak dapat diselamatkan.

    “Saya sangat memohon maaf kerana gagal menghantar barang keperluan barangan untuk mangsa banjir tadi,” ujarnya.

    Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu dalam kenyataan pada Ahad berkata, mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada seramai 6,963 orang sehingga jam 8 malam ini.